Sahabat Ilmu

Selasa, 31 Mac 2009

LARANGAN / KEHARUSAN BAGI WANITA HAID

Tajuk: Wanita Haid Masuk Ke Dalam Masjid/Surau

FATWA-FATWA BERKAITAN WANITA HAID MASUK MASJID / SURAU

1. FATWA NEGERI SELANGOR
Kategori : Sosial/Syariah
Tajuk : Fatwa Tentang Hukum Wanita Haid Dan Nifas Masuk Ke Dalam Masjid

Fatwa :
(1) Wanita yang sedang haid dan nifas adalah tidak dibenarkan duduk diam di dalam masjid walaupun dengan tujuan pembelajaran semata-mata.

(2) Hukum wanita haid dan nifas yang masuk ke dalam masjid adalah dibenarkan untuk sekadar melintasi atau melalui sekali lalu tanpa berulang-alik untuk keluar melalui pintu yang dimasukinya.

Rujukan Pewartaan : Sel. P.U. 28
Tarikh Pewartaan : 30 Ogos 2001

2. FATWA NEGERI SELANGOR
KEPUTUSAN JAWATANKUASA PERUNDING HUKUM SYARA’ (FATWA) NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN MENGENAI PEREMPUAN HAID DAN NIFAS MENGGUNAKAN MASJID UNTUK PEMBELAJARAN DAN HUKUM KANAK-KANAK DI DALAM MASJID

PERBINCANGAN DAN KEPUTUSAN
Ahli Jawatankuasa Perunding Hukum Syara’ (Fatwa) Negeri Selangor dalam persidangannya yang bertarikh 29 April 1999 telah membincangkan perkara di atas dan keputusannya adalah seperti berikut :

“ Jawatankuasa Fatwa kali 1/99 yang bersidang pada 29 April 1999 sebulat suara memutuskan perempuan haid dan nifas menggunakan masjid semata-mata untuk tujuan pembelajaran sahaja adalah diharuskan kerana ia mempunyai hajat iaitu untuk menuntut ilmu. Manakala membawa masuk kanak-kanak yang belum mumayyiz ke dalam masjid adalah tidak harus. Ini kerana dikhuatiri kanak-kanak tersebut akan menyebabkan kotoran pada masjid ”.

DALIL-DALILNYA:

Berkaitan dengan perempuan haid atau nifas, ulama’ Islam mengemukakan pelbagai pandangan. Antaranya:

Sabda Rasulullah s.a.w
Maksudnya : Aku tidak menghalalkan bagi orang haid atau junub memasuki masjid.

Golongan ulama’ Syafii dan Hanbali mengharuskan bagi rang yang haid dan nifas lalu dalam masjid jika diyakini tidak mencemarkan masjid kerana masjid haram dicemari oleh najis dan kotoran lain.

Juga kerana terdapat riwayat daripada Aisyah yang mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda kepadaku Maksudnya :

Berikan aku sejadah (tikar) daripada masjid. Maka aku menjawab, “Aku sekarang sedang haid”. Lantas Nabi bersabda, “Sesungguhnya haid engkau bukan terletak pada tangan engkau”.

SUMBER: Ahli Jawatankuasa Perunding Hukum Syara’ (Fatwa) Negeri Selangor

3. FATWA NEGERI PERAK
Bolehkah wanita yang tidak suci (haid) memasuki mana- mana bahagian surau didirikan jumaat?

JAWAPAN:
Berkaitan juga dengan perkara di atas wanita yang tidak `suci` boleh memasuki mana-mana bahagian surau berkenaan.

BANK KEMUSYKILAN
Bahagian Istinbat,
Jabatan Mufti Negeri Perak.

4. FATWA NEGERI PULAU PINANG
Soalan:
i) Apakah yang dimaksudkan dan ditak'rifkan dengan surau dari segi hukum syarak?
ii) Adakah sama dengan taraf masjid dari segi disunatkan sembahyang tahiyyatul-masjid (تحية المسجد) ketika memasukinya, disunatkan i'tiqaf di dalamnya dan di larang wanita yang sedang dalam keadaan haid berada di dalamnya ?

Jawapan:
i) Surau adalah tempat melakukan 'ibadat sembahyang yang tidak didirikan sembahyang Jumaat di dalamnya.

ii) Tidak ada sembahyang sunat tahiyyatul-masjid di surau dan tidak ada i'tiqaf di dalamnya dan tidak dilarang wanita-wanita yang sedang di dalam keadaan haid berada di dalamnya. Nas dari kitab إعانة الطالبينI juzuk 2, m/s 259. وأعلم أن الجامع وهو ما تقام فيه الجمعة. Bermaksud: "Dan ketahuilah bahawa yang di namakan masjid itu, ialah tempat yang didirikan padanya sembahyang Jumaat.

Negara asal : Malaysia
Negeri : Pulau Pinang
Badan yang mengisu fatwa : Jabatan Hal Ehwal Ugama Pulau Pinang
Penulis/Ulama : Dato’ Haji Hassan Bin Haji Ahmad ( Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang)
Tarikh Diisu : Nov. 1986

5. FATWA AL-LAJNAH AD-DAIMAH LIL IFTA'

Tidak boleh seorang wanita yang sedang haidh masuk kedalam masjid kecuali hanya untuk berjalan melewati masjid jika hal itu diperlukan, sebagaimana halnya orang yang sedang junub berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala.

"Artinya : Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu shalat, sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan, (jangan pula hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub, terkecuali sekedar berlalu saja, hingga kamu mandi". [An-Nisaa : 43]
[Fatawa Al-Lajnah Ad-Dai'mah Lil Ifta, 5/398]

Disalin dari buku Al-Fatawa Al-Jami'ah Lil Mar'atil Muslimah, edisi Indonesia Fatwa-Fatwa Tentang Wanita, penyusun Amin bin Yahya Al-Wazan, terbitan Darul Haq, hal. 62-63 penerjemah Amir Hamzah Fakhrudin

SOAL JAWAB BERKAITAN WANITA HAID MASUK MASJID / SURAU

SOALAN PERTAMA

Assalamu'alaikum wbt...
Saya inginkan penjelasan tuan mufti tentang wanita yang sedang haid, samada dia boleh (dibenarkan) masuk ke dalam masjid/surau atau tidak. Jika boleh, apakah hujahnya...dan dari mana sumber yg mengatakan bahawa dia boleh masuk ke dalam masjid.

JAWAPAN SOALAN PERTAMA

Alhamdulillah. Salawat dan salam ke atas Rasulullah SAW.
Mazhab Syafi'e mengharuskan wanita haid dan nifas melalui atau melewati di dalam masjid jika tidak dikhuatirkan akan jatuh darahnya di lantai masjid itu. Tidak dibolehkan berulang-alik dalam masjid atau duduk / berhenti lama di dalamnya

Sila rujuk surah an-nisa' ayat 43 (wanita haid termasuk dalam hukum yang sama dengan orang junub).

Terdapat hadis daripada Aisyah r.anha beliau berkata, :Rasulullah saw. telah berkata kepadaku "Tolong ambilkan untukku tikar dari masjid" Saya berkata "saya sedang haid", baginda menjawab "Apakah haidmu itu berada ditanganmu?" (HR. Muslim).

Hadis ini menunjukkan keharusan wanita haid berjalan melalui masjid.

Sekian, wassalam.
Tarikh kemaskini 20-01-2000
Jabatan Mufti Negeri Melaka


SOALAN KEDUA

Apakah hukum bagi seseorang wanita masuk surau jika wanita tersebut dalam keadaan haid.

JAWAPAN SOLAN KEDUA

Harus bagi wanita dalam haid masuk surau tetapi tidak boleh masuk dan duduk di tempat orang sedang solat..WASSALAM


Nombor Rujukan : PANEL SJAI 290208
Tarikh Selesai : 29/02/2008 08:22 AM
Panel Kemusykilan Agama, JAKIM

SOALAN KETIGA

Assalamualaikum..
1)apa hukum org dlm haid masuk surau?..yg saya tahu kalau masuk masjid haram..

JAWAPAN SOALAN KETIGA :

Harus bagi wanita haidh masuk surau dan ia wajib menjaga supaya tidak mengotori surau tersebut.

Nombor Rujukan : PANEL SJAI 250908
Tarikh Selesai : 25/09/2008 04:17 PM
Panel Kemusykilan Agama, JAKIM

SOALAN KEEMPAT

Salam ustaz...saya agak keliru dgn hukum wanita sedang haid masuk masjid serta menziarahi kubur?boleh ustaz perjelaskan beserta dalilnya.

JAWAPAN SOALAN KEEMPAT
Majoriti mazhab mengharamkan wanita haid masuk dan duduk dlm masjid, namun mazhab Hanbali dan beberapa ulama kontemporari berpandangan harus utk tujuan menuntut ilmu. Ziarahi kubur adalah harus bagi lelaki dan wanita.

USTAZ ZAHARUDDIN ABDUL RAHMAN (www.zaharuddin.net)

SOALAN KELIMA

Assalamualaikum

Berdasarkan soal jawab feqh mengenai perbezaan surau dan masjid, saya difahamkan menurut pendapat para ulama'dan mufti2 di malaysia bahawa:
Surau: Tidak didirikan solat jumaat dan wanita berhaidh dibenarkan masuk ke dlmnya.
Masjid: didirikan solat jumaat di dalmnya dan wanita berhaidh tidak dibenarkan masuk ke dlmnya.

Soalan saya, bagaimanakah jika surau tersebut dinaik taraf? cthnya di kolej saya sendiri, solat jumaat didirikan di Surau kolej. Saya keliru di sini, adakah surau ini dikira masjid atau tidak?

Seminggu sekali ceramah yg wajib dihadiri oleh semua pelajar diadakan di surau tersebut dan para pelajar perempuan diwajibkan utk masuk ke dlm surau tersebut termasuk permpuan yg berhaidh. Saya mohon komentar dr yg arif mengenai perkara ini.

JAWAPAN SOALAN KELIMA

Definisi surau dan mesjid itu bukanlah muktamad. Ia cuma dari sudut pentadbiran majlis agama sahaja. Tidak ada suatu keketetapan pemutus (qat'iy) dalam syara' akan definisi ini kerana mesjid termasuk surau dan musalla semuanya dikira masjid (tempat sujud), ini kerana jika tempat itu dijadikan tempat utk orang solat, maka ia adalah masjid (sayyid sabiq, Fiqh sunnah)

Surau kolej anda itu sebenarnya sudah menjadi mesjid yang formal mengikut pentadbiran agama dan adat Malaysia kerana sudah diberi tauliyah mengadakan solat Juma'at.

Mengenai adanya pelajar wanita yang haidh menghadiri kuliah agama, hal ini dibolehkan dalam madzhab Syafi'iy sendiri jika ada alasan yang kukuh (menuntut ilmu) dan kekhuatiran darah tidak bocor. Juga dalam madzhab hanbali dgn syarat berwudhu' terlebih dulu; ini juga pendapat Imam al-Albani (Tamam alMinnah) dan Prof Dr al-Imam Yusof alQardhawi (Fiqh atTaharah). Sekian

Sumber: Siber Feqh- www.al-ahkam.net

SOALAN KEENAM

Assalamualaikum
Saya ingin bertanya, apakah ada perbedaan antara surau dan masjid? Kalau ada, apakah perbedaannya itu dan kalau tiada perbedaan, apakah wanita haid boleh duduk dalam surau?

JAWAPAN SOALAN KEENAM

MASALAH WANITA HAID DI DALAM SURAU :
Sebagaimana dijelaskan, perkataan surau tiada di dalam istilah Bahasa Arab. Oleh kerana itu, ianya perlulah difahami menurut ‘uruf ( kebiasaan ) masyarakat kita. Apatah lagi ‘uruf ini juga merupakan salah-satu daripada sumber-sumber perundangan Islam.

Masyarakat kita biasanya membezakan bahawa MASJID : Ialah satu tempat umum untuk didirikan solat jemaah dan Solat Jumaat . Manakala SURAU pula tidak didirikan di dalamnya Solat Jumaat.

Walaupun begitu , ada juga masjid-masjid kecil ( kebiasaannya di kampung-kampung ) yang sudah tidak lagi mengadakan Solat Jumaat kerana adanya Masjid Besar yang berhampiran dengan beberapa buah kampung itu yang mampu menampung dan menyatukan penduduk beberapa buah kampung berdekatan untuk mengadakan Solat Jumaat di situ. Masjid Besar seperti ini dikenali sebagai : “ MASJID JAMIK “. Digelar sebagai “ JAMIK “ kerana makna asalnya di dalam Bahasa Arab bermaksud : “ Yang Menyatukan “. Digelar juga sebagai “ JAMIK “ kerana di situlah didirikan Solat Jumaat.

Jadi di sini sudah jelas adanya PERBEZAAN DI ANTARA SURAU DENGAN MASJID , dari sudut didirikan Solat Jumaat di dalamnya !.

AKAN TETAPI, Surau pula sama dengan masjid daripada sudut : KEDUA-DUANYA ADALAH DIWAQAFKAN KEPADA MASYARAKAT AWAM UNTUK DIDIRIKAN SOLAT BERJEMAAH.

Merujuk kepada ‘uruf yang berlaku di kalangan masyarakat kita , maka : SEBAHAGIAN BESAR ASHABUS-SAMAHAH MUFTI-MUFTI KITA, TUAN-TUAN GURU KITA, PARA ULAMA’ KITA telah menyatakan :

1 – Wanita-wanita yang haid boleh memasuki surau, tetapi haram memasuki masjid.
2 – Di dalam masjid boleh didirikan solat sunat Tahiyatul-Masjid, tetapi tidak pula di selainnya .

Namun begitu, ada juga di kalangan beberapa ulama’ di Nusantara ini yang membantah kenyataan di atas dengan hujah-hujah :
1 – Bagaimana wanita-wanita yang sedang haidh boleh memasuki surau, tetapi tidak pula ke dalam masjid, walhal surau dan masjid itu kedua-duanya adalah tempat umum yang diwakafkan untuk didirikan solat berjemaah ?.

2 – Jika di dalam masjid kita boleh mendirikan Solat Sunat Tahiyatul Masjid , maka mengapa pula tidak boleh di surau-surau walhal kedua-duanya itu juga adalah tempat umum yang diwaqafkan untuk didirikan solat berjemah ?.

PANDANGAN SAYA (AHLI PANEL FEQH AL-AHKAM.NET) :
Perselisihan pendapat ini berlaku kerana tiadanya satu panduan yang tepat daripada Baginda Rasulullah s.a.w mengenai “ Perbezaan Di Antara Masjid Dengan Surau “ . Lantaran itu semua hukum-hakam yang berkaitan dengan perbezaan di antara kedua-dua tempat sembahyang itu lahir daripada keputusan yang dicedok dan diperbahaskan daripada sudut-sudut tinjauan dan perbahasan di atas.

Menurut pandangan saya : Lebih baik kita berpegang dengan apa yang telah dinyatakan oleh sebahagian besar ( majoriti ) ulama’ mengenai perbezaan di antara Masjid dengan Surau dan hukum-hakam yang berkaitan dengan kedua-duanya kerana , keputusan yang diambil oleh majoriti ulama’ LEBIH HAMPIR KEPADA KEBENARAN DAN LEBIH SELAMAT DARIPADA KESILAPAN berbanding dengan keputusan sebahagian kecil ( minoriti ) para ulama’.

Kita juga menasihatkan agar masyarakat awam tidak masuk campur di dalam perkara-perkara khilafiyah ( yang diperselisihkan ) di kalangan ulama’ memandangkan mereka tidak mempunyai kemampuan ilmu untuk memahami setiap hujah dan sudut pandangan para ulama’ yang berselisih pendapat itu.

Kita juga bimbang, andainya masyarakat awam yang tidak mempunyai kemampuan ilmu yang kental ini “ cuba-cuba “ masuk ke dalam “ arus-perbincangan “ dan “ titik-perselisihan “ di kalangan ulama’ ini, mereka pula yang akan menjadi “ pening “ dan “ bingung “ yang akhirnya mereka akan mula mencemuh ulama’ itu dan ulama’ ini, ataupun mereka sendiri akan dipermainkan oleh Golongan Yahudi dan Kristian yang suka melihat umat Islam ini “ tenggelam “ di dalam “ perkara-perkara khilafiyah seperti ini “.

Akhir kata, saya lebih cenderung andainya saudari yang bertanya berpegang dengan apa yang telah diputuskan oleh golongan majoriti ulama’ di atas !.

SUMBER: www.al-ahkam.net
1 / Rajab / 1423 H
9 / September / 2002 M

WALLAHUA'LAM..

DISEDIAKAN OLEH:
IBNU MUSLIM (4 Rabiul Akhir 1430/ 31 MAC 2009)

Isnin, 30 Mac 2009

Falsafah Politik Di Sebalik Sembahyang Berjemaah

Falsafah Politik Di Sebalik Sembahyang Berjemaah

oleh Ahmad Nasim bin Abdul Rauf

Sembahyang berjemaah adalah suatu amalan yang sangat dituntut oleh agama. Banyak hadith yang menyebutkan kelebihan sembahyang berjemaah jika dibandingkan sembahyang secara berseorangan. Antaranya:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ صَلَاةُ الْجَمَاعَةِ تَفْضُلُ صَلَاةَ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً

Daripada Ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sembahyang secara berjemaah melebihi sembahyang secara bersendirian sebanyak dua puluh tujuh darjat”.[i]

Di samping mendatangkan ganjaran yang besar dari Allah taala amalan ini juga memberikan berbagai pengajaran kepada kehidupan di dunia. Di dalam sembahyang berjemaah banyak perkara yang mesti dijaga antara imam dan makmum terutamanya dalam aspek hubungan antara keduanya serta hubungan sesama makmum. Kalau diteliti pengajaran di sebaliknya ia adalah asas kehidupan bermasyarakat iaitu hubungan antara rakyat dan pemimpin serta sesama rakyat yang sepatutnya dicetuskan ke dalam kehidupan di luar sembahyang.

Petunjuk yang sangat jelas dari Nabi s.a.w. bahawa imam sembahyang bukan semata-mata pemimpin di dalam sembahyang sebaliknya lebih dari itu iaitu sebagai pemimpin kepada sesebuah masyarakat serta negara adalah dengan perintah daripada Baginda supaya Abu Bakar r.a. mengimamkan sembahyang ketika Baginda uzur di akhir kehidupannya sebagaimana yang dinukilkan oleh beberapa imam-imam hadith iaitu:

عَنْ أَبِي مُوسَى قَالَ مَرِضَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَاشْتَدَّ مَرَضُهُ فَقَالَ مُرُوا أَبَا بَكْرٍ فَلْيُصَلِّ بِالنَّاسِ قَالَتْ عَائِشَةُ إِنَّهُ رَجُلٌ رَقِيقٌ إِذَا قَامَ مَقَامَكَ لَمْ يَسْتَطِعْ أَنْ يُصَلِّيَ بِالنَّاسِ قَالَ مُرُوا أَبَا بَكْرٍ فَلْيُصَلِّ بِالنَّاسِ فَعَادَتْ فَقَالَ مُرِي أَبَا بَكْرٍ فَلْيُصَلِّ بِالنَّاسِ

Daripada Abu Musa r.a. katanya, “Nabi s.a.w. jatuh sakit lalu sakitnya bertambah berat maka Baginda bersabda: “Suruhlah Aba Bakr supaya ia mengimamkan orang ramai”. ‘Aaisyah r.a. berkata, “Sesungguhnya dia adalah seorang yang lembut hatinya?, bila dia menggantikan tempatmu dia tidak mampu untuk mengimamkan orang ramai”. Nabi s.a.w. berkata lagi, “Suruhlah Aba Bakr supaya ia mengimamkan orang ramai”. ‘Aaisyah mengulangi kata-kata tadi lalu Nabi s.a.w. berkata lagi, “Suruhlah Aba Bakr supaya ia mengimamkan orang ramai”. [ii]

Hadith ini adalah merupakan isyarat yang jelas daripada Nabi s.a.w. bahawa Abu Bakar r.a. akan menggantikan kepimpinan Baginda selepas kewafatannya. Kerana itulah kita lihat di dalam sejarah pemerintahan Islam seseorang pemimpin sesebuah masyarakat akan merupakan pemimpin di dalam sembahyang juga sehinggalah sembahyang jenazah. Begitu juga larangan Nabi s.a.w. daripada seseorang menjadi imam di tempat yang berada di bawah kekuasaan orang lain adalah isyarat kepada kepimpinan iaitu penguasaan seseorang di dalam sesuatu kawasan tidak boleh diganggu oleh orang lain kerana ianya akan membawa kekacauan. Rasulullah s.a.w. bersabda:

عن أبي عطية العقيلي قال : كان مالك بن الحويرث يأتينا إلى مصلانا يتحدث فحضرت الصلاة يوما قال أبو عطية : فقلنا له : تقدم فصله . قال لنا قدموا رجلا منكم يصلي بكم وسأحدثكم لم لا أصلي بكم ؟ سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول : " من زار قوما فلا يؤمهم وليؤمهم رجل منهم "

Daripada Abi ‘Atiyyah al-Uqaili katanya, “Pada suatu hari Malik bin al-Huwairith datang ke musolla kami berbincang-bincang lalu tiba waktu sembahyang”, Abu ‘Atiyyah berkata, “Kami berkata kepadanya: “Sila kedepan sebagai imam”, dia berkata kepada kami, “Kedepankan seorang dari kalangan kamu untuk mengimamkan kamu dan saya akan menceritakan kepada kamu kenapa saya tidak mahu mengimamkan kamu. Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang menziarahi sesuatu kaum janganlah dia mengimamkan mereka dan hendaklah seorang dari kalangan mereka mengimamkan mereka”.[iii]

Terdapat beberapa riwayat yang lain daripada Nabi s.a.w. berkenaan hubungan antara imam dan makmum yang mengisyaratkan kepada kepimpinan di dalam sesebuah masyarakat dan negara. Antaranya adalah seperti berikut:

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ ثَلَاثَةٌ لَا تَرْتَفِعُ صَلَاتُهُمْ فَوْقَ رُءُوسِهِمْ شِبْرًا رَجُلٌ أَمَّ قَوْمًا وَهُمْ لَهُ كَارِهُونَ وَامْرَأَةٌ بَاتَتْ وَزَوْجُهَا عَلَيْهَا سَاخِطٌ وَأَخَوَانِ مُتَصَارِمَانِ

Daripada Ibnu Abbas r.a. daripada Rasulullah s.a.w. sabdanya: “Tiga golongan sembahyang mereka tidak melepasi kepala mereka walaupun sejengkal, seseorang yang menjadi imam kepada satu kaum padahal mereka tidak menyukainya, seorang perempuan yang bermalam dalam keadaan suaminya murka kepadanya dan dua orang saudara yang saling memutuskan hubungan antara satu sama lain”.[iv]

Hukum yang dapat disimpulkan dari hadith di atas adalah seorang imam itu mestilah seorang yang baik, berakhlak mulia dan sebagainya serta disenangi oleh makmumnya. Dari segi isyarat kepada kepimpinan yang terdapat di dalam hadith ini ialah seorang pemimpin mestilah disenangi oleh rakyatnya kerana tiada persefahaman antara keduanya akan membawa kepada kekacauan dan negara tidak akan aman tenteram.

Kerana itulah pemilihan sebagai seorang imam mestilah dari kalangan orang yang paling berilmu. Abu Mas’ud r.a. meriwayatkan daripada Nabi s.a.w. sabdanya:

يَؤُمُّ الْقَوْمَ أَقْرَؤُهُمْ لِكِتَابِ اللَّهِ فَإِنْ كَانُوا فِي الْقِرَاءَةِ سَوَاءً فَأَعْلَمُهُمْ بِالسُّنَّةِ فَإِنْ كَانُوا فِي السُّنَّةِ سَوَاءً فَأَقْدَمُهُمْ هِجْرَةً فَإِنْ كَانُوا فِي الْهِجْرَةِ سَوَاءً فَأَقْدَمُهُمْ سِلْمًا

“Hendaklah orang yang paling ‘alim tentang kitab Allah menjadi imam bagi sesuatu kaum, kalaulah mereka sama sahaja pada bacaan (kitab Allah) maka yang paling mengetahui tentang sunnah, kalaulah mereka sama sahaja tentang sunnah maka yang paling dahulu hijrahnya, kalaulah mereka sama sahaja hijrahnya maka yang paling dahulu Islamnya”.[v]

Ulama berbeza pendapat makna “أَقْرَؤُهُمْ”. Setengah mengatakan maknanya yang paling elok bacaannya dan setengah mengatakan yang paling memahami isi kandungan al-Quran. Masing-masing mengemukakan alasan mereka namun bagi penulis pendapat yang kedua lebih baik. Antara alasan yang diberikan adalah:

كان الصحابة رضي الله عنهم إذا كان أكثرهم قرآنا فإنه أفقههم وأعلمهم لانهم لا يتجاوزون عشر آيات حتى يتعلموها وما فيها من العلم والعمل

“Sahabat-sahabat r.a. yang paling banyak mengingati Quran adalah yang paling memahami dan mengetahui isi kandungannya dari kalangan mereka. Kerana mereka tidak melepasi sepuluh ayatpun kecuali mereka mempelajarinya bersama dengan ilmu yang terdapat di dalamnya dan beramal.”[vi]

Imam Nawawi juga mengemukakan alasan yang menunjukkan maknanya adalah yang lebih memahami isi kandungan al-Quran. Katanya:

وقال مالك والشافعي وأصحابهما الأفقه مقدم على الأقرأ لأن الذي يحتاج إليه من القراءة مضبوط والذي يحتاج إليه من الفقه غير مضبوط وقد يعرض في الصلاة أمر لا يقدر على مراعاة الصواب فيه الا كامل الفقه قالوا ولهذا قدم النبي صلى الله عليه و سلم أبا بكر رضي الله عنه في الصلاة على الباقين مع أنه صلى الله عليه و سلم نص على ان غيره أقرأ منه

“Imam Malik dan Syafi’e serta pengikut keduanya berpendapat bahawa orang yang lebih memahami (al-Quran) diutamakan daripada orang yang lebih baik bacaannya kerana keperluan kepadanya adalah lebih kuat daripada bacaan semata-mata dan keperluan kepadanya (bacaan) kurang lagi jika dibandingkan dengan fiqh (kefahaman mendalam kandungan al-Quran). Kadang-kadang berlaku sesuatu di dalam sembahyang yang hanya orang yang sempurna kefahamannya sahaja dapat melakukan yang betul. Mereka beralasan juga dengan Nabi s.a.w. mendahulukan Abu Bakar r.a. di dalam sembahyang daripada orang-orang yang lain sedangkan Baginda mengakui bahawa orang lain adalah lebih elok bacaannya daripada Abu Bakar r.a.”[vii]

Begitu juga dari segi kesesuaian yang disebutkan oleh Nabi s.a.w. juga memihak kepada pendapat ini kerana selepas itu Nabi s.a.w. menyebutkan “yang paling mengetahui tentang sunnah”. Sudah pastilah yang lebih utama daripadanya adalah al-Quran dan pemahaman terhadapnya juga berkait rapat dengan memahami sunnah.

Ini dipandang dari sudut hukum fekah. Dari segi hikmahnya adalah berkait rapat dengan orang yang memimpin sesuatu ummat. Kerana hanya orang yang lebih mendalam ilmunya tentang al-Quran dan Sunnah lebih layak untuk memimpin sesuatu kaum atau Negara. Di samping itu ilmu kemasyarakatan yang paling tinggi adalah yang ditunjukkan dan dipraktikkan oleh Rasulullah s.a.w. yang terdapat di dalam keduanya.

Ketandusan ilmu di kalangan masyarakat sehingga tiada orang yang layak menjadi imam adalah merupakan salah satu alamat kiamat sebagaimana sabda Nabi s.a.w. yang berbunyi:

عَنْ سَلَامَةَ ابْنَةِ الْحُرِّ قَالَتْ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ مِنْ أَشْرَاطِ السَّاعَةِ أَنْ يَتَدَافَعَ أَهْلُ الْمَسْجِدِ لَا يَجِدُونَ إِمَامًا يُصَلِّي بِهِمْ

Daripada Salamah binti al-Hurr katanya, saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “di antara tanda-tanda kiamat adalah ahli masjid saling bertolak-tolakan (sebagai imam) mereka tidak mendapati seorang imam yang akan mengimamkan mereka.”[viii]

Kemudian di dalam hadith yang lain pula Rasulullah s.a.w. menyebutkan salah satu tanda kiamat adalah penyerahan tugas kepada orang yang tidak layak dengannya. Baginda bersabda ketika ditanya tentang alamat kiamat:

فَإِذَا ضُيِّعَتْ الْأَمَانَةُ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ قَالَ كَيْفَ إِضَاعَتُهَا قَالَ إِذَا وُسِّدَ الْأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ

Bermaksud: “Bilamana amanah telah disia-siakan maka tunggulah kiamat. Orang itu (sahabat r.a. yang bertanya itu) bertanya, “Bagaimana disia-siakan amanah itu? Nabi s.a.w. menjawab, “Bila diserahkan sesuatu urusan kepada bukan ahlinya (orang yang tidak layak dengannya) maka tunggulah kiamat”.[ix]

Perkaitan rapat antara kedua-dua hadith berkenaan alamat kiamat ini ialah hadith pertama menunjukkan ketiadaan orang yang layak untuk mengimamkan sembahyang dan hadith kedua adalah ketiadaan orang yang benar-benar layak untuk memimpin umat manusia. Ini difaham daripada hadith yang kedua iaitu penyerahan urusan kepada orang yang tidak layak dan termasuk di dalam penyerahan urusan tersebut adalah urusan pemerintahan bahkan urusan ini adalah yang paling penting di dalam kehidupan manusia. Dan tidak mempunyai kelayakan untuk memikul kedua-dua urusan tersebut adalah disebabkan ketiadaan ilmu.
-------------------------------------------------------------------------------------
Begitu juga rakyat yang tidak memenuhi tanggungjawabnya sebagai rakyat akan menyebabkan tugas seorang pemimpin akan terganggu. Perkara ini juga diisyaratkan oleh Nabi s.a.w. di dalam sembahyang sebagaimana yang berlaku kepada Baginda sendiri seperti yang dikemukakan oleh Imam Nasaie di dalam sunannya iaitu:

عَنْ رَجُلٍ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ صَلَّى صَلَاةَ الصُّبْحِ فَقَرَأَ الرُّومَ فَالْتَبَسَ عَلَيْهِ فَلَمَّا صَلَّى قَالَ مَا بَالُ أَقْوَامٍ يُصَلُّونَ مَعَنَا لَا يُحْسِنُونَ الطُّهُورَ فَإِنَّمَا يَلْبِسُ عَلَيْنَا الْقُرْآنَ أُولَئِكَ

Daripada seorang sahabat Nabi s.a.w. daripada Nabi s.a.w. bahawa Baginda mengimamkan sembahyang subuh lalu membaca surah Rum. Maka berlaku kecelaruan di dalam pembacaannya. Bila selesai sembahyang Baginda berkata: “Kenapa ada beberapa orang yang bersembahyang bersama kita tidak mengelokkan bersucinya (wudhu’ atau mandi). Sesungguhnya mereka itu telah mendatangkan gangguan kepada pembacaan Quran kita.”[1]

Dari segi hukumnya seseorang yang hendak pergi sembahyang berjemaah mestilah memenuhi segala syaratnya supaya ia tidak mendatangkan gangguan kepada jemaah yang lain termasuk imam. Dari segi falsafah berjemaah ialah seseorang rakyat hendaklah memenuhi segala syarat dan tanggungjawab sebagai rakyat supaya kehadirannya di dalam masyarakat tidak mendatangkan gangguan kepada mereka begitu juga kepada pemimpin. Bahkan lebih dari itu hendaklah kehadirannya mendatangkan keselesaan dan memberikan manfaat kepada mereka semua. Ianya juga diisyaratkan oleh Nabi s.a.w. yang merupakan amalannya serta perintahnya kepada umatnya dengan sabdanya:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَوْلَا أَنْ أَشُقَّ عَلَى أُمَّتِي أَوْ عَلَى النَّاسِ لَأَمَرْتُهُمْ بِالسِّوَاكِ مَعَ كُلِّ صَلَاةٍ

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Kalaulah tidak kerana aku akan menyusahkan umatku atau manusia pasti aku akan menyuruh mereka supaya menggosok gigi setiap kali sembahyang”.[2]

Berdasarkan kepada hadith ini ulama menghukumkan sunat menggosok gigi setiap kali sembahyang. Begitu juga sunat memakai wangian berdasarkan isyarat yang terdapat di dalam hadith yang lain. Tujuannya adalah bila seseorang pergi untuk berjemaah maka hendaklah ia mendatangkan keselesaan kepada ahli jemaah yang lain termasuk imam bahkan mereka mendapat manfaat pula daripadanya iaitu memperolehi bau yang enak dari mulut dan pakaiannya di samping menyenangkan malaikat yang berdampingan dengannya di masjid. Dari segi falsafahnya pula ialah pengajaran kepada seseorang yang menjadi ahli sesuatu masyarakat hendaklah mendatangkan kebaikan dan manfaat kepada masyarakat tersebut termasuk pemimpinnya.

Berdasarkan kepada faktor-faktor tersebut (untuk mengurangkan gangguan kepada imam) maka Nabi s.a.w. mengisyaratkan supaya orang yang mengiringi imam adalah dari kalangan orang-orang yang cerdik pandai sebagaimana yang terdapat di dalam hadith yang berbunyi:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِيَلِنِي مِنْكُمْ أُولُو الْأَحْلَامِ وَالنُّهَى ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثَلَاثًا

Daripada Abdullah bin Mas’ud katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Hendaklah mengiringiku cerdik pandai dari kalangan kamu kemudian yang mengiringi mereka (sebanyak tiga kali)”.[3]

Dari segi hukum orang yang paling patut berada di saf pertama di belakang imam adalah orang-orang yang berilmu supaya mereka boleh menggantikan imam bila berlaku sesuatu kepada imam seperti terbatal sembahyang atau sebagainya. Dari segi falsafah kepimpinan ialah orang yang paling layak untuk sentiasa bersama pemimpin, menjadi pembantunya, orang kanannya dan sebagainya adalah orang yang berilmu terutamanya ilmu berkenaan pemerintahan supaya urusan pemimpin tersebut menjadi lebih senang dan kurang gangguan terhadapnya dan orang yang berada di sampingnya boleh menggantinya bila berlaku sesuatu kepadanya. Walaupun begitu Nabi s.a.w. sentiasa menggalakkan umatnya supaya berlumba-lumba untuk berada di saf pertama di dalam sembahyang dengan menyebutkan berbagai kelebihannya. Antaranya:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَيْرُ صُفُوفِ الرِّجَالِ أَوَّلُهَا وَشَرُّهَا آخِرُهَا

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sebaik-baik saf lelaki adalah yang pertama dan seburuk-buruknya adalah yang paling akhir”.[4]

Dari segi zohirnya Nabi s.a.w. menggalakkan supaya berlumba-lumba untuk berada di saf pertama tetapi di samping itu Baginda memberikan peringatan bahawa bukan semua orang layak untuk berada di tempat tersebut. Maksud Baginda yang sebenarnya adalah supaya orang ramai sentiasa berusaha untuk melayakkan diri supaya memperolehi kelebihan besar tersebut dengan cara sentiasa mendalami ilmu agama. Hikmah kepimpinan yang dikehendaki di sini adalah galakan supaya berusaha menuntut ilmu sehingga mencapai tahap golongan yang mampu untuk menjadi pembantu kepada pemimpin dan seterusnya melayakkan diri dari segi kemampuan untuk menjadi seorang pemimpin. Inilah antara maksud yang tersirat di sebalik doa yang sering dipanjatkan kepada Allah taala iaitu;

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

"Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami isteri-isteri dan keturunan sebagai penyejuk mata kami dan jadikanlah kami sebagai pemimpin orang-orang yang bertakwa”.[5]

Seterusnya makmum diperintahkan supaya sentiasa mengikuti apa yang dilakukan oleh imam dan jangan sekali-kali mendahului imam. Orang yang mendahului imam diancam dengan balasan yang keras seperti;

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ مَا يَأْمَنُ الَّذِي يَرْفَعُ رَأْسَهُ فِي صَلَاتِهِ قَبْلَ الْإِمَامِ أَنْ يُحَوِّلَ اللَّهُ صُورَتَهُ فِي صُورَةِ حِمَارٍ

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Orang yang mengangkat kepalanya di dalam sembahyang sebelum imam tidak akan selamat daripada Allah akan menukar rupanya dengan rupa himar”.[6]

Ancaman yang keras ini bukan semata-mata bagi seorang makmum di dalam sembahyang tetapi pengajarannya juga adalah kepada rakyat supaya jangan mendahului pemimpin di dalam tindak tanduknya. Perbuatan sedemikian akan membawa kekalutan di kalangan rakyat sebagaimana perbuatan orang yang mendahului imam di dalam sembahyang akan mendatangkan kekeliruan kepada makmum yang lain. Kerana itu Nabi s.a.w. sentiasa memberikan peringatan kepada umatnya supaya memberikan ketaatan kepada pemimpin selagi mereka tidak menyeru kepada maksiat.

Bagi pemimpin pula mereka hendaklah sentiasa memahami keadaan rakyat dan menjaga keperluan mereka. Antara pengajaran yang boleh diambil adalah hubungan antara imam dan makmum di dalam sembahyang sebagaimana yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w.. Antaranya:

أَنَسَ بْنَ مَالِكٍ يَقُولُ مَا صَلَّيْتُ وَرَاءَ إِمَامٍ قَطُّ أَخَفَّ صَلَاةً وَلَا أَتَمَّ مِنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَإِنْ كَانَ لَيَسْمَعُ بُكَاءَ الصَّبِيِّ فَيُخَفِّفُ مَخَافَةَ أَنْ تُفْتَنَ أُمُّهُ

Anas bin Malik r.a. berkata: “Tidak pernah aku sembahyang di belakang seorang imam yang paling ringkas sembahyangnya tetapi paling sempurna daripada Nabi s.a.w.. Jikalau Baginda mendengar tangisan bayi Baginda akan meringkaskan kerana bimbang ibunya akan terganggu”.[7]

--------------------------------------------------------------------------------

[i] Hadith riwayat al-Bukhari bab kelebihan sembahyang berjemaah.

[ii] Hadith riwayat Bukhari bab orang yang mempunyai ilmu dan kelebihan lebih layak menjadi imam, Muslim bab imam meminta supaya diganti bila uzur dan lain-lain.

[iii] Hadith riwayat Termizi bab apa yang datang berkenaan orang yang menziarahi suatu kaum dia tidak boleh mengimamkan mereka.

[iv] Hadith riwayat Ibnu Majah bab seseorang yang menjadi imam kepada satu kaum padahal mereka tidak menyukainya

[v] Hadith riwayat Muslim bab orang yang paling berhak menjadi imam.

[vi] As-Syarh al-Mukhtasar ‘ala Bulugh al-Maram jil 3 hal. 241

[vii] Syarah Muslim Imam Nawawi bab orang yang paling berhak menjadi imam jil 5 hal. 173.

[viii] Hadith riwayat Ahmad, Ibnu Majah dan Abu Daud.

[ix] Hadith Riwayat al-Bukhari
------------------------------------------------------------------------------------
[1] Hadith Riwayat Nasaie bab membaca surah Rum di dalam sembahyang subuh.

[2] Hadith riwayat al-Bukhari, Muslim dan lain-lain.

[3] Hadith riwayat Muslim bab membetulkan saf dan menegakkannya dan sebaik-baik saf adalah yang pertama dan seterusnya.

[4] Ibid.

[5] Al-Quran surah al-Furqan ayat 74.

[6] Hadith riwayat Muslim bab haram mendahului imam dengan ruku’ dan sujud.

[7] Hadith riwayat al-Bukhari bab orang yang meringankan sembahyang ketika mendengar tangisan bayi.

TOMA'NINAH - RUKUN YANG DI CUAIKAN!!??

Jangan Abai Toma’ninah Dalam Solat

Oleh: ZUARIDA MOHYIN

JIKA anda rukuk dan sujud, jangan sekali-kali terlupa toma’ninah. Jangan jadikan solat anda seperti ayam mematuk padi. Solat seperti itu tidak sah kerana tidak ada toma’ninah, sedangkan ia adalah rukun sembahyang sama ada dalam solat fardu ataupun solat sunat.

Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM), Mushaddad Hasbullah menjelaskan solat tanpa toma’ninah adalah batal. Orang yang tidak menyempurnakan rukuk, sujud dan khusyuk dalam solatnya ialah orang yang mencuri solat sebagaimana disebut dalam satu riwayat Ahmad dan Hakim bermaksud: Itulah orang yang tidak menyempurnakan rukuk, sujud dan bacaan dalam solat.

Katanya lagi, hadis ini menjelaskan mengenai orang-orang yang menunaikan solat mereka tetapi dalam keadaan kelam-kabut dan hilang penghayatan dan khusyuk mereka. Mereka ini disifatkan oleh Rasulullah s.a.w. sebagai pencuri.

Hal ini sekali lagi ditegaskan oleh Baginda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Seburuk-buruk orang yang mencuri ialah mereka yang mencuri daripada solat mereka. Maka sahabat pun bertanya: Wahai Rasulullah bagaimana mereka mencuri daripada solat mereka? Maka Rasulullah menjawab: Mereka yang tidak sempurna rukuk dan sujud mereka. (Riwayat Ahmad, Thabrani dan Ibn Khuzaimah)

Sementara itu, dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud dan Nasaii, Rasulullah s.a.w. melarang solat yang dikerjakan seperti burung yang mematuk makanan, iaitu pantas berdiri dan sujud dalam waktu yang singkat. Dalam hadis yang lain pula Baginda bersabda bermaksud: Allah s.a.w. tidak melihat solat seseorang yang dikerjakan tanpa sempat meluruskan tulang belakangnya antara rukuk dan sujud. (Riwayat Thabrani)

Lantaran itu, Rasulullah s.a.w. berpesan yang bermaksud: Apabila seseorang daripadamu hendak mendirikan sembahyang, maka hendaklah ia sembahyang laksana sembahyang orang yang memberi selamat tinggal, iaitu orang yang sama sekali tidak fikir ia akan dapat kembali bersembahyang lagi. (Riwayat Al-Dailami daripada Ummi Salamah)

Mushaddad berkata, ramai di kalangan umat Islam sebenarnya berhadapan dengan masalah tidak khusyuk dalam solat, antara puncanya adalah kerana kesibukan dunia dan sentiasa memikirkan tentangnya walaupun dalam solat.

"Khusyuk amat penting dalam solat. Salah satu daripada rahmat Allah kepada kita ialah Allah meraikan kelemahan yang ada pada hambanya. Justeru, Allah tidak menjadikan khusyuk sebagai rukun atau syarat sah solat yang jika ditinggalkan maka batallah solat itu.

"Oleh itu khusyuk dalam solat menurut jumhur ulama adalah sunat hukumnya. Menurut Imam ibnu al-Qayyim dalam bukunya, Madarij as-salikin, khusyuk bermaksud menghadirkan hati ketika solat dengan rasa tunduk dan hina kepada Allah, apabila hati seseorang itu khusyuk maka seluruh anggotanya akan turut sama khusyuk, kerana setiap anggota mengikuti hati dan khusyuk itu tempatnya di hati.

"Bagaimanapun, bagi orang yang tidak khusyuk dalam solatnya, tidaklah membuatkan solatnya batal. Solatnya tetap sah cuma ia mendapat pahala yang kurang, tidak sepenuhnya seperti orang yang khusyuk," kata Mushaddad ketika dihubungi baru-baru ini.

Menjawab kelebihan yang diperoleh seseorang yang khusyuk dalam solat, Mushaddad menjelaskan, sesungguhnya ganjarannya amat besar seperti dapat menghapuskan dosa, memperoleh pahala, memakbulkan doa dan menjauhkan kemungkaran.

Oleh itu, beliau menyarankan kita sentiasa berusaha memperoleh solat yang khusyuk kepada Allah s.w.t..

Firman Allah yang bermaksud: Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu daripada al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar. (al-Ankabut: 45)

Dalam satu hadis daripada Uthman bin Affan yang berkata, Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. bersabda: Tidaklah bagi seseorang muslim itu yang menunaikan solat fardu dan memperelokkan wuduknya, khusyuknya dan rukuknya melainkan baginya penghapusan dosa selagi mana dia tidak melakukan dosa besar, dan itu adalah untuk setiap masa. (Riwayat Muslim)

Menjelaskan tentang toma’ninah pula, kata Mushaddad, ia merupakan salah satu rukun dalam solat. Jika ia tidak disempurnakan maka batallah solat seseorang itu.

Toma’ninah perlu dilakukan dalam empat rukun solat iaitu dalam rukuk, iktidal daripada rukuk, sujud dan duduk di antara dua sujud.

"Toma’ninah bermaksud tetap atau diam dalam setiap rukun yang disebutkan. Seseorang itu tidak dikira toma’ninah jika dia menunaikan solat seperti burung yang mematuk makanan seperti mana yang disebutkan dalam hadis sebentar tadi," terangnya.

Berbicara tentang contoh terbaik mengenai khusyuk dalam solat, ujar Mushaddad, model yang terbaik ialah solat Rasulullah s.a.w.. Dalam satu hadis yang disebut oleh al-Kandahlawi dalam bukunya, Hayat al-Sohabah, bahawa seorang hamba Allah telah bertanya kepada Aisyah: "Terangkan kepadaku sesuatu yang luar biasa mengenai solat Rasulullah."

Aisyah menjawab: "Tiada sesuatu yang biasa mengenai diri Baginda. Tiap-tiap yang dilakukannya luar biasa. Pada suatu malam, Baginda baring bersama-samaku, kemudian Baginda berkata: "Sekarang, biarlah aku menyembah Allah, Pemberi rezekiku." Kemudian Baginda pun bangun lalu mendirikan solat dengan segala perasaan ikhlas dan tawaduk. Semasa menunaikan solat itu Baginda menangis. Demikian juga keadaannya apabila baginda rukuk dan sujud. Setelah bangun, keadaan baginda masih tidak berubah. Demikianlah halnya sehingga Bilal melaungkan azan menandakan waktu Subuh sudah menjelang tiba. Aku pun berkata kepada Baginda: "Ya Rasulullah, Tuan tidak berdosa kerana Allah telah mengampuni semua dosa Tuan, sama ada yang telah lalu mahupun yang akan datang. Tetapi Tuan masih juga memandang rendah terhadap diri Tuan sendiri." Baginda s.a.w menjawab: "Apakah aku tidak bersyukur kepada Allah?" Aku solat begini mengingatkan ayat-ayat yang telah diwahyukan-Nya kepada Aku pada hari ini yang bermaksud: Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal; (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada azab neraka." (Ali Imran: 190-191)

Sumber: Utusan Malaysia ( 9 Okt 2006 )

MASALAH ZAKAT HARI INI - TELUSKAH??

Bolehkah Wang Zakat Dilabur Sebelum Agihan?

Tulisan : Ustaz Zaharuddin Abd Rahman (UZAR)

Seseorang telah menghantar petikan akhbar berikut dan kemudiannya meminta saya mengulas, bukan dari sudut politik tetapi dari sudut pandangan Islam melalui perbahasan para ulamanya.

SHAH ALAM 17 Mac - Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) hari ini mendesak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Klang, Saari Sungib memohon maaf dan menarik kenyataannya yang berbau fitnah terhadap kutipan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Kenyataan Saari yang disiarkan oleh sebuah akhbar tabloid hari ini menyebut berjuta-juta ringgit wang kutipan LZS yang tidak diagih dan sebelum ini disimpan dalam deposit tetap, dipindahkan kepada akaun Takaful Structured Invest di bawah MAA Takaful pada 11 Disember lalu.

Pengerusi MAIS, Datuk Mohamad Adzib Mohd. Isa berkata, kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan pihaknya terpaksa mengambil tindakan undang-undang terhadap Saari.

Beliau menegaskan, kenyataan tersebut berbau fitnah serta menjatuhkan imej dan integriti MAIS secara keseluruhannya yang dinaungi oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

"MAIS menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tidak bertanggungjawab yang dilemparkan oleh beliau (Saari) mengenai LZS dan perlu membuktikan ia berlaku.

"Ini kerana MAIS mahupun LZS tidak pernah memindahkan atau merancang untuk melakukan sedemikian terhadap wang zakat yang belum diagih," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohamad Adzib menjelaskan, wang zakat yang belum diagihkan disimpan di dalam akaun simpanan tetap sama ada di Bank Islam mahupun Bank Rakyat yang dijamin dari segi keselamatan dan mematuhi syariah.

Katanya, wang itu perlu disimpan di bank melalui sistem Mudharabah sebelum ia disalur dan diagihkan kepada golongan yang berhak melalui program dan aktiviti yang telah dirancang.

"Malah sebarang pindahan wang zakat mahupun Baitulmal perlu mendapat kelulusan jawatankuasa yang berkaitan sama ada di MAIS mahupun LZS," ujarnya.

sumber : UTUSAN MALAYSIA

Berpandukan kepada petikan berita terbabit, persoalan yang relevan untuk kajian hukum adalah :

1)Kenyataan : Ini kerana MAIS mahupun LZS tidak pernah memindahkan atau merancang untuk melakukan sedemikian terhadap wang zakat yang belum diagih

Persoalannya di sini adalah, apakah hukum Islam pemerintah (institusi zakat) melaburkan wang zakat terkumpul sebelum agihan kepada asnaf zakat ? Kenyataan di atas memberikan indikasi bahawa tiada pelaburan dibuat sebelum agihan. Namun, jika dilabur juga sebelum agihan, adakah ianya dibenarkan?

2)Kenyataan "..menjelaskan, wang zakat yang belum diagihkan disimpan di dalam akaun simpanan tetap sama ada di Bank Islam mahupun Bank Rakyat yang dijamin dari segi keselamatan dan mematuhi syariah. Katanya, wang itu perlu disimpan di bank melalui sistem Mudharabah sebelum ia disalur dan diagihkan kepada golongan yang berhak melalui program dan aktiviti yang telah dirancang."

Hakikatnya, perlu difahami bahawa akaun tetap mudarabah di Bank Rakyat atau BIMB bukanlah sebuah akaun simpanan tetapi ia adalah akaun pelaburan.

Benar, ia adalah sebuah akaun pelaburan berasaskan Mudarabah, yang mana apabila pelabur (institusi zakat dalam konteks ini) meletakkan wang terkumpul zakat di dalam akaun ini, wang tersebut TIDAK BOLEH terjamin dari rugi dan ia juga TIDAK BOLEH DIKELUARKAN sehinggalah tempoh matang akaun tetap itu tiba, iaitu sama ada tiga bulan, enam bulan atau setahun.

Justeru, berdasarkan petikan kenyataan akhbar itu, dapat difahami bahawa wang terkumpul zakat telah diLABURKAN melalui akaun pelaburan tetap, sebelum ianya diagihkan kepada faqir miskin dan lain-lain asnaf penerima yang layak.

HUKUM LABUR WANG ZAKAT SEBELUM AGIHAN

Setelah mengetahui kedudukan dan kekliruan kenyataan di atas, kini ada baiknya kita sama-sama melihat ringkasan pendapat ulama Islam berkenaan isu melabur wang terkumpul zakat sebelum agihan.

Setelah menyelurusi nas-nas Al-Quran dan Al-Hadis, pemahaman para ulama Islam kelihatan berbeza-beza berdasarkan ijtihad masing-masing. Mereka terbahagi kepada dua kumpulan iaitu :-

Kumpulan Yang Mengharamkan

Antara ulama yang memfatwakan haram adalah Syeikh Prof. Dr Wahbah Az-Zuhaliy, Dr Abdullah ‘Ulwan, Syeikh Taqi Uthmani dan lain-lain.

Ringkasan hujjah kumpulan ini adalah :-

1- Pelaburan itu menyebabkan kelewatan sampainya wang zakat kepada asnaf zakat yang memerlukan, ini bercanggah dengan pandangan majoriti ulama yang mewajibkan zakat diserahkan secara segera.

2- Pelaburan tersebut mendedahkannya kepada potensi kerugian, jika ini berlaku asnaf zakat tidak akan dapat memiliki hak mereka dan objektif Shariah di sebalik kewajiban zakat pula akan terhalang.

3- Pelaburan ini pastinya mempunyai kos-kos pengurusan di sana sini, ini mengakibatkan menyusutnya wang zakat sebelum sampai kepada mereka yang berhak.

4- Insititusi atau kerajaan bukan pemilik wang zakat, mereka hanya pemegang amanah (yad amanah), justeru, mereka tidak boleh menggunakan wang yang bukan milik mereka untuk tujuan pelaburan.

Kumpulan Yang Mengharuskan Dengan Syarat.

Antara mereka adalah keputusan Kesatuan Fiqh Antarabangsa, Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi, Syeikh Prof. Mustafa Az-Zarqa, Syeikh Abd Fatah Abu Ghuddah, Dr Abd Aziz Al-Khiyyat, Dr Abd Salam Al-Abbadi dan majoriti ulama.

1- Terdapat sandaran bahawa Nabi dan para sahabat melaburkan harta sedeqah seperti lembu, unta dan kambing di mana harta ini dipelihara dan hasil seperti susu, anak dan lainnya boleh disalurkan sebagai sedeqah dengan lebih terancang dan berterusan.

2- Melaburkannya dengan hujjah ia digunakan unuk asnaf zakat juga, iaitu ‘fi sabilillah' atau pada jalan Allah sebagai manfaat awam atas nama Islam. Maka melaburkan sebahagian wang zakat dikira sedang menggunakan pada jalan Allah swt agar wang tersebut boleh menghasilkan lebih manfaat, justeru boleh dimanfaatkan oleh lebih ramai asnaf zakat untuk tempoh yang lebih panjang.

3- Qiyas ke atas keharusan melaburkan harta anak yatim (yang masih kecil) agar tidak static dan surut akibat zakat, inflasi atau lainnya. Nabi s.a.w menyebut :

ابتغوا في أموال اليتامى لا تأكلها الصدقة

Ertinya : Berniaga, labur atau usahakanlah harta-harta anak yatim, semoga ia tidak surut dengan zakat (iaitu zakat harta tahunan) ( Riwayat Al-Baihaqi, Hadis Hasan dengan Syawahid)

4- Beramal dengan ‘istihsan', iaitu keputusan terbaik untuk menampung jumlah pertambahan pemohon dan yang berhak.

KESIMPULAN

Setiap satu dalil dan kedua-dua kumpulan mempunyai perbahasan dan bantahan yang panjang lebar namun menarik, namun saya tidak merasakan kesesuaian untuk memasukkannya dalam artikel ringkas ini.

Hukum asalnya adalah HARAM dilaburkan, cuma hukum ini berubah kepada harus dalam keadaan tertentu. Hasil analisa oleh Prof Dr Md Uthman Syabir (Profesor Shariah Univ. Qatar), dan keputusan majoriti ulama semasa termasuk persidangan para ulama di pelbagai peringkat, kecenderungan adalah HARUS bagi pihak kerajaan (Institusi Zakat), untuk melaburnya namun dengan syarat tentunya.

Syarat kepada keharusan ini adalah :-

1- Tidak terdapat asnaf yang memerlukannya dalam kadar segera khususnya untuk kepelruan asas mereka seperti makan, minum, pakaian dan penginapan. Justeru, jika teradapt yang memerlukannya segera, institusi TIDAK BOLEH menangguhnya kerana ingin melaburkannya terlebih dahulu pula.

Namun demikian, boleh sesbuah negeri atau Negara mendakwa negeri atau negaranya sudah tiada individui berhak yang memerlukan dalam kadar segera ? sehingga institusi zakatnya boleh melaburkannya terlebih dahulu dan dibiarkan yang menderita terus menderita.? Imam Al-Juwaini pernah menggambarkan luar biasa dan kurang masuk aqal untuk mendakwa tiada lagi asnaf yang memerlukannya segera, namun jika sesuatu zakat itu ada lebihan, ia boleh digunakan untuk kepentingan awam. (Ghiathul Umam, hlm 183)

2- Wajiblah pelaburan itu dari jenis yang diyakini membawa kebaikan dan untuk kepentingan asnaf zakat juga, sepeprti melabur dengan membina bangunan tertentu untuk kegunaan penginapan faqir miskin

3- Wajiblah di laburkan melalui cara yang halal dan di sektor yang halal.

4- Wajiblah dipastikan semua keuntungan yang terhasil dari pelaburan itu disalurkan kepada kumpulan berhak zakat dan bukan masuk ke poket mana-mana individu tidak amanah atau pihak bekepentingan yang mengambil kesempatan.

5- Wajiblah kajian due diligence dilakukan terhadap sektor dan pelaburan yang ingin dilakukan dengan telus dan diawasi oleh badan atau individu bebas kepentingan.

6- Meminimakan kos pegurusan untuk pelaburan tersebut agar wang zakat tidak hangus di situ.

7- Pelaburan tidak harus dipengaruhi oleh individu tertentu atau syarikat berkepentingan yang cuba mendapatkan manfaat dari wang zakat untuk kepentingan peribadi dan syarikat mereka semata-mata. Justeru, pelaburan mesti dibuat atas asas merit dan bukan kroni.

Apapun, pengurusan wang zakat memerlukan ketelusan dan amanah yang tiada berbelah bagi, ia adalah pengurusan wang amanah yang sangat penting untuk mendapat keyakinan ramai sama ada golongan pembayar zakat mahupun penerima zakat. Sebarang insiden yang menjatuhkan integriti institusi ini wajib diselesaikan dengan hikmah dan betul. Tanpa kepercayaan, orang ramai akan beralih sama ada membayar zakat di institusi lain ataupun tidak membayar zakat langsung.

Kejayaan institusi zakat juga adalah kejayaannya mencari asnaf zakat dan mengagih selain kejayaan mereka dalam mengutip dengan jumlah besar. Lagi sedikit jumlah yang berbaki setiap tahun, beerti lagi beperanan institusi tersebut dalam pengagihan kepada yang berhak.

Saya merasa sesuatu tidak kena apabila diberitahu oleh rakan-rakan yang bertugas di institusi zakat di sebuah negeri bahawa terdapat institusi zakat yang mengamalkan konsep

"setiap pemohon zakat adalah penipu sehingga berjaya membuktikan ia tidak berbohong"

Keadaan ini menyebabkan sesebuah institusi zakat itu amat liat dan sukar untuk meluluskan sebarang permohonan asnaf yang layak. Berpada-padalah dalam tapisan tetapi jangan langsung tidak menapis kerana sememangnya pembohong adalah ramai di luar sana.

Sekian
Zaharuddin Abd Rahman

MENGENALI IMAM MAZHAB

Imam Ahmad Bin Hambal

Imam Ahmad bin Muhammad bin Hambal. Beliau adalah Imam yang keempat dari fuqahak Islam. Beliau memiliki sifat-sifat yang luhur dan tinggi. Ahmad bin Hambal dilahirkan di Baghdad pada bulan Rabiul Awal tahun 164H. Beliau termasyhur dengan nama datuknya Hambal, kerana datuknya lebih masyhur dari ayahnya.

Ibnu Hambal hidup dalam keadaan miskin, kerana ayahnya hanya meninggalkan sebuah rumah kecil dan tanah yang sempit. Beliau terpaksa melakukan berbagai pekerjaan. Beliau pernah bekerja di tempat tukang jahit, mengambil upah menulis, menenun kain dan kadangkala mengambil upah mengangkat barang-barang orang. Beliau lebih mementingkan makanan yang halal lagi baik dan beliau tidak senang menerima hadiah-hadiah.

Ketika ia masih berumur 14 tahun, Ahmad bin Hambal telah belajar mengarang dan menghafal Al-Quran. Beliau bekerja keras dalam menuntut ilmu pengetahuan. Sebagai seorang ulama yang sangat banyak ilmunya, Ibnu Hambal pun seorang yang teguh imannya, berani berbuat di atas kebenaran. Dia tidak takut bahaya apa pun terhadap dirinya di dalam menegakkan kebenaran itu. Kerana Allah memang telah menentukan bahawa setiap orang yang beriman itu pasti akan diuji keimanannya. Termasuk juga para nabi dan rasul yang tidak pernah lepas dari berbagai ujian dan cubaan.

Ujian dan cubaan berupa fitnah, kemiskinan, seksaan dan lain-lainnya itu selalu akan mendampingi orang-orang yang beriman apalagi orang yang menegakkan kebenaran. Demikian juga halnya dengan Imam Hambali, terlalu banyak bahaya yang dihadapinya dalam berjuang menegakkan kebenaran agama. Ujian itu datangnya bermacam-macam kadangkala dari musuh kita dan dapat juga timbul dari kawan-kawan yang merasa iri dengan kebolehan seseorang.

Imam Hambali berada di zaman kekuasaan kaum Muktazilah yang berpendapat bahawa Quran itu adalah makhluk. Pendirian ini begitu kuatnya di kalangan pemerintah, sehingga barangsiapa yang bertentangan pendirian dengan pihak pemerintah tentu akan mendapat seksaan. Sebelum Al-Makmun ini, yakni di zaman sultan Harun Al-Rasyid, ada seorang ulama bernama Basyar Al-Marisy berpendapat bahawa Quran itu adalah makhluk. Baginda Harun Al-Rasyid tidak mahu menerima pendapat tersebut. Bahkan terhadap orang yang berpendapat demikian akan diberi hukuman. Kerana ancaman itu akhirnya Basyar melarikan diri dari Baghdad.

Sultan Harun Al-Rasyid pernah berkata: “Kalau umurku panjang dan masih dapat berjumpa dengan Basyar nescaya akan kubunuh dia dengan cara yang belum pernah aku lakukan terhadap yang lain?” Selama 20 tahun lamanya Syekh Basyar menyembunyikan diri dari kekuasaan Sultan.

Tetapi setelah Sultan Harun Al-Rasyid meninggal dunia, kemudian diganti dengan puteranya Al-Amin barulah Syekh Basyar keluar dari persembunyiannya. Kembali ia mengeluarkan pendapatnya itu, bahawa Quran itu adalah makhluk. Al-Amin juga sependirian dengan ayahnya tidak setuju dengan pendapat tersebut. Ia mengancam berat terhadap orang yang mengatakan Quran itu makhluk.

Kemudian kepala negara pindah lagi ke tangan saudara Al-Amin iaitu Al-Makmun. Di zaman pemerintahan Al-Makmun inilah pendapat tentang Quran itu makhluk mula diterima. Al-Makmun sendiri telah terpengaruh dan ikut berpendapat demikian. Pada suatu kali oleh Al-Makmun diadakan pertemuan para ulama besar, untuk membincangkan hal itu, tetapi para ulama tetap berpendapat bahawa Al-Quran itu adalah makhluk. Al-Makmun mengharapkan supaya pendapat itu diterima orang ramai.

Pada masa itu satu-satunya ulama yang keras berpendirian bahawa “Al-Quran itu bukan makhluk?” Hanyalah Imam Hambali. Secara terus terang ia berkata di hadapan Sultan:“Bahawa Al-Quran bukanlah makhluk yang dijadikan Allah, tetapi ia adalah Kalamullah.”

Imam Hambali satu-satunya ulama ketika itu yang berani membantah, sedangkan yang lainnya diam seribu bahasa. Kemudian ia ditangkap dan dihadapkan ke hadapan baginda. Ia dipanggil bersama tiga orang ulama yang lainnya, iaitu Imam Hassan bin Muhammad Sajah, Imam Muhammad bin Nuh dan Imam Ubaidah bin Umar. Kedua ulama di antara mereka sama menjawab dan membenarkan pendapat baginda sementara Imam Hambali dan Imam Muhammad bin Nuh dengan tegas menjawab bahawa Quran itu bukanlah makhluk. Keduanya lalu dimasukkan ke dalam penjara. Setelah beberapa hari dalam penjara datang surat dari Tharsus yang meminta supaya keduanya dibawa ke sana dengan dirantai.

Kedua ulama tersebut betul-betul dirantai kedua kaki dan tangannya dan ditunjukkan di hadapan orang ramai. Kemudian dibawa ke Tharsus, sesampainya di sana keduanya dimasukkan ke dalam penjara. Kerajaan mempunyai seorang ulama besar bernama Ahmad bin Abi Daud, yang pandai berbicara namun lemah dalam pendirian.

Terhadap Imam Hambali mereka minta supaya dihukum dengan hukuman yang seberat-beratnya. Baginda raja menerima usulan tersebut. Lalu Imam Hambali dihadapkan depan raja dan ditanyakan tentang pendiriannya. Namun ia tetap menyampaikan pendiriannya bahawa Al-Quran itu ialah Kalamullah bukan makhluk. Dan ia menegaskan lagi bahawa ia tidak akan berubah dari pendiriannya itu.

Akhirnya terjadilah persidangan yang dipimpin oleh baginda sendiri. Kemudian baginda memanggil Imam Hambali dan berkata: “Atas nama saya sebagai kerabat Nabi Muhammad SAW saya akan memukul engkau beberapa kali, sampai engkau membenarkan apa yang telah saya benarkan, atau mengatakan seperti yang saya kata?” Kerana Imam Hambali masih tetap dengan pendiriannya, maka baginda memerintahkan kepada perajuritnya untuk memukul Imam Hambali.

Ketika cambuk yang pertama singgah di punggung beliau, beliau mengucapkan “Bismillah.” Ketika cambuk yang kedua, beliau mengucapkan “La haula walaa quwwata illaa billah” (tiada daya dan kekuatan apa pun kecuali izin Allah). Ketika cambuk yang ketiga kalinya beliau mengucapkan “Al-Quran kalaamullahi ghairu makhluk” (Al-Quran adalah kalam Allah bukan makhluk). Dan ketika pada pukulan yang keempat, beliau membaca surah At-Taubah ayat 51.

“Katakanlah: Sekali-kali tidak akan menimpa kami melainkan apa yang ditetapkan oleh Allah bagi kami.”

Sehingga seluruh badan beliau mengalir darah merah.

Akhirnya beliau dimasukkan ke dalam penjara kembali. Pada suatu hari ketika Imam Hambali dibawa ke Kota Anbar dengan tangan yang terbelenggu, seorang yang alim bernama Abu Ja’far Al-Anbari menghampiri beliau. Imam Hambali bertanya kepadanya: “Hai Abu Ja’far apakah engkau susah melihat keadaanku?” “Tidak wahai Imam, engkau adalah pemuka umat, kerana umat manusia ada di belakangmu. Demi Allah, bila engkau mahu menjawab bahawa Quran itu makhluk, pastilah umat akan mengikutimu, dan bila engkau tidak mahu menjawab, maka umat juga tidak mahu menjawab seperti apa yang ingin engkau jawab. Bila engkau tidak mati dibunuh orang, pasti engkau juga akan mati dengan cara yang lain. Maka janganlah engkau mahu menuruti kehendak mereka.”

Mendengar kata-kata Ja’far itu beliau mencucurkan air mata dan berkata: “Masya-Allah!, Masya-Allah!, Masya-Allah!. Kemudian beliau pun dikunjungi oleh bekas penjahat bernama Abdul Haitsam Al-Ayyar dan berkata kepada beliau: “Wahai Imam, saya ini seorang pencuri yang didera dengan beribu-ribu cambukan, namun saya tidak mahu mengakui perbuatan saya, pada hal saya menyedari bahawa saya salah. Maka janganlah Imam gelisah dalam menerima dera, sebab engkau dalam kebenaran.”

Ketika Khalifah Al-Makmun meninggal dunia pada tahun 218H (833 M) setelah memerintah 20 tahun lamanya, yang mengganti beliau ialah saudaranya yang bernama Ishaq Muhammad bin Harun Al-Rasyid yang bergelar dengan Al-Muktashimbillah. Sebelum Khalifah Al-Makmun meninggal dunia beliau telah berpesan kepada bakal penggantinya itu bahawa faham Al-Quran itu makhluk harus dipertahankan.”

Kebijaksanaan kerajaan yang menyeksa para ulama yang tidak sependirian dengan faham kerajaan itu atas dasar hasutan seorang ulama kerajaan yang bernama Qadhi Qudhoti Ahmad bin Abi Daud (Daud). Ulama inilah yang memberikan usulan kepada Al-makmun bahawa jika Imam Ahmad bin Hambal tetap tidak mahu mengikuti bahawa Al-Quran itu makhluk hendaklah dihukum dengan hukuman yang berat.

Setelah kerajaan dipegang oleh Al-Muktasim ulama Ahmad bin Daud masih tetap menjadi qadi kerajaan. Pada suatu hari Qadi kerajaan ini cuba mengadili Imam Hambali dengan melakukan perdebatan akhirnya Ahmad bin Daud kalah kerana tidak dapat mengemukakan alasan yang lebih kuat. Walaupun demikian Imam Hambali tetap dimasukkan kembali ke dalam penjara.

Pada bulan Ramadhan pengadilan terhadap Imam Hambali diadakan lagi. Khalifah Al-Muktashim bertanya: “Al-Quran itu adalah baru, bagaimana pendapat anda.” “Tidak!, Al-Quran adalah kalam Allah, saya tidak sejauh itu membahasnya kerana di dalam Al-Quran dan hadith tidak disuruh membahas soal tersebut.” Jawab beliau.

Beliau dicambuk sampai berdarah, pada hal ketika itu bulan puasa. Baginda berkata: “Kalau kamu merasa sakit dengan pukulan ini, maka ikutilah saya, dan akuilah bahawa Al-Quran itu makhluk, supaya kamu selamat.”

Penderaan pun terus berlangsung, sehingga beliau terasa bahawa tali seluar yang menutup auratnya putus dan hampir turun ke bawah. Beliau pun mengangkatkan mukanya ke atas sambil berdoa: “Ya Allah!, atas namaMu yang menguasai Arsy, bahawa jika Engkau mengetahui bahawa saya adalah benar, maka janganlah Engkau jatuhkan penutup aurat ku.” Ketika itu pula seluar beliau yang akan jatuh itu naik ke atas kembali sehingga aurat beliau tidak jadi terlihat oleh orang ramai.

Penyeksaan terhadap beliau itu baru berakhir setelah selesai maghrib. Para hakim dan orang- orang hadir kemudian berbuka puasa di hadapan beliau. Sementara beliau dibiarkan saja tidak diberi sesuatu makanan untuk berbuka. Demikianlah seterusnya, pada hari yang kedua pun beliau masih tetap didera sampai seluruh badannya mencucurkan darah. Pada hari ketiga beliau masih tetap didera sehingga pengsan.

Setelah Al-Muktashim meninggal dunia ia diganti dengan puteranya Al-Watsiq. Pada masa ini banyak penganiayaan dilakukan terhadap para ulama. Khalifah Al-Watsiq inilah yang memancung leher ulama terkenal yakni Ahmad bin Naser Al-Khuza’i. Kepala Ahmad bin Naser digantung dan diletak tulisan yang berbunyi: “Inilah kepala Ahmad bin Naser yang tidak mahu mengakui bahawa Al-Quran itu makhluk, maka Tuhan memasukkan Ahmad bin Naser ke dalam neraka, kepala ini menjadi peringatan bagi mereka yang memalingkan dirinya dari kiblat.” Demikianlah tulisan yang diletakkan dekat leher Ahmad bin Naser.

Kemudian Khalifah Al-Watsiq meninggal dunia dan digantikan dengan saudara beliau yang bernama, Al-Mutawakkil. Pada masa inilah dicabut tentang faham muktazilah dan diadakan pembebasan terhadap semua ulama yang ditahan, termasuk Imam Ahmad bin hambal. Sementara itu Imam Hambali setelah dibebaskan beliau diberi hadiah sebanyak l0,000 dirham, namun hadiah tersebut beliau tolak. Kerana dipaksa untuk menerimanya, akhirnya beliau terima dan dibahagi-bahagikan kepada fakir miskin.

Pada hari Jumaat tanggal 12 Rabiul Awal tahun 241 H/855 M beliau meninggal dunia yang fana ini dengan tenang dalam usia 77 tahun. Setelah mendengar wafatnya beliau, seluruh Kota Baghdad menjadi gempar jenazah beliau disembahyangkan lebih dari 130,000 orang muslimin. Demikian berakhirnya riwayat seorang penegak kebenaran dan meninggikan ilmu pengetahuan, setelah melalui berbagai seksaan dan penganiayaan. Semoga mereka yang berjuang pada jalan Allah menjadi kekasih Allah, yang selalu mendapat keberkahannya dan keredhaanNya.

Banyak lagi mereka yang berjuang pada jalan Allah akhirnya menerima ujian dan cubaan dengan berbagai penganiayaan dan seksaan.

Firman Allah ertinya:

“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan. “Kami telah beriman, sedang mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang- orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.”
(Al-Ankabut: 2-3)

MENGENALI IMAM MAZHAB

Imam Syafie

Imam Syafie bernama Muhammad bin Idris. Salasilah keturunan beliau adalah Muhammad bin Idris bin Abbas bin Usman bin Syafie bin Saib bin Abdul Yazid bin Hasyim bin Abdul Mutalib bin Abdul Manaf. Keturunan beliau bertemu dengan keturunan Nabi Muhammad SAW pada datuk Nabi Muhammad yang ketiga iaitu Abdul Manaf.

Beliau dilahirkan di Ghuzah nama sebuah kampung yang termasuk daerah Palestin, pada bulan Rejab 150 H atau 767 Masehi. Tempat asal ayah dan bonda beliau ialah di Kota Makkah. Imam Syafie lahir di Palestin kerana ketika itu bondanya pergi ke daerah itu demi keperluan penting. Namun di dalam perjalanan menuju Palestin tersebut ayahnya meninggal dunia, sementara Imam Syafie masih dalam kandungan ibunya. Setelah berumur dua tahun baru Imam Syafie dan ibunya kembali ke Kota Makkah.

Ketika berumur 9 tahun beliau telah hafal Al-Quran 30 juz. Umur 19 tahun telah mengerti isi kitab Al-Muwatha’, karangan Imam Malik, tidak lama kemudian Al-Muwatha’ telah dihafalnya. Kitab Al-Muwatha’ tersebut berisi hadith-hadith Rasulullah SAW, yang dihimpun oleh Imam Malik.

Kerana kecerdasannya pada umur 15 tahun beliau telah diizinkan memberi fatwa di hadapan masyarakat dan menjawat sebagai guru besar ilmu hadith serta menjadi mufti dalam Masjidil Haram di Makkah.

Ketika berumur 20 tahun beliau pergi belajar ke tempat Imam Malik di Madinah, setelah itu beliau ke Irak, Parsi dan akhirnya kembali ke Madinah. Dalam usia 29 tahun beliau pergi ke Yaman untuk menuntut ilmu pengetahuan.

Tentang ketaatan beliau dalam beribadah kepada Allah diceritakan bahawa setiap malam beliau membagi malam itu kepada tiga bahagian. Sepertiga malam beliau gunakan kewajipan sebagai manusia yang mempunyai keluarga, sepertiga malam untuk solat dan zikir dan sepertiga lagi untuk tidur.

Ketika Imam Syafie di Yaman, beliau diangkat menjadi setiausaha dan penulis istimewa Gabenor di Yaman, sekaligus menjadi guru besar di sana. Kerana beliau termasuk orang pendatang, secara tiba-tiba memangku jawatan yang tinggi, maka ramai orang yang memfitnah beliau.

Ahli sejarah telah menceritakan bahawa waktu sultan Harun Ar-Rasyid sedang marah terhadap kaum Syiah, sebab golongan tersebut berusaha untuk meruntuhkan kekuasaan Abbasiyah, mereka berhasrat mendirikan sebuah kerajaan Alawiyah iaitu keturunan Saidina Ali bin Abi Talib. Kerana itu di mana kaum Syiah berada mereka diburu dan dibunuh.

Suatu kali datang surat baginda Sultan dari Baghdad. Dalam surat yang ditujukan kepada Wali negeri itu diberitahukan supaya semua kaum Syiah ditangkap. Untuk pertama kali yang paling penting adalah para pemimpinnya, jika pekerjaan penangkapan telah selesai semua mereka akan dikirimkan ke Baghdad. Semuanya harus dibelenggu dan dirantai. Imam Syafie juga ditangkap, sebab di dalam surat tersebut bahawa Imam Syafie termasuk dalam senarai para pemimpin Syiah.

Ketika peristiwa itu terjadi pada bulan Ramadhan, Imam Syafie dibawa ke Baghdad dengan dirantai kedua belah tangannya. Dalam keadaan dibelenggu itu para tahanan disuruh berjalan kaki mulai dari Arab Selatan (Yaman) sampai ke Arab Utara (Baghdad), yang menempuh perjalanan selama dua bulan. Sampai di Baghdad belenggu belum dibuka, yang menyebabkan darah-darah hitam melekat pada rantai-rantai yang mengikat tangan mereka.

Pada suatu malam pengadilan pun dimulai. Para tahanan satu persatu masuk ke dalam bilik pemeriksaan. Setelah mereka ditanya dengan beberapa kalimat, mereka dibunuh dengan memenggal leher tahanan tersebut. Supaya darah yang keluar dari leher yang dipotong itu tidak berserak ia dialas dengan kulit binatang yang diberi nama dengan natha’.

Imam Syafie dalam keadaan tenang menunggu giliran, dengan memohon keadilan kepada Allah SWT. Kemudian beliau dipanggil ke hadapan baginda Sultan. Imam Syafie menyerahkan segalanya hanya kepada Allah SWT. Dengan keadaan merangkak kerana kedua belah kaki beliau diikat dengan rantai, Imam Syafie mengadap Sultan. Semua para pembesar memperhatikan beliau.

“Assalamualaika, ya Amirul Mukminin wabarakatuh.”
Demikian ucapan salam beliau kepada baginda dengan tidak disempurnakan iaitu “Warahmatullah.”

“Wa alaikassalam warahmatullah wabarakatuh.” Jawab baginda. Kemudian baginda bertanya: “Mengapa engkau mengucap salam dengan ucapan yang tidak diperintahkan oleh sunnah, dan mengapa engkau berani berkata-kata dalam majlis ini sebelum mendapat izin dari saya?”

Imam Syafie menjawab: “Tidak saya ucapkan kata “Warahmatullah” kerana rahmat Allah itu terletak dalam hati baginda sendiri.” Mendengar kata-kata itu hati baginda jadi lembut. Kemudian Imam Syafie membaca surah An-Nur ayat 55 yang bermaksud:

“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka berkuasa, dan sesungguhnya Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhaiNya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa.”

Setelah membaca ayat di atas kemudian Imam Syafie berkata: “Demikianlah Allah telah menepati janjiNya, kerana sekarang baginda telah menjadi khalifah, jawapan salam baginda tadi membuat hati saya menjadi aman.” Hati baginda menjadi bertambah lembut. Baginda Harun ar Rashid bertanya kembali: “Kenapa engkau menyebarkan faham Syiah, dan apa alasanmu untuk menolak tuduhan atas dirimu.”

“Saya tidak dapat menjawab pertanyaan baginda dengan baik bila saya masih dirantai begini, jika belenggu ini dibuka Insya-Allah saya akan menjawab dengan sempurna. Lalu baginda memerintahkan kepada pengawal untuk membukakan belenggu yang mengikat lmam Syafie itu.

Setelah rantai yang membelenggu kedua kaki dan tangannya itu dibuka, maka Imam Syafie duduk dengan baik kemudian membaca surah Hujarat ayat 6:

“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasiq yang membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.”

“Ya Amirul Mukminin, sesungguhnya berita yang sampai kepada baginda itu adalah dusta belaka. Sesungguhnya saya ini menjaga kehormatan Islam. Dan bagindalah yang berhak memegang adab kitab Allah kerana baginda adalah putera bapa saudara Rasulullah SAW iaitu Abbas. Kita sama-sama menghormati keluarga Rasulullah. Maka kalau saya dituduh Syiah kerana saya sayang dan cinta kepada Rasulullah dan keluarganya, maka demi Allah, biarlah umat Islam sedunia ini menyaksikan bahawa saya adalah Syiah. Dan tuan-tuan sendiri tentunya sayang dan cinta kepada keluarga Rasulullah.” Demikian jawab Imam Syafie.

Baginda Harun ar Rasyid pun menekurkan kepalanya kemudian ia berkata kepada Imam Syafie: “Mulai hari ini bergembiralah engkau agar lenyaplah perselisihan antara kami dengan kamu, kerana kami harus memelihara dan menghormati pengetahuanmu wahai Imam Syafie.”

Demikianlah kehidupan Imam Syafie sebagai ulama besar, yang tidak lepas dari berbagai cubaan serta seksaan dari pihak yang tak mengerti akan hakikat kebenaran yang sesungguhnya. Hanya ketabahan dan keimanan serta pengetahuanlah yang dapat menghadapi setiap cubaan itu sebagai suatu ujian dari Allah SWT yang harus kita hadapi.

MENGENALI IMAM MAZHAB

Imam Malik

Imam Malik dilahirkan di sebuah perkampungan kecil yang bernama Ashbah, yang terletak di dekat Kota Himyar jajahan Yaman. Nama aslinya ialah Malik bin Anas bin Malik bin Abi Amir Al-Ashabally. Beliau adalah seorang ulama besar yang lahir di Madinah serta mempunyai pengaruh yang sangat besar terhadap dunia Islam.

Ketika Imam Malik berusia 54 tahun, pemerintahan berada di tangan baginda Al-Mansur yang berpusat di Bagdad. Ketika itu di Madinah dipimpin oleh seorang gabenor bernama Jaafar bin Sulaiman Al-Hasymi. Sementara itu Imam Malik juga menjabat sebagai mufti di Madinah. Di saat timbulnya masalah penceraian atau talak, maka Imam Malik telah menyampaikan fatwanya, bahawa talak yang dipaksakan tidak sah, ertinya talak suami terhadap isteri tidak jatuh. Fatwa ini sungguh berlawanan dengan kehendak gabenor, kerana ia tidak mahu hadith yang disampaikan oleh Imam Malik tersebut diketahui oleh masyarakat, sehingga akhirnya Imam Malik dipanggil untuk mengadap kepada gabenor.

Kemudian gabenor meminta agar fatwa tersebut dicabut kembali, dan jangan sampai orang ramai mengetahui akan hal itu. Walaupun demikian Imam Malik tidak mahu mencabutnya. Fatwa tersebut tetap disiarkan kepada orang ramai. Talak yang dipaksanya tidak sah. Bahkan Imam Malik sengaja menyiarkan fatwanya itu ketika beliau mengadakan ceramah-ceramah agama, kerana fatwa tersebut berdasarkan hadith Rasulullah SAW yang harus diketahui oleh umat manusia.

Akhirnya Imam Malik ditangkap oleh pihak kerajaan, namun ia masih tetap dengan pendiriannya. Gabenor memberi peringatan keras supaya fatwa tersebut dicabut dengan segera Kemudian Imam Malik dihukum dengan dera dan diikat dengan tali dan dinaikkan ke atas punggung unta, lalu diarak keliling Kota Madinah. Kemudian Imam Malik dipaksa supaya menarik kembali fatwanya itu.

Mereka mengarak Imam Malik supaya Imam merasa malu dan hilang pendiriannya. Tetapi Imam Malik masih tetap dengan pendiriannya itu. Kerana ketegasannya itu, dia dihukum dengan sebat sebanyak 70 kali, yang menyebabkan tulang belakangnya hampir patah. Kemudian ia berkata kepada sahabat-sahabatnya:
“Aku dihukum dera begitu berat lantaran fatwa ku. Demikian Said Al-Musayyid, Muhamad Al-Munkadir dan Rabiah telah dijatuhi hukuman demikian lantaran fatwanya juga.”

Bagi Imam Malik hukuman semacam itu, bukanlah mengurangi pendiriannya, bahkan semakin bertambah teguh jiwanya. Ia tidak pernah takut menerima hukuman asalkan ia berada pada jalan kebenaran. Kerana memang setiap perjuangan itu memerlukan pengorbanan. Imam Al-Laits, seorang alim menjadi mufti Mesir ketika itu, saat mendengar bahawa Imam Malik dihukum lantaran fatwanya ia berkata: “Aku mengharap semoga Allah mengangkat darjat Imam Malik atas setiap pukulan yang dijatuhkan kepadanya, menjadikan satu tingkat baginya masuk ke syurga.”
Insya Allah.

MENGENALI IMAM MAZHAB

Imam Abu Hanifah

Imam Abu Hanafih adalah seorang imam Mazhab yang besar dalam dunia Islam. Dalam empat mazhab yang terkenal tersebut hanya Imam Hanafi yang bukan orang Arab. Beliau keturunan Persia atau disebut juga dengan bangsa Ajam. Pendirian beliau sama dengan pendirian imam yang lain, iaitu sama-sama menegakkan Al-Quran dan sunnah Nabi SAW.

Imam Hanafi dilahirkan pada tahun 80 Hijrah bertepatan tahun 699 Masehi di sebuah kota bernama Kufah. Nama yang sebenarnya ialah Nu’man bin Tsabit bin Zautha bin Maha. Kemudian masyhur dengan gelaran Imam Hanafi.

Kemasyhuran nama tersebut menurut para ahli sejarah ada beberapa sebab:
1. Kerana ia mempunyai seorang anak laki-laki yang bernama Hanifah, maka ia diberi julukan dengan Abu Hanifah.
2. Kerana semenjak kecilnya sangat tekun belajar dan menghayati setiap yang dipelajarinya, maka ia dianggap seorang
yang hanif (kecenderungan/condong) pada agama. Itulah sebabnya ia masyhur dengan gelaran Abu Hanifah.
3. Menurut bahasa Persia, Hanifah bererti tinta. Imam Hanafi sangat rajin menulis hadith-hadith, ke mana, ia pergi selalu membawa tinta. Kerana itu ia dinamakan Abu Hanifah.

Waktu ia dilahirkan, pemerintahan Islam berada di tangan Abdul Malik bin Marwan, dari keturunan Bani Umaiyyah kelima. Kepandaian Imam Hanafi tidak diragukan lagi, beliau mengerti betul tentang ilmu fiqih, ilmu tauhid, ilmu kalam, dan juga ilmu hadith. Di samping itu beliau juga pandai dalam ilmu kesusasteraan dan hikmah.

Imam Hanafi adalah seorang hamba Allah yang bertakwa dan soleh, seluruh waktunya lebih banyak diisi dengan amal ibadah. Jika beliau berdoa matanya bercucuran air mata demi mengharapkan keredhaan Allah SWT. Walaupun demikian orang-orang yang berjiwa jahat selalu berusaha untuk menganiaya beliau.

Sifat keberanian beliau adalah berani menegakkan dan mempertahankan kebenaran. Untuk kebenaran ia tidak takut sengsara atau apa bahaya yang akan diterimanya. Dengan keberaniannya itu beliau selalu mencegah orang-orang yang melakukan perbuatan mungkar, kerana menurut Imam Hanafi kalau kemungkaran itu tidak dicegah, bukan orang yang berbuat kejahatan itu saja yang akan merasakan akibatnya, melainkan semuanya, termasuk orang-orang yang baik yang ada di tempat tersebut

Sebahagian dilukiskan dalam sebuah hadith Rasulullah SAW bahawa bumi ini diumpamakan sebuah bahtera yang didiami oleh dua kumpulan. Kumpulan pertama adalah terdiri orang-orang yang baik-baik sementara kumpulan kedua terdiri dari yang jahat-jahat. Kalau kumpulan jahat ini mahu merosak bahtera dan kumpulan baik itu tidak mahu mencegahnya, maka seluruh penghuni bahtera itu akan binasa. Tetapi sebaliknya jika kumpulan yang baik itu mahu mencegah perbuatan orang-orang yang mahu membuat kerosakan di atas bahtera itu, maka semuanya akan selamat.

Sifat Imam Hanafi yang lain adalah menolak kedudukan tinggi yang diberikan pemerintah kepadanya. Ia menolak pangkat dan menolak wang yang dibelikan kepadanya. Akibat dari penolakannya itu ia ditangkap dan dimasukkan ke dalam penjara. Di dalam penjara ia diseksa, dipukul dan sebagainya.

Gabenor di Iraq pada waktu itu berada di tangan Yazid bin Hurairah Al-Fazzari. Selaku pemimpin ia tentu dapat mengangkat dan memberhentikan pegawai yang berada di bawah kekuasaannya. Pernah pada suatu ketika Imam Hanafi akan diangkat menjadi ketua urusan perbendaharan negara (Baitul mal), tetapi pengangkatan itu ditolaknya. Ia tidak mahu menerima kedudukan tinggi tersebut. Sampai berulang kali Gabenor Yazid menawarkan pangkat itu kepadanya, namun tetap ditolaknya.

Pada waktu yang lain Gabenor Yazid menawarkan pangkat Kadi (hakim) tetapi juga ditolaknya. Rupanya Yazid tidak senang melihat sikap Imam Hanafi tersebut. Seolah-olah Imam Hanafi memusuhi pemerintah, kerana itu timbul rasa curiganya. Oleh kerana itu ia diselidiki dan diancam akan dihukum dengan hukum dera. Ketika Imam Hanafi mendengar kata ancaman hukum dera itu Imam Hanafi menjawab: “Demi Allah, aku tidak akan mengerjakan jabatan yang ditawarkan kepadaku, sekalipun aku akan dibunuh oleh pihak kerajaan.” Demikian beraninya Imam Hanafi dalam menegakkan pendirian hidupnya.

Pada suatu hari Yazid memanggil para alim ulama ahli fiqih yang terkemuka di Iraq, dikumpulkan di muka istananya. Di antara mereka yang datang ketika itu adalah Ibnu Abi Laila. Ibnu Syblamah, Daud bin Abi Hind dan lain-lain. Kepada mereka, masing-masing diberi kedudukan rasmi oleh Gabenor.

Ketika itu gabenor menetapkan Imam Hanafi menjadi Pengetua jawatan Sekretari gabenor. Tugasnya adalah bertanggungjawab terhadap keluar masuk wang negara. Gabenor dalam memutuskan jabatan itu disertai dengan sumpah, “Jika Abu Hanifah tidak menerima pangkat itu nescaya ia akan dihukum dengan pukulan.”

Walaupun ada ancaman seperti itu, Imam Hanafi tetap menolak jawatan itu, bahkan ia tetap tegas, bahawa ia tidak mahu menjadi pegawai kerajaan dan tidak mahu campur tangan dalam urusan negara.

Kerana sikapnya itu, akhirnya ditangkap oleh gabenor. Kemudian dimasukkan ke dalam penjara selama dua minggu, dengan tidak dipukul. Lima belas hari kemudian baru dipukul sebanyak 14 kali pukulan, setelah itu baru dibebaskan. Beberapa hari sesudah itu gabenor menawarkan menjadi kadi, juga ditolaknya. Kemudian ditangkap lagi dan dijatuhi hukuman dera sebanyak 110 kali. Setiap hari didera sebanyak sepuluh kali pukulan. Namun demikian Imam Hanafi tetap dengan pendiriannya. Sampai ia dilepaskan kembali setelah cukup 110 kali cambukan.

Akibat dari pukulan itu muka dan seluruh badannya menjadi bengkak-bengkak. Hukuman cambuk itu sengaja untuk menghina Imam Hanafi. Walaupun demikian ketika Imam Hanafi diseksa ia sempat berkata. “Hukuman dera di dunia lebih ringan daripada hukuman neraka di akhirat nanti.” Ketika ia berusia lebih dari 50 tahun, ketua negara ketika itu berada di tangan Marwan bin Muhammad. Imam Hanafi juga menerima ujian. Kemudian pada tahun 132 H sesudah dua tahun dari hukuman tadi terjadilah pergantian pimpinan negara, dari keturunan Umaiyyah ke tangan Abbasiyyah, ketua negaranya bernama Abu Abbas as Saffah.

Pada tahun 132 H sesudah Abu Abbas meninggal dunia diganti dengan ketua negara yang baru bernama Abi Jaafar Al-Mansur, saudara muda dari Abul Abbas as Saffah. Ketika itu Imam Abu Hanifah telah berumur 56 tahun. Namanya masih tetap harum sebagai ulama besar yang disegani. Ahli fikir yang cepat dapat menyelesaikan sesuatu persoalan.

Suatu hari Imam Hanafi mendapat panggilan dari baginda Al-Mansur di Baghdad, supaya ia datang mengadap ke istana. Sesampainya ia di istana Baghdad ia ditetapkan oleh baginda menjadi kadi (hakim) kerajaan Baghdad. Dengan tawaran tersebut, salah seorang pegawai negara bertanya: “Adakah guru tetap akan menolak kedudukan baik itu?” Dijawab oleh Imam Hanafi “Amirul mukminin lebih kuat membayar kifarat sumpahnya daripada saya membayar sumpah saya.”

Kerana ia masih tetap menolak, maka diperintahkan kepada pengawal untuk menangkapnya, kemudian dimasukkan ke dalam penjara di Baghdad. Pada saat itu para ulama yang terkemuka di Kufah ada tiga orang. Salah satu di antaranya ialah Imam Ibnu Abi Laila. Ulama ini sejak pemerintahan Abu Abbas as Saffah telah menjadi mufti kerajaan untuk kota Kufah. Kerana sikap Imam Hanafi itu, Imam Abi Laila pun dilarang memberi fatwa.

Pada suatu hari Imam Hanafi dikeluarkan dari penjara kerana mendapat panggilan dari Al-Mansur, tetapi ia tetap menolak. Baginda bertanya, “Apakah engkau telah suka dalam keadaan seperti ini?”

Dijawab oleh Imam Hanafi: “Wahai Amirul Mukminin semoga Allah memperbaiki Amirul Mukminin.
Wahai Amirul Mukminin, takutlah kepada Allah, janganlah bersekutu dalam kepercayaan dengan orang yang tidak takut kepada Allah. Demi Allah saya bukanlah orang yang boleh dipercayai di waktu tenang, maka bagaimana saya akan dipercayai di waktu marah, sungguh saya tidak sepatutnya diberi jawatan itu.”

Baginda berkata lagi: “Kamu berdusta, kamu patut dan sesuai memegang jawatan itu.” Dijawab oleh Imam Hanafi: “Amirul Mukminin, sungguh baginda telah menetapkan sendiri, jika saya benar, saya telah menyatakan bahawa saya tidak patut memegang jawatan itu. Jika saya berdusta, maka bagaimana baginda akan mengangkat seorang maulana yang dipandang rendah oleh bangsa Arab. Bangsa Arab tidak akan rela diadili seorang golongan hakim seperti saya.”

Pernah juga terjadi, baginda Abu Jaffar Al-Mansur memanggil tiga orang ulama besar ke istananya, iaitu Imam Abu Hanifah, Imam Sufyan ats Tauri dan Imam Syarik an Nakhaei. Setelah mereka hadir di istana, maka ketiganya ditetapkan untuk menduduki pangkat yang cukup tinggi dalam kenegaraan, masing-masing diberi surat pelantikan tersebut.
Imam Sufyan ats Tauri diangkat menjadi kadi di Kota Basrah, lmam Syarik diangkat menjadi kadi di ibu kota. Adapun Imam Hanafi tidak mahu menerima pengangkatan itu di manapun ia diletakkan. Pengangkatan itu disertai dengan ancaman bahawa siapa saja yang tidak mahu menerima jawatan itu akan didera sebanyak l00 kali deraan.

Imam Syarik menerima jawatan itu, tetapi Imam Sufyan tidak mahu menerimanya, kemudian ia melarikan diri ke Yaman. Imam Abu Hanifah juga tidak mahu menerimanya dan tidak pula berusaha melarikan diri.

Oleh sebab itu Imam Abu Hanifah dimasukkan kembali ke dalam penjara dan dijatuhi hukuman sebanyak 100 kali dera. Setiap pagi dipukul dengan cambuk sementara dileher beliau dikalung dengan rantai besi yang berat.

Suatu kali Imam Hanafi dipanggil baginda untuk mengadapnya. Setelah tiba di depan baginda, lalu diberinya segelas air yang berisi racun. Ia dipaksa meminumnya. Setelah diminum air yang beracun itu Imam Hanafi kembali dimasukkan ke dalam penjara. Imam Hanafi wafat dalam keadaan menderita di penjara ketika itu ia berusia 70 tahun.

Imam Hanafi menolak semua tawaran yang diberikan oleh kerajaan daulah Umaiyyah dan Abbasiyah adalah kerana beliau tidak sesuai dengan corak pemerintahan yang mereka kendalikan. Oleh sebab itu mereka berusaha mengajak Imam Hanafi untuk bekerjasama mengikut gerak langkah mereka, dan akhirnya mereka seksa hingga meninggal, kerana Imam Hanafi menolak semua tawaran yang mereka berikan.

WASIAT ULAMAK -2

WASIAT UMAR BIN ABDUL AZIZ

1. Percakapan dengan mengingati Allah adalah suatu yang baik, Berfikir tentang nikmat Allah merupakan sebaik-baik ibadat.

2. Aku lebih menyukai kesakitan ketika sakaratul maut (mabuk kematian) kerana ia merupakan pengakhiran kepada perkara untuk mengkifarah(menghapuskan dosa) daripada seseorang muslim.

3. Wahai Tuhanku berilah kebaikan kepada sesiapa yang mana kebaikannya itu memberi kebaikan kepada umat nabi Muhammad s.a.w. Wahai Tuhanku hancurkanlah sesiapa yang mana kehancurannya itu membawa kebaikan untuk umat nabi Muhammad s.a.w.

4. Jangan engkau bersahabat dengan sahabat yang mana dia begitu berharap kepada engkau ketika mahu menyelesaikan masalahnya sahaja sedangkan apabila masalah atau hajatnya telah selesai maka dia memutuskan kemanisan persahabatan. Bersahabatlah dengan mereka yang mempunyai ketinggian dalam melakukan kebaikan, memenuhi janji dalam perkara yang benar, memberi pertolongan kepada engkau serta memadai dengan amanahnya atau sikap bertanggungjawabnya terhadap engkau.

5. Sebaik-baik niat (qasad) ialah ketika ia ada untuk ditunaikan, sebaik-baik kemaafan ialah ketika berkuasa melakukannya.

6. Sesungguhnya engkau jika sentiasa merasai peringatan hari mati pada waktu malam dan siang maka engkau akan benci kepada setiap sesuatu yang fana (musnah) dan engkau akan mengasihi sesuatu yang kekal dan selamat.

7. Buatlah kebaikan untuk hari akhiratmu maka ia akan memberi kebaikan kepadamu bagi duniamu. Buatlah kebaikan untuk perkara yang tersembunyi maka ia akan memberi kebaikan kepadamu dalam perkara yang nyata. Demi Allah! sesungguhnya seseorang hamba itu tiada antaranya dengan nabi Adam seorang ayah yang hidup melainkan hanyut dalam kematian.

8. Aku berpesan dengan ketaqwaan kepada Allah di mana Dia tidak menerima selain taqwa, Dia tidak kasih melainkan kepada ahli taqwa, Dia tidak memberi ganjaran pahala melainkan atas taqwa. Sesungguhnya mereka yang berpesan dengan taqwa begitu ramai sedangkan mereka yang beramal dengan taqwa begitu sedikit.

9. Ambillah pandangan yang dibenarkan oleh golongan sebelum kamu, Jangan kamu ambil daripada apa yang menyalahi mereka. Sesungguhnya mereka adalah lebih baik daripadamu dan lebih alim.

10. Engkau mesti mempunyai sesuatu yang kekal di sisi Allah kerana setiap sesuatu yang kekal di sisi Allah maka ia akan kekal di sisi manusia. Sesuatu yang tidak kekal di sisi Allah maka ia juga tidak akan kekal di sisi manusia.

11. Sesungguhnya ibadat yang paling baik ialah menunaikan perkara fardhu dan menjauhi segala yang haram.

12. Sesungguhnya Allah tidak akan menurunkan azab kepada umum dengan sebab dosa khusus. Tetapi apabila dilakukan kemungkaran secara nyata maka mereka layak diazabkan secara keseluruhannya.

SELAMAT BERAMAL

WASIAT ULAMAK -1

WASIAT MUSTAFA AL-SIBAI'E

1. Sesiapa yang menghormati orang alim kerana ilmunya maka sesungguhnya dia menginsafinya dan sesiapa yang menghormati orang alim kerana ilmu dan akhlaknya maka sesungguhnya dia telah memuliakannya

2. Jangan berkawan dengan si boros kerana dia akan menghabiskan harta engkau dan jangan pula berkawan rapat dengan si kedekut kerana dia akan menghilangkan kehormatan engkau.

3. Jangan terlalu mempercayai kebaikan seseorang sehingga engkau melihat pandangannya terhadap engkau ketika susah

4. Keelokan diri akan membahagiakan seseorang dan masyarakat sekitarnya manakala kecantikan wajah akan membawa keburukan kepada tuannya dan masyarakat sekitarnya.

5. Dengan kesakitan maka engkau akan ketahui nikmat sihat manakala sihat akan melupakan engkau kepada kesakitan ketika sakit.

6. Berfikir si sihat lebih betul berbanding berfikir si sakit melainkan jika si sakit lupa kepada Tuhannya

7. Engkau akan kehilangan akal pada 4 tempat : Ketika syaitan menguasai hawa nafsumu, Ketika wanita memberitahu tentang kelembutanmu, Ketika harta menguasai sifat tamakmu, Ketika kenyang menguasai nafsu syahwatmu

8. Asal kejahatan di dunia kerana tiga perkara iaitu Iblis, wanita dan harta manakala asas kebaikan di dunia juga tiga perkara iaitu akal, wanita dan harta

9. Sesiapa yang menunaikan kwajipan terhadap umat, ahli keluarga dan anaknya dalam memerangi kemungkaran kemudian dia tidak berjaya maka sesungguhnya Allah akan memaafkannya

10. Tidak terdapat dalam hati seorang mukmin selain daripada kecintaan terhadap Allah dan rasulNya, tiada baginya sesuatu cita-cita yang berharga selain betemu keduanya, tiada amalan yang lebih lazat selain ingin keredhaan keduanya dan tiada perhubungan yang lebih manis selain berhubung dengan keduanya.

11. Kecantikan yang tiada kelebihan bersamanya seumpama bunga tanpa baunya

12. Jangan terlalu berlebihan dalam cinta dan benci kerana kadang-kadang bertukar kawan menjadi lawan dan lawan menjadi kawan

13. Kesakitan merupakan sekolah untuk tarbiah diri. Sekiranya si sakit bertambah baik dengan mengambil faedah darinya nescaya ia menjadi suatu nikmat bukannya bala

KISAH BENAR - WANITA SYURGA

Aku mahu tinggalkan dunia dalam sujudku

SUATU malam ketika aku sedang nyenyak tidur tiba-tiba aku melihat seolah-olah ayahanda menjelma di hadapanku. Perasaan kasih pada ayahanda tidak dapat ditahan-tahankan lagi, lalu aku berteriak: "Ayah... sudah lama tiada berita dari langit sejak ayahanda tiada!"

Waktu itu aku terlalu rindu setelah beberapa hari ayahanda wafat. Ketika aku sedang memanggil-manggil ayahanda, muncul pula para malaikat bersaf-saf lantas menarik tanganku, membawa aku naik ke langit.

Apabila aku mendongak temampaklah istana-istana indah yang dikelilingi taman-taman pawana serta anak-anak sungai mengalir saujana mata memandang.

Keindahan istana demi istana dan taman demi taman berjajaran di hadapan mata begitu mengasyikkan. Dari celahan pintu-pintu istana tersebut menjelmalah para bidadari seolah-olah patung bernyawa yang sangat jelita, sentiasa tersenyum dan bergelak ketawa. Bidadari itu berkata kepadaku: "Selamat datang wahai makhluk yang diciptakan syurga untuknya, dan kerana ayahanda kamu, kami diciptakan..."

Malaikat itu terus membawa aku naik ke langit seterusnya sehingga memasuki sebuah tempat yang dipenuhi istana-istana yang lebih indah daripada sebelumnya. Cahayanya bergemerlapan.

Dalam setiap istana itu terdapat rumah-rumah berisi pelbagai perhiasan indah yang belum pernah dilihat mata, tidak terdengar di telinga dan tidak pernah tersirat di hati. Penghuni istana-istana ini sentiasa bergembira, bergelak ketawa dan ceria. Di istana itu terdapat pelbagai kain sutera nipis dan tebal. Juga terdapat selimut-selimut daripada sutera dengan pelbagai warna dan corak.

Di atas rak-rak kelihatan pelbagai jenis gelas diperbuat daripada emas dan perak yang sungguh menawan. Pelbagai jenis hidangan makanan, buah-buahan serta air minuman yang lazat dan enak tersedia untuk dimakan. Pemandangan di taman-taman pula sungguh memukau dengan aliran sungai yang warnanya lebih putih daripada susu, rasanya lebih manis daripada madu dan baunya lebih semerbak daripada kesturi.

Aku yang kehairanan dan takjub lantas bertanya: "Untuk siapakah tempat-tempat indah sebegini dicipta? Apa nama sungai-sungai yang harum mewangi ini?"

Malaikat-malaikat itu menjawab:
"Tempat ini adalah Firdaus, tempat paling tinggi dan tiada lagi syurga di atasnya. Syurga Firdaus ini khas untuk singgahsana ayahandamu, semua rasul, nabi, para syuhada dan syiddiqun yang dicintai Allah. Sungai ini bernama al-Kautsar yang telah Allah janjikan kepada ayahandamu."

Aku bertanya lagi: "Di mana ayahandaku?"
Malaikat-malaikat menjawab: "Sebentar lagi ayahandamu akan datang menjemputmu!"
Tidak lama kemudian aku ternampak istana-istana yang sangat putih dan permaidani yang tersangat indah. Tiba-tiba aku sudah berada di atas permaidani yang terbentang di atas singgahsana. Aku ternampak ayahandaku sedang berehat di atas singgahsana tersebut dikelilingi sekelompok orang yang tidak dikenali. Ayahanda menarik tanganku dan mencium dahiku berkali-kali.

Ayahanda berkata: "Selamat datang wahai puteriku!"
Lalu ayahanda meletakkan aku di atas pangkuannya dan berkata lagi:
"Wahai puteriku, tidakkah engkau lihat apa yang telah dijanjikan Allah kepadamu dan yang akan engkau perolehi?"

Ayahanda menunjukkan istana-istana yang disaluti bermacam-macam hiasan yang indah menawan serta berkilau-kilauan, saujana mata memandang. Ayahanda berkata: "Inilah tempat tinggalmu, kediaman suamimu, kedua-dua anakmu serta orang-orang yang mencintaimu dan mencintai mereka. Bergembiralah... engkau akan mengikut ayahanda datang ke sini beberapa hari lagi..."

Aku berkata: "Kalau begitu senanglah hatiku dan bertambah rindu pada ayahanda."
Selepas berjumpa beberapa ketika dengan ayahanda, aku terjaga. Tubuhku menggigil dan terasa takut yang amat sangat. Aku masih teringat-ingat bisikan ayahanda. Aku akan mengikut langkah ayahanda beberapa hari lagi. Aku masih ingat ayahanda berkata perkara yang sama sebelum wafat. Ayahanda pernah membisikkan bahawa akulah orang pertama yang menyahut panggilan Ilahi selepasnya.

Sejak hari ayahanda wafat lagi aku selalu menangis dan bersedih. Perasaan sedih makin terasa selepas bermimpi bertemu ayahanda. Aku tahu tidak lama
lagi aku akan meninggalkan dunia fana ini untuk bersama ayahanda tercinta di akhirat yang kekal, aman dan sentosa.

Aku menceritakan mimpi tersebut pada suamiku dan juga pembantuku Asma binti Umays. Aku beritahu saat ajal hampir tiba. Asma menunjukkan pelepah kurma basah untuk membuat usungan seperti yang dilihat dibuat di Habshah.

Aku tersenyum apabila melihat keranda itu. Aku berwasiat supaya jenazahku nanti dikebumikan pada malam hari agar tiada seorang pun yang marah apabila melihat jenazahku. Aku juga meminta suamiku supaya menikahi Umamah, saudara perempuanku. Umamah menyayangi anakku seperti aku menyayangi mereka.

Setelah merasa saat ajal hampir tiba aku membawa dua orang anakku menziarah makam ayahanda. Tubuhku terasa sangat lemah untuk memijak. Tapi aku gagahi juga untuk bersembahyang dua rakaat antara mimbar dan makam ayahanda.

Tidak lama lagi jasadku akan berpisah dengan roh. Aku akan meninggalkan dua puteraku. Lalu aku peluk dan cium kedua-duanya bertubi-tubi. Sayang, ibumu terpaksa pergi dulu...

Selamat tinggal sayangku, puteraku dan suami tercinta. Biarlah aku menghadap Ilahi tanpa tangisan sesiapa. Aku tidak sanggup melihat tangisan puteraku dan suamiku. Biarlah mereka berada di sisi makam ayahanda dan suamiku bersembahyang. Kalau boleh aku mahu tinggalkan dunia ini dalam bersujud pada Ilahi.
Aku terus meninggalkan dua puteraku dan membiarkan suamiku bersembahyang di masjid. Aku mengambil ramuan hanuth, sejenis pengawet mayat yang ayahandaku biasa gunakan. Aku siramkan air ramuan itu ke seluruh tubuhku. Kemudian aku memakai kain sisa kapan ayahandaku. Selepas itu sekali lagi aku memanggil Asma binti Umays yang sentiasa mengurus dan merawatku.

Pada Asma aku berpesan, "Wahai Asma, perhatikanlah aku. Sekarang aku hendak masuk ke rumah membaringkan tubuhku sekejap. Jika aku tidak keluar, panggillah aku tiga kali dan aku akan menjawab panggilanmu. Tetapi jika aku tidak menjawab, ketahuilah aku telah mengikut jejak langkah ayahandaku!"

Setelah sejam berlalu, Asma memanggil-manggil nama wanita itu tetapi tiada sebarang jawapan. Ketika penjaga itu masuk, dia terkejut apabila melihat wanita kurus cengkung itu meninggal dunia dalam sujudnya. Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun...

***********
Aku dalam cerita di atas ialah Fatimah az-Zahra, anak Rasulullah dengan isteri pertamanya Siti Khadijah. Fatimah meninggal dunia dalam usia 28 tahun setelah 40 hari Rasulullah s,a.w. wafat dan jenazahnya dimakamkan di perkuburan Baqi' di Madinah. Masih adakah wanita solehah seperti Fatimah di zaman moden ini?

Sumber: Mastika, Mei 2006

Jumaat, 27 Mac 2009

KHUTBAH JUMAAT AL-IKHLAS

KHUTBAH JUMAAT AL-IKHLAS (27 MAC 2009)

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 50 surah al-Maidah :

Apakah hukum Jahiliyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin ?

Matlamat utama kepada kejadian jin dan manusia adalah untuk tunduk patuh kepada segala suruhan Allah disamping menjauhi segala laranganNya dalam setiap aspek kehidupan sehingga lahir sebagai hamba yang taat. Kemakmuran sebuah negara tidak mampu dicapai tanpa sikap taat dan patuh bermula daripada pemimpin sehingga rakyat jelata kepada Allah dengan mematuhi segala sistem hidup yang telah diterangkan melalui al-Quran dan Sunnah nabi s.a.w. Oleh itu sebarang dakwaan samada seseorang itu boleh digelar sebagai perderhaka atau pun pejuang sebaiknya dilihat dari sudut agama yang benar bukannya nafsu yang tersasar. Kita tidak mahu masyarakat/rakyat terus dimomokkan dengan laungan penderhaka akibat penafsiran terhadap perundangan manusia yang lemah dan samar-samar sehingga lupa kepada penderhakaan terhadap Allah yang jauh lebih bahaya kepada keamanan negara. Islam mengajar kita tentang keadilan perundangan tanpa mengira harta dan takhta sehingga Rasulullah s.a.w sendiri dengan tegas menyatakan sekiranya anak perempuan kesayangannya mencuri sekali pun maka hukuman potong tangan tetap dilaksanakan.

Begitu juga ketegasan Sayyidina Abu Bakar yang meminta supaya rakyat jelata bangun menegur kesilapannya dalam memimpin negara. Malah Sayyidina Umar berasa gembira apabila ada di kalangan rakyatnya yang bangun menyatakan bahawa dia akan menegur khalifah dengan mata pedangnya jika beliau bersalah. Malah Sayyidina Ali berlapang dada bila mahkamah memutuskan bahawa baju besi yang asal miliknya bertukar menjadi milik yahudi setelah beliau gagal membawa bukti kukuh dalam mendakwa yahudi tersebut sebagai pencuri. Ini semua jelas menunjukkan bagaimana dalam usaha melahirkan pemimpin yang adil dan rakyat yang baik maka Islam mengajar kita supaya tidak mentaati perkara yang derhaka kepada Allah sebaliknya kita perlu bangun di dalam memperbetulkan kesilapan yang berlaku atas nama nasihat dan teguran membina.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 79 surah Ali ‘Imran :

Maksudnya : Tidak sepatutnya seseorang yang Allah anugerahkan kepadanya Kitab, hikmah dan sifat kenabian lalu dia menyeru kepada manusia : “ Kamu hendaklah menjadi penyembahku bukan penyembah Allah”. Sebaliknya dia mesti menyeru : “ Kamu hendaklah menjadi ulama’ rabbani yang benar-benar faham agama serta mengamalkan apa yang kamu sentiasa ajarkan tentang isi Kitab dan dengan apa yang kamu sentiasa mempelajarinya”.

Muslimin Yang Berbahagia,

Rosaknya rakyat kerana rosaknya pemimpin dan rosaknya pemimpin kerana rosaknya ulama’. Penderhakaan terhadap Allah yang berlaku dalam masyarakat biasanya bermula daripada 2 golongan utama iaitu pemimpin dan ulama’ samada disebabkan pemimpin yang tidak mendengar malah menghalang ulama’ daripada menegurnya atau pun golongan agama sendiri tidak berani menegur pemimpin kerana turut terpalit dengan cinta dunia sebagaimana teguran seorang ulama’ sufi Sufian as-Thauri, katanya: Orang alim itu merupakan doktor agama dan wang itu merupakan penyakit agama. Apabila doktor sendiri dijangkiti penyakit maka bilakah dia mampu merawat orang lain?.

Keberanian ulama’ dalam menegur pemimpin mampu menyelamatlkan pemimpin dan rakyat daripada kerosakan. Kita pernah mendengar kisah bagaimana keberanian Imam Abu Hanifah, Imam Syafie, Imam Nawawi, dan Imam Ahmad Hanbal, yang sanggup digari dan dipenjara kerana bangun menegur pemimpin. Ini keranan mereka berpegang atas dasar dan prinsip agama iaitu yang salah tetap salah, dosa tetap dosa, haram tetap haram, larangan tetap larangan samada perkara itu dilakukan oleh pemimpin atau ulamak atau rakyat. Akhirnya pengorbanan besar mereka mampu menyelamatkan rakyat jelata daripada menjadi manusia yang derhaka kepada Allah.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah ,

Kita dapat lihat dalam agama lain terutama yahudi turut mengambil kira pandangan paderi mereka termasuk apa yang berlaku dalam serangan di Gaza yang mengharuskan pembunuhan syahid terhadap orang tua, wanita, kanak-kanak dengan alasan golongan lemah ini tidak melarang pejuang Islam daripada menyerang Israel di mana Pendeta Sholomo Elyaho menggariskan: “Jika yahudi membunuh 100 daripada umat Islam tetapi mereka enggan menghentikan serangan roket, yahudi perlu membunuh 1,000; dan jika membunuh 1,000 pun pejuang Islam masih tidak berhenti, yahudi perlu membunuh 10,000 dan terus membunuh walaupun sudah mencecah sejuta orang tanpa mengira masa yang diambil untuk membunuh umat Islam.”

Walaupun Yahudi ini jahat dan kejam namun mereka masih meminta pandangan paderi mereka untuk berfatwa bagi menghalalkan keganasan, kezaliman dan pembunuhan. Adakah pemimpin kita hari ini meminta pandangan para alim ulama dalam melakukan sesuatu tindakan sama ada menepati syariat al_quran dan sunnah ataupun menyalahi al-quran dan sunnah. Begitu juga, dimanakah peranan ulamak hari ini apabila melihat kemungkaran yang dilakukan oleh pemimpin dan golongan yang memerintah? Adakah ulama dan orang2 alim di Malaysia hanya berperanan seperti paderi Yahudi iaitu menjadi pengampu dan pembodek walaupun jelas fatwa itu bertentangan dengan syarak demi menghalalkan perkara yang haram dan mengharamkan perkara yang halal.

Malah keganasan yahudi turut dibantu oleh pengkhianatan pemimpin negara arab sendiri seperti Mesir yang sanggup menutup sempadan daripada dimasuki bekalan makanan dan ubatan kepada saudara seagama di Gaza sedangkan dalam masa yang sama lebih rela menghantar berlori-lori makanan untuk askar Israel yang sedang membunuh umat Islam. Rakyat Palestin yang mendapat rawatan di hospital Mesir turut diugut agar tidak lagi membantu HAMAS jika mahu kepada rawatan. Malah adanya ketua tentera negara arab yang menghubungi pihak yahudi Israel supaya menghancur terus pejuang Islam di Gaza.

Inilah bahayanya bila amanah kepimpinan diserahkan kepada golongan yang bukan ahlinya sehingga mereka sanggup bersekongkol dengan musuh dalam meratah dan membaham saudara seagama. Jahatnya pemimpin kerana jahatnya majoriti rakyat yang memilihnya. Pemimpin yang akan menggantikan pemimpin zalim biasanya jauh lebih zalim sekiranya dipilih tidak berlandaskan ajaran Islam yang berteraskan al-Quran dan Sunnah s.a.w.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Sudah menjadi sunnah perjuangan dalam meninggikan kalimah Allah di muka bumi ini iaitu terpaksa berdepan dengan pelbagai halangan dan cabaran. Sejarah membuktikan bagaimana gerakan Islam tidak pernah mencabul demokrasi sebaliknya golongan sekular sentiasa menjadi pengkhianat kepada demokrasi demi memenuhi nafsu serakah yang tidak boleh menerima kekalahan seperti penafian terhadap kemenangan FIS di Algeria dan Refah di Turki sehingga pemimpin Islam yang menang dipenjara manakala parti sekular yang kalah menjadi pemerintah. Begitu juga di Palestin apabila kemenangan HAMAS dicabuli sehingga wujudnya 2 Perdana Menteri yang diikuti dengan serangan kejam terhadap pemimpin dan rakyat yang menyokong gerakan Islam.

Sebab itu tidak pelik bila berlakunya pengkhianatan terhadap demokrasi, terhadap keadilan, terhadap undang2, terhadap amanah yang telah dipertanggungjawabkan di negara kita dengan penafsiran undang-undang berdasarkan kepentingan diri bagi menghalalkan tindakan yang tidak bertamadun. Yakinlah kita bahawa tiada janji kemenangan mudah untuk pejuang Islam dalam menegakkan kalimah, syariat, sistem dan manhaj Allah di muka bumi ini sebaliknya kita wajib meredah segala kesusahan dan penentangan. Tiada janji pangkat dan kemewahan sebaliknya janji kemenangan ataupun gugur syahid yang membahagiakan. Tiada kuasa yang lebih kuat selain kuasa Allah, Tiada kerajaan yang kekal melainkan kerajaan Allah, Tiada janji yang lebih benar melainkan janji kemenangan daripada Allah. Carilah kemuliaan dengan Islam. Jangan pilih jalan jahiliah, jalan thoghut, jalan sekular yang penuh kehinaan dan kemurkaan di dunia dan diakhirat.

Firman Allah dalam ayat 8 surah as-Soff :

Maksudnya : Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

DISEDIAKAN DAN DISAMPAIKAN OLEH IBNU MUSLIM