Sahabat Ilmu

Jumaat, 5 Disember 2008

KHUTBAH AIDILADHA 1429H/2008M

Khutbah Eidil Adha 1429H

Maksudnya : “Wahai Tuhanku, berikanlah daku ilmu pengetahuan ugama, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh; “Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian; “Dan jadikanlah daku dari orang-orang yang mewarisi Syurga Jannatun-Naiim; “Dan ampunkanlah bagi bapaku, kerana sesungguhnya dia adalah dari orang-orang yang sesat; “Dan janganlah engkau hinakan daku pada hari makhluk-makhluk dibangkitkan hidup semula - “Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun, “Kecuali orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan munafik);

Muslimin/mat yang dirahmati Allah S.W.T,
Selamat menyambut hari raya Eidil Adha diucapkan kepada seluruh kaum muslimin dan muslimat. Semoga anugerah hari raya yang amat bermakna ini dapat kita penuhi dengan amal ibadat dalam mendekatkan diri kita kepada Allah dan syurgaNya disamping dalam masa yang sama menjauhkan daripada maksiat yang boleh menghampirkan kita kepada jurang neraka. Nikmat hari raya ini mestilah digunakan semaksima mungkin dalam mengembalikan semula kemuliaan dan kejayaan umat Islam bermula daripada pembinaan rumahtangga, didikan terhadap ahli keluarga seterusnya pengurusan masyarakat dan negara berdasarkan system Islam yang jelas membawa kebahagiaan dan keselamatan hidup di dunia dan akhirat. Melalui kisah perjuangan dan pengorbanan nabi Ibrahim sekeluarga yang sentiasa kita sebut setiap kali tibanya bulan Zulhijjah mengingatkan kepada kita betapa pentingnya pendidikan dan tarbiah berasaskan agama dalam sesebuah keluarga bagi melahirkan suami yang bertanggungjawab, isteri yang taat dan anak-anak yang berakhlak mulia. Kegagalan dalam melahirkan keluarga sakinah menyebabkan berlakunya perceraian yang biasanya anak-anaklah menjadi mangsa. Begitu juga kepentingan system pendidikan yang betul-betul bersepadu antara dunia dan akhirat sehingga lahirnya golongan ulama’ yang mampu mengurus urusan agama dan dunia dengan baik dan golongan pakar yang faham serta amal tuntutan agama dalam kehidupan. Sayyidina Umar al-Khattab pernah berwasiat : Aku sangat kecewa dan benci kepada orang yg pintar tetapi tidak bertaqwa. Kerana tanpa taqwa maka kepintaran akan membawa banyak kerosakan kepada umat. Aku juga sangat kecewa kepada orang taqwa tetapi dungu kerana itu dirinya baik tetapi tidak tahu melaksanakan urusan umat secara teratur dan sempurna.

اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ وَلِلهِ الحَمْدُ
Firman Allah dalam ayat 103-107 surah as-Sooffat :

Maksudnya : Setelah keduanya berserah bulat-bulat ( menjunjung perintah Allah) dan nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya atas tompok tanah ( untuk disembelih) serta Kami menyerunya :”Wahai nabi Ibrahim! Sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu”. Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata. Dan Kami tebuskan anak itu dengan sembelihan yang besar.

Ketika mengingati ujian besar nabi Ibrahim dan anaknya nabi Ismail ketika mahu melaksanakan arahan Allah termasuklah gangguan syaitan ketika mahu menyembelih anak kesayangannya itu maka dapatlah kita faham bahawa dalam mengharungi kehidupan dunia ini terpaksa menghadapi pelbagai cabaran, halangan, ujian, rintangan, gangguan di dalam menguji keimanan kita kepada Allah. Orang mukmin akan diuji dengan lima perkara iaitu [1] saudara seagama yang sentiasa dengki terhadapnya, [2] orang munafiq yang sentiasa membencinya, [3] orang kafir yang sentiasa memeranginya, [4] syaitan yang sentiasa berusaha menyesatkannya dan [5] bisikan hawa nafsu yang sentiasa menggoncang keimanannya.

Musuh Islam tidak pernah memadamkan permusuhannya terhadap Islam dan umatnya samada melalui serangan fizikal atau pun penjajahan pemikiran. Seorang tokoh ulama terkenal, Dr Abdullah Nasih Ulwan dalam sebuah bukunya menegaskan bahawa musuh-musuh Islam berusaha gigih bagi memastikan 4 perkara yang berada pada tangan umat Islam mesti dihancurkan iaitu [1] Al-Quran yang telah beberapa kali cuba diselewengkan tetapi ia terus dijaga oleh Allah, [2] Universiti2 Islam di mana musuh Islam cuba menghancurkannya atau meminda sukatan dam system pengajiannya agar selari dengan kehendak mereka, [3] Keistimewaan hari Jumaat yang cuba dipadamkan dengan menyibukkan umat Islam dengan tugas harian sehingga ramai yang meninggalkan solat Jumaat sedangkan penganut Kristian dengan tenang memenuhi gereja pada hari Ahad dan [4] Masjidil Haram, Mekah di mana telah beberapa cadangan terutama dari Parlimen Britain dan Israel agar Ka’abah dihancurkan atau dibom bagi menghalang umat Islam daripada terus berkunjung terutama pada musim haji yang dibimbangi dapat menyatukan hati umat Islam seluruh dunia. Sekiranya keempat-empat perkara ini berjaya dihapuskan maka musuh Islam terus dapat menjajah umat Islam dengan mudah tanpa penentangan.

Muslimin/mat yang diberkati Allah S.W.T,
Allah telah menganugerahkan kepada umat Islam 3 keistimewaan dan kekuatan yang menjadi punca utama dalam mencapai kemenangan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat sekiranya kita berjaya menggunakannya sebaik mungkin. Keistimewaan itu ialah [1] kekuatan aqidah yang perlu dipertahan dan dikembangkan. Betapa malangnya bila adanya umat Islam yang tidak menghargai nikmat yang paling berharga ini sehingga ada yang murtad, terlibat dengan ajaran sesat, menentang perintah al-quran dan mengikut cara hidup orang kafir. [2] kekuatan sumber tenaga manusia dengan jumlah yang ramai yang perlu kepada usaha bersungguh dalam menggunakannya tetapi betapa malangnya umat Islam berpecah atas dasar bangsa dan negara sebagaimana yang dirancangkan oleh musuh Islam dan [3] kekuatan dengan anugerah bumi yang subur dengan tanaman dan hasil bumi seperti minyak, gas, galian, besi, tanaman dan sebagainya yang perlu kepada usaha yang bersungguh dalam mengambil manfaat sebanyak mungkin daripadanya. Betapa malangnya akibat kekurangan pakar dan penyelewengan terhadap hasil ini menyebabkan ia tidak mampu digunakan sebaik mungkin dalam membantu umat Islam seluruh dunia.

اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ وَلِلهِ الحَمْدُ
Firman Allah dalam ayat 109 surah al-Baqarah:

Maksudnya : Ramai di antara Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) suka sekiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana dengki yang timbul dari diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad s.a.w). Oleh itu, maafkanlah dan biarkanlah oleh kamu, sehingga Allah datangkan perintahNya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu
Kini kedengaran suara sumbang dalam negara kita terutama daripada NGO bukan Islam yang lantang mencampuri urusan umat Islam seperti masalah fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dalam masalah pengharaman Pengkid iaitu perempuan yang menyerupai gaya hidup lelaki dan terbaru senaman Yoga yang didapati mengandungi unsur-unsur keagamaan, mentera dan pemujaan. Kita bimbang sekiranya kelantangan orang bukan Islam dalam menentang fatwa akibat meniru perbuatan orang Islam sendiri Islam sendiri yang banyak menyanggah fatwa yang dikeluarkan sebelum ini. Kita menyokong penuh dan mematuhi fatwa yang dikeluarkan kerana sudah banyak amalan dan kepercayaan agama lain yang terus diamalkan oleh masyarakat kita seperti bersanding dan merenjis air kepada pengantin baru yang menjadi amalan kepercayaan agama Hindu.
Kita juga jangan asyik bercakap dengan masalah harga minyak dan harga barang sehingga lupa kepada serangan aqidah yang sedang berlaku. Kita begitu bimbang apabila dibentang di Parlimen bahawa jumlah anak luar nikah ialah 250 ribu orang dan ramai di kalangan anak-anak yang tidak berdosa ini termasuk orang Islam dijaga oleh pusat asuhan yang dikendalikan oleh Kristian. Begitu juga wujud penempatan pesakit yang menghidapi penyakit HIV yang ditempatkan di rumah Mubaligh Kristian yang sepastinya boleh menggugat aqidah umat Islam. Sekarang kita mesti bersatu hati dan melakukan gerak kerja dalam menyelamatkan golongan ini dengan cara yang terancang, bersungguh dan istiqamah. Kita sebagai umat Islam sebenarnya wajib berdakwah kepada orang kafir untuk mereka memeluk agama Islam. Itulah pengorbanan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah saw suatu ketika dulu.Kita perlu ingat ungkapan pendakyah Kristian Raid,katanya : Kristian akan cuba memindahkan orang Islam daripada agama nabi Muhammad kepada Kristian. Sebenarnya Kristian tidaklah suka kepada orang Islam itu sendiri apalagi menganggap orang Islam sebagai saudara Kristian atas nama kemanusiaan. Jika tidak memandang tugas ingin memindahkan orang Islam daripada Islam kepada Kristian maka sudah pasti Kristian tidak akan membantu orang Islam baik dari sudut perubatan mahupun lain-lain bantuan.

Muslimin / muslimat yang diberkati Allah,
Sikap tunduk dan patuh kepada setiap arahan Allah melayakkan nabi Ibrahim menjadi Khalilullah. Oleh itu sempena mengingati pengorbanan besar nabi Ibrahim ini maka tanyalah diri kita tentang sejauh manakah tahap kepatuhan kita kepada arahan Allah dalam kehidupan seharian. Adakah cukup setakat menyatakan dengan lidah bahawa kita ini benar-benar beriman dan taat kepada Allah dan rasulNya sedangkan kita tidak pernah sujud kepada Allah, kita jarang2 mengimarahkan rumah Allah (masjid dan surau), cara hidup kita, cara berpakaian kita yang mendedahkan betis, paha, dada, rambut dikhalayak awam, cara berfesyen dengan pakaian yang menampakkan seluar dalam, berbaju tetapi menampakkan baju dalam, bulu ketiak, bulu betis dan segala2nya yang sepatutnta ditutup, cara hiburan kita yang mirip hiburan syaitan yang melalaikan dari mengingati Allah, pekerjaan kita yang bersifat cintakan dunia tanpa peduli halal dan haram, hidup seharian kita yang lebih mementingkan diri sendiri tanpa pedulikan orang lain dan sebagainya yang kita amalkan hari ini masih lagi jauh daripada petunjuk wahyu Allah swt. Adalah begitu amat malang jika kita hanya mengaku hamba Allah tetapi tidak mahu tunduk kepada perintah dan larangan ALLAH. Adalah suatu penipuan yang nyata apabila mendakwa diri kita penganut Islam tetapi mendewa-dewakan system manusia, cara hidup Yahudi dan kristian dengan mengepikan cara hidup Islam. Jika kita sebagai pemimpin, tanyalah sejauh manakah kita menunaikan amanah dalam melaksanakan sistem al-Quran. Jika kita sebagai ibubapa, tanyalah diri kita tentang sejauh manakah kita sendiri mengikut petunjuk wahyu dan bagaimana dengan anak-anak kita adakah amal ibadat, cara pemakaian, pergaulan mereka telah mengikut panduan yang telah digariskan oleh agama atau sebaliknya. Kita yakin anak-anak yang terjebak dengan dadah, zina, mat rempit dan sebagainya mempunyai ibubapa. Adakah ibubapa mereka telah berusaha bersungguh-sungguh dalam mengawal anak-anak ini sebelum rosak atau membiarkan sahaja mereka rosak. Keadaan bertambah parah apabila ibubapa melenting bila ditegur dan dinasihatkan oleh masyarakat tentang masalah anak-anak mereka. Ubahlah sikap agar kita mampu mengubah keadaan yang lebih sihat dan aman bersuluhkan panduan wahyu dengan mengenepikan hasutan nafsu. Kita sebagai umat Islam yang mengaku tunduk patuh kepada Allah wajib menjaga 5 asas Maqasid Syari’iyyah iaitu 1] menjaga agama dengan menjauhkan syirik dari segi penyembahan benda dan sistem [2] menjaga keselamatan nyawa sendiri dan orang lain [3] menjaga akal fikiran daripada dirosakkan dengan dadah, arak dan sebagainya [4] menjaga keturunan dengan menghindari zina [5] menjaga harta benda daripada dirosakkan. Apabila asas yang digariskan oleh agama ini dapat dijaga dengan sebaiknya maka akan lahirnya sebuah masyarakat yang aman sejahtera di dunia dan akhirat. Sebaliknya jika ia dilanggar atau dicabuli maka sesebuah keluarga, masyarakat, negeri dan negara akan berada dalam suasana yang terancam.

Firman Allah dalam ayat 268 surah al-Baqarah :

Maksudnya : Syaitan menakut-nakutkan kamu dengan kemiskinan dan menggalakkan kamu berbuat kejahatan sedangkan Allah menjanjikan untukmu keampunan daripadaNya dan kurniaan. Dan Allah Maha Luas kurniaan lagi Maha Mengetahui

USTAZ MUHAMAD NAIM HASHIM
SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA

Rabu, 3 Disember 2008

KEPENTINGAN ILMU

Fiqh Ilmu

Oleh: Prof. Dr. Yusuf Qardhawi

Ilmu haruslah mendahului amal, sebagaimana diutarakan Mu'adz bin Jabal ra, "Ilmu adalah imam dan amal adalah pengikutnya."

Ilmu adalah yg membedakan antara yg hak dan yg batil dalam masalah akidah, yg sunnah dan bid'ah dalam masalah ibadah, yg baik dan yg buruk dalam masalah muamalah, yg halal dan haram dalam perilaku, yg benar dan yg salah dalam pemikiran, yg terpuji dan tercela dalam mengambil sikap baik individu maupun jama'ah.

Maka dari itu ilmu harus didahulukan daripada amal. Umar bin Abdul Aziz berkata,"Barangsiapa berbuat tidak berdasarkan ilmu, maka yg rusak akan lebih banyak daripada yg memperbaiki."(Jami'Bayan Al-'Ilm Jil.I Hal.33)

Hasan Bashri berkata,"Orang yg bekerja tdk berlandaskan ilmu, ibarat orang yg berjalan di lorong yg salah. Dan orang yg bekerja tidak atas dasar ilmu, akan lebih banyak merusak daripada memperbaiki. Maka tuntutlah ilmu yg tidak merusak ibadah dan beribadahlah dengan tidak mengabaikan ilmu..." (Mifta Dar as-Sa'adah, hal.82)

Maka dari itu, mendahulukan ilmu adalah wajib, karena hal itu akan memberi pentunjuk kepada amal saleh, seperti halnya menunjukan pada iman. Ilmu adalah bukti keimanan, seperti disebutkan dlm AlQuran,"Dan, agar orang2 yg telah diberi ilmu meyakini bahwa
alQuran itulah yg benar dari Tuhanmu, lalu mereka beriman dan hati mereka tunduk"(AlHajj:54)

Ayat tersebut menunjukan urutan dimulai agar mereka berilmu, lalu beriman, dan kemudian tunduk hatinya. Ilmu akan menghasilkan keimanan, dan keimanan akan menghasilkan ketundukan dan kekhusyu'an.

Karena Ilmu mendahului iman dan amal, maka ayat yg pertama kali diturunkan adalah firmanNya:
"Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yg menciptakan. Dia menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhammu yg maha pemurah, yag mengajar(manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan kpd manusia apa yg tdk diketahuinya."(Al Alaq 1-5)

Dalam ayat diatas Allah menyerukan untuk membaca dan mengulangnya, karena membaca adalah kunci ilmu pengetahuan.

Imam Al-Bukhari menyebutkan dalam pembahasan ilmu dalam Shahihnya Bab ilmu sebelum ucapan dan perbuatan, "Ilmu merupakan syarat salihnya perkataan dan perbuatan, ilmu harus didahulukan dari keduanya".

Para ulama shalaf pun melakukan hal demikian, Imam Ghazali memulai dengan pembahasan ilmu dalam dua bukunya yg masyhur Ihya' Ulumuddin dan Minhaj Al-'Abidin. Disebutkan bahwa tangga pertama bagi orang yg ingin melalui jalan Allah adalah tangga ilmu.

Rasulullah bersabda, "Barangsiapa meniti jalan menuntut Ilmu, Allah akan memudahkan jalannya menuju syurga" (Shahih Muslim)

FITNAH HARTA

UJIAN HARTA / KEKAYAAN

Nabi SAW mengingatkan kita bahawa :

إن لكل أمة فتنة , وفتنة أمتي المال

Ertinya : "Sesungguhnya bagi setiap umat itu cabaran dan ujian, dan ujian bagi umatku adalah harta" ( Riwayat At-Tirmizi, no 2337 ; Ibn Hibban , Al-Hakim : Sohih menurut Al-Hakim dan disepakati Az-Zahabi. Hasan Menurut Tirmidzi)

Al-Qaradawi mengatakan, godaan harta bukan pada mengumpul dan mendapatkannya melalui cara yang halal dan menjaga kewajiban agama, tetapi adalah dalam ke'gila'aan mendapatkannya, mencarinya dan menyimpannya walaupun dari jalan yang haram. Selain itu, ia juga tidak endah untuk membelanjakannya walaupun dengan cara yang haram asalkan berbaloi menurut aqalnya, tiada pertimbangan halal dalam hatinya.

Sebagaimana yang digambarkan oleh Allah, salah satu tanda kehilangan keberkatan dalam perolehan harta adalah :-

أَن كَانَ ذَا مَالٍ وَبَنِينَ , إِذَا تُتْلَى عَلَيْهِ آيَاتُنَا قَالَ أَسَاطِيرُ الْأَوَّلِينَ

Ertinya : Kerana dia mempunyai (banyak) harta dan anak, lalu apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat Kami, ia berkata: ""(Ini adalah) dongeng-dongengan orang-orang dahulu kala.( Al-Qalam : 14-15 )

Inilah sikap kebanyakan hartawan dan jutawan Muslim (yang bukan Muslim sudah tentu bukan fokus kita) di seluruh dunia. Apabila mereka berada di puncak kekayaan, ramai di antara mereka tidak memandang penting kepada unsur keberkatan, halal dan peraturan dan hukum yang telah ditetapkan oleh Allah, kerap kali mereka anggap perbincangan mengenai hukum halal dan haram adalah kuno dan ketinggalan zaman.

Allah menegaskan :-

الْمَالُ وَالْبَنُونَ زِينَةُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَالْبَاقِيَاتُ الصَّالِحَاتُ خَيْرٌ عِندَ رَبِّكَ ثَوَابًا وَخَيْرٌ أَمَلًا

Ertinya : Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amalan-amalan yang kekal lagi saleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan" ( Al-Kahfi : 46 )

Menurut Syeikh Ibn Asyur ayat dari surah Kahfi di atas mengingatkan kita betapa perlunya kita menyedari amal soleh dan keberkatan adalah lebih perlu diutamakan dari harta banyak tanpa halal. Jadi dalam konteks ini, walaupun kita mendapat untung yang banyak ia belum pasti lagi menggembirakan kita di barzakh kerana ia mungkin sesuatu yang haram.

Jika pertimbangan keduniaan menguasai diri, ia adalah suatu tanda dan bukti umat Islam sudah semakin hilang sensitiviti terhadap kebenaran alam barzakh dan akhirat. Sesuatu yang haram dan syubhat amat zalim kepada Allah SWT walaupun amat menarik di sisi mata dan hati manusia.

Allah mengingatkan kita lagi bahawa :

انظُرْ كَيْفَ فَضَّلْنَا بَعْضَهُمْ عَلَى بَعْضٍ وَلَلآخِرَةُ أَكْبَرُ دَرَجَاتٍ وَأَكْبَرُ تَفْضِيلاً

Ertinya : "Perhatikanlah bagaimana Kami lebihkan sebahagian dari mereka atas sebahagian (yang lain dalam perolehan harta). Dan pasti kehidupan akhirat lebih tinggi tingkatnya dan lebih besar keutamaannya." ( Al-Isra : 21 )

Selasa, 2 Disember 2008

ISU DAGING KORBAN

Jendela Hikmah: Hukum agih daging korban kepada bukan Muslim

ISU yang sering ditimbulkan dalam ibadat korban ialah amalan korban dalam masyarakat berbilang atau silang agama. Dalam konteks masyarakat silang agama, yang penting ialah usaha meletakkan Islam di tempat dapat dilihat oleh semua pihak sebagai satu sistem yang mampu memesrakan hubungan dalam kehidupan seharian.

Melihat amalan ibadat korban di Malaysia, pendapat yang menjadi pegangan majoriti umat Islam di negara ini ialah daging korban tidak boleh diberi makan kepada orang bukan Islam. Pada peringkat sebelum berlaku interaksi sangat rapat antara orang Islam dan bukan Islam di Malaysia, pegangan seperti itu memang tidak menimbulkan apa-apa isu.

Namun, sejak akhir-akhir ini, selepas hubungan silang agama semakin rapat dan akrab, ziarah menziarahi kerap berlaku, saling menjemput ke majlis jamuan dan kenduri kendara sudah menjadi kebiasaan.

Malah, seorang Islam atau bukan Islam mungkin berasa janggal jika tidak menjemput rakan bukan Islam ke majlis yang diadakan, terutama jiran satu taman dan rakan setempat kerja. Budaya dan interaksi seperti ini mungkin menimbulkan isu.

Keadaan lebih ketara pada ibadat aqiqah yang pada kebiasaannya dilakukan di rumah. Majoriti orang Islam di Malaysia berpendapat daging aqiqah haram diberi makan kepada orang bukan Islam. Seorang Muslim akan berasa serba salah, jika tidak menjemput jiran bukn Islam sebelah rumah.

Dianggap kurang manis jika tidak memberikan daging korban kepada jiran. Sebaliknya, berasa bersalah kerana sudah melanggar hukum syarak yang mengharamkan daging aqiqah dan korban diberi makan kepada bukan Islam.

Jiran bukan Islam juga akan tidak selesa berada di rumah dalam keadaan dia tidak dijemput. Biasanya mereka akan sengaja membuat helah untuk tidak berada di rumah pada masa majlis diadakan.

Keadaan seperti ini sebenarnya menimbulkan satu tanggapan bahawa Islam tidak mesra jiran. Apakah tidak ada cara bagi umat Islam mengatasi masalah ini. Apakah tidak ada pendapat lain, selain pendapat yang mengatakan daging korban dan aqiqah haram diberi makan kepada bukan Islam?

Pendapat umum dan amalan orang Islam di Malaysia mengatakan daging korban tidak boleh diberi makan kepada bukan Islam. Namun, kita boleh merujuk kepada pendapat dikemukakan ulama mazhab lain dalam isu ini. Kita dapat mengesan pelbagai pendapat dengan hujah masing-masing. Melalui pendapat itu umat Islam mungkin dapat menemui jalan keluar daripada isu ini.

Penulis Kitab Kasyf al-Qina menyatakan mazhab Maliki berpendapat makruh memberi makan daging korban kepada orang Yahudi dan Nasara. Mazhab Hambali pula mengharuskan memberi hadiah daging korban sunat kepada bukan Islam, tidak harus menghadiahkan daging korban wajib kepada mereka.

Dalam al-Bajrimi dinyatakan tidak harus memberi makan daging korban kepada bukan Islam. Dinyatakan juga dalam Kitab al-Majmu` disebutkan harus memberi makan daging korban sunat kepada fakir miskin ahli zimmah, tidak harus memberi mereka makan daging korban wajib.

Al-Majmu' Syarh al-Muhazzab, disebutkan bahawa Ibn al-Munzir menyatakan ulama sepakat daging korban boleh diberi makan kepada fakir miskin Islam, namun mereka khilaf mengenai memberi makan daging korban kepada fakir miskin kafir ahli zimmah.

Imam Hasan al-Basri memberi keringanan mereka memakannya. Abu Thur juga berpendapat demikian. Disebutkan juga Imam Malik lebih suka ia diberi makan kepada selain fakir miskin bukan Islam. Al-Lith menganggapnya makruh, namun berpendapat jika dimasak harus diberi makan kepada mereka berserta fakir miskin Islam.

Ibnai Qudamah dalam al-Mughni wa al-Syarh al-Kabir dan al-Syarbini dalam al-Iqna' menyebutkan mazhab Maliki berpendapat makruh menghadiahkan dan memberi makan daging korban kepada orang Yahudi dan Nasrani.

Mazhab Hambali, al-Hasan, Abu Thur, berpendapat harus memberi hadiah dan memberi makan orang bukan Islam, kafir zimmi daging korban sunat, tetapi daging korban wajib, seperti korban nazar tidak harus.

Hukumnya sama dengan hukum zakat dan kifarat sumpah. Mazhab Syafie pula berpendapat tidak boleh memberi hadiah dan memberi makan orang bukan Islam daging korban sunat atau wajib.

Ibh Hazmin dari Mazhab Zahiriyah dalam kitabnya al-Muhalla menyatakan tuan punya korban boleh memberi makan kepada orang kaya dan orang bukan Islam atau dia menghadiahkan sedikit daripadanya.

Berdasarkan pendapat itu, kesimpulan yang boleh dibuat:

l Mazhab Syafie berpendapat haram memberi makan daging korban sunat atau wajib kepada bukan Islam.

l Mazhab Maliki berpendapat makruh memberi makan daging korban sunat kepada bukan Islam dan tidak harus (haram) memberi mereka makan daging korban wajib, seperti korban yang dinazarkan, sama seperti hukum zakat.

l Mazhab Hambali berpendapat harus menghadiahkan daging korban sunat kepada orang bukan Islam dan haram menghadiahkan kepada mereka daging korban wajib.

l Semua ulama mazhab sepakat (ijma') memberi atau memberi makan daging korban atau aqiqah wajib kepada bukan Islam adalah haram.

Ini bererti hanya ulama Mazhab Syafi`ie saja yang berpendapat daging korban sunat atau wajib tidak boleh (haram) diberi atau diberi makan kepada bukan Islam. Majoriti ulama lainnya berpendapat harus memberi mereka makan daging korban sunat, tidak harus jika korban wajib.

Dalam konteks Malaysia yang rakyatnya terdiri daripada penganut pelbagai agama, pendapat majoriti ulama yang mengharuskan orang bukan Islam diberi atau diberi makan daging korban sunat lebih baik diterima pakai.

Tujuannya adalah untuk menunjukkan kepada masyarakat bukan Islam bahawa Islam memang ada sistem yang mesra bukan Islam dan dapat memelihara perhubungan silang agama.

Di samping itu, menerima pakai pendapat majoriti dapat memberi ketenangan kepada orang Islam sendiri, kerana mereka tidak berasa bersalah untuk menjemput jiran kalangan bukan Islam menghadiri majlis kenduri mereka.

Prof Madya Alias Othman adalah Penasihat Syariah JIM yang boleh dihubungi di e-mel wanitajim@yahoo.com

PUASA SUNAT HARI 'ARAFAH

PUASA SUNAT (HARI 'ARAFAH)

Bilakah hari ‘Arafah? Apa dalil bagi kelebihan puasa hari ‘Arafah?

Hari ‘Arafah ialah hari sembilan Zulhijjah. Ia adalah hari terbaik sepanjang tahun kerana Nabi s.a.w. bersabda; “Tidak ada hari yang paling banyak Allah membebaskan hambanya pada hari tersebut dari neraka dari hari ‘Arafah” (Riwayat Imam Muslim).

Adapun disunatkan berpuasa pada hari tersebut, dalilnya ialah; hadis dari Abu Qatadah r.a. yang menceritakan; Nabi s.a.w. ditanya tentang puasa hari ’Arafah. Baginda bersabda; “(Puasa hari itu) dapat menghapus dosa tahun lalu dan yang akan datang” (Riwayat Imam Muslim).

Adakah sunat berpuasa pada hari ‘Arafah itu ada pengecualian?

Ya. Dikecualikan dari jamaah haji. Mereka tidak disunatkan berpuasa pada hari tersebut sebagai mencontohi Nabi s.a.w. dan juga untuk menjaga kekuatan bagi memperbanyakkan berdoa pada hari itu.

Maimunah isteri Rasulullah s.a.w. menceritakan; orang ramai ragu-ragu apakah Rasulullah s.a.w. berpuasa atau tidak pada hari ‘Arafah. Lalu ia (yakni Maimunah) menghantar kepada baginda satu bekas berisi susu tatkala baginda sedang berwukuf di Padang ‘Arafah itu. Lalu baginda meminum susu tersebut dengan dilihat oleh orang ramai kepadanya (Riwayat Imam Muslim).

Malah terdapat tegahan dari Nabi s.a.w. sebagaimana yang diceritakan oleh Abu Hurairah r.a.; “Sesungguhnya Nabi s.a.w. menegah dari berpuasa pada hari ‘Arafah bagi jamaah haji yang berada di ‘Arafah” (Riwayat Imam Abu Daud, Ahmad, Ibnu Majah dan al-Hakim).

KHUSYUK SOLAT

CARA UNTUK KHUSYUK DALAM SOLAT

Khusyuk bukanlah rukun dalam solat tetapi khusyuk adalah sangat-sangat dituntut seperti Firman Allah s.w.t yang bermaksud

“Telah berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu orang-orang yang khusyuk dalam sembahyangnya”
[Surah Al-Mukminun : ayat 1-2].

Firman-Nya lagi:-
"Peliharalah segala sembahyangmu dan peliharalah sembahyang utama (Asar, Subuh) dan berdirilah untuk Allah (melalui solatmu) dengan khusyuk" [Surah Al-Baqarah : ayat 238]

dan ketahuilah, solat adalah ibadah utama yang akan dihisab terlebih dahulu di akhirat oleh Allah SWT, berbanding dengan amalan-amalan yang lain. Sekiranya solat seseorang itu dalam keadaan sempurna, maka barulah dihitung pula amalan yang lain.

Firman Allah lagi yang bermaksud :
"Maka kecelakaanlah bagi orang-orang solat, (iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya." [Surah Al-Ma'un : ayat 4-5]

Yang dikatakan khusyuk itu ialah hati sentiasa hidup, untuk mengekalkan sembahyang yang khusyuk, amalan berikut perlulah diamalkan dan diperhatikan oleh setiap orang yang mengerjakan sembahyang:

1. Menjaga makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal dan lain-lain supaya datang dari punca yang halal tanpa syubhah.

2. Agar pemikiran tidak liar, sebelum solat lintaskan kematian seakan-akan amat hampir dengan kita serta solat tersebut merupakan sholat terakhir dan perlulah dijadikan yang terbaik.

3. Mendirikan sembahyang di awal waktu atau pertengahan waktu supaya tidak gopoh apakala masa hampir luput.

4. Membaca dengan baik (Khusnul Qori'ah), berusaha untuk memahami, mengerti bacaan dalam solat termasuk ayat Al-Quran yang dibacakan itu terutama sekali Al Fatihah, gerakan dan maknanya (Tafakhum). Ini kerana bacaan-bacaan dalam solat mengandungi banyak makna yang halus yang patut dimengertikan oleh orang yang melaksanakannya.

5. Rukun-rukun solat dilakukan secara tertib. Berusaha konsentrasi (Khudunul Kolbih), menyedari bahawa Allah memperhatikan sembahyang itu.

6. Rasa Malu (Haya') perasaan malu terhadap Allah s.w.t., rasa takut (Khauf) kepada kekuasaan Allah.

7. Berharap serta yakin (Optimis) Allah menerima solat dan amal kita.

8. Hati diajak hadir/ikut, kehadiran hati dalam solat iaitu mengosongkan hati dari segala urusan yang boleh mengganggu dan yang tidak berkaitan dengan solat.

9. Membesarkan Allah dalam solat, merasakan kehebatan Allah dalam solat.

10. Menggunakan sejadah yang tidak terlalu banyak gambar yang akan menghayalkan pemikiran.

11. Mendirikan sembahyang secara berjemaah.

12. Mengambil wuduk dengan sempurna.

13. Mengurangkan pergerakan anggota-anggota seperti tangan, kaki dan juga Mata ditumpukan kepada tempat sujud dan ketika tasahut melihat anak jari.

14. Azan dan iqamat terlebih dahulu walaupun mendirikan sembahyang bersendirian ataupun sekurang-kurangnya iqamat sahaja.

15. Ditegah bersembahyang dengan pakaian yang ada gambar, berwarna warni, bertulis, lukisan dan lain-lain kerana ia juga membuat orang lain hilang kekhusyukan ketika berjemaah.

Walau apapun syarat khusyu’ yang paling utama ialah kemantapan iman dalam diri terhadap Allah SWT. Oleh sebab itu, berusahalah untuk mengenali Allah dan memperteguhkan keimanan kepadaNya. Sebenarnya, khusyuk di dalam sembahyang bermula dari khusyuk di luar sembahyang. Kalau di luar sembahyang hati tidak khusyuk dengan Allah, memang payah untuk khusyuk di dalam sembahyang.

Imam Al-Ghazali menyatakan bahawa orang yang tidak khusyuk solatnya adalah dikira sia-sia belaka, kerana tujuan solat itu selain untuk mengingati Allah SWT, ia juga berfungsi sebagai alat pencegah dari perbuatan keji dan mungkar.

Apabila lalai ketika menunaikan solat bererti orang tersebut tidak akan berasa gerun ketika melakukan perkara keji dan mungkar. Menurutnya lagi bahawa solat itu merupakan "munajat" (berdialog dan berbisik) seorang hamba terhadap Tuhannya.

Sayidina Ali k.w. boleh khusyuk dalam sembahyangnya hingga waktu orang mencabut panah di betisnya, dia tidak terasa apa-apa. Sayidina Umar Al Khattab pernah berkata, "Khusyuk itu bukan tundukkan kepala, tapi khusyuk itu dalam hati."

Kesimpulannya orang-orang yang takut kepada penciptanya dan menyedari ia hanyalah hamba akan patuh apasaja yang diperintahkan dan disampaikan oleh rasul serta akan khusyuk mendapat nikmat solat seperti firman Allah yang bermaksud:

"Jadikanlah Sabar dan Solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk. (Yakni) orang-orang yang meyakini, bahawa mereka akan menemui Tuhannya dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya" [Surah Al-Baqarah : ayat 45-46].

#SAMA-SAMALAH KITA MEMOHON KEPADA ALLAH AGAR DITERIMA SOLAT KITA DAN DIKURNIAKAN KEKHUSYUKAN KETIKA SOLAT#

WALLAHUA'LAM

Khamis, 20 November 2008

BAB ALKOHOL..

ALKOHOL : SEJAUHMANA HALAL DAN HARAMNYA??

Fatawa: Alkohol Sebagai Penstabil Minuman Ringan

Keputusan :

Kordial yang mengandungi bahan citarasa (flavour) yang dimasukkan alkohol untuk tujuan penstabilan adalah harus (boleh) digunakan untuk tujuan minuman sekiranya:

a) Alkohol itu bukan dihasilkan dari proses pembuatan arak.

b) Bahawa kuantiti alkohol dalam citarasa (flavour) itu adalah sedikit iaitu tidak memabukkan.

Negara asal : Malaysia
Badan yang mengisu fatwa : Majlis Fatwa Kebangsaan
Tarikh Diisu : 24 November 1988
Nota: Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kali Ke-22

SOALAN:
Bolehkah pelajar-pelajar Islam menyertai kajian sekolah yang menggunakan alkohol?

JAWAPAN:
Terdapat beberapa kategori bagi alkohol. Kategori alkohol yang dinamakan ethanol berasal dari proses penapaian karbohidrat. Kategori dianggap sebagai najis kerana ia adalah sumber bagi minuman keras. Ada juga kategori alkohol yang dihasilkan secara kimia dari hidrokarbon. Menurut kebanyakan ulama, ia bukanlah najis kerana ia bukan dihasilkan untuk diminum dan juga kerana ia bukan berasal dari makanan. Alkohol yang biasanya digunakan di kajian makmal adalah yang dari kategori kedua tadi kerana menggunakan alkohol dalam kategori ketiga akan memakan ongkos yang sangat besar maka ia sesuatu yang mustahil, lebih-lebih lagi bagi makmal sekolah. Oleh itu, dibolehkan bagi pelajar Islam untuk menyertai kajian makmal yang menggunakan alkohol, lebih-lebih lagi jika ia dengan tujuan mencari ilmu, kerana Islam adalah agama yang menitikberatkan pendidikan.

SOALAN:
Bolehkah syampu atau minyak wangi yang mengandungi alkohol digunakan?

JAWAPAN:
Biasanya, barang-barang kegunaan yang ada pada zaman sekarang mengandungi bahan alkohol yang telah ditukar secara proses kimia kepada bahan kimia lain. Bahan alkohol ini bukanlah dari proses petuaian makanan. Ia adalah terhasil dari proses kimia dari bahan petro kimia seperti acetylene.
Sebahagian besar ulama berpendapat bahawa alkohol yang terhasil bukan dari proses petuaian makanan, adalah tidak najis kerana ia tidak boleh diminum. Maka kewujudannya dalam barang-barang kegunaan seperti shampoo atau minyak wangi tidak menjadikan barang tersebut najis.

(MAJLIS AGAMA ISLAM SINGAPURA)

WASSALAM.

PERSOALAN JAMAK QASAR??

Perihal Solat Jama' & Qasar

Soalan

Assalamualaikum ustaz, saya sering balik kampung dan berjalan jauh. Saya mengetahui ketika musafir kita boleh menjamakkan solat, tetapi lantaran kurangnya ilmu tentang hal itu membuatkan saya tidak yakin untuk melaksanakan solat tersebut. Saya hanya mengqada solat setelah sampai ke destinasi. Banyak perkara yang mengelirukan saya. Misalnya kita tidak boleh menjamakkan solat sekiranya akan mendiami destinasi tersebut lebih dari tiga hari. Kita juga tidak boleh menjamakkan solat sekiranya destinasi tersebut adalah kampung halaman kita.

Namun ada yang mengatakan kita boleh menjamakkan solat kerana ia bukan bergantung pada destinasi yang akan kita pergi, tetapi ia bergantung pada tempat di mana kita menjamakkan solat. Contohnya, di pertengahan jalan, kita terhenti, kita tidak berada di situ lebih dari tiga hari dan tempat itu bukan kampung halaman kita.

Oleh itu saya amat berharap ustaz dapat menerangkan tentang solat jamak dan qasar, syarat-syaratnya dan cara mendirikannya, agar saya dapat mempraktikkannya kelak.

- Hayati, Sg Besi.

Jawapan

wa'alaikumussalam

Saudari sepatutnya menjama'kan sahaja solat, qadha solat adalah sesuatu yang amat kurang baik untuk diamalkan. Qadha solat juga hanya wujud apabila seseorang tertinggal kerana uzur seperti tertidur dan yang seumpamanya. Sebarang tindakan meninggalkan solat secara sengaja adalah mengundang dosa walaupun qadha dilakukan.

Berikut pula syarat untuk men"qasar"kan solat menurut mazhab Syafie (Rujuk Mughni al-Muhtaj, 1/359-365) :-

i. Hanya tertakluk kepada keadaan bermusafir dengan jarak melebihi 85 KM.

ii. Hanya boleh di qasar apabila telah melepasi sempadan kampung atau taman perumahannya.

iii. Mengetahui destinasinya dan ia tidak bertujuan maksiat.

iv. Tidak berimamkan orang yang menunaikan solat penuh (4 rakaat).

v. Berniat qasar semasa takbiratul ihram solatnya.

vi. Mestilah solat qasar itu dilakukan dalam keadaan bersmusafir dari awal hingga akhirnya.

vii. Jika ia berniat (semasa bertolak) untuk duduk di sesuatu destinasi lebih dari tiga hari (tidak termasuk hari sampai dan pulang), maka ia tidak berhak untuk melakukan qasar solat, sejurus sampainya ia ke destinasi itu. Jika ia tidak berniat lebih dari tiga hari atau langsung tidak punyai niat berapa hari, kiraan 3 hari adalah tidak termasuk hari sampai dan hari pulang. Dalamtempoh itu, ia boleh menqasarkannya jika tiada niat 3 hari.

Solat jama' pula semua syaratnya sama dengan solat qasar. Berikut maklumat beberapa maklumat tentang jama' solat :-

i. Jama' tidak hanya tertakluk kepada keadaan musafir, terdapat keadaan sukar yang lain seperti hujan terlampau lebat, salji, keadaan merbahaya di luar, sakit (mazhab Syafie tidak membenarkan jamak kerana sakit tetapi harus menurut mazhab Maliki dan Hanbali, Rujuk Ikhtilaf Aimmah al-Ulama, Ibn Hubayrah, 1/150), semasa Haji, itulah beberapa contoh keadaan yang di benarkan untuk di jama' kan solat. (Rujuk Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuhu, 2/1375)

ii. Solat jama' boleh dilakukan dalam dua bentuk :-

Pertama : Jamak Taqdim
Ertinya : Di gabungkan dua solat dalam waktu solat yang pertama seperti zohor dan asar di dalam waktu zohor, atau maghrib dan isyak di dalam waktu maghrib.

Ia berdasarkan hadith shohih dari Muadz Bin Jabal riwayat Ahmad, Tirmidzi Ibn Hibban dan lain-lain.

Syaratnya :

1) Solat dilakukan menurut tertibnya atau yang awal terlebih dahulu (zohor dahulu dan asar di kemudiannya, maghrib dahulu dan isyak di kemudiankan), jika tidak maka batal solatnya menurut mazhab Syafie. (Rujuk Mughni al-Muhtaj, 1/371 )

2) Berniat jamak ketika solat pertama dilakukan, dan harus juga berniat jamak walaupun solat telah bermula. Lafaz niatnya tidaklah perlu di baca dalam bahasa arab, dalam bahasa melayu juga di benarkan. Tatpi perlu ingat lafaz niat bukannya niat tetapi hanya sebagai pembantu agar niat boleh hadir dengan lebih mudah. Lazfa niat ini adalah saranan mazhab Syafie sahaja, manakala Rasulullah SAW sendiri tidak pernah melakukannya, justeru jika mampu menghadirkan niat di dalam hati tanpa berlafaz, itu yang terbaik.

3) Mestilah berturut-turut (Muwalat); Pastikan jangan terdapat pemisahan yang agak panjang atau urusan lain di tengah-tengah kedua-dua solat.

Kedua : Jamak Takhir

Ertinya : Menggabungkan dua solat dalam satu waktu, iaitu waktu solat yang terkemudian. (seperti zohor dan asar di tunaikan dalam waktu asar).

Ia dibenarkan syarak berdasarkan hadith yang shohih dari Anas dan Ibn Umar yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim. (Rujuk Naylul Awtar, 3/212)

Syarat-syaratnya :

1) Niat Takhir sebelum habisnya waktu solat pertama (iaitu niat dilewatkan solat pertama untuk digabungkan dalam waktu asar atau isyak)

2) Berterusan dalam keadaan musafir sehingga tamat solat yang kedua.

Soalan saudari tentang tidak boleh jamak sekiranya destinasi perjalanan itu adalah kampung halaman sendiri adalah seperti berikut (Rujuk Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuhu, 2/1362 cet 4, dar Al-Fikr):-

a- Seseorang yang kerja di KL, manakala kampung kelahirannya di Batu Pahat, Johor atau mana-mana jarak yang melebihi 85 KM. Apabila ia sampai ke kampong asalnya ( ibu bapanya juga di sana) ia tidak boleh lagi menqasarkan solat kerana ia tidak dikira bermusafir lagi apabila telah sampai ke kampung walaupun berniat duduk kurang dari 3 hari.

b- Seseorang yang kampung kelahirannya di Perak, dan ia kerja di KL dan kampung isterinya di Johor. Apabila ia balik ke kampung isterinya, juga tidak boleh qasar apabila telah sampai. Bagaimanapun terdapat pandangan menegatakan si suami berhak menjamak dan qasar kerana ia bukan tempat tinggalnya. Bagi saya, kelaur dari yang khilaf adalah lebih baik dalam hal ini.

c- Sekiranya ia dalam perjalanan balik dari kampung Johor atau Peraknya ke KL, ia juga tidak boleh meng"qasar"kan solat apabila telah sampai ke rumahnya di KL

Adapun kenyataan saudari "tidak berada lebih tiga hari di sesuatu tempat perhentian" adalah syarat untuk qasar sahaja. Adapun solat jamak, maka ia masih di bolehkan jika terdapat sebab-sebab yang di sebutkan di atas.

Sekian

PETIKAN DARI WEB : www.zaharuddin.net

Rabu, 19 November 2008

IMAM SILAP DALAM BACAAN

Hukum Imam Silap Dalam Bacaan

Saya ingin bertanya akan hukum seorang imam yang membaca ayat-ayat quran ketika solat dengan salah sebutan, tajwid dan makhrajnya. Adakah ia membatalkan solat. ?
- Dr Iman, Shah Alam-

Jawapan:

Mazhab Hanafi dan kebanyakan ulama Syafie berpandangan dengan pandangan yang agak keras apabila mereka berijtihad bahawa solat si imam adalah batal, terutamanya apabila makna ayat itu berubah atau tiada makna. Malah sekiranya si imam itu beri'tiqad dengan bacaan salah itu, maka ia boleh menjadi kufur. Tetapi jika tersilap dan diulangi maka solat adalah sah.( Ad-Durrul Mukhtar, 1/589; Rawdah at-Tolibin, hlm 109, cet Dar Ibn Hazm)

Manakala kebanyakan ulama mutaakhir menyebut kesilapan dalam tajwid dan makhraj serta tatabahasa di dalam bacaan ayat quran, tidak membatalkan solat. Bagaimanapun sekiranya bertukar huruf yang mudah disebut kepada huruf yang lain seperti "solehat" kepada "tolehat", maka solat adalah batal secara sepakat ulama. Adapun, jika huruf yang sememangnya agak sukar di lafazkan seperti ‘sin' dengan ‘shim' atau bertukar ‘shod' kepada ‘sin' dalam bacaan fatihah. Ia tidak membatalakn solat kerana umum al-balwa (perkara silap yang sukar dielakkan).

