Sahabat Ilmu

Memaparkan catatan dengan label TAFSIR AL-QURAN. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label TAFSIR AL-QURAN. Papar semua catatan

Isnin, 5 Mac 2012

Pengembaraanku ke dalam Surah al-Hasyr ayat 21

OLEH: Abu Zulfiqar


“Sekiranya Kami turunkan Al Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau akan melihat gunung itu khusyuk serta terpecah-belah kerana takut kepada Allah. Dan misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia supaya mereka memikirkannya.” (Surah al-Hasyr: 21)

Allah minta kita berfikir tentang perbandingan ini. Berapa ramai orang yang mengajak kita untuk berfikir tentang ayat-ayat al Quran? Sudah berapa ramai pula orang yang kita ajak untuk berfikrir tentang ayat-ayat al-Quran?

Satu renungan yang bermanafaat untuk kita semua.

Apa yang boleh kita fikirkan? Antaranya ialah keteguhan Nabi Muhammad saw menerima wahyu. Alangkah hebatnya kekasih kita itu! Apa yang tidak mampu ditanggung oleh gunung–ganang berjaya ditanggung oleh baginda sepanjang lebih-kurang 23 tahun, padahal tubuh badannya kecil berbanding gunung. Tetapi pernahkah kita menyahut seruan Allah untuk berfikir dan mengambil pengajaran daripada perbandingan di atas?

Kita menghayati ayat dan perbandingan ini sebagai mengenang susah payah kekasih Kita Nabi Muhammad saw menerima wahyu untuk disebarkan kepada kita. Semoga kita dapat berkongsi serba-sedikit apa yang baginda lalui dan seterusnya meningkatkan rasa kasih sayang kita kepadanya. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Dari Aisyah Ummul Mukminin katanya;

Wahyu yang mula-mula turun kepada Rasulullah saw ialah berupa mimpi baik sewaktu dia tidur. Biasanya mimpi itu ternampak jelas olehnya seperti jelasnya cuaca pagi. Sejak itu hatinya tertarik untuk mengasingkan diri ke Gua Hira’. Di sana beliau beribadat beberapa malam, tidak pulang ke rumah isterinya. (Bukhari)

Dalam perjalanan baginda untuk menerima wahyu-wahyu terawal, sudah nampak pengorbanan baginda. Baginda mengasingkan diri ke tempat sunyi, beruzlah (bab uzlah akan diperkatakan di bawah nanti), berkhalwat, jauh daripada keseronokan dunia dan orang ramai. Bolehkah kita mengorbankan sedikit daripada keseronokan dunia kita untuk menggerakkan agama Allah? Bolehkah kita mengorbankan banyak keseronokan dunia untuk menggerakkan agama Allah?

Sabda Rasulullah saw:

“Kadang-kadang wahyu datang kepadaku seperti bunyi loceng. Itulah yang sangat berat bagiku. Setelah bunyi itu berhenti, lalu aku mengerti apa yang dikatakannya. Kadang-kadang malaikat menjelma seperti seorang lelaki datang kepadaku. Dia berbicara kepadaku dan aku mengerti apa yang dikatakannya.”(Bukhari)

Kata Aisyah:

“Aku pernah melihat sewaktu wahyu turun kepadanya pada suatu hari yang sangat dingin. Selepas wahyu itu berhenti turun, kelihatan dahinya bersimbah peluh.”(Bukhari)

Sabda baginda saw:

“Pada suatu ketika sedang aku berjalan-jalan tiba-tiba kedengaran olehku satu suara dari langit. Maka kuangkat pandanganku ke arah datangnya suara itu. Kelihatan olehku malaikat yang pernah datang kepadaku di gua Hira’ dulu. Dia berada di kursi antara langit dan bumi. Aku terperanjat kerananya dan terus pulang. Aku berkata kepada Khadijah: “Selimutkan aku.”(Bukhari)

Rupa-rupanya bukanlah senang bagi seseorang bertaraf Nabi malahan Rasul untuk menerima wahyu. Ada kalanya ia memberatkan minda dan melemahkan anggota tubuh. Apa yang dikesalkan, sikap sebahagian umat yang mengaku Islam hari ini mengabaikan kitab Perjanjian Terakhir al-Quran dengan mudah-mudah sahaja sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Ini bermakna mereka tidak menghargai susah-payah Rasulullah saw.

Berkaitan uzlah, banyak juga manusia yang mengetahuinya tetapi kurang yang mempraktikkannya. Terdapat tiga jenis uzlah:

1. UZLAH JASMANI - seperti mengasingkan diri ke tempat-tempat yang jauh daripada hiruk-pikuk manusia namun fikiran atau hatinya masih bersama hal-hal yang tidak bersangkutan dengan hal ehwal uzlah. Badan jauh tetapi hatinya masih dekat dengan keduniaan. Uzlah jenis ini hampir-hampir tiada berkesan.

2. UZLAH JASMANI DAN ROHANI- seperti mengasingkan diri ke tempat-tempat yang terhindar daripada hiruk-pikuk manusia dan hatinya khusyuk dengan hal ehwal uzlah tersebut. Uzlah jenis ini memang berkesan.

3. UZLAH ROHANI- dia berada di tengah-tengah manusia dan keduniaan tetapi hatinya tidak terpengaruh dengan semua itu bahkan keadaannya tak ubah seperti hati orang yang sedang menjalani uzlah jenis kedua tadi. Inilah uzlah tertinggi, sangat sukar untuk menguasainya.

Wallahualam.

“BerTuhankan Allah, Bersyariatkan Syariat Muhammad saw”

Rabu, 15 Februari 2012

HIKMAH


"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. "
(2:216)

Khamis, 9 Februari 2012

Mengapa langit dan bumi enggan menangis?

Firman Allah s.w.t. bermaksud: “Mereka (ketika dibinasakan) itu tidak ditangisi oleh langit dan bumi (atau penduduk keduanya) dan mereka pula tidak diberi tempoh lagi.” Ad-Dukhan:29

Dalam tafsirnya, Ibn Kathir berkata: maksudnya mereka tidak mempunyai amal soleh yang dibawa naik ke langit, maka langit tidak menangis kerana kehilangan amal soleh tersebut. Di bumi juga mereka tidak ada tempat yang mereka jadikan untuk menyembah Allah, maka bumipun tidak rasa kehilangan dengan kematian mereka. Lantaran itu layaklah mereka tidak diberi tempoh dan tidak dilewatkan dengan sebab kekufuran mereka, kejahatan mereka, jenayah mereka dan kedegilan mereka.

Al-Hafidz al-Musili meriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a., Nabi s.a.w. bersabda (maksudnya): “Tidak ada seorang hambapun kecuali ada baginya dua pintu di langit. Satu daripadanya ialah yang keluar darinya rezekinya dan satu lagi pintu yang darinya masuk amalan dan perkataannya. Apabila hamba itu mati, kedua-dua pintu tersebut akan rasa kehilangan. Maka kedua-duanya menangis.” Lalu dia membaca ayat ini (Ad-Dukhan:29).

Disebutkan juga bahawa mereka tidak beramal dengan amal soleh di atas muka bumi yang boleh membuatkan bumi menangis kerana kehilangannya, dan tidak pernah dinaikkan ke langit kata-kata mereka yang baik juga amal mereka yang soleh yang boleh membuatkan langit menangis kerana kehilangannya.

Ibn Abi Hatim meriwayatkan dari Ubbad bin Abdullah, katanya: seorang lelaki bertanya Sayyidina Ali r.a.: “Adakah langit dan bumi akan menangis kerana kematian seseorang?” Beliau menjawab: “Sesungguhnya engkau telah bertanyaku soalan yang tidak pernah ditanya oleh seseorang sebelummu. Sesungguhnya tiada seorang hamba kecuali dia mempunyai tempat solat di dunia dan tempat naik amalannya di langit. Dan sesungguhnya Aali (kelaurga) Firaun, mereka tidak mempunyai amal soleh di bumi dan tidak ada amal yang dinaikkan ke langit. Kemudian beliau membacakan ayat (Ad-Dukhan:29)

Ibn Jarir berkata, Sa’eid Ibn Jubair berkata: Ibn Abbas r.a. dikunjungi seorang lelaki, lalu bertanya: “Wahai Abu al-Abbas, apa pendapat anda tentang firman Allah (ad-Dukhan:29)? Adakah langit dan bumi menangis kerana kematian seseorang? Ibn Abbas r.a. menjawab: “Ya! Sesungguhnya tidak ada seorangpun daripada makhluk ini kecuali baginya pintu di langit yang turun darinya rezekinya, yang naik darinya amalnya. Apabila seorang mu’min meninggal dunia, ditutup pintu yang menjadi saluran naik amalnya dan turun rezekinya. Maka dia akan kehilangan, lalu dia menangis. Dan apabila bumi kehilangan musalla tempat dia selalu solat dan berzikir, bumi juga akan menangis. Dan sesungguhnya kaum Firaun, mereka tidak mempunyai kesan-kesan amal soleh di bumi, dan tidak dinaikkan kepada Allah apa-apa kebaikan daripada mereka. Maka langit dan bumi tidak menangis kerana kehilangan mereka.”

Sufyan ath-Thauri berkata: “Bumi menangis kerana kematian seorang mu’min selama 40 pagi.”
Mujahid berkata: “Tidak mati seorang mu’min kecuali langit dan bumi akan menangis selama 40 pagi.” Dia ditanya: “Adakah bumi menangis?” Dia menjawab: “Adakah kamu hairan? Bagaimana bumi tidak menangis, padahal dia kehilangan seorang hamba yang memakmurkannya dengan rukuk dan sujud? Bagaimana langit tidak menangis, pada hal dia kehilangan seorang hamba yang takbirnya serta tahmidnya berdengung seperti dengungan lebah?”

“Mereka (ketika dibinasakan) itu tidak ditangisi oleh langit dan bumi (atau penduduk keduanya) dan mereka pula tidak diberi tempoh lagi.”

Menurut Sayyid Qutub, ungkapan dalam ayat ini menggambarkan betapa hina dan tidak bergunanya para dictator yang sombong dan bongkak itu. Tiada seorangpun di langit dan di bumi yang pedulikan mereka, tiada seorangpun yang berdukacita dan berasa kehilangan. Mereka hilang seperti hilangnya semut, sedangkan semasa hidup mereka memijak manusia dengan tapak kasut. Mereka pergi tanpa diiringi rasa sedih. Seluruh dunia membenci dan mengutuk mereka kerana dunia beriman kepada Tuhannya sedang mereka kafir. Mereka adalah ruh-ruh jahat, busuk dan terasing dari alam tempat mereka hidup.

Kalaulah mereka tahu, betapa ungkapan di atas menggambarkan betapa hinanya mereka di sisi Allah dan di sisi wujud ini keseluruhannya, nescaya mereka akan mengerti betapa mereka sebenarnya orang-orang terbuang dan tersingkir. Mereka tidak mempunyai ikatan keimanan dan apa-apa ikatan yang baik.

~maznah daud~

Rabu, 16 November 2011

Benarkah al-Quran mempunyai 6666 ayat?

Kes 1
Saya pernah tanya kepada pelajar saya (sekadar untuk menguji), berapakah bilangan ayat al-Quran?
Lalu jawabnya, “6,666 ayat.”
“Siapa yang bagitau?” Tanya saya lagi.
Dia menjawab, “Ustaz ditempat saya belajar yang bagitau.”

Kes 2
Saya dengar seorang ustaz merangkap imam di salah sebuah masjid semasa menyampaikan tazkirah dia ada menyebut yang al-Quran ini mempunyai 6,666 ayat. Bukan sekali tapi banyak kali juga. Sesudah dia memberi tazkirah saya menyapanya. Kebetulan saya dengan ustaz tersebut saling kenal mengenali. Saya tanya cara baik, “Ustaz betulkah al-Quran yang kita baca ini mempunyai 6,666 ayat?”

Mungkin ustaz tersebut terkejut dengan
pertanyaan saya, lalu dijawabnya, “Bukan begitu sebenarnya banyak pendapat…ulama’ khilaf dalam soal bilangan ayat al-Quran nie. 6,666 ayat ini pun khilaf juga!”

Bersungguh ustaz itu menafi…jadi saya pun terdiam jerlah. Mungkin dapat saya tegur pada lain masa. Masa itu tidak sesuai sangat untuk saya syarah lebih panjang lebar bab ini. :)

Benarkah terdapat khilaf 6,666 ayat?

Kes 3
Bulan depan anak dara Mak Ngah yang baru balik dari Mesir nak kahwin dengan putera di raja. “Berapa hantarannya?” sapa jiran kepada Mak Ngah. “Aik! Enam puluh enam ribu enam ratus enam puluh enamlah, ayat Qurankan enam enam enam semuanya” jawab Mak Ngah dengan penuh yakin.

Jadi pada tanggal 6/6/06 tarikh keramat telah dipilih untuk majlis perkahwinan diraja yang cukup bermakna ini. Siangnya upacara akad nikah di masjid simpang Enam dan kenduri makan nasi hujan panas oleh Katering Enam bersaudara. Malamnya majlis khatam al-Quran oleh dua mempelai untuk habiskan bacaan 6666 ayat al-Quran bagi mendapat keberkatan dari Allah swt untuk mereka berdua, ujar Mak Ngah kepada jiran tetangga.

Betul ke Mak Ngah?

Kes 4
Semasa saya belajar dulu, saya pernah bertanya kepada Syeikh tempat saya bertalaqi al-Quran dengannya. Saya tanya, “Benarkah al-Quran mempunyai 6,666 ayat?” Apa jawabnya, “Semuanya itu karut. Tidak ada pendapat pun yang menyatakan al-Quran mempunyai 6,666 ayat.”

Persoalannya…Benarkah al-Quran mempunyai 6,666 ayat?

Mungkin dikalangan kita sering terdengar sesetengah
orang Melayu Islam menyatakan bahawa jumlah ayat di dalam al-Qur’an adalah enam ribu, enam ratus, dan enam puluh enam (6,666). Angka itu manis disebut, senang diingat, dan sedap didengar. Kadang-kadang orang yang menyebutnya itu bukan sebarangan orang, ustaz-ustaz, penceramah dan tuk imam.

Namun begitu, bukan semua yang sedap didengar dan senang diingat yang dikeluarkan daripada mulut yang manis itu benar. Haruslah diperiksa dahulu sebelum menerimanya bulat-bulat. Apatah lagi kalau ia mengenai agama kerana syaitan juga boleh berbuat demikian. Firman Allah S.W.T di dalam surah al-An’am ayat 112 yang bermaksud:

“Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap nabi itu musuh, iaitu syaitan (dari kalangan) manusia dan (dari kalangan) jin, sebahagian mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain perkataan-perkataan yang indah-indah untuk menipu (manusia). Jika Tuhanmu menghendaki, nescaya mereka tidak mengerjakannya, maka tinggalkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan.”

Berkaitan dengan jumlah ayat-ayat al-Quran, jumhur ulama telah sepakat mengatakan jumlah ayat al-Quran ialah 6,200 ayat lebih. Untuk itu, ulama berselisih pendapat tentang jumlah tepat atau berapa jumlah sebenarnya yang dikatakan lebih 6,200 itu.

Berikut ialah Matan yang dipetik daripada Kitab Fawasil Syarah Naazimatul Al-Zuhri fi ‘Ulum Al-Fawasil karangan al-Imam Al-Syatibi R.A


Perbahasan UlamaSahabat-sahabat yang dikasihi sekelian, di sana ulama tidak bersepakat dalam menentukan bilangan ayat al-Quran atas beberapa faktor yang akan saya kupaskan kemudian. Ilmu ini dibincang secara mendalam oleh ulama, dan ilmu ini diberi nama Ilmu Fawasil.

Fawasil ialah satu ilmu yang membahaskan tentang surah dan bilangan ayat al-Quran secara khusus dari segi bilangan ayat bagi satu-satu surah, hujung setiap ayat (ra’su al-ayah), dan permulaan ayat. Mafhum Matan di atas ialah keterangan-keterang berkenaan sanad-sanad Imam-imam Fawasil yang telah saya ringkaskan seperti jadual di bawah:

Jumlah Ayat
Sanad
Nama Imam
Imam
6217
(Abu Ja’far) Yazid bin Al-Qa’qaa’ & As-Syaibah bin Nasoh
Nafi’
Al-Madani Al-Awwal
1 - Ahli Kufah – Ahli Madinah – Nafi’ – (Abu Ja’far) Yazid bin Al-Qa’qaa’ & As-Syaibah bin Nasoh
6214
2- Ahli Basrah – Warsh – Nafi’ – (Abu Ja’far) Yazid bin Al-Qa’qaa’ & As-Syaibah bin Nasoh
6214
Sulaiman bin Jammaz – (Abu Ja’far) Yazid bin Al-Qa’qaa’ & As-Syaibah bin Nasoh
Ismail bin Ja’far
Al-Madani At-Thani
6210
Abdullah bin Kathber al-Qari – Mujahid bin Jaber – Ibnu Abbas – Ubai bin Ka’ab – Rasulullah S.A.W
Al-Imam Al-Madani
Al-Makki
6227
Abdullah bin ‘Amir al-Yuhsobi – Abu Ad-Darda’ – Uthman bin ‘Affan
Ad-Dimashqi
Yahya Az-Zamaari
As-Syaami
6226
Abdullah bin ‘Amir al-Yuhsobi – Abu Ad-Darda’ – Uthman bin ‘Affan
Sodoqah – Yahya Az-Zamaari (tidak kira Basmalah sebagai ayat)
6232
Khalid bin Ma’daan As-Salmy Al-Himsi Al-Hardhomi
Al-Himsi
Abu Haiwah Syuraih bin Yazid Al-Himsi
Al-Hardhomi
6236 (Bilangan yang masyhur)
Ali bin Abi Tholib
Hamzah & Sufian
Al-Kuufi
6217
(Abu Ja’far) Yazid bin Al-Qa’qaa’ & As-Syaibah bin Nasoh
Ahli Kuufah
Ahli Madina
Nafi’
6204
Ayyub bin Al-Mutawakil
Atho’ bin Yasaar & ‘Asim Al-Jahdari
Al-Basri


SUMBER PENGAMBILAN ILMU INI:Matan daripada kitab.

Maka apa yang dapat saya faham mengikut pengarang kitab tersebut (al-Imam Al-Syatibi R.A), saya dapat rumuskan, sumber pengambilan ilmu fawasil ini ialah:

1- Berdasarkan nas-nas yang sahih daripada Rasulullah S.W.T melalui riwayat-riwayat para sahabat R.A
2- Rasulullah sendiri yang mengira (menentukan akhir ayat) dan mengajarkannya kepada sahabat

Mengapa berlaku perselisihan dalam membilang ayat al-Quran?
Pertama sekali, kita perlu melihat dari sudut mengapa ulama bersungguh-sungguh dalam membentuk ilmu ini? Menyusun dan meletakkan kaedah-kaedah secara terperinci dengan sehabis-habis kesungguhan.

Ini adalah kerana dari kesungguhan al-Salaf al-Soleh sendiri iaitu para sahabat ra yang hidup bersama-sama dengan Rasulullah S.A.W, yang mereka ini sering memerhati, melihat dan mengambil kira semua gerak-geri, pertuturan, dan pendirian Rasulullah S.A.W.

Rasulullah S.A.W sendiri mengaku akan kesungguhan mereka dalam berpegang dengan agama Islam seperti sabda Baginda Rasulullah S.A.W :


“Sebaik-baik umatku adalah kurun yang aku diutuskan kepada mereka, kemudian kurun yang berikutnya “.( Riwayat Muslim dalam sahihnya, hadis ke-2534)

Di sini bermaksud, bahawasanya merekalah orang yang bersungguh dalam menjelaskan bilangan ayat-ayat al-Quran dan huruf-hurufnya. Mereka mengira-ngira ayat al-Quran ketika dalam solat. Sibuk mengira-ngira dengan jari-jemari mereka ketika solat akan berapa ayat yang sudah dibaca oleh Rasulullah S.A.W atau mereka sendiri ketika solat malam dan sebagainya kerana anjuran dari Rasulullah S.A.W supaya mereka meraih sebanyak mungkin pahala membaca dengan bilangan tertentu.

Sebenarnya perbahasan tentang ilmu ini amatlah panjang. Apa yang penting semua riwayat di atas sampai sanadnya hingga Rasulullah S.A.W

Tips mudah

Untuk mengetahui sama ada jumlah 6,666 itu benar atau tidak adalah tidak susah. Cuma ambil sebuah kalkulator dan sebuah kitab al-Qur’an. Mula mengira dari surah al-Fatihah hingga ke surah an-Naas. Campurkan kesemua angka itu, dan jumlah yang didapati adalah jumlah ayat-ayat al-Qur’an yang sebenar.

Wallahu a’lam bissowab.
Rujukan: Al-Quran, Syarah Naazimatul Al-Zuhri fi ‘Ulum Al-Fawasil oleh Imam Syatibi.
http://www.izoblog.com/benarkah-al-quran-mempunyai-6666-ayat/

SELAWAT KEATAS NABI MUHAMMAD S.A.W

Apakah suatu amalan yang dianjurkan oleh Nabi kita untuk sentiasa mengingati beliau, yang berupa selawat atau ayat Al-Quran yang dapat kita hadiahkan kepada Nabi kita itu pada setiap kali sembahyang atau setiap kali kita mengingatinya?Apakah ada nas mengenainya?
JAWAPAN:

Selawat ke atas Rasulullah (S.A.W.) merupakan suatu amalan yang disyariatkan oleh Islam.

Firman Allah (s.w.t) yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya bershalawat untuk Nabi. Hai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya”. [Surah Al-Ahzab: 56]

Manakala di dalam hadith-hadith Rasulullah (S.A.W.), terdapat banyak arahan dan kelebihan-kelebihan yang dinyatakan berkenaan dengan selawat ke atas baginda (S.A.W.), antaranya :-

Sabda Rasulullah (S.A.W.) yang bermaksud: “Barangsiapa yang berselawat ke atasku dengan sekali selawat nescaya Allah (s.w.t) akan berselawat ke atasnya sepuluh kali”. [Hadith riwayat Imam Muslim daripada Abdullah bin Amru bin Al-‘Ass r.a]

Sabda Rasulullah (S.A.W.) yang bermaksud: “Sesungguhnya manusia yang paling utama denganku pada hari kiamat ialah yang paling banyak berselawat ke atasku”. [Hadith riwayat Imam Tirmizi daripada Abdullah bin Mas’ud r.a]
Sabda Rasulullah (S.A.W.) juga yang bermaksud: “Barangsesiapa yang berselawat ke atasku sekali nescaya Allah akan berselawat ke atasnya sepuluh kali”. [Hadith riwayat Imam Muslim daripada Abu Hurairah r.a]

Kedudukan selawat ke atas nabi (S.A.W.) ini merupakan perkara yang diwajibkan menurut sebilangan besar ulama’. Malahan dinukilkan bahawa Al-Imam Al-Qurthubi menyatakannya sebagai ijma’ ulama’. Apa yang diperselisihkan oleh ulama’ ialah adakah selawat itu wajib pada setiap kali majlis dan disebut nama Nabi Muhammad (S.A.W.) atau adakah ianya sunat (bagi yang bersepakat menyatakan ianya wajib seumur hidup).

Dalam hal ini, sebahagian ulama’ menyatakan ianya wajib setiap kali disebut nama Rasulullah (S.A.W.), dan sebahagian yang lain menyatakan wajib sekali di sepanjang majlis meskipun dalam majlis tersebut kerap kali disebut nama Rasulullah (S.A.W.) dan sebahagian yang lain menyatakan wajib memperbanyakkan selawat tanpa terikat dengan bilangan dan tidak memadai sekali seumur hidup.

Menurut jumhur ulama dalam masalah ini, selawat ke atas nabi (S.A.W.) merupakan ibadat dan jalan mendekatkan diri kepada Allah (s.w.t). Seperti juga zikir, tasbih dan tahmid. Ia diwajibkan sekali seumur hidup dan disunatkan pada setiap waktu dan ketika. Sepatutnya juga ke atas setiap muslim memperbanyakkannya.

Berkait juga dengan soalan yang dikemukakan, iaitu tentang hukum selawat dalam sembahyang. Perkara ini berlaku khilaf di kalangan ulama’. Menurut pandangan Mazhab Syafei dan Hanbali, selawat diwajibkan dalam sembahyang dan tidak sah sembahyang tanpa selawat. Manakala dalam Mazhab Maliki dan Hanafi, selawat merupakan perkara yang sunat muakkad dan sah sembahyang tanpanya tetapi dalam keadaan yang makruh.

http://ulamak.pas.org.my

Khamis, 4 Ogos 2011

JOM BERSELAWAT KEPADA RASULULLAH

Firman ALLAH:

"Sesungguhnya ALLAH dan malaikat-malaikat-NYA berselawat keatas Nabi ( sallallaahu`alaihi wasallam ). Wahai golongan yang yang beriman, ucapkanlah selawat dan salam yang sempurna kepadanya (Nabi)."

(Surah Al-Ahzab: ayat 56)
Dari Abdullah bin `Amr bin Al-`As radhiallaahu`anhu, dia mendengar Rasulullah sallallaahu`alaihi wasallam bersabda:

"Sesiapa yang mengucapkan selawat kepadaku, ALLAH berselawat(memberi rahmat) kepadanya sepuluh kali kerana selawatnya itu."

(HR Muslim)

Dari Abdullah bin Mas'ud radhiallaahu`anhu bahawasanya Rasulullah sallallaahu`alaihi wasallam bersabda:

"Manusia yang paling utama bersamaku (nanti) pada hari kiamat ialah orang yang banyak berselawat kepadaku."

(Riwayat Tirmidzi,dia mengatakan hadith ini hasan. Juga diriwayatkan oleh Abdul Rahman `Auf, `Amr bin Rabi'ah Ammar, Abu Talhah, Anas dan Ubai bin Ka'ab) .

Dari Abu Hurairah radhiallaahu`anhu, dia berkata Rasulullah sallallaahu`alaihi wasallam bersabda:

"Seseorang itu amat hina, jika namaku disebutkan di sisinya lalu dia tidak berselawat kepadaku."

(Riwayat Tirmidzi, dia mengatakan hadith ini hasan)

Dari `Ali radhiallaahu`anhu, dia berkata bahawa Rasulullah sallallaahu`alaihi wasallam bersabda:
"Orang yang bakhil itu ialah orang yang jika namaku disebut di sisinya maka dia tidak mahu berselawat kepadaku."

(riwayat tirmidzi, dia mengatakan hadith ini hasan sahih)

Selasa, 2 Ogos 2011

Mengetahui Muka surat Juzuk AlQuran

ASSALAMUALAIKUM

Formula matematik untuk memudahkan pencarian juzuk Al-Quran,sama sama kita dan keluarga kita praktikkan..
Al-Quran adalah peninggalan Rasulullah kpd kita semua umatnya. Ada 2 benda yg Nabi Muhammad s.a.w tinggalkan kepada kita iaitu Al-Quran dan juga Sunnah utk kita semua amalkan. Berapa kali korang baca Al-Quran sehari? 1 kali? 2 kali atau dalam solat sahaja?

Pahala paling senang nak dapat adalah melalui pembacaan Al-Quran kerana setiap huruf diberikan 10 pahala, tambahan pula Al_Quran adalah kalam Allah (dtg daripada Allah sendiri bukan diciptakan manusia)
Tip yg nk kongsikan ni adalah cara utk menghafal muka surat setiap juzuk Al-Quran. Memang menakjubkan kerana hanya dengan menggunakan formula matematik ringkas, kita dapat tahu muka surat setiap juzuk Al-Quran. ****

> Jom sama2 kita belajar...

Contoh 1
> Jika korang ingin mengetahui Juzuk 5 di halaman ke berapa:
> 5-1 = 4, 4 perlu didarab dengan 2 jadi 4 x 2 = 8
> Letakkan no 2 selepas jawapan.
> Jadi, juzuk 5 adalah pada halaman 82
> Sekarang lihat pada Quran dan anda akan lihat Juzuk 5 bermula pada halaman 82. Menarikkan?

Contoh 2
> Jika korang ingin mengetahui Juzuk 10 di halaman ke berapa:
> 10-1 = 9, 9 perlu didarab dengan 2 jadi 9 x 2 = 18
> Letakkan no 2 selepas jawapan.
> Jadi, juzuk 10 adalah pada halaman 182

Contoh 3
> Jika anda ingin mengetahui Juzuk 23 di halaman ke berapa:
> 23-1 = 22, 22 perlu didarab dengan 2 jadi 22 x 2 = 44
> Letakkan no 2 selepas jawapan.
> Jadi, juzu 23 adalah pada halaman 442

Subhanallah, memang menakjubkan kan kawan2. Sama2 kita kongsikan kepada kawan2 kita, adik2 kita, famili2 kita supaya kita sama2 mendapat pahala.

Sumber: melalui e-mail

Rabu, 20 Julai 2011

Kisah Cinta Zulaikha Dan Yusuf a.s.

Oleh : Aburedza

Akibat konspirasi saudara-saudara nabi Yusuf a.s , di negeri Kanaan , baginda terjual di negeri Mesir.

Maka Allah berfirman :

Dan (setelah Yusuf dijualkan di negeri Mesir) berkatalah orang yang membeli Yusuf kepada isterinya: Berilah dia layanan yang sebaik-baiknya; semoga ia berguna kepada kita, atau kita jadikan anak. Dan demikianlah caranya kami berikan kedudukan Yusuf di bumi (Mesir untuk dihormati dan disayangi), dan untuk Kami mengajarnya sebahagian dari ilmu menta’bir mimpi. Dan Allah Maha Kuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkan-Nya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. (Yusuf 21)

Ahli-ahli tafsir sepakat mengatakan orang yang membeli Yusuf a.s. adalah al-Aziz seorang pegawai tinggi atau Wazir kerajaan Mesir dan isterinya adalah Zulaikha , yang diharap menjadi ibu angkat kepada Yusuf a.s.

Siapakah Zulaikha ?

Maulana Abdullah Yusuf Ali didalam Terjemahan al Quran memetik tulisan karya sastra Zulaikha dan Yusuf oleh Jami r.h ( 817 H – 898 H ):

Zulaikha adalah seorang puteri raja sebuah kerajaan di barat (Maghrib) negeri Mesir. Beliau seorang puteri yang cantik menarik. Beliau bermimpi bertemu seorang pemuda yang menarik rupa parasnya dengan peribadi yang amanah dan mulia. Zulaikha pun jatuh hati padanya. Kemudian beliau bermimpi lagi bertemu dengannya tetapi tidak tahu namanya. Kali berikutnya beliau bermimpi lagi , lelaki tersebut memperkenalkannya sebagai Wazir kerajaan Mesir.

Kecintaan dan kasih sayang Zulaikha kepada pemuda tersebut terus berputik menjadi rindu dan rawan sehingga beliau menolak semua pinangan putera raja yang lain. Setelah bapanya mengetahui isihati puterinya, bapanya pun mengatur risikan ke negeri Mesir sehingga mengasilkan majlis pernikahan dengan Wazir negri Mesir.

Memandang Wazir tersebut atau al Aziz bagi kali pertama, hancur luluh dan kecewalah hati Zulaikha. Hatinya hampa dan amat terkejut, bukan wajah tersebut yang beliau temui di dalam mimpi dahulu. Bagaimanapun ada suara ghaib berbisik padanya : “ Benar , ini bukan pujaan hati kamu. Tetapi hasrat kamu kepada kekasih kamu yang sebenarnya akan tercapai melaluinya. Janganlah kamu takut kepadanya . Mutiara kehormatan engkau sebagai perawan selamat bersama-sama dengannya”.

Perlu diingat sejarah Mesir menyebut , Wazir diraja Mesir tersebut adalah seorang kasi, yang dikehendaki berkhidmat sepenuh masa kepada baginda raja. Oleh yang demikian Zulaikha terus bertekat untuk terus taat kepada suaminya kerana ia percaya ia selamat bersamnya.

Demikian masa berlalu, sehingga suatu hari al-Aziz membawa pulang Yusuf a.s. yang dibelinya di pasar. Sekali lagi Zulaikha terkejut besar, itulah Yusuf a.s yang dikenalinya didalam mimpi . Tampan, segak, menarik dan menawan.

Betullah sabda nabi yang diriwayatkan oleh Hammad dari Tsabit bin Anas bahawa Rasullah bersabda maksudnya :

Yusuf dan ibunya telah diberi oleh Allah separuh kecantikan dunia.

Kisah Zulaikha dan Yusuf dirakamkan di dalam Al Quran bermula surah Yusuf ayat 21 sehinggalah Yusuf a.s di penjarakan pada ayat 36 surah yang sama, kerana fitnah kononnya Yusuf a.s mengoda Zulaikha , isteri al-Aziz. Bagaimanapun pada ayat 51 surah yang sama Allah berfirman, maksudnya :

Isteri Al Aziz pun berkata: Sekarang ternyatalah kebenaran, akulah yang memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya; dan sesungguhnya adalah ia dari orang yang benar. ( Yusuf 51 )

Selepas ayat tersebut Al Quran tidak menceritakan kesudahan hubungan Zulaikh dengan Yusuf a.s.

Bagaimanapun Ibn Katsir didalam Tafsir Surah Yusuf memetik :

Muhammad bin Ishak berkata bahawa kedudukan yang diberikan kepada Yusuf a.s oleh raja Mesir adalah kedudukan yang dahulunya dimiliki oleh suami Zulaikha yang telah dipecat. Juga disebut-sebut bahwa Yusuf telah beristrikan Zu­laikha sesudah suaminya meninggal dunia, dan diceritakan bah­wa pada suatu ketika berkatalah Yusuf kepada Zulaikha setelah ia menjadi isterinya,

“Tidakkah keadaan dan hubungan kita se­karang ini lebih baik dari apa yang pernah engkau inginkan?”

Zulaikha menjawab,

“Janganlah engkau menyalahkan aku, hai kekasihku, aku sebagai wanita yang cantik, muda belia bersuamikan seorang pemuda yang berketerampilan dingin, menemui­mu sebagai pemuda yang tampan, gagah perkasa bertubuh indah, apakah salah bila aku jatuh cinta kepadamu dan lupa akan ke­dudukanku sebagai wanita yang bersuami?”

Dikisahkan bahwa Yusuf waktu kawin dengan Zulaikha, ia menemuinya masih gadis (perawan) dan dari perkawinan itu memperoleh dua orang putra: Ifraitsim bin Yusuf dan Misya bin Yusuf.

Rujukan :
Maulana Abdullah Yusuf Ali – Terjemahan al Quran Karim
Tafsir Ibnu Katsier – surah Yusuf

Selasa, 19 Julai 2011

Apabila hukum Allah diketepikan

Al-Quranul Karim, terkawal daripada sebarang penyelewengan, pindaan dan perubahan.

Ayat-ayatnya terpelihara, kekal abadi sebagai ayat Allah tanpa penyelewengan hingga ke hari Kiamat. Ini adalah jaminan Allah, selaras dengan firman-Nya (mafhum): “…Oleh itu janganlah kamu takut kepada manusia, tetapi hendaklah kamu takut kepada-Ku; dan janganlah kamu menjual (membelakangkan) ayat-ayat-Ku dengan harga yang sedikit; dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang kafir.” (Surah al-Maidah, ayat 44)

“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan Kamilah yang memeliharanya dan menjaganya.” (Surah al-Hijr, ayat 9)

Dalam kedua-dua ayat ini, Allah memberi jaminan bahawa Dia akan menjaga ayat-ayat (al-Quran) daripada sebarang penyelewengan.

Tidak seperti kitab-kitab sebelum al-Quran, tiada jaminan sebelumnya daripada penyelewengan.

Oleh kerana al-Quran tidak boleh diubah atau dipinda, maka manusia kufur cuba mencari jalan untuk mengubahnya dengan pelbagai cara dan menukar-nukarkan ayatnya jika memungkinkan mereka berbuat demikian.

Sepertimana orang-orang Yahudi dahulu, apabila Allah SWT menurunkan at-Taurah kepada mereka, yang di dalamnya Allah melarang mereka menangkap ikan pada hari Sabtu.

Mereka mengikut perintah Allah dengan tidak menangkap ikan pada hari Sabtu, sebaliknya mereka menyelewengkan hukumnya dengan memasang jaring pada hari Sabtu dan mengumpulkan ikan ke dalam jaring.

Keesokan harinya (hari Ahad), barulah mereka menangkap dan membawa ke darat, ikan-ikan yang sudah terperangkap di dalam jaring sejak hari Sabtu.

Itu suatu helah jahat atau suatu penyelewengan.

Selepas itu, mereka menyelewengkan perintah Allah dalam a-Taurah sesuka hati mereka.

Riba yang diharamkan Allah, Yahudi menghalalkannya. Menipu helah mengambil harta orang secara batil (yang diharamkan), dihalalkan jika (orang tersebut) bukan daripada kalangan Yahudi.

Zina yang diharamkan Allah, dihalalkan mereka kalau bukan dengan Yahudi.

Menipu, mengkhianati yang diharamkan, dihalalkan kalau bukan dengan Yahudi.

Ada banyak lagi perkara (perlanggaran hukum) yang kaum ini lakukan.

Dalam agama Nasrani juga berlaku berbagai perbezaan di antara satu kitab dengan kitab al-Injil yang berlainan versinya, bercanggah hukum dan amalan sehingga jelas memecahbelahkan orang-orang Kristian kepada beberapa puak.

Setiap puak tersebut, hanya percaya dengan amalan mereka sahaja dan menyalahkan amalan puak yang lain.

Hal-hal yang sedemikian, tidak sangat berbeza dengan apa yang berlaku di kalangan umat Islam, khasnya yang terkini.

Bezanya, umat Islam tidak mengubah al-Quran, tidak meminda isinya dan menjaga al-Quran itu dengan baik.

Tetapi apabila mereka (umat Islam) diberi kuasa memerintah, hukum-hukum Allah digendalakan dan menggantikannya dengan hukum ciptaan manusia.

Undang-undang Allah diketepikan, manakala undang-undang manusia diketengahkan.

Hukum-hukum manusia diagung-agungkan, manakala hukum Allah diremehkan.

Contoh terdekat yang boleh kita lihat, penyelewengan hukum-hukum Allah di kalangan umat Islam, sama ada dengan cara penuh kesedaran atau kejahilan.

Dalam hal undang-undang seperti kesalahan membunuh, mencederakan, mencuri, merompak, berzina, menuduh orang lain berzina, meminum minuman yang memabukkan dan murtad, semuanya diperuntukkan di bawah hukuman undang-undang ciptaan manusia.

Malangnya tidak satu pun kesalahan-kesalahan itu dihukumkan dengan hukum yang ditetapkan Allah.

Semua kesalahan tersebut ada yang dibicarakan di mahkamah ciptaan manusia yang dinamakan Mahkamah Sivil, ada yang dibicarakan di Mahkamah Syariah.

Malah Mahkamah Syariah juga tidak mensabitkan semua kesalahan tersebut dengan hukum Allah.

Seluruhnya (kesalahan jenayah) dihukum dengan undang-undang manusia, didenda dengan ringgit atau dipenjarakan atau kedua-duanya sekali.

Tidak berpandukan kepada hukum Allah dan mengenakannya dengan hukuman manusia, ini bererti ia merupakan penyelewengan kepada hukum Allah dengan meminda ketetapan Allah.

Sebagai Muslim atau pemerintah negara umat Islam yang jelas beragama Islam, sebenarnya tidak diberi pilihan kepada mereka untuk menghukum mereka, selain daripada hukum Allah.

Firman Allah (mafhumnya): “Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka…(hingga akhir ayat).” (Surah al-Maidah, ayat 49)

Perintah Allah kepada yang beriman dengan-Nya dan kitab-kitab-Nya agar melaksanakan hukum Allah berulang banyak kali dalam al-Quran.

Sebagai contoh, Surah al-Baqarah (ayat 213), Surah ali-Imran (ayat 23), Surah al-Maaidah (ayat 42, 44, 45, 47, 48 dan 49), Surah Shaad (ayat 22 dan 26), Surah an-Nuur (ayat 51) dan Surah Mumtahanah (ayat 10).

Banyak lagi ayat-ayat sedemikian, di mana Allah memberi penekanan, khususnya pemerintah agar melaksanakan hukum-hukum Allah dan jangan diselewengkan hukum tersebut.

Penyelewengan kepada hukum Allah SWT ini tidak sahaja sekadar menukarkan hukum hudud kepada hukum lain, tetapi sampai kepada peringkat menentang hukum Allah dan melaksanakan undang-undang mereka.

Riba yang diharamkan diubah kepada mengharuskannya dengan undang-undang perbankan konvensional, judi yang diharamkan dibolehkan dengan mendapat lesen, minuman yang memabukkan dibolehkan membuat perniagaannya serta dihidangkan sebagai minuman dengan permit perniagaan yang khusus.

Inilah yang Allah SWT sebutkan dalam firman-Nya (mafhumnya): “…Oleh itu siapakah yang lebih zalim lagi daripada mereka yang mendustakan ayat-ayat keterangan Allah dan berpaling daripadanya? Kami akan membalas orang-orang yang berpaling daripada ayat keterangan Kami (dengan) azab seksa yang seburuk-buruknya, disebabkan mereka sentiasa berpaling (mengingkarinya).” (Surah al-An’aam ayat 157)

Manusia tidak sepatutnya berpaling daripada hukum Allah atau meninggalkannya, sebaliknya mengambil hukum manusia, kelak mereka akan menempuh azab Allah. Wallahua’lam

Isnin, 11 Julai 2011

Maksud tenang dengan mengingati Allah


Assalamualaikum ustaz,
Saya ingin bertanya ttg tafsiran ayat yg bermaksud "hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang"

Jawapan:

Apabila dirujuk kepada pentafsiran ulama tentang ayat:


Orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram. (al-Ra`d:28)

Al-Mawardi mentafsirkan “zikrullah” dengan maksud ketaatan, balasan dan janji Allah SWT.

Sementara Ibn Asyur mengatakan “zikrullah” bermaksud perasaan takut dan menjaga diri dengan melakukan suruhan dan meninggalkan larangan. Ia juga bermaksud al-Quran dan zikir dengan lidah.

Ringkasnya, “zikrullah” bermaksud kita menguatkan hubungan dengan Allah SWT dengan tunduk dan patuh kepada agamaNya dan pengertiannya tidak tertumpu hanya kepada maksud zikir dengan lidah sahaja.

Boleh dikatakan, kebanyakan manusia yang mengalami tekanan jiwa atau sakit jiwa disebabkan hubungan mereka dengan Allah SWT amat jauh. Oleh kerana itu umat Islam jarang sekali yang menghadapi tekanan jiwa, sebagaimana yang berlaku kepada umat manusia moden hari ini, kecuali gaya hidup umat Islam tidak jauh bezanya dengan orang bukan Islam. Allah SWT berfirman:

Dia-lah yang telah menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang mukmin supaya keimanan mereka bertambah di samping keimanan mereka (yang telah ada).

Ibnu Abbas mengatakan kalimah “sakinah” dalam al-Quran ditafsirkan dengan “tama’ninah” (ketenangan ).

Tabiat atau fitrah jiwa manusia akan merasai ketenangan:

1.Ketika ia bergantung dan berhubung dengan kuasa yang Maha Agung Allah SWT.

2.Ketika ia mengetahui kehidupan di dunia untuk menikmati nikmat Allah SWT
3.Ketika ia meyakini ia akan kembali selepas kematian bertemu dengan Penciptanya
4.Ketika ia meyakini kerugian mengikut kacamata dunia akan diganti pada hari akhirat
5.Ketika ia mengetahui Allah SWT akan menolongnya dalam setiap situasi, sama ada kesenangan bagi menambahkan kebaikan atau kesusahan untuk menyelamatkannya.

Allah SWT berfirman:



Hai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu pelajaran dari Tuhanmudan penyembuh bagi penyakit-penyakit (yang berada) dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman. Katakanlah: "Dengan kurnia Allah dan rahmat-Nya, hendaklah dengan itu mereka bergembira. Kurnia Allah dan rahmat-Nya itu adalah lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan". (Yunus 57)

Wallahu a`lam….

Rujukan:
Tafsir al-Qurtubi
Tafsir al-Mawardi, Ibnu Asyur
Al-Maktabah al-Shamilah
Islamonline.


Disediakan oleh:
Ustaz Razali Musa
Ahli Panel MUIS