Sahabat Ilmu

Selasa, 12 April 2011

Hukum wanita beriktikaf

Assalamualaikum ustaz,
Bolehkah wanita yang berhadas besar (haid) duduk atau beriktikaf di dalam masjid dan membaca ayat-ayat al-quran yang telah dihafalnya?

Jawapan:
:الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام علي رسول الله وبعد

Iktikaf bermaksud tinggal di dalam masjid dengan tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah swt. Ia adalah sunat bagi kaum lelaki dan juga wanita. Bagi wanita yang telah berkahwin, disyaratkan wanita tersebut perlu mendapat keizinan daripada suami.

Ia menjadi sangat dituntut pada sepuluh terakhir bulan Ramadhan kerana mengikut sunnah Rasulullah saw dan ingin mendapatkan Lailatul Qadar.

Telah thabit bahawa Rasulullah saw beriktikaf sepuluh hari setiap bulan Ramadhan dan baginda telah beriktikaf selama dua puluh hari pada tahun baginda wafat. (riwayat Abu Daud, Bukhori dan Ibnu Majah)

Juga telah beriktikaf para sahabat dan isteri-isteri baginda saw pada masa hayat dan selepas kewafatan baginda saw.

Namun iktikaf mempunyai rukun yang perlu dipatuhi. Rukun-rukun iktikaf ialah:

1) Niat. Ini ialah kerana iktikaf merupakan satu ibadat dan ia perlukan niat.

2) Tinggal dalam masjid pada kadar dianggap pada uruf kebiasaan dia sedang tinggal dalam masjid. Imam Shafie' berpandangan adalah sunat sekurang-kurangnya iktikaf itu satu hari supaya mengelak daripada khilaf ulama dalam perkara ini.

3) Orang yang beriktikaf itu mestilah seorang Islam, berakal, bersih daripada haid, nifas dan junub.

4) Tempat beriktikaf, iaitulah di masjid.

Seseorang tidak boleh keluar daripada tempat iktikaf kerana ia akan membatalkan iktikafnya mengikut Imam Shafie'. Namun ia dikecualikan bagi seseorang yang keluar kerana ada keperluan seperti membeli makanan dan membuang air.

Jika seseorang yang beriktikaf (sunat, bukan iktikaf nazar), tidak mengapa dia keluar daripada iktikafnya sebelum tamat tempoh yang diniatkannya. Dia tidak diwajibkan menyempurnakan yang baki.

Jika seseorang yang melakukan iktikaf, dia tinggal dalam masjid untuk tempoh tertentu kemudian dia keluar untuk tempoh tertentu, dan pada setiap kali dia masuk, dia berniat melakukan iktikaf, maka iktikafnya adalah sah (Majmuk, karangan Imam Nawawi).

Adapun seorang wanita yang didatangi haid ketika beriktikaf, maka wajib baginya keluar dari masjid. (Fiqh Muyassar).

Sebagai kesimpulan, amalan iktikaf adalah sunat kepada lelaki dan wanita. Bagi wanita, dia mestilah bersih daripada haid, nifas dan junub manakala lelaki mestilah bersih daripada junub.

Sekian والله أعلم بالصواب

Rujukan:

1) Fiqh Sunnah, Syed Sabiq.
2) Al-Fiqh al-Muyassar, Ahmad Isa 'Asyur.
3) Al-Mufassol fi Ahkam al-Mar'ah, Dr. Abd Karim Zaidan

Disediakan oleh:
Ustaz Ahmad Zainal Abidin
Setiausaha MUIS

Tiada ulasan: