Sahabat Ilmu

Isnin, 4 April 2011

Watak-Watak Qarun Dalam Politik Malaysia

"Oleh: azzati
Al Quran adalah sumber petunjuk bagi umat manusia. Petunjuk-petunjuk Ilahi itu disampaikan dengan pelbagai cara. Sebahagiannya berbentuk perintah dan larangan, teguran dan amaran, tetapi tidak sedikit yang disampaikan melalui rekod-rekod sejarah penuh pengajaran. Misalnya menerusi kisah dan teladan. Cerita di dalam al Quran bukan sekadar untuk diketahui, tetapi adalah mesej petunjuk dari Yang Maha Agung.

Ketika era dakwah Nabi Musa kepada kaumnya Bani Israel, Baginda pernah digawatkan dengan kemunculan satu watak penderhaka yang seangkuh Firaun, iaitu Qarun. Qarun tampil di hadapan Nabi dengan citra kerakusan hartawan lupa daratan. Hartanya yang melimpah ruah digunakan untuk memaksa One Israel memulaukan dakwah Baginda Musa yang giat menyebarkan ahadiat Tuhan.

Semasa di Mesir dahulu, ramai pelajar-pelajar pernah menjejaki tempat yang dipercayai menjadi kawasan Qarun. Ma’bad Qarun, Buhaira Qarun, Qasru Qarun, Qaryah Qarun antara nama-nama tempat yang lazimnya menjadi lokasi penjelajahan para pengunjung dan tetamu dermawan yang teguh membayar tiket puluh-puluhan junaih untuk menyaksikan Qarun yang telah ditenggelamkan. Persoalannya, insafkah kita kepada hakikat yang diberitakan Allah tentang nasib Qarun?

Al Quran memperkenalkan Qarun sebagai orang yang berasal dari kaum Nabi Musa. Hal ini bermakna, Qarun juga dari bangsa Yahudi, samalah seperti Baginda Musa alaihissalam. Begitupun bukanlah bererti Qarun menyebelahi nasib kaumnya, bahkan dengan bongkak terus menindas dan memeras saudara-saudara yang sebangsa dengannya.

Qarun mempunyai kekayaan luar biasa. Kunci-kunci khazanahnya sahaja tidak terpikul oleh sejumlah orang kekar perkasa. Beliau mendakwa kekayaannya adalah hasil usahanya sendiri.


“Sesungguhnya aku diberi (kemewahan harta itu) kerana ilmu yang ada padaku” - Surah al Qasas:78, al Quranul Karim

Dengan mempamerkan segala kekayaannya, Qarun seolah-olah ingin memberikan isyarat kepada kaumnya bahawa dia mampu melakukan segala-gala, mengupah, membeli, membiayai dan menyumbang apa dan berapa sahaja. 3 juta, 4 juta. Sesiapapun bakal disihir dan terpegun menyaksikan kemewahan Qarun.

Jangan cuba mencabar Qarun!

Jangan berani melangkah Qarun!

Jangan sekali-kali berusaha menjatuhkan Qarun!

Qarun mampu memiliki, menakluk, merasuah sesiapa sahaja untuk menewaskan kamu dengan longgokan hartanya. Inilah sedikit gambaran betapa rakusnya Qarun menindas dan mencengkam sesiapa yang menjadi mangsa.

Qarun moden, Qarun hari ini boleh ditafsirkan sebagai golongan kapitalis. Seorang kapitalis tidak memerlukan kuasa di tangan, tetapi cukuplah dia mengawal pemimpin negara dari balik tabir. Boleh jadi dia berselindung dengan nama Dato’ T, lelaki Y, ataupun lelaki X. Dia akan selamat dengan senjata yang dijenterai oleh kemewahan hartanya, biarpun cara yang digunakan itu sangat busuk dan hina, perampas dan pengkhianat.

Qarun yang juga merupakan salah seorang anggota kabinet Firaun, telah menggunakan posisi politiknya untuk memintas pengaruh Musa alaihissalam sebagai rujukan kaum Bani Israel. Qarun pernah menggunakan kekayaannya untuk membiayai rancangan memusnahkan personaliti Musa sebagai Nabi. Qarun turut mengupah mata-matanya sebagai anjing-anjing yang mengawasi setiap gerakan, aktiviti dakwah, program ceramah Baginda Musa alaihissalam.

Pernah satu ketika, Qarun menaja seorang pelacur supaya mengaku bahawa Musa pernah menidurinya. Lalu pelacur yang ditugaskan tersebut berteriak di tengah khalayak bahawa dia pernah berzina dengan Nabi Musa. Belum pun video sempat diputarkan, khabar-khabar mengenai kes tersebut terus gamat memperkatakan. Belum pun terbukti Musa alaihissalam melakukan, Baginda Musa dilihat di dalam kandang pesalah.

Pelacur itu mendakwa bahawa anak yang sedang dihamilinya, merupakan hubungan terlarang bersama Musa alaihissalam. Sedih dengan fitnah yang melampau ini, Baginda langsung berdoa kepada Allah agar kebenaran menunjukkan cahayanya;

[ Ya Allah perlihatkan kebenaran. Ya Allah tunjukkan hati wanita ini supaya menyebut perkataan yang benar. Ya Allah janganlah Engkau mengaibkan hamba-MU dan Nabi-MU ini ].
Sayunya rintihan Musa alaihissalam itu menyebabkan pelacur tersebut memohon maaf kepadanya dan menceritakan bahawa apa yang dilakukan adalah kerana arahan dan sogokan yang dilakukan oleh Qarun.


“Musa tidak melakukan apa-apa. Dia orang baik. Aku hanya diupah oleh Qarun untuk mengatakan bahawa aku dihamili oleh Musa”.

Mendengar penjelasan pelacur itu, Nabi Musa menyatakan rasa syukurnya kepada Allah. Kisah ini menjadi sebab turun dari Surah al Ahzab ayat 69.

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi) yang telah mencaci Nabi Musa lalu Allah membersihkannya dari segala cacian yang mereka katakan; dan adalah dia (Musa) seorang yang mulia di sisi Allah”

Al Quran turut menyebut tentang kewujudan kelompok yang mengagumi Qarun; iaitu golongan penyokongnya yang mata duitan, materialistik, terlalu ghairah untuk menjadi kaya dengan apa cara sekalipun. Bagi kelompok ini, Qarunlah idola pujaan, Qarunlah hero sanjungan. Malah ada yang menganggap bahawa kekayaan Qarun adalah bukti keredhaan Allah padanya.

Oleh kerana nafsu yang dituruti ingin menjadi kaya seperti Qarun, maka kejayaan diukur dari harta yang diperolehi tanpa mengambil kira dari mana hasilnya dan ke mana ia dibelanjakan.

“Alangkah baiknya kalau kita ada kekayaan seperti yang didapati oleh Qarun. Sesungguhnya dia (Qarun) adalah seorang yang bernasib baik” – Surah al Qasas:79, al Quranul Karim

Kekaguman Bani Israel terhadapnya menyebabkan Qarun terus agam mencabar kebenaran Musa. Qarun merendah-rendahkan kenabian Musa. Qarun memicingkan mata mendengar amaran Allah yang disampaikan oleh Nabi Musa kepadanya. Qarun menuduh Musa sebagai penipu demi memenuhi tujuan politiknya. Qarun mendakwa Musa sebagai sesat supaya para pengikutnya lari meninggalkan ajaran Allah.

“Dan sesungguhnya Kami telah utuskan Musa dengan ayat-ayat Kami dan kekuasaan yang jelas (hujjah yang nyata) kepada Firaun, Haman dan Qarun, lalu mereka mengatakan (menuduh Musa) sebagai ahli sihir yang menipu” - Surah Ghafir:23-24, al Quranul Karim

Sudah menjadi hakikat dunia, orang yang ingkar kepada Allah punya tenaga yang kuat dan ramai, dana yang begitu besar dan super mega. Penderhaka-penderhaka yang dibarisi barisan jentera kerajaan Firaun, Haman dan Qarun, masing-masing bekerjasama bertindak memusnahkan karier Musa alaihissalam.

Bagaimanapun, pemeliharaan Allah kepada hambaNYA yang beriman takkan sirna. Qarun mengakhiri hayatnya dengan nasib yang sangat tragis, hancur luluh ketulahan bumi. Tidak ada satupun kekayaan Qarun yang tersisa, selain puing-puing istananya yang sampai saat menunggu saat runtuhnya.

“Maka Kami benamkanlah Qarun beserta rumahnya ke dalam bumi. Maka tidak ada baginya suatu golonganpun yang menolongnya terhadap azab Allah. Dan tiadalah ia termasuk orang-orang (yang dapat) membela (dirinya)” – Surah al Qasas:81, al Quranul Karim

Qarun bersalah kerana menyalahgunakan kekayaan untuk membiayai kegiatan-kegiatan khianat dan pelbagai kezaliman lagi seperti kempen menjatuhkan Musa alaihissalam. Tetapi ada lagi yang WAJAR DISALAHKAN, iaitu sistem yang mengizinkan fenomena keqarunan itu berlaku.

Jatuhlah politikus seperti Qarun!

Jatuhlah parti syaitan yang membiarkan orang seperti Qarun!

Jatuhlah kamu dengan izin Allah Taala.

SUMBER :
http://satukalimah.blogspot.com/

Tiada ulasan: