Sahabat Ilmu

Khamis, 28 April 2011

Zakat KWSP

Apa dalil kewajipan zakat KWSP?

KWSP dikenakan zakat kerana konsepnya sama seperti wang simpanan, cuma perbezaannya simpanan di KWSP tidak boleh dikeluarkan secara mudah seperti akaun simpanan biasa. Tidak ada dalil yang mengecualikan kewajipan zakat KWSP sekalipun ia untuk simpanan hari tua. Oleh itu dalil wajib zakat KWSP adalah dalil wajib zakat simpanan secara amnya.

Saidina Ali r.a. telah meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad S.A.W telah bersabda yang bermaksud:

“Apabila kamu mempunyai 200 dirham dan telah cukup haul (genap setahun) diwajibkan zakatnya 5 dirham. dan tidak diwajibkan mengelurkan zakat (emas) kecuali kamu mempunyai 20 dinar (salah satu matawang zaman dahulu yang digunakan di negara Arab). Apabila kamu mempunyai 20 dinar dan telah cukup haulnya, diwajibkan zakatnya setengah dinar. Demikian juga kadarnya jika nilainya bertambah dan tidak diwajibkan zakat bagi sesuatu harta kecuali genap setahun.”
(Riwayat Abu Daud)

Saya telah mengeluarkan KWSP sebanyak RM 7 ribu. 3 tahun berikutnya dikeluarkan lagi RM 15 ribu. Berapakah jumlah zakat KWSP yang perlu dikeluarkan?

Kedua-duanya wajib zakat pada masa ia dikeluarkan dengan kadar 2.5% sekiranya mencukupi nisab semasa pada setiap keluaran. RM 7,000 x 2.5% = RM 175 dan RM 15,000 x 2.5% = RM 375. Jumlah zakat ialah RM 550.

Adakah dikenakan zakat KWSP jika wang dikeluarkan secara bulanan untuk membayar rumah?

Zakat diwajibkan sekiranya jumlah pengeluaran keseluruhan mencukupi nisab.

Adakah dikenakan zakat KWSP jika wang dikeluarkan digunakan untuk pembelian saham seperti skim enuiti, unit trust dan sebagainya?
Wang dikeluarkan wajib zakat jika memenuhi syarat.

Dividen yang ada dalam KWSP perlu dikenakan zakat atau tidak?
Dividen KWSP diwajibkan zakat.

Adakah perlu menunggu tempoh setahun untuk membayar zakat KWSP?

Tidak perlu menunggu setahun.

Jika wang KWSP dikeluarkan untuk persaraan, bagaimana cara untuk membayar zakat?

Zakat boleh terus dibayar tanpa perlu menunggu tempoh setahun.

Sekiranya saya mengeluarkan sebahagian wang KWSP, adakah baki yang tinggal dalam akaun KWSP perlu dizakatkan?
Zakat hanya dikenakan ke atas bahagian wang yang dikeluarkan setelah cukup nisab tetapi baki di dalam akaun KWSP tidak wajib dikenakan zakat pada masa itu.

Mengapakah wang caruman KWSP yang disimpan tidak wajib zakat?

Wang caruman KWSP yang disimpan tidak wajib dizakat kerana belum sempurna milik dan si pencarum tidak dapat menggunakan wang tersebut.

Adakah seseorang itu wajib membayar zakatnya sedangkan orang itu menanggung hutang sejumlah yang hampir sama dengan nilai wang KWSP yang diperolehinya?
Diwajibkan membayar zakat wang KWSP yang diperolehi terlebih dahulu, sebelum membayar hutang kerana wang tersebut telah cukup nisabnya.

Merujuk kepada keputusan fatwa bagi KWSP, apakah yang dimaksudkan dengan ayat “digalakkan mengeluarkan zakat sejurus menerima atau mengeluarkan wang KWSP tersebut jika cukup nisabnya tanpa menunggu haul setahun”. Adakah ia bermaksud pembayar mempunyai pilihan sama ada hendak membayar zakat ataupun tidak?
Merujuk kepada fatwa terbaru, digalakkan bermaksud wajib dibayar secara serta merta

Adakah zakat yang dikeluarkan daripada KWSP dibayar menggunakan wang KWSP atau sumber wang lain?

Zakat tersebut boleh dibayar menggunakan daripada mana-mana sumber wang yang halal

http://www.e-zakat.com.my/soalan-lazim/

Tiada ulasan: