Sahabat Ilmu

Ahad, 28 Februari 2010

Sentiasa Dalam Kemenangan

Assalamu'alaikum wrm.

Tiada istilah kalah bagi pejuang kebenaran.

Mereka sentiasa 'menang'. Walau di bumi mana, di zaman dan waktu yg berbeza.

Semua Rasul adalah pejuang kebenaran. Mereka tetap dalam kemenangan kerana risalah yg dibawa adalah kebenaran dari ALLAH, walau dipandang salah dan menyesatkan oleh manusia kufur.

Rasulullah pernah 'kalah' dalam peperangan Uhud.

Baginda jatuh di dalam lubang yg digali musuh. Pengsan di dalamnya.

Ketika hendak pulang ke Madinah, 'Umar melaungkan kpd Abu Sufyan (masih belum Islam pd waktu itu) :" Kami yg kalah, tentera-tentera kami yg mati masuk ke dalam Syurga, manakala kamu yg menang, tentera-tentera kamu yg mati dihumban ke neraka!".

Inilah kemenangan hakiki. Kemenangan kerana membela kebenaran.
Maksud: " ALLAH berfirman: " Inilah hari (qiyamat) yg (padanya) org-org yg benar (pd tutur kata dan amal perbuatan) mendapat manfa'at dari kebenaran mereka; mereka beroleh syurga-syurga yg mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. ALLAH redha akan mereka dan mereka pula redha akan Dia.Itulah kejayaan yg amat besar." (SURAH AL-MAIDAH: 119)

Sentiasa menang selama-lamanya, selagi adanya sinar mentari... ALLAHUAKBAR..

SEMOGA ROHMU DICUCURI RAHMAT

Allahyarham Pak Nen

13 Rabi'ulawal 1431H (27 Feb 2010) merupakan solat Maghrib terakhir berjamaah di Surau Al-Ikhwan Kembojasari Bandar Sungai Buaya bagi Allahyarham Pak Nen Ariffin (75 tahun). Arwah pulang ke Rahmatullah sekitar pukul 8.00 malam.
Allahyarham merupakan seorang yang rajin dan istiqamah belajar (menuntut ilmu)..Beliau diantara murid ana yang paling tua di surau al-Ikhwan. Setiap minggu beliau hadir dalam kuliah hadis yang ana sampaikan di al-Ikhwan selepas maghrib setiap hari Isnin malam Selasa..
Allahyarham merupakan seorang sahabat(atuk/paklang) yang peramah, ceria dan dikalangan sahabat terbaik yang ana kenal ..Semoga berjumpa di alam sana....
Ana doakan agar Allahyarham di tempatkan di kalangan orang-orang yang soleh dan memperolehi Syurga Allah swt sebagaimana janji Baginda Rasulullah s.a.w kepada golongan yang sentiasa menuntut ilmu..
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
"Sesiapa yang berusaha untuk menuntut ilmu, Allah akan mempermudahkannya jalan menuju ke syurga dan para malaikat mengembangkan sayapnya menaungi orang yang menuntut ilmu kerana suka akan mereka. Sesungguhnya orang yang alim juga akan dipohonkan keampunan oleh makhluk yang berada di langit dan di bumi sehinggakan ikan di air, dan kelebihan seorang yang berilmu dengan seorang 'abid sama seperti bulan purnama berbanding dengan cakrawala-cakrawala yang lain. Sesungguhnya 'ulamak itu pewaris para Nabi dan sesungguhnya para Nabi tidak sedikit pun meninggalkan harta walau satu dinar atau satu dirham, sesungguhnya mereka hanyalah mewariskan ilmu, maka sesiapa yang mendapatkan ilmu bererti ia telah memperolehi bahagiannya yang besar."(Riwayat Abu Daud dan At-Tirmizi)
Ucapan takziah buat seluruh keluarga arwah..Semoga bersabar atas musibah yang telah ditaqdirkan.
Semoga arwah tenang di sana.. Semoga rohmu dicucuri rahmat...Al-Fatihah...
USTAZ MUHAMAD NAIM HASHIM
13 RABIUL AWWAL 1431 H/27 FEB 2010
-----------------------------------------------
Warga emas mati ditikam (UTUSAN MALAYSIA)

KUALA LUMPUR 27 Feb. - Seorang warga emas ditemui mati dengan kesan tikaman, dipercayai selepas disamun di sebuah rumah di Bandar Baru Sungai Buaya, Hulu Selangor dekat sini malam ini.

Mangsa, Nen Ariffin, 75, dikatakan baru pulang ke rumah selepas menunaikan solat Maghrib bersama isterinya di sebuah masjid berhampiran.

Dalam kejadian pukul 8.10 malam itu, mangsa kemudian didatangi seorang lelaki dan wanita yang masing-masing berusia lingkungan 30-an dan 40-an.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Supritendan Bakhtiar Rashid berkata, pasangan itu kemudian disamun sebelum mangsa ditikam di perut dengan sebilah pisau 'Rambo'.
''Isteri mangsa yang berusia lingkungan 70-an tidak diapa-apakan. Pasangan itu kemudian melarikan diri menaiki sebuah kereta jenis Proton Iswara berwarna perak," katanya ketika dihubungi di sini malam ini.

Menurut Bakhtiar, seorang jiran mangsa yang ternampak kejadian itu segera menghantar mangsa ke sebuah klinik di Bukit Sentosa untuk menerima rawatan.

''Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia sebaik sahaja tiba di klinik tersebut,'' katanya.

Si Mati Telah Kirim Dosa dan Pahalanya ke Akhirat

Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.
----------------------------------------------------
Kewajipan keenam dalam adab bersahabat adalah mendoakan rakan kawannya semasa dia hidup di dunia dan selepas kematiannya.

Doa perkara yang disukai untuk diri dan ahli keluarganya, serta setiap orang yang ada hubungan dengannya seperti doa untuk diri sendiri. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:"Apabila seseorang berdoa untuk sahabat di luar pengetahuannya, maka malaikat berkata;demikian juga semoga Tuhan perkenankan untuk dirimu."

Tuhan menjawab doa tersebut:"Begitu juga lebih dahulu Aku perkenankan untuknya sebelum Kuperkenankan untuk kawannya."

Allah s.w.t. ialah Tuhan yang Maha Mengenang budi, justeru sebelum Dia perkenankan doa untuk sahabat yang didoakan, lebih dahulu diperkenan doa untuk diri orang yang berbudi.

Sebelum diampun dosa sahabat yang dipohon oleh seseorang, terlebih dahulu Allah s.w.t. ampunkan dosa orang meminta keampunan.

Keampunan dosa suatu perkara mustahak yang amat dihajati oleh setiap orang, kerana tiada yang boleh ampun dosa selain Allah s.w.t. Sebuah doa Nabi s.a.w. yang bermaksud:

"Allah s.w.t. mustajabkan doa seseorang mengenai sahabatnya, dengan cara dimustajab doa unutk dirinya sendiri."

Ada kalanya Allah s.w.t. mustajabkan doa untuk sahabat kita, lantaran berkat tolong-menolong saling berdoa untuk sahabatnya.

Berkata Abu Dardak r.a.: "Bahawa aku berdoa dalam sujudku (solat sunat) untuk 70 sahabatku, dengan menyebut setiap nama sahabat karibku."

Inilah contoh persahabatan orang mukmin pada zaman silam. Begitu akrab hingga disebut setiap nama sahabatnya dalam doa ketika sujud pada solat sunatnya, agar Allah s.w.t. ampuni dosa sahabatnya.

Tuhan puji orang mukmin zaman dahulu, sebagai manusia contoh hasil tarbiyah Nabi s.a.w. Berkata seorang solih bernama Muhammad bin Yusof Asfahani: "Di manakah kamu dapat bandingan kalau tidak dengan sahabat yang solih, kerana apabila kamu mati anak buahmu gembira lantaran akan mendapat pusaka dari harta tinggalanmu.

Tetapi sahabatmu yang salih apabila kamu mati, beliau akan keseorangan merindui padamu, runsing tentang dosa yang kamu lakukan dan akibatnya yang akan kamu terima di akhirat kelak."

Apabila seseorang mati lalu kebanyakan manusia bertanya: telah matikah si polan dan apakah pusaka yang ditinggalkan?

Tetapi para malaikat pula bertanya: apakah pahala atau dosa yang telah dikirim ke akhirat oleh si mati.

Begitulah bezanya antara ulasan manusia terhadap kematian seseorang, berbanding ulasan para malaikat tentang kematian seorang hamba.

Malaikat bertanya mengenai dosa pahala yang telah dikirim ke akhirat, kerana amalan buruk dan baik manusia dicatat oleh malaikat Roqib dan Atid.

Amalan buruk disimpan dalam stor yang bernama "sijjin" seperti firman Allah s.w.t. bermaksud:

"Sekali-kali jangan curang, kerana sesungguhnya kitab orang derhaka tersimpan dalam sijjin."-Surah Al-Mutoffifin, ayat 7

Seperti amalan solih tersimpan dalam stor yang bernama " 'illiyyin " seperti yang ditegaskan firman-Nya yang bermaksud:

"Sekali-kali tidak, sesungguhnya kitab orang yang berbakti itu (tersimpan) dalam 'Illiyyin."-Surah Al-Mutoffifin, ayat 18

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat), dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."-Surah Al-Hasyr, ayat 18

Allah s.w.t. peringatkan tentang apa yang dikirim untuk hari esok (akhirat), peringatan amat penting hingga Allah s.w.t. apit dengan dua kalimah takwa.

Pesanan-Nya ialah: perhatikan sungguh-sungguh apa yang diperbuat untuk bekalan akhirat. Ertinya segala gerak kerja manusia di dunia ini landasannya ialah takwa, selain takwa hanya jadi beban yang tidak tertanggung oleh manusia.

Cari ilmu atau harta untuk akhirat dasarnya takwa, termasuk masalah siasah pemerintahan negara mesti atas dasar takwa.

Tanda takwa ialah segala program berlandas Al-Quran, patut rasa malulah dakwa negara Islam tetapi tidak berpaksi Al-Quran.

Berkata ulama salaf: "Adapun doa untuk orang yang mati ibarat beri hadiah kepadanya ketika hidup. Orang mati gembira menerima hadiah doa seperti dia gembira menerima hadiah ketika hidup."

Ketika seseorang diberi tahu si fulan telah mati, dia segera menyebut "Innalillahi wainna ilaihi roji'un" kemudian berdoa dengan "Allahummaghfir lahu warhamhu wa'afihi wa'fu 'anhu," malaikat mencatatkan seolah-olah dia menziarahi dan sembahyang serta doakan jenazah si mati itu. Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:

"Orang mati di alam barzakh ibarat manusia lemas dalam air, akan berpaut apa jua yang hanyut di depannya."

Ahli kubur amat berharap pertolongan doa orang yang hidup, umpama orang yang lemas dalam air terlalu berharap sesuatu yang terapung hanyut di depannya untuk menyelamatkan dirinya.

Penghuni barzakh menunggu doa daripada anak-anak atau bapanya, serta saudaranya dan karib kerabatnya. Alangkah bahagianya jika semua yang dinanti mendoakan dia.

Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami. Tetapkan kami dalam mentaati-Mu.

Oleh:
Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
Dipetik daripada Mauidzah, Harakah, 13-15 November 2009

Sabtu, 27 Februari 2010

BENARKAH KITA MENGINGATINYA??

“Ummati.. Ummati… Ummati…” itulah ungkapan yang dilafazkan di saat sakaratul maut mula menerpa….. Subhanallah tidak terkira cintanya Rasulullah S.A.W. kepada kita.. Walaupun wajah ini tidak pernah ditatapinya… Betapa risaunya beliau kerana tidak mahu umatnya menyentuh panasnya Neraka dan azab Allah….

Bagaimana kita hari ini? Masih ingatkah kita pada junjungan mulia Rasulullah S.A.W? adakah mungkin perkataan akhir yang dilafazkan kita “Allah…Rasulullah…Ashaduallailaha illallah, wa ashhadu anna Muhammadarrasulullah?“… Adakah mungkin kita itu perkataan yang terlintas di fikiran kita ketika sakitnya ruh kita ditarik sedikit-demi sedikit dari jasad kita?…

Lihatlah diri kita hari ini…renungkan sejenak.. perhatikan pakaian kita… perhatikan akhlak kita.. fikirkan sumbangan kita… perhatikan keluarga kita… perhatikan sahabat-sahabat kita… perhatikan hiburan kita… adakah apa yang ada pada kita sekarang bakal menggembirakan hati Rasulullah sekiranya beliau datang menjenguk kita??

Apakah harga setiap kerisauan baginda terhadap umat-umatnya? Apakah harga para syuhada’ dan para sahabat yang bertungkus lumus berdakwah bagi memastikan islam terus tertegak dalam muka bumi ini?

Sesungguhnya…. Masih belum terlambat untuk kita berubah……

Kerna Allah dan Rasulullah menyayangi kita lebih dari kita menyayangi diri kita sendiri…..

Isnin, 22 Februari 2010

Selawat Habib Ahmad Mahsyur Thoha al-Haddad


Wasiat al-Imam Dr ‘Abdullah ‘Azzam (1941-1989)

1. Wahai Para Da’i Islam!
Carilah kematian niscaya anda akan dikurniai kehidupan. Janganlah kamu semua sampai tertipu oleh angan-angan kalian. Janganlah kalian sampai tertipu oleh buku-buku yang anda baca dan amalan-amalan sunnah yang anda lakukan sehingga anda melupakan kewajiban besar.

2.Wahai Para Ulama Islam!
Majulah kalian untuk memimpin generasi yang ingin kembali kepada Rabb-nya ini. Janganlah kalian cenderung kepada kehidupan dunia.

3.Wahai Kaum Muslimin!
Telah lama kalian tidur nyenyak, sehingga kerosakan bermaharajalela di negeri kalian.

4.Wahai Kaum Wanita!
Jauhilah kehidupan mewah dan megah karena kemewahan itu musuh disamping akan merosak jiwa manusia. Hindarilah barang-barang yang tidak terlalu penting dan cukupkanlah dengan keperluan2 asas.
Binalah anak-anak kalian untuk menjadi orang yang berani dan siap sedia berjihad.

Tanamkanlah pada jiwa anak-anak kalian cinta Jihad dan perjuangan. Hiduplah dengan penuh perhatian terhadap musibah kaum Muslimin. Biasakanlah paling tidak sehari dalam sepekan hidup menyerupai kehidupan kaum Muhajirin dan Mujahidin yang hanya memakan sekerat roti kering dan beberapa teguk air.

5.Wahai Anak-Anak!
Jauhkanlah diri kalian dari bualan lagu-lagu dan musik-musik orang-orang pengumbar nafsu. Jauhkanlah punggung kalian dari tilam orang-orang yang hidup bemewah-mewahan.

6.Wahai Ummu Muhammad! (Isteri Abdullah Azzam)
Semoga Allah membalasmu dengan kebaikan sebanyak-banyaknya atas apa yang telah engkau lakukan kepadaku dan kepada kaum Muslimin.
Engkau telah bersabar hidup bersamaku setelah sekian lama merasakan manis pahitnya kehidupan. Engkau telah memberikan dukungan yang sangat berarti bagiku untuk berjalan di atas perjalanan yang penuh berkah ini dalam berjuang di medan Jihad.

Ke atas pundakmulah aku serahkan tanggung jawab keluarga pada tahun 1969, ketika kita baru mempunyai dua anak dan seorang bayi. Engkau hidup dalam sebuah kamar kecil yang terbuat dari tanah liat, tanpa dapur dan alat pemanas (untuk menghadapi musim dingin).
Kemudian aku serahkan ke atas pundakmu segala urusan rumah tangga ketika beban semakin berat, keluarga semakin bertambah, anak-anak bertambah besar dan tamu-tamu bertambah banyak, tetapi engkau tetap tabah menghadapi semuanya.
Semoga Allah membalasmu dengan kebaikan sebanyak-banyaknya atas apa yang telah engkau lakukan untukku.

Sesungguhnya kehidupan jihad adalah kehidupan yang paling lezat. Kesabaran menghadapi kesulitan lebih manis daripada hidup bergemilang kemewahan dan kemegahan.
Pertahankanlah hidup zuhud niscaya Allah mencintaimu, dan janganlah engkau menginginkan apa yang ada di tangan orang lain, nescaya mereka akan mencintaimu.

Al-Quran adalah kenikmatan dan teman hidup. Bangun malam, siyam sunnah (puasa sunat) dan istighfar di waktu pagi akan membuat hati menjadi bersih dan menjadikan engkau merasakan manisnya ibadah.
Bertemanlah dengan wanita-wanita salihah, tidak berambisi (tidak cinta dan rakus) kepada kehidupan dunia dan menjauhi kemewahan dan cinta dunia, akan memberikan ketenangan hati.

Semoga Allah mempertemukan dan menghimpun kita di Surga Firdaus, sebagaimana Allah menghimpun kita di dunia.

7.Wahai Kalian Anak-Anakku!
Sesungguhnya kalian tidak mendapatkan perhatianku kecuali sedikit. Kalian tidak memperoleh pembinaan dariku kecuali sedikit. Ya, aku tidak memberikan perhatian kepada kalian.

Tetapi apa yang dapat aku lakukan sementara malapetaka terhadap kaum Muslimin membuat orang hamil melahirkan kandungannya dan musibah yang menimpa Umat Islam membuat rambut bayi-bayi beruban.
Demi Allah, aku tidak kuasa hidup tenang sementara api malapetaka membakar hati kaum Muslimin.

Aku tidak rela hidup di tengah-tengah kalian menikmati hidangan-hidangan lazat. Demi Allah, sejak dulu aku membenci kemewahan, baik dalam pakaian, makanan ataupun tempat tinggal. Aku berusaha mengangkat kalian ke tingkat orang-orang zuhud dan aku jauhkan kalian dari lumpur kemewahan.

Aku wasiatkan kepada kalian agar berpegang teguh kepada Aqidah Salaf (Ahlus Sunnah wal-Jama’ah) .
Jauhkanlah diri kalian dari sikap berlebih-lebihan. Baca dan hafazlah Al-Quran.
Jagalah lisan, bangunlah malam, lakukanlah puasa sunnah, bergaullah dengan orang-orang baik, aktiflah bersama gerakan Islam.

Aku wasiatkan kepada kalian wahai anak-anakku agar kalian ta’at pada ibu kalian dan menghormati saudara-saudara perempuan kalian (Ummul Hasan dan Ummul Yahya). Carilah ilmu syari`ah yang bermanfaat. Ta’atilah saudara kalian yang terbesar (Muhammad) dan hormatilah dia.

Aku wasiatkan kalian agar saling mencintai sesama kalian. Berbuat baiklah kepada datuk dan nenek kalian (Ummu Faiz dan Ummu Muhammad), kerana keduanyalah, setelah Allah, banyak berjasa baik kepadaku. Sambunglah hubungan keluarga kita dan berbuat baiklah kepada keluarga kita. Penuhilah hak persahabatan kita kepada orang yang bersahabat demi kita.
Maha Suci Engkau Ya Allah, dan Maha Terpuji Engkau. Aku bersaksi bahwa tiada Ilah kecuali Engkau. Aku memohon keampunan-Mu dan bertaubat kepada-Mu.

Isnin, Asar, 22 Sya’ban 1406H (20 April 1986)
Abdullah Yusuf Azzam

Wasiat ini ditulis oleh Shaykh Dr Abdullah Azzam semasa jihad Afghanistan melawan Soviet Union masih berlangsung

Orang berakal mesti cari ilmu

Ilmu mengikut takrif (definisi) Islam ialah pengetahuan dan maklumat secara menyeluruh termasuk perkara ghaibiyyat (perkara yang ghaib). Mengikut takrif masyarakat Barat pula, ilmu hanyalah maklumat yang dapat dikesan oleh pancaindera. Ilmu wahyu yang berkaitan dengan perkara ghaib dianggap bukan ilmu.

Manakala hikmah pula ialah meletakkan sesuatu perkara dengan cara yang betul dan baik.

Ilmu dan hikmah adalah hasil akal, satu kurniaan Allah kepada manusia, ia membezakan manusia dengan makhluk yang lain. Allah SWT menciptakan sebagai makhluk yang berakal. Allah menyifatkan mereka dengan beberapa ungkapan yang menarik, dengan lafaz Ulil Albab, Ulil Absor dan lain-lain.

Antara perkara penting yang mesti dilakukan oleh akal ialah mencari ilmu. Hikmah dan ilmu dicapai sama melalui kurniaan Tuhan, secara langsung atau secara belajar, atau hasil dari beramal dengan ilmu, juga kajian dan pengalaman.

Nas-nas al-Quran dan al-Hadis telah memberi penekanan dalam perkara ini, Allah SWT telah mengesahkan tentang kurniaan ilmu kepada Nabi Daud a.s iaitu Rasul yang dipilih untuk memimpin kerajaan yang menjadi contoh Hadharah Islamiyyah sebagaimana firman Allah menerusi ayat 251 surah al-Baqarah yang bermaksud: "Dan Allah mengurniakan kepadanya (nabi Daud) pemerintahan (kerajaan), hikmah (kebajikan) dan mengajarnya (diberi ilmu) daripada apa yang dikehendaki-Nya."

Firmany-Nya lagi menceritakan tentang Nabi Daud dan puteranya Sulaiman a.s: "Dan kepada masing-masing Kami kurniakan hikmah dan ilmu." Ayat 79 surah al-Anbiya.

Allah SWT juga menentukan ayat-ayat yang pertama diwahyukan kepada Rasulullah s.a.w adalah berhubung dengan ilmu. Firman Allah yang bermaksud: "Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan (sekalian makhluk),(1) Dia menciptakan manusia daripada sebuku darah beku; (2) Bacalah, dan Tuhanmu yang Maha Pemurah, (3) Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, (4) Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya(5)." - Surah al-Alaq dari ayat 1 hingga 5

Setelah dinyatakan prinsip ilmu, akidah dan akhlak, Allah berfirman kepada rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Perintah yang demikian itu ialah sebahagian daripada hikmah yang telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) oleh Tuhanmu dan (ingatlah) janganlah engkau jadikan bersama-sama Allah sesuatu yang lain yang disembah, kerana akibatnya engkau akan dicampakkan ke dalam neraka jahannam dengan keadaan tercela dan tersingkir (dari rahmat Allah)." - Ayat 39 surah al-Isra'.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:"Hikmah itu laksana barang tercicir kepunyaan orang beriman, maka dialah yang berhak mengambilnya." - Hadis riwayat Imam at-Tarmizi dan Ibnu Majah.

Al-Quran adalah mukjizat dalam bentuk ilmu yang dikurniankan kepada Rasulullah s.a.w. Ia adalah mukjizat yang berterusan sehingga hari kiamat. Ia juga mencakupi di dalamnya segala perkara, termasuk perkara yang boleh dikesan oleh akal dan pancaindera manusia, yang mampu dikaji oleh mereka dari masa ke semasa, dan ada perkara yang tidak mungkin dicapai oleh akal dan pancaindera.

Ia adalah sebahagian daripada ilmu Allah SWT yang tidak terhingga dan terbatas luar daripada kemampuan manusia untuk mengkaji dan memahaminya. Al-Quran adalah petunjuk dalam perkara yang telah diketahui oleh mereka. Petunjuk al-Quran adalah penuh dengan hikmah yang tepat dan betul.

Mengikut ajaran Islam, semua ilmu adalah berasaskan peranan manusia yang telah ditetapkan oleh Allah. Oleh kerana itu, Islam tidak sama sekali memisahkan antara urusan rohani dan jasmani, dunia dan akhirat.

Semua sudut penghidupan hendaklah berjalan serentak. Ini disebabkan perjalanan hidup manusia memerlukan makanan rohani dan jasmani. Dunia berfungsi sebagai jambatan menuju akhirat, sama ada menuju ke syurga atau neraka.

Kemampuan manusia adalah terhad, mereka memerlukan pertolongan Allah termasuk dalam urusan dunia, sistem pendidikan, dan pelajaran yang mengendalikan segala pengajian hendaklah memenuhi prinsip, objektif dan matlamat pendidikan Islam dengan acuannya yang tersendiri, iaitu membangunkan manusia dengan iman, ilmu dan akhlak seperti yang disebut oleh Jibril a.s ketika menyoal Rasulullah s.a.w dalam hadis yang kedua menerusi hadis 40 Imam an-Nawawi, di mana hadis itu menjurus kepada persoalan Jibril kepada Rasulullah s.a.w mengenai Islam, Iman, Ihsan dan tanda-tanda kiamat. Baginda s.a.w telah menjawab satu persatu persoalan yang dikemukakan kepadanya.

Setelah selesai pertanyaan Jibril itu, beliau pun beredar, maka baginda s.a.w memanggil Sayidina Umar bin al-Khattab dan bertanya kepadanya, apakah beliau mengenali orang yang bertanya itu, jawab Umar:" Tidak wahai Rasulullah! Allah dan Rasul-Nya sahaja yang mengetahui."

Jawab Nabi s.a.w itulah dia Malaikat Jibril. Dia datang kepada kamu semua untuk mengajar kamu berkenaan agama kamu."

Inilah acuan yang telah melahirkan Hadharah Islamiyyah yang berjaya, tetapi acuan ini telah ditinggalkan. Pada zaman ini telah berlaku perkara yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. Negara-negara Teluk Parsi yang kaya dengan minyak dahulunya adalah kawasan pengembalaan kambing, begitu juga di daerah lain di dunia ini termasuklah Malaysia.

Kini manusia berlumba-lumba mendirikan bangunan-bangunan tinggi oleh kalangan hartawan jadian untuk menunjuk-nunjuk kemewahan di tengah-tengah lautan manusia yang hidup terbiar dibelenggu kemiskinan dan kemelaratan.
-------------------------------------------------
Dinukil daripada buku 'Hadharah Islamiyyah, bukan Islam Hadhari' tulisan Tuan Guru Abdul Hadi Awang, muka surat 115-121, terbitan Nufair Street, 2005.

Jumaat, 19 Februari 2010

Nilai Ibadah Kita Selama Ini

Mengapa Ibadah Sembahyang Tidak Membangunkan Insan

Dalam era membaiki diri ini, kita nilaikan sembahyang kita, nanti akan terjawap kenapa kita tidak dibantu, dan ini juga gambaran secara keseluruhannya, mengapa umat islam terbiar dan tiada pembela dan umat islam kini tidak lagi menjadi umat yang agung seperti dulu.

Golongan Pertama

Kita boleh lihat hari ini sudah ramai umat islam yang tidak sembahyang, bahkan ramai juga yang tidak tahu hendak sembahyang; mereka telah jatuh kafir. Imam Malik berkata bahawa jatuh kafir kalau tidak sembahyang tanpa sebab. Imam Syafie kata jatuh fasik (pun masuk neraka juga) kalau ia masih yakin sembahyang itu fardu.

Golongan Kedua

Orang yang mengerjakan sembahyang secara zahir sahaja, bacaan pun masih tak betul, taklid buta, main ikut-ikut orang saja. Belajar sembahyang maupun secara rasmi atau tak rasmi tak ada. Ilmu tentang sembahyang tiada. Golongan ini tertolak bahkan berdosa besar dan hidup dalam keadaan derhaka kepada Allah Taala.

Golongan Ketiga

Orang yang mengerjakan sembahyang, bahkan tahu ilmu mengenai sembahyang, tetapi tak boleh lawan nafsu terhadap tarikan dunia yang kuat. Jadi mereka ini sekejap sembahyang, sekejap tidak. Kalau ada masa dan mood baik; ia sembahyang, kalau sibuk dan terkocoh kacah, ada program kenduri, pesta ria, berziarah, bermusafir, letih dan penat, maka ia tak sembahyang. Orang ini jatuh fasik.

Golongan Keempat

Orang yang sembahyang, kalaupun ilmunya tepat, fasih bacaannya, tetapi tak khusyuk kalau diperiksa satu persatu bacaannya, lafaznya banyak yang dia tak faham, fikirannya tak terpusat atau tak tertumpu sepenuhnya pada sembahyang yang dilaksanakannya itu disebabkan tak faham apa yang dia baca. Cuma main hafal saja. Jadi fikirannya terus tertumpu pada dunia dan alam sekelilingnya. Fikirannya mengembara dalam sembahyang, orang ini lalai dalam sembahyang. Neraka wail bagi orang jenis ini.

Golongan Kelima

Golongan yang mengerjakan sembahyang cukup lima waktu, tepat ilmunya, faham setiap bacaan sembahyang, fatihahnya, doa iftitahnya, tahiyyatnya, tapi tak dihayati maksud dalam sembahyang itu. Fikirannya masih melayang mengingatkan perkara dunia, dek kerana faham saja tetapi tidak dihayati. Golongan ini dikategorikan sebagai sembahyang awamul muslimin.

Golongan Keenam

Golongan ini baik sedikit dari golongan yang ke lima tadi, tetapi main tarik tali di dalam sembahyangnya, sekali sekala khusyuk, sekali sekala lalai pula. Bila teringat sesuatu di dalam sembahyangnya, teruslah terbawa-bawa, berkhayal dan seterusnya. Bila teringat Allah secara tiba- tiba, maka insaf dan sedarlah semula, cuba dibawa hatinya serta fikirannya untuk menghayati setiap kalimat dan bacaan di dalam sembahyangnya. Begitulah sehingga selesai sembahyangnya. Ia merintih dan tak mahu jadi begitu, tapi terjadi jua. Golongan ini adalah golongan yang lemah jiwa. Nafsunya bertahap mulhamah (ertinya menyesal akan kelalaiannya dan cuba baiki semula, tapi masih tak terdaya kerana tiada kekuatan jiwa). Golongan ini terserah kepada Allah. Yang sedar dan khusyuk itu mudah-mudahan diterima oleh Allah, mana yang lalai itu moga-moga Allah ampunkan dosanya, namun tiada pahala nilai sembahyang itu. Ertinya sembahyangnya tiada member kesan apa apa. Allah belum lagi cinta akan orang jenis ini.

Golongan Ketujuh

Golongan yang mengerjakan sembahyangyang tepat ilmunya, faham secara langsung bacaan dan setiap lafaz di dalam sembahyangnya. Hati dan fikirannya tidak terbawa-bawa dengan keadaan sekelilingnya sehingga pekerjaan atau apa pun yang dilakukan atau yang difikirkan diluar sembahyang itu tidak mempengaruhi sembahyangnya. Walaupun ia memiliki harta dunia, menjalankan kewajiban dan tugas keduniaan seperti perniagaan dan sebagainya namun tidak mempengaruhi sembahyangnya. Hatinya masih dapat memuja Allah di dalam sembahyangnya. Golongan ini disebut orang-orang soleh atau golongan abrar ataupun ashabul yamin.

Golongan Kelapan

Golongan ini seperti juga golongan tujuh tetapi ia mempunyai kelebihan sedikit iaitu bukan saja faham, dan tak mengingati dunia di dalam sembahyangnya, malahan dia dapt menghayati setiap makna bacaan sembahyangnya itu, pada setiap kalimah bacaan fatihahnya, doa iftitahnya, tahiyyatnya, tasbihnya pada setiap sujudnya dan setiap gerak gerinya dirasai dan dihayati sepenuhnya. Tak teringat langsung dengan dunia walaupun sedikit. Tapi namun ia masih tersedar dengan alam sekelilingnya. Pemujaan terhadap Allah dapat dirasai pada gerak dalam sembahyangnya. Inilah golongan yang dinamakan golongan Mukkarrabin (Yang hampir dengan Allah).

Golongan Kesembilan

Golongan ini adalah golongan yang tertinggi dari seluruh golongan tadi. Iaitu bukan saja ibadah sembahyang itu dijiwai di dalam sembahyang malahan ia dapat mempengaruhi di luar sembahyang. Kalau ia bermasalah langsung ia sembahyang, kerana ia yakin sembahyang punca penyelesai segala masalah. Ia telah fana dengan sembahyang. Sembahyang telah menjadi penyejuk hatinya. Ini dapat dibuktikan di dalam sejarah, seperti sembahyang Saidina Ali ketika panah terpacak dibetisnya. Untuk mencabutnya, ia lakukan sembahyang dulu, maka di dalam sembahyang itulah panah itu dicabut. Mereka telah mabuk dengan sembahyang. Makin banyak sembahyang semakin terasa lazat, sembahyanglah cara ia nak lepaskan kerinduan dengan tuhannya. Dalam sembahyanglah cara ia nak mengadu-ngadu dengan Tuhannya. Alam sekelilingnya langsung ia tidak hiraukan. Apa yang nak jadi disekelilingnya langsung tak diambil peduli. Hatinya hanya pada Tuhannya. Golongan inilah yang disebut golongan Siddiqin. Golongan yang benar dan haq.

Setelah kita nilai keseluruhan sembilan peringkat sembahyang itu tadi, maka dapatlah kita nilai sembahyang kita di tahap yang mana. Maka ibadah sembahyang yang boleh membangunkan jiwa, membangunkan iman, menjauhkan dari yang buruk, boleh mengungkai mazmumah, menanamkan mahmudah, melahirkan disiplin hidup, melahirkan akhlak yang agung ialah golongan tujuh, lapan dan sembilan sahaja. Sembahyangnya ada kualiti, manakala golongan yang lain jatuh pada kufur, fasik dan zalim.

Jadi dimanakah tahap sembahyang kita? Perbaikilah diri kita mulai dari sekarang. Jangan tangguh lagi. Pertama-tama soalan yang akan ditujukan kepada kita di akhirat nanti ialah solat atau sembahyang kita.

Marilah bersama membaiki solat kita agar segara dapat bantuan dari Allah, agar terhapuslah kezaliman, semoga tertegak kembali daulah Islam.

Wallahualam bissawab.

KULIAH TAFSIR

SEDUTAN TAFSIR AL MUNIR (AYAT 20 HINGGA 23 SURAH AL-ANFAL )

1.TERJEMAHAN

20. Wahai orang-orang Yang beriman! Taatlah kepada Allah dan RasulNya dan janganlah kamu berpaling daripadanya, sedang kamu mendengar (Al-Quran Yang mewajibkan taatnya).

21. Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (kafir dan munafik) Yang berkata: “Kami dengar”, padahal mereka tidak mendengar (tidak mahu menerima dan mematuhinya).

22. Sesungguhnya Sejahat-jahat makhluk Yang melata, pada sisi (Hukum dan ketetapan) Allah, ialah orang-orang Yang pekak lagi bisu, Yang tidak mahu memahami sesuatupun (dengan akal fikirannya).

23. Dan kalaulah Allah mengetahui ada kebaikan pada mereka, tentulah ia menjadikan mereka dapat mendengar; dan kalau Allah menjadikan mereka dapat mendengar juga (dengan keadaan Yang demikian), nescaya mereka tidak menerimanya sambil memalingkan diri.
2.HURAIAN TAFSIR

Allah memerintahkan hambaNya orang-orang beriman dengan ketaatan kepadaNya dan ketaatan kepada rasulNya, serta melarang mereka daripada menyalahi suruhan dan laranganNya.

Ayat di atas berkisar tentang seruan jihad serta meninggalkan harta benda sebagai rentetan perbincangan ayat sebelumnya.

Allah memberi peringatan agar orang-orang beriman tidak menjadi seperti golongan munafik yang berkata “kami dengar” sedangkan mereka tidak menghiraukan apa yang mereka dengar. Mereka tidak mahu turut berperang bersama-sama rasulullah dan para sahabat dalam perang Badar.

Lalu Allah ta’ala menyamakan golongan munafik dan musyrik itu dengan binatang ternakan yang melata di bumi bahkan lebih teruk lagi kerana binatang ternakan tidak memudaratkan sedangkan munafik dan musyrik memudaratkan aqidah manusia.

Ini kerana mereka tidak memikirkan beza antara hak dan batil, baik dan buruk, petunjuk dan kesesatan, Islam dan kekufuran; seolah-olah mereka tidak mempunyai deria rasa terhadap manfaat, faedah dan kebaikan yan diperolehi hasil daripada ketaatan itu.

3.PENGAJARAN
Ayat-ayat di atas mengandungi dua pengajaran penting:

• Taat Allah dan RasulNya
• Peringatan agar tidak menyalahi perintah dan larangan Allah dan rasul.

Tiga golongan yang ditujukan oleh Allah azza wa jalla sebagai ‘seburuk-buruk binatang melata” ialah seperti berikut:

1.Munafik-mereka yang menzahirkan keimanan tetapi menyembunyikan kekufuran dalam hati. Mereka buat-buat dengar suruhan Allah dan rasul tetapi hakikatnya mereka tidak mentadabbur dan tidak memahami sedikit pun.

2.Yahudi dan Nasrani –mereka suka mempertikaikan kebenaran yang datang dari Nabi Muhammad s.a.w. Mereka inilah yang disifatkan dalam ayat tersebut sebagai “pekak telinga” kerana mereka meniadakan fungsi akal daripada memikirkan dan bercita-cita dengan kebenaran Islam.

3.Musyrik-mereka merupakan golongan yang keras kepala (kafir Inad)kerana tidak mahu dengar kata-kata Nabi Muhammad s.a.w. selama-lamanya, bahkan menyekat orang lain dari mendengar al Qur’an dan sabda rasulullah s.a.w. serta membuta tuli ikut kepercayaan nenek moyang mereka.
WALLAHUA'LAM

KHUTBAH JUMAAT 5 RABIUL AWWAL 1431H

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu tidur ketika mendengar khutbah Jumaat kerana tidur dan bersembang sewaktu khatib berkhutbah kakan menyebabkan hilangnya pahala Jumaat dan menunjukkan kamu bukan orang yang bertaqwa kepada Allah swt.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian..
Firman Allah dalam ayat 21 surah al-Ahzab :
Maksudnya : Sesungguhnya adalah bagi kamu contoh ikutan yang terbaik pada diri Rasulullah s.a.w, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) pada hari akhirat. Dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya.
Setiap kali kedatangan bulan Rabiul Awwal maka umat Islam seluruh dunia tanpa mengira muda atau tua, bangsa dan bahasa, budaya dan warna kulit, tempat dan pangkat sama mengingati kelahiran manusia agung yang membawa rahmat kepada sekalian alam yang diberi nama nabi Muhammad s.a.w. Pada diri nabi Muhammad s.a.w adalah contoh yang terbaik dari segenap segi di mana baginda adalah bapa mithali, pendakwah contoh, anggota masyarakat yang amanah dan juga pemimpin yang terbaik. Sebagai umat yang mencintai nabi Muhammad s.a.w maka tiada manusia lain yang sepatutnya dijadikan contoh ikutan kita melainkan nabi yang tercinta. Tiada cara berkeluarga yang lebih bahagia melainkan apa yang diajar oleh nabi. Tiada cara berdakwah yang lebih berkesan melainkan apa yang ditonjol oleh nabi. Tiada cara bersosial yang lebih baik melainkan apa yang dilakukan oleh nabi. Tiada cara berpolitik, berekonomi dan memimpin negara yang lebih hebat melainkan apa yang ditunjukkan oleh nabi.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah..

Kedatangan Rabiul Awwal kali ini sewajarnya digunakan sebaik mungkin oleh seluruh umat Islam pada hari ini untuk kembali semula kepada semua ajaran dan sistem Islam yang menyeluruh agar kita kembali menjadi umat mulia. Apa gunanya kita menghabiskan wang yang beribu2 dalam memperingati hari kelahiran nabi Muhammad s.a.w sedangkan apabila dituntut agar dilaksanakan seluruh ajaran nabi maka kita tidak mahu. Bezakanlah sambutan Maulidurrasul yang kita adakan saban tahun dengan Maulidurrasul yang pernah dilakukan oleh Abu Lahab. Kita mesti ingat bagaimana Abu Lahab sanggup memerdekakan hambanya Suwaibah serta menyembelih 100 ekor unta kerana terlalu gembira menyambut kelahiran Rasulullah s.a.w tetapi akhirnya apabila nabi menyatakan tentang kenabiannya serta dakwah Islam maka dialah antara mereka yang paling utama menentang nabi sehingga dia mengatakan celaka kepada nabi tetapi Allah telah menyatakan bahawa Abu Lahab dan isterinya Ummu Jamil yang celaka bukannya nabi sebagaimana yang tertera dalam surah al-Masad.

Kita dapat saksikan bagaimana permusuhan Abu Lahab terhadap nabi begitu kuat antaranya dia sanggup mengahwinkan dua orang anaknya dengan anak nabi iaitu Ruqayyah dan Ummi Kalthom tetapi apabila nabi menyatakan kenabiannya maka Abu Jahal menyuruh agar kedua anaknya itu menceraikan anak nabi bagi menambah bebanan dan tekanan terhadap nabi. Begitu juga ketika berlakunya pemulauan terhadap suku Bani Hashim maka Abu Lahab turut serta memulaunya walau pun dia sendiri dari suku yang sama kerana bencinya terhadap nabi. Manakala isterinya Ummu Jamil sanggup menyakiti nabi dengan meletak duri disepanjang jalan yang digunakan oleh nabi.

Oleh itu umat Islam perlu sedar dan insaf bahawa sambutan Maulidurrasul yang diadakan mestilah selari antara apa yang dipuji dalam bacaan berzanji dan selawat dengan apa yang dilakukan dalam kehidupan seharian. Tidak cukup kita sekadar berarak membawa sepanduk sebagai tanda cinta kepada nabi sedangkan sifat amanah yang ditunjukkan oleh baginda tidak mahu diikut yang menyebabkan masalah rasuah, pecah amanah, kezaliman, pergaduhan politik, dengki mendengki, fitnah memfitnah terus membarah sehingga menggugat keselamatan negara.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 7 surah al-Hasyr :

وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Maksudnya : Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya).

Janganlah pula kita begitu bersungguh memuji akhlak nabi dan cara baginda menangani masalah sosial dengan sistem Islam sedangkan adanya umat Islam hari ini yang berusaha bersungguh-sungguh dalam memerangi pengajian, ceramah atau kuliah2 berkaitan Islam sedangkan dalam masa yang sama menggalakkan hiburan yang melalaikan serta penambahan pusat2 maksiat yang lebih banyak melahirkan pelacur dari kalangan umat Islam sendiri. Jangan kita hanya tahu memuji nabi yang mengharamkan arak sedangkan adanya umat Islam yang terlibat dengan saham atau hasil pendapatan bersumberkan arak.
Jangan hanya tahu memuji nabi yang mengharamkan judi yang banyak membawa masalah kepada negara sedangkan adanya umat Islam yang terang-terang membeli nombor ekor, memberi lesen dalam menambah bilangan pusat perjudian dalam negara. Jangan hanya tahu memuji nabi yang telah berjaya menyampaikan dakwah Islam kepada umat manusia serta berusaha dalam memperkukuhkan aqidah dan mengawal daripada berlakunya murtad dengan perundangan Islam sedangkan umat Islam hari ini bukan sahaja tidak melakukan kerja dakwah bersungguh-sungguh malah aqidah umat Islam semakin tercabar disamping tiada hukuman Islam bagi membasmi kemurtadan yang bertambah serius memandangkan perundangan yang ada itu sendiri telah pun murtad bagaimana mahu menjaga umat Islam daripada murtad.

Jangan hanya tahu memuji nabi yang mampu membina ekonomi berasaskan Islam yang kukuh dengan menghapuskan riba sedangkan umat Islam hari ini ramai yang terus bergelumang dengan riba, membuat pinjaman kenderaan, perumahan, pendidikan di bank2 konvensional, menggunakan kad kredit konvensional serta negara dihantui oleh masalah ceti haram yang sememangnya menghidupkan amalan riba. Janganlah kita hanya tahu memuji nabi sebagai seorang yang kuat dan hebat ibadahnya sedangkan umat Islam hari ini termasuk kita yang sedang mendengar khutbah sekarang ini amat malas beribadah.. Kita tiada masa untuk solat sunat, baca al-quran, berzikir, berdoa selepas sembahyang.

Kita hanya mampu sekali seminggu saja datang ke masjid iaitu pada hari Jumaat ataupun pada hari raya. Kita sibuk sampai tidak sempat datang dengar orang baca kitab. Orang mengajar hadis, kita tidak boleh hadir, orang mengajar tafsir, kita tidak boleh datang, orang mengajar feqah, kita tidak ada masa, orang mengajar akidah , kita ada mesyuarat, Orang mengajar Al-Quran, kita ada hal di pejabat, waktu ustaz mengajar bab taharah, haid, nifas, tayammum, wudhu, kita ke pasar malam, waktu ustaz mengajar bab hudud, qisas, takzir, bab pemerintahan Islam, bab politik Islam, hiburan Islam, pakaian Islam kita tetap tak boleh hadir.
Kenapa?
Kerana hendak sambut menantu, hendak menimang cucu, hendak berehat, penat balik kerja, nak tengok buletin utama, nak makan2 dengan keluarga, balik kerja lewat, ada temujanji dan pelbagai2 alasan lagi yang dicipta.. Sebab itulah hari ini manusia jadi lebih teruk, lebih jahat, lebih liar, lebih bodoh daripada lembu dan lebih setan daripada setan. Berlaku gejala orang Islam hina Islam, hina Nabi Muhammad saw, hina ahli keluarga Nabi, hina sahabat2 nabi, komplen hukum hakam al-quran, memperlekehkan alim ulamak, hisap dadah, buang bayi, bunuh bayi, bakar bayi, rogol saudara kandung, liwat, ajaran sesat, malas solat, tidak menutup aurat, berseluar pendek, perempuan2 berpakaian macam pelacur dan perempuan sundal, rasuah, menipu rakyat dan sebagainya..
Persoalannya..Sebab apa semua ini berlaku??
Semuanya kerana jahil, bodoh dan bangang tentang perintah dan larangan agama sendiri. Mengapa jadi jahil, sebab tidak mempunyai ilmu. Mengapa tidak mempunyai ilmu kerana sibuk tak sempat nak datang kuliah dan memang tak pernah ambik peduli dengan majlis2 ilmu yg diadakan di masjid2 dan surau2 dan tak pernah datang solat jamaah dan mendengar kuliah di masjid. Allah swt mencela golongan2 yang malas mendengar kuliah ini dgn firmannya di dalam surah al-Anfaal ayat 20-22:

20.Wahai orang-orang Yang beriman! Taatlah kepada Allah dan RasulNya dan janganlah kamu berpaling daripadanya, sedang kamu mendengar (Al-Quran Yang mewajibkan taatnya)
21. Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (kafir dan munafik) Yang berkata: "Kami dengar", padahal mereka tidak mendengar (tidak mahu menerima dan mematuhinya).
22. Sesungguhnya Sejahat-jahat makhluk Yang melata,di atas muka bumi ini pada sisi (Hukum dan ketetapan) Allah, ialah orang-orang yang pekak lagi bisu, Yang tidak mahu memahami sesuatupun (dengan akal fikirannya).

Sidang Jumaat Sekelian,

Semoga kehadiran Rabiul Awwal kali ini memberi sinar kepada umat Islam sebagaimana bersinarnya dunia setelah kelahiran Rasulullah s.a.w. Umat Islam mesti kembali bersatu atas landasan, perundangan dan ketetapan Islam. Umat Islam mesti bersatu atas dasar iman dan taqwa dengan menolak ideologi ciptaan manusia yang sesat dan membawa kepada kekufuran. Oleh itu kembalilah bersatu sebagaimana yang disifatkan oleh Rasulullah s.a.w dengan sabdanya :

مَثَلُ المُؤْمِنِيْنَ فِى تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ كَمَثَلِ الجَسَدِ الوَاحِدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالحُمَّى
Maksudnya : Perumpamaan orang-orang beriman dalam erti kasih sayang, belas kasihan dan bertimbang rasa sesama mereka seperti tubuh yang satu iaitu apabila mana-mana anggota badan berasa sakit maka seluruh tubuh yang lain turut berjaga malam dan menanggung kesakitan.

Bersungguh dalam bersatu dengan Islam sebagai wadah perjuangan dan pengamalan seharian. Semarakkan semangat jihad agar kita dapat menghapuskan segala kemaksiatan, kemungkaran dan kezaliman dalam keluarga, masyarakat dan negara. Jangan sesekali kita tunduk kepada kekufuran dan kejahilan. Biar pelbagai ujian, halangan, cabaran dan tentangan yang datang dalam perjalanan mencari keredhaan Allah namun perjuangan memartabatkan agama allah, hukum allah, perundangan Allah, ilmu Allah, ajaran Allah mesti diteruskan sehingga datangnya ketentuan daripada Allah swt sebagai penyambung tugas2 yang telah dilaksanakan oleh Baginda Rasulullah saw suatu ketika dulu.

(TEKS KHUTBAH JUMAAT INI DI SEDIAKAN DAN DISAMPAIKAN OLEH USTAZ MUHAMAD NAIM BIN HASHIM DI MASJID AR-RAHMAH KG SG BUAYA RAWANG)

Rabu, 17 Februari 2010

FORUM PERDANA


Fatawa: Bersentuhan kulit antara menantu tiri dengan ibu mertua tiri

Soalan:
Adakah batal air sembahyang menantu tiri apabila ia bersentuh dengan ibu mertuanya (emak mertua) tiri seterusnya hingga ke atas?

Jawapan:
Batal air sembahyang keduanya jika ada persentuhan.

Negara asal : Malaysia
Negeri : Kedah Darul Aman
Badan yang mengisu fatwa : Jabatan Mufti Negeri Kedah Darul Aman
Penulis/Ulama : Dato Paduka Sheikh Abdul Majid Bin Mohd Nor

KHUTBAH JUMAAT: DIANTARA HUKUM DAN MELEPASKAN BATUK DI TANGGA

Oleh: Ibnu Ibrahim

Didalam sejarah awal Islam, khutbah Jumaat disampaikan sendiri oleh ketua negara. Rasulullah s.a.w. sebagai ketua negara Islam pertama menggunakan media khutbah ini untuk mejelaskan ajaran Islam, memberi nasihat serta menjelaskan hal-hal pentadbiran dan ketenteraan. Peranan khutbah juga sama dalam Khulafa’ Ur Rashidin. Khutbah-khutbah Jumaat disampaikan sendiri olih para khalifah dan khutbah-khutbah itu tetap penting dalam hal ehwal pentadbiran masyarakat Islam.

Rsulullah s.a.w. dan khalifah-khalifah sesudah baginda merupakan orang-orang yang benar-benar sibuk mengurus dan membangunkan masyarakat Islam. Menggubah pemikiran manusia ketika itu dari fahaman jahiliyah kapada cara hidup yang disuruh olih Islam bukanlah suatu perkara yang mudah. Selain dari itu, ancaman orang-orang kafir terhadap Islam juga perlu diambil kira. Selain dari majlis-majlis ilmu, khutbah juga memainkan peranan yang penting sebagai ‘platform’ sebaran am segala arahan-arahan untuk dipatuhi, dihayati dan diikuti pada masa-masa yang sungguh mencabar itu. Ini menunjukkan bahawa peranan khutbah merupakan satu institusi yang amat besar ertinya dalam perkembangan masyarakat Islam sama ada dari sudut pembangunan fizikal, ruhani atau ‘aqliah (mental).
Khutbah Jumaat menyediakan lorongan bagi pemimpin untuk bersemuka dengan rakyat dan dapat menyalurkan maklumat atau apa-apa keterangan secara langsung kapada mereka. Secara tidak langsung, khutbah Jumaat dapat merapatkan hubungan pimpinan dengan rakyatnya. Apakah kepentingan khutbah yang memberi banyak manfaat dizaman kegemilangan Islam dahulu masih wujud dizaman ini dan adakah institusi ini berkesan saperti dahulu? Ini adalah satu persoalan yang harus menerima pertimbangan sewajarnya daripada kita umat Islam sekarang, khususnya para pemimpin masyarakat Islam dan pemimipin-pemimpin negara yang beragama Islam amnya.

Penulis ingin menyingkap suatu sejarah tentang bagaimana khutbah Jumaat memberi perangsang kapada tentera-tentera dan masyarakat Islam sehingga tentera-tentera Salib dapat ditumpaskan.

Pihak Salib telah berjaya menawan Baitul Muqaddis, kiblat pertama umat Islam dan tempat mikraj Nabi s.a.w. Keadaan ini berlaku sebab umat Islam pada masa itu berada didalam keadaan tidak stabil dan kacau-bilau, malah banyak berlaku pulau memulau sesama sendiri dan keruntuhan akhlak yang dahsyat.Peperangan meletus sesama mereka dan munculnya permusuhan dalaman. Pengkaji-pengkaji sejarah telah membuat banyak laporan tentang keadaan yang tidak stabil yang melanda negara-negara Islam sehingga mereka mudah jatuh ke tangan penjajah Salib. Allh s.w.t. tidak menzalimi mereka tetapi merekalah yang menzalimi diri mereka sendiri.

Bibit-bibit kebangkitan Islam mulai kelihatan melalui kebangkitan keluarga Imaduddin Zanki yang berjaya membina sebuah kerajaan yang kuat. Kerajaan ini telah memberi pukulan yang kuat kapada kerajaan Salib Kristian satu demi satu. Kebangkitan Imaduddin Zanki telah memberi kesan kapada tercetusnya Perang Salib yang kedua dan telah berakhir dengan kekalahan yang memalukan bagi pihak mereka dan melalui mimbar-mimbar khutbah, api perjuangan Islam mula disemarakkan sehingga membaranya semangat dan moral kaum Muslimin dan menyediakan pintu kemenangan besar kemudiannya.

Tentera Salib masih tinggal saki bakinya yang agak besar, dipimpin olih seorang Raja Perancis yang memusuhi Islam. Beliau telah dilaporkan menyerang pedagang-pedagang Islam yang berulang alik diantara Mesir dan Syam. Disinilah munculnya peranan Sultan Salahudin Al-Ayubi. Menyedari bahawa media mimbar khutbah Jumaat akan menjadi sebaik-baik perangsang kapada kaum Muslimin, beliau telah menggunakannya untuk berikrar bahawa beliau akan membunuh Raja Perancis dan memberikan pukulan maut kapada tentera Salib. Dengan tidak melengahkan masa, Salahuddin keluar untuk berperang pada hari itu juga, yakni Hari Jumaat 17hb Rabiul Akhir 583H salepas solat Jumaat dengan diiringi olih doa, munajat dan laungan takbir umat Islam. Nah, lihatlah sendiri bagaimana berkesannya peranan khutbah sehingga Salahuddin dan bala tenteranya memenangi peperangan itu. Azamnya juga telah tertunai apabila tengkuk Raja Perancis dipancongnya sendiri. Oleh itu, tidak hairanlah Salahuddin berjaya mencapai kemenangan yang gilang gemilang dan mendapat bantuan dari Allah s.w.t. dalam mengalahkan musuhnya. Benarlah firman Allah s.w.t. di dalam Surah Al-Haj ayat 41 yang bermaksud:-

“ Dan sesungguhnya Allah s.w.t. pasti menolong orang-orang yang menolong agamanya. Sesungguhnya Allah itu Maha Gagah lagi Maha Perkasa”.

Orang-orang yang tidak faham peranan khutbah ini akan mempertikaikan kesannya khutbah sehingga peperangan besar dapat dimenangi. Mereka akan mengatakan bahawa tidak perlu khutbah itu disampaikan secara berapi-api pada zaman sekarang kerana terdapatnya kemudahan media massa yang boleh menerangkan dasar-dasar kerajaan.

Memang benar pada hari ini terdapat media massa yang dapat menyalorkan apa jua maklumat secara lebih meluas pada bila-bila masa saperti akhbar, radio atau television. Namun demikian, satu ciri yang penting dalam penyampaian khutbah Jumaat ialah persemukaan antara rakyat dan pemimpin mereka. Salepas solat Jumaat, pemimpin dan rakyat dapat bersalaman dan ini akan mewujudkan kemesraan dan rasa hormat antara satu sama lain. Lagi pula, kerajaan yang memerintah hari ini tidak peka dengan perjuangan dan pembangunan Islam secara hakiki. Mimbar-mimbar Jumaat tidak digunakan untuk pembangunan umat Islam seratus-peratus. Tidak saperti di negeri Kelantan.

Menteri Besarnya dan juga semua wakil rakyat mempunyai latar belakang pendidikan ugama dan mereka mampu berkhutbah di mesjid-mesjid dengan membawa mesej perjuangan dan pembangunan umat Islam secara jelas dan tidak saperti negeri-negeri lain yang khutbah-khutbah Jumaat mereka hanya untuk menyempurnakan rukun solat Jumaat dan akhir sekali terdapat ramai jama’ah yang tertidur dan ada yang sampai berdengkur! Pemimpin di Kelantan menggunakan kesempatan hari Jumaat untuk bertemu semua rakyat di kawasan-kawasan mereka sekaligus menjalinkan hubungan kemesraan diantara satu dengan yang lain.

Kalau dilihat dari sudut kesannya, adakah khutbah Jumaat hari ini berkesan atau tidak?

Pada hari ini, pengetahuan dan sikap kita sabelum dan sesudah mendengar sesuatu khutbah Jumaat adalah sama. Sama jugalah khutbah Hari Raya Puasa, Hari Raya Qurban atau khutbah yang dibaca salepas solat gerhana bulan. Kalau kita malas sabelumnya, salepasnya pun kita malas juga. Kalau kita jahil sabelumnya, salepasnya pun kita jahil juga. Begitulah keadaannya jika kita ada lain-lain sifat yang mazmumah. Ringkasnya tidak ada perubahan kapada kita sabelum atau salepas kita mendengar sesuatu khutbah. Kalau ada perubahan pun tidaklah banyak tetapi hanya bersifat sementara.

Keberkesanan sesuatu khutbah itu hanya akan wujud sekiranya penyampai itu ikhlas untuk membentuk keperibadian Islam dikalangan jamaah mengikut acuan acuan Al-Quran. Khatib itu mestilah seorang yang kuat imannya dan tidak takut kapada perasaan orang ramai disamping berkebolehan berpidato dengan baik kaperingkat memukau pihak yang mendengar. Sejarah boleh mengajar kita dalam hal ini.

Semasa Sepanyol berada didalam kekuasaan Islam dengan nama Andalus, Khalifah Abdul Rahman Al-Nasir merancang pembinaan kota “Zahra”. Dia hendak membina kota ini dengan seindah-indah binaan, yang mana terpaksa menelan belanja yang begitu banyak. Kota istananya tinggi mencakar awan. Di dinding di bahagian dalam dihiasi ukiran-ukiran tulisan dengan air emas dan perak. Apabila perkara ini sampai kapengetahuan Kadi Munzir Bin Said tentang pembaziran pemerintah, beliau ( Kadi ) menjadi marah kerana pemerintah menggunakan wang rakyat yang tidak kena pada tempatnya. Dia dengan berani telah menyentuh perkara ini dalam khutbah Jumaatnya dan mencela Abdul Rahman di tengah-tengah jamaah. Didalam khutbahnya dia berkata-:

“Tidak saya sangka syaitan telah menggoda kamu sampai begitu sekali wahai khalifah. Hinggakan kamu lagi tidak berpotensi untuk memimpin walaupun kamu ada kelebihan jika hendak dibandingkan dengan manusia semua. Kesudahannya taraf kamu semua sama sahaja dengan orang-orang kafir.”

Berkerut dahi Abdul Rahman bila mendengar khutbah tersebut. Dengan perasaan marah, dia memotong ucapan khutbah Kadi Munzir. Dia mula menyampuk:

“Apakah buktinya yang Allah samakan kedudukan aku saperti orang kafir?”

Jawab Kadi Munzir:
“Ya…! Buktinya saperti firman Allah:

“Dan sekiranya bukan hendak menghindari manusia menjadi umat yang satu, ( dalam kekafiran ), tentulah kami buatkan bagi orang-orang yang kafir kepada Tuhan yang Maha Pemurah loteng-loteng perak bagi rumah mereka dan ( juga ) tangga-tangga ( perak ) yang mereka menaikkinya.” ( Az-Zukhruf Ayat: 33 )”

Khalifah Abdul Rahman menundukkan kepalanya satelah mendengar ulasan Munzir. Dia membisu seribu bahasa. Dalam kekhusyukan beliau mengingati Allah, air matanya jatuh berderai membasahi janggutnya. Dia pergi mendekati Kadi Munzir seraya berkata:

“Segala ajaran agama yang telah kamu sampaikan kepada kami, semoga Allah juga yang memberi balasan kapada kamu. Mudah-mudahan Allah perbanyakkan lagi orang yang saperti kamu ini. Sesungguhnya apa yang kamu ucapkan tadi adalah benar.”

Satelah selesai kata-katanya tadi, sambil mengucap “Astaghfirullah”, dia terus bangun dan mengarahkan pekerja-pekerja yang membina kecubung istana yang mencakar awan dan dinding-dinding dari batu marmar supaya dibatalkan sahaja.

Hah! Bagaimana? Boleh atau tidak tok-tok khatib di Malaysia buat semacam itu? Penulis rasa boleh tapi mereka perlu kikis dahulu perasaan takut kena ‘gam’. Kerana takut kena gam, tok-tok khatib membacalah khutbah yang fungsinya macam ubat tidur. Khutbah-khutbah yang buat orang mengantuk, di bunyinya senada dengan air sungai yang mengalir. Dia peduli apa orang mengantuk? Asalkan dapat elaun sudah cukup!

Kita mungkin atau akan mengelamun dan fikiran kita semasa khatib membaca khutbah melayang entah ke-mana. Keadaan ini adalah suatu perkara biasa yang kita boleh lihat di mana-mana. Mengapakah keadaan ini berlaku dan mengapakah alat yang sangat besar ertinya dalam zaman keagungan Islam dulu itu menjadi tumpul dan tidak mencapai matlamatnya dizaman kita? Adakalanya terdapat Imam-imam mesjid membenarkan “kroni-kroninya” yang tidak fasih dalam sebutan Bahasa Arab membaca khutbah atas alasan melatih mereka. Imam juga tidak memanggil mereka dan menyuruh mereka membaca khutbah di hadapannya sabelum membaca kapada orang ramai kerana imam juga mengambil jalan mudah. Dengan ini, apabila bacaan tidak baik atau memuaskan, jamaah akan berasa jemu.

Khutbah sebagai suatu media penting telah tidak difahami olih penyampainya atau khatibnya. Lantas dengan itu, beliau baca sahaja khutbahnya. Penulis pernah melihat seorang khatib disebuah mesjid di Pulau Pinang membawa sebuah buku yang berjodol “Himpunan Khutbah-Khutbah Jumaat” semasa menaikki mimbar. Buku itu kelihatan buruk dan lusuh. Mungkin dibelinya sepuluh tahun yang dahulu. Tajuk yang diperkatakannya ialah tajuk sepuluh tahun yang dahulu dan tidak relevan lagi.Kalau ada persamaan pun antara perkara sepuluh tahun dahulu itu dengan keadaan sekarang, cara penghuraiannya sangat berbeza kerana persekitaran dan pengalaman antara dua masa itu tidak sama.

Khutbah telah dianggap semata-mata sebagai rukun solat Jumaat, yakni tanpanya maka solatpun tidak sah. Khutbah pun dibaca untuk melengkapkan rukun itu. Kadang sesuatu khutbah itu di-ulang-ulang beberapa kali kerana khatib itu sendiri tidak faham dengan matlamat sesebuah khutbah. Kadang-kadang terdapat di pejabat Imam di dalam mesjid teks-teks khutbah yang lama. Tok-tok khatib yang tidak peka ini akan mengambil sahaja “pakai cekup”.

Pada tahun 1989, pada menumcaknya Intifadhah di Palestine, penulis telah menunaikan solat Jumaat di sebuah mesjid di Alor Setar. Khatib pada hari itu telah berkhutbah tentang peristiwa Israk Dan Mikraj dengan mengaitkan peristiwa Intifadhah tersebut. Khutbah itu begitu menarik sehingga salepas solat Jumaat, beberapa orang telah berjumpa dengan beliau meminta teks khutbah itu untuk dibaca dan dihayati. Itulah yang dinamakan khutbah.

WASSALAM...

Isnin, 15 Februari 2010

AIR ZAMZAM

Zamzam ialah nama sebuah telaga yang terletak di tengah-tengah Masjidil Haram yang dahulunya bersebelahan dengan makam Hambali, tetapi sekarang ini makam ini tiada lagi dan tidak jauh dari bangunan Kaabah di Makkah kira-kira tiga puluh lapan hasta letaknya daripada Kaabah Musyarrafah atau lebih tepat lagi bersetentang dengan Hajarul Aswad yang terletak di bahagian penjuru tenggara Kaabah. Telaga ini sangat dalam dan besar walaupun kelihatan kecil di permukaannya. Buktinya ialah airnya tidak pernah kering walaupun ramai dan setiap masa orang menggunakannya. Telaga ini berdindingkan simen dan berbumbungkan marmar yang bertatah indah dan berwarna-warni, tingginya 1.5 meter dan luasnya kira-kira tiga meter.

Air zamzam digunakan untuk minum dan wudhu dan boleh juga dijadikan sebagai penawar (jikalau diniatkan sedemikian) dan ia boleh mencerahkan pandangan jikalau dimasukkan ke dalam mata kerana airnya sangat hening dan bersih. Air zamzam dianggap air yang suci dan berkat. Penduduk di Makkah sentiasa berbuka puasa dengan air zamzam atau dengan buah kurma sebagai mengikut sunnah Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam. Hampir setiap orang yang menunaikan fardhu haji ke Makkah tidak lupa membawa pulang air zamzam, khususnya orang yang datang dari sebelah timur untuk diagihkan kepada kaum keluarga.

Dinamakan air itu sebagai zamzam kerana terlalu banyak air tersebut. Sebagaimana kita maklumi air itu sudah wujud pada zaman Nabi Isma‘il ‘alaihissalam sehinggalah sekarang. Betapa besarnya kekuasaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Sejarah Air Zamzam

Zamzam adalah sebuah perigi Nabi Isma‘il ‘alaihissalam. Menurut para ahli sejarah, kisah air zamzam itu bermula dari peristiwa yang dialami oleh Siti Hajar dan anaknya Isma‘il ‘alaihissalam. Mereka berdua ditinggalkan oleh suaminya Ibrahim ‘alaihissalam di suatu tempat yang sepi dan tandus. Di tempat itu tidak ada air untuk diminum, tidak ada makanan untuk dimakan dan tidak ada orang untuk meminta pertolongan. Setelah bekalan mereka habis, Isma‘il pun menangis kerana lapar dan dahaga. Melihat keadaan anaknya sedemikian, Siti Hajar pun pergi mencari air. Dia berjalan menuju ke Bukit Safa dan Marwah kira-kira lima ratus meter jarak antara kedua bukit tersebut, dengan harapan menemui kafilah pedagang yang membawa air. Setelah berulang-alik sebanyak tujuh kali antara dua bukit itu, namun Siti Hajar tidak menemui sesiapa pun.

Berkata Ibnu ‘Abbas: "Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Maka itulah sa‘ie manusia (orang haji dan umrah) antara keduanya (Safa dan Marwah)." Apabila Siti Hajar naik ke Bukit Marwah, dia terdengar suatu suara lalu dia berkata di dalam hati: "Sesungguhnya aku mendengarmu, jika engkau dapat memberi pertolongan, maka tolonglah kami." Tiba-tiba dia ternampak Malaikat di samping anaknya Isma‘il. Malaikat itu pun menggali tanah dengan tumit atau sayapnya sehingga terpancutlah air iaitu air zamzam.

Setelah beberapa tahun berlalu, Nabi Ibrahim ‘alaihissalam datang menemui mereka berdua. Pada waktu inilah, Baginda mendirikan rumah suci (Ka‘bah). Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: "Sesungguhnya rumah ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Makkah, yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayat bagi umat manusia. Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya, di antaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim. Dan siapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia. Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadah Haji dengan mengujungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkar akan kewajipan ibadah haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) daripada sekalian makhluk." (Surah Ali ‘Imran: 96-97)

Ketika Makkah didiami oleh kaum Jurhum (kabilah daripada Syam) dengan kemajuan dan kemewahan hidup mereka sehingga tidak mengendahkan kehormatan Ka‘abah tersebut. Menurut ahli sejarah, kaum Jurhum memakan harta Ka‘abah dan melakukan perkara dosa besar sehinggalah perigi zamzam itu kering kontang dan lama kelamaan ia tertimbus dan tidak diketahui lagi kedudukannya.

Setelah pemerintahan daerah itu dipegang oleh Abdul Muthallib (nenek Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam). Suatu ketika beliau telah bermimpi mendapat petunjuk untuk menggali perigi zamzam itu, lalu dia mengarahkan orang lain untuk menggali perigi tersebut sehinggalah kedudukan perigi itu ditemui.

Hukum Meminum Air Zamzam

Para Fuqaha bersepakat bahawa sunat bagi orang-orang yang mengerjakan ibadah Haji dan Umrah minum air zamzam, kerana Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam minum air zamzam tersebut.

Berdasarkan nas asy-Syafi‘eyah, bahawa air zamzam itu sunat diminum dalam apa keadaan sekalipun. Hukum sunat itu tidak hanya khusus selepas mengerjakan tawaf, bahkan ia sunat diminum bagi setiap orang walaupun bukan pada waktu mengerjakan ibadah haji atau umrah. Disebutkan dalam hadis Jabir bin ‘Abdullah katanya:

Maksudnya: "Aku pernah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Air zamzam itu diminum untuk keperluan apa saja." (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Dalam erti kata yang lain, jika ia meminumnya dengan maksud menghilangkan rasa haus, maka Allah akan menghilangkan rasa hausnya, jika ia meminumnya untuk menghilangkan rasa lapar, maka Allah akan mengenyangkannya, dan jika ia meminumnya untuk menyembuhkan penyakit, maka Allah akan menyembuhkan penyakitnya.

Kelebihan Air Zamzam

Banyak kelebihan yang terdapat pada air zamzam itu, sebagaimana disebutkan di dalam hadis-hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, antara kelebihan itu:

Ada keberkatan padanya, boleh mengenyangkan seperti makanan dan sebagai penawar penyakit. Disebutkan dalam hadis Abu Dzar Radhiallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda tentang air zamzam:

Maksudnya: "Sesungguhnya air zamzam itu penuh berkat, sesungguhnya ia makanan yang mengenyangkan." Dan Abu Daud Ath-Thayalisi menambah dalam musnadnya: "Dan penyembuh penyakit." (Hadis riwayat Muslim)

Perihal air zamzam menjadi penawar penyakit itu, banyak disebut mengenainya, antaranya:

Maksudnya: "Daripada Abu Jamrah Adh-Dhuba‘ie katanya: "Aku duduk bersama Ibnu ‘Abbas di Makkah, lalu aku terkena demam panas. Berkata Ibnu ‘Abbas: "Dinginkanlah panasmu itu dengan air zamzam, sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Demam panas itu daripada bahang neraka jahannam, maka dinginkanlah ia dengan air, (atau sabda Baginda: "Dengan air zamzam" , si Hammam syak). (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Kisah seorang perempuan Maghribi yang disembuhkan Allah Subhanahu wa Ta‘ala daripada penyakit kanser dengan meminum air zamzam. Di mana doktor menyatakan, bahawa dia tidak ada harapan untuk hidup dalam masa tiga bulan. Perempuan itu pun pergi menunaikan umrah, beri‘tikaf di Masjidil Haram, minum air zamzam sepuas-puasnya dan menghabiskan masanya dengan bersembahyang, membaca al-Qur’an dan berdoa. Setelah beberapa hari bintik-bintik merah yang tumbuh di badannya sudah tiada lagi, lalu dia menemui doktor dengan menerima keputusan bahawa penyakitnya sudah sembuh.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dibersihkan dadanya dengan air zamzam bagi menguatkan Baginda melihat Malakut langit dan bumi, syurga dan neraka. Dengan ini, ada keistimewaan dalam air zamzam itu iaitu menguatkan hati dan menghilangkan ketakutan. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: "Dibukalah atap rumahku ketika aku berada di Makkah. Lalu turun Jibril membelah dadaku, kemudian dicucinya dengan air zamzam. Setelah itu dia (Jibril) membawa mangkuk besar dari emas yang penuh dengan hikmat dan keimanan, lalu ditumpahkannya ke dalam dadaku kemudian ditutupnya kembali dadaku. Setelah itu dia menarik tanganku lalu membawaku naik ke langit dunia (dimi‘irajkan)."

Adab Meminum Air Zamzam

Adab ketika minum air zamzam itu sebagaimana yang disebutkan oleh sebahagian Fuqaha adalah termasuk dalam hukum sunat, antaranya:

1. Menghadap kiblat.
2. Menyebut nama Allah Subhanahu wa Ta‘ala sebelum minum.
3. Bernafas sebanyak tiga kali ketika minum dan ketika bernafas itu hendaklah di luar bekas atau gelas itu (yakni tidak minum dengan sekali teguk sehingga habis, bahkan minum dengan berhenti sebanyak tiga kali).
4. Minum sehingga kenyang, kerana orang munafiq tidak meminumnya sehingga kenyang.
5. Mengucapkan syukur kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala setelah selesai minum. Sebagaimana disebutkan oleh Ibnu Majah:

Maksudnya: "Daripada Muhammad bin ‘Abdurrahman bin Abu Bakr katanya: "Ketika aku duduk di sisi Ibnu ‘Abbas datang seorang lelaki kepadanya, lalu berkata Ibnu ‘Abbas: "Dari mana engkau datang?"

Lelaki itu berkata: "Dari perigi zamzam."
Ibnu ‘Abbas berkata: "Apakah engkau minum dari perigi itu sebagaimana yang sepatutnya."
Lelaki itu berkata: "Bagaimana?"

Ibnu ‘Abbas berkata: "Apabila engkau minum air zamzam, maka menghadaplah ke kiblat, sebut nama Allah dan bernafaslah tiga kali (waktu minum). Minumlah air zamzam sehingga kenyang dan jika sudah selesai maka pujilah Allah ‘azza wajalla. Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Sesungguhnya tanda yang membezakan antara kita dengan orang-orang munafiq, sesungguhnya mereka tidak minum air zamzam itu sehingga kenyang." (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Antara adabnya lagi:


6. Setiap kali mengambil nafas ketika minum air zamzam, melihat ke arah Kaabah.
7. Sunat masuk ke tempat perigi zamzam dan melihatnya. Kemudian menggunakan timba yang ada di sana lalu meminumnya serta memercikkan air zamzam itu ke kepala, muka dan dada.
8. Memperbanyakkan doa ketika minum dan mengharapkan kebaikan di dunia dan akhirat.

Sunat dibaca seperti di bawah ini:

Ertinya: "Ya Allah Ya Tuhanku, sesungguhnya telah sampai kepadaku NabiMu Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Air zamzam itu diminum untuk keperluan apa saja." Dan aku meminumnya supaya…………."

Sesudah membaca seperti di atas, berdoalah lagi untuk memohon kebaikan di dunia dan akhirat, kemudian membaca bismillah, lalu minum dan mengambil nafas sebanyak tiga kali. ‘Abdullah bin ‘Abbas Radhiallallahu ‘anhuma berdoa ketika minum air zamzam:
Ertinya: "Ya Allah Ya Tuhanku, aku mohon padaMu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang luas dan sembuh daripada segala penyakit."

Untuk memohon keampunan atau kesembuhan daripada penyakit, bacalah doa seperti di bawah:

Ertinya: "Ya Allah Ya Tuhanku, sesungguhnya telah sampai kepadaku bahawa RasulMu Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Air zamzam itu diminum untuk keperluan apa saja." Ya Allah Ya Tuhanku, sesungguhnya aku meminumnya supaya Engkau ampuni dosaku, Ya Allah ampunilah aku. Ya Allah Ya Tuhanku, sesungguhnya aku meminumnya supaya Engkau sembuhkan sakitku, Ya Allah sembuhkanlah aku."

Selain berdoa untuk kepentingan diri sendiri bagi memohon kebaikan di dunia dan akhirat, memohon juga untuk orang lain seperti anak atau sanak saudara misalnya, akan tercapai permohonan itu juga jika dia meminum air zamzam tersebut dengan niat yang betul.

Memindahkan Air Zamzam

Memindahkan air zamzam daripada Makkah atau tanah haram kepada tanah halal atau keluar daripada Makkah adalah harus. Daripada ‘Urwah bin Az-Zubair katanya:

Maksudnya: "Sesungguhnya ‘Aisyah membawa air zamzam dan dikhabarkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melakukan yang demikian itu." (Hadis riwayat Al-Baihaqi)

Penggunaan Air Zamzam Selain Untuk Diminum

Beristinja’ (bersuci daripada dua jalan qubul dan dubur), menurut Al-Khatib dan Ibnu Hajar, makruh beristinja’ dengan menggunakan air zamzam. Sementara pendapat Syaikhuna adalah khilaful Awla (bertentangan dengan yang lebih utama). Kerana air zamzam itu mempunyai kehormatan. Menurut Al-Bulqini, air zamzam itu lebih afdhal daripada air Kawtsar.

Termasuklah dalam hukum makruh dan khilaful awla di atas, air yang keluar daripada jari-jari Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, air Kawtsar dan air yang dirampas.

Dikatakan juga, sesiapa beristinja’ dengan air zamzam, nescaya dia akan mewarisi penyakit bawasir. Jika dia beristinja’ juga dengan air zamzam tersebut, maka dengan air itu dia suci (dia dapat membersihkan najisnya).

Harus menggunakan air zamzam itu untuk mandi dan berwudhu. Adapun menggunakan air zamzam bagi memandikan mayat hendaklah dielakkan.

Berjual Beli Dengan Air Zamzam

Setakat ini kita belum jumpa keterangan khusus mengenai hukum jual beli air zamzam itu. Bagaimanapun berdasarkan kaedah:

Ertinya: "Asal suatu perkara itu adalah harus, sehingga ada dalil syara‘ yang mengharamkannya."

Maka berdasarkan kaedah ini, harus air zamzam itu diperdagangkan atau dijual dan dibeli.

Demikianlah beberapa penjelasan mengenai air zamzam dan kelebihannya, rahsia serta manfaat yang boleh kita perolehi. Di samping itu juga, ia adalah sebagai tanda kebesaran Allah di mana air zamzam itu masih dapat kita nikmati dan tidak kering sehingga zaman ini.

DUDUK ANTARA DUA SUJUD : LAMBANG KETENANGAN SEORANG HAMBA

Duduk antara dua sujud merupakan salah satu rukun fi‘li (perbuatan) yang pendek. Menurut jumhur ulama duduk antara dua sujud adalah wajib dan tidak sah sembahyang jika ditinggalkan dengan sengaja. (Al-Majmuk: 3/367)

Menurut ashhab mazhab Syafi‘e dan jumhur ulama wajib thuma’ninah ketika ruku‘, sujud, i‘tidal (bangkit daripada ruku‘) dan duduk antara dua sujud, berdasarkan hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang bermaksud :

"Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Apabila engkau berdiri untuk menunaikan sembahyang hendaklah bertakbir, kemudian bacalah yang mudah olehmu daripada ayat Al-Quran. Kemudian ruku‘ dengan thuma’ninah, kemudian bangkit sehingga berdiri tegak (i‘tidal), kemudian sujud dengan tuma’ninah, kemudian bangkitlah daripadanya dengan thuma’ninah, dan lakukanlah yang sedemikian itu dalam setiap sembahyangmu". (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Maka perbincangan ini akan menjelaskan kaifiyat atau cara duduk antara dua sujud.

Imam An-Nawawi (Al-Majmuk:3/397-403) menjelaskan kaifiyat atau cara duduk antara dua sujud itu ada tiga cara:

Punggung didudukkan di atas tapak kaki kiri, sementara itu didirikan tapak kaki kanan dengan melipatkan anak-anak jari kaki kanan menghala ke kiblat. Inilah kaifiyat duduk antara dua sujud yang dilakukan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana yang diceritakan oleh Abu Humaid As-Sa‘idiy yang bermaksud :

"Telah berkata Abu Humaid As-Sa‘idiy: "Aku adalah orang yang paling hafal (mengetahui) akan shalatnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Aku melihat ketika Baginda bertakbir, Baginda mengangkatkan tangan Baginda sejajar dengan dua bahunya. Apabila ruku‘, Baginda letakkan kedua tangannya pada kedua lutut. Kemudian Baginda membungkukkan punggung. Apabila Baginda mengangkat kepala (dari ruku‘) Baginda tegak sehingga setiap tulang belakangnya kembali ke tempatnya. Apabila sujud Baginda letakkan kedua tangan Baginda dengan tidak mencengkam dan tidak pula menggenggam, dan Baginda hadapkan hujung jari-jari Baginda ke arah kiblat. Apabila Baginda duduk pada raka‘at ke dua, Baginda duduk di atas kaki kiri dan menegakkan kaki kanan. Apabila Baginda duduk pada raka‘at akhir maka Baginda julurkan kaki kiri dan ditegakkannya kaki kanan dan Baginda duduk di atas tempat duduk Baginda (tikarnya)". (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Cara yang kedua yang juga diamalkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ialah duduk iq‘a iaitu dengan punggung didudukkan di atas kedua-dua tapak kaki dan tumit, sebagaimana yang disebutkan dalam riwayat Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma:

Maksudnya: "Abu Zubair mendengar daripada Thawus mengatakan: "Kami bertanya kepada Ibnu ‘Abbas mengenai duduk (dengan cara iq‘a) di atas dua kaki. Ibnu ‘Abbas menjawab: "Itu adalah sunat". Lalu kami berkata kepadanya: "Kami melihat (cara duduk sedemikian) menyusahkan orang tersebut". Ibnu abbas menjawab: "Itulah sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam". (Hadis riwayat Muslim)

Cara ketiga menurut riwayat daripada Ibnu ‘Umar dan Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhum ialah dengan duduk di atas dua tumit dan jari kaki, adalah juga termasuk duduk antara dua sujud. (Al-Majmuk: 3/399) Perkara ini disebutkan dalam satu riwayat daripada Az-Zubair yang maksudnya :

"Sesungguhnya dia (Az-Zubair) melihat ‘Abdullah bin ‘Umar apabila sujud, kemudian beliau mengangkat kepalanya daripada sujud yang pertama (lalu) duduk di atas jari-jari kakinya dan beliau berkata: "Sesungguhnya (duduk seperti ini) adalah sunnah". (Riwayat Al-Baihaqi)

Al-Baihaqi dalam kitab Sunan Al-Kubra (2/464) menjelaskan bahawa duduk iq‘a seumpama ini adalah disunatkan sebagaimana yang diriwayatkan kepada kami daripada Ibnu ‘Abbas dan Ibnu ‘Umar Radiallahu ‘anhum. Beliau seterusnya menjelaskan cara duduk tersebut iaitu yang bermaksud :

"(Cara duduk itu) ialah meletakkan jari-jari kaki di atas bumi dan meletakkan punggung di atas dua tumit serta meletakkan lutut di atas bumi"

Menurut An-Nawawi, ulama‘ berselisih pendapat pada hukum duduk dan kaifiyat dalam duduk al-iq‘a. Sebenarnya cara duduk iq‘a itu dua macam:

1. Meletakkan kedua punggungnya di bumi, menegakkan kedua kakinya dan meletakkan kedua tangannya di atas bumi seperti duduknya seekor anjing. Inilah cara duduk yang dimakruhkan sebagaimana yang dimaksudkan dalam larangan hadis.

2. Menjadikan kedua punggungnya atas tumitnya ketika melakukan duduk di antara dua sujud. Inilah cara duduk yang disunatkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Dalam perkara 2 di atas, Imam As-Syafi‘e menyatakan adalah sunat melakukan duduk Iq‘a ketika duduk antara dua sujud sebagaimana disebutkan dalam kitabnya Al-Buwaithi dan Al-Imla’. Walau bagaimanapun dalam nash (kitab) yang lain, beliau menyatakan duduk yang masyhur dan disunatkan ialah duduk iftirash. Oleh yang demikian, duduk yang afdhal menurut mazhab Syafi‘e ialah dengan cara duduk iftirash sama ada ketika melakukan duduk tasyahhud awwal, duduk antara dua sujud mahupun ketika duduk istirahah (duduk sebelum bangkit bagi raka‘at seterusnya). Manakala duduk ketika tasyahhud akhir sunat dilakukan dengan duduk tawarruk (sebagaimana duduk yang biasa kita buat pada raka‘at terakhir sebelum salam). (Shahih Muslim Syarh An-Nawawi: 2/169-170)

Berdasarkan penjelasan di atas, menurut Imam Syafi‘e sunat duduk iftirash pada kebanyakkan duduk dalam sembahyang, kecuali bagi duduk yang diikuti dengan salam. Menurut beliau juga, duduk di dalam sembahyang itu ada empat iaitu duduk antara dua sujud, duduk tasyahhud awwal, duduk istirahah (duduk sebelum bangkit/berdiri bagi raka‘at seterusnya), dan duduk tasyahhud akhir. Kesemua duduk yang disebutkan tadi sunat dilakukan dengan duduk iftirash kecuali duduk tasyahhud akhir. Begitu juga bagi orang yang masbuq, sunat duduk dengan iftirash. Menurut Imam An-Nawawi, jika dilakukan kesemua duduk dalam sembahyang dan menjadikan kaki-kakinya itu dengan cara duduk iftirash, iq‘a atau tawarruk tidak akan membatalkan sembahyang sekalipun duduk itu berbeza-beza. (Shahih Muslim Syarh An-Nawawi: 2/133-134)

Disunatkan dalam duduk antara dua sujud itu, meletakkan tangan kanan di atas paha kanan dan tangan kiri di atas paha kiri dengan jari-jari diletakkan sejajar di atas kepala lutut sambil menghadap kiblat. Maka tidaklah mengapa jika jari-jari tersebut melimpasi lutut berkenaan. (Al-Majmu‘: 3/398)

Doa Ketika Duduk Antara Dua Sujud

Perbuatan duduk antara dua sujud ini adalah satu waktu yang sangat singkat iaitu sekadar thuma‘ninah (berhenti sekejap) sebelum berpindah kepada sujud yang kedua. Rukun ini melambangkan bahawa hidup seorang mukmin itu sentiasa berdisiplin, tenang dan tidak gopoh di dalam menghadapi sebarang ujian dan cabaran hidup di dunia yang berbagai-bagai corak rupa yang boleh melalaikan seorang hamba itu daripada Tuhannya.

Ketika melakukan duduk antara dua sujud itu, disunatkan membaca doa:
Maksudnya: "Ya Tuhan! Ampunilah aku, rahmatilah aku, tutupkanlah keaibanku, angkatlah kedudukanku, kurniakanlah kepadaku rezeki, dan berilah aku petunjuk serta berilah kepadaku kesihatan."

Doa seumpama ini diriwayatkan dalam beberapa hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, di antaranya yang bermaksud :

"Daripada Ibnu ‘Abbas sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam membaca doa ketika duduk antara dua sujud: "Ya Allah! Ampunilah dosaku, rahmatilah aku, tutupkanlah keaibanku, berilah aku petunjuk dan kurniakanlah aku rezeki." Manakala di dalam riwayat Ibnu Majah (ditambah): "Angkatkanlah kedudukanku." (Hadis riwayat At-Tirmidzi)

Dalam hadis yang lain yang bermaksud :

"Daripada Ibnu ‘Abbas sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam membaca ketika duduk antara dua sujud: "Ya Allah! Ampunilah dosaku, rahmatilah aku, ‘afiatkanlah aku, dan berilah petunjuk serta rezki kepadaku." (Hadis riwayat Abu Dawud)

Doa yang pendek dan ringkas ini merupakan hasrat suci dan rangkuman pengharapan seorang hamba terhadap Penciptanya serta rasa bimbang terhadap dosa-dosa yang telah lalu. Apa yang kita pohonkan dalam doa ini agar Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

1. Menjadikan kita seorang manusia yang mencintai jalan kebenaran dan jika kita tersesat atau menyimpang daripada jalan-Nya yang lurus, kita memohon petunjuk agar dikembalikan ke jalan yang benar.

2. Mengurniakan rahmat-Nya yang melimpah ruah kepada kita, iaitu rahmat yang berupa iman yang teguh, ilmu yang bermanfaat, sihat dan sejahtera, kehidupan yang baik dan diredhai-Nya.

3. Menutup serta menggantikan segala kekurangan atau cacat cela diri kita dengan kebaikan.

4.Menjauhkan diri dan keluarga daripada segala mala petaka hidup di dunia dan azab sengsara di Akhirat.

5.Menetapkan hidup di atas jalan agama-Nya yang lurus dan sentiasa membimbing segala tindak-tanduk kita dengan taufik dan hidayat-Nya.

6. Memohon keampunan atas segala kesalahan dan dosa serta berharap kepada-Nya agar tidak membiarkan kita terus bergelumang dengan dosa dan kemahuan nafsu yang jahat.

Apa yang kita ucapkan dalam doa ini bukan sekadar permintaan semata, tetapi merupakan pengisytiharan yang dinyatakan di hadapan Allah Subhanahu wa Ta‘ala bahawa itulah matlamat yang hendak kita cari. Ia mesti diikuti dengan usaha-usaha yang gigih, sabar, tekun, yakin, redha dan penuh harapan kepada pertolongan Allah. Dengan cara demikian, barulah Allah akan kabulkan permohonan atau doa itu.

Penutup

Duduk antara dua sujud itu boleh dilakukan sama ada dengan cara duduk iftirash atau iq‘a, malahan tidak membatalkan sembahyang jika dilakukan semua duduk dalam sembahyang sama ada dengan duduk iftirash, tawarruk, atau iq‘a sekalipun berbeza-beza. Walau bagaimanapun duduk iftirash adalah afdhal bagi duduk yang tidak disudahi dengan salam. Manakala duduk tawarruk afdhal dilakukan bagi duduk yang disudahi dengan salam (ketika tahiyyat akhir).

Hendaklah diingat, doa yang pendek ketika duduk antara dua sujud itu selain merupakan isi ibadah, ia juga sebagai pembekal yang melahirkan tenaga penggerak untuk bertindak mengikut lunas-lunas syariat. Ia melahirkan keazaman serta penyerahan yang tulin pada jiwa seorang hamba untuk mencapai apa yang diharapkannya daripada doa itu. Oleh kerana itu hayatilah setiap gerak geri ucapan (doa) dalam sembahyang itu supaya memberi kesan yang baik kepada kemantapan iman.

WALLAHUA'LAM

PERSOALAN RAMBUT

Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu
`Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah

Rambut adalah bulu yang tumbuh di kepala atau sesuatu yang seperti rambut. (Kamus Dewan: 1094)

Dalam Islam rambut mempunyai hukum tertentu seperti mencukur rambut anak yang baru lahir, masalah mengqaza‘ rambut, menyambung rambut dan mewarnainya. Inilah masalah-masalah yang akan dijelaskan.

Mencukur Rambut Anak Baru Lahir

Sunat dicukur keseluruhan rambut anak damit pada hari ketujuh selepas kelahirannya, sama ada anak itu lelaki ataupun perempuan. Menurut pendapat yang ashah, sunat mencukur rambut anak itu selepas menyembelih binatang aqiqah. (Al-Majmu‘: 8/324-325) Sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya :

"Anak-anak tergadai (terikat) dengan aqiqahnya, disembelih (aqiqah) untuknya pada hari ketujuh (kelahirannya) dan diberi namanya serta dicukur rambutnya."
(Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Demikian juga, sunat disedekahkan emas atau perak setelah ditimbang berat rambut yang dicukur itu kepada fakir miskin, jika berkemampuan. Jika tidak mampu, maka tidaklah diberatkan ke atas ibu bapa anak damit tersebut melainkan sekadar yang terupaya, umpamanya digantikan dengan nilaian wang atau sebagainya mengikut kemampuan. Hal ini bersandarkan kepada hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada ‘Ali bin Abu Thalib katanya yang bermaksud :

"Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah beraqiqah untuk Hasan dengan seekor kambing dan Baginda bersabda: "Wahai Fatimah! Cukurlah kepalanya (rambutnya) dan bersedekahlah seberat timbangan rambutnya itu dengan perak." (‘Ali) berkata: "Lalu dia (Fatimah) timbang (rambut anaknya itu), maka beratnya adalah satu dirham atau setengah dirham."
(Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Qaza‘

Terdapat bentuk cukuran yang dilarang oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam iaitu apa yang disebut dalam bahasa Arab sebagai qaza‘ (قزع). Qaza‘ ialah mencukur sebahagian rambut dan meninggalkan sebahagian yang lain. Sama ada mencukur di tengah kepala dan meninggalkan yang tepi, mencukur di tepi meninggalkan rambut di tengah atau mencukur rambut depan meninggalkan rambut belakang atau sebaliknya. Hukum melakukan qaza‘ ini adalah makruh. (Al-Majmu‘, kitab ath-thaharah bab as-siwak: 1/363-364)

Larangan melakukan qaza‘ ini telah disebut dengan jelas di dalam hadis daripada ‘Abdullah bin ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma katanya yang bermaksud :

"Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menegah daripada melakukan qaza‘ (mencukur sebahagian daripada rambut kepala)."
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis yang lain daripada ‘Abdullah bin ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma yang bermaksud :

"Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah melihat seorang kanak-kanak yang dicukur sebahagian rambutnya dan ditinggalkan sebahagian yang lain, lalu Nabi melarang mereka berbuat demikian dan Baginda bersabda: "Kamu cukur (rambut itu) kesemuanya atau kamu tinggalkan kesemuanya (tidak mencukurnya)."
(Hadis riwayat Abu Daud)

Menyambung Rambut

Haram menyambung rambut dengan rambut ke atas lelaki dan perempuan. (Al-Majmu‘, kitab ath-thaharah bab as-siwak: 1/364) Malahan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam melaknat orang-orang yang melakukan perbuatan demikian. Sebagaimana disebutkan oleh beberapa hadis di antaranya daripada Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma berkata:

Maksudnya: "Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam melaknat perempuan yang menyambung rambut dengan rambut yang lain, orang yang meminta sambungkan rambut dan orang yang bertatu."
(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Hadis di atas jelas menerangkan bahawa menyambung rambut perempuan dengan rambut orang lain atau meminta orang lain menyambungkan rambutnya dengan rambut orang lain adalah haram.

Dalam hal menyambung rambut ini para ashab (‘ulama-‘ulama Asy-Syafi‘e) telah menghuraikannya dengan lebih jelas, iaitu tiada perbezaan pendapat ‘ulama mengenai hukum haram menyambung rambut dengan rambut manusia, sama ada rambut lelaki atau perempuan ataupun rambut suami atau mahram. Ini kerana menggunakan atau memanfaatkan rambut manusia adalah haram disebabkan kemuliaannya.

Jika rambut itu bukan berasal daripada manusia dan ianya najis seperti bulu daripada bangkai binatang atau bulu binatang yang tidak boleh dimakan adalah haram disambung dengannya. Sementara rambut bukan kepunyaan manusia yang suci, jika perempuan itu tidak bersuami maka haram dia menyambungnya, melainkan bagi perempuan yang bersuami dan diizinkan oleh suaminya. (Shahih Muslim Bisyarh An-Nawawi: 7/359-360)

Mewarnai Rambut

Para Fuqaha telah sepakat mencela perbuatan mewarnai rambut atau janggut dengan warna hitam. Adapun pendapat yang shahih mengatakan bahawa ianya haram melainkan ke atas orang-orang yang berjihad. (Al-Majmu‘, kitab ath-thaharah bab as-siwak: 1/360-361) Dalil haram mewarnai rambut atau janggut dengan warna hitam itu adalah berdasarkan riwayat daripada Jabir Radhiallahu ‘anhu katanya yang bermaksud :

"Pada hari penaklukan Mekkah dibawa Abu Quhafah ke hadapan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan rambut dan janggutnya memutih seperti tsaqhamah (sejenis tumbuhan yang bunga dan buahnya berwarna putih). Maka Baginda bersabda: "Tukarlah ini dengan sesuatu, tetapi jauhilah warna hitam."
(Hadis riwayat Muslim)

Sementara hadis daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma katanya:

Maksudnya: "Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Di akhir zaman akan banyak kaum yang mewarnai rambut dengan warna hitam, seperti dada burung merpati. Mereka tidak dapat menikmati harumnya bau syurga."
(Hadis riwayat Abu Daud)

Menurut mazhab as-Syafi‘e, bahawa tidak ada perbezaan di antara lelaki dan perempuan dalam larangan mewarnai rambut dengan warna hitam itu. Akan tetapi menurut Ishaq bin Rahawiyah, hal ini diberi kelonggaran ke atas perempuan bagi tujuan berhias untuk suami. (Al-Majmu‘, kitab ath-thaharah bab as-siwak: 1/360-362) Demikian juga menurut As-Syihab Ar-Ramli, harus bagi perempuan yang bersuami mewarnai rambutnya dengan warna hitam jika dengan izin suami. (Bughyah Al-Musytarsyidin, bab Aqiqah: 78)

Sunat mewarnai rambut atau janggut yang beruban dengan warna kekuningan atau kemerahan, sebagaimana yang telah disepakati oleh para ashab. (Al-Majmu‘, kitab ath-thaharah bab as-siwak: 1/360-362) Hadis daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu katanya yang bermaksud :

"Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Bahawasanya orang-orang Yahudi dan Nashrani tidak mewarnai (rambut atau janggut mereka), kerana itu buatlah kelainan daripada mereka."
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Oleh kerana rambut itu ada ketikanya mempunyai hubungan dengan ibadat, maka adalah wajar diketahui hukumnya, kerana adakalanya tanpa menggunting atau mencukur rambut seseorang itu akan dikenakan fidyah (dam) sebagaimana perkara ini dihuraikan dalam ibadat haji.

Beberapa persoalan rambut di antaranya rambut yang beruban, menyikat rambut dan meminyakinya, membelah rambut, orang yang masuk Islam, ketika melakukan ibadah korban, tahallul, dam ketika haji dan masalah potongan rambut.

1. Uban

Makruh mencabut uban ataupun janggut yang beruban dan makruh membakarnya dengan api ataupun sebagainya supaya nampak seperti orang yang sudah tua. (Mughni al-Muhtaj, kitab al-udhiyyah fasal fi al-aqiqah: 4/374)

Larangan mencabut uban ini telah disebutkan dalam hadis daripada ‘Amr bin Syu‘aib daripada ayahnya daripada neneknya berkata yang maksudnya :

“Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang daripada mencabut uban (kepala atau janggut) dan Baginda bersabda: “Sesungguhnya uban itu cahaya orang muslim.”
(Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Hadis yang lain, daripada ‘Amr bin Syu‘aib daripada ayahnya daripada neneknya berkata yang maksudnya :

Maksudnya: “Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Jangan kamu cabut uban. Tiada daripada seorang muslim beruban dengan satu uban di dalam Islam, berkata Musaddad (periwayat) daripada Sufyan: “Melainkan bagi uban itu cahaya di hari qiamat.” Sementara katanya (periwayat) dalam hadis Yahya: “Melainkan Allah menulis baginya dengan sehelai uban itu satu kebajikan dan menggugurkan daripadanya (orang itu) dengan sehelai uban itu satu kesalahan.”
(Hadis riwayat Abu Daud)

2. Menyikat Rambut Dan Meminyakinya

Sunat sekali sekala (ghibban) menyikat rambut dan meminyakinya. Adapun yang dimaksudkan dengan sekali sekala itu ialah, apabila kita meminyaki rambut, maka tunggulah ia sehingga kering baharulah diminyaki sekali lagi. (Al-Majmu‘, kitab ath-thaharah bab as-siwak: 1/359-360) Hadis daripada ‘Abdullah bin Mughaffil katanya yang maksudnya :

“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang daripada berdandan dengan berlebihan (at-tarajjul) secara berterusan setiap masa.”
(Hadis riwayat Abu Daud, at-Tirmidzi dan an-Nasaie)

Hadis di atas menunjukkan bahawa, makruh melakukan tarajjul dengan berterusan setiap waktu kerana ianya adalah salah satu daripada perkara bersenang-lenang. Maksud larangan di atas, ialah jangan terlalu sibuk memberi perhatian yang lebih pada tarajjul tersebut. (Bazlul Majhud, kitab At-Tarajjul: 17/43-44)

3. Membelah Rambut

Sunat membelah rambut menjadi dua belahan, berserta dengan minyak, air atau sebagainya. (Al-Majmu‘, kitab ath-thaharah bab as-siwak: 1/363) Sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhu katanya yang maksudnya :

Maksudnya: “Kebiasaan ahli kitab menguraikan rambutnya. Kebiasaan orang-orang musyrik menyisir rambutnya menjadi dua belahan. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam suka menyamai dengan ahli kitab dalam hal yang tidak diperintahkan. Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menguraikan rambut ubun-ubunnya, kemudian setelah itu menyisirnya menjadi dua belahan.”
(Hadis riwayat Muslim)

4. Masuk Islam

Sunat bagi lelaki yang baru memeluk agama Islam mencukur keseluruhan rambutnya. (Bujairimi ‘ala al-Khatib, : 4/437-438)

5. Ketika Melakukan Ibadah Korban

Apabila masuk 10 Zulhijjah, disunatkan bagi orang yang hendak membuat korban untuk dirinya supaya tidak mengunting atau mencukur rambut, mengerat kuku atau lain-lain sehinggalah dia selesai menjalankan upacara korban itu. Hikmatnya supaya mendapat keampunan serta lepas daripada seksaan api neraka.

6. Tahallul
Mencukur atau menggunting rambut adalah salah satu daripada rukun haji atau umrah iaitu tahallul. Melakukan tahallul itu sekurang-kurangnya menggunting tiga helai rambut dan yang afdhalnya bagi lelaki adalah mencukur keseluruhan rambut. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya :

Tafsirnya: “Mencukur kepala kamu dan kalau (tidak pun) mengguntingnya.”
(Surah Al-Fath: 27)

Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam hadis Baginda memohon supaya dikurniakan rahmat kepada orang-orang yang menggunting atau mencukur rambut kerana tahallul dalam ibadah haji. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya :

“Ya Allah kurniakan rahmat kepada orang-orang yang bercukur” Mereka berkata: “Dan orang-orang yang menggunting rambut ya Rasulullah” Baginda bersabda: “Ya Allah kurniakan rahmat kepada orang-orang yang bercukur” Mereka berkata: “Dan orang-orang yang menggunting rambut ya Rasulullah” Baginda bersabda: “Dan orang-orang yang menggunting rambut.”
(Hadis riwayat Al-Bukhari)

Adapun bagi perempuan pula, hendaklah menggunting rambut sahaja tanpa mencukurnya. Menurut pendapat yang ashah, makruh bagi perempuan mencukur rambut. (I‘anah Ath-Thalibin, bab Haji: 2/454-455) Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya :

“Tidak dituntut ke atas perempuan mencukur rambut, sesungguhnya yang dituntut ke atas perempuan hanyalah menggunting rambut.”
(Hadis riwayat Abu Daud)

7. Dam Ketika Haji

Haram ke atas orang yang berihram menggugurkan rambutnya walaupun sehelai, sama ada dengan dicukur, gunting, cabut, bakar atau sebagainya, maka wajib ke atasnya membayar dam. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya :

“Dan jangan kamu mencukur kepala kamu (untuk bertahallul, sebelum binatang dam itu sampai (dan disembelih) ditempatnya.”
(Surah Al-Baqarah: 196)

Tidaklah menjadi haram ke atas orang yang berihram apabila dia mencukur rambutnya kerana sesuatu sebab seperti adanya kutu kepala yang menyakiti atau disebabkan luka. Maka dalam hal ini ia hanyalah diwajibkan membayar fidyah sahaja. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya :

“Maka sesiapa di antara kamu sakit atau terdapat sesuatu yang menyakiti di kepalanya (lalu ia mencukur rambutnya) hendaklah ia membayar fidyah iaitu puasa atau bersedekah atau menyembelih dam.”
(Surah Al-Baqarah: 196)

Adapun bulu mata atau bulu kening yang panjang sehingga menutupi mata, jika digugurkan bulu tersebut maka tidaklah haram dan tidak juga diwajibkan fidyah ke atasnya.

Perbezaan di antara kedua hukum di atas (tidak wajib fidyah dan sebaliknya) adalah kerana perkara yang menyakiti orang yang berihram itu adalah bulu itu sendiri, maka tidak diwajibkan fidyah, sementara hukum wajib fidyah itu adalah kerana rambut itu tidak menyakitinya, akan tetapi yang menyakiti itu adalah apa yang ada pada rambut itu. (I‘anah Ath-Thalibin, bab Haji, Fasal Fi Muharramat Al-Ihram: 2/500-501

Syarat wajib membayar dam disebabkan gugur rambut itu ialah:

1. Hendaklah ianya mumayyiz.
2. Gugurnya rambut itu bukan disebabkan rambut itu menyakitinya.
3. Bukan disebabkan orang lain yang mencabutnya sedangkan dia tidak menyuruhnya atau tidak berdaya untuk melarangnya. Dalam hal ini wajib pula ke atas orang lain yang mengugurkan itu membayar dam untuknya. (Fath Al-‘Allam: 4/451-452)

8. Menanam Rambut Yang Dipotong

Rambut perempuan yang dipotong, kuku kaki dan bulu-bulu yang haram dilihat adalah wajib disembunyikan daripada pandangan orang lain. Demikianlah juga bulu ari-ari lelaki, wajib disembunyikan daripada pandangan orang lain. Ini kerana setiap sesuatu yang haram dilihat daripada anggota lelaki atau perempuan ketika bersambung (anggota tersebut), adalah haram juga dilihat ketika ianya bercerai. (I‘anah Ath-Thalibin, bab an-nikah: 3/416)

Oleh yang demikian sunat bagi perempuan dan lelaki menanam potongan kuku, rambut dan lain-lain bulu di dalam tanah. (Al-Majmu‘, kitab ath-thaharah bab as-siwak: 1/357)

Menurut kitab Al-Ihya’, jika seseorang itu dalam keadaan junub atau berhadas besar, jangan dia memotong rambut, kuku atau mengeluarkan darah atau memotong sesuatu yang jelas daripada badannya sebelum dia mandi junub. (I‘anah Ath-Thalibin, bab ash-shalah: 1/131)

9. Rambut Itu Aurat

Selain daripada leher, lengan dan seluruh anggota badan (melainkan muka dan dua tapak tangan sehingga pergelangan), rambut juga termasuk dalam aurat perempuan yang wajib ditutup daripada pandangan orang lain. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya :

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.”
(Surah An-Nur: 31)

Sesungguhnya pada rambut itu banyak perkara-perkara yang berhubungkait dengan hukum, sama ada perkara yang dilarang atau yang disunatkan. Oleh yang demikian, adalah wajar diketahui perkara-perkara tersebut agar tidak ketinggalan dalam mempertingkatkan amal atau tidak terlanjur pada melakukan kesalahan.
Sumber: Fatwa Kerajaan Brunei Darussalam