Sahabat Ilmu

Jumaat, 27 Ogos 2010

Bani Israil dakwa golongan mereka sahaja betul

Ditulis oleh Presiden PAS
Isnin, 19 Julai 2010 15:16

RAFI’ bin Huraimilah tidak beriman dengan Nabi Isa a.s. dan Injil. Dia mengaku hanya Nabi Musa sahaja yang benar, sedangkan orang-orang Kristian tidak benar. Berkata pula rombongan daripada Najran; “Golongan kamilah yang benar, manakala golongan kamu tidak benar dan telah ingkar kenabian Nabi Musa sahaja serta kitab Taurat.”

Lalu Allah SWT menurunkan firman- Nya yang disebut terdahulu yang menjelaskan orang-orang Yahudi mengatakan bahawa orang-orang Nasrani tidak ada apa-apa pegangan yang sebenar pada hal mereka itu semuanya membaca kitab. Mengapa mereka tidak membuka kitab Taurat yang dibawa oleh Nabi Musa a.s.? Kalaulah mereka itu buka kitab Injil nescaya terbuktilah siapa yang salah. Tetapi mereka tidak berani membuka kitab kerana apabila mereka melakukannya, maka akan terbukti kesalahan mereka.

Allah berfirman maksudnya: “Begitulah juga orang-orang yang tidak mengerti bercakap seumpama percakapan mereka itu.” (Al-Baqarah ayat 113) Ini termasuk manusia pada zaman sekarang yang degil dengan kebenaran, tidak bersedia membuka al-Quran dan hadis Nabi Muhammad s.a.w untuk menjadi bahan rujukan. Golongan ini termasuklah di dalam keterangan firman Allah SWT di mana Allah mengatakan begitulah juga (Allah SWT sebut tanpa berselindung lagi), berkata orang-orang yang tidak mengerti seumpama kata orang Yahudi dan Nasrani.

Masing-masing mendakwa diri masing-masing betul dan mereka tidak bersedia untuk balik kepada kitab Allah. Memang Allah SWT bersifat dengan Maha Mengetahui dan sememangnya manusia yang jenis seperti itu keras hati, tidak bersedia untuk menerima kebenaran dan petunjuk daripada Allah SWT.

Jawapannya ialah firman Allah yang bermaksud: “Maka Allahlah yang menghukum di kalangan mereka pada hari kiamat.” (Al-Baqarah ayat 113)

Jika semua mahu berdegil, maka tunggulah kiamat dan kita semuanya akan mati tidak kira apa jenis fahaman kita, sama ada yang berpihak kepeda kebenaran atau kebatilan. Sekiranya semua berdegil maka tunggulah Allah menjadi hakim pada hari kiamat dan sesungguhnya keputusan Allah adalah keputusan yang muktamad pada apa-apa yang mereka perselisihkan. (Ayat 113 surah al-Baqarah)

Mereka itu akan kembali kepada Allah dan Dia sahaja yang akan memberi keputusannya. Inilah apa yang berlaku di
atas dunia hari ini. Orang Komunis berkata fahaman komunis sahaja yang betul, orang yang pakar undang-undang manusia mengatakan undang-undang manusia betul dan mereka pula berbalah sesama sendiri.

Kita yang mahu kepada Islam pula mengatakan bahawa Islam sahajalah yang betul manakala mereka pula mengatakan Islam tidak betul. Ada pula yang membahagikan Islam kepada berbagaibagai jenis dan bentuk rupa.

Pertelingkahan golongan hak dan batil

Ada yang mengatakan bahawa kalau kita mahu kepada Islam, kita mestilah Islam semua sekali termasuk sembahyang, puasa zakat, haji dan semua urusan hidup dalam erti kata mesti mengikut hukumhukum yang ditetapkan oleh Allah di dalam al-Quran.

Ada pula yang mengatakan bahawa kita laksanakanlah sekadar Islam yang kita mahu melaksanakannya, manakala hukum atau peraturan yang kita rasa tidak mahu melaksanakannya, tidak mengapa ditinggalkan. Ada yang mengatakan inilah yang betulnya. Inilah bentuk pertelingkahan yang berlaku di kalangan Yahudi dan Nasrani dan inilah juga pertelingkahan yang berlaku di kalangan orang yang tidak mengerti dan tidak tahu akan agama Allah, maka semua mereka akan ditemukan oleh Allah pada hari kiamat.

Semua mereka akan dibicarakan di hadapan Allah pada hari kiamat dan sesungguhnya keputusan Allah adalah keputusan yang Maha Adil dan Maha Bijaksana. Kalau semua berkata merekalah yang betul, Abu Jahal dan Abu Lahab pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. juga mengakui bahawa mereka di atas jalan yang hak walaupun mereka menegakkan benang basah.

Walaupun apa yang mereka tegakkan itu suatu yang batil, mereka tetap mengatakan ia adalah benar. Sekiranya manusia mahu berkata seperti itu maka tunggulah hari kiamat. Hari kiamat itu pasti berlaku. Sekiranya manusia ini percaya kepada hari kiamat, dia akan gerun. Apabila manusia itu gerun dia akan kembali kepada kitab Allah, kepada hukum Allah.

Dia tidak mahu berdegil kalau dia bersalah, maka dia akan kembali ke jalan yang sebenar. Kalau dia betul maka dia akan bersyukur kepada Allah SWT, kalau seseorang itu tidak berapa percaya kepada hari kiamat, maka beratlah hukuman ke atasnya di akhirat kelak. Ataupun hari kiamat dia percaya juga tetapi hari kiamat itu dia pandang ringan sahaja sebab hari kiamat tidak dapat dilihat dengan mata kepalanya pada hari tersebut. Dengan keadaan seperti itu, maka ramailah orang yang berdegil dan tidak bersedia untuk kembali kepada yang hak.

Tunggulah, masing-masing akan menerima akibatnya pada hari kiamat. Yang benar, akan menerima balasan kebenarannya dan yang tidak benar akan menerima akibat kebatilannya pada hari itu.

Firman Allah SWT dalam ayat 114 dan 115 surah al-Baqarah yang bermaksud: “Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang menyekat dan menghalangi daripada menggunakan masjid-masjid Allah untuk (sembahyang dan) menyebut nama Allah di dalamnya, dan ia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu? Orang-orang yang demikian, tidak sepatunya masuk ke dalam masjid-masjid itu melainkan dengan rasa penuh hormat dan takut kepada Allah (bukan secara yang mereka lakukan itu). Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar.(114) Dan Allah jualah yang memiliki timur dan barat, maka ke mana sahaja kamu arahkan diri (ke kiblat untuk mengadap Allah) maka di situlah arah yang diredai Allah; Sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi sentiasa mengetahui.” (115)

Dinukil daripada buku kuliah Tafsir ‘Usaha jahat Yahudi’ oleh Tuan Guru Abdul Hadi Awang, muka surat 25-30, terbitan Dewan Muslimat Sdn Bhd, 1999

Khamis, 26 Ogos 2010

Misteri nombor 6666

Sering terdengar sesetengah orang Melayu menyatakan bahawa jumlah ayat di dalam al-Qur'an adalah enam ribu, enam ratus, dan enam puluh enam (6,666). Angka itu manis disebut, senang diingat, dan sedap didengar.

Namun begitu, bukan semua yang sedap didengar dan senang diingat yang dikeluarkan daripada mulut yang manis itu benar. Haruslah diperiksa dahulu sebelum menerimanya bulat-bulat.
Apatah lagi kalau ia mengenai agama kerana syaitan juga boleh berbuat demikian - "syaitan-syaitan daripada manusia dan jin, yang mewahyukan ucapan palsu yang indah-indah kepada satu sama lain, untuk menipu" (6:112).

Untuk mengetahui sama ada jumlah 6,666 itu benar atau tidak adalah tidak susah. Cuma ambil sebuah calculator dan sebuah kitab al-Qur'an. Mula dari surah Fatihah yang diakhiri dengan nombor 7. Itu adalah jumlah ayat bagi surah tersebut. Kemudian pergi ke hujung surah 2 (al-Baqarah) dan bertemu pula dengan angka 286. Teruskanlah, surah demi surah, hingga ke hujung surah terakhir, iaitu surah yang ke-114. Campurkan kesemua angka itu, dan jumlah yang didapati adalah jumlah ayat-ayat al-Qur'an yang sebenar.

Pengiraan tersebut disenangkan di sini. Disediakan di bawah ini satu senarai yang mengandungi surah-surah (menurut nombornya sahaja), jumlah ayat-ayatnya, dan jumlah kesemua ayat di dalam surah-surah itu, atau jumlah kesemua ayat kitab al-Qur'an yang sebenar:

Surah:

1-5 ( 7 + 286 + 200 + 176 + 120 ) = 789 ayat

6-10 ( 165 + 206 + 75 + 129 + 109 ) = 684

11-15 ( 123 + 111 + 43 + 52 + 99 ) = 428

16-20 ( 128 + 111 + 110 + 98 + 135 ) = 582

21-25 ( 112 + 78 + 118 + 64 + 77 ) = 449

26-30 ( 227 + 93 + 88 + 69 + 60 ) = 537

31-35 ( 34 + 30 + 73 + 54 + 45 ) = 236

36-40 ( 83 + 182 + 88 + 75 + 85 ) = 513

41-45 ( 54 + 53 + 89 + 59 + 37 ) = 292

46-50 ( 35 + 38 + 29 + 18 + 45 ) = 165

51-55 ( 60 + 49 + 62 + 55 + 78 ) = 304

56-60 ( 96 + 29 + 22 + 24 + 13 ) = 184

61-65 ( 14 + 11 + 11 + 18 + 12 ) = 66

66-70 ( 12 + 30 + 52 + 52 + 44 ) = 190

71-75 ( 28 + 28 + 20 + 56 + 40 ) = 172

76-80 ( 31 + 50 + 40 + 46 + 42 ) = 209

81-85 ( 29 + 19 + 36 + 25 + 22 ) = 131

86-90 ( 17 + 19 + 26 + 30 + 20 ) = 112

91-95 ( 15 + 21 + 11 + 8 + 8 ) = 63

96-100 ( 19 + 5 + 8 + 8 + 11 ) = 51

101-105 ( 11 + 8 + 3 + 9 + 5 ) = 36

106-110 ( 4 + 7 + 3 + 6 + 3 ) = 23

111-114 ( 5 + 4 + 5 + 6 ) = 20

---------------------------------------------
Jumlah besar = 6,236 ayat
---------------------------------------------


Maka bilangan ayat di dalam al-Qur'an adalah 6,236, bukan 6,666.

Tiap-tiap surah, melainkan surah 9 (At-Taubah), bermula dengan "Bismillah." Akan tetapi hanya Bismillah yang pertama di dalam al-Qur'an, iaitu di surah 1 (Al-Fatihah), dikira sebagai satu ayat. Ini bermaksud ia diberi nombor, iaitu nombor 1. Bismillah di surah lain yang berjumlah 112 kesemuanya tidak dikira atau diberi nombor.

Andaikata bilangan 112 itu ditambah kepada jumlah besar 6,236 tadi, maka ia menjadi 6,348, yang bukan juga sebanyak 6,666 yang keramat itu.

Perbezaan bilangan ayat di antara dua jumlah tersebut (6,236 dan 6,348) dengan 6,666 adalah 430 dan 318 masing-masing. Perbezaannya besar. Di manakah pula tersimpannya ayat-ayat yang berlebihan itu?

Mungkin terdapat orang yang mempercayai ada unsur mistik pada nombor 6666 itu. Sekiranya begitu, maka mistik nombor 6666 itu adalah, tiada lain, tetapi hanya karut belaka. Kerana tiada ayat Allah daripada al-Qur'an yang tersembunyi. Tiada juga kebenaran pada kepercayaan iaitu hanya sesetengah orang sahaja yang mengetahui rahsianya.

Ayat-ayat Allah di dalam al-Qur'an adalah jelas dan nyata untuk dibaca dan dijadikan petunjuk bagi semua lapisan manusia di dunia. Mereka diturunkan Allah sebagai bukti yang jelas lagi nyata atas kebenaran yang sebenar. Terdapat banyak ayat di dalam al-Qur'an yang menyebut mengenainya. Antaranya adalah enam yang berikut:

1. "Dan Kami menurunkan kepada kamu ayat-ayat, bukti-bukti yang jelas, dan tiada yang tidak percaya kepadanya melainkan orang-orang yang fasiq (tidak mempedulikan perintah Tuhan)" (2:99).

2. "Demikianlah, Kami menurunkannya sebagai ayat-ayat, bukti-bukti yang jelas, dan Allah memberi petunjuk kepada siapa yang Dia mengkehendaki" (22:16).

3. "Dan apabila ayat-ayat Kami dibacakan kepada mereka, bukti-bukti yang jelas, mereka berkata, 'Tiadalah ini, melainkan seorang lelaki yang menghendaki untuk menghalangi kamu daripada apa yang bapa-bapa kamu sembah'; dan mereka berkata, 'Tiadalah ini, melainkan kedustaan yang diada-adakan'" (34:43).

4. "Bulan Ramadan yang padanya al-Qur'an diturunkan untuk menjadi satu petunjuk bagi manusia, dan sebagai bukti-bukti yang jelas daripada Petunjuk itu, dan Pembeza" (2:185).

5. "Inilah bukti yang nyata bagi manusia, dan satu petunjuk, dan satu pengasihan bagi kaum yang yakin" (45:20), dan,

6. "Bukti-bukti yang nyata telah datang kepada kamu daripada Pemelihara kamu. Sesiapa melihat, ia adalah untuk dirinya sendiri, dan sesiapa buta, ia adalah kepadanya sendiri; aku (Muhammad) bukanlah penjaga kamu" (6:104).
Firman Allah:

"Yang mendengar ucapan, dan mengikuti yang paling baik daripadanya, mereka itulah orang-orang yang Allah memberi petunjuk kepada mereka; mereka itu, merekalah orang-orang yang mempunyai minda" (39:18).

WALLAHUA'LAM

Rabu, 25 Ogos 2010

Doa Untuk Bukan Muslim

Doa Untuk Bukan Muslim: Bicara Harmoni Buat S.S Mufti Perak

Saya rasa amat wajar untuk saya mengulas sendiri tentang isu doa untuk bukan muslim yang ‘dikecohkan’ sekarang. Ini memandangkan ada media telah memainkan perbezaan antara pendapat saya dan yang dihormati S.S Tan Sri Harussani Zakaria, Mufti Perak mengenai isu ini. Tujuan tulisan ini agar salahfaham dapat dielakkan.

Apabila seorang tokoh UMNO yang agak veteran menghubungi saya dan menyatakan beliau tidak puas hati (ayat asalnya ‘malu’) dengan fatwa S.S Tuan Mufti Perak yang mengharamkan doa kesejahteraan untuk bukan muslim, saya jawab saya tidak pasti sebab saya sendiri belum membaca fatwa tersebut. SMS beliau kepada saya: “apakah saudara bersetuju dengan Mufti Perak bahawa hukumnya haram kita mendoakan kesejahteraan bukan Islam. Salahkah saya mendoakan kesejahteraan mak mertua saya yang bukan Islam? Atau mendoakan penyokong saya yang bukan Islam?”. Setelah mendapat sms itu saya cuba mencari kenyataan S.S Tuan Mufti dalam media, saya dapati demikian yang dilaporkan oleh beberapa media.

Sebagai husn al-zan (sangka baik) saya anggap mungkin laporan media kurang kemas, atau ada maksud di sebalik pandangan hukum yang dikeluarkan oleh S.S Tan Sri Harussani Zakaria itu. Ungkapan yang digunakan bahawa Islam mengharamkan doa kesejahteraan kepada orang bukan Islam itu mungkin mempunyai maksud lain di luar apa yang saya faham. Perkataan ‘sejahtera’ itu mungkin ada maksud tersendiri yang beliau ertikan. Cumanya, saya ingin mengulas kenyataan itu dari beberapa sudut. Pandangan saya dalam isu ini seperti berikut;

1. Setiap orang yang mempunyai pengetahuan agama hendaklah sentiasa adil dengan pandangannya. Tidak boleh berpihak untuk kepentingan pembangkang ataupun kerajaan. Saya tujukan nasihat ini kepada mereka yang daif seperti saya ini agar berusaha mendisiplinkan diri dalam pandangan ilmu. Adapun S.S Tan Sri Harussani, Mufti Perak sudah pasti seorang yang teguh –bukan lemah seperti saya- dan saya doakan agar keteguhan itu menjadi contoh insan yang berdisiplin dalam ilmu.

2. Pandangan agama yang membabitkan hal bukan muslim di negara kita khususnya, dan dunia moden amnya, jika salah ditangani boleh memberikan kesan negatif kepada kefahaman masyarakat mengenai Islam. Kita memberitahu dunia ‘Islam adalah agama yang rahmat’, pasti mereka akan ragu jika kita mengeluarkan pandangan sebaliknya. Di kala dunia menuduh Islam pengganas, tiada nilai toleransi dan seumpamanya, pandangan-pandangan golongan agamawan janganlah membantu menyuburkan tuduhan palsu itu.

3. Di Malaysia, secara praktiknya, ramai yang terbiasa memberi ucapan –terutama di media-media kerajaan- “assalamualaikum dan salam sejahtera kepada yang bukan beragama Islam”. Walaupun Nabi s.a.w –seperti riwayat al-Bukhari-dalam praktik baginda, jika ada bukan muslim bersama dengan muslim baginda hanya memberikan ‘assalamualaikum’ sahaja. Perkataan ‘assalamualaikum’ itu memang bermaksud ‘kesejahteraan ke atas kamu’. Namun, diulangi oleh amalan media kerajaan dan majlis-majlis kerajaan dengan ungkapan ‘salam sejahtera kepada yang bukan beragama Islam’. Tidakkah ‘salam sejahtera kepada bukan beragama Islam’ itu satu doa untuk mereka. Mengapa tidak difatwakan ia haram selama ini? Demikian salam ciptaan baru ‘salam 1 Malaysia’ juga bermaksud kesejahteraan untuk semua termasuk bukan muslim. Mengapa tidak diharamkan?. Saya sekali lagi berpesan kepada diri saya sendiri yang amat daif ini: janganlah bersifat terpilih dalam berfatwa.

4. Para ulama berbeza pendapat tentang hukum mendoakan rahmat dan keampunan kepada bukan muslim yang masih hidup. Mereka sepakat melarang doa tersebut kepada yang sudah mati dan menolak Islam secara jelas. Kesepakatan itu disebabkan ia disebut dalam al-Quran dalam Surah al-Taubah ayat 113. Adapun mendoakan untuk mendapat hidayah, adalah ijmak (sepakat tanpa kecuali) para ulama membolehkannya, bahkan menggalakkan.

5. Kata Abdullah bin Mas’ud:

“Aku seakan masih melihat Rasulullah s.a.w menceritakan tentang seorang dalam kalangan nabi a.s yang kaumnya memukulnya sehingga berdarah, sedangkan dia hanya menyapu darah di mukanya dan berdoa: “Ya Allah! Ampunkanlah kaumku kerana mereka itu tidak tahu”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini menunjukkan berdoa agar Allah memaafkan atau jangan menurunkan bala kepada golongan kafir yang jahil adalah harus. Dalam ertikata lain diberi peluang untuk mereka. Ini sebenarnya, mendoakan agar mereka selamat dari bala yang Allah bakal turunkan.

6. Dalam hadis yang sahih riwayat al-Nasai dan Abu Daud, sahabah Nabi s.a.w pernah menjampi untuk seorang gila yang bukan muslim dengan Surah al-Fatihah sehingga sembuh. Ketua kabilah lelaki itu memberikan kepada sahabah berkenaan 100 ekor kambing. Nabi s.a.w bersabda kepada sahabah tersebut: “Makanlah, selama ini orang memakan dari jampi yang batil, engkau memakan dari jampi yang sebenar”. Jampi adalah sebahagian dari doa kepada Allah. Hadis ini menunjukkan boleh mendoakan kesembuhan dan kesihatan kepada bukan muslim.

7. Bagi saya, doa kebaikan untuk bukan muslim seperti agar memerintah dengan adil atau mendapat kesejahteraan kesihatan, keamanan, harta dan seumpamanya adalah dibolehkan. Dada Islam amat luas dalam hal ini. Syaratnya, doa kesejahteraan itu bukan untuk orang bukan muslim yang bermusuh dengan Islam. Firman Allah: (maksudnya):

“Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”. (Surah al-Mumtahanah ayat 7-8).

8. Adapun berdoa agar diberikan kekuatan atau kekuasaan kepada mereka yang zalim adalah haram. Samada yang didoakan itu muslim atau bukan muslim. Firman Allah:

“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang melakukan kezaliman nanti api neraka akan menyentuh kamu, sedangkan kamu tidak ada sebarang penolong pun selain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan” (Surah Hud: 113).

9. Namun, saya akui bahawa permainan politik boleh berlaku dalam semua aliran kepartian. Doakan mungkin digunakan dengan tujuan baik, juga mungkin tujuan kempen politik. Sebab itu ‘Ali bin Abi Talib pernah menyebut kepada golongan Khawarij yang menggunakan slogan agama:

“Perkataan yang benar, tetapi bertujuan batil” (Al-Khatib al-Baghdadi, Tarikh Baghdad, 304/10, Beirut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah).

Saya tidak pasti doa dalam kes di Pulau Pinang tersebut dalam kategori mana.

10. Pun begitu, golongan agama tidak boleh membuat fatwa untuk keredhaan sesuatu pihak semata. Hukum yang bersifat merentasi masa dan tempat seperti kenyataan mengharamkan doa untuk kesejahteraan orang bukan muslim secara mutlak akan dipakai selamanya jika rakyat menerima sedemikian rupa tanpa penelitian atau pendetilan.

11. Dalam sebuah negara yang berbilang agama, adakah kesejahteraan dan keamanan akan tercapai jika salah satu masyarakatnya porak peranda. Jika masyarakat bukan Islam hidup dalam keadaan tidak aman dan bergolak sesama mereka, apakah negara akan aman? Jika seorang pemimpin muslim dibolehkan berusaha secara pentadbiran memulihkan keamanan dalam komuniti bukan muslim, apakah munasabah Islam mengharamkan pemimpin tersebut berdoa agar Allah memulihkan keamanan dan kesejahteraan dalam kalangan mereka?

12. Tambahan lain, perlu kita di Malaysia mendoakan agar bukan muslim menerima Islam ini. Orang cina khusus mereka rajin dan kaya. Jika mereka menerima Islam, agama ini menjadi teguh. Jika Nabi s.a.w pernah berdoa:

“Ya Allah! Engkau kuatkan Islam dengan salah seorang dari dua lelaki yang Engkau lebih sayang; Abu Jahl atau ‘Umar bin Al-Khattab”. (Riwayat al-Tarmizi dan al-Hakim, dinilai sahih oleh al-Zahabi).

Alangkah perlunya kita juga berdoa agar tokoh-tokoh yang hebat di negara ini menerima Islam.

Inilah pandangan ringkas saya. Saya percaya S.S Tan Sri Harussani Zakaria mempunyai tafsiran atau andaiannya yang tersendiri. Apapun, kita harapkan andaian dan tafsiran itu sentiasa memberikan nilai yang positif untuk Islam dan bebas dari belenggu kepentingan mana-mana pihak. Ini adalah pandangan saya.

Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

Utamakan yang lebih utama

Oh, fahamkah anda yang mana satu lebih afdhal?
"Mami dah solat tahajud setiap malam. Kenapa tak ada kesan pun dalam hidup, ya ustaz?", tanya seorang wanita ketika suatu ceramah yang saya dengari di corong televisyen.

"Mami solat fardhu tak?", tanya ustaz itu kembali.

"Tak", jawabnya.

Hurmm...ini lah barangkali realiti yang sedang berlangsung di depan mata kita. Para ustaz mahupun ustazah sibuk menekankan perkara sunat. Itu sunat, sunat ini. Lagi-lagilah menjelangnya bulan Ramadhan sekarang ini. Tiada salah menggalakkan ibadah-ibadah sunat, malah sangat dituntut seperti solat Tahajjud.

Namun, para pendengar akhirnya terlupa dengan keutamaan yang sebenarnya.

Tidak melakukan solat Tarawih di surau atau masjid dilihat sesuatu yang serong, ganjil dan pelik. Namun, pergi ke masjid untuk 'memerhati' imam atau jemaah yang handsome tidak mengapa, pulak dah?

Tidak berjamaah ketika Subuh, orait pulak?

Niat menyimpang jauh. Tidak kerana Allah lagi.

Bukankah ganjaran diberi berdasarkan apa yang diniatkan?

MENGAPA KETIKA RAMADHAN SAHAJA?

Solat Dhuha merupakan rutinlah agaknya ketika musim Ramadhan. Walaupun diwajibkan oleh sebahagian pihak sekolah,pejabat,organisasi swasta, namun, tarafnya masih sunat di sisi agama.

Solat Dhuha boleh dikerjakan berseorangan mahupun berjamaah, kedua-duanya harus.

Dan, menghairankan lagi, ramai pulak yang melakukan secara berjamaah ketika solat Dhuha. Malah, ada yang sanggup menunggu rakan-rakan lain untuk solat bersama-sama.
Kenapa saya hairan?

Hairan kerana ketika fardhu Zohor di luar bulan Ramadhan, masing-masing membentangkan sejadah di ceruk penjuru kanan, kiri. Tiada jamaah.

Alasannya, "Dah lambat ni, kelas tambahan /kerja dah nak mula!"

Kalau adapun, jamaahnya cuma dua atau tiga orang. Yang lain pulak dah nampak ada tok imam, tak pandai nak ikut jadi makmum!

Bukankah solat fardhu itu lebih afdhal berjamaah berbanding solat sunat?

[alahai orang sudah pening keutamaan nampaknya..]

Apabila yang harus diberatkan, maka yang wajib diabaikan!

http://www.sungaikalam.co.cc

Derhaka Kepada Ibubapa Celaka Padahnya

Jangan Biadap pada IbuBapa

Baru-baru ini kita digemparkan dengan kisah yang anak-anak derhaka yang sanggup membuangkan bapa mereka yang telah dimamah usia sehingga terpaksa merempat meminta belas ihsan orang lain. Dalam kes yang pertama seorang bapa yang baru sahaja menjalani pembedahan jantung ditinggalkan di sebuah perhentian bas kerana dikatakan kehadirannya tidak disukai oleh isteri anaknya lalu kewujudan beliau dirumah boleh menjejaskan keharmonian rumahtangga mereka. Dalam kes kedua pula seorang bapa yang sedang mengidap penyakit buah pinggang kronik dianggap sebagai beban bagi anak-anak kerana perlu menghantar bapa mereka ke pusat hemodialisis lalu ditinggalkan bapanya yang sedang sakit itu dipusat tersebut. Maka tercampaklah kedua-dua bapa yang suatu ketika dulu telah bertungkus-lumus membanting tulang untuk membesarkan anak-anak mereka di rumah orang-orang tua Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Apa yang lebih mendukacitakan sifat tidak berperikemanusiaan ini timbul dari kalangan mereka yang mengaku sebagai orang Islam sedangkan Islam telah mencela dengan keras perbuatan seumpama ini.

Nabi s.a.w. pernah bertanya kepada para sahabat sebanyak tiga kali: “Mahukah aku memberitahu kalian tentang dosa yang paling besar?” Maka mereka (para sahabat) pun menjawab: “Sudah tentu wahai Rasulullah.” Baginda menjelaskan: “Syirik kepada Allah, derhaka kepada ibubapa (perawi menerangkan bahawa baginda ketika itu duduk sambil bersandar, lalu menyambung) dan sumpah yang palsu.” – Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 2654

Lihatlah bagaimana dosa menderhaka kepada ibubapa ini diletakkan dalam satu kategori bersama dosa mensyirikkan Allah S.W.T. iaitu dosa yang paling keji di atas muka bumi ini. Di sisi lain Allah S.W.T. berfirman:

“Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukannya Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibubapa.” – al-Nisaa’ (4) : 36

Di dalam ayat ini setelah Allah memerintahkan hamba-Nya untuk mengtauhidkan-Nya dan mengerjakan ibadat kepada-Nya, Allah S.W.T turut menyuruh hamba-hamba-Nya agar menjaga kedua ibubapa mereka dengan baik. Dalam ertikata lain seseorang itu tidak dianggap memiliki kemantapan iman serta ibadatnya juga belum dianggap sempurna selagi dia tidak berbuat baik kepada orang tuanya.

Keredhaan Allah S.W.T terhadap hamba-Nya juga bergantung kepada bagaimana seseorang itu menjaga hal ehwal ibubapanya. Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa.” – Hadis riwayat al-Tirmidzi di dalam Sunannya, no: 1821.

Menerusi hadis ini dapat kita fahami bahawa hubungan seseorang insan itu dengan Allah S.W.T. akan terjejas sekiranya dia menderhaka kepada ibubapanya. Sikap kurang ajar seorang anak kepada ibubapa bakal mengundang kemurkaan Allah S.W.T. sehingga Allah tidak lagi meredhai anak tersebut.

Justeru Islam telah mengajar penganutnya agar sentiasa berusaha untuk menggembirakan ibubapa lebih-lebih lagi yang telah lanjut usianya dengan apa jua cara selagimana ia tidak bercanggah dengan syarak. Islam melarang seseorang itu sama sekali untuk bersikap kasar kepada ibubapanya. Firman-Nya:

“Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah melainkan kepada-Nya dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibubapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.” – al-Israa’ (17 : 23).

Menjaga ibubapa yang sudah tua memang bukan satu urusan yang mudah. Kebiasaanya tubuh yang telah dimamah usia menyebabkan pergerakan mereka terbatas bahkan adakalanya memerlukan bantuan daripada anak-anak. Jiwa mereka juga semakin sensitif, kuat terasa hati, bahkan agak cerewet dalam banyak perkara. Ada juga yang telah mula lemah daya ingatannya menyebabkan perbualan dengan mereka adakalanya boleh menyebabkan seseorang anak itu hilang sabar. Namun kesukaran dalam menjaga ibubapa ini tidak datang dengan sia-sia. Bagi mereka yang sabar dengan kerenah ibubapa mereka dan tetap menjaga mereka dengan baik dalam apa jua suasana maka mereka sebenar telah menempah tiket untuk ke syurga. Rasulullah s.a.w. pernah mencela bagi mereka yang memiliki ibubapa yang telah lanjut usia mereka namun masih tidak mampu untuk memasuki syurga. Baginda pernah bersabda:

“Sungguh hina, sungguh hina, sungguh hina!” Baginda ditanya: “Siapakah wahai Rasulullah (yang hina itu)?” Baginda menjawab: “Orang yang mendapati orang tuanya dalam keadaan tua, sama ada salah seorang atau kedua-duanya, kemudian dia tidak memasuki syurga.” – Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya, no: 2551

Kedudukan istimewa seorang ayah dan ibu itu semakin terserlah apabila Rasulullah s.a.w tidak membenarkan seseorang itu melaksanakan satu misi yang besar lagi penting dalam urusan dakwah sekiranya ia bakal mengundang kesedihan kepada ibubapanya atau tidak mendapat keizinan dari mereka. Ketika peristiwa hijrah terdapat seorang sahabat yang telah datang kepada baginda dengan memberi taat setia (bai’ah) untuk turut berhijrah namun perbuatannya ini telah menyebabkan kedua ibubapanya menangis. Maka rasulullah s.a.w. bersabda kepadanya:

“Kembalilah kepada mereka berdua dan jadikanlah mereka berdua ketawa (gembirakanlah mereka) sebagaimana kamu jadikan mereka menangis.” – Hadis riwayat Imam al-Nasaa’i di dalam Sunannya, no: 4093.

Di dalam peristiwa yang lain seorang lelaki dari Yaman telah berhijrah kepada Rasulullah s.a.w. untuk berjihad bersama baginda namun apabila baginda mendapati dia belum mendapat keizinan daripada kedua ibubapanya maka baginda bersabda:

“Kembalilah kepada mereka berdua dan mintalah izin daripada mereka berdua. Jika mereka mengizinkan kau maka berjihadlah akan tetapi (jika tidak) maka berbuat baiklah kepada mereka berdua.” – Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunannya. no : 2168.

Lihatlah bagaimana berbakti kepada ibubapa itu lebih utama berbanding dua perkara yang begitu penting dalam Islam iaitu peristiwa hijrah dan juga jihad.

Berhati-hatilah bagi anak-anak yang pernah melukakan hati kedua orang tua mereka. Janganlah tindakan mereka itu sehingga menyebabkan ibu mahupun bapa mereka mendoakan keburukan terhadap anak-anak mereka kerana doa mereka yang telah dizalimi dan doa ibubapa itu pasti makbul. Rasulullah pernah bersabda:

“Tiga jenis doa yang pasti akan dikabul tanpa diragui lagi, doa orang yang dizalimi, doa orang yang sedang dalam perjalanan (musafir) dan doa orang tua ke atas anaknya.” – Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi di dalam Sunannya, no: 1828.

Sikap biadap kepada ibubapa ini turut bertentangan dengan budaya orang Melayu yang terkenal dengan tatasusila yang tinggi serta lemah lembut. Entah mana silapnya sifat jelik menghina dan membuang bapa sehingga merempat di tepi jalan ini boleh wujud di tengah-tengah masyarakat Melayu yang beragama Islam. Penduduk sekeliling perlu menghukum mereka yang menzalimi orang tua mereka dengan memboikot mereka dalam urusan harian agar mereka tahu perbuatan mereka itu tidak diterima oleh masyarakat. Jangan kita berlembut dengan si penderhaka yang tidak tahu mengenang jasa orang tuanya itu. Sekiranya terhadap bapanya yang telah membesarkannya sanggup dizalimi, apakah yang menghindarkannya dari menzalimi jiran tetangga?

Secara realitinya setiap manusia sememangnya tidak boleh lari dari melakukan kesilapan namun hendaklah seseorang itu menebus apa jua kesilapannya dengan tidak meneruskan perbuatan tersebut serta bertaubat. Sabda Rasulullah s.a.w.:

“Setiap anak adam itu sering berbuat ksilapan dan sebaik-baik orang yang selalu berbuat kesilapan adalah orang-orang yang suka bertaubat.” – Hadis riwayat al-Tirmidzi di dalam Sunannya, no: 2423.

Sehubungan dengan itu bagi mereka yang telah menderhaka kepada orang tua mereka, hendaklah kembali ke pangkal jalan. Bertaubatlah dengan segera kerana Allah sentiasa menerima taubat hamba-hambanya-Nya walau sebesar mana dosa mereka selagi tidak melakukan perbuatan syirik. Segeralah memohon keampunan kepada ibubapa yang telah dizalimi itu dan jangan ulangi kesilapan yang lalu. Kembalikankan mereka kepangkuan keluarga, jagalah mereka dengan baik dan jangan biarkan mereka terus bersedih di rumah orang-orang tua seolah-olah mereka ini tiada zuriat yang bertanggung-jawab atas hal ehwal mereka.

Selasa, 24 Ogos 2010

Menjaga Hak Allah, Allah akan menjaga kamu


عَنْ أَبِي الْعَبَّاسِ عَبْدِ اللهِ بْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ الله عَنْهُمَا قَالَ: آُنْتُ خَلْفَ النَّبِيِّ صَلَّى الله عَلَيْ هِ
وَسَلَّمَ یَوْمًا فَقَالَ: (( یَا غُلاَم! إِنِّي أُعَلِّمُكَ آَلِمَاتٍ: اِحْفَظِ الله یَحْفَظْكَ، اِحْفَظِ الله تَجِدْهُ تُجَاهَكَ
إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلِ الله، وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِالله، وَاعْلَمْ أَنَّ الأُمَّةَ لَوِ اجْتَمَعَتْ عَلَى أَنْ یَنْفَعُوْ كَ
بِشَيْءٍ لَمْ یَنْفَعُوْكَ إِلاَّ بِشَيْءٍ قَدْ آَتَبَهُ الله لَكَ، وَإِنِ اجْتَمَعُوْا عَلَى أَنْ یَضُرُّوْكَ بِشَيْءٍ لَ مْ
یَضُرُّوْكَ إِلاَّ بِشَيْءٍ قَدْ آَتَبَهُ الله عَلَيْكَ، رُفِعَتِ الأَقْلاَمُ وَجَفَّتِ الصُّحُفُ )) رواه الترمذي وقال
حدیث حسن صحيح
وفي روایة غير الترمذي (( اِحْفَظِ الله تَجِدْهُ أَمَامَكَ، تَعَرَّفْ إِلَى اللهِ فِي
الرَّخَاءِ یَعْرِفْكَ فِي الشِّدَةِ، وَاعْلَمْ أَنَّ مَا أَخْطَأَكَ لَمْ یَكُنْ لِيُصِيْبَكَ، وَمَا أَصَابَكَ لَمْ یَكُ نْ
لِيُخْطِئَكَ، وَاعْلَمْ أَنَّ النَّصْرَ مَعَ الصَّبْرَ، وَأَنَّ الفَرَجَ مَعَ الْكَرْبِ، وَأَنَّ مَعَ العُسْرِ یُسْرًا))

Daripada Abu al-'Abbas, Abdullah ibn Abbas, r.a. رضي الله عنهما beliau berkata:

Aku pernah duduk di belakang Nabi SAW pada suatu hari, lalu Baginda bersabda kepadaku: Wahai anak! Sesungguhnya aku mahu ajarkan engkau beberapa kalimah: Peliharalah Allah nescaya Allah akan memeliharamu. Peliharalah Allah nescaya engkau akan dapati Dia di hadapanmu. Apabila engkau meminta, maka pintalah dari Allah. Apabila engkau meminta pertolongan, maka mintalah pertolongan dengan Allah. Ketahuilah bahawa kalau umat ini berkumpul untuk memberikan sesuatu manfaat kepadamu, mereka tidak akan mampu memberikanmu manfaat kecuali dengan suatu perkara yang memang Allah telah tentukan untukmu. Sekiranya mereka berkumpul untuk memudharatkan kamu dengan suatu mudharat, nescaya mereka tidak mampu memudharatkan kamu kecuali dengan suatu perkara yang memang Allah telah tentukannya untukmu. Pena-pena telah diangkatkan dan lembaran-lembaran telah kering (dakwatnya).
(Hadis riwayat al-lmam al-Tirmizi. Beliau berkata: la adalah Hadis Hasan Sohih).
Dalam riwayat selain al-Tirmizi, hadis berbunyi:

Peliharalah Allah, nescaya engkau akan dapatiNya di hadapan engkau. Kenalilah Allah ketika senang, nescaya Dia akan mengenalimu di ketika susah. Ketahuilah bahawa apa-apa yang (ditakdirkan) tidak menimpamu, ia tidak akan menimpamu. Dan apa-apa yang menimpamu bukannya ia tersilap menimpamu. Ketahuilah bahawa kemenangan itu ada bersama kesabaran, terlepas dari kesempitan itu ada bersama kesusahan dan bersama kesusahan itu ada kesenangan.

Pokok Perbincangan Hadis :

1) Menjaga Hak Allah, Allah akan menjaga kamu: melaksanakan segala suruhan, meninggalkan semua larangan. Allah akan menjaga kemaslahatan duniawi - kesihatan/anak/keluarga/harta. dipelihara din & iman dari syubhat yang menyesatkan/perkara-perkara haram.
2) Pertolongan & bantuan Allah kepada Orang yang bertaqwa: jaga hak Allah pada diri dan keluarganya - menepati Quran dan Sunnah. Dalil bantuan/Allah bersama (an-Nahl : 128),(at-Taubah : 40),(al-Mujadalah : 7 ).

3) Meminta pertolongan hanya pada Allah: memohon pertolongan dalam melakukan ketaatan/ meninggalkan maksiat, bersabar atas takdir/ tetapkan pendirian pada hari bertemu Allah.
4) Beriman kepada Qadho’ dan Qadar : - dalil (at-Taubah : 51) (Aali Imran : 154).
5) Mengingati Allah ketika senang, Allah akan mengingati kamu ketika susah .
6) Kemenangan bersama kesabaran: (a-Baqarah : 249) (al-Anfal:66).
7) Bersama Bala(karb) itu ada jalan keluar(farj) : (al-Baqarah:214).
8) Bersama kepayahan ada kesenangan (al-Asr) .
Pengajaran hadis:

Seorang mukmin mesti menjaga dan memelihara hak kewajipan terhadap Allah setiap masa dan tempat, lebih-lebih lagi ketika dia dalam kesenangan. Dengan ini dia akan dijaga dan dipelihara Allah sepanjang masa, terutamanya ketika ditimpa kesusahan hidup.
Segala permintaan, mohon pertolongan dan perlindungan hendaklah hanya ditujukan kepada Allah
SWT semata-mata. Tidak ada makhluk atau Tuhan lain yang mampu menolong dan melindungi
manusia kecuali Allah SWT jua.
Segala apa yang berlaku dan menimpa manusia adalah ketetapan Allah SWT, bukannya kerana sebab dan usaha manusia. Manusia tidak berkuasa untuk memberi manfaat atau memberi mudharat kepada mana-mana hamba, walaupun seluruh manusia dan jin berhimpun untuk bergotong royong melakukannya.
Umat lslam mestilah yakin bahawa kemenangan akan tercapai dengan adanya kesabaran, setiap keperitan hidup pasti ada penyelesaiannya dan setiap kesusahan ada bersamanya kesenangan.

Amalan Yang Paling Disukai Allah

Daripada Abu Hurairah r.a. beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda:

Sesungguhnya Allah Ta'ala telah berfirman: Barangsiapa yang memusuhi seorang waliKu, maka Aku akan isytiharkan perang terhadapnya. Seorang hambaKu tidak bertaqqarub (iaitu menghampirkan dirinya) kepadaKu dengan suatu amalan yang lebih Aku sukai lebih daripada amalan yang Aku fardhukan ke atasnya. Seseorang hamba sentiasa bertaqqarub dirinya kepadaKu, dengan amalanamalan sunat sehingga Aku mencintainya. Apabila Aku sudah mencintainya, maka jadilah Aku pendengarannya yang dia mendengar sesuatu dengannya, jadilah Aku penglihatannya yang dia melihat sesuatu dengannya, jadilah Aku tangannya yang dengannya dia melakukan kerja, jadilah Aku kakinya yang dengannya dia berjalan. Sekiranya dia meminta daripadaKu Aku akan kurniakannya dan sekiranya dia meminta perlindungan dariKu nescaya Aku akan melindunginya.

(Hadis diriwayatkan oleh al-lmam al-Bukhari)

Pengajaran hadis:

(1) Amalan yang paling disukai Allah ialah amalan fardhu yang Dia fardhukan ke atas hambahambaNya.

(2) Seorang mukmin seharusnya hanya melakukan amalan sunat apabila dia telah membereskan amalan fardhunya terlebih dahulu. Sekiranya dia asyik mengerjakan amalan sunat dengan mengabaikan amalan fardhu, maka dia telah menyalahi tuntutan syara'.

(3) Seseorang hamba boleh meningkat maqamnya di sisi Allah SWT sehingga menjadi kekasihNya dengan memperbanyakkan amalan sunat dan berterusan mengamalkannya sehingga Allah benar-benar mengasihinya.

(4) Seorang wali Allah atau kekasih Allah, perbuatannya akan sentiasa terpelihara. Segala tingkah lakunya seolah-olah lahir dari Allah. Penglihatannya, pendengarannya, perbuatannya dan pergerakannya semuanya seolah-olah cernaan dari penglihatan, pendengaran, perbuatan dan pergerakan Allah SWT. Oleh kerana itu, wali Allah mesti dikasihi oleh setiap mukmin, barangsiapa yang memusuhinya, maka Allah akan mengisytiharkan perang terhadapnya.

Kufur Nikmat Kerugian Manusia

Setiap manusia itu bertanggungjawab terhadap nikmat-nikmat yang diamanahkan kepadanya dan akan disoal di akhirat kelak

BERSUA kembali dalam ruangan Relung Cahaya pada tahun baru 1431 Hijrah. Semoga cahaya kebenaran sentiasa mengiringi perjalanan kita sekalipun berbagai onak dan duri terpaksa kita tempuhi.

Rasanya baru sahaja kita melangkah masuk ke tahun 1430 Hijrah, hari ini ia telah pun berlalu meninggalkan kita dan tidak akan kembali lagi. Bagaimana kita telah memanfaatkan waktu-waktu yang telah berlalu, hanya kita yang dapat menjawabnya. Sheikh Ibnu ‘Atoillah telah mengingatkan kita tentang nilai waktu menerusi kalam hikmahnya:

“Apa yang telah terluput daripada umurmu tidak ada gantiannya, dan apa yang telah terhasil daripada umurmu, tiada ukuran nilai harganya.”

Memanfaatkan masa

Mensia-siakan hak waktu bererti mensia-siakan umur yang begitu berharga kerana umur yang telah berlalu tidak akan kembali lagi. Apabila kita membiarkan ia berlalu tanpa melakukan sebarang amal soleh, maka kita telah terlepas daripada kebaikan yang amat banyak.
Allah berfirman yang bermaksud:

Dan sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya; dan sesungguhnya usahanya itu akan diperlihatkan (kepadanya, pada Hari Kiamat kelak); kemudian usahanya itu akan dibalas dengan balasan yang amat sempurna. (al Najm: 39-41)

Sabda Rasulullah SAW ini wajar dijadikan renungan:

“Tidak datang kepada seseorang hamba satu waktu yang tidak disebut nama Allah di dalamnya melainkan akan mendatangkan penyesalan kepadanya pada Hari Kiamat kelak.”

Apabila waktu telah pergi, ia tidak akan dikecapi kembali, dan tiada suatu pun yang lebih mulia daripada waktu. Al Hasan al Basri RA berkata:

Saya pernah menemui beberapa kaum yang begitu menjaga dan mengasihi diri dan waktu mereka melebihi daripada penjagaan mereka terhadap dinar dan dirham. Sebagaimana seseorang itu tidak mengeluarkan dirham dan dinar melainkan pada perkara yang mendatangkan manfaat dan faedah kepada dirinya, dia juga tidak akan mensia-siakan diri mereka pada perkara-perkara yang tidak menjurus kepada ketaatan kepada Allah.

Para salafussoleh begitu berhati-hati dan tamak menjaga masa mereka sehinggakan Sayyiduna Ali RA pernah berpesan kepada isterinya Sayyidah Fatimah RA supaya melembutkan dan mencairkan masakan bagi mengurangkan masa mengunyah makanan yang mencuri masanya untuk bertasbih.

Menunda amal

Hari ini, kita melihat ramai manusia yang mengambil sikap menangguhkan waktu beramal atas alasan pekerjaan dan urusan dunia yang lain. Sheikh Ibnu ‘Atoillah, seorang yang sangat tinggi pengalamannya dalam menghidupkan amalan salafussoleh dan dunia tarbiah menegaskan bahawa sikap gemar menunda amal kebaikan pada waktu ada kelapangan dengan kesibukan dunia, adalah suatu kebodohan.

Ketahuilah! Menangguhkan suatu amalan disebabkan urusan duniawi kerana menantikan masa lapang adalah suatu kebodohan kerana kamu lebih mengutamakan dunia daripada akhirat sedangkan kesibukan dunia tidak akan pernah habis. Kesibukan dengan pekerjaan dan kesibukan dunia akan menghalang seseorang itu daripada melakukan amal kebaikan yang akan menyambungkan hubungannya dengan hadrat Tuhannya.

Menangguhkan amalan kebaikan kerana urusan duniawi dianggap sebagai suatu kebodohan kerana tiga perkara :

1. Mendahulukan dunia dari akhirat. Ini bukanlah sifat orang Mukmin yang berakal dan ia bercanggah dengan tuntutan Allah. Firman Allah SWT: Bahkan kamu utamakan kehidupan dunia, padahal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal. (Al A’la: 16-17)

2. Menunda amal kerana menanti akan ada masa lapang kadang kala tidak diperoleh. Bahkan, kadang kala maut lebih dahulu menjemput ajalnya ataupun pekerjaannya menjadi semakin banyak dan sibuk kerana kesibukan duniawi adalah satu perkara yang saling tarik menarik dan bertali arus. Sebagaimana yang disebut oleh penyair: “Maka tidak akan habis-habis kehendak seseorang dari dunia ini, dan tidak akan berkesudahan suatu keperluan melainkan berkehendak kepada keinginan yang lain pula.”

3. Berkemungkinan kesempatan waktu untuk beramal itu diperoleh ketika dia tidak lagi bersemangat untuk beramal, ataupun ketika dia telah menukar niatnya. Oleh sebab itu, wajiblah seseorang itu bersegera melakukan amal dalam apa jua keadaan sekalipun, dan dia perlu merebut segala peluang sebelum tibanya maut dan terluputnya masa atau kesempatan, di samping bertawakal kepada Allah bagi mendapat kemudahan dalam urusannya dan menjauhkan segala rintangan yang menghalangnya membina dan merapatkan hubungan dengan Allah.

Allah berfirman:

Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas seluruh langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa. (Ali Imran: 133)

Di antara tanda orang yang mengenal Allah ialah sempurna akalnya dan tajam pemikirannya. Tanda orang yang berakal ialah bersegera melakukan suatu amal. Mengejar umur, tidak boleh ada padanya sebarang penangguhan kerana apa yang terluput daripadanya tidak akan berganti dan apa yang terhasil daripadanya tidak ternilai harganya. Di dalam hadis Rasulullah SAW bersabda:

“Ingatlah! Di antara tanda orang yang berakal ialah menjauhi dari dunia yang menipu, kembali ke negara yang kekal abadi, menyiapkan bekalan untuk mendiami kubur dan bersiap sedia untuk Hari Kebangkitan.”

Sabda Rasulullah SAW lagi:

“Orang yang berakal ialah orang yang menahan nafsunya dan beramal untuk selepas mati. Manakala orang yang bodoh ialah orang yang mengikut kehendak nafsu dan suka berangan-angan ke atas Allah.”

Di dalam Suhuf Nabi Ibrahim AS menyebut: “Hendaklah orang yang berakal yang tidak ditewaskan oleh akalnya mempunyai beberapa waktu; waktu bermunajat dengan Tuhannya, waktu muhasabah dirinya, waktu bertafakur tentang kejadian Allah dan waktu dikosongkan untuk menunaikan hajatnya daripada makan dan minum.”

Orang yang menangguhkan amalnya ialah orang yang bukan sahaja bodoh tetapi tertipu. Dari manakah jaminan yang kamu peroleh untuk sampai kepada waktu tersebut, sedangkan maut sentiasa menanti masa untuk menerkam kamu, ketika kamu tidak menyedarinya?

Rasulullah SAW bersabda: “Dua nikmat yang sering menjadi kerugian kebanyakan manusia ialah nikmat kesihatan dan waktu lapang.” Kebanyakan manusia tidak dapat menggunakan kesempatan ini melainkan sibuk dengan dunianya, terfitnah dengan nafsunya atau ditimpa sakit.

Kesimpulan daripada hadis ini, hanya segelintir manusia yang dikurniakan nikmat kesihatan dan kelapangan waktu. Sekiranya mereka dapat memakmurkannya dengan amalan ketaatan kepada Tuhan, maka mereka mensyukurinya dan mendapat keuntungan yang besar. Sekiranya mereka mensia-siakannya, mereka akan mendapat kerugian yang nyata dan kufur dengan kedua-dua nikmat ini. Bahkan, ia juga merupakan tanda kesedihan.

Syeikh Ibnu ‘Atoillah RA berkata:

“Perkara yang paling menyedihkan, setelah dikurangkan halangan kamu, kamu pula tidak mengadap-Nya.”

Semoga kita dapat mengambil iktibar. Orang yang hidup akan terasa sekiranya ditusuk dengan jarum. Tetapi orang yang mati tidak akan terasa sekalipun dipotong dengan pedang-pedang yang tajam. Renungilah!

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA NEGERI SEMBILAN

DI MANA NERAKA??

Allah SWT berfirman:

"Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada surga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang bertakwa." (QS. Ali Imron: 133).

Dari ayat ini pernah seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah S.A.W mengenai makna ayat "Surga yg luasnya seluas langit dan bumi." Dimanakah neraka? tanya mereka. Rasulullah S.A.W menjawab (dengan pertanyaan lagi), "Dimanakah malam hari ketika siang?"

Abu hurairah dari Al Bazazar meriwayatkan bahwa ada seorang laki-laki menanyakan ini kepada Rasulullah S.A.W , lalu beliau menjawab "Tahukah engkau ketika malam tiba dan menyelimuti segala sesuatu, dimanakah siang hari berada? Penanya itu menjawab "Siang berada dimana Allah menghendakinya." Kemudian Nabi bersabda, "Demikian pula neraka, ia berada dimana Allah menghendakinya."

Ibnu Katsir dalam tafsirnya mengomentari riwayat tersebut dengan mengatakan, "Ini mengandung dua pengertian," Pertama, Jika kita tidak menyaksikan atau tidak mengetahui malam hari pada waktu siang, hal ini tidak berarti bahwa malam hari itu tidak berada pada suatu tempat. Demikian pula neraka, ia berada di tempat yang dikehendaki oleh Allah Azza wa Jalla. Kedua, Jika siang hari berada pada suatu belahan dunia, malam hari berada pada belahan dunia yg lainnya. Demikian juga surga, ia berada di tempat yg tinggi yg luasnya seperti yang dikatakan Allah seluas langit dan bumi. Adapun neraka berada ditempat lain yang paling bawah.

Wallohu a'lamu bishshowab....

SOAL JAWAB ZAKAT FITRAH

1. Apakah pengertian Zakat Fitrah?

Zakat fitrah ialah zakat diri yang diwajibkan ke atas setiap individu muslim lelaki dan perempuan yang berkemampuan dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syarak.

2. Apakah dalil zakat fitrah?

Zakat fitrah dalilnya bersandarkan kepada Hadis Nabi S.A.W. riwayat daripada yang bermaksud:

"Rasulullah S.A.W. telah memfardukan zakat fitrah pada bulan Ramadan ke atas manusia dengan mengeluarkan satu gantang kurma atau satu gantang gandum (syair) ke atas setiap orang merdeka atau hamba lelaki atau perempuan orang tua atau kanak-kanak yang terdiri daripada orang Islam." (Riwayat Al-Bukhari)

3. Adakah wajib berniat untuk membayar zakat fitrah untuk diri sendiri atau sebagai wakil?

Setiap pembayar zakat atau wakilnya wajib berniat mengeluarkan zakat fitrah untuk diri dan tanggunggannya atau sebagai wakil.

4. Apakah syarat-syarat wajib mengeluarkan zakat fitrah?

Syarat-syaratnya ialah:

i) Individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya dari keperluan diri dan tanggungannya pada satu Syawal.

ii) Anak yang lahir sebelum (uruf) matahari akhir bulan Ramadan dan hidup selepas terbenam matahari Ramadan.

iii) Seseorang yang meninggal dunia selepas terbenamnya matahari akhir Ramadan.

Menganut Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadan dan berkekalan Islamnya sehingga awal Syawal.

5. Berapakah kadar pembayaran zakat fitrah?

Kadar zakat fitrah ialah satu gantang Baghdad bersamaan 2.70 kg beras atau senilai dengannya. Kadar ini berdasarkan ketentuan oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri.

6. Bilakah waktu pembayaran zakat fitrah?

Waktu mengeluarkan zakat fitrah terbahagi kepada 5:

(i) Waktu wajib : Akhir Ramadan sehingga terbit matahari.

(ii) Waktu afdal : Bermula terbit fajar subuh sehingga sebelum solat hari raya

(iii) Waktu sunat : Sepanjang bulan Ramadan

(iv) Waktu makruh : Selepas solat hari raya sehingga terbenam matahari pada satu Syawal.

(v) Waktu haram : Selepas (uruf) matahari satu Syawal tetapi tetap wajib membayar zakat fitrahnya. Jika lebih lama tidak dibayar lebih besar dosanya.

7. Bagaimanakah kaedah pembayaran zakat fitrah?

Kaedah pembayaran zakat fitrah yang ditentukan ialah makanan asasi daripada jenis yang mengenyangkan (beras) atau yang senilai dengannya.

Ini adalah berdasarkan Hadis Nabi S.A.W yang diriwayatkan oleh Abu Said Al-Khudry yang bermaksud:

".... adalah kami para sahabat ketika bersama Rasulullah S.A.W. sering mengeluarkan zakat fitrah daripada setiap seorang yang kecil dan besar, merdeka atau hamba satu gantang makanan atau satu gantang keju atau satu gantang syair, tamar atau satu gantang zabib. Demikianlah kami terus berbuat demikian sehingga datang kepada kami oleh Muawiyah bin Abi Sufian bagi mengerjakan amal ibadah haji atau umrah, kemudian beliau menyampaikan ucapannya di atas mimbar, maka dalam ucapannya kepada orang ramai beliau berkata: saya berpendapat, bahawa dua mud (cupak) gandum Sham menyamai satu Sha' (gantang) tamar. Setelah itu, masyarakat pun berbuat demikian sedangkan Abu Said berkata: aku tetap mengeluarkannya sebagaimana mulanya". (Riwayat Muslim)

8. Adakah harus membayar zakat fitrah melalui kaedah selain melalui amil yang dilantik seperti perbankan internet, SMS, pos dan lain-lain?

Harus tetapi wajib niat untuk membayar zakat fitrah untuk dirinya dan keluarganya.

9. Seorang isteri sarat mengandung 9 bulan. Sehingga habis Ramadan anaknya belum lahir kandungannya lagi, adakah wajib zakat fitrah ke atas anak dalam kandungan itu?

Tidak wajib kepada anaknya kerana syarat wajib zakat fitrah mesti seseorang Islam itu hidup sebahagian Ramadan dan sebahagian Syawal.

10. Adakah wajib zakat fitrah bagi seseorang yang meninggal sebelum terbenam matahari akhir Ramadan?

Tidak wajib kerana syarat wajib zakat fitrah mesti seseorang Islam itu hidup sebahagian Ramadan dan sebahagian Syawal.

11. Saya mempunyai seorang bapa yang susah (miskin) dan telah berkahwin dengan seorang wanita lain yang mempunyai anak-anak. Ibu tiri saya ini juga seorang yang susah. Soalan saya, adakah saya wajib membayar zakat fitrah untuk ayah saya, ibu tiri dan adik-adik tiri saya?

Anda wajib tunaikan zakat fitrah untuk ayah anda sahaja kerana beliau merupakan tanggungan anda. Manakala, ibu tiri dan adik-adik tiri anda pula adalah di bawah tanggungan ayah anda. Oleh itu anda tidak wajib membayar zakat bagi pihak mereka.

12. Suami saya sedang bertugas di luar negara, bagaimana caranya jika beliau ingin membayar zakat fitrah bagi tanggungannya, iaitu saya dan anak-anak? Adakah perlu suami membayar di luar negara, iaitu tempat beliau bertugas sekarang atau adakah perlu saya mewakilkan abang kandung saya untuk membayar zakat fitrah bagi pihak suami?

Suami anda dan anda boleh mewakilkan kepada sesiapa sahaja yang berada di kariah anda dan tanggungan suami.

13. Apakah hukum seseorang yang terlupa membayar zakat fitrah? Apakah yang perlu dilakukan bagi menebus kelalaian tersebut?

Haram melengahkan pembayaran zakat fitrah sama ada sengaja atau terlupa sehingga terbenam matahari satu syawal. Sekalipun demikian anda tetap wajib qada bayar zakat fitrah tersebut.

Rasulullah SAW dalam sabdanya riwayat daripada yang bermaksud:

"Zakat fitrah itu tunaikan bagi membersihkan orang yang berpuasa daripada percakapan yang sia-sia dan kotor dan makanan bagi orang miskin. Sesiapa yang menunaikannya sebelum solat 'Eidilfitri, maka itulah zakat yang diterima. Dan sesiapa yang membayar zakatnya sesudah solat, maka itu adalah sedekah biasa saja." (Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)

14. Adakah asnaf fakir dan miskin yang menerima bantuan LZS wajib membayar zakat fitrah?

Ya, wajib bayar sekiranya cukup syarat.

15. Adakah amil boleh menerima bayaran zakat fitrah dalam bentuk beras?

Ya, wajib terima.

Isnin, 23 Ogos 2010

Syurga Ganjaran Terbaik

DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
(Siri Ke-75)

Muhammad Abu Zahrah berkata: Selepas Allah menceritakan secara khusus berkenaan dengan pahala yang baik yang diberikan hasil amalan di dunia, lantas Allah mengemukakan ayat berikut menggambarkan hakikat dunia supaya jangan terpengaruh dan terpedaya.

Ayat ke-196 - (Surah Ali Imran)

Firman Allah SWT yang bermaksud: Jangan sekali-kali engkau (Wahai Muhammad) terpedaya oleh usaha gerakan orang-orang yang kafir di dalam negeri (yang membawa keuntungan-keuntungan kepada mereka).

Sebab nuzul ayat

Ayat ini diturunkan kepada golongan Yahudi. Terdapat tiga pandangan ulama berkenaan dengan turunnya ayat ini:

i. Golongan Yahudi selalu bermusafir di bumi mencari harta benda. Lantas turunnya ayat ini. Inilah pendapat Ibn Abbas.

ii. Nabi SAW malu untuk berhutang atau meminjam dengan mereka makanan syair. Ia enggan kecuali dengan gadaian.

Lantas Nabi bersabda yang bermaksud: Kalau diberi kepadaku nescaya aku tunaikannya lebih daripada itu kerana sesungguhnya aku pemegang amanah di langit dan juga di bumi. Lantas turunnya ayat ini seperti yang dinyatakan oleh Abu Sulaiman al-Dimasyqi.

iii. Ayat ini diturunkan kepada kaum Musyrikin Arab yang mendapat kemewahan. Lantas sebahagian orang yang beriman berkata: Kami dalam kesusahan, sedangkan musuh-musuh Allah sebagaimana yang kamu lihat. Lantas turunnya ayat ini. Inilah pendapat Muqatil.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Ibn Jauzi berkata: Perkataan usaha gerakan orang-orang yang kafir di dalam negeri bermaksud dengan tiga:

Pertama: Cara urusan mereka berkenaan perniagaan. Inilah pendapat Ibn Abbas, al-Farra', Ibn Qutaibah dan al-Zajjaj.

Kedua: Mereka sentiasa berusaha siang dan malam dengan mendapat banyak nikmat. Inilah pendapat Ikrimah dan Muqatil.

Ketiga: Mereka merasa seronok dengan sebab tidak dihukum walaupun melakukan banyak dosa. Inilah pendapat sebahagian ahli tafsir.

ii. Sheikh Muhammad Abu Zahrah berkata: "Ayat-ayat terdahulu menerangkan betapa kejamnya golongan Musyrikin yang menyeksa orang beriman, menghalau mereka, memusuhi dan membunuh mereka".

iii. Al-Maraghi berkata: "Wahai Muhammad yang dimaksudkan sebenarnya adalah umatmu, janganlah engkau terpedaya oleh banyak hal yang dibicarakan oleh pemimpin masyarakat".

iv. Muhammad Quraish Shihab berkata: "Ayat yang ditutup dengan janji memperoleh ganjaran yang baik di akhirat nanti sehingga setiap ganjaran usaha di dunia tidak dapat dibandingkan sedikit pun di akhirat nanti.

"Terdapat segelintir kaum muslimin yang terpedaya dan silau oleh hasil-hasil yang dicapai oleh orang-orang musyrik, sehingga hal itu dapat mempengaruhi kualiti iman mereka tentang janji-janji Allah di akhirat".

v. Al-Sonhaji berkata: Ayat ini Allah SWT turunkan untuk menghiburkan mereka yang sabar di dalam menjalankan ketaatan kepada-Nya.

Ayat ke-197

Firman Allah SWT yang bermaksud: (Semuanya) itu hanyalah kesenangan yang sedikit, (akhirnya akan lenyap), kemudian tempat kembali mereka neraka jahanam, dan itulah seburuk-buruk tempat ketetapan.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Muhammad Abu Zahrah berkata: "Digunakan perkataan kemudian mereka ditempatkan mereka dengan neraka jahanam bukan menunjukkan kelewatan zaman atau masa sahaja, tetapi ia menunjukkan taraf perbezaan keadaan mereka di dunia dan akhirat".

ii. Al-Maraghi berkata: "Ayat ini turun berkaitan dengan peristiwa kaum musyrikin Mekah kerana dahulunya adalah satu kaum yang suka mengembara di atas muka bumi kerana menjalankan aktiviti perdagangan dan kerja, pada saat itu umat Islam tidak mampu menghentikan kegiatan kaum musyrikin.

"Walau di mana mereka berada, umat Islam tetap mengintai dan menimbulkan bencana kepada mereka. Malangnya umat Islam tidak mampu melawan mereka sewaktu mereka keluar dari kampung halaman untuk menjalani urusan dagangan atau urusan lain".

iii. Al-Sonhaji berkata: "Segala keuntungan yang mereka perolehi hasil daripada perniagaan mereka di dunia adalah sedikit jika dibandingkan dengan kerugian yang mereka terima kerana kehilangan nikmat dan kemewahan hidup di akhirat kelak".

Ayat ke-198

Firman Allah SWT yang bermaksud: Tetapi orang-orang yang bertakwa kepada Tuhan mereka, mereka beroleh syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya, sebagai tempat sambutan tetamu (yang meriah dengan nikmat pemberian) dari Allah. Dan (ingatlah) apa jua yang ada di sisi Allah adalah lebih bagi orang-orang yang berbakti (yang taat, yang banyak berbuat kebajikan).

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Abdullah bin Amr berkata: "Allah SWT menyebut mereka sebagai orang-orang baik, lantaran mereka berbuat baik kepada orang tua dan anak-anak mereka, sebagaimana orang tua anda mempunyai hak atas diri anda, seperti halnya anak-anak anda juga mempunyai hak atas diri anda".

ii. Muhammad Abu Zahrah berkata: "Ayat ini dimulakan dengan akan tetapi untuk membezakan golongan yang bertakwa lagi soleh dengan yang Musyrikin lagi jahat. Nisbah kesudahan masing-masing.

"Golongan yang kufur kesudahannya neraka jahanam dan sedikit sahaja yang mendapat nikmat dunia. Sebaliknya golongan ahli takwa yang bersyukur dengan nikmat Allah mendapat syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai".

iii. Al-Maraghi berkata: "Segala kemewahan yang ada di sisi Allah SWT jauh lebih baik daripada yang ada di dunia dahulu yang pernah dinikmati oleh orang kafir dalam bentuk yang amat sedikit lagi fana".

Semoga kita menjadi golongan yang soleh dan bertakwa sehingga layak menghuni syurga Allah SWT

TIGA GOLONGAN MANUSIA YANG RUGI


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَغِمَ أَنْفُ رَجُلٍ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ وَرَغِمَ أَنْفُ رَجُلٍ دَخَلَ عَلَيْهِ رَمَضَانُ فَانْسَلَخَ قَبْلَ أَنْ يُغْفَرَ لَهُ وَرَغِمَ أَنْفُ رَجُلٍ أَدْرَكَ عِنْدَهُ أَبَوَاهُ الْكِبَرَ فَلَمْ يُدْخِلَاهُ الْجَنَّةَ

Dari Abu Hurairah R.A katanya: Rasulullah SAW bersabda:"kecewa dan merugi orang yang bila namaku disebut dia tidak mengucapkan shalawat atasku, kecewa dan merugi orang yang berkesempatan hidup di bulan ramadhan tetapi tidak terampun dosa-dosanya,kecewa dan merugi orang yang berkesempatan hidup bersama orang tuanya tetapi dia tidak bisa sampai masuk surga ,"

(Hadis Riwayat Imam Ahmad)

Dicatat oleh -أبو الشاطر- (ABU SYATIR)

Ahad, 22 Ogos 2010

Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak Kedah Di Perantauan Bersama YAB MB Kedah


Majlis Berbuka Bersama Anak Kedah di Lembah Kelang akan diadakan pada:
Tarikh : 29 Ogos 2010
Tempat : Dewan Sivik, Dewan Bandaraya Petaling Jaya.(Sebelah Menara MBPJ dan PJ Hilton)
Masa : 5:00 ptg - 8:00 mlm

Siapa patut hadir?
Semua anak Kedah yang berada sekitar Kuala Lumpur, PJ, Shah Alam, Kajang, Bangi, Ampang, Gombak, Selayang dan sekitarnya.

Siapa lagi mai?
EXCO, ADUN Kerajaan Negeri serta Ahli-Ahli Parlimen Kedah.

Ada apa lagi?
Ucapan Daripada YAB Menteri Besar dan Taklimat perkembangan Negeri daripada Urusetia Penerangan.

Acara lain?
Makan buka puasa. Tiada bayaran!

Nak hubungi siapa?

013-5844310 (Afnida)
019-9902839 (Solehah)
04-7312136 (Pejabat MB Kedah)
012-4827563 (Ust Musadaq - Urusetia Penerangan)
019-4706247 (Ust Rosli - Urusetia Belia)

Sila SMS kehadiran jumlah kehadiran anda dan rakan-rakan.Tempat terhad kepada 1000 orang pertama...Mai Jangan Tak mai!

Beberapa Kesilapan Orang Yang Berpuasa

1. Tidak menetapkan niat fardhu puasa di setiap malam hari meskipun memadai dengan niat di awal Ramadhan.

2. Masih makan dan minum ketika azan Subuh.

3. Bersahur awal dan melewatkan berbuka.

4. Berlebih dalam menyediakan juadah berbuka sehingga menghilangkan keberkatan puasa.

5. Tidak menjaga solat fardhu atau melengah-lengkahkannya.

6. Tidak menjaga lidah dari ucapan sia-sia, mengumpat, memfitnah, berdusta dan lain-lain.

7. Membazir masa dengan melakukan kerja yang tidak berfaedah, menonton televisyen, mendengar radio dan sebagainya.

8. Meringan-ringkankan ibadah sunat (berdoa, berzikir, membaca Al-Quran, solat-solat sunat dan beristighfar).

9. Tidak menunaikan solat tarawih.

10. Hanya bersungguh-sungguh melakukan amalan di awal Ramadhan, kemudian mengurangkan amal ibadah di pertengahan Ramadhan lebih-lebih lagi di sepuluh malam terakhir.

11. Tidak menghidupkan sepuluh malam terakhir (Nabi mengejutkan ahli keluarganya beriqtikaf dan berqiamulail).

12. Bakhil dan kedekut harta serta tidak membantu orang yang berhajat dan tidak bersedekah.

13. Keluarnya wanita-wanita ke masjid dengan memakai perhiasan, wangian yang membawa fitnah.

14. Wanita keluar berduyun-duyun ke pasar membeli juadah (bercampur lelaki/perempuan yang bukan muhrim).

15. Tidak memperbanyakkan takbir di malam hari raya dan di hari raya lantaran sibuk dengan perhiasan rumah dan persediaan kuih-muih.

16. Lewat membayar zakat fitrah sehingga selesai solat hari raya.

17. Berhari raya dengan hawa nafsu, hiburan-hiburan yang melalaikan dan pembaziran yang melampau.

http://idhamlim.blogspot.com

Yang Lahir Pasti Mati

Setiap yang lahir mesti mati, betul tak??? kisah kali ni mungkin ada banyak istifadah yang dapat kita ambil, jangan sangka dalam gurauan Juha, takde hikmahnya...

Ade skli tu Juha pinjam periuk besar dengan jiran di sebelah rumahnya, selang beberapa hari juha pun memulangkan periuk tu kembali berserta satu lagi periuk kecil disebelah dalam periuk besar tu. Jiran yang tengok periuk kecik tu pun pelik lalu mengajukan soalan:

Jiran : Periuk kecik ni mai tang mano???

Juha : ooo, periuk kecik ni, anak si periuk yang besar ni, periuk ni la yg melahirkannya..

Jiran : ????? tercengang

Tapi dah rezki depan mata, bedal je la si jiran ni, tanpa memikirkan masa depan yang dia akan hadapi bersama Juha yg amat bijaksana, tanpa mengingkari kata-kata Juha yg tak masuk dek akal td tu, Jiran tu pun senyap je la...

Selang beberapa minggu, sekali lagi Juha meminjam periuk dari jiran tu. Jiran tu pun apalagi, memberi tanpa segan silu la, takut2 kan periuk tu boleh beranak lagi la kot... tapi hari demi hari, Juha tak jugak pulangkan periuk tu. Jiran yang bengang ni pun pergilah berjumpa dgn Juha.

Jiran : Oi, periuk aku yg ngko pinjam hari tu, mana hang campak, tak mai hantaq2 lg??

Juha : ooo, periuk hang tu dah mati

Jiran : aik, periuk pun boleh mati ko?

Juha : dah boleh beranak, mesti boleh mati, periuk tu mati ketika cuba nak lahirkan anak dia...

Jiran : "Tersenyap tanpa mampu berkata apa2 sebab hr tu dia terus dengo je ckp juha tanpa menafikannya"

PESAN ATOK



Sabtu, 21 Ogos 2010

Menutup Aurat Bukan Sekadar Bertudung

Oleh muhammad Hanif

SATU ketika dulu, ramai mengatakan memakai tudung itu hanyalah sunat muakad atau tidak wajib. Kalau tidak memakai tudung, hanya berdosa kecil. Kononnya sebaik saja mengambil wuduk untuk bersolat lima waktu, secara automatik dosa kita dibasuh dan terhapus.

Apabila bergaul dengan pelbagai bangsa dan agama, kita banyak mendengar dan membaca bagaimana media barat memomokkan kod pakaian wanita Islam yang dikaitkan dengan maruah dan harga diri.

Di satu sudut lain, ada wanita Islam yang bertudung dan menyangkakan mereka sudah menutup aurat, tetapi masih mengenakan seluar jeans yang ketat, kemeja T menampakkan pakaian dalam atau yang hanya layak dipakai oleh adiknya berumur 10 tahun.

Ada juga yang mengenakan tudung, tetapi memakai kain terbelah sehingga menampakkan peha, pakaian terbelah di dada, kemeja T berlengan pendek dan ada kalanya memakai skirt separas betis. Persoalannya apakah ciri pakaian menutup aurat bagi wanita Islam?

Aurat berasal daripada bahasa Arab, ‘Aurah’ yang bererti kurang. Di dalam fiqh, aurat diertikan sebagai bahagian tubuh seseorang yang wajib ditutupi daripada pandangan orang lain. (Wahbah al-Zuhayli (1989), al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, Damsyik: Dar al-Fikr, halaman 579

Walaupun ulama berkompromi mengenai had aurat yang perlu ditutup oleh wanita, namun mereka bersepakat mengatakan hukum menutup aurat bagi setiap wanita Muslim yang baligh adalah wajib. Untuk memenuhi syarat menutup aurat, pakaian seseorang wanita mestilah memenuhi syarat berikut:

1. Menutupi had aurat yang sudah ditetapkan.

Jumhur ulama bersepakat mengatakan aurat bagi wanita baligh ialah seluruh tubuhnya kecuali muka dan tapak tangan. Oleh itu, mereka wajib menutup aurat daripada dilihat oleh lelaki ajnabi (bukan mahram).

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan hendaklah mereka (wanita) menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.”(Surah al-Nur, ayat 31)

Firman Allah lagi yang bermaksud: “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (ketika mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Ahzab, ayat 59).

Ayat itu Allah memerintahkan supaya Nabi Muhammad SAW menyuruh isteri Baginda mengenakan pakaian yang menutup aurat. Suruhan itu juga ditujukan kepada semua wanita beriman.

2. Pakaian yang longgar.

Tujuan utama wanita diwajibkan menutup aurat ialah untuk mengelakkan daripada lelaki ajnabi melihat tubuh badannya dan mengelakkan daripada berlakunya fitnah. Oleh itu, pakaian yang ketat walaupun tebal sudah pasti akan menampakkan bentuk tubuh badan. Wanita yang memakai pakaian ketat walaupun menutupi seluruh tubuh masih belum memenuhi tuntutan menutup aurat seperti dikehendaki syarak.

Syarat ini berdasarkan kepada kata Dahiyyah bin Khalifah al-Kalbi yang bermaksud: “Rasulullah SAW didatangi dengan beberapa helai kain ‘qubtiyyah’ (sejenis kain yang nipis buatan Mesir), lalu Baginda berkata: “Bahagikan kain ini kepada dua, satu daripadanya dibuat baju dan bakinya berikan kepada isterimu.” Apabila aku berpaling untuk beredar Baginda berkata: “Dan suruhlahisterimu meletakkan kain lain di bawahnya (supaya tidak nampak bentuk tubuhnya).”

Menurut Ibn Rusyd, ‘qubtiyyah’ ialah pakaian yang tebal tetapi melekat pada badan kerana ianya ketat dan menampakkan bentuk tubuh pemakainya. Oleh itu, Rasulullah SAW menyuruh Dahiyyah menyuruh isterinya melapik pakaian itu dengan kain lain supaya tidak menampakkan bentuk tubuhnya.

3. Pakaian yang tidak jarang.

Syarak menetapkan pakaian wanita mestilah tidak jarang sehingga menampakkan bentuk tubuh atau warna kulitnya. Aisyah meriwayatkan bahawa saudaranya, Asma, pernah masuk ke rumah Rasulullah SAW dengan berpakaian tipis sehingga nampak kulitnya. Rasulullah SAW berpaling dan mengatakan: “Hai Asma, sesungguhnya seorang perempuan bila sudah datang waktu haid, tidak patut diperlihatkan tubuhnya itu, melainkan ini dan ini sambil ia menunjuk muka dan kedua telapak tangannya.”

Teguran Rasulullah SAW terhadap Asma jelas menunjukkan bahawa pakaian yang jarang tidak memenuhi syarat menutup aurat bagi wanita baligh.

4. Bukan pakaian yang menarik perhatian (pakaian syuhrah).

Apa yang dimaksudkan pakaian untuk bermegah ialah pakaian yang berlainan daripada pakaian orang lain sama ada dari segi warna, fesyen atau potongan sehinggakan menarik perhatian orang lain serta menimbulkan rasa bongkak pada pemakainya.

Ibn Umar meriwayatkan daripada Nabi SAW bahawa Baginda bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang memakai pakaian bermegah-megah maka Allah Taala akan memakaikannya dengan pakaian yang serupa pada hari kiamat kelak kemudian ia akan dijilat api neraka.”

5. Tidak menyerupai pakaian lelaki atau pakaian orang kafir.

Pakaian yang menutup tubuh badan tidak dikira sebagai memenuhi ciri pakaian Islam jika menyerupai pakaian orang kafir. Ia berdasarkan hadis Rasulullah SAW seperti diriwayatkan Ibn Abbas: “Rasulullah melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki.”

Larangan menyerupai pakaian orang bukan Islam ini atas alasan ia boleh menjatuhkan martabat Islam dan penganutnya.

6. Tidak bertabarruj.
Tabarruj dalam bahasa mudah boleh diertikan sebagai bersolek. Ada juga yang mengatakan tabarruj ialah melepaskan tudung kepalanya tetapi tidak mengikat/mengetatka nnya, lalu terlihatlah rantai leher, anting-anting dan lehernya. Kesimpulannya tabarruj ialah memperlihatkan keelokan, kecantikannya yang sepatutnya wajib ditutup.

Larangan ini berdasarkan kepada firman Allah yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku (tabarruj) seperti orang jahiliah dulu (pertama).” (Surah al-Ahzab, ayat 33)

Ayat itu petunjuk kepada isteri Nabi SAW supaya tetap di rumah dan tidak bertabarruj seperti orang jahiliah dulu. Konsep tabarruj jika dilihat dalam kerangka lebih luas meliputi perbuatan wanita mendedahkan aurat, memakai wangian apabila keluar rumah, cara berjalan atau tingkah laku yang menarik perhatian lelaki ajnabi.

Pakaian wanita menutup aurat mestilah memenuhi ciri disebutkan walau di mana mereka berada. Berdasarkan syarat itu juga dapat kita ukur sejauh mana wanita Muslimah sudah menutup aurat atau hanya bertudung saja seperti fenomena di Malaysia apabila ramai bertudung tetapi memakai pakaian tidak menepati syariat. Ia adalah fenomena pemakaian tudung kerana fesyen, ikut-ikutan, paksaan ataupun berdasarkan kejahilan dan bukannya ilmu Islam sebenar. – Sheikh Sabri

Puasa bukan sekadar lapar dahaga

Oleh MOHAMMAD NIDZAM ABDUL KADIR

PUASA Ramadan adalah ibadah yang menjadi kewajipan setiap Muslim. Kewajipan puasa ini sabit dengan nas Ilahi dalam surah al-Baqarah pada ayat 183. Dalam menjaga agar puasa tidak rosak, keprihatinan masyarakat Muslim dalam menanyakan perkara yang membatalkan puasa amat dihargai.

Ada soalan yang sudah lazim dan biasa. Namun ada soalan-soalan yang masih baru di mana ia tidak wujud pada zaman Nabi SAW dan zaman awal Islam.

Biasanya ia merujuk kepada puasa dan aspek perubatan. Contohnya penggunaan inhaler ketika berpuasa, penggunaan rawatan dialisis bagi pesakit buah pinggang, suntikan insulin, bius dan sebagainya.

Terdapat perbezaan pendapat di kalangan para ulama dalam masalah ini. Banyak buku boleh dikaji. Antaranya buku yang mudah untuk kefahaman ialah buku Soal Jawab Remeh-Temeh Tentang Puasa.

Persoalan yang diajukan itu memberi tanda yang positif. Ia satu penanda aras tahap kefahaman segelintir masyarakat Muslim dalam memahami hukum-hakam puasa. Namun sedikit malang apabila persoalan yang amat penting juga dalam ibadah puasa sedikit terabai.

Contohnya segelintir masyarakat Muslim tidak melihat akhlak yang buruk sebagai perkara yang membatalkan puasa atau membatalkan pahala ibadah puasa.

Maka waktu senggang yang asalnya diisi dengan makan digunakan untuk mengumpat, bercakap bohong, berbual perkara yang lagha atau sia-sia secara keterlaluan.

Oleh itu, amat wajar untuk direnungi suatu sabda Nabi SAW maksudnya: Sesiapa yang tidak meninggalkan cakap dusta dan amalan dengannya maka tiadalah Allah berhajat baginya untuk dia meninggalkan makan dan minum. (riwayat al-Bukhari).

Mengikut tafsiran hadis ini sebagaimana dalam Fath al-Bari - satu karya yang menghuraikan Sahih al-Bukhari. Hadis ini menggambarkan bahawa amalan puasa ini tidak diterima oleh Allah.

Alangkah ruginya puasa yang dilakukan dengan kelaparan dan kehausan namun ia tidak diterima. Perit-jerih bangun bersahur pada awal pagi hanya menjadi amalan yang sia-sia.

Maka menjauhi perkara yang sia-sia sebenarnya merupakan dasar bagi seorang mukmin.

Tidakkah al-Quran menjelaskan ciri-ciri golongan mukmin yang berjaya. Antaranya ialah menjauhi perkara yang sia-sia sebagaimana firman Allah mafhumnya: Sesungguhnya orang mukmin telah berjaya. Mereka ialah golongan yang khusyuk dalam solat mereka. Dan golongan yang berpaling menjauhi daripada perkara lagha (sia-sia). (al-Mukminun: 1-3).

Puasa bukanlah sekadar menahan diri daripada lapar dan dahaga semata-mata. Walaupun definisi puasa ialah imsak iaitu menahan diri daripada makan, minum dan perkara yang membatalkan puasa bermula daripada terbit fajar hinggalah terbenam matahari, namun hikmah puasa yang sebenar ialah bagi menjana nilai takwa dalam diri insan. Firman Allah mafhumnya: Wahai orang yang beriman! Difardukan ke atas kamu puasa sebagaimana difardukan kepada umat sebelum kamu moga-moga kamu bertakwa. (al-Baqarah: 183).

Oleh itu, ada beberapa riwayat hadis yang menggesa agar akhlak dijaga dengan baik ketika berpuasa. Antaranya sabda Nabi SAW maksudnya: ...maka apabila hari puasa seseorang kamu, maka janganlah dia melakukan maksiat dan janganlah dia melakukan perbuatan orang jahil (seperti berkelahi, bertegang lidah dan sebagainya). Maka jika seseorang mencacinya atau melawannya maka hendaklah dia berkata bahawa saya adalah orang yang berpuasa. (riwayat al-Bukhari).

Hari ini, manusia tidak kisah untuk memfitnah, mencaci dan berkata dusta. Ada juga yang dihalalkan atas nama kebenaran. Entah benar atau tidak, Islam ada garis panduannya. Namun nampaknya garis panduan tersebut sudah tidak diendahkan. Akhirnya, ia hakikatnya satu fitnah, cacian dan pendustaan. Oleh itu, adalah amat wajar tempoh sebulan Ramadan ini diisi dengan perkara yang boleh menjana nilai takwa.

Saya yakin ramai umat Islam mampu berpuasa dengan erti menahan diri daripada makan dan minum. Pelajar sekolah rendah pun nampaknya boleh memahami makna puasa sebegitu. Mungkin ada yang sembunyi-sembunyi makan dan minum, itu di luar kemampuan kita. Namun bagi Muslim yang sudah lama berpuasa, bilakah puasa kita akan meningkat maju?

Ada juga isu yang dibangkitkan bagi memberikan kefahaman yang lebih baik berkaitan amal ibadah dalam bulan Ramadan. Antaranya isu rakaat solat Terawih dan isu waktu imsak di mana dalam jadual takwim ada dicatat waktu imsak sepuluh minit sebelum waktu Subuh. Tidak mengapa jika ia dibangkitkan dan dibicarakan dalam suasana ilmu dan harmoni jauh daripada keji-mengeji dan sebagainya. Apalah gunanya dibicarakan isu sebegini jika akhlak kita makin jauh daripada tuntutan sunnah Nabi SAW.

Antara slogan yang perlu disematkan dalam kotak pemikiran kita ialah bagaimana hendak mewujudkan akhlak keikhlasan dalam beribadat. Keikhlasan beribadat ini pula didasarkan dengan pedoman al-Quran dan as-Sunnah. Seterusnya ia dilanjutkan dengan kekuatan semangat istiqamah.

Ingatlah bahawa banyak orang mampu berpuasa namun puasanya itu tidak ke mana. Hanya sekadar lapar dan dahaga. Bangkitlah untuk menjadikan puasa kita lebih berkualiti.

Indahnya Zakat

Oleh HAMIZUL ABDUL HAMID

AYAH nak ke mana ni?" Satu suara halus bertanya. "Ke surau nak." "Ayah, adik nak ikut…" sambil memakai songkok dan berbaju Melayu labuh, terkedek-kedek si anak berlari mendapatkan si ayah yang sudah sedia memegang basikal tua. Dengan cepat si anak naik dan duduk di galang basikal lalu mereka menuju ke surau. Di surau, kelihatan si ayah membawa seuncang beras. Seorang Pak Haji sedang menunggu dengan tersenyum. Lalu si anak bertanya lagi… "Beras ni nak buat apa ayah?" "Ini untuk zakat kita tahun ini nak…"

Demikianlah sedikit sedutan iklan di televisyen yang pernah disiarkan menjelang Hari Raya Aidilfitri beberapa tahun lalu. Keharmonian amat terasa, dengan berlatar belakangkan sebuah desa, sawah padi menghijau, berbasikal tua meniti di batas-batas bendang dan Pak Aji yang senyum manis menanti di surau, lalu zakat dijadikan tema iklan raya tersebut. Intipatinya hanya satu, menjadikan hari raya medan berkongsi kegembiraan antara si kaya dan miskin yang kelaparan.

Zakat adalah rukun Islam ketiga. Kedudukannya di tempat ketiga ini dan sering digandingkan oleh Allah SWT dengan arahan mendirikan solat, telah dengan sendirinya menggambarkan status hukum dan kepentingan zakat.

Di samping itu, zakat mula difardukan kepada umat Islam pada tahun kedua selepas hijrah Nabi Muhammad SAW ke Madinah. Ia termasuk dalam ayat-ayat atau surah Madaniyah, iaitu wahyu Allah SWT yang banyak menekan aspek hukum dan syariat Islam berbanding aspek akidah. Banyak dalil naqli (dalil al-Quran dan al-hadis) yang menyatakan kewajipan zakat, di antaranya firman Allah di dalam surah An-Nur, ayat 56: Dan dirikan oleh kamu akan solat serta berikanlah zakat.

Nabi Muhammad SAW juga pernah menyatakan kepada Muaz bin Jabal yang diutus ke Yaman sebagai gabenor akan kepentingan zakat, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari, Muslim dan lain-lain: Engkau hendaklah menerangkan kepada mereka bahawa Allah SWT mewajibkan sedekah (zakat), yang dikenakan terhadap kekayaan orang kaya di kalangan mereka.

Falsafah zakat

Falsafahnya mudah, zakat adalah satu perkongsian. Mengambil harta dari kalangan kaya dan berada untuk diberikan kepada yang miskin, melarat dan melata dan mereka yang memerlukan. Falsafah zakat juga menggambarkan keseimbangan sosial di dalam Islam. Semakin kaya sesebuah masyarakat, semakin meningkat kutipan zakat. Semakin meningkat kutipan zakat menjadikan semakin terbela asnaf-asnaf zakat.

Inilah cantiknya hukum dan syariat zakat ini, sehinggakan di dalam lipatan sejarah ia amat berkesan semasa perlaksanaannya pada zaman Rasulullah. Apatah lagi, zakat adalah amalan baik yang berkesinambungan daripada apa yang telah diamalkan sebelum turunnya Islam. Sifat-sifat mulia seperti belas ihsan, prihatin dan suka bersedekah telah difardukan akhirnya.

Maka, oleh kerana ia sememangnya satu amalan mulia yang tidak bercanggah langsung dengan fitrah manusia, tidak pernah terdengar sedikitpun suara yang membantah dan mengingkari kewajipannya setelah ia diangkat oleh Allah SWT sebagai amalan wajib. Bahkan pada zaman itu, zakat telah menjadi item utama sumber pendapatan negara Madinah Al-Munawwarah demi menjana pembangunan ummah.

Pembahagian zakat

Bagi memudahkan umat Islam, ulama fikah telah membahagikan zakat itu kepada dua, iaitu zakat fitrah (zakat badan) dan zakat mal (zakat harta). Zakat fitrah adalah seperti apa yang telah digambarkan di dalam iklan raya di atas. Ia diwajibkan di dalam bulan Ramadan dan wajib ditunaikan sebelum solat Hari Raya Aidilfitri. Hukumnya wajib kepada setiap individu Muslim walaupun dia seorang hamba, dengan syarat mereka hidup pada bulan Ramadan hingga masuk 1 Syawal.

Kewajipan mengeluarkannya adalah terletak kepada diri sendiri, wali atau ketua keluarga berkenaan. Ia dikeluarkan untuk setiap individu berdasarkan kepada 1 gantang Baghdad yang bersamaan 2.70 kg makanan ruji sesebuah tempat.

Daripada Ibnu Abbas r.a., berkata: "Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah itu sebagai pembersih bagi orang yang berpuasa daripada perbuatan yang sia-sia dan perkataan yang kotor dan sebagai makanan bagi orang miskin. Kerana itu, sesiapa mengeluarkannya selepas solat (Aidilfitri), maka ia merupakan salah satu sedekah daripada sedekah-sedekah biasa." (riwayat Abu Daud dan Ibn Majah).

Manakala zakat mal, ia adalah tertakluk kepada harta-harta tertentu. Zakat mal ini pula tidak diwajibkan kepada hamba, seperti mana zakat fitrah. Dari aspek kekayaan, zakat mal atau harta inilah yang mewakili status kekayaan umat Islam, kerana ia digambarkan kepada ketinggian kutipan zakat di sesuatu tempat.

Seperti dinyatakan, semakin tinggi kutipan zakat, bermakna semakin tinggilah taraf sosio-ekonomi rakyat dan semakin melebarlah manfaat zakat kepada lapan asnaf yang memerlukan. Semua ini menjadi indikator kepada keseimbangan sosio-ekonomi, kestabilan politik dan seterusnya kemakmuran negara umat Islam.

Pada tahap awal perbincangan ini, diharapkan para pembaca telah mendapat kefahaman awal tentang zakat. Dalil kewajipannya, status zakat dalam rukun Islam, falsafah zakat, definisi zakat dan pembahagiannya.

Semua ini akan memudahkan masyarakat untuk memamahi, seterusnya kenapakah zakat perlu diangkat kembali menjadi agenda penting ummah. Ini termasuklah isu-isu kontemporari zakat seperti penglibatan sektor kewangan lain dalam institusi zakat, penguatkuasaan undang-undang zakat dan sebagainya lagi.

Insya-Allah, dengan kefahaman yang jelas ini akan memudahkan kita mempelajari zakat, satu rukun Islam yang manfaatnya bukan untuk diri sendiri tetapi untuk semua orang Islam di dunia ini.

Kebesaran Lailatul Qadar

Soalan
MOHON ustaz jelaskan fadilat Lailatul Qadar?

Jawapan
Malam Lailatul Qadar menjadi rebutan para aulia dan orang yang soleh kerana tidak mahu melepaskan peluang untuk beroleh keberkatan dan rahmat yang tersembunyi di dalamnya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya bulan ini (Ramadan) datang kepada kamu, dalamnya ada malam di mana amalan ibadat yang dilakukan pada malam itu lebih baik dan lebih besar ganjarannya daripada amalan selama seribu bulan. Sesiapa yang kehilangan malam itu, sesungguhnya dia kehilangan semua kebaikan. Dan tidak akan kehilangan semua perkara itu, kecuali orang yang diharamkan (tidak mendapat petunjuk) daripada Allah.” (riwayat Ibnu Majah)

Dalam satu hadis lain, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: Sesiapa yang beribadah pada Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan pengharapan kepada keredaan Ilahi, nescaya dia akan diampuni segala dosanya yang lampau. (riwayat Muslim)

Firman Allah bermaksud: Sesungguhnya Kami menurunkan (al-Quran) ini pada Lailatul Qadar. Dan apa jalannya kamu dapat mengetahui apa dia kebesaran Lailatul Qadar? Lailatul Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun berikut). Sejahteralah malam (yang berkat itu) hingga terbit fajar. (al-Qadr: 1-5).

Jelas daripada mafhum ayat suci di atas bahawa Lailatul Qadar akan muncul pada setiap Ramadan sebagai anugerah Ilahi dan rahmat Allah yang hanya dikhususkan kepada umat Nabi Muhammad SAW. Malam yang penuh bersejarah itu dinilai sebagai malam yang lebih baik dan lebih banyak ganjarannya daripada 1,000 bulan .

Ulama berselisih dalam menentukan malam berlaku Lailatul Qadar. Namun mereka berselisih pendapat mengenai malam ke berapa daripada 10 malam terakhir itu. Pendapat yang masyhur menyatakan bahawa Lailatul Qadar berlaku pada malam ke-27 Ramadan.

Sehubungan itu, Rasulullah pernah bersabda yang maksudnya: “Sesiapa yang ingin mendapatkan Lailatul Qadar, dia hendaklah mencari pada malam ke-27.” (riwayat Ahmad)

Ada juga riwayat lain yang mengatakan malam al-Qadar itu berlaku pada malam-malam ganjil 10 hari terakhir.

Hadirnya malam penuh berkat itu akan dinantikan dan disambut dengan penuh keyakinan dan keimanannya oleh golongan yang beriman, sekali gus melayakkan dirinya termasuk dalam kelompok orang yang dilimpahi kenikmatan syurga dan kebahagiaan abadi.

Menurut sejarah Islam, Lailatul Qadar pertama kali menemui Rasulullah SAW, ketika baginda sedang khusyuk menyendiri di Gua Hira, bermuhasabah dan merenung diri sendiri dan masyarakat sekeliling.

Tidak berapa lama kemudiannya, datang al-Ruh al-Amin iaitu malaikat Jibril membawa bersama wahyu Ilahi untuk membimbing baginda sehingga berlakulah perubahan secara menyeluruh dalam setiap detik dan perjalanan hidupnya.

Selanjutnya, Lailatul Qadar adalah satu kurniaan Ilahi yang dianugerahkan oleh Allah kepada Rasulullah SAW dan umatnya sebagai tanda kasih sayang-Nya dan rahmat-Nya yang menyeluruh.

Justeru, amal kebajikan seseorang hamba Allah pada malam itu adalah lebih baik daripada amal kebajikan yang dilakukan selama 1,000 bulan. Lebih-lebih lagi, apabila dibanding dengan umur nabi dan umat terdahulu.

Usia baginda dan umatnya adalah pendek. Contohnya, Nabi Nuh dikurniakan Allah umur selama 950 tahun. Maka, Lailatul Qadar adalah kurniaan sangat besar nilainya bagi umat Nabi Muhammad SAW. Ini kerana lamanya waktu seribu bulan apabila dihitung dalam kiraan tahun ialah selama 83 tahun lebih. Tambahan pula, angka itu jauh lebih banyak berbanding dengan umur umat Nabi Muhammad SAW yang rata-ratanya dalam sekitar 60 tahun sahaja.

Kerana keutamaan inilah, Rasulullah SAW amat menganjurkan umatnya agar mencari dan seterusnya mendapatkan Lailatul Qadar yang penuh keberkatan.

Selain itu, setiap Muslim dianjurkan agar bertaubat dan memohon ampun kepada Allah daripada sebarang kesalahan dan dosa.

Beratnya Azab Tuhan

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL BAKRI

SHEIKH al-Maraghi berkata: "Allah SWT telah memberi amaran kepada orang kafir yang menindas kaum yang beriman sama ada lelaki mahupun perempuan dan memberikan galakan kepada orang yang beriman dan melakukan amal soleh serta melukiskan pahala balasan amalannya yang disediakan untuknya.

Keterangan yang menunjukkan kesempurnaan kekuasaan-Nya terhadap semuanya itu, agar menjadi penguat atas gambaran gertakan yang lalu. Seorang raja tidak akan besar dan hebat kekuasaannya melainkan dua faktor berikut:

* Sifat dermawan dan kemurahan hati yang sempurna.

* Angkatan perang yang kuat dan armada yang besar yang sanggup menentang musuhnya dan menyebabkan negara sekitarnya berasa gentar.

Firman Allah SWT: Sesungguhnya azab Tuhanmu (terhadap orang-orang yang kufur ingkar) amatlah berat.

Ayat ini berisi gertakan terhadap golongan Quraisy dan pendukungnya, sebaliknya menjadi penawar kepada Rasulullah SAW dan pembelanya.

Firman Allah SWT: Sesungguhnya Dialah yang menciptakan (sekalian makhluk) pada mulanya, dan yang mengembalikannya (hidup semula sesudah mati).

Syed Qutub berkata: "Ayat penamat ini merupakan penamat yang hakiki bagi perjuangan itu. Itulah hakikat daripada penjelasan yang pertama mengenai peristiwa parit api supaya hakikat ini tertanam di dalam hati kumpulan kecil orang-orang yang beriman di negeri Mekah pada masa itu. Juga tertanam dalam hati setiap yang beriman yang menghadapi penindasan di sepanjang abad.

Firman Allah SWT: Dan Dialah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Pengasih.

Ibnu Kathir berkata: "Yakni dengan kekuatan dan kekuasaan-Nya yang sempurna Dia memulakan penciptaan dan kemudian mengembalikannya lagi seperti sediakala tanpa ada yang menghalangi dan tidak pula mencegah.

Firman Allah SWT: Tuhan yang mempunyai Arasy yang tinggi kemuliaannya.

Ibnu Kathir berkata: "Iaitu mengampuni orang-orang yang bertaubat dan tunduk kepada-Nya, apa pun dosanya. Sedangkan mengenai al-Wadud, Ibnu Abbas dan juga lainnya mengatakan: "Iaitu yang penuh cinta dan kasih.

Firman Allah SWT: Yang berkuasa melakukan segala yang dikehendaki-Nya.

Syed Qutub berkata: "Inilah sifat Allah yang banyak menjadi kenyataan dan sentiasa bertindak. Dia mempunyai iradat yang bebas. Dia memilih apa yang disukai-Nya. Dia membuat apa yang dikehendaki-Nya. Dia selama-lamanya begitu dan itulah sifat-Nya. Sekali Dia mahukan orang-orang mukmin mencapai kemenangan di bumi ini kerana sesuatu hikmah yang dikehendaki-Nya, dan sekali pula Dia mahukan keimanan mengatasi malapetaka penindasan dan mahukan tubuh badan yang fana itu terkorban kerana sesuatu hikmat yang dikehendaki-Nya. Dan sekali pula Dia mahu bertindak terus membinasakan manusia-manusia yang zalim di bumi, dan sekali Dia mahu menangguhkan balasan terhadap mereka sehingga tiba Hari Kiamat yang dijanjikan itu kerana suatu hikmah yang tertentu yang direalitikan di dunia ini dan akhirat sana mengikut perencanaan-Nya yang tersusun.

Inilah sebahagian daripada tindakan Allah yang bebas mengikut kehendak dan iradat-Nya yang sesuai dengan peristiwa parit api dan sesuai dengan cerita kebinasaan kaum Firaun dan Thamud pada ayat akan datang.

Hakikat iradat dan kudrat Allah yang bebas di sebalik peristiwa-peristiwa, di sebalik kehidupan dan di sebalik alam itu akan terus bertindak di alam buana ini.