Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.
Bertaqwalah kepada Allah. Kita hamba, Allah Tuhan kita. Tiada milik kita. Semua milik Dia yakni Allah. Semua yang ada pada harta, kehidupan dan nyawa, adalah amanah daripada-Nya. Bertaqwalah kita pada melunaskan amanah itu, dan jangan sekali-kali mati, kecuali sebagai Muslim yang tunduk dan patuh kepada-Nya. Firman Allah SWT:
Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagiNya, dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan, dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama – (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintahNya)” [Surah al-An’aam 6: 162-3]
Saudaraku Sidang Jumaat Sekelian,
Demi Allah yang nyawa kita semua berada didalam tanganNya yakni Allah-tuhan sekelian ‘alam! Sesungguhnya zaman ini kita berada di bawah langit dan bumi yang penuh dengan kemurkaan Allah,terkecuali kita mendapat rahmat, perlindungan dan keampunan allah. Pada hari ini syirik telah menguasai tauhid, maksiat terlalu banyak dan taat hanya sedikit, kemunafikan bermaharajalela, pendustaan dan bida’ah agama di merata-rata, kejujuran dan ikhlas sudah tiada, orang yang benar-benar takut kepada allah hanya satu dalam beribu-ribu, amanah allah telah dikhianati dan ibadat sudah tidak dipedulikan lagi, urusan duniawi dipandang tinggi dan akhirat terus dilupai dan tidak dipeduli, alim ulama’ mabuk dengan gaji yang menjadi tuhan-tuhan duniawi, imam, pendakwah, ustaz2 sudah di ikat dengan wang maka hilanglah takut kepada allah bertukar bimbang dan takut kepada makhluk. Pemimpin, pemerintah2 semakin tamak, gila kuasa dan hilang pedoman.
Perempuan-perempuan di zaman ini hilang malu dan harga diri, perempuan-perempuan sekarang kebanyakannya berpakaian tetapi bertelanjang, mereka tidak lagi takut kepada azab(laknat) allah! maka tercetuslah nafsu lelaki menjadi buas dan zalim. Maka rogol dan pembunuhan tidak dapat dibendung lagi, penzinaan dan muqaddimah zina menjadi kebiasaan, minuman arak menjadi kegemaran, judi dan riba menjadi kemegahan, lelaki menjadi perempuan dan perempuan menjadi lelaki, dadah dan hiburan menjadi pemujaan, majalah, akhbar yang mendedah tubuh wanita bebas dijual dimerata tempat dan hasil jualannya diberi makan kepada anak-isteri, tempat-tempat penginapan yang sulit, rumah urut, rumah-rumah rahsia gelap, filem-filem lucah, video seks, bar, dan disco mendapat sambutan hangat dan pembelaan serta pembiayaan tetap.Tv dan akhbar menjadi panduan dan kitab rujukan manusia pada hari ini, rumah-rumah kediaman telah menjadi panggung-panggung wayang, alim-ulamak tidak berani memberi fatwa mengenai tv dan filem-filem yang bercanggah dengan hukum syarak kerana hendak menjaga hati orang yg berkuasa dan hati orang ramai. Makhluk didahulukan, Allah dikemudiankan.
Saudaraku Sidang Jumaat Sekelian,
Hari ini, Masjid dan surau tidak lagi menjadi tempat mendekati diri kepada Allah tetapi menjadi tempat perebutan pangkat dan kemasyhuran. Rumah2 Allah ini kosong dan sunyi dengan penghuni berbanding pusat2 membeli belah, tempat memancing, pasar malam, padang2 golf, padang2 bola, stadium yang sentiasa penuh dengan pengunjung untuk bertafakur dan beribadah disana. Permainan dan pekerjaan menjadi lebih utama daripada ibadat. Solat dan puasa sudah menjadi adat bukan lagi ibadat, akhlak UMAT semakin rosak dan hancur, segala yang mereka hendak buat semuanya boleh belaka, tidak siapa yang berani menyekat atau mengatakan haram dan halal. Pemimpin dan penguasa sudah tidak peduli kepada amanah allah, pejabat agama sudah menjadi topeng dan boneka para penguasa negeri. Penguatkuasa, pihak keselamatan menjadi alat kepada pemerintah yang zalim yang tidak mengikut petunjuk agama. Masjid-masjid hanya tinggal golongan2 yang hati mereka tiada taqwa, dan ketika itu yang paling jahat ialah orang alim, daripadanya datang fitnah dan kepadanya kembali fitnah itu. Mimbar-mimbar masjid sudah dicemari oleh daki-daki dunia dan debu-debu syirik-khutbah tidak boleh menegur kesalahan orang2 yg berkuasa dan orang ramai, hanya perlu memuji dan memuja mereka yang berkuasa, al-quran telah dipenjarakan didalam masjid-masjid dan hanya dimanfaatkan apabila ada pertandingan, ada kematian, ada tahlil dan jamuan dan ada orang yang dirasuk jin dan syaitan.
Saudaraku Sekelian, Pada hari ini ramai orang fasih lidahnya tetapi buta hatinya.Orang yang jahil dengan islam terus dalam kejahilan, tidak mahu belajar agama dan membaiki diri. Malas hadir kuliah pengajian, tak berminat dengan ceramah, tidur sewaktu khutbah disampaikan, Orang yang berilmu pula terpengaruh dengan keduniaan dan hati mereka telah menjadi buta,menjadi alat kepada makhluk dan berpaling daripada tuhan! alim-ulamak diam membisu masing-masing menjaga kepentingan diri takut hilang gaji dan pencen. Golongan pendusta semakin ramai yang menjadi lidah-lidah kebatilan, bagaikan lalat yang berebut-rebut menghinggapi najis yang busuk dan akhirnya tertimbus didalam najis itu. Kebanyakan manusia diakhir zaman, agama dijadikan alat cari makan dan yang paling jahat menjadi alat melawan tuhan, mereka seperti lembu-lembu yang dicucuk hidungnya dengan tali dan ditarik sesuka hati!pakaian sunnah nabi menjadi dagang/asing dalam negeri sendiri,dan manusia muslim hari ini lebih kasih meniru pakaian barat yang menjadi musuh kepada islam yang jelas membuka aurat, mendedahkan mahkota diri dan mencemarkan agama. Golongan yang berjuang islam pun masih takut dan bimbang kerana mereka bergantung rezeki pada tangan makhluk dan tidak yakin rezeki dalam tangan Allah swt yang menyebabkan fatwa agama mereka menjadi longgar dan berbalik-balik ditipu nafsu diri kerana takut terlucut habuan dunia yang dikecapi dan dinikmati..Manakala golongan tarikat terumbang-ambing tanpa nasihat dan pimpinan mursyid yang benar dari tuhan .Mursyid yang benar ada tetapi sukar dikenali, Hendaklah kita berjaga-jaga kerana ahli tasauf tiruan ramai dengan kebanyakkannya mengambil kesempatan duit dan perempuan,meraba-raba hal ketuhanan didalam gelap tanpa hidayah daripada tuhan dan akhirnya tergelincir kaki dan tersesat jalan.
Iman umat Islam hari ini termasuklah kita semua yang berada dalam rumah allah ini semakin hari iman kita semakin menipis, janji2 Allah menjadi keraguan didalam diri dan bala dari tuhan tidak dipeduli lagi.Hidup kita terlalu cinta kepada dunia,cinta harta benda, cinta pangkat, cinta kebesaran dan lupakan mati. Maka timbullah sifat tamak,dengki,irihati,fitnah,khianat,megah,sombong,lupa diri, malas beribadah dan lupa pencipta dan hal ini telah menjadi seperti kuman-kuman yang telah merebak dikota dan di desa. Suami-suami kebanyakannya menjadi dayus dan tidak mendidik anak-anak dan isteri kepada jalan taqwa. Berapa ramai anak2 hari ini yang lebih kenal artis daripada mengenali huruf-huruf al-Quran. Isteri-isteri menjadi jari telunjuk dalam rumah tangga dan ramai isteri yang derhaka kepada suami. Orang tua tidak lagi mengasihi golongan muda dan golongan muda tidak lagi menghormati orang tua dan tugas nasihat-menasihati sudah tidak diamalkan lagi. Jalan dunia diperluaskan dan ramai teman-taulan namun jalan menuju akhirat disempitkan,dikambus dan tiada teman-taulan.
Saudaraku sekelian,
Hampir semua manusia hari ini berada di atas jalan menaiki kenderaan menuju satu cita-cita, satu tujuan, iaitu mencari kepentingan dunia dan kebendaan, Inilah kebanyakkan orang diakhir zaman sebagaiman yang disabdakan oleh baginda Rasulullah saw. Fitnah, khianat, tipu dan belit menjadi mainan asalkan mendapat harta, wang, kuasa dan kedudukan. Mereka tidak lagi takut kepada azab Allah swt. Hukum-hakam Al-Quran satu persatu diketepikan, orang yang benar dihina dan dicela, orang yang dusta dipuji dan puja. Benar dan salah tidak dapat dibeza lagi kerana telah buta mata DAN BUTA HATI. Manusia ramai yang menjadi haiwan, hidup hanya memikirkan makan dan minum siang dan malam. Hawa nafsu menjadi tuhan sehinggakan iman telah tercabut dan akal nurani sudah padam dan menjadi rosak. Pemuda-pemuda tidak sayangkan nyawanya,berlumba-lumba motosikal dan kereta di tengah jalan-raya seperti dirasuk oleh iblis syaitan! Muda-mudi bebas berkeliaran memuaskan nafsu syahwat kebinatangan. Wanita zaman ini tidak peduli lagi batas-batas aurat dan pergaulan, mereka menjadi senjata-senjata syaitan berpakaian seperti pelacur bermegah-megah dijalanan dan ditempat membeli-belah.anak-anak ramai yang derhaka kepada ibu-bapa dan ibu-bapa pun ramai yang derhakan kepada allah dan rasul.
Nasihat yang benar tidak didengari dan amaran dari langit tidak dipeduli lagi.Batas-batas islam sudah pecah dan banjir kekufuran melanda negeri dan negara. Ajaran nabi banyak yang sudah dibuang dan ditambah, sunnah nabi telah ditinggalkan. Allah hanyalah tinggal nama dan sebutannya sahaja. Bukan lagi yang dipuja, yang sembahi dan yang ditaati! roh imannya telah mati dan hanya jasad yang menunggu maut. Islam hanya tinggal namanya sahaja, al-quran hanya tinggal huruf-hurufnya sahaja. Zaman ini ramai manusia telah berpaling daripada allah dan berhadap kepada makhluk!hanya sedikit orang yang hatinya rindu kepada allah.mereka menyembah allah tetapi tidak berusaha mengenal allah. Manusia zaman ini ramai yang tidak syukur dengan nikmat allah,rezeki yang allah kurniakan mereka anggap dari usaha mereka sendiri dan dari cerdik-pandai mereka.Barangsiapa yang tidak turut perintah allah,tidak syukur dengan nikmat allah dan tidak redha barang yang allah takdirkan kepadanya,maka carilah tuhan yang lain daripada allah dan janganlah lagi duduk didalam dunia allah ini!
Saudaraku Sekelian.. Inilah realiti kehidupan umat Islam pada hari ini. Punca berlakunya semua fitnah2 dunia ini adalah kerana manusia mengambil panduan selain daripada al-Quran dan sunnah nabi dalam melayari kehidupan hari ini. Diingatkan kepada umat islam yang masih hidup hatinya! Moga2 kita yang hadir pada hari ini dihidupkan hati oleh Allah dan dikutkankan taufiq oleh Allah. Marilah kita sebarkan, tiupkan dan nyalakanlah semula roh Islam, roh iman, roh ilmu, roh amal dan roh ‘jihad’ didalam diri kita, keluarga kita, masyarakat dan negara. Insyaallah islam akan bersinar kembali.
Kembalilah kepada ajaran Islam yang sebenar, ingatlah bahawa kita akan mati dan akan dipersoal dengan seteliti-telitinya oleh Allah mengenai kerja buat kita didunia samada kita dipersilakan ke syurga atau ditendang serta diterajang ke dalam neraka..Kembalilah kepada allah,tuhan sekalian alam dengan taubat yang benar.Bersihkanlah tubuh kita daripada dosa dan sia-sia. sucikanlah hati kita daripada segala aib-cela dan najis-najis syirik, najis2 sekular, najis2 kapitalis, najis2 nasionalis, najis2 yahudi dan kristian. Maka sujudlah kita dihadapan Allah dengan hina dan kefakiran, tangisilah diri kita sebab masih terhalang dari taufik dan kebenaran. Moga-moga allah berkenan menghulurkan tangan rahmatnya kepada kita dan memimpin tangan kita kepada jalan yang benar yakni kepada Islam yang hakiki berpaksikan al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw.
“Dan diletakkanlah kitab, lalu kamu akan melihat orang bersalah ketakutan terhadap apa yang tertulis di dalamnya, dan mereka berkata: Aduhai celaka kami, Kitab apakah ini yang tidak meninggalkan (sebarang catitan samada) yang kecil dan tidak (pula) yang besar, melainkan ia mencatat semuanya; dan mereka dapati apa yang sudah mereka kerjakan ada tertulis (didalamnya) dan Tuhanmu tidak menganiaya seorang juga pun.” (Surah al-Kahfi, ayat 49)
(Disampaikan oleh Ibnu Muslim di Surau al-Ikhlas (surau Jumaat) Bandar Sg Buaya Rawang Selangor)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan