Sahabat Ilmu

Sabtu, 23 April 2011

Ummu Salamah : Wanita Tabah Yang Diangkat Darjatnya

Dicelah-celah kita mengkaji sirah tentang kehebatan kehidupan insan agung bernama Muhammad bin Abdulllah, Rasul utusan Allah kepada kita , kesetiaan Abu Bakar As-siddiq, ketegasan Umar Al-Khatab dan kisah Saidina Ali yang bersemangat, terselit kisah-kisah wanita hebat dizaman Rasulullah s.a.w. Mungkin kisah-kisah sahabiah ini jarang kita dengar, namun disebalik kisah sahabiah ini terselit seribu satu pengajaran untuk menjadi contoh ikutan buat kita yang mendamba syurga dan redha Allah.

Kali ini saya memilih kisah Ummu Salamah r.a, mari kita membaca dan menghayati kisah hidup wanita mulia ini. Wanita yang kesabaran dan ketabahannya membuahkan balasan yang agung.

Imam Adz-Dzahabi menjelaskan identiti Ummu Salamah;

“ Ummu Salamah adalah wanita terhormat, berhijab dan suci. Namanya Hindun binti Abu Umayyah bin Mughirah bin Abdullah bin Umar bin Makhzum bin Yaqzhah bin Murrah Al-Makhzumiyah. Ummu Salamah merupakan sepupu kepada Khalid bin Walid yang digelar Pedang Allah dan Abu Jahal bin Hisyam. Dia termasuk wanita yang pertama kali berhijrah. Sebelum menjadi isteri Nabi Muhammad s.a.w, Ummu Salamah menikah dengan Abu Salamah bin Abdul Asad Aal-Makhzumi, seorang lelaki yang soleh.”

Mari kita melirik sejenak kehidupan Ummu Salamah sebelum kedatangan islam. Ummu Salamah adalah seorang wanita yang sangat terhormat dan mulia, berasal dari keluarga yang terhormat kerana beliau berasal dari bani Makhzum. Ayahnya juga adalah seorang tokoh Quraisy yang dermawan dan pemurah dan selalu memberi bekal kepada musafir yang kehabisan bekal. Dibesarkan dalam lingkungan keluarga yang dermawan membuatkan Ummu Salamah menjadi seorang yang dermawan, mempunyai hati yang bersih serta sangat menghayati erti belas kasihan sehingga memancarlah kebaikan dan kemurahan hatinya kepada manusia.

Sejak kecil lagi Ummu Salamah sudah menampakkan keperibadian yang kuat untuk menjadi wanita terhormat. Beliau juga memiliki rupa paras yang cantik jelita. Setelah meningkat dewasa, Ummu Salamah dipinang oleh Abdullah(Abu Salamah) bin Abdul Asad bin Hilal bin Abdullah bin Umar bin Makhzum. Abu Salamah merupakan seorang pemuda Quraisy yang terkenal dengan kesatriaan beliau menunggang kuda, beliau juga saudara sesusu Nabi Muhammad s.a.w. Pernikahan Hindun (Ummu Salamah) dan Abu Salamah dilangsungkan dan mereka hidup bahagia. Setelah Islam tersebar ke Mekah, Ummu Salamah dan suaminya termasuk antara yang segera beriman kepada Allah s.w.t.

Ketika hendak berhijrah ke Madinah, Ummu Salamah dan suaminya mengalami peristiwa yang amat memilukan. Ketika Abu Salamah, Ummu Salamah dan putera mereka, Salamah bin Abu Salamah sedang bersiap sedia mahu ke Madinah, berlaku pergaduhan antara keluarga bani Asad dan Bani Mughirah. Keluarga bani Mughirah (keluarga Ummu Salamah) tidak membenarkan Abu Salamah membawa Ummu Salamah pergi ke Madinah manakala bani Asad ( keluarga Abu Salamah) pula tidak membenarkan anak mereka ( Salamah) bersama Ummu Salamah. Setelah itu keluarga bani Mughirah dan bani Asad merebut putera mereka dan keluarga bani Asad berjaya mendapatkan putera Ummu Salamah. Ummu Salamah dibawa pulang oleh keluarganya ( bani Mughirah), anaknya dibawa oleh keluarga suaminya (bani Asad) manakala suaminya, Abu Salamah meneruskan perhijrahan ke Madinah. Maka Ummu Salamah terpisah dengan anak dan suaminya. Namun begitu Ummu Salamah diberi kesabaran yang tinggi untuk terus sabar melalui ujian itu.

Sejak terpisah dengan suami dan anaknya, setiap pagi Ummu Salamah akan pergi ke tanah lapang dan duduk sambil menangis. Hal itu dilakukan selama setahun sehingga pada suatu hari seorang sepupunya dari bani Mughirah melihatnya dan berkata kepada keluarga bani Mughirah yang lainya;

“ Tidakkan kalian merasa simpati terhadap wanita malang itu? Kalian telah memisahkannya dari suami dan anaknya.”

Tidak lama selepas itu keluarga bani Mughirah membenarkan Ummu Salamah pergi mencari suaminya di Madinah. Keluarga bani Asad juga mengembalikan puteranya, Salamah kepada Ummu Salamah. Lalu Ummu Salamah mengeluarkan untanya dan membawa bersama puteranya keluar mencari suaminya. Beliau memulakan perjalanan sendirian bertemankan puteranya yang masih kecil, namun pergantungannya kepada Allah sentiasa melebihi segala-galanya.Di dalam perjalanan, beliau bertemu dengan Utsman bin Thalhah dan Utsman membantu perjalanannya sehingga beliau bertemu dengan suami tercinta, Abu Salamah. Setelah bertemu dengan suaminya di Madinah, Ummu Salamah hidup bahagia dan dapat beribadah dengan tenang dan bertaqwa serta menggali setiap bentuk kebaikan daripada Rasulullah s.a.w. Ummu Salamah berusaha keras mendidik empat anaknya ( Zainab, Umar, Salamah dan Durrah) dengan menanamkan kecintaan kepada Allah dan Rasulullah.

Ummu Salamah sangat menyokong suaminya untuk berjuang di medan jihad. Beliau setia menyembuhkan luka-luka pada badan suaminya seusai peperangan,sehinggalah suaminya mengalami kecederaan teruk ketika perang Uhud. Ketika terbaring menanti detik kematian, terjadilah perbualan yang sangat mengharukan antara Abu Salamah dan Ummu Salamah. Ziyad bin Abu Maryam menuturkan, saat itu Ummu Salamah berkata,

“Aku mendengar bahawa jika seorang isteri ditinggal mati oleh suaminya, sementara suaminya itu menjadi penghuni syurga, lalu isterinya tidak menikah lagi, maka Allah akan mengumpulkan mereka kembali di dalam syurga. Kerana itu aku bersumpah bahawa engkau tidak akan menikah lagi (seandainya aku yang mati terlebih dahulu) dan aku tidak akan menikah lagi setelah engkau mati.”

Abu Salamah berkata, “Adakah engkau mahu taat kepadaku?”

Ummu Salamah menjawab, “ya.”

Abu Salamah berkata, “ Jika aku mati terlebih dahulu maka menikahlah lagi. Ya Allah, jika aku mati maka berilah Ummu Salamah seorang suami yang lebih baik dariku yang tidak akan membuatnya sedih dan tidak akan menyakitinya.”

Tidak lama selepas itu, Abu Salamah meninggal dunia. Allah memakbulkan doa Abu Salamah apabila setelah kematian Abu Salamah, Allah mendatangkan insan paling mulia kepada Ummu Salamah. Setelah kematian suaminya, Rasulullah s.a.w telah datang meminang Ummu Salamah. Ummu Salamah berkahwin dengan Rasulullah s..a.w dan termasuk dalam keluarga yang mulia dan suci. Betapa Allah mengagungkan Ummu Salamah, keagungan yang tiada tolak bandingnya dengan dunia dan seluruh isi dunia. Ummu Salamah menjalani kehidupan yang sangat bahagia dan barakah bersama Rasulullah s.a.w. Ummu Salamah menjadi seorang isteri yang sangat baik kepada Rasulullah s.a.w. Beliau banyak membantu dakwah Rasulullah s.a.w kerana beliau memiliki pemikiran yang bernas. Diceritakan dalam satu kisah ketika perjanjian Hudaibiyah, setelah selesai menandatangani perjanjian damai dengan kaum musyrik, Rasulullah s.a.w berkata kepada para sahabatnya,

“ Bersiap-siaplah, sembelihlah haiwan-haiwan korban kalian dan cukurlah rambut kalian.”

Namun, saat itu tidak ada seorang pun sahabat yang berdiri dan melaksanakan perintah baginda walaupun perintah itu diulang sebanyak tiga kali oleh Rasulullah s.a.w. Melihat tidak ada tindakan dari pihak sahabatnya, Rasulullah lantas masuk ke khemah dan menemui Ummu Salamah, menceritakan kejadian tersebut. Disinilah Ummu Salamah memainkan peranannya dengan baik sekali. Wanita yang punya pemikiran yang hebat ini menyelamatkan para sahabat dari derhaka kepada Rasulullah s.a.w. Ummu Salamah berkata;

“ Wahai Nabi Allah, apakah engkau ingin sahabat-sahabatmu mengerjakan perintahmu? Keluarlah dan jangan berbicara dengan siapa pun sebelum engkau menyembelih haiwan korbanmu, memanggil pencukur untuk mencukur rambutmu.”

Rasulullah s.a.w mengikut saranan Ummu Salamah. Baginda keluar tanpa berbicara dengan siapa pun lalu menyembelih haiwan korbannya serta mencukur rambutnya. Ketika para sahabat melihat tindakan baginda, para sahabat lantas bangkit dan menyembelih haiwan korban mereka serta mencukur rambut mereka.

Ummu Salamah juga sangat menyayangi orang-orang yang ada disekelilingnya. Beliau akan sentiasa bahagia jika dapat memberi khabar gembira kepada orang sekelilingnya. Beliau juga yang menyampaikan khabar kepada Abu Lubabah bahawa Allah telah menerima taubatnya. Ummu Salamah juga pernah memujuk Rasulullah untuk memaafkan Abu Sufyan bin Harits dan Abdullah bin Abu Umayyah. Ketika mereka berdua ingin menemui Rasulullah s.a.w di Abwa’, mereka berusaha mengadap baginda namun ketika melihat kedatangan mereka, Rasulullah lantas memalingkan muka kerana tidak dapat menerima perlakuan mereka selama ini yang sangat menyakitkan baginda. Namun Ummu Salamah bertindak memujuk Rasulullah dengan berkata;

“ Wahai Rasulullah, bagaimanapun mereka bukanlah orang yang paling menyakitimu selama ini.”

Imam Adz-Dzahabi menyebut sifat Ummu Salamah;

“ Dia dianggap salah seorang ulama generasi sahabat.”

Bagaimana Ummu Salamah tidak mencapai darjat setinggi itu, setiap saat beliau mendengar langsung bacaan al-quran daripada Rasulullah dan mendengar kata-kata Nabi s.a.w dari lisan baginda. Ummu Salamah juga menjadi rujukan para sahabat dalam beberapa persoalan hukum dan fatwa, terutama persoalan yang berkaitan dengan wanita. Ummu Salamah juga meriwayat 378 hadis yang dihafalnya dengan baik.

Ummu Salamah meninggal dunia ketika usianya sekitar 90 tahun dan sempat berada dalam dalam pemerintahan Khulafah ar-Rasyidin hingga pemerintahan Yazid bin Mu’awiyyah. Imam Adz-Dzahabi berkata;

“ Dia adalah Ummul Mukminin yang paling akhir meninggal dunia.”

Demikianlah diceritakan kisah hidup wanita agung, Hindun atau dikenali sebagai Ummu Salamah. Betapa kemuliaan akhlaknya, kesucian hatinya dan ketabahannya menjalani ujian kehidupan menjadikan beliau insan yang diagungkan darjatnya oleh Allah s.w.t. sehingga diberi tempat oleh Allah s.w.t. menjalani kehidupan yang barakah bersama insan semulia Rasulullah s.a.w. Betapa kematangan pemikiran beliau menyumbang kepada kejayaan dakwah Rasulullah s.a.w.Semoga ketabahan hatinya, kesetiaannya kepada insan tersayang, kesuciaan hatinya, kesungguhannya mendidik sifat taqwa dalam diri, kesungguhannya menanamkan rasa cinta anak-anaknya kepada Allah dan Rasullah menjadi teladan buat kita yang sentiasa mendamba redha Ilahi. Semoga Allah meredhai Ummu Salamah dan menjadikan syurga firdaus sebagai tempat persinggahan terakhir buat beliau.

Tiada ulasan: