Sahabat Ilmu

Rabu, 30 Januari 2013

-TIADA TAAT DLM MAKSIAT-


 "Drpd Sayyidina 'Ali berkata, Rasulullah saw tlh bsabda yg bmaksud: Tidak ada ketaatan sama sekali kpd makhluk dlm kemaksiatan terhadap Allah swt"
(HR Imam Ahmad)
 
 

MUHASABAH JIWA



"Setiap pencinta merasa cinta, namun cintanya tidak akan sama antara satu sama lain melainkan cinta kpd ALLAH"
 
 

Selasa, 29 Januari 2013

MUHASABAH JIWA


"Hidup ini indah bila mehnah melanda..bila hati redha tanpa dipaksa...jiwa menangis bila dipuja...itulah jiwa insan yang merdeka bergelar HAMBA..."

 

AURAT - KEWAJIPAN MENUTUPNYA DENGAN BETUL



Ciri Isteri Solehah Yang Didambakan Suami

 
Sebenarnya menjadi seorang isteri lebih mudah untuk mendapatkan keredhaan dan ganjaran di sisi Allah sekiranya seorang perempuan yang berstatus isteri benar-benar menjalankan tanggungjawab dan peranannya dalam keluarga. Menjadi isteri solehah menuntut waktu kerja 24 jam sehari dan 7 hari seminggu.
Mana mungkin tugas berat ini diletakkan pada bahu
seorang suami. Oleh sebab itu sebagai isteri perlu tahu bagaimana cara untuk menjadi seorang wanita yang menjadi dambaan suami, kerana bidang tugas seorang isteri sebenarnya lebih besar berbanding lelaki walau isteri tidak mendapat kuasa veto dalam keluarga.

Ciri-ciri di bawah ini akan menjadikan anda wahai isteri-isteri, seorang yang bakal disayangi sepenuhnya oleh suami. Tetapi dengan syarat anda mesti cuba untuk menjadikannya kenyataan.

1. Isteri yang cerdik

Dengan erti kata bukan cerdik dari sudut akademik. Gulungan ijazah bukanlah kejayaan yang perlu anda tonjolkan untuk menjadi isteri dambaan suami. Isteri yang cerdik akan benar-benar mengenali siapakah suaminya, tahu bagaimana mengambil hati suami di waktu sedih, pandai
mengangkat suami di pandangan orang lain, tidak hanya merajuk untuk mendapat perhatian dari suami. Wahai isteri-isteri anda sebenarnya mampu lakukan ini!

2.’Assistant’ dalam pengurusan kewangan keluarga

Jangan menjadi
seorang isteri yang hobinya suka shopping. Anda sebenarnya mula memeningkan suami. Lebih-lebih lagi bajet kewangan suami anda adalah di luar kemampuannya. Sebagai seorang isteri andalah yang menjadi pembantu dalam perancangan ekonomi keluarga. Anda mungkin membantu jika anda juga bekerja. Tetapi bagaimana jika anda suri rumah sepenuh masa? Jika anda tidak berkemampuan untuk membantu meningkatkan ekonomi keluarga, biarlah sekurang-kurangnya anda menjadi pengurus yang bijak terhadap bajet bulanan yang diberikan oleh suami anda.

3. Manager dalam segala hal

Suami diberikan kuasa untuk memimpin kerana suami lebih rasional dalam membuat keputusan. Tetapi tidak dapat menguruskan semua perkara tanpa adanya isteri. Maka andalah wahai isteri-isteri yang perlu menjadi ‘manager’. Makan pakai suami, anak-anak, kebersihan rumah, perbelanjaan rumah dan perkara-perkara kecil yang diperlukan dalam kehidupan berkeluarga tidak akan dapat diuruskan tanpa bantuan isteri. Anda perlu mula memahami hakikat ini kerana sekiranya anda mampu menguruskan semuanya dengan cekap dan baik maka sudah pasti apabila suami anda pulang dari bekerja, beliau akan memberikan senyuman yang sempurna kerana menghargai anda.

4. Selalu di belakang suami
Ramai isteri mengharapkan suami berada selalu di samping mereka. Tetapi mereka terlupa bahawa ramai suami lari dari isteri kerana isteri mereka tidak pernah berada di belakang mereka. Seorang isteri perlu menjadi penenang kepada suami, berikan suami kata-kata semangat dan pelukan di saat emosi mereka jatuh. Sekiranya anda mampu berbuat demikian, percayalah bahawa tidak akan ada wanita lain di mata suami anda. Berikan sokongan dan galakan walaupun mungkin ada perbezaan pada minat dan hobi anda berdua.

5. Menjaga perut suami dan anak-anak

Yang ini seharusnya seorang isteri tidak dapat tidak mesti tahu memasak. Bahkan kalau mahukan kasih sayang lebih dari suami kena tahu apa masakan kegemaran
suami. Walaupun mungkin masakan anda tidak sehebat masakan chef, tetapi hakikatnya suami tetap mahukan air tangan isterinya dalam menyediakan makanan. Tangan seorang isteri sudah tentu bukan sahaja menyediakan yang terbaik dalam menu untuk keluarganya, tetapi juga sudah pasti isteri yang hebat akan berdoa untuk setiap usaha menyediakan makan minum suaminya.

6. Pandai jaga diri

Isteri perlu pandai jaga diri dan famili. Maklumlah mungkin ada ketikanya suami ‘out station’ kerana berkursus atau atas urusan kerja yang lain. Maka sudah tentu isteri yang pandai jaga diri dan famili akan memberikan kelegaan di hati suami.

7. Perunding imej

Kalau suami anda nampak hensem di pejabat, sebenarnya isterilah yang mendapat pujian. Terutama di pandangan mata orang-orang tua. Sebab itu isteri perlu tahu menjaga imej suami. Bila digelar sebagai perunding imej suami, maka isteri juga perlu lebih-lebih lagi pandai mengurus imej diri. Jangan hanya nampak cantik ketika berada di luar rumah, sedangkan ketika di rumah baju T-shirt dan kain batik menjadi pakaian utama. Cuba ubah situasi ini jika anda ingin menjadi isteri dambaan suami anda.

8. Menjaga keluarga mertua

Tidak dapat tidak untuk menjadi isteri dambaan suami, jangan hanya menyayangi suami anda akan akan bahagia. Anda perlu menjaga hati semua ahli keluarga sebelah suami anda. Percayalah anda benar-benar menjadi dambaan suami apabila anda mengambil berat tentang sakit demam mertua anda. Anda menjaga mertua anda seperti ibu kandung sendiri. Kerana itu semua akan membuatkan suami anda rasa dihargai dan menerima dirinya dan keluarganya.
 
-Ditulis Oleh Motivator Cinta-

Rabu, 23 Januari 2013

MUHASABAH DIRI

Ramai orang yang nampak hebat dari sudut ilmu,
hujjahnya bernas,
ideologinya kemas,
pemikirannya superb..
namun tiada nilai jika solatnya bermasalah
dan akhlaknya menyakitkan orang...

Ilmu yg tak beri kualiti pd solat
dan hujajh bernas yg tak mendidik akhlak,
maka ALLAH tak pandang..
apatah lagi manusia...
 
Selamat Bermuhasabah..

SEDUTAN KULIAH MAGHRIB DI SURAU AL-HIDAYAH(22/1/2013)

Hadis ke-16 (Kitab Hadis 40 an-Nawawi)

Daripada Abu Hurairah r.a bahawa seorang lelaki telah berkata kepada nabi SAW yang maksudnya: Berwasiatlah kepada ku. Sabda Rasulullah SAW: Jangan kamu marah. Maka lelaki itu mengulangi kata-katanya berulang kali. Sabda Rasulullah SAW: Jangan kamu marah..(Hadis Riwayat Bukhari)

Huraian Hadis:

MARAH ADALAH PINTU MASUK SYAITAN

Ketika membicarakan berkenaan pintu-pintu yang digunakan oleh syaitan untuk masuk dan menguasai hati manusia, Imam Ghazali menyenaraikan marah adalah pintu yang pertama. Apabila diteliti kes-kes seperti memukul isteri atau anak dengan cara yang melampau, perceraian ataupun meminta cerai, khianat, sabotaj, sihir dan banyak lagi perbuatan negatif memperlihatkan seolah-olah mereka telah lupa akan kewujudan dosa pahala. Realitinya semua ini berlaku apabila seseorang itu berada dalam keadaan marah dan tidak mampu mengawalnya.

Hasan al-Basri pernah berkata: Empat perkara jika sesiapa memilikinya maka Allah memeliharanya daripada syaitan dan mengharamkan ke atasnya api neraka: (iaitu) Sesiapa yang mampu mengawal dirinya ketika dalam keghairahan, ketakutan, syahwat dan kemarahan.

Baginda Rasulullah saw pernah dilempar batu hingga berdarah tubuhnya, pernah diludahi, pernah dilempar dgn kotoran/najis, dikatakan gila, pendusta, tukang sihir, dan sebagainya. Bahkan baginda juga pernah hampir dibunuh. Namun semua itu bagindahadapi dengan sabar, ikhlas&tidak marah.

'Aisyah r.anha berkata: “Rasulullah Shallallahu ‘'Alaihi wa Sallam tidak pernah marah jika disakiti. Tetapi jika hukum Allah dilanggar, maka baginda akan marah kerana Allah.”HR. Muslim (6195), Ahmad (25200), Ath-Thabarani dalam Al-Awsath (7866), Al-Baihaqi dalam Ad-Dala`il (248).

Demikianlah Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam, baginda tidak pernah marah jika dirinya disakiti. Akan tetapi, tidak demikian halnya apabila yang disakiti adalah Allah. Dalam erti kata, apabila hukum Allah yang dilanggar, maka beliau akan menjadi sangat marah...
 
(bersambung pd kuliah berikutnya pd Selasa minggu 4 bln Feb 2013, insyaallah)

Isnin, 21 Januari 2013

Hukum Guna Tali Hitam Rawat Muntah

Soalan:
Assalamu'alaikum...Saya melawat seorang tua yang sedang demam. Saya terpandang ada tali hitam seperti tali kasut yang tergantung pada tengkuk dia. Apabila saya bertanya kepada dia, tali hitam tersebut adalah petua orang- orang tua dahulu. Katanya dia baru buat pada cucunya dan didapati sembuh penyakit muntah tersebut. Apakah ia boleh diterima di dalam Islam?

Jawapan:

1. Berubat menggunakan tali hitam seperti yang ditanya adalah termasuk di dalam berubat dengan tangkal yang DILARANG di dalam Islam. Sila rujuk:
Hukum Tangkal

2. Tali hitam tidak dapat menyembuhkan sebarang penyakit, tiada sebarang kaitan perubatan yang boleh difahami antara tali hitam dengan sesuatu penyakit, melainkan ia dibina di atas kepercayaan yang karut. Akal yang waras sahaja sudah tentu menolak perkara ini, apatah lagi agama yang sentiasa memusuhi perkara-perkara karut.

3. Pengalaman seseorang menggunakan sesuatu kaedah khurafat atau karut dan didapatinya berhasil tidak boleh dijadikan alasan dalam persoalan ini. Apatah lagi ia terbuka kepada tipu-daya syaitan yang sentiasa berusaha menjerat manusia dengan kesyirikan. Sebuah athar yang diriwayatkan daripada Zainab, isteri kepada ‘Abdullah bin Mas’ud RA ada menyebut:

كَانَ عَبْدُ اللَّهِ إِذَا جَاءَ مِنْ حَاجَةٍ فَانْتَهَى إِلَى الْبَابِ تَنَحْنَحَ وَبَزَقَ كَرَاهِيَةَ أَنْ يَهْجُمَ مِنَّا عَلَى شَيْءٍ يَكْرَهُهُ قَالَتْ وَإِنَّهُ جَاءَ ذَاتَ يَوْمٍ فَتَنَحْنَحَ، قَالَتْ: وَعِنْدِي عَجُوزٌ تَرْقِينِي مِنْ الْحُمْرَةِ فَأَدْخَلْتُهَا تَحْتَ السَّرِيرِ فَدَخَلَ فَجَلَسَ إِلَى جَنْبِي فَرَأَى فِي عُنُقِي خَيْطًا قَالَ: مَا هَذَا الْخَيْطُ؟ قَالَتْ: قُلْتُ: خَيْطٌ أُرْقِيَ لِي فِيهِ قَالَتْ: فَأَخَذَهُ فَقَطَعَهُ ثُمَّ قَالَ: إِنَّ آلَ عَبْدِ اللَّهِ لَأَغْنِيَاءُ عَنْ الشِّرْكِ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: "إِنَّ الرُّقَى وَالتَّمَائِمَ وَالتِّوَلَةَ شِرْكٌ" قَالَتْ: فَقُلْتُ لَهُ: لِمَ تَقُولُ هَذَا وَقَدْ كَانَتْ عَيْنِي تَقْذِفُ فَكُنْتُ أَخْتَلِفُ إِلَى فُلَانٍ الْيَهُودِيِّ يَرْقِيهَا وَكَانَ إِذَا رَقَاهَا سَكَنَتْ، قَالَ: إِنَّمَا ذَلِكَ عَمَلُ الشَّيْطَانِ كَانَ يَنْخُسُهَا بِيَدِهِ فَإِذَا رَقَيْتِهَا كَفَّ عَنْهَا إِنَّمَا كَانَ يَكْفِيكِ أَنْ تَقُولِي كَمَا قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
 "أَذْهِبْ الْبَاسَ رَبَّ النَّاسِ اشْفِ أَنْتَ الشَّافِي لَا شِفَاءَ إِلَّا شِفَاؤُكَ شِفَاءً لَا يُغَادِرُ سَقَمًا

Mafhumnya: Daripada Zainab isteri ‘Abdullah bin Mas’ud RA katanya: “Dahulunya ‘Abdullah apabila pulang dari menunaikan hajatnya, apabila sampai di pintu rumah dia akan berdehem dan meludah (sebagai isyarat) kerana tidak mahu dia mendapati kami dalam keadaan yang tidak disukainya. Kata Zainab: Suatu hari beliau pulang ke rumah, lalu berdehem, sedangkan bersamaku ada seorang wanita tua sedang menjampi kerana bengkak yang ada di badanku. Lalu aku menyembunyikan wanita tersebut di bawah katil, lalu beliau masuk ke dalam rumah dan duduk di sebelahku. Beliau terlihat di leherku simpulan benang, lalu bertanya: Benang apakah ini? Zainab menjawab: Benang yang dijampi untukku. Zainab bercerita: Lalu beliau mengambil dan memutuskannya dan berkata: Sesungguhnya keluarga ‘Abdullah semestinya bebas dari kesyirikan, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya tangkal dan pengasih adalah syirik. Kata Zainab lagi: lalu aku berkata kepadanya: mengapa kamu kata demikian? Sesungguhnya sebelum ini mata aku pernah mengalami kesakitan, lalu aku pergi berjumpa dengan seorang Yahudi, lalu dia menjampiku, setelah itu ia sembuh. Kata Ibn Mas’ud: Sesungguhnya demikian itu adalah perbuatan syaitan, dia yang menikam matamu dengan tangannya, apabila kamu menjampinya dia berhenti dari menikam. Sebaliknya hanya memadai, dengan engkau membaca seperti yang diajar oleh Rasulullah SAW:

أَذْهِبْ الْبَأسَ رَبَّ النَّاسِ اشْفِ أَنْتَ الشَّافِي لَا شِفَاءَ إِلَّا شِفَاؤُكَ شِفَاءً لَا يُغَادِرُ سَقَمًا

Mafhumnya: “Wahai Tuhan yang mencipta, yang memiliki dan mengatur urusan sekelian manusia, hilangkan kesakitan dan sembuhkanlah, sesungguhnya Engkau Tuhan Yang Maha Penyembuh, tiada penyembuhan melainkan penyembuhanMu, penyembuhan yang tidak meninggalkan kesakitan lain.” (HR Abu Daud 3883, Ibn Majah 3530, Ibn Hibban 1412, Ahmad 1/381. Dinilah Sahih oleh al-Albani di dalam al-Silsilah al-Sahihah 1/584)

Wallahu a’lam.

Posted by Ustaz Abdul Kadir (Bertugas di Jabatan Mufti Negeri Perlis)

Sabtu, 19 Januari 2013

#NASIHAT UNTUK DIRIKU DAN SAHABAT SEPERJUANGAN SEKELIAN#

SAHABAT2KU SEISLAM, SEMOGA SEMUANYA DIRAHMATI ALLAH,

HIDUP KITA CUMA DI DALAM MASA 3 HARI:

1. Semalam - Sudah menjadi sejarah
2. Hari Ini - Apa yang sedang kita lakukan
3. Esok - Hari yang belum pasti

Hisablah hari pertama semoga hari yang kedua kita lebih baik kerana mungkin ajal kita pada hari yang kedua.

HIDUP CUMA DALAM 2 NAFAS :

1. Nafas Naik
2. Nafas Turun

Hargailah Nafas yang naik kerana udara yang disedut adalah pemberian Allah secara percuma dan carilah keredhaanNya dalam menggunakannya.

Bertaubatlah dalam Nafas yang kedua kerana mungkin itu nafas yang terakhir keluar dari tubuh bersama Nyawa dan Roh untuk meninggalkan dunia yang fana ini.

HIDUP CUMA ADA 2 PILIHAN :

1. Hidup dalam keredhaan Allah
2. Hidup dalam kemurkaan Allah

HIDUP YANG ABADI CUMA ADA 2 TEMPAT :

1. Kekal di dalam neraka
2. Kekal di dalam syurga

Ingatlah kecelakaan neraka itu amat mengerikan dan kita hanya diyakinkan oleh keyakinan kita kepada rukun IMAN. Rukun Iman itu pula ada 6 dan hilang salah satu darinya maka hilanglah ia.

Kelazatan dan kesejahteraan syurga itu maha HEBAT. Tidak terduga oleh fikiran kita dan untuk mendapatkannya terjemahkan rukun ISLAM yang 5 itu dan puncaknya adalah SOLAT... Amat sukar untuk dipercayai bagi yang ingin ke SYURGA tetapi tidak bersolat, umpama seorang yang mahu menaiki kapalterbang tetapi tidak mempunyai BOARDING PASS.

Dan mereka yang sengaja melalaikan solat, umpama mengeposkan sepucuk surat tanpa melekatkan setem apabila ditanya bagaimana surat itu akan sampai pada penerimanya...lalu dia pun berkata setemnya akan dihantar kemudian. Ada 2 penyelesaian dalam kes ini:-

1. Dia mungkin didenda
2. Segala suratnya masuk tong sampah.

Oleh itu, tidakkah kita semestinya bersyukur atas segala nikmat yang Allah kurniakan kepada kita....Sekurang-kurangnya Allah telah beri udara secara percuma untuk kita berzikir mengingati Allah setiap detik dan ketika, hinggalah kita kembali kepada Allah dalam keadaan jiwa yang tenang...lalu masuk ke dalam syurga dalam keadaan kita redha dan Allah meredhai.

