Sahabat Ilmu

Memaparkan catatan dengan label FATWA. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label FATWA. Papar semua catatan

Rabu, 25 Januari 2012

Garis Panduan Hukum Khurafat Dan Azimat


Tarikh Keputusan: 5 Jul, 2011
Keputusan: Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka bil. 3/2011 yang bersidang pada 4 Sya’aban 1432H bersamaan 5 Julai 2011 sebulat suara bersetuju dengan Garis Panduan Hukum Khurafat dan Azimat seperti berikut :

a) Khurafat ialah semua cerita sama ada rekaan atau khayalan, ajaran-ajaran, pantang larang, adat istiadat, ramalan-ramalan, pemujaan atau kepercayaan yang menyimpang dari ajaran Islam. Khurafat juga merangkumi cerita dan perbuatan yang direka dan
bersifat karut atau dusta;

b) Antara ciri-ciri khurafat adalah seperti berikut:

(i) Ia tidak didasarkan pada nas-nas syarak sama ada al-Quran atau al-Hadith;

(ii) Ia merupakan cerita-cerita rekaan, dongeng, khayalan atau kepercayaan karut;

(iii) Ia bersumberkan kepada kepercayaan-kepercayaan lama dan adat yang
bercanggah dengan Islam;

(iv) Ia berbentuk pemujaan dan permohonan kepada selain daripada Allah Ta’ala untuk tujuan yang bercanggah dengan ajaran Islam;

(v) Ia melibatkan penggunaan objek-objek tertentu seperti kubur, pokok, busut, dan sebagainya untuk tujuan yang tertentu; dan

(vi) Ia mempunyai unsur-unsur negatif kepada akidah dan syariah Islam.

c) Antara bentuk-bentuk khurafat adalah seperti berikut:

(i) Kepercayaan kepada keramat seperti makam, kubur, pokok kayu, telaga keramat, batu, cincin, bukit, tongkat, haiwan tertentu dan sebagainya;

(ii) Kepercayaan kepada sial majal seperti adat mandi safar, adat mandi membuang sial dan sebagainya;

(iii) Kepercayaan kepada jin dan memohon pertolongan darinya seperti adat memuja kampung, adat merenjis tepung tawar, adat semah pantai dan sebagainya;

(iv) Kepercayaan kepada bertambah dan berkurangnya rezeki seperti adat memuja semangat padi, bersemah, membuang ancak ke sungai dan laut dan sebagainya;

(v) Kepercayaan kepada petanda-petanda dan pantang larang contohnya seperti tidak melihatkan bayi di muka cermin kerana kelak ia akan mati di dalam air, tidak boleh keluar ketika gagak berbunyi kerana takut mendapat sial atau bala dan sebagainya;

(vi) Kepercayaan kepada ramalan-ramalan bintang, zodiak, angka, nombor, kod matrik, tarikh kelahiran, abjad nama, rajah-rajah tertentu, kitaran hari dan bulan dalam kalendar dan sebagainya dalam merancang dan melaksanakan sesuatu perkara dan mengatur kehidupan; dan

(vii) Memuja objek-objek tertentu, roh nenek moyang, kubur-kubur yang dianggap wali atau syeikh tertentu, melakukan upacara menghadirkan roh dan sebagainya.

d) Antara amalan khurafat yang berlaku di Negeri Melaka:

(i) Membaca tahlil dan doa serta bertakbir di tiang bendera semasa upacara menurun dan menaikkan bendera;

(ii) Upacara menyapu dan menyiram cairan cendana pada batu nisan, mebentang kain penutup ke atas kubur, membalut kain putih pada batu nesan, memasang colok dan meletakkan bendera di atas kubur;

(iii) Perarakan membawa bendera, bunga telur, bunga-bungaan, buah-buahan di dalam dulang disertai oleh para pengunjung sambil berselawat menuju ke kubur tertentu;

(iv) Mengadakan Majlis maulud atau sambutan hari hol atau upacara tertentu di perkuburan;

(v) Membawa haiwan ternakan hidup ke sesuatu tempat untuk disembelih bagi tujuan tertentu seperti membayar nazar, memohon hajat, lambang terima kasih kepada kubur dan simbol penutup selepas usaha memuja tempat yang didakwa keramat;

(vi) Melakukan bai’ah di atas kubur atau ditempat-tempat yang dianggap keramat.

(vii) Upacara zikir dan ratib di sisi kubur untuk memohon hajat tertentu; dan

(viii) Upacara suluk atau uzlah dengan menghabiskan zikir tertentu berhari-hari di kawasan kubur dengan kepercayaan boleh meningkatkan taraf atau darjat di sisi Allah.

e) Azimat atau tangkal ialah suatu objek yang ditulis dengan ayat-ayat tertentu yang dianggap mempunyai kesaktian dan kuasa ghaib yang melampaui kekuatan semula jadi apabila dijampi atau dipuja untuk mendapatkan pertolongan atau bantuan bagi manfaat diri sendiri atau memudharatkan orang lain.

f) Islam sangat menitikberatkan soal-soal akidah dan syariah. Segala amalan dan kepercayaan yang tidak berdasarkan kepada sumber-sumber yang asal seperti al-Quran, al-Hadith, Ijma’ dan Qiyas adalah ditolak oleh Islam.

g) Amalan memuja dan memohon pertolongan dari objek yang dipuja seperti yang selalu dilakukan oleh sesetengah bomoh dan dukun adalah syirik dan menyesatkan.Orang-orang yang bersahabat dengan mengunakan jin, tukang sihir dan tukang tenung adalah tergolong di dalam golongan orang-orang jahil dan menzalimi diri sendiri.

h) Haram mengunakan azimat atau tangkal yang mengandungi rajah-rajah atau tulisan-tulisan yang tidak difahami seperti obejek-objek tertentu dan bercampur aduk dengan ayat al-Quran atau berdasarkan kepada sihir, atau yang memuja hantu syaitan dan jin iblis, atau yang mengandungi benda-benda najis atau kotor dan menganggapkan tangkal mempunyai kuasa.

i) Amalan penggunaan azimat atau tangkal sebagai pelindung diri seperti ilmu kebal, ilmu pengasih, ilmu pelemah hati, ilmu penjauh jin, penimbul, penyeri, pemanis,mempercepatkan jodoh, pelaris, penunduk musuh, penunduk kata, pemerdu suara,pembungkam, penarik rezeki, penjaga diri, penguat batin dan sebagainya yangdicampuradukkan dengan sihir adalah syirik dan menyeleweng dari ajaran Islam.

j) Jampi adalah haram sekiranya ia mengandungi perkataan yang tidak difahami maknanya atau yang berdasarkan sihir atau memuja hantu syaitan dan jin iblis atau mengiktikadkan bahawa jampi itu yang memberi kesan sehingga si pesakit menjadi sembuh.

k) Pihak Berkuasa Negeri perlu mewujudkan peraturan untuk menghalang mana-mana orang Islam membawa dan menyembelih haiwan di tempat-tempat pemujaan dalam negeri Melaka bagi mencegah berlakunya perbuatan syirik dan khurafat selaras dengan kaedah sadd az-zari’ah (menutup pintu-pintu yang boleh membawa kemudharatan)

l) Mana-mana orang Islam yang terlibat dengan perbuatan syirik atau khurafat, menggunakan azimat atau tangkal atau mengamalkan jampi serapah yang bertentangan dengan aqidah, syariat dan akhlak Islam wajib segera bertaubat dan memohon keampunan kepada Allah Ta’ala.
Status Penwartaan: Tidak Diwartakan
Nombor Rujukan: JMM/BFB(S)/351/255/01/13
Akta/Enakmen: Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Melaka) 2002
Negeri: 
Melaka

Rabu, 14 Disember 2011

FATWA: Perhiasan - Gelang

Soalan: Gelang penguluan (gelang berangkai-rangkai), gelang geruncung (untuk lelaki) dan perhiasan-perhiasan lain yang sama ada diperbuat dari emas Brunei atau tembaga kuning, ada digunakan oleh kedua pengantin perempuan dan lelaki. Apakah hukum memakai perhiasan yang dilarang oleh ugama itu dan adakah wujud hadits yang melarang perempuan memakai perhiasan yang berbunyi?

Jawapan:


الحَمْدُ ِللهِ َربِّ الْعَلَمِيْنَ, وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ, وَبَعْد
Adalah harus perempuan memakai barang-barang perhiasan yang diperbuat daripada emas. Keharusan ini berdasarkan hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaih wasallam :

عن على بن أبى طالب رضى الله عنه يقول إن نبى الله صلى الله عليه وسلم أخذ حريرا فجعله فى يمينه وأخذ ذهبا فجعله فى شماله ثم قال إن هذين حرام على ذكور أمتى, أى: وحل لإناثهه
(رواه ابو داود)
Maksudnya: “Daripada Ali bin Abi Thalib Radhiallahu ‘anhu berkata: “Bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mengambil sutera lalu meletakkannya di sebelah kanannya, dan mengambil emas lalu meletakkannya di sebelelah kiri Baginda, kemudian Baginda bersabda: “Sesunguhnya kedua-kedua (barang) ini adalah haram ke atas lelaki umatku.” Ertinya (kedua-dua) “halalbagi perempuan mereka.” (Hadits riwayat Abu Daud)

Manakala dalam hadits riwayat Ibnu majah menyebut:

عن على بن أبى طالب يقول أخذ رسول الله صلى الله عليه وسلم حريرا بشماله وذهبا بيمينه ثم رفع بهما يديه فقال إن هذين حرام على ذ كور أمتى حل لإناثهم
Maksudnya: “Daripada Ali bin Abi Thalib Radhiallahu ‘anhu berkata: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengambil sutera dengan tangan kirinya dan emas dengan tangan kanan Baginda kemudian Baginda mengangkat kedua-dua tangannya dengan berisi dengan berisi kedua-dua sutera dan emas, lalu Baginda bersabda: “Sesungguhnya kedua barang ini haram ke atas lelaki daripada umatku dan halal bagi perempuan dari kalangan mereka.”

Berdasarkan hadits ini difahamkan adalah haram lelaki memakai gelang geruncung yang diperbuat daripada emas, atau sekalipun gelang itu diperbuat daripada tembaga kuning, kerana gelang ialah perhiasan perempuan, jika lelaki memakai gelang, maka berlakulah hukum penyerupaan jenis kaum yang lain (perempuan).

Dasar hukum ini disandarkan kepada hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, sabda Baginda:

لعن الله المتشبهات من النساء بالرجال والمتشبهين من الرجال بالنساء
(رواه أحمد بن حنبل, أبو داود, الترمذى وابن ماجه)
Maksudnya: “Allah melaknat perempuan yang menyerupai lelaki dan (melaknat) lelaki yang menyerupai dengan perempuan.” (Hadits riwayat Ahmad bin Hanbal, Abu Daud, Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Adapun harus bagi perempuan memakai barang-barang perhiasan seperti cincin, gelang, loket dan seumpamanya dalam batas-batas yang ditentukan oleh syara’. Sama ada barang-barang perhiasan itu diperbuat daripada perak, emas, intan, berlian, atau seumpamanya selama mana tidak melampau batas yang nyata.

Hukum harus itu di antara lain berdasarkan hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Daripada Abu Musa Al-Asy’ari bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

حرم لباس الحرير والذهب على ذ كور أمتى وأحل لإناثهم
(رواه الترمذى)
Maksudnya: “Diharamkan memakai sutera dan (perhiasan) emas ke atas kaum lelaki daripada umatku dan halal bagi perempuan daripada kalangan mereka.”

Walaupun pemakaian perhiasan itu harus bagi perempuan namu Al-Qur’an memandu mereka supaya tidak terbabas dari hukum asal itu. Panduan itu sebagaimana firman Allah Ta’âla:

وقل للمؤمنت يغضضن من أبصرهن ويحفظن فروجهن ولا يبدين زينتهن إلا ما ظهر منها وليضربن بخمورهن على جيوبهن ولا يبدين زينتهن إلا لبعولتهن أو أبائهن أو ءاباء بعولتهن أو أبنائهن أو أبناء بعولتهن أو إخونهن أو بنى إخونهن أو بنى أخوتهن أو نسائهن أو ما ملكت أيمنهن أو التبعين غير أولى الإربة من الرجال أو الطفل الذين لم يظهروا على عورت النساء ولا يضربن بأرجلهن ليعلم ما يخفين من زينتهن وتوبوا إلى الله جميعا أيه المؤمنون لعلكم تفلحون
(سورة النور: 31)
Tafsirnya: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat padangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan bajunya dengan tudung kepala mereka, atau bapa mertua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan, dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka, dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” (Surah Al-Nûr: 31)

Petunjuk yang diperolehi dari kandungan ayat itu, sebagaimana dalam kitab Rawâi” Al-Bayan karangan Al-Sheikh Ali Al-Shâbûni ialah:

(i) Pandangan (kepada wanita) adalah peratusan kepada zina, dan pelopor kemaksiatan, adalah tidak layak bagi seorang yang beriman untuk menempuh jalan itu.

(ii) Menahan pandangan kepada wanita dan menjaga kemaluan itu memelihara kesucian bagi insane dari perbutan-perbuatan yang kotor dan keji.

(iii) Tidak diperbolehkan bagi perempuan Islam menampakkan perhisannya, kecuali kepada suami dan mahram dari kerabat-kerabatnya.

(iv) Wajib ke atas perempuan Islam menutupi kepala, leher dan dadanya dengan kain tudungnya, agar tidak dilihat oleh lelaki bukan mahramnya.

(v) Kanak-kanak, khadam-khadam dan anak-anak yang belum mengerti urusan seks kerana usia mereka yang masih kecil itu tidak ada larangan atas mereka untuk masuk kepada ruang wanita.

(vi) Haram atas wanita muslim melakukan sesuatu yang dapat menarik perhatian lelaki, atau membangkitkan rangsangan yang menimbulkan fitnah.

(vii) Kewajipan atas semua orang mukmin, baik lelaki maupun perempuan, untuk kembali kepada Allah dengan bertaubat dan menyerah diri kepadanya serta berpegang kepada adab dan tata kesopanan Islam.

(viii) Adab dan tata kesopanan yang ditunjukkan oleh Islam di dalamnya mengandungi penjagaan bagi kehormatan keluarga, dan pemeliharaan bagi masyarakat Islam.

MEMAKAI PERHIASAN BUNYI-BUNYIAN

Berdasarkan penjelasan ayat Al-Quran di atas: Memakai perhisan yang berbunyi adalah dilarang (haram) kerana dengan bunyi itu akan menaruk perhatian kaum lelaki kepada perempuan seperti yang ditunjukkan oleh ayat:

ولا يضربن بأرجلهن ليعلم ما يخفين من زينتهن
(سورة النور: 31)
Tafsirnya: “Dan jangan mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhisan mereka.”

Bahkan perempuan-perempuan dilarang dari segala sesuatu yang menarik perhatian atau menimbulkan nafsu syahwat lelaki. Sebab itu dia dilarang memakai wangi-wangian di hadapan lelaki asing.

Larangan perempuan memakai perhisan yang berbunyi itu disebut juga melalui sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaih wasallam:

لا تصحب الملائكة ركبا معهم جلجل
(رواه النسائى)
Maksudnya: “Para malaikat tidak akan menemani mana-mana rombongan yang bersama mereka itu ada genta (perhiasan atau permainan yang mempunyai loceng (giring-giring) yang banyak).” (Hadits riwayat Nasa’i)
Sabdanya lagi:

لا تدخل الملائكة بيتا فيه جلجل ولا جرس ولا تصحب الملائكة رفقة فيها جرس
(رواه النسائى)
Maksudnya: “Para malaikat tidak akan memasuki sesebuah rumah yang ada di dalamnya genta dan loceng. Dan para malaikat tidak akan menemani mana-mana kumpulan yang ada padanya loceng.” (Hadits riwayat Nasa’i)

لا تصحب الملائكة رفقة فيها جرس
(رواه النسائى)
Maksudnya: “Para malaikat tidak akan menyertai satu-satu kumpulan yang ada padanya genta.” (Hadits riwayat Nasa’i)

وَاللهُ أَعْلَم

Rujukan: Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darussalam

Fatwa: Perhiasan- Pakaian Seragam

Negara Asal:Brunei
Pengarang:Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned
Rujukan: Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darussalam

Soalan:Pakaian seragam (uniform) askar wanita, polis wanita dan juga bomba wanita di Negara ini nyata tidak mengikut kehendak Islam (memakai mini skirt / baju berlengan pendek). Bagaimana pendapat dan saranan Pehin dalam hal ini.

Jawapan:

الحَمْدُ ِللهِ َربِّ الْعَلَمِيْنَ, وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ وَالاَه
Pakaian itu ada hubungannya dengan ibadat seperti ibadat dalam sembahyang di mana diwajibkan menutup aurat. Sebenarnya pakaian itu sendiri adalah ibadat kerana ia termasuk dalam suruhan agama yang ada nilai pahala dan dosa, kerana itu orang Islam yang menutup auratnya ianya telah mematuhi dan mentaati tuntutan dan suruhan agamanya. Menutup aurat itu ada had dan ketentuan dalam sembahyang dan di luar sembahyang.

Pakaian itu sebenarnya gambaran zahir keperibadian seseorang. Pengaruh pakaian dapat dilihat seperti, ahli perniagaan untuk mereka dapat mengaut keuntungan ialah dengan mempermodelkan atau menunjukkan fesyen pakaian yang diharapkan dapat menjadi tarikan atau pengaruh untuk untuk ia dibeli oleh pengguna-pengguna.

Pengaruh pakaian ini amatlah jelas. Sebab itu pereka fesyen pakaian akan sentiasa merubah corak-corak fesyen dari masa ke semasa, khususbya pakaian perempuan. Tetapi sayang, fesyen pakaian perempuan hari ini banya yang tidak memenuhi kehendak Islam.

Jika pakaian ini dipakai oleh perempuan-perempuan Islam itu tidak memenuhi kehendak-kehendak Islam, maka ia menggambarkan sejauh mana kekukuhan aqidahnya. Pakaian itu mempunyai hubungkait dengan ketaqwaan. Firman Allah:

ولباس التقوى ذلك خير
(سورة الأعراف: 26)

Tafsirnya: “Dan pakaian taqwa adalah yang lebih baik.” (Surah Al-A’raf:26)

Dari segi yang lain, apabila seorang yang memakai pakaian yang menunjukkan susuk badannya atau pakaian yang mengghairahkan lelaki yang memandangnya mungkin akan membuat serong, lebih-lebih lagi jika perempuan ini berjalan bersendirian dalam keadaan di mana orang berkesempatan membuat jahat terhadapnya. Jadi pakaian dapat mempengaruhi jiwa seseorang perempuan dan orang lain akan membuat perhitungan terhadap pakaian yang dipakai oleh perempuan itu dengan cara meniru atau sebagainya.

Pakaian mempunyai hubungan dengan ibadat, malah menjadi gambaran bagi aqidah dan akhlak pemakaianya. Jika demikian halnya, pakaian perempuan Islam tidak boleh diabaikan. Dan tiada satu Mazhab pun yang tidak mewajibkan menutup aurat atau mengharuskan pendedahannya, termasuk rambut, leher, tengkok, dada dan betis sehingga ke tapak kaki perempuan di hadapan lelaki asing yang bukan mahramnya. Hukumnya jelas melalui sumber Al-Qur’an dan hadits sebagaimana akan datang keterangannya. Di bawah ini disebutkan panduan atau garis pandu mengenai pakaian-pakaian perempuan Islam:

(i) Hendaklah pakaian itu menutup seluruh badan termasuk kepala, rambut, leher, dada, lengan, dan betis dari anggota perempuan itu, bahkan wajib menutup tapak kakinya melainkan dalam keadaan darurat seperti banjir atau keadaan lecak atau berlumpur atau seumpamanya. Tidak wajib ditutup muka dan dua ditutup muka dan dua tapak tangan dari hadapan belakang sehingga dua pergelangan tangan sahaja yang boleh nampak. Ini adalah dalam keadaan biasa. Adapun dalam keadaan yang boleh mendatangkan fitnah atau keadaan keganasan, maka wajib ditutup seluruh anggota tubuh badannya. Tiada menutup anggota badan adalah dilaknat ole Allah Ta’ala dan dosa besar yang wajib dielakkan.

(ii) Hendaklah pakaian itu tebal yang menutup seluruh tubuh badan perempuan supaya tiada nampak warna kulit cari celah-celah sulaman benang pakaian itu.

(iii) Hendaklah pakaian perempuan itu luas, lebar tiada sempit dan tiada ketat yang boleh menampakkan segi-segi susuk badan perempuan. Pakaian yang ketat itu ialah seperti menampakkan susuk buah dada dan punggung dan lain-lain segi anggota yang mendatangkan fitnah atau keinginan syahwat.

(iv) Jangan pakaian itu menyerupai atau seakan-akan pakaian lelaki, kerana adalah haram dan dosa besar perempuan memakai pakaian yang serupa dan seakan-akan dengan lelaki.

(v) Jangan pakaian itu wangi atau harum, kerana wangi atau harum itu membawa fitnah dan kerosakan yang boleh membangkitkan nafsu dan perhatian orang dan kejahatan yang wajib dihindarkan oleh perempuan-perempuan. Memakai pakaian yang berwangi atau harum itu adalah dosa besar sekalipun dibenarkan oleh suami.

(vi) Jangan pakaian itu berhias, kerana pakaian yang berhias itu menarik pandangan orang dan membawa fitnah dan kerosakan kepada perempuan dan kepada yang memandang itu. Orang-orang Bani Isra’il Yahudi telah dilaknat oleh Allah Ta’ala kerana mereka membiarkan perempuan-perempuan mereka keluar rumah, ke masjid, ke pasar dank e kedai-kedai yang berhias.

(vii) Jangan pakaian itu bermegah-megah dan menunjuk-nunjuk kerana itu perbuatan takabbur da ‘ujub yakni merasa rendah diri, ia adalah dosa besar.

Firman Allah Ta’ala:

ولا تبرجن تبرج الجهلية الأولى
(سورة الأحزاب: 33)

Tafsirnya: “Jangan kamu perempuan-perempuan Islam berkelakuan dengan terdedah sebagaimana terdedah perempuan-perempuan sebelum zaman Islam, (dengan menampakkan kejelitaan perempuan kepada lelaki asing dan menampakkan perhiasan-perhiasan mereka).” (Surah Al-Ahzab: 33)

Firman Allah Ta’ala:

وقل للمؤمنت يغضضن من أبصرهن ويحفظن فروجهن ولا يبدين زينتهن إلا ما ظهر منها وليضربن بخمرهن على جيوبهن ولا يبدين زينتهن إلا لبعولتهن أو أبنائهن أو أبنآء بعولتهن أو إخوانهن أو بنى إخوانهن أو بنى أخواتهن أو نآئهن أو ما ملكت أيمنهن أو التبعين غير أولى الإربة من الرجال أو الطفل الذين لم يظهروا على عورت النساء ولا يضربن بأرجلهن ليعلم ما يخفين من زينتهن وتوبوا إلى الله جميعا أيه المؤمنون لعلكم تفلحون
(سورة النور: 31)
Tafsirnya: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mertua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan mereka, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan, dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhisan mereka, dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” (Surah Al-Nur: 31)

Diriwayatkan oleh Imam Muslim dan lain ulama akan hadits:

صنفان من أهل النار لم أرهما قوم معهم سياط كأذناب البقر يضربون بها الناس ونساء كاسيات عاريات مميلات مائلات رءوسهم كأسمة البخت المائلة لا يدخلن الجنة ولا يجدن ريحها وإن ريحها ليوجد من مسيرة كذا وكذا
Maksudnya: “Dua macam ahli neraka, saya (Rasulullah) belum lihat (pada zaman baginda), satu iaitu kumpulan yang memegang cemeti seakan-akan ekor lembu, mereka membelasah orang dengan cemeti itu (seperti pegawai-pegawai keselamatan yang zalim membelasah manusia). Dua iaitu perempuan yang memakai pakaian tetapi bertelanjang (pakaian nipis dan menampakkan segala kejelitaan badan dan tiada menutup segala anggota badan) dan berjalan dengan bergaya dan sombong dan menunjuk-nunjuk dan menggerak-gerakkan bahu dan mengikat kepala dengan perca kain supaya nampak besar kepala dan jelita, tiadalah perempuan-perempuan itu masuk syurga, dan tiadalah mencium bau syurga, dan tiada mencium bau syurga dan bau syurga itu boleh didapati dari jauh begini dan begini.”

Imam Ahmad meriwayatkan dalam musnadnya dan Al-hakim mengatakan hadits ini mengikut syarat-syat Imam Bukhari dan Muslim iaitu hadits daripada sahabat Abdullah bin ‘Amr bin Al-‘Ash berkata: “Saya mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

سيكون فى آخر أمتى رجال يركبون على السروج كأشباه الرجال (يعنى السيارات) ينزلون على أبواب المساجد فى انتظارهم) نساؤهم كاسيات عاريات على رءوسهم كأسنمة البخت العجاف العنوهن فإنهن ملعونات
Maksudnya: “Akan berlaku pada akhir zaman umat saya, oleh lelaki menaiki pelana-pelana unta seperti rumah-rumah kenaikkan yang ada ditaruh di belakang unta (ertinya motokar), tuan punya pelana besar-besar itu (tuan motokar) turun masuk masjid (sembahyang di masjid dan motokar itu menunggu di pintu masjid) isteri-isteri mereka memakai pakaian dan bertelanjang (pakaian yang menampakkan badan dan anggota perempuan) dan di atas kepala mereka, seperti bonggol di atas bahu mereka, kerana bahawa mereka (perempuan-pere mpuan) itu sentiasa kena laknat.”

Apabila orang perempuan sama ada perempuan-perempuan Islam atau bukan tidak menutup aurat mereka, maka satu kemungkaran telah berlaku dalam masyarakat. Kemungkaran itu jika tidak dicegah dan dihentikan akan menjadi sebab turunnya bala bencana daripada Allah.

Kerana itu satu daripada kewajipan umat Islam supaya dapat menegakkan agamanya ialah dengan menghuraikan tuntutan al-amru bi al-ma’ruf wa al-nahyu ‘an al-munkar. Al-amru bi al-ma’ruf (menyuruh berbuat baik) dan al-nahyu ‘an al-munkar (menegah dari berbuat jahat) itu di antara syi’ar-syi’ar agama yang utama dan kewajipan ke atas kaum muslimin. Allah Subhanahu wa Ta’ala telah memerintahkan kita berbuat baik dan melarang kita dari berbuat jahat dalam kitabNya yang mulia. Dan melalui NabiNya Shallallahu ‘alaih wasallam sambil menggalakkan kita untuk memberikan perhatian terhadapnya dan mengancam kita yang mencuaikan tugas besar yang mulia ini.

Di dalam Al-Qur’an banyak ayat-ayat yang menerangkan tentang kepentingan al-amru bi al-ma’ruf wa al-nahyu ‘an al-munkar itu. Di antaranya ialah:

Firman Allah Ta’ala:

لعن الذين كفروا من بنى إسرءيل على لسان داود وعيسى ابن مريم ذلك بما عصوا وكانوا يعتدون, كانوا لا يتناهون عن منكر فعلوه لبئس ما كانوا يفعلون
(سورة المائدة: 78-79)
Tafsirnya: “Allah telah meletakkan laknatnya ke atas orang kafir dari kaum Bani Isra’il atas lisan (lidah) Nabi Daud dan Nabi Isa bin Maryam. Yang demikian disebabkan mereka menderhaka dan sering melanggar batas. Mereka itu selalunya tiada larang melarang terhadap kejahatan yang mereka lakukan. Alangkah buruknya perilaku yang mereka lakukan itu.” (Surah Al-Ma’idah: 78-79)

Sementara hadits-hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaih wasallam pula menyebutkan:

من رأى منكم منكرا فليغيره بيده فإن لم يستطع فبلسانه فإن لم يستطع فبقلبه وذلك أضعف الإيمان
(رواه احمد)
Maksudnya: “Siapa yang menyaksikan sesuatu mungkar, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya, jika tidak berkuasa, maka dengan lisannya, jika tiada berkuasa juga, maka dengan hatinya dan yang demikian adalah selemah-lemah iman.” (Hadits riwayat Ahmad)

Sabdanya lagi:

أيها الناس, مروا بالمعروف وانهوا عن المنكر قبل ان تدعوا فلا يستجاب لكم, وقبل أن تستغفروا فلا يغفر لكم
Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Hendaklah kamu menyuruh berbuat baik, melarang berbuat jahat sebelum kamu memohon Allah, lalu tiada dikabulkan kamu sebelum kamu meminta ampun daripadanya, lalu tiada diampuni kamu.”

Sesungguhnya menyuruh berbuat baik dan melarang berbuat jahat itu tiada menolak rezeki atau mendekatkan ajal, dan sesungguhnya para pendeta dari kaum Yahudi serta para rahib (pendeta) dari kaum Nasrani, apabila mereka meninggalkan menyuruh berbuat baik dan melarang berbuat jahat, maka Allah Ta’ala telah melaknati mereka atas lisan nabi-nabi mereka, lalu sesudah itu bermacam-macam bala pun turun ke atas mereka sekalian.

Dalam perkara pakaian seragam perempuan yang tidak menutup aurat itu adalah menjadi tanggungjawab kepada pihak berkenaan khasnya di Jabatan yang mempunyai hubungan langsung dengan pakaian seragam itu supaya akan dapat membetulkan dengan selaras dengan tuntutan syara’.

Jangan Tinggalkan Syi’ar Yang Mulia Ini

Tugas menyuruh berbuat baik dan melarang berbuat jahat itu tidak boleh diabaikan sama sekali dan tidak ada alasan apa pun untuk meninggalkannya, selama berkuasa dan berkebolehan untuk menjalankan. Siapa yang melalaikan atau mencuaikannya, dianggap sebagai orang yang memandang ringan terhadap hak-hak Allah Ta’ala dan tiada menghormati perintah Allah Ta’ala. Sebab itulah dia dicap sebagai orang yang lemah imannya, kurang takut dan malu terhadap Allah Subhanallah wa Ta’ala.

Tetapi jika dia berdiam diri kerana sesuatu tujuan keduniaan, maka dengan itu dosanya akan menjadi lebih berat dan dia akan terdedah kepada kemurkaan dan kutukan Allah Ta’ala, disebabkan tidak menegur mungkar atau perbuatan jahat itu.

Membetulkan perkara mungkar bukan sahaja berdasarkan tuntutan ayat atau hadits di atas, tetapi juga didasari perintah umum sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

كلكم راع وكلكم مسئول عن رعيته
(رواه البخارى ومسلم)
Maksudnya: “Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu adalah bertanggungjawab terhadap rakyatnya.” (Hadits riwayat Bukhari dan Muslim)

Umumnya pakaian itu bukan sahaja berhubungkait dengan hukum haram atau tidaknya bagi pemakainya, bahkan dapat memberikan imej atau gambaran mengenai bentuk masyarakat atau Negara yang mengamalkan sesuatu pakaian itu.

Perlaksanaan hukum Islam bagi sesebuah negara Islam boleh diukur melalui berbagai-bagai sudut, pakaian boleh menjadi salah satu ciri penting, sejauh mana perlaksanaan hukum Islam itu berjalan. Oleh kerana itu adalah menjadi tanggungjawab kita bersama dalam merubah mana-mana perkara atau corak hidup supaya selaras dengan hukum syara’.

FATWA - PERHIASAN PATUNG

Negara Asal: Brunei
Pengarang: Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned
Rujukan: Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darussalam

Soalan:
Mengikut hukum syara’ dan dalam Islam adalah ditegah untuk membina atau membuat patung-patung sama ada patung manusia atau binatang. Tapi apakah fatwa Yang Dimuliakan Pehin mengenai patung-patung binatang yang ada dibina di Jerudong Park Playground dan jua pada tiap-tiap malam termasuk malam Jumaat dibukakan kepada orang ramai? Harap Pehin dapat berikan penjelasan dengan tabah dan berani.

jawapan:

َالحَمْدُ ِللهِ َربِّ الْعَلَمِيْنَ, وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ,أللهم هداية للصواب, وَبَعْدُ

Definisi
Apabila disebut patung, maka akan segera diertikan sebagai suatu ukiran daripada batu, besi dan sebagainya yang mempunyai bentuk dan rupa paras dengan tubuh badan serta segala anggota bagi sesuatu objek tertentu yang hendak digambarkan dalam bentuk ukiran tersebut.

Ini bererti bahawa patung itu ialah gambar yang mempunyai jisim (tubuh badan dengan segala anggotanya) dan bayang. Dalam bahasa Arab dikenali sebagai timtsâl atau bila banya disebut tamâtsîl.

Dengan ini patung berbeza daripada gambar yang tiada berjisim dan tidak mempunyai bayang.

Bentuk-Bentuk Patung

Bagi mengetahui hukum masalah di atas kita perlu melihat kepada bentuk-bentuk patung dan juga gambar-gambar seperti berikut:

(i) Patung bagi benda (objek) yang bernyawa (ada baginya nyawa), sama ada manusia, binatang dan lainnya yang lengkap dengan segala anggota tubuh badan serta ada baginya jisim dan bayang.
(ii) Patung bagi tujuan pendidikan, pengajaran atau pembelajaran.

(iii) Patung yang tidak lengkap dengan anggota yang diperlukan bagi ia hidup.

(iv) Gambar atau lukisan benda bernyawa diletakkan pada tempat-tempat terhormat dan tidak menghinakan.

(v) Gambar atau lukisan benda bernyawa yang dipotong-potong dan dijadikan suatu benda lain dan digunakan dalam bentuk menghinakannya seperti bantal.

(vi) Gambar atau lukisan bagi benda-benda yang bernyawa yang diperlukan bagi sesuatu tujuan yang tidak bercanggah dengan syara’.

(vii) Gambar atau lukisan bagi benda-benda yang tidak bernyawa.

Berikut dinyatakan hukum-hukum yang berkenaan dengan setiap bentuk yang tersebut di atas berserta dengan dalil-dalil dan pendapat-pendapat ulama Islam yang muktabar terutama dalam Mazhab Imam Syafi’e Radhiallahu ‘anhu.

Hukum
1. Hukum membina atau membuat patung bagi benda yang bernyawa seperti manusia atau binatang-binatang yang lengkap dengan segala anggota tubuh badannya, berjisim dan ada bayang adalah haram dengan ijma’ seluruh ulama daripada semua Mazhab Ahli Sunnah Wal Jemaah dan wajib dirobohkan, sama ada diletakkan di tempat terhormat atau tempat yang menghinakannya. Manakala membinanya atau membuatnya adalah merupakan suatu dosa besar iaitu dosa besar yang kedua ratus enam puluh lapan seperti yang disebut oleh Imam Ibnu Hajar di dalam kitabnya Al-Zawâjir, kecuali jika disediakan semata-mata untuk tujuan pendidikan atau sebagai alat pengajaran dan pembelajaran seperti kanak-kanak sebagai mainan kepada kanak-kanak perempuan bagi tujuan latihan dan pendidikan dan latihan untuk masa depannya sebagai ibu. Demikian juga dengan patung manusia atau binatang yang lengkap atau sebahagian sahaja daripada anggota tubuh badan tertentu bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah dan di pusat-pusat pengajian tinggi seperti di Kolej atau di Fakulti Perubatan. Patung-patung atau sebahagian anggotanya untuk tujuan ini adalah harus dibuat, dimiliki dan digunakan, kerana diperlukan (hajat), sama ada daripada batu, besi, kayu dan plastic atau lain-lainnya. Manakala patung yang dibina atau dibuat untuk tujuan selain daripada pendidikan, pengajaran dan pembelajaran adalah diharamkan dan merupakan dosa besar iaitu patung bagi benda yang bernyawa, dalam apa sahaja bentuk dan rupanya, diletak pada tempat yang dihormati atau hina, di atas tanah atau lainya, sekalipun patung itu tidak ada baginya bandingan seperti kuda berkepak atau bersayap. Dalil bagi pengharaman dan sebagai dosa besar tersebut ialah berdasarkan beberapa hadits shahih daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengugut, mengancam dan memberi amaran dengan azab pada Hari Kiamat terhadap mereka yang mengukir patung-patung tersebut dan membuat atau membinanya, antaranya:

(i) Hadits Bukhari dari Muslim Ibnu Shabih Abu Dhuha berkata:

كنا مع مسروق فى دار يسار بن نمير فرأى فى صفته تماثيل فقال سمعت عبدالله (ابن مسعود رضى الله عنه) قال سمعت النبى صلى الله عليه وسلم يقول إن أشد الناس عذابا عند الله يوم القيامة المصورون

Maksudnya: “Kami sama-sama Masruq di rumah Yasar Ibnu Numair, tiba-tiba dia terlihat di ruang rumah itu ada beberapa patung.” Lantas dia terus berkata: “Aku telah mendengar daripada Abdullah bin Mas’ud berkata: “Aku mendengar Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Bahawasanya manusia yang paling berat azabnya di sisi Allah pada Hari Kiamat ialah para pembuat gambar (patung).”

(ii) Hadits Imam Bukhari dengan sanadnya daripada Nafi’ bahawasanya Abdullah bin ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma Shallallahu ‘anhuma menceritakan kepadanya, bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

إن الذين يصنعون هذه الصور يعذبون يوم القيامة يقال لهم أحيواما خلقتم

Maksudnya: “Bahwasanya mereka yang membuat gambar-gambar (patung) ini akan dikenakan seksa pada Hari Kiamat kelak, dikatakan kepada mereka (dipaksa): “Hidupkanlah patung yang kamu buat itu.”

2. Dalam satu riwayat lagi oleh Bukhari dengan sanadnya Sa’id Ibn Abi ‘Arubah yang banyak bermulazimah (berdampingan) dengan Qatadah, yang kebetulan pada suatu hari Qatadah ada bersama-sama dengan Al-Nadhru bin Anas bin Malik, Al-Nadhru menceritakan kepada Qatadah, sambil didengar oleh Sa’id yang bersama-sama dengan mereka, Al-Nadhru berkata: “Suatu hari aku duduk di sisi Ibnu ‘Abbas, di ketika itu ramai orang yang bertanya masalah dan meminta fatwa daripadanya, Ibnu ‘Abbas menjawab persoalan-persoalan itu tanpa menyebut sebarang dalil daripada Al-Sunnah (hadits) sehinggalah ditanyakan oleh seorang lelaki dari Iraq yang bekerja sebagai tukang kayu, katanya kepada Ibnu ‘Abbas: “Aku membuat gambar ini”, dalam riwayat lain katanya: “Kehidupanku adalah melalui kerja tanganku iaitu membuat gambar (mengukir kayu-kayu menjadi patung), maka apakah yang tuan boleh memberi apa-apa perintah tuan kepada saya (berhubung dengan perkara ini)” Di sini Ibnu ‘Abbas menjawab katanya:

سمعت محمدا صلى الله عليه وسلم يقول من صور صورة فى الدنيا كلف يوم القيامة أن ينفخ فيها الروح وليس بنافخ

Maksudnya: “Aku dengar Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Barangsiapa yang membuat sebarang gambar di dunia ini akan diseksa pada Hari Kiamat kelak dengan memaksa dia supaya meniupkan padanya roh, sedangkan dia tidak mampu sama sekali meniupkan roh (menghidupkan).”

Dalam riwayat yang lain, apabila Ibnu ‘Abbas melihat lelaki itu tidak senang dengan jawapannya, maka Ibnu ‘Abbas berkata kepadanya:

ويحك ! إن أبيت إلا أن تصنع فعليك بهذا الشجر

Maksudnya: “Celaka kau! Jika terpaksa juga engkau kerjakan, maka buatlah gambar pokok.”

Dalam riwayat Muslim dan Ahmad, kata Ibnu ‘Abbas menjawab bagi pertanyaan lelaki tersebut:

سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول كل مصور فى النار يجعل له بكل صورة صورها نفسا فتعذبه جهنم

Maksudnya: “Aku dengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Setiap penggambar (pembuat patung) diazab / diseksa dalam neraka, dijadikan setiap gambar (patung) itu roh sebagai alat penyeksa terhadapnya di dalam neraka jahanam.

Maka Ibnu ‘Abbas berkata kepadanya:

فإن كنت لابد فاعلا فاصنع الشجر وما لا نفس له
Maksudnya: “Jika awak terpaksa juga melakukan pekerjaan itu (membuat patung), maka buatlah (gambar) tumbuh-tumbuhan dan benda-benda yang tidak bernyawa.”

3. Manakala patung benda bernyawa bagi tujuan pendidikan, pengajaran dan pembelajaran, kata Ibnu Hajar Al Asqalani: “Patung yang diharamkan dengan ijma’ itu tidak termasuk pating mainan kanak-kanak perempuan.” Dan Imam Nawawi juga ada berkata: “Dikecualikan daripada haram membuat patung dan penggunaannya; patung mainan kanak-kanak perempuan, kerana ada riwayat daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang memberi ruhkshah (kelonggaran) mengenainya”

Kelonggaran atau pengecualian ini adalah berdasarkan hadits Bukhari dengan sanadnya kepada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anhu katanya:

كنت ألعب بالبنات عند النبى صلى الله عليه وسلم وكان لى صواحب يلعبن معى فكان رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا دخل يتقمعن منه فيسربهن إلى فيلعبن معى
Maksudnya: “Aku bermain-main anak patung di sisi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan aku ada beberapa orang kawan bermain-main bersama-samaku. Apabila Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam membiarkan mereka bermain –main denganku.”

Jadi hadits ini bermaksud ‘Aisyah bermain dengan anak-anak patung bersama dengan kawan-kawanya, bukanlah bermakna ‘aisyah bermain –main dengan kawan-kawannya sahaja, ini dijelasskan oleh riwayat Jarir daripada Hisyam, di dalamnya terdapat perkataan ‘Aisyah berbunyi:

كنت ألعب بالبنات وهن اللعب
Maksudnya: “Aku bermain-main dengan anak-anak perempuan iaitu anak-anak mainan (patung).”

Hadits ini diterbitkan oleh Abu ‘Awanah dan lainnya. Juga Abu Daud dan Nasa’i ada meriwayatkan cerita lain daripada ‘Aisyah (yang menunjukkan ada patung-patung mainan kepada ‘Aisyah) katanya:

قدم رسول الله صلى الله عليه وسلم من غزوة تبوك أو خيبر – فذكر الحديث فى هتكه الستر الذى نصبته على بابها, قالت: فكشفت ناحية الستر عن بنات لعائشة لعب فقال ما هذا يا عائشة قالت بناتى, ورأى فيها فرسا مربوطا له جناحان فقال ما هذا؟ قلت فرس قال فرس له جناحان قلت ألم تسمع أنه كان لسليمان خيل لها أجنحة؟ فضحك
Maksudnya: “Setibanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada peperangan Tabuk dan Khaibar, lalu diceritakan kisah di mana Rasulullah Shallallahu ‘alahi wasallam menurunkan kain yang direntangkan pada pintunya, di sini Rasulullah Shallallahu ‘alahi wasallam terlihat di sebalik kain rentang itu ada beberapa anak patung perempuan mainan kepada ‘Aisyah. Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bertanya: “Apa ini wahai ‘Aisyah?” Jawabnya: “Anak-anak patung perempuan milikku.” Kemudian Rasulullah Shallallahu ‘alahi wasallam terlihat pula kepada patung kuda dalam keadaan terikat ada baginya dua sayap! Maka Rasulullah bertanya: “Apa ini?” ‘Aisyah menjawab: “Kuda.” Kata Rasulullah: “Kuda ada dua sayap!” Jawab ‘Aisyah: “Tidakkah Tuan pernah dengar bahawa ada bagi Nabi Sulaiman kuda-kuda yang mempunyai beberapa sayap? Maka rasulullah tertawa.”

Kata Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani selepas membawa hadits ini daripada beberapa riwayatnya: “Maka ini adalah merupakan dalil yang jelas menunjukkan bahawa yang dimaksudkan ialah anak-anak patung daripada mainan perempuan, bukannya anak-anak perempuan daripada manusia.” Tetapi Imam Malik berkata: “Makruh bapa membeli patung mainan kepada anak perempuannya.” Bahkan setengah ulama berpendapat bahawa kebenaran pada membuat dan menggunakan patung mainan kanak-kanak perempuan itu telah dimansukhkan kepada hadits-hadits yang melarang seperti yang disebut di atas.

4. patung benda bernyawa yang berjisim dan ada bayang, tetapi tidak lengkap dengan segala anggota terutama anggota yang tidak dapat tidak untuk hidup seperti kepala atau badan, hukumnya adalah harus pada pendapat Al-Jumhur (kebanyakkan ulama) seperti yang dinaqalkan oleh Imam Rafi’e: “Bahawasanya patung, apabila dipotong keplanya maka tiadalah sebarang tegahan lagi.” Tetapi Imam Mutawalla (salah seorang ulama besar pakar rujuk dalam Mazhab Syafi’e) mengatakan: “Tiada beza, sama ada dipotong kepalanya atau tidak.”

Ini bererti pada pendapat Mutawalla bahawa sebarang patung adalah haram membuata atau membinanya.

5. Patung benda bernyawa tiada berjisim dan tiada berbayang itu sebenarnya ialah gambar atau lukisan. Jika ia diletakkan pada tempat-tempat yang mulia dan tidak menghinakannya seperti digantung di tempat-tempat yang mulia dan tidak menghinakannya seperti digantung di tempat-tempat yang tinggi, di dinding, di siling, di pakaian dan sebagainya, maka menurut pendapat yang jelas dalilnya adalah haram dan tidak dimasuki Malaikat Rahmat.

Dalam hadits riwayat Bukhari dengan sanadnya daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anhu berkata:

قدم رسول الله صلى الله عليه وسلم سفر وقد سترت بقرام لى على سهوة لى فيها تماثيل فلما رآه رسول الله صلى الله عليه وسلم هتكه وقال أشد الناس عذابا يوم القيامة الذين يضاهون بخلق الله قالت فجعلناه وسادة أو وسادتين
Maksudnya: “Setibanya Rasulullah Shallallahu ‘alahi wasallam daripada suatu pelayaran (kembali daripada peperangan Tabuk) dan aku menggunakan sebidang kain bulu (mungkin seperti sejadah) untuk menutupi bilik kecil yang dijadikan sebgai setor barang-barang. Terdapat pada kain itu gambar-gambar (lukisan-lukisan benda yang bernyawa), maka apabila Rasulullah Shallallahu ‘alahi wasallam melihatnya, Baginda lalu memusnahkannya (bererti mengangkat kain itu dan menjauhkannya daripada tempat letaknya itu serta menggulungkannya sehingga tidak nampak lagi gambar-gambarnya kepada mata yang memandang) sambil bersabda: “Manusia yang paling berat seksanya pada Hari Kiamat ialah mereka yang menjadikan sesuatu menyamai / menyerupai dengan makhluk yang dijadikan Allah (membuat patung benda bernyawa).” Kata ‘Aisyah: “Ekoran daripada teguran Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam itu kami pun potong kain tersebut untuk dijadikan sebiji atau dua biji bantal.”

Oleh yang demikian, jelas daripada hadits ini segala gambar bagi benda bernyawa, sama ada baginya jisim dan bayan (patung) atau tidak (iaiatu gambar-gambar dan likisan-lukisan manusia atau binatang) adalah haram jika diletakkan pada tempat-tempat yang dimuliakan dan tidak hina, berdasarkan kepada ugutan atau amaran dengan seksa yang paling berat di dalam hadits yang shahih daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam seperti tersebut di atas.

Tetapi jika diletakkan pada tempat yang tidak dimuliakan seperti contoh dalam hadits iaiatu bantal yang digunakn untuk tidur adalah tidak haram.

Dalam hadits lain riwayat Bukhari dengan sanadnya daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha: -

قدم النبى صلى الله غليه وسلم وعلقت درنوكا فيه تماثيل فأمرنى أن أنزعه فنزعت
Maksudnya: “Setibanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada suatu pelayaran, pada ketika aku telah merentangkan sebidang kain (durnûk) di pintu rumahku (kain yang boleh digunakan sebagai hamparan dan tabir / langsir) terdapat padanya gambar-gambar lukisan, (iaiatu kuda yang mempunyai sayap dan kepak), maka Rasulullallah Shallallahu ‘alaihi wasallam memerintah supaya aku buangkannya, lalu aku pun segera membuangkannya (menurunkannya daripada pintu).”

Dan satu lagi hadits riwayat Bukhari dengan sanadnya daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha juga:

أنها اشترت نمرقة فيها تصاوير. فقام النبى صلى الله عليه وسلم بالباب فلم يدخل. فقلت أتوب إلى الله مما أذ نبت قال ما هذه النمرقة. قلت لتجلس عليها وتوسدها. قال إن أصحاب هذه الصور يعذبون يوم القيامة يقال لهم أحيوا ما خلقتم وإن الملائكة لا تدخل بيتا فيه الصور
Maksudnya: “Bahawa ‘Aisyah telah membeli satu set tempat duduk (bantal / kusyen tempat duduk) yang ada padanya gambar-gambar, (apabila Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pulang), maka Baginda berdiri di pintu dan enggan masuk ke dalam rumah. (Setelah melihat keadaan sedemikian dan dilihat tanda tidak suka di muka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam), maka ‘Aisyah berkata: “Aku memohon ampun kepada Allah daripada dosa yang aku lakukan.” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bertanya: “Apakah tujuan dengan bantal (numruqah) ini?” Jawab ‘Aisyah: “Untuk Tuan hamba duduk dan bersandar” , sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Bahawa sesungguhnya orang-orang yang membuat gambar ini akan diseksa pada Hari Kiamat kelak, dikatakan kepada mereka: “Hidupkanlah apa yang kamu buat itu, dan sesungguhnya para malaikat (Malaikat Rahmat) tidak akan memasuki rumah yang terdapat padanya gambar-gambar.”

Manakala dalam riwayat Bukhari lagi dengan sanadnya daripada ‘Aun bin Abi Juhaifah daripada bapanya menyebutkan:

أنه اشترى غلاما حجاما فقال إن النبى صلى الله عليه وسلم نهى عن ثمن الدم وثمن الكلب وكسب البغى ولعن آكل الربا وموكله والوشمة والمستوشمة والمصور
Maksudnya: “Bahawa bapa ‘Aun membeli seorang hamba yang mahir dengan kerja-kerja berbekam. Maka katanya: “Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menegah daripada hasil jualan darah, hasil jualan anjing, hasil zina (pelacuran), dan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melaknat ke atas pemakanan riba dan pemberi riba dank e atas pembuat tatu (kirung) dan yang meminta supaya dibuat tatu ke atasnya, dank e atas penggambar gambar (pembuat gambar).”

Daripada beberapa hadits di atas jelas bahawa gambar-gambar benda yang bernyawa yang lengkap dengan segala anggota tubuh badannya tetapi tiada berjisim dan tiada bayang baginya, hukumnya adalah seperti berikut:

(i) Jika diletakkan pada tempat-tempat terhormat dan tidak hina adalah haram. Walau bagaimanapun Imam Nawawi berpendapat adalah tiada beza di antara yang ada baginya bayang dan tiada baginya bayang jika digantung di dinding, di pakaian, di serban atau seumpamanya daripada perbuatan yang tidak dikirakan sebagai menghinakannya adalah haram.

(ii) Jika digunakan sebagai hamparan yang dipijak-pijak atau menjadi hina dengan penggunaannya seperti bantal dan sandaran (penyandar) adalah harus. Kata Imam Nawawi: “Ini adalah pendapat jumhur Ulama dari kalangan sahabat dan tabi’in dan aia adalah pendapat Imam Tsauri, Malik, Abu Hanifah dan Syafi’e.”

(iii) Jika dipotong-potongkan dan dijadikan seperti bantal dan sebagainya adalah harus.

(iv) Jika tidak dipotong-potong, bahkan masih lengkap dengan sempurna segala anggotanya dan masih dijadikan tempat duduk (numruqah) adalah masih diingkari oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, seperti yang jelas daripada tindakan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memberi amaran terhadap mereka yang membuat gambar.

Hadits ini ditujukan kepada gambar (numruqah) yang hendak dijadikan sebagai tempat duduk. Di sini Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menyatakan bahawa para pembuat gambar-gambar ini (yang dilukis dalam numruqah) akan diazab pada Hari Kiamat kelak dengan dipaksa mereka supaya menghidupkannya, sedangkan mereka tidak mampu menghidupkannya. Ini suatu seksa kepada mereka. Dan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menyatakan lagi dio sini bahawasanya para malaikat (Malaikat Rahmat) tidak akan masuk ke dalam rumah yang terdapat padanya gambar-gambar seperti yang terdapat pada (numruqah) iaiatu jisim dan bayang, bahkan gambar lukisan sahaja tidak lengkap. Selain daripada hadits Al-Nadhru yang menceritakan kepada Qatadah darihal Ibnu ‘Abbas yang diminta fatwa terhadap beberapa masalah dan dijawabnya tanpa membawa dalil daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam kecuali apabila ditanya mengenai kerja mencari nafkah melalui membuat gambar. Maka di sini Ibnu ‘Abbas menjawab dengan sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang menyatakan secara umum (man shawwara shûratan…) dapat difahamkan bahawa sebarang kerja membuat gambar bagi benda yang bernyawa, sekalipun tiada berjisimdan bayang, tetapi gambar-gambar itu lengkap dan sempurna dengan segala anggotanya dan walaupun digunakan sebagai tempat duduk atau dijadikan pekerjaan membuatnya sebagai jalan mencari nafkah hidup adalah haram.

Imam Nawawi berkata:

تصوير صورة الحيوان حرام شديد التحريم وهو من الكبائر لأنه متوعد عليه بهذا الوعيد الشديد وسواء صنعه لما يمتهن أم لغيره فصنعه حرام بكل حال, وسواء فى ثوب او بساط او درهم أو دينار أو فلس أو إناء أو حائط أو غيرها. فأما تصوير ما ليس فيه صورة حيوان فليس بحرام.
Ertinya: “Membuat gambar binatang (termasuk manusia kerana maksudnya: Benda yang bernyawa) adalah haram yang bersangatan dan ia merupakan dosa besar, kerana diugut denga ugutan yang kuat. Dan sama ada dibuat gambar itu pada benda yang menghinakan atau lainnya. Membuat gambar adalah haram dalam semua keadaan, dan sama ada dibuat pada pakaian, hamparan, wang derham, dinar, wang tembaga, bijana, di dinding dan lainnya. Tetapi membuat gambar yang lain daripada binatang (binatang bernyawa) adalah tidak haram.”

Manakala Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani pula menyatakan dalam Fath Al-Bâri bahawa ugutan dengan azab yang berat itu ditujukan khas terhadap mereka yang membuat gambar dengan bertujuan menyerupai (yudhâhi) dengan makhluk yang dijadikan Allah (menyerupai Allah dari segi menjadikan sesuatu). Maka jadilah dia kafir dengan niat tersebut, maka kerana inilah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

أشد الناس عذابا يوم القيامة الذين يضاهون بخلق الله
Maksudnya: “anusia yang paling berat seksanya pada Hari Kiamat ialah mereka yang menyerupai dengan makhluk yang dijadikan Allah.”

Al-Hafiz Al-Asqalani menambah: “Orang yang lebih berat bagi dosanya (daripada yang tiada niat menyerupai) ialah mereka yang membuat gambar apa-apa suatu yang disembah selain daripada Allah.”

Kata Al-Qurtubi: “Bahawasanya masyarakat jahiliah membuat berhala dariada apa sahaja yang terdapat, sehingga setengah daripada mereka membuat berhalanya daripada buah tamar ‘ajwah, yang mana apabila dia merasai lapar dimakannya.”

Hukum Gambar Foto (Photograph)
(i) Adapun gambar yang dibuat melalui cahaya matahari seperti gambar-gambar foto itu kata setengah ulama harus dan boleh dibuat dan kata setengah ulama lain haram dibuat.

(ii) Gambar haiwan yang diambil dengan memakai alat foto yang telah berlaku kira-kira pada kurun yang kesembilan Masihi, saya belum berjumpa perkataan alim ulama Syafi’iyyah yang tepat berkenaan hukum mengambil haiwan dengan alat foto sebagaimana yang dibayangkan oleh Al-‘Allâmah Al-Saqqaf pengarang Hâayiah Tarsyih Al-Mustafîdîn ‘ala Fath Al-Mu’în, akan tetapi menurut kumpulan fatwa bagi Al-‘Allâmah Al-Syeikh Husain Al-Maghribi Al-Azahari Mufti Malikiyyah di Makkah Al-Mukarramah dan bagi anaknya Al-‘Allâmah Al-Syeikh Muhammad ‘Abid, Mufti Malikyyah Makkah Mukarramah dan menurut pendapat Al-‘Allâmah Al-Sayyid Muhammad bin Ja’afar gambar yang diambil dengan memakai alat foto adalah ia makruh jika gambar-gambar haiwan itu cukup keadaannya.

Dengan ini jelas daripada pendapat-pendapat ulama di atas seperti berikut:

(i) Membuat patung dengan niat menyerupai Allah dari segi menjadikan sesuatu itu adalah kufur wal ‘yâdzubillâh.

(ii) Membuat patung atau gambar bagi sesuatu yang disembah selain daripada Allah adalah haram dan berdosa lebih besar daripada dosa membuat patung atau gambar bagi yang bukan disembah selain daripada Allah.

(iii) Membuat gambar, lukisan pada benda-benda yang terhormat dan tidak dihinakan adalah haram seperti yang jelas daripada hadits-hadits iaitu qiram, durnûk dan numruqah.

(iv) Jika dibuat atau digunakan dengan cara yang tidak memuliakan, bahkan dihinakan seperti hamparan yang terdapat pada bantal dengan dipotong-potongkan, maka tiadalah haram.

(v) Jika gambar-gambar itu bagi benda-benda yang bernyawa seperti gambar-gambar atau lukisan tumbuh-tumbuhan, maka ini adalah harus seperti kata Ibnu ‘Abbas kepada lelaki tukang kayu. Daripada hadits yang maksudnya: (…Jika terpaksa juga engkau lakukan kerja membuat gambar, maka buatlah gambar-gambar tumbuh-tumbuhan).

(vi) Bagi gambar-gambar itu bukan bagi benda-benda yang bernyawa untuk tujuan-tujuan yang tidak bercanggah dengan syara’ seperti untuk tujuan pengenalan peribadi seseorang seperti yang ditetapkan oleh undang-undang, maka ini adalah harus. Harus gambar-gambar atau lukisan-lukisan yang tiada berjisim dan berbayang untuk dibuat, dimiliki dan digunakan dalam kehidupan sehari-hari yang tidak bercanggah dengan syara’.

RumusanDengan ini dapatlah dirumuskan hukum-hukum berkaitan dengan patung atau gambar-gambar seperti berikut:

(i) Patung benda yang bernyawa yang lengkap dengan segala anggotanya adalah haram dengan ijma’, dan wajib dimusnahkan, sama ada patung manusia, binatang, malaikat jin atau binatang yang tiada banding baginya seperti kuda bersayap atau berkepak.

(ii) Patung tersebut di atas yang dipotong bahagian atau anggota yang tidak boleh ia hidup tanpanya adalah harus.

(iii) Patung lengkap seperti (i) di atas bagi tujuan pendidikan atau pengajaran dan pembelajaran adalah harus dibuat, dimiliki dan digunakan.

(iv) Gambar atau lukisan benda bernyawa diletakkan pada tempat-tempat terhormat dan tidak hina adalah haram.

(v) Gambar atau lukisan benda yang bernyawa diletakkan pada tempat-tempat tidak terhormat dan sekalipun menghinakan seperti yang terdapat pada penyandar-penyandar yang dijadikan tempat sandaran atau tempat duduk adalah masih diingkari oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Ini ditafsirkan oleh setengah ulama sebagai makruh sahaja.

(vi) Gambar atau lukisan benda yang bernyawa itu, jika dipotong-potongkan dan dijadikan seperti bantal dan sebagainya maka ini adalah harus.

(vii) Sebarang patung, gambar atau lukisan bagi benda-benda yang tiada bernyawa adalah harus seperti bukit bukau, gunung-ganang, tumbuh-tumbuhan, lautan, langit dan bumi dan sebagainya.

(viii) Gambar atau lukisan bagi benda yang bernyawa yang diperlukan bagi tujuan-tujuan yang tidak bercanggah dengan syara’ adalah harus, sama seperti patung benda yang bernyawa di atas.

(ix) Gambar atau patung benda bernyawa berjisim dan berbayang atau tidak, jika dibuat dengan tujuan menyerupai Allah dalam menjadikannya adalah kufur wal’iyâdzubillâh.

(x) Jika dibuat gambar atau patung tersebut tanpa niat menyerupai, tetapi gambar atau patung itu ialah sesuatu yang disembah selain daripada Allah, maka hukumnya adalah haram dan dosanya lebih besar daripada dosa membuat gambar atau patung bagi benda yang tidak disembah selain daripada Allah.

Selasa, 29 November 2011

Status Rezeki Mengambil Gambar Tidak Tutup Aurat


Sejak kebelakangan ni, kita selalu dengar tentang kamera yang serba canggih sama ada di tv, surat khabar, radio, Facebook, blog dan macam-macam lagi media yang ada. Ya, itulah kamera DSLR yang semakin menjadi sebutan dan kegunaan orang ramai. Memandangkan ia adalah satu alat yang canggih, jadi harganya sudah pasti canggih juga. Tak main la harga bawah RM 1000. Beribu-ribu juga modal nak dikeluarkan jika ingin memiliki alat sebegitu. Itu belum dicampur lagi dengan alatan tambahan untuk hasil fotografi yang baik.

Oleh kerana modal yang besar, maka timbullah keinginan untuk membuat bisnes menggunakan pelaburan ini. Beli kamera beribu-ribu, jadi dengan menjadi jurugambar adalah membuka peluang untuk mendapat pulangan yang lumayan. Ambil tempahan untuk tangkap gambar majlis, gambar iklan, gambar pengantin, gambar couple, gambar model, gambar pemandangan dan macam-macam gambar lagi adalah menjadi kebiasaan jurugambar ini.

Disebabkan hal ini, maka timbullah satu persoalan iaitu mencari rezeki dengan mengambil gambar orang yang membuka aurat dan kita fokuskan kepada pengantin sebab biasa orang kahwin ni memang cari jurugambar untuk ambil gambar mereka. Apakah hukumnya? Saya terjumpa satu sesi soal jawab dan kini saya kongsikan bersama anda:

Assalamualaikum..
Saya membuat perkerjaan menjadi jurugambar perkahwinan separuh masa. Dalam proses itu ada terdapat pengantin perempuan yang tidak memakai tudung serta mendedahkan aurat semasa proses bersolek oleh mak andam. Pengantin berkehendakkan saya mengambil gambar gambarnya disolek oleh mak andam. Kemudian selepas pengantin siap bersolek, dia akan memakai tudung penuh dan menutup aurat untuk upacara akad nikahnya dan perkahwinannya.

1) Adakah dibolehkan saya mengambil gambar pengantin perempuan yang sedang disolekkan yang tidak menutup rambut kerana ia diminta oleh pengantin perempuan?

Jawapan: Mengikut Dr. Yusof Al-Qaradhawi, walaupun fotografi harus hukumnya, tapi hukumnya bergantung kepada objek fotografi atau objek yang di ambil oleh jurugambar itu. Jika gambar yang diambil adalah gambar bogel, maka ketika itu hukum fotografi adalah haram. Begitu juga gambar perempuan yang membuka auratnya. Hukum yang kedua, hukum melihat aurat perempuan tanpa keperluan yang darurat (seperti perubatan bagi seorang doktor), maka hukumnya adalah haram. Maka hukum anda mengambil gambar-gambar perempuan yang mendedahkan aurat adalah haram hukumnya. Permintaan pelanggan bukanlah alasan untuk mengharuskan yang haram.

2) Apakah rezeki yang saya terima dari mengambil gambar pengantin sedang disolekkan ini halal?

Jawapan: Tidak halal. Ini kerana mengikut kaedah fiqh, “Al hukum bil wasilah hukmu bil maqosyid” (hukum bagi wasilah adalah hukum dari maksud), ia datang dari kaedah fiqih, “Ma haruma isti’maaluh, haruma ittikhaazuh” (yang haram penggunaannya, haram pula memperolehinya) (Muhamamd al-Zarqa’, syarah qawaid/389).

3) Bagaimana pula dengan hasil rezeki gambar-gambar pengantin perempuan yang menutup aurat penuh? Adakah rezeki yang diterima itu halal?

Jawapan: Halal. Ia kembali kepada hukum asal fotografi adalah harus dan harus pula rezeki dari foto-foto yang halal.

4) Bolehkan saya menolak jumlah wang gambar pengantin perempuan yang tidak menutup aurat ini daripada keseluruhan wang hasil gambar perkahwinannya? Maknanya saya hanya memakan hasil gambar yang diambil pengantin wanita yang menutup aurat sahaja (memberikan hasil ini sebagai rezeki keluarga) dan hasil gambar yang tidak menutup aurat saya tidak memakannya (iaitu menggunakan hasil itu dengan membeli kamera/filem baru). Contohnya harga pakej gambar ialah RM100. Katakan ada 40 (40%) keping gambar pengantin wanita tidak menutup aurat rambut dan 60 (60%) keping lagi menutup aurat penuh. Jadi saya memberikan rezeki RM60 itu kepada keluarga saya dan RM40 itu saya tidak memakannya (dan menggunakan RM40 utk membeli filem/lensa).

Jawapan: Amalan spt ini sebenarnya tidak pernah dilakukan oleh orang
Islam sebelum ini khususnya di zaman salafus-soleh. Mereka berpegang teguh dgn hadis Asy-Syarif, hadis no.6 dalam Matan arba’een anNawawiyah (Matan hadis 40 Imam Nawawi) dari Nu’man bin Bashir yang dikeluarkan oleh Dua Sahih Bukhari-Muslim, “Sesungguhnya yang Halal itu jelas, yang haram itu jelas dan di antara keduanya banyak perkara syubahah (samar-samar) yang kebanyakan manusia tidak mengetahuinya.” Maksudnya jika kita melakukan begitu, cuba membuat perakaunan (accounting) ini dari sumber halal dan ini dari sumber haram, ini kerana kita takut accounting itu tidak tepat dan masih ada yang syubahah. Lagipun dalam tubuh orang Islam itu tidak berhimpun sifat halal dan haram serta syubahah. Dia hanya mengutamakan halal bayyin dalam semua urusan hidupnya. Dalilnya: “Allah sekali-kali tidak menjadikan bagi seseorang dua buah hati dalam rongganya.” (Quran 33:04). Maksud ayat ini, orang Islam dia hanya ada satu buah hati, ada satu pilihan, hanya memilih yang halal sahaja dan menjauhi syubahah apatah lagi yang haram dalam urusan hidupnya.

Islam tu mudah tapi jangan ambil mudah tentang Islam. Mencari yang halal itu wajib bagi umat Islam.

Khamis, 27 Oktober 2011

Hukum Wang Faedah Bank

Soalan:
Apa hukum seorang yang menyimpan wang di bank mengambil bunganya?

Jawapan:

الحَمْدُ لِلّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ، وَ الصَّلاَةُ وَ السَّلاَمُ عَلَى النَّبِيِّ الرَّؤُوفِ الرَّحِيْمِ، وَ آلِهِ وَ أَزْوَاجِهِ وَ ذُرِّيَّتِهِ وَ صَحَابَتِهِ ذَوِى الشَّأْنِ الْعَظِيْمِ

Wang bunga yang diberi oleh bank kepada orang yang menyimpan wangnya di dalam bank itu, tiadalah menjadi kepunyaan bank, dan bukan juga menjadi kepunyaan orang yang menyimpan wangnya di bank, kerana wang itu diambil daripada pelanggan tiada dengan jalan diluluskan oleh syara`atau tiada menurut hokum syara`. Bunga itu haram dan menjadi harta Baitulmal.

Boleh ia ambil wang bunga itu dan ia bahagikan kepada yang mustahiqq dan berhak menerima wang bunga itu seperti ia beri kepada orang fakir atau orang miskin atau kepada orang berhutang lemah dari membayarnya atau kepada orang belayar tiada ada tambang atau tiada cukup tambang atau kepada orang membuat jambatan atau membuat rumah kiranya kedua-duanya miskin dan berhak menerima mengikut hokum syara`.

Dan bunga itu tiada ia jadi zakat, jika kiranya diberikan kepad fakir atau miskin atau kepada yang berhutang atau kepada orang hendak belayar tiada tambang sekalipun dengan niat berzakat, kerana bunga itu bukan miliknya, dan zakat wajiblah ia bayar dari hak dan miliknya.

واللهُ أَعْلَمُ

Negara Asal: Brunei
Tahun: 1978
Negara Asal: Brunei
Tahun: 1978
Pengarang: Ustaz Awang Bin Haji Abdul Aziz Bin Juned & Dr Hj Ismail Bin Omar Abdul Aziz
Rujukan: Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darussalam

Bertaqlid Dengan Mazhab Maliki Dalam Perkara Wudhu Ketika Mengerjakan Tawaf

Soalan:
Bagaimanakah cara berwudhu yang sebaik-baiknya sewaktu melakukan tawaf haji atau umrah bagi mengelakkan berulang-ulang mengambil wudhu kerana keadaan sekeliling Ka’bah yang sentiasa bersesak-sesak dan ramai? Adakah sebarang rukhshah mengenainya atau dibolehkan bertaqlid kepada mazhab lain?

Jawapan:

الحمد لله حمدا يوافى نعمه ويكافئ مزيده ، يا ربنا لك الحمد كما ينبغى لجلال وجهك وعظيم سلطانك ، اللهم صل وسلم على سيدنا ومولانا محمد وعلى آل سيدنا محمد صلاة تحيينا بها حياة طيبة ترضاها وتجعلنا بها هداة مهديين غير ضآلين ولا مضلين، وبعد

Masalah batal wudhu ketika tawaf kerana tersentuh kulit antara lelaki dan perempuan bukan mahram adalah isu yang sering kali ditimbulkan oleh para jemah haji atau umrah. Perkara ini menjadi rungutan sebilangan jemaah khususnya lelaki terutama pada musim haji atau pada bulan ramadhan kerana ia sangat sukar dielakkan.

Mengikut al-qaul al-azhar dalam mazhab asy-Syafi’e bersentuhan kulit antara lelaki dan perempuan yang tiada hubungan mahram merupakan antara perkara-perkara yang membatalkan wudhu kedua-dua pihak sama ada yang disentuh atau yang menyentuh. Maka sebagai langkah ke arah itu orang yang tawaf hendaklah berusaha supaya tidak menyentuh orang yang boleh membatalkan wudhu, kerana menurut al-qaul al-muqabil li al-azhar wudhu orang yang menyentuh sahaja yang batal sementara orang yang disentuh itu tidak batal wudhunya.

Maka dalam permasalahan tawaf yang menyebabkan kesulitan kepada para jemaah untuk mengambil wudhu kerana kepadatan yang amat sangat di kawasan tawaf itu, maka bolehlah beramal dengan qaul yang mengatakan tidak batal wudhu orang yang disentuh sebagai jalan masyaqqah atau kesulitan kerana terpaksa mengambil wudhu berulang-ulang kali jika beramal dengan qaul yang azhar. Bahkan jika secara amalinya pendapat berkenaan itu pun susah juga untuk diamalkan, maka dalam hal ini adalah diharuskan bagi jemaah bertaqlid dengan mazhab Imam Malik yang mengatakan tidak batal jika bersentuh antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram tanpa diiringi nafsu syahwat. Akan tetapi perlu difahami bahawa keharusan bertaqlid dengan mazhab-mazhab lain itu terdapat beberapa syarat yang wajib dipatuhi supaya perkara yang ditaqlidkan itu sah dan boleh damalkan.

Jika seorang yang bermazhab Syafi’e bertaqlid dengan mazhab Imam Malik, maka terlebih dahulu hendaklah dia mengetahui perkara-perkara yang hendak ditaqlidkan itu. Umpamanya jika bertaqlid dalam perkara tidak membatalkan wudhu jika bersentuhan antara lelaki dan perempuan, maka hendaklah dia mengetahui syarat-syarat sah wudhu dan mengamalkan perkara-perkara wajib dalam wudhu yang terdapat dalam mazhab Imam Malik seperti yang akan dihuraikan kemudian, baharulah bertaqlid dalam perkara yang tidak membatalkan wudhu iaitu dalam perkara bersentuh dengan wanita bukan mahram tanpa syahwat.

Oleh yang demikian secara terperinci dijelaskan, bagi jemaah yang hendak mengikut mazhab Maliki dalam perkara ini hendaklah dia mengambil wudhu sebagaimana cara berwudhu dalam mazhab Maliki iaitu:
1. Niat.
2. Membasuh muka.
3. Membasuh dua tangan serta dua siku.
4. Menyapu semua kepala, termasuk lubang (lekuk) tengkuk, kulit di atas dan di belakang dua telinga serta rambut dua pelipis (ekor rambut antara mata dan telinga).
5. Membasuh dua kaki serta dua buku lali.
6. Berturut-turut dengan tidak berlengah-lengah pada membasuh satu anggota ke satu anggota wudhu yang dibasuh.
7. Menggosok atau menyental dengan tapak tangan anggota-anggota wudhu yang dibasuh.
Perlu diingat, ketika membasuh dan menyapu anggota wudhu hendaklah dilakukan berturut-turut tanpa bertangguh dari satu anggota ke satu anggota yang lain dan menggosok atau menyental dengan tapak tangan setiap anggota wudhu. Perbuatan ini menjadi tuntutan kerana termasuk di dalam fardhu atau rukun wudhu dalam mazhab Maliki.

Sementara perkara-perkara yang membatalkan wudhu dalam mazhab Maliki adalah seperti berikut:
1. Keluar sesuatu yang biasa keluar dari qubul (kemaluan) dan dubur, iaitu air kencing, air mazi, air wadi, air mani, air tetuban, darah istihadhah, tahi, dan angin.
2. Hilang akal dengan sebab gila, pitam, mabuk ataupun dengan sebab tidur yang lena. Antara tanda-tanda tidur yang lena itu ialah orang yang tidur itu tidak lagi mendengar suara di sekelilingnya, mengalir air liur daripada mulutnya ataupun terlepas sesuatu daripada genggamannya.
3. Apabila seorang yang baligh menyentuh lawan sejenis (antara lelaki dan perempuan) dengan perasaan nikmat (syahwat). Adapun mengucup pada mulut juga membatalkan wudhu walaupun tanpa perasan nikmat.
4. Apabila seorang lelaki baligh menyentuh kemaluannya dengan tapak tangannya tanpa berlapik. Tetapi tidak membatalkan wudhu seorang perempuan yang menyentuh kemaluannya (farj).
5. Murtad.
6. Merasa ragu setelah berwudhu adakah masih suci atau sudah batal.

Sehubungan dengan ini kita sarankan pihak yang bertanggungjawab dalam urusan haji sewajarnyalah menyampaikan maklumat di atas kepada jemaah haji supaya pengetahuan jemaah tentang bertaqlid dengan mazhab lain dalam masalah wudhu ketika tawaf akan lebih jelas dan sempurna dilakukan mengikut sebagaimana yang dikehendaki dalam mazhab berkenaan. Dengan demikian tidaklah bertaqlid dalam perkara wudhu itu dilakukan dengan sewenang-wenangnya tanpa ilmu yang betul.

والله أعلم بالصواب

Bahasa Asal: Melayu
Negara Asal: Brunei
Tahun: 2004
Pengarang: Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Junid
Rujukan: Jabatan mufti Kerajaan, jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darussalam
Nota: Fatwa Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam 2004

Isnin, 15 Ogos 2011

ASB/ASN HARAM – JABATAN MUFTI NEGERI SELANGOR

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali 2/2011 yang bersidang pada 12hb. April 2011M bersamaan 8 Jumadal Ula 1432H telah bersetuju memutuskan bahawa Pelaburan Amanah Saham Nasional (ASN), Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan seumpamanya adalah tidak halal. Hal ini kerana ia masih belum menepati hukum syarak dengan alasan seperti berikut:

Skim Amanah Saham Nasional (ASN) dan Amanah Saham Bumiputra (ASB) secara jelas terlibat dalam aktiviti pelaburan yang bercampur-campur antara patuh syariah dan tidak patuh syariah sebahagian besarnya adalah daripada sektor kewangan konvensional.

(klik gambar utk besarkan)


Fatwa Negeri P.Pinang: Bacaan al-Quran Sebelum Subuh Dilarang Syarak

HUKUM MEMBACA AL-QURAN SEBELUM SUBUH DENGAN MENGGUNAKAN PEMBESAR SUARA

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang telah memutuskan bahawa bacaan Al-Quran dengan pembesar suara daripada masjid atau surau adalah dilarang menurut hukum syara'.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang (KN) menghormati keputusan Jawatankuasa Fatwa yang bersidang pada 7 April 2011 mengenai hukum tersebut. Namun, KN berpendirian pentadbiran masjid dan surau boleh mempertimbangkan sama ada mahu meneruskan tradisi dan amalan sedia ada atau sebaliknya, setelah menerima pemberitahuan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEAIPP) tentang keputusan Jawatankuasa Fatwa.

"Saya ingin menekankan bahawa pihak KN tiada kaitan dengan keputusan ini dan sebarang pertanyaan boleh dirujuk kepada Mufti Pulau Pinang. Saya juga menasihatkan agar jangan mempolitikkan isu ini kerana arahan dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa, bukannya KN seperti yang diuar-uarkan," ujar EXCO Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Y.B. Tuan Abdul Malik Abul Kassim semasa sesi sidang media yang diadakan di KOMTAR, hari ini.

Beliau juga memaklumkan pihak KN sentiasa membuka pintu rundingan dan mengalu-alukan muzakarah dan perbincangan dengan mana-mana pihak bagi memartabatkan Islam di negeri ini. Pihak media juga dinasihatkan untuk berjumpa dengan pihak yang sepatutnya untuk mendapatkan penjelasan dan bukannya dengan membuat andaian sendiri kerana isu ini berkaitan Agama Islam - Buletin Mutiara

Sabtu, 16 Julai 2011

Hukum Solat Dan Doa Pada Malam Nisfu Sya’ban



Petikan Fatwa Fadhilah Mufti Mesir Prof. Dr Ali Jum’ah.
Terjemahan : Ibnu Juhan Al-Tantawi

Soalan :

Apa hukum melakukan solat dan doa pada malam nisfu Sya’ban seterusnya berpuasa pada siang harinya?

Jawapan :

Malam nisfu Sya’ban merupakan malam yang barakah. Terdapat sebilangan besar dalil yang menyebut tentang kelebihan malam nisfu Sya’ban daripada hadis-hadis (nabi S.A.W) yang saling menguatkan antara satu sama lain serta mengangkat (hadis-hadis tersebut) ke darjat Hadis Hasan dan Kuat (dari segi hukumnya).

Maka mengambil berat terhadap malam nisfu Sya’ban serta menghidupkan malamnya adalah sebahagian daripada agama yang tiada keraguan padanya. Adapun keraguan yang timbul adalah disebabkan pandangan terhadap hadis-hadis yang barangkali hukumnya Dhaif yang menceritakan tentang kelebihan malam tersebut.

Antara hadis-hadis yang menceritakan tentang kelebihannya :

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْها قَالَتْ : “فَقَدْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ لَيْلَةٍ فَخَرَجْتُ أَطْلُبُهُ فَإِذَا هُوَ بِالْبَقِيعِ رَافِعٌ رَأْسَهُ إِلَى السَّمَاءِ فَقَالَ :يَا عَائِشَةُ أَكُنْتِ تَخَافِينَ أَنْ يَحِيفَ اللَّهُ عَلَيْكِ وَرَسُولُهُ قَالَتْ :قَدْ قُلْتُ وَمَا بِي ذَلِكَ وَلَكِنِّي ظَنَنْتُ أَنَّكَ أَتَيْتَ بَعْضَ نِسَائِكَ فَقَالَ إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يَنْزِلُ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا فَيَغْفِرُ لِأَكْثَرَ مِنْ عَدَدِ شَعَرِ غَنَمِ كَلْبٍ” – رواه الترميذي وابن ماجه وأحمد

Hadis daripada Ummul Mukminin Sayidatina ‘Aisyah R.A telah berkata : “Aku telah kehilangan nabi S.A.W pada suatu malam, maka aku telah keluar untuk mendapatinya maka baginda berada (sedang berdiri di kawasan perkuburan) Baqi’ sambil mendongakkan kepalanya ke langit.lalu baginda berkata : Wahai ‘Aisyah, adakah kamu takut Allah dan Rasulnya melakukan kezaliman ke atas kamu? Berkata ‘Aisyah : Bukan demikian sangkaanku tetapi aku menjangkakan kamu telah pergi kepada sebahagian daripada isteri-isteri kamu (atas perkara-perkara yang mustahak lalu aku ingin mendapat kepastian). Lalu baginda bersabda : Sesungguhnya Allah Ta’ala telah turunkan (malaikatNya dengan perintahNya) pada malam nisfu Sya’ban ke langit dunia, lalu Allah mengampunkan dosa-doa (yang dilakukan oleh hambaNya) lebih banyak daripada bilangan bulu-bulu yang terdapat pada kambing-kambing peliharaan (bani) Kalb.”

-Hadis Riwayat Al-Tirmizi, Ibnu Majah dan Imam Ahmad.

Seterusnya,

عن مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : ” يَطَّلِعُ اللَّهُ إِلَى جَمِيعِ خَلْقِهِ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيعِ خَلْقِهِ إِلَّا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ ” – رواه الطبرانى وصححه ابن حبان

Hadis daripada Saidina Mu’adz ibnu Jabal R.A bahawa nabi S.A.W telah bersabda : “Allah memandang pada kesemua makhluk ciptaanNya pada malam nisfu Sya’ban, lalu Allah mengampunkan dosa-dosa kesemua makhlukNya melainkan dosa orang musyrik (yang menyekutukan Allah) dan dosa orang yang bermusuhan.”

-Riwayat Al-Tobrani dan disahihkan oleh Ibnu Hibban.

Seterusnya,

عَنْ عَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ كرم الله وجهه قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : “إِذَا كَانَتْ لَيْلَةُ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَقُومُوا لَيْلَهَا وَصُومُوا نَهَارَهَا فَإِنَّ اللَّهَ يَنْزِلُ فِيهَا لِغُرُوبِ الشَّمْسِ إِلَى سَمَاءِ الدُّنْيَا فَيَقُولُ أَلَا مِنْ مُسْتَغْفِرٍ لِي فَأَغْفِرَ لَهُ أَلَا مُسْتَرْزِقٌ فَأَرْزُقَهُ أَلَا مُبْتَلًى فَأُعَافِيَهُ أَلَا كَذَا أَلَا كَذَا حَتَّى يَطْلُعَ الْفَجْرُ” – رواه ابن ماجه

Hadis daripada Saidina ‘Ali R.A bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda : “Apabila masuk malam nisfu Sya’ban, maka hendaklah kamu bangun pada malamnya dan berpuasa pada siang harinya, Sesungguhnya Allah Ta’ala menurunkan malaikatnya ke langit dunia pada malamnya setelah terbenamnya matahari, lalu Allah berkata : Sesiapa yang memohon keampunan padaKu maka Aku akan mengampunkan baginya, Sesiapa yang memohon rezeki padaKu maka Aku akan memberikannya rezeki, Sesiapa yang ditimpa musibah maka Aku akan melepaskannya, sesiapa yang demikian…sesiapa yang demikian …sehinggalah terbitnya fajar.”

-Riwayat Ibnu Majah.

Tidaklah mengapa seandainya membaca surah Yasin sebanyak 3 kali selepas solat maghrib secara terang-terangan dan beramai-ramai. Hal ini kerana termasuk dalam perkara menghidupkan malam tersebut dan perkara berkaitan dengan zikir ruangannya adalah luas. Adapun mengkhususkan sebahagian daripada tempat dan waktu untuk melakukan sebahagian daripada amalan soleh secara berterusan adalah termasuk dalam perkara yang disyariatkan selagi mana seseorang yang melakukan amalan tersebut tidak beri’tiqod (menjadikannya sebagai pegangan) ; bahawa perkara tersebut adalah wajib di sisi syara’ yang membawa hukum berdosa sekiranya meninggalkannya.

عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ : “كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْتِي مَسْجِدَ قُبَاءٍ كُلَّ سَبْتٍ مَاشِيًا وَرَاكِبً” – متفق عليه

Hadis daripada Ibnu Umar R.A telah berkata : “Nabi S.A.W akan mendatangi masjid Quba pada setiap hari Sabtu samada dengan berjalan ataupun menaiki tunggangan.”

-Riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim.

Berkata Al-Hafiz Ibnu Hajar di dalam kitabnya (Fathul Bari) :

“Di dalam hadis ini walaupun berbeza jalan-jalan pengriwayatannya menunjukkan kepada (hukum) harus mengkhususkan sebahagian hari-hari untuk melakukan sebahagian daripada amalan-amalan soleh serta melakukannya secara berterusan.”

-tamat

Berkata Ibnu Rajab Al-Hanbali di dalam kitabnya (Lathoif Al-Ma’arif) :

“Ulama’ di Syam telah berselisih pandangan dalam menyifatkan cara untuk menghidupkan malam nisfu Sya’ban kepada dua pandangan.

Pertamanya :

Adalah disunatkan menghidupkan malamnya secara berjamaah di masjid.

Khalid ibn Ma’dan dan Luqman ibn ‘Amir dan selain daripada mereka telah memakai sebaik-baik pakaian, dan mengenakan wangian serta mengenakan celak pada mata serta mendirikan malamnya dengan ibadah.

Dan Ishaq ibn Rahuyah bersepakat dengan pandangan mereka terhadap perkara tersebut dan berkata dalam masalah mendirikan malamnya dengan ibadah di masjid secara berjamaah : “Perkara tersebut tidaklah menjadi bid’ah.” Kalam ini dinukilkan oleh Harb Al-Kirmani di dalam kitab Masail nya.

Keduanya :

Sifatnya adalah makruh penghimpunan pada malamnya di masjid untuk melakukan solat serta bercerita dan berdoa. Dan tidak makruh sekiranya seseorang itu melakukan solat secara bersendirian. Ini adalah pandangan Al-Auzaie Imam Ahli Syam dan Ahli Faqeh dan ‘Alim.” -tamat

Kesimpulannya :

Maka menghidupkan malam nisfu Sya’ban sama ada secara berjamaah ataupun secara bersendirian sebagaimana sifat yang masyhur dikalangan orang ramai dan selainnya adalah perkara yang disyariatkan dan tidaklah menjadi bid’ah dan tidaklah menjadi makruh dengan syarat tidak menjadikan amalan tersebut sebagai suatu kemestian dan kewajipan.

Sekiranya amalan tersebut diwajibkan ke atas orang lain serta menghukum kepada mereka yang tidak mengikutinya dengan hukum berdosa maka menghukumkan dengan hukum dosa itu yang menjadi bid’ah kerana mewajibkan sesuatu yang tidak diwajibkan oleh Allah dan RasulNya S.A.W. Inilah makna yang menjadikannya makruh sebagaimana pandangan para salafussoleh terhadap hukum makruh dalam menghidupkan malam nisfu Sya’ban. Adapun menghidupkan malamnya sebagaimana hakikat asalnya maka perkara tersebut adalah disyariatkan dan tidaklah menjadi makruh.

Sumber :

Majalah Minbar Al-Islam, keluaran tahun ke-(68), bil (8) Sya’ban 1430, m/s 136

Jumaat, 15 Julai 2011

Pandangan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis Berkaitan Pembinaan Tugu “1Malaysia”

Membina replika tugu ‘1Malaysia’ adalah ditegah kerana ia mengandungi unsur penghormatan yang dikhuatiri boleh menjurus kepada pemujaan al-Ansab sebagaimana yang ditegah di dalam surah al-Maidah ayat 90:

Mafhumnya: “Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi dan al-Ansab (menyembah berhala) dan a-Azlam (bertenung nasib) adalah najis daripada amalan syaitan. Maka hendaklah kamu jauhkan daripadanya moga-moga kamu berjaya”

Tegahan ini juga berdasarkan kaedah Sadd al-Zara’i (menutup pintu kemudharatan) bagi memelihara kemurnian akidah, ini sebagaimana larangan Baginda SAW terhadap para sahabat yang ingin menjadikan pokok Zat Anwath sebagai tempat berkumpul. (Hadith riwayat al-Tirmizi dan katanya: “Hadith ini Hasan Sahih”. Ia juga dinilai Sahih oleh al-Haithami, Ahmad Syakir dan al-Albani)

Selain daripada itu kewajaran tegahan ini juga dilihat dari sudut pembaziran yang diharamkan oleh Islam.

——————————–

Keputusan Jawatankuasa ini telah diangkat kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan telah diperakukan dalam mesyuarat yang bersidang pada 19 April 2011. Keputusan ini juga telah disembah maklum kepada DYMM Tuanku Raja Perlis.

 

Tugu Satu Malaysia Di Arau:Tidak Ikut Fatwa Perlis?






Tugu tersebut seperti gambar di atas terletak di persimpangan Arau – Kodiang dan Arau-Pauh di hadapan KFC Kompleks Arau

Selasa, 5 Julai 2011


1) Assalamualaikum ustaz,
bolehkah kita melakukan 2 kali solat sunat witir dalam satu malam. Contohnya, selepas sunat tarawih saya terus melakukan sunat witir namun begitu pada pertengahan malam saya bangun untuk melakukan tahajud seterusnya witir. Adakah betul cara pelaksanaan ibadah ini???

Ahmad

2) Assalamualaikum ustaz,saya agak keliru dengan persoalan yang berkaitan dengan solat sunat witir. Ada yang mengatakan bahawa witir itu penutup yang bermakna penutup ibadah kita pada malam itu. Jadi, jika kita berniat untuk beribadah lagi (selepas terawih di rumah seperti qiam etc) maka tidak perlu buat solat witir. Saya kurang arif pada ketika saya mendengarkan perkara tersebut maka saya tidak bertanyakan dari mana sumber itu berasal. Monta panduan dan huraian sedikit daripada ustaz. Salam Ramadhan.

shariful fadzli

Jawapan:

:الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام علي رسول الله , وبعد

Pertamanya perlu diketahui di sini bahawa hukum melakukan solat witir adalah sunat muakkad. Persoalan yang ditimbulkan di sini ialah mengenai seseorang yang ingin melakukan solat sunat di rumah selepas dia mengerjakan solat terawih di masjid. Adakah dia perlu menangguhkan solat witir di masjid dan mengerjakan solat witir tersebut di rumah sebagai penutup solat malam, atau dia boleh melakukan solat witir selepas solat terawih dan menyambung solat-solat sunat di rumah walaupun telah mengerjakan solat witir di masjid?

Jika selesai sunat terawih dan anda tidak menunaikan solat witir kerana ingin mengerjakannya di rumah sebagai penutup kepada solat-solat sunat anda, maka ia adalah benar dan tidak menjadi persoalan di sini.

Yang menjadi perbahasan ulama ialah bagi mereka yang telah mengerjakan solat witir selepas solat terawih di masjid dan selepas itu ingin menyambung ibadat solatnya di rumah. Adakah dia boleh melakukan solat sunat tambahan kerana telah melakukan solat witir sedangkan solat witir dianggap sebagai penutup solat malam.

Permasalahan ini termasuk dalam masalah khilaf (masalah yang diperselisihkan ulama).

Ringkasnya, pandangan ulama dalam masalah ini adalah seperti berikut:

1) Jika seseorang telah melakukan solat witir dan kemudian dia ingin mengerjakan solat-solat sunat yang lain, maka dia boleh terus sahaja mengerjakan solat-solat tersebut dan tidak perlu mengulangi witirnya. Antara sandaran pendapat ini ialah:

عن أم سلمة أنه صلي الله عليه وسلم كان يركع ركعتين بعد الوتر وهو جالس
(رواه أحمد وأبو داود والترمذي وغيرهم)

Maksudnya: Daripada Ummu Salamah r.a, "Bahawa nabi saw pernah mengerjakan dua rakaat lagi sesudah witir dalam keadaan duduk. (riwayat Ahmad, Abu Daud, Tirmizi dll)

Daripada hadis di atas jelas menunjukan boleh melakukan ibadat solat bagi mereka yang telah melakukan solat witir. Dia tidak perlu mengulangi solat witirnya berdasar hadis di bawah.

عن علي أنه قال: سمعت رسول الله صلي الله عليه وسلم يقول: لا وتران في ليلة
(رواه أبو داود والنسائ والترمذي وحسنه)

Maksudnya: Daripada Ali r.a bahawa dia berkata: Aku telah mendengar Rasulullah saw bersabda: "Tiada dua witir dalam satu malam". (riwayat Abu Daud, An-Nasaai, Tirmizi dan dia menganggapnya sebagai Hasan).

2) Pandangan yang kedua pula ialah dia perlu terlebih dahulu menggenapkan witir yang awal dan selepas itu barulah dia mengerjakan solat-solat sunat yang ingin dilakukan. Akhirnya dia menutup solatnya dengan witir yang baru. Antara sandaran kepada pendapat ini ialah hadis berikut:

Daripada Ibnu Umar r.a bahawa Rasulullah telah bersabda: "Jadikanlah witir sebagai akhir sembahyangmu di malam hari". (riwayat Jamaah kecuali Ibnu Majah)

Sebagai kesimpulan, permasalahan ini berlaku khilaf di kalangan ulama. Setiap pandangan mempunyai hujah masing-masing dan kedapatan hujah-hujah lain yang tidak disebutkan di sini. Beramallah dengan mana-mana pandangan di atas dalam keadaan anda mengetahui sandaran dan hujahnya. Saya akhiri jawaban ini dengan membawa hadis nabi seperti berikut:

عن أبي مسعود الأنصاري رضي الله عنه قال: كان رسول الله صلي الله عليه وسلم يوتر أول الليل
-وأوسطه وآخره -رواه أحمد بسند صحيح

Maksudnya: Daripada Abi Mas'ud al-Ansori r.a bahawa dia telah berkata: Adalah Rasulullah saw telah melakukan solat witir di awal malam, di pertengahan malam dan juga di akhir malam. (riwayat Imam Ahmad dengan sanad yang sahih)

Sekian والله أعلم بالصواب
Rujukan:
1) Fiqh sunnah
2) Pelbagai

Disediakan oleh:
Ustaz Ahmad Zainal Abidin
Setiausaha MUIS