Sahabat Ilmu

Selasa, 9 Oktober 2007

KHUTBAH AIDILFITRI 1428h/2007

KHUTBAH HARI RAYA AIDILFITRI 1428h/2007

(الله أكبر الله أكبر الله أكبر (9 كالي
الله أكبر ولله الحمد...

Maksudnya:
Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan Katakanlah perkataan yang benar. Niscaya Allah memperbaiki bagimu amalan-amalanmu dan mengampuni bagimu dosa-dosamu. dan barangsiapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, Maka Sesungguhnya ia Telah mendapat kemenangan yang besar. (Al-Ahzab 70-71)

Muslimin dan Muslimat, tetamu satu Syawal yang dirahmati Allah,

Hari raya. Apa itu hari raya? Pada bahasa, raya ertinya besar atau utama. Jalan raya ialah jalan yang besar atau utama. Pasar raya ialah pasar yang besar. Bandaraya pula ialah bandar yang besar dan utama. Begitu juga dengan lebuhraya, balairaya, hanturaya, pilihanraya, dan sebagainya. Oleh itu hari raya bermaksud hari yang besar atau hari yang utama. Benarkah hari raya itu hari yang besar dan utama? Kalau benar, di manakah letak kebesaran atau keutamaannya.

Apakah hakikat hari raya yang sebenar sehingga ianya dianggap sebagai hari yang besar? Kalaulah benar hari raya itu hari yang besar, bagaimana patut kita menyambutnya. Apakah yang patut kita buat pada hari itu? Bagaimana patut kita mengisinya? Adakah pada setiap hari raya kita perlu tukar langsir, perabot dan permaidani? Adakah sempena hari raya, kita perlu beli pakaian dan kasut baru? Kita menjamu selera dengan bermacam-macam kuih-muih dan juadah yang enak dan lazat. Atau adakah di hari raya patut kita berseronok dan bersuka ria dengan majlis-majlis hiburan lengkap dengan muzik, nyanyian, joget dan tari-menarinya. Kita adakan atau kita tonton pertunjukan atau drama-drama, filem-filem hiburan hari raya. Atau kita bermain mercun, bunga api dan meriam buluh. Atau adakah cukup hari raya itu disambut hanya dengan bersembahyang hari raya, mengirim kad-kad hari raya, berziarah, menjamu selera dan bermaaf-maafan?

Bagi orang Melayu, aidilfitri dinamakan hari raya puasa.. Ia dinamakan hari raya puasa kerana ia disambut selepas bulan puasa. Cara mudah memberi nama seperti ini tidak memberi gambaran atau maksud yang sebenar menyambut hari raya.Maksudnya tersimpang dan lari dari apa yang dikehendaki oleh agama dan syariat. Ia menimbulkan kekeliruan dan salah faham. Lama-kelamaan orang Melayu terutama yang tidak mengaji agama, tidak tahu kenapa dan mengapa mereka menyambut hari raya puasa. Mereka juga tidak tahu bagaimana hari raya puasa patut disambut. Mereka kira hari raya puasa itu ialah hari untuk berseronok, berpesta dan bersuka ria. Hari untuk berbelanja, membazir dan bermewah-mewah. Hari untuk melepaskan geram setelah sekian lama disekat dan dikongkong nafsu mereka. Mereka sedih kalau tidak dapat baju raya dan kasut raya. Sedih kalau tidak dapat tukar langsir baru, perabot baru atau permaidani baru. Bagi yang lebih tua, hari raya puasa jadi hari nostalgia dan hari melayan perasaan. Ingat anak, ingat cucu yang tidak balik pada hari raya.

Sambutan hari raya puasa sudah tidak lagi menjadi suatu ibadat. Ia sudah bertukar menjadi adat dan istiadat. Dengan rumah terbukanya, Hari Raya araknya dan berbagai-bagai lagi cara sambutan pada masa ini. Para artis dan penghibur pula sibuk dengan show hari raya dan album hari rayanya.

Maa’syaral Muslimin Wa Zamratal Mukminin,

Untuk mengetahui makna sebenar hari raya marilah kita memahami, menghayati dan menyelami maksud di sebalik takbir raya. Setiap tahun umat Islam akan mengumandangkan kalimah Takbir sebanyak dua kali yakni semasa idul Fitri da Eidul Adha. Inilah kalimah yang diajarkan oleh Junjungan kita kepada umatnya,
Mungkin ramai di kalangan umat Islam yang tidak memahami maksud Takbir yang setiap tahun dilaungkan oleh mereka. Ucapan takbir “Allahu Akbar” menunjukkan pengakuan kita tentang kebesaran Allah swt. Ketika kita mengatakan Allahu Akbar, bererti kita telah mengecilkan perkara-perkara lain di dunia ini. Kita hanya mengagungkan Allah swt semata-mata. Harta, kekuasaan, jawatan, saham, kereta, anak, isteri, kaum keluarga mahupun nyawa kita sendiri menjadi kecil di mata kita tatkala kita mengucapkan dan melaungkan lafaz Allahu Akbar tersebut. Kita mesti faham bahawa bukan bererti kita menolak harta, kekuasaan, atau jawatan dan sebagainya. Apa yang perlu disedari adalah kita tidak menjadikan perkara tersebut sebagai tujuan dan matlamat kita dihidupkan.

Ucapan tahmid “Alhamdulillah” menunjukkan rasa syukur kita kepada Allah atas segala nikmat yang telah Dia berikan kepada kita. Allah swt telah menjadikan kita sebagai manusia dengan sebaik-baik bentuk. Tubuh kita diciptakan dengan cukup sempurna. Allah swt memberikan kita akal fikiran yang membuatkan kita berbeza dengan makhluk yang lain. Tidak hanya itu, Allah menciptakan alam semesta ini untuk diguna dan dimanfaatkan oleh kita sebagai manusia, tanpa Allah meminta bayaran dari kita sedikit pun. Apa yang diminta oleh Allah adalah agar kita sujud kepadaNya dengan sebenar-benar sujud, sentiasa rindu dan memakmurkan rumahnya (masjid&surau), taat kepada segala perintahNya dan meninggalkan segala kemurkaanNya. Tidak hanya itu, Allah swt memberikan petunjuk kebenaran kepada kita yakni Al-Qur’an yang dengannya kita dapat membezakan mana petunjuk dan mana kesesatan, mana yang haq dan yang mana yang batil, mana yang diredhai oleh Allah dan mana yang dimurkainya.

Ucapan Tasbih “Subhanallah” menunjukkan pengakuan kita akan keagungan Allah swt yang telah menciptakan alam semesta ini dengan sempurnanya. Allah swt telah mengatur perjalanan matahari dari timur ke barat secara sempurna, menciptakan langit dan bumi dengan keagunganNya. Perhatikanlah semua itu. Bukankah semuanya mencerminkan keagungan dan kesempurnaan Allah swt? Tetapi hari ini kita samseng, sombong dan kurang ajar dengan Allah. Kita lawan allah, lawan perintah Allah, lawan hokum Allah, Kita malas sembahyang, tidak puasa, datang masjid/surau hanya bulan ramadhan sahaja, kita tidak tutup aurat, kita berlagak macam tuhan sehingga lupa bahawa nyawa, rezki, udara dan seluruh dunia ini semuanya milik Allah dan apa yang ada pada kita hanyalah sebagai pinjaman sahaja.

Ucapan “La ilaha illa Allah” merupakan syahadah (pengakuan) kita akan betapa hanya Allah Subhanu wa Ta’ala sahajalah sebagai satiu-satunya Zat yang wajib dan selayaknya kita sembah tanpa boleh kita menyekutukanNya dengan sesuatu apa pun. Kalimah ini bukan sahaja merupakan penolakan kita terhadap tuhan-tuhan selain Allah namun ia juga merupakan penolakan kita terhadap produk-produk selain hukum Allah. Hanya hukum Allahlah yang wajib kita jadikan aturan di dalam diri, keluarga, masyarakat, Negara dan dalam kehidupan kita, bukan yang lainnya. Kita juga mengakui bahawa segala janji Allah adalah benar. Syurga, neraka, dosa, pahala, nikmat, azab semuanya pasti akan kita rasai mengikut amalan masing-masing apabila kita mati suatu hari nanti.

Seterusnya Allah menerangkan bahawa Dia telah memuliakan tenteranya dan memberikan kejayaan ke atas mereka dengan dikalahkan tentera Kafir Ahzab dengan keEsaanNya. Dalam Perang Ahzab, kita mendapati bahawa pihak kaum Muslimin telah terkepung dengan pasukan gabungan kafir Quraish dan Yahudi dan mereka telah nekad ntuk menyerang Rasulullah dan kaum Muslimin. Maha Perkasa Allah yang telah menurunkan ribut pada malam itu yang telah memecah dan memporak-porandakan barisan musuh dan segala kelengkapan serta peralatan mereka. Akhirnya kaum kafir telah berjaya dikalahkan semata-mata dengan kekuatan dan pertolongan Allah yang Maha Esa.

Inilah di antara janji Allah kepada kaum Muslimin yakni kemenangan kepada mereka yang menolong agamaNya. Kuat mana sekalipun golongan yang menentang agama Allah, sesungguhnya amat mudah bagi Allah untuk menghapuskan mereka. Syaratnya, kaum muslimin itu sendiri hendaklah terlebih dahulu menolong agama Allah swt. Firman Allah swt:

“Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu”(Surah Muhammad: 7)

Maa’syaral Muslimin Wa Zamratal Mukminin,

Wahai kaum Muslimin! Tanyalah diri kita adakah kita telah benar-benar menolong agama Allah? Adakah kita telah berusaha menegakkan agama Allah? Adakah kita telah bergerak untuk berdakwah kepada umat Islam dan para pemimpin yang menerapkan hukum jahiliyyah, hukum taghut sekarang ini? Adakah kita telah menyahut seruan Allah dan RasulNya dan berusaha untuk merubah hukum kufur yang penuh dengan rasuah, riba, mungkar, maksiat, penindasan, kezaliman, kejahilan, penipuan yang ada sekarang dengan menggantikannya dengan hukum ciptaan Allah yang adil, makmur dan mengambil berat halal dan haram? Atau adakah kita hanya memilih untuk mementingkan dunia dan berdiam diri dengan sistem kufur yang sedang mengawal kita sekarang? Atau kita memilih jalan yang lebih hina dan keji untuk bersama menyokong dan mempertahankan sistem kufur ini demi habuan dunia yang kita harapkan?

Sedarlah wahai kaum Muslimin! Takutlah kita kepada Allah yang akan mengazab kita di atas segala dosa-dosa kita kerana tidak menolong agamaNya. Kita membiarkan anak, isteri, ahli keluarga, masyarakat, dan rakyat Malaysia menjadi penagih dadah, penyamun, perompak, perogol, pembunuh, pelacur, penyanyi, penari, mat rempit, kaki lepak, kaki arak, kaki perempuan, kaki rasuah, kaki judi dan sebagainya! Apa kita hendak jawab apabila kita di soal di hadapan Allah s.w.t di padang Mahsyar nanti.

Saudaraku Kaum Muslimin Yang Berbahagia,

Kita sering mendengar dan memperkatakan bahawa Eidul Fitri merupakan Hari Kemenangan kepada mereka yang berpuasa. Benar, kita tidak menafikan kenyataan ini dilihat dari konteks pencapaian setelah berpuasa itu sendiri. Persoalannya, apakah umat Islam itu telah mendapat kemenangan sebagaimana yang Allah perintahkan? Apakah umat Islam itu benar-benar telah mencapai kemenangan sebagaimana kemenangan yang telah dicapai oleh Rasulullah dan para sahabat? Apakah kemenangan setelah berpuasa sebulan merupakan kemenangan hakiki umat Islam sehingga tidak ada lagi perjuangan untuk mencapai kemenangan sesudah itu? Apakah Takbir Kemenangan yang kita laungkan tidak mengingatkan kita tentang kemenangan yang telah diberikan oleh Allah kepada Rasulullah dan para Khulafa’ setelah mereka berjaya menguasai dunia dan menerapkan hukum Allah di atasnya?

Rasulullah dan para sahabat berpuasa dan mereka berdakwah untuk menyebarkan agama Allah. Mereka berpuasa dan mereka berjihad untuk menyebarluaskan Islam. Mereka berpuasa dan mereka pastikan bumi ini tidak diperintah kecuali dengan hukum Allah semata2. Mereka berpuasa dan mereka pastikan agama Allah adalah agama yang menakluki dunia. Rasulullah dan para sahabat berpuasa dan mereka benar-benar berjuang memastikan kemenangan Islam dan kaum Muslimin. Inilah kemenangan hakiki umat Islam sebagaimana yang telah ditunjuk dan diperintahkan oleh Rasulullah swt. Bukan sekadar kemenangan di dalam menunaikan ibadat berpuasa semata-mata. Hari ini ramai yang berpuasa tetapi murtad, syirik, melakukan khurafat, bid’ah, tidak sembahyang, tidak tutup aurat, berpakaian seksi dan ketat, menghalalkan pergaulan bebas, sentiasa asyik dan tergoda dengan hiburan dan maksiat.

Periksalah dengan hati yang ikhlas, adakah takbir yang kita ucapkan ini sama sebagaimana takbir yang diucapkan oleh Rasululluah saw? Sebahagian kita bertakbir dengan penuh perasaan didalam masjid, tetapi apabila keluar masjid kita takabbur kepada Allah, Kita berhukum dengan hukum sekular, menjadikan barat sebagai tuhan,, berjuang bermati-matian mempertahankan demokrasi ciptaan Barat, memperjuangkan sekularisme, liberalisme, kapitalisme, assabiyyah(semangat bangsa), wathaniyyah (semangat kenegaraan) dan sebagainya. Kita mengagungkan kekayaan, kekuasaan dan kedudukan dengan meninggalkan syariat Allah swt. Sehingga ada umat Islam yang menjadikan hawa nafsu dan syaitan sebagai ikutan kerana terlalu mementingkan dunia dan takut kehilangan nikmat dunia yang sedikit sehingga lupa akan nikmat akhirat yang tidak terbatas. Marilah sama2 kita kembali kepada fitrah dengan menginsafi dan memikirkan segala kesalahan yang pernah kita lakukan serta segera bertaubat kepada Allah sebelum ajal datang menjemput kita.

Kaum Muslimin Yang Dimuliakan,

Dalam Islam tidak ada hari raya dalam konteks yang difahami oleh orang Melayu iaitu berseronok dan berhibur yang melampaui batas. Yang ada hanyalah hari untuk bersyukur, memuji, memuja dan membesarkan Tuhan.

Selama 11 bulan dalam setahun, manusia bergelumang dengan nafsu dan dunia. Selama itu jugalah fitrah manusia dicemari, dikotori dan dirosakkan. Fitrah manusia kian bertambah lemah dan tidak bermaya. Dengan rahmat dan kasih sayang Tuhan, dikurniakan-Nya satu bulan dalam setahun iaitu bulan Ramadhan untuk kita berpuasa supaya fitrah manusia yang telah lemah itu dapat dibersihkan, disuci dan dikuatkan semula. Supaya kerakusan nafsu itu dapat ditekan dan diimbangi. Kalau tidak, nafsu akan bertambah-tambah rakus sampailah manusia itu mati. Dia akan mati dalam keadaan nafsunya yang bermaharajalela. Bagi orang Islam, kalau dia hidup selama 50 tahun selepas akil baligh, nafsunya akan dibersih dan fitrahnya dikuatkan sebanyak 50 kali dan selama 50 bulan. Ini banyak membantu mengawal nafsunya. Itulah rahmat Tuhan. Ia tidak berlaku pada orang kafir.

Kalau fitrah sudah rosak dan kotor, manusia akan lupa Tuhan. Bila Tuhan sudah dilupakan, jiwa manusia akan mati. Jiwa manusia tidak boleh hidup tanpa Tuhan dan tanpa rasa bertuhan. Manusia yang telah mati jiwanya tidak boleh lagi berperanan sebagai insan kerana keinsanannya telah rosak. Nafsunya akan bermaharajalela. Dia akan terangsang hanya dengan dunia dan akan benci akhirat. Dia akan suka dengan apa yang Tuhan benci dan akan benci dengan apa yang Tuhan suka. Dia akan mengangkat nafsunya menjadi Tuhan. Akhirnya hidupnya di dunia menjadi punah ranah dan di akhirat nanti akan bakal dicampakkan ke dalam neraka Allah s.w.t. Nauzubillahi min zaalik…


DISEDIAKAN OLEH:
USTAZ MUHAMAD NAIM BIN HASHIM
9 OKTOBER 2007=27 RAMADHAN 1428h

#TIADA HAK CIPTA DALAM ISLAM#

KEPADA PEMBACA SEKELIAN, ANDA BOLEH COPY, PRINT DAN SEBARKAN KEPADA SELURUH UMAT ISLAM DEMI MEMBINA UMMAH YANG BERILMU, BERIMAN DAN BERAMAL.

"SAMPAIKAN OLEHMU WALAUPUN SATU AYAT" (HADIS)











Selasa, 2 Oktober 2007

Beberapa Cara Untung Atas Angin

Beberapa Cara Untung Atas Angin Dalam Urusan Pegawai Syarikat

Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
http://www.zaharuddin.net/

Tajuk utama surat khabar New Straits Times pada 11 September 2007 memaparkan isu pembelian beberapa peralatan untuk kementerian tertentu dengan harga luar biasa.
Hal ini terbongkar apabila pihak Ketua Audit Negara melakukan tugasnya dengan telus dan baik, lalu mendedahkan penyelewengan ini.
Antara yang diketengahkan oleh media ini adalah :-

1) Buku yang sepatutnya berharga RM 417 menjadi RM 10,700.
2) Screwdriver yang sepatutnya berharga RM 32 menjadi RM 224.
3) Set lengkap komputer meja (desktop) yang sepatutnya berharga RM 174,811 menjadi RM 3.06 juta (Kementerian Belia & Sukan).
4) Karipap yang sepatutnya berharga 30 sen satu menjadi RM 3 bagi satu karipap.
5) Dua kamera 3.1 Megapixel yang sepatutnya berharga RM 2,990 menjadi RM 8,254.
6) Faber Castell pens yang sepatutnya berharga RM 160 menjadi RM 1,146.56.
7) Dua krane yang sepatutnya berharga RM 2.98 juta menjadi RM 5.72 juta.

Secara mudahnya kita dapat mengagak bahawa kes di atas berlaku disebabkan oleh salah satu sebab berikut :-
· 1) Penipuan oleh pegawai bertanggungjawab yang mengambil keuntungan atas angin.
· 2) Rasuah menyebabkan harga termasuk harga bayaran rasuah.
· 3) Salah teknikal dan pengiraan.

Menurut Islam, jika ia berlaku dengan sebab item 1 dan 2, sudah tentu hukumnya haram. Dalil pengharaman rasuah adalah :-

1) Firman Allah s.w.t
وَلاَ تَأْكُلُواْ أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُواْ بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُواْ فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ
Ertinya : " Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui." ( Al-Baqarah : 188 )

2) Disebutkan dalam hadith :-
لَعَنَ رسول اللَّهِ الرَّاشِيَ وَالْمُرْتَشِيَ في الْحُكْمِ
Ertinya : "Rasulullah s.a.w telah melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah dalam hukum" ( Riwayat At-Tirmidzi, 3/622 : Imam Tirmidzi berkata : Hadis Hasan Sohih)
Manakala dalil pengharaman penipuan juga sangat jelas dalam urusan perniagaan secara umum, iaitu :-

1) Sebuah hadis :-
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ مَرَّ على صُبْرَةِ طَعَامٍ فَأَدْخَلَ يَدَهُ فيها فَنَالَتْ أَصَابِعُهُ بَلَلًا فقال ما هذا يا صَاحِبَ الطَّعَامِ قال أَصَابَتْهُ السَّمَاءُ يا رَسُولَ اللَّهِ قال أَفَلَا جَعَلْتَهُ فَوْقَ الطَّعَامِ كَيْ يَرَاهُ الناس من غَشَّ فَلَيْسَ مِنِّي
Ertinya : "Pada suatu hari Rasulullah s.a.w. pernah melalui seorang laki-laki yang sedang menjual makanan (biji-bijian). Baginda sangat mengaguminya, kemudian memasukkan tangannya ke dalam tempat makanan itu, apabila dilihatnya makanan itu nampak basah, maka bertanyalah beliau: Apa yang dilakukan oleh pemilik makanan ini? Ia menjawab: Kena hujan. Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Mengapa tidak kamu letakkan yang basah itu di atas, supaya orang lain mengetahuinya?! barangsiapa menipu , bukanlah (mereka) dari golongan kami (Islam)" (Riwayat Muslim, 1/99)

2) Pernah juga di riwayatkan bahawa :-
إن الله إذا حرم شيئا حرم ثمنه
Ertinya : Sesungguhnya Allah apabila telah mengharamkan sesuatu maka akan haram jugalah harga jualan (keuntungan yang terhasil dari yang haram) ( Ar-Rawdu Al-Murabba', 2/30 ; Riwayat Ibn Hibban, 11/312 )

3) Nabi SAW juga pernah mencela orang Yahudi yang apabila diharamkan memakan daging babi dan lain-lain, mereka membuat helah dengan mengambil lemaknya dan dihiaskan lalu dijualnya. Apabila Nabi mendapat tahu lalu terus berkata :-
قَاتَلَ الله الْيَهُودَ حُرِّمَ عليهم الشَّحْمُ فَبَاعُوهُ وَأَكَلُوا ثَمَنَهُ
Ertinya : "Allah akan menghancurkan Yahudi yang mana mereka ini apabila Allah mengharamkan makan lemak (babi, bangkai dan lain-lain yang diharamkan), lalu mereka membuat helah dengan menjualnya serta menikmati hasil jualannya" ( Riwayat Al-Bukhari no 2111, 2/775 ; Muslim, Baihaqi )

Hasil dari kumpulan hadis ini, bentuk tindakan yang dilakukan seperti adalah HARAM dari sudut hukum Islam jika ia benar-benar dilakukan atas dasar penipuan dan rasuah. Manakala, jika berlaku atas kesilapan teknikal, ia tidak termasuk dalam kesalahan dari sudut hukum. Ia hanya kelemahan pengurusan dan tindakan bergantung kepada pihak berwajib.

Beberapa Bentuk Lagi

Menerusi email dan soalan yang kerap saya terima, berikut adalah antara beberapa bentuk untung atas angin dan penyelewengan yang kerap berlaku dalam industri kerja samada kerajaan, swasta, NGO, Persatuan, sekolah, Parti Politik dan lain-lain organisasi :-

1) Rasuah dalam memilih : Pegawai yang bertanggungjawab memilih kontraktor untuk iklan, pembersihan, latihan dll untuk syarikat atau organisasinya. Pihak pegawai memilih syarikat 'Z' dari empat syarikat lain yang menghantar 'quotation' kerana oleh syarikat 'Z' itu berjanji memberikannya sedikit imbuhan 'ikhlas'.
Hukum : Ia adalah haram dan rasuah dalam Islam.

2) Mencipta 'quotation' sendiri : Pegawai atau kumpulan pegawai yang diberi kuasa membuat pemilihan kontraktor untuk syarikat. Dia atau mereka sepakat untuk memberinya kepada satu syarikat yang mereka kenali bukan kerana kualiti dan harganya tetapi kerana sebab-sebab lain. Disebabkan oleh prosedur syarikat yang memerlukan terdapat 'quotation' dari minimum daripada empat buah syarikat. Pegawai ini telah mencipta beberapa 'quotation' dari syarikat yang tidak wujud bagi menunjukkan
Hukum : Haram kerana menipu.

3) Menaikkan Harga : Pegawai diminta oleh majikan untuk mencari pembekal bahan mentah, pegawai berjaya mencari dengan harga RM 1500 tetapi menaikkannya kepada RM 2000, lalu baki RM 500 diambilnya.
Hukum : Ia adalah haram sepakat ulama.

4) Menang Tender Bersyarat : Pelaburan Pegawai diminta oleh majikan mencari kontraktor untuk 'renovation' pejabat atau apa jua aset syarikat. Pegawai telah mengempen syarikat 'B' kepada majikan disebabkan dia telah mempunyai perjanjian di sebalik tabir dengan pihak syarikat "B' yang memberikannya izin untuk melabur wang peribadinya dalam syarikat 'B' dengan kadar keuntungan mengikut Islam 'kononnya'. Padahal, jika tiada peluang 'melabur' itu, sudah pasti pegawai tidak akan mengempen syarikat 'B'.
Hukum : Tindakan sebegini adalah haram dalam Islam dan ia termasuk dalam rasuah bentuk baru dan berselindung disebalik aktiviti pelaburan Islam.

5) Tuntutan Palsu : Pegawai membeli barang keperluan syarikat atau mengisi minyak dengan harga tertentu tetapi berpakat dan memohon pembekal atau stesyen minyak mengeluarkan resit dengan jumlah berbeza dari jumlah pembeliannya. Berbekalkan resit itu, pegawai membuat tuntutan kepada syarikat dengan harga berlipat kali ganda. Ini yang berlaku dalam kes-kes di atas.
Hukum : Ia adalah haram menurut Islam kerana penipuan kepada syarikat. Pihak pembekal juga berdosa kerana dikira bersubahat mengeluarkan resit berjumlah palsu itu.

6) Resit Harga Ciptaan : Pegawai membeli barang untuk kegunaan syarikat dari satu kedai, dan kedai tersebut enggan bekerjasama untuk menaikkan harga dalam resit. Bagi meraih keuntungan, pihak pegawai telah mencipta resit sendiri berserta cop palsu.
Hukum : Ia adalah haram dalam Islam kerana penipuan.

7) Ambil Untung Sendiri : Pegawai diberi oleh syarikat 'budjet maksima' sebanyak RM 5000 untuk membeli satu barangan keperluan syarikat. Pegawai berjaya mencari di pasaran terbuka barang yang diperlukan dengan harga RM 4000 sahaja. Bagi mendapat manfaat, si pegawai telah berpakat dengan penjual agar dituliskan harga RM 5000 dalam invoice dan baki RM 1000 hendaklah diberi kepadanya.
Hukum : Ia adalah haram kerana penipuan dan wang khianat sebagaimana yang disebut oleh Nabi Muhammad s.a.w. Bagaimanapun, jika ia berterus terang dengan majikan sambil memohon sebarang insentif atas kejayaannya mengurangkan kos syarikat kerana kecekapannya mencari barang yang lebih murah, tatkala itu, majikan harus memberikannya jika ia tidak menyalahi mana-mana undang-undang syarikat. Jika tidak, majikan akan mengambil kira kejayaan itu dan membayarnya dalam bonus dan kenaikan gaji apabila sampai waktunya sahaja.

8) Guna Khidmat Syarikat Sendiri : Soalannya seperti berikut : - "Saya bekerja dengan majikan, dalam masa yang sama membuat perniagaan membekal barang-barang untuk majikan menggunakan syarikat saya tanpa pengetahuan majikan?"
Hukum : Ia lebih cenderung kepada hukum haram terutamanya jika anda menggunakan kuasa anda sebagai pegawai yang diberi tanggungjawab untuk mempengaruhi keputusan pemilihan pembekal.

Walaubagaimanapun jika majikan telah diberitahu dan mereka bersetuju tanpa sebarang syarat-syarat seperti rasuah seperti 'mesti memberikan komisyen kepadanya pula' ; maka ia boleh dikira harus dan halal, terutamanya apabila syarikat anda memang punyai kualiti dan mampu menawarkan harga kompetitif berbanding syarikat pembekal lain.

Wang Yang Diperolehi Dari Kerja Yang Telah Diberi Gaji

Saya faham, ramai yang cuba mendapatkan 'side income' dari cara-cara yang disebut di atas, sambil melakukan tugasannya yang wajib. Ingatlah dua hadis berikut :-

a) Nabi bersabda : " Barangsiapa yang telah kami ambil untuk melakukan sesuatu kerja, dan telah ditetapkan baginya sesuatu rezeki (gaji atau upah), maka apa yang diambilnya selepas itu adalah ghulul (pengkhianatan) " ( Riwayat Abu Daud, no 2943, Albani : Hadith Sohih ; Ma'alim as-Sunan, Al-Khattabi, 3/8 cet Dar Kutub Ilmiah)

b) Nabi bersabda kepada seorang gabenornya yang telah ditugaskan mengutip zakat kabilah Azad, maka apabila ia selesai kerjanya dan kembali berjumpa Nabi, lalu ia menyimpan sebahagian dari wang yang dikutip sambil berkata : "ini untukmu ( bahagian untuk Islam) dan ini untukku yang diberikan sebagai hadiah (oleh orang ramai), maka jatuh murka Baginda sambil bersabda :" Ketahuilah, pergilah kamu duduk di rumah bapamu atau ibumu, sehingga datang kepadamu hadiahmu, jika kamu benar-benar betul (layak mendapat hadiah)" ( Al-Bukhari & Muslim )

Sebagai akhirnya, banyak sungguh soalan seperti kes-kes di atas sampai kepada saya. Malangnya amat ramai juga yang terlibat tanpa memikirkan halal haram tindakannya. Hanya berbekalkan keyakinan tanpa ilmu dan palsu, mereka meraih keuntungan untuk digunakan oleh diri dan keluarga. Pastikan ia akan memberikan padah baginya di dunia dan akhirat, selain menjadi punca doa menjadi pudar dan tidak ingin didiengari oleh Allah s.w.t.

Penutup

Nabi Muhammad mengingatkan kesan harta haram terhadap munjat dan doa seseorang :-
الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إلى السَّمَاءِ يا رَبِّ يا رَبِّ وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ
Ertinya : menyebut tentang seorang pemuda yang bermusafir dalam perjalanan yang jauh, hal rambutnya kusut masai, mukanya berdebu di mana dia mengangkat tangan ke langit : Wahai Tuhanku...wahai Tuhanku... sedangkan makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram..Dan dia dibesarkan dengan memakan makanan haram maka bagaimana Kami mahu mengabulkan doanya. ( Riwayat Muslim, no 1015, 2/703 ; hadis sohih)
sekian

BERIKUT ADALAH PETIKAN BERITA NST:-
CYBERJAYA: The Finance Ministry has taken the lead to get to the bottom of inflated prices for procurement of products and mismanagement of funds.
Second Finance Minister Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yesterday ordered all departments in the Treasury to prepare detailed reports on the cases highlighted in the Auditor-General's Report which involved them."The departments have been asked to prepare the report almost immediately and we will respond in the quickest manner."He was responding to a call by Deputy Prime Minister Datuk Seri Najib Razak that the relevant ministries mentioned in the report must respond to the findings.Nor Mohamed said the call made by Najib was timely and appropriate, and all ministries must adhere to it.
"In my ministry, the Customs Department was mentioned, so this will be given focus," he said after launching the Cyberjaya Dedicated Transportation System here.The report issued last Friday highlighted several cases where public funds were misused by government agencies.Non-governmental organisations (NGOs) which do not qualify have been given funds by some ministries, while two helicopters worth RM117.75 million bought for the police air wing could not be used as they did not meet specifications.It said that in 2002, the government paid RM8.39 million more than the market price for the purchase of 13 items for the National Youth Skills Institutes programme. The 13 items included technical books consisting of 10 titles priced at RM10,700 per set when they could be purchased for RM417. A total of 17 sets of books were ordered.Also two 3.1 megapixel digital cameras were bought for RM8,254 each when they were available for RM2,990 each.
The government also paid RM224 for a set of four screwdrivers which would cost only RM40 in the market and RM1,146.56 for a set of Faber Castell technical pens instead of the RM160 market price.
International Trade and Industry Minister Datuk Seri Rafidah Aziz said bidders of government projects should not mark up their prices as they were squandering people's money.
She said suppliers of products and services to government agencies should have integrity and be ethical in conducting their business.
"Please keep in mind it is the people's money. I understand that businessmen want to make profits, which is not wrong, but do so reasonably."For instance, it is ridiculous to pay RM3 for a curry puff whereas you can get it at 30 sen."What kind of curry puff costs so much?" she asked after chairing the Wanita Umno exco meeting yesterday.
Rafidah, who is also Wanita Umno chief, was baffled as to why it cost more to buy in bulk.
"Normally, bulk purchases should be cheaper." She also said government officers who were dealing with tenders and financial matters should scrutinise individual prices and make comparisons before deciding on the purchase.
Rafidah said those caught misusing funds in her ministry would be dealt with swiftly and strict procedures were in place to prevent mismanagement.In Kota Kinabalu, human rights and consumerism activist Datuk Prof Dr Hamdan Adnan lauded the exposure of the inconsistencies in public fund management detailed in the report.
Baring the problems had reflected the government's transparent administrative policy in managing the people's money, he said.
"Since the report has revealed obvious mismanagement of public funds, I feel the Anti-Corruption Agency should be brought in to investigate those responsible." Hamdan said firm measures must be taken against both the parties that were responsible in the purchase and the suppliers so that the problems would not recur. "Usually the government will buy in bulk which is supposed to be cheaper. "Based on the report, it is clear that the price tags were unreasonable," he added


KOMEN USTAZ NAIM:

Ini menunjukkan bahawa MALAYSIA DARUL RASUAH.
Daripada pihak bawahan sehinggalah kepada pihak atasan terlibat dengan rasuah.
Rasuah bukan satu tradisi atau adat yang dibenarkan tetapi merupakan satu jenayah dan maksiat dalam agama Islam.
Oleh itu marilah kita sama2 berjihad menentang rasuah dan golongan yang terlibat dengan rasuah. RASUAH ADALAH KEMUNGKARAN.
Berjihad menentang kemungkaran adalah wajib bagi seluruh umat Islam.
HAPUSKAN KEMUNGKARAN (RASUAH), DAULATKANLAH HUKUM ISLAM YANG PENUH DENGAN KEADILAN DAN KEMAKMURAN.Wallahua'alam