Wallahu taala a'lam.

Khamis, 17 Januari 2013

BEKERJA DI KEDAI MENJUAL ARAK

Soalan; Assalamualaikum...Saya ingin bertanya, apakah hukum seorang pekerja 7 Eleven yang menjual arak dan membayar hutang daripada hasil pendapatannya? Adakah hutang yang dibayar halal kepada penerima hutang?
Terima kasih...

Jawapan;

Bekerja di tempat sebegitu (yakni yang bercampur dengan yang diharam Allah) hukumnya adalah dilarang oleh agama kerana seorang muslim diperintahkan Allah agar menjauhi perkara yang haram dan tidak terlibat dalam membantu atau mempromosinya. Firman Allah (bermaksud); "Saling membantulah kamu dalam melakukan kebaikan dan takwa, dan janganlah kamu saling membantu dalam perkara dosa dan permusuhan" (al-Quran). Namun dari segi gaji/pendapatan, hendaklah dibezakan antara dua keadaan;

1. Pekerjaan yang haram dari asalnya kerana membabitkan pengeluaran produk-produk yang haram atau secara langsung menjadikan perbuatan-perbuatan yang diharamkan Syariat sebagai sumber rezki. Contohnya; pekerjaan membuat arak, memproses makanan-makanan haram dan sebagainya. Bagi kedai pula, kedai yang masuk dalam kategori ini ialah kedai-kedai yang menjual barang-barang haram sama ada keseluruhannya atau kebanyakannya di mana tujuan kedai itu dibuka adalah untuk menjual barang haram. Hukum pekerjaan tersebut atau bekerja di tempat/kilang/kedai sebegitu hukumnya adalah haram dan pendapatan (upah/gaji) yang diperolehi juga adalah haram kerana ia adalah bayaran kepada pekerjaan yang haram. Jika kita mengetahui bahawa pendapatannya sepenuhnya dari pekerjaan haram tersebut (yakni ia tidak mempunyai pendapatan lain), haramlah kita melakukan urusan kewangan dengannya sama ada menerima hadiah/pemberian darinya, bertukaran dengannya dalam jual-beli atau upah-mengupah, termasuklah menerima bayaran hutang darinya. Ini kerana wang haram itu bukanlah miliknya kerana Islam tidak mengiktiraf sumber haram untuk menjadi pemilikan individu, di mana ia wajib membersihkan wang haram itu dari dirinya dengan mensedekahnya kepada fakir miskin atau kemaslahatan umum kaum muslimin.

Jika ia mempunyai pendapatan lain yang halal, harus kita menerima hadiah/pemberiannya kerana boleh diandaikan apa yang kita terima itu datang dari sumber halal yang dimilikinya. Jika kita konfius, kita ada hak untuk bertanyanya. Jika ia memberitahu bahawa ia mempunyai wang dari sumber yang halal, haruslah kita menerimanya. Ini sebagaimana Rasulullah bertanya orang yang memberi kepadanya; apakah yang diberi itu hadiah atau sedekah untuk mendapat kepastian supaya baginda tidak termakan harta sedekah yang diharamkan ke atas baginda dan keturunan baginda.

2. Pekerjaan yang pada asasnya adalah halal, namun diserapi dengan sedikit penglibatan dengan yang haram. Contoh; bekerja di kedai yang menjual barang-barang keperluan yang halal dan dicelah-celahnya ada barang haram yang turut dijual. Begitu juga, kedai yang menjual pakaian dan di antara pakaian yang dijual terdapat sedikit pakaian yang mendedah aurat. Pada hukum asas, seorang muslim dilarang berkerja di premis sedemikian kerana ia terbabit membantu mempromisi maksiat yang dilarang oleh Allah dalam ayat tadi. Namun pendapatannya tidaklah boleh dianggap sebagai haram kerana pekerjaannya pada asasnya adalah halal. Oleh demikian, harus kita berurusan kewangan dengannya (menerima hadiah/pemberiannya, berjual-beli dengannya dan menerima pembayaran hutang dari hasil gaji/pendapatannya). Namun orang yang terlibat dengan pekerjaan tersebut hendaklah berusaha membersihkan syubhah yang ada dalam pendapatannya (kerana terlibat dengan sedikit yang haram tadi) dengan mensedekahkan sebahagian pendapatannya kepada fakir miskin atau kepada maslahah umum kaum muslimin. Ia hendaklah mencari pekerjaan lain yang bersih dari sebarang syubhah (percampuran dengan yang haram). Jika mengambil masa untuk mendapat pekerjaan baru dan ia tidak mempunyai sumber kewangan lain, harus ia terus berkerja di situ buat sementara sebelum mendapat pekerjaan lain. Hendaklah ia yakin bahawa mujahadahnya untuk mematuhi perintah Allah itulah yang akan melapangkan hidupnya dan membawa keberkatan pada rezekinya. Firman Allah (bermaksud); "Orang-orang yang bermujahadah untuk mencari keredhaan Kami (Allah), Kami akan tujuki mereka jalan-jalan Kami" (al-Quran). Allah berfirman juga (bermaksud); "Sesiapa bertakwa kepada Allah, Allah akan memberikan jalan keluar kepadanya (bagi kesulitan yang dihadapinya) dan Ia mengurniakan rezki kepadanya dari arah yang tidak disangkanya" (al-Quran).

Wallahu a'lam.

Posted by
USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL

Isnin, 7 Januari 2013

HUKUM WANG INSURANS KEMATIAN

Soalan;

Assalammualaikum Ustaz, Saya ingin bertanya beberapa soalan dan harap ustaz dapat memberi penjelasan:-
1. Kakak saya telah mendapat wang insuran diatas kematian anak lelakinya, soalan saya ialah :
a. Adakah duit itu perlu dibahagikan secara faraid kepada ayah dan adik-adik simati.
b. Bolehkah siibu menggunakan wang tersebut untuk perbelanjaan harian dan apakah hukumnya.
c. Bolehkah siibu memberi wang tersebut kepada anak-anaknya (adik-adik simati) dan apakah hukumnya.
Sekian, terima kasih.

Jawapan;

1. Wang Insurans jika sepenuhnya pemberian dari pihak syarikat Insurans, ia tidaklah termasuk dalam harta pusaka. Oleh itu, ia diberikan kepada orang yang ditentukan oleh si mati (semasa hayatnya) atau orang yang ditentukan oleh pihak yang menaja Insuran itu (majikan, persatuan khairat dan sebagainya). Jika si mati tidak menentukannya atau pihak yang menajanya juga tidak menentukannya, barulah ketika itu diserahkan kepada ahli-ahli waris untuk dibahagikan mengikut bahagian perwarisan.

2. Jika wang insuran yang diberikan adalah bersama simpanan si mati di mana hari ini ada syarikat-syarikat Insurans yang menawarkan pakej insuran dan simpanan, maka bahagian simpanan adalah dikira harta pusaka dan mesti diagihkan kepada ahli-ahli waris mengikut bahagian masing-masing yang ditentukan Syarak. Adapun bahagian insuran, ia diberikan/diagihkan sebagaimana di atas.

3. Orang yang berhak mendapat wang dari insuran itu, harus ia membelanjanya mengikut kehendaknya (sama ada menggunanya untuk diri sendiri, memberinya kepada orang lain atau sebagainya) asalkan bentuk perbelanjaan tidak ditegah Syarak.

3. Adalah perlu diingatkan di sini bahawa Insurans yang Halal dan bebas dari syubhah ialah Insuran yang berlandaskan Islam iaitulah yang dijalankan di atas prinsip takaful atau ta’awun. Adapun Insuran konvensional iaitu yang dijalankan oleh syarikat-syarikat perniagaan insuran yang tidak berlandaskan Islam, ia telah difatwakan oleh jumhur ulamak hari ini sebagai haram. Oleh itu, umat Islam hendaklah peka tentang masalah ini. Ambillah polisi insuran dari syarikat-syarikat Insuran Islam seperti Takaful Malaysia, Takaful Ikhlas, Takaful Etika dan sebagainya supaya wang insuran yang diperolehi nanti tiada pertikaian di sisi ulamak.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. at-Ta’min ‘Alal-Hayah, Dr. Muhammad Sulaiman al-Asyqar (Buhuth Fiqhiyyah Fi Qadhaya Iqtishadiyah Mu’asharah, hlm. 11-27).
2. Fatwa-fatwa tentang Insuran dalam islamweb.com, islamqa.com dan e-fatwa.gov.my..

Jumaat, 4 Januari 2013

Hukum Wanita Haid Masuk Masjid Untuk Menuntut Ilmu

Soalan:
Apa hukum wanita yang datang haid duduk di dalam masjid untuk tujuan menuntut ilmu?

Jawapan:

1. HUKUM

Hukum yang dipegang oleh kebanyakan ulama seperti Imam Abu Hanifah, Imam Syafie, Imam Malik, Imam Ahmad bin Hanbal ialah haram bagi wanita haid duduk di dalam masjid.

Pendapat Imam Dawud Zahiri, Imam Muzani, Ibn Hazim Zahiri serta beberapa orang lain lagi pula ialah diharuskan.

DALIL YANG MENGHARAMKAN:

Dalil mereka yang mengharamkan ialah dua hadis Nabi saw:

Pertama: Hadis `Aisyah radiyallahu `anha

جَاءَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَوُجُوهُ بُيُوتِ أَصْحَابِهِ شَارِعَةٌ فِي الْمَسْجِدِ فَقَالَ وَجِّهُوا هَذِهِ الْبُيُوتَ عَنْ الْمَسْجِدِ ثُمَّ دَخَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَلَمْ يَصْنَعْ الْقَوْمُ شَيْئًا رَجَاءَ أَنْ تَنْزِلَ فِيهِمْ رُخْصَةٌ فَخَرَجَ إِلَيْهِمْ بَعْدُ فَقَالَ وَجِّهُوا هَذِهِ الْبُيُوتَ عَنْ الْمَسْجِدِ فَإِنِّي لَا أُحِلُّ الْمَسْجِدَ لِحَائِضٍ وَلَا جُنُبٍ

Maksudnya: “Nabi saw datang ke Masjid Nabawi. Di kala itu muka pintu rumah para sahabat Nabi saw bersambungan dengan Masjid Nabawi. Baginda lantas bersabda: “Palingkan rumah-rumah kamu ke arah lain daripada masjid” Kemudian baginda memasuki masjid. Orang ramai belum mengambil apa-apa tindakan pun kerana mengharapkan agar turun kepada mereka kelonggaran. Setelah itu baginda keluar bertemu mereka. Baginda lantas bersabda lagi: “Palingkan rumah-rumah kamu ke arah lain daripada masjid, kerana sesungguhnya aku tidak menghalalkan masjid ini untuk perempuan haid dan orang yang berjunub” [1]

Kedua : Ummu Salamah radiyallahu `anha.

دَخَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَرْحَةَ هَذَا الْمَسْجِدِ فَنَادَى بِأَعْلَى صَوْتِهِ إِنَّ الْمَسْجِدَ لَا يَحِلُّ لِجُنُبٍ وَلَا لِحَائِضٍ

Maksudnya: “Baginda saw masuk ke pintung gerbang masjid lalu menyeru dengan suara yang lantang: “Sesungguhnya masjid ini tidak halal untuk perempuan haid dan orang yang berjunub.”[2]

Kedua-dua hadis di atas menunjukkan bahawa perempuan haid dan orang yang berjunub lelaki atau perempuan tidak boleh duduk di dalam masjid.

Adapun melintasinya kebanyakan ulama mengharuskan dengan dua syarat iaitu ada keperluan-keperluan tertentu dan kedua diyakini masjid tidak dikotori dengan najis darah haid yang akan menitis. Dalilnya dua:

Pertama: firman Allah:

{ وَلَا جُنُبًا إِلَّا عَابِرِي سَبِيلٍ }[3]

Maksudnya: “(jangan pula hampiri mesjid) sedang kamu dalam keadaan junub melainkan orang yang melintasinya.”

Kedua: hadis `Aisyah yang mana baginda ketika berada di seberang sana masjid mengarahkan beliau menghulurkan kepada baginda hamparan solat. `Aisyah lalu memberi alasan bahawa beliau kedatangan haid. Nabi lantas bersabda:

لَيْسَتْ حَيْضَتُكِ فِي يَدِكِ

“Haid kamu bukan pada tangan kamu.”[4]

DALIL YANG MENGHARUSKAN:

Dalil mereka ialah kedua-dua hadis `Aisyah dan Ummu Salamah di atas adalah lemah. Dengan itu tiada dalil yang kuat yang boleh mengharamkan. Rentetan itu, hokum duduk di dalam masjid adalah kembali kepada hokum asal dalam melakukan sesuatu iaitu harus.[5]

PERBINCANGAN DALIL

Hujah yang mengatakan bahawa hadis Aisyah dan Ummu Salamah di atas adalah lemah telah dibantah oleh para ulama terkemudian antaranya Imam Syaukani. Bagi beliau kedua-dua hadis di atas samada berstatus Hasan atau Sahih dan kedua-duanya boleh dijadikan hujah dalam hokum.[6]

KESIMPULAN/HUKUM YANG DIPEGANG

Merujuk kepada soalan di atas, wanita haid yang ingin menuntut ilmu di masjid tidak boleh duduk di dalam masjid. Namun, mereka boleh berada di tempat yang tidak dikhususkan untuk solat seperti dewan kuliah yang asing yang tidak dijadikan tempat solat, tempat rehat di tingkat bawah masjid, tempat berwudu’, kawasan persekitaran masjid dan lain-lainnya.

Sekiranya ada yang ingin berpegang dengan pendapat kedua yang mengharuskan, mudah-mudahan itulah antara rahmat keluasan fiqh dan perbezaan pendapat dalam fiqh Islam. Wallahu a`lam.

[1] Hadis riwayat Abu Dawud (no 201).
[2] Hadis riwayat Ibn Majah (no 637).
[3] Al-Qur’an, surah al-Nisa’, ayat 43.
[4] Hadis riwayat Ibn Majah (no 624).
[5] Syauqani, Nayl al-Autor, juz 2, hlm 94
[6] Ibid, hlm 95.

RUJUKAN
1. Fatawa Lajnah Daimah li al-Buhuth al`Ilmiyyah wa al-Ifta’, juz 8, hlm 284.Fatwa no 5167.
2. Himpunan Fatawa dan Tulisan Syeikh Ibn Baaz, juz 10, hlm. 221.
3. `Azim Aabadi, `Awn al-Ma`bud.
4. Syauqani, Nayl al-Autor

Rabu, 2 Januari 2013

Bagaimana Cara Menegur Pemerintah Dalam Islam

Menegur pemerintah yang melakukan kemungkaran adalah wajib berdasarkan hadis sahih yang banyak. Antaranya Nabi bersabda bermaksud; "akan ada pemerintah, kamu kenali ( kemungkaran mereka) dan kamu engkari mereka. Sesiapa yang mengenali (kemungkaran pemerintah lalu membenci dengan hati) dia terlepas. Sesiapa yang mengengkari (dengan lidah) dia selamat tetapi (yang tidak terlepas dan selamat ialah) yang redha dan menurut. Hadis Sahih Muslim.

Sekiranya kemungkaran pemerintah melibatkan peribadinya yang tidak merosakkan umat dan negara teguran perlu dibuat secara diam- diam untuk memelihara kehormatan. Ini sesuai dengan hadis bermaksud; sesiapa yang menutup aib seorang beriman Allah menutup aibnya di hari qiamat.

Apabila pemerintah melakukan kemungkaran terang-terangan dan pula melibatkan maslahat negara dan ummat, teguran boleh dibuat secara terang-terangan. Ini telah ditunjukkan oleh banyak ulama Islam sepanjang zaman seperti dibuat oleh Abu Muslim al-Khaulani terhadap satu kesilapan Muawiyah sebagai Khalifah Islam dan juga oleh al-Izz bin Abd Salam yang digelar sebagai Sultan Ulama terhadap pemerintah Dimasq di zamannya pada tahun 638.

Namun haram memberontak mengunakan senjata menentang pemerintah yang melakukan kemungkaran sebagaimana sabit dalam banyak hadis sahih. Ini kerana ia membawa kepada pertumpahan darah muslim. Yang wajib dilaksanakan ialah menegur dan membangkang dengan hati dan lidah serta kuasa yang ada.

Posted by Dr Khairuddin

Hebatnya Cinta Seekor Cicak

Kisahnya berlaku di Jepun ketika seorang pemuda sedang mengubahsuai rumah, meruntuhkan sebuah tembok. Rumah di Jepun biasanya memiliki ruang kosong di antara tembok yang diperbuat dari kayu. Ketika tembok itu mulai roboh, dia menemui seekor cicak yang terperangkap di antara ruang kosong itu kerana kakinya melekat pada sebatang paku.

Dia berasa kasihan sekaligus hairan. Lalu dia memerhati paku itu, ternyata paku tersebut telah ada disitu 10 tahun lalu ketika rumah itu pertama kali dibina.

Apa yang terjadi? Bagaimana cicak itu dapat bertahan dengan keadaan terperangkap selama 10 tahun??? Dalam keadaan gelap selama 10 tahun, tanpa bergerak sedikit pun, itu adalah sesuatu yang mustahil dan tidak masuk akal.

Pemuda itu lalu berfikir, bagaimana cicak itu dapat bertahan hidup selama 10 tahun tanpa berpindah dari tempatnya sejak kakinya melekat pada paku itu!

Pemuda itu lalu menghentikan pekerjaannya dan memperhatikan cicak itu, apa yang dilakukan dan apa yang dimakannya hingga dapat bertahan. kemudian, tidak tahu dari mana datangnya, seekor cicak lain muncul dengan makanan di mulutnya…. AHHHH!

Pemuda itu berasa terharu melihat hal itu. Ternyata ada seekor cicak lain yang selalu memperhatikan cicak yang terperangkap itu selama 10 tahun.

Sungguh ini sebuah cinta…cinta yang indah. Cinta dapat terjadi bahkan pada haiwan yang kecil seperti dua ekor cicak itu. Apa yang dapat dilakukan oleh cinta? tentu saja sebuah keajaiban.

Bayangkan, cicak itu tidak pernah menyerah dan tidak pernah berhenti memperhatikan pasangannya selama 10 tahun. Bayangkan bagaimana haiwan yang kecil itu dapat memiliki kesetiaan cinta yang begitu mengagumkan.

Jika haiwan pun boleh menunujukkan dan memberikan pengajaran sebegitu hebat, jadi malulah kita sebagai seorang manusia yang telah dikurniakan kewarasan akan fikiran tetapi masih lagi boleh mengabaikan orang-orang yang kita kasihi.
http://jarijemari87.wordpress.com/2011/05/09/hebatnya-cinta-seekor-cicak/