Tidak membaca "tasydid" pada bacaan al-fatihah seperti (iyyaka na'budu) dibaca (iyaka na'budu) atau (rabbil ‘alamin) dibaca ( rabil ‘alamin) akan merosakkan solat.
Manakala Mazhab Hanbali berijtihad bahawa sebarang kesilapan di dalam bacaan imam yang menukar erti ayat selain pada bacaan al-Fatihah tidak membatalkan solat. Silap dalam fatihah pasti membatalkan solat. ( Al-Mughni, 2/198)

Bagi mengelakkan masalah ini berbangkit, setelah melihat yang paling mengetahui ilmu tentang hukum solat, Nabi SAW amat menggalakkan individu yang layak menjadi imam adalah paling baik bacaannya di samping syarat-syarat yang lain. Berdasarkan hadith : ertinya " "menjadi imam bagi sesuatu kaum adalah yang paling baik bacaan al-Qurannya, sekiranya bacaannya sama, maka yang lebih mengathui perihal sunnah" (Riwayat al-Jamaah kecuali al-Bukhari, Nasb ar-Rayah, 2/24)

Sekian
Ust Zaharuddin Abd Rahman

PERGAULAN LELAKI PEREMPUAN

BATASAN PERBUALAN LELAKI DAN WANITA

Hubungan/interaksi antara lelaki dan wanita dalam banyak keadaan tidak dapat dielakkan. Dalam dunia hari ini, kaum lelaki dan kaum wanita sama-sama bersaing dalam hampir semua sector. Selagi hubungan tersebut berjalan secara normal, dengan tujuan yang baik (untuk memenuhi urusan dan keperluan), di tempat terbuka dan tidak menimbulkan sebarang syak wasangka orang lain dan tidak ada niat yang terselindung di sebaliknya, maka Islam tidak menghalang lelaki dan wanita untuk berinteraksi antara satu sama lain. Islam hanya menyekat hubungan yang berlebihan yang jika tidak dikawal akan membawa kepada berlakunya zina. Contoh hubungan yang berlebihan ini ialah;

1. Berdua-duaan tanpa mahram
2. Saling sentuh-menyentuh
3. Bercakap dengan suara manja dan memikat (khusus bagi perempuan)
4. Mendedahkan aurat atau bertabarruj
5. Kerap bertemu tanpa ada keperluan
6. Terlalu mesra atau bergurau yang keterlaluan
7. Meluahkan perasaan cinta dan kasih.

Bentuk hubungan yang berlebihan di atas hanya diizinkan apabila ada akad perkahwinan. Tanpa akad perkahwinan, tidak diizinkan Syarak sekalipun telah ada ikatan pertunangan.

Kesimpulannya, hubungan antara lelaki dan wanita adalah harus dengan syarat tidak berlebihan sebagaimana disebutkan di atas. Secara amnya, kita sendiri perlu bertanya diri kita; kenapa kita memilih si fulan (lelaki/wanita) untuk berurusan dengannnya. Adakah kerana keperluan atau kebetulan atau ada niat lain di sebaliknya. Namun begitu, apa pun niat kita, selagi tidak berlebihan seperti di atas, tidaklah kita memasuki daerah haram. Cuma kita perlu menjaga hati kita agar sentiasa bersih dan tidak terjebak ke dalam yang haram di masa depan.

Wallahu a’lam.

AMALAN MASUK RUMAH

AMALAN MASUK RUMAH

Soalan; Ustaz. InsyaAllah, saya akan berpindah ke rumah baru. Sehubungan dengan itu saya memohon penjelasan daripada ustaz mengenai perkara berikut:
a) Apakah adab-adab dalam Islam ketika hendak berpindah ke rumah baru?
b) Perlukah diadakan majlis do'a selamat dan/atau membaca Ya-sin? Apakah ia mengikut sunnah?
JazakAllah. Wassalam.

Jawapan;

Amalan membaca al-Quran dan berdoa secara berjamaah (yakni beramai-ramai serentak) secara rutin atau pada masa tertentu sama ada malam jumaat, ketika masuk rumah baru dan sebagainya tidaklah pernah dilakukan oleh Nabi s.a.w.. Namun pada asasnya amalan membaca al-Quran dan berdoa itu adalah sabit dari Nabi s.a.w., yakni terdapat hadis menceritakan galakan membaca al-Quran dan berdoa, namun kaifiyat membacanya beramai-ramai itu tidaklah ada dalam hadis Nabi s.a.w.. Kerana itu, amalan sebegini dinamakan dengan bid'ah idhafiyah yang diperselisihkan antara ulamak-ulamak di mana ada yang mengharuskannnya dan ada yang melarangnya.

Mengenai adab-adab ketika hendak masuk rumah baru, berdasarkan pemerhatian saya -wallahu a'lam-; Islam tidaklah menekankan amalan yang hanya khusus ketika masuk rumah, tetapi amalan-amalan yang berterusan yang perlu dihidupkan di dalam rumah, antaranya;

1. Memasuki rumah dengan membaca Bismillah dan doa yang makthur dari Nabi s.a.w. Begitu juga ketika keluar dari rumah.

2. Menjaga ahli rumah agar sentiasa berada dalam ketaatan dan menjauhi maksiat dan munkar. Firman Allah (bermaksud); “Wahai orang-orang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan bakarnya terdiri dari manusia dan batu…” (at-Tahrim: 6). Berkata Imam Qatadah (tatkala menghurai ayat ini); ‘yakni kamu menyuruh mereka supaya mentaati Allah dan menegah mereka dari memaksiatiNya serta kamu melaksanakan tanggungjawab kamu terhadap mereka dengan agama Allah, kamu memerintahkan mereka dengannya dan membantu mereka untuk melaksanakannya. Apabila kamu melihat mereka melakukan maksiat, tegahlah mereka”. Menurut Imam Muqatil; “Menjadi suatu kewajipan ke atas setiap lelaki muslim untuk mengajar ahli-ahli keluarganya (isteri dan anak-anaknya) apa yang difardhukan Allah ke atas mereka dan apa yang ditegah Allah dari mereka”. (Rujuk: Tafsir Ibu Kathir)

3. Setiap ahli rumah menunaikan kewajipan masing-masing mengikut agama; kewajipan sebagai suami dan bapa, kewajipan sebagai isteri dan ibu dan kewajipan sebagai anak. Sabda Nabi s.a.w.; “Setiap kamu adalah penjaga dan setiap kamu akan ditanya tentang orang-orang di bawah jagaannya. Pemimpin Negara adalah penjaga bagi rakyatnya dan dia akan ditanya berkenaan orang di bawah jagaannya (yakni rakyatnya). Seorang lelaki adalah penjaga bagi ahli keluarganya dan dia akan ditanya tentang ahli keluarga di bawah jagaannya. Seorang wanita adalah penjaga bagi rumah suaminya dan dia akan ditanya tentang apa yang berada di bawah jagaannya…”. (HR Imam al-Bukhari dan Muslim dari Ibnu ‘Umar r.a.).

3. Menghidupkan bi-ah Islam di dalam rumah, antaranya dengan;

a) Membaca al-Quran di dalam rumah. Sabda Nabi s.a.w.; “Jangan kamu jadikan rumah-rumah kamu sebagai kubur. Sesungguhnya syaitan melarikan diri dari rumah yang dibacakan di dalamnya surah al-Baqarah” (HR Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

b) Mengerjakan solat-solat sunat di dalam rumah. Sabda Nabi s.a.w.; “Kerjakanlah solat –wahai manusia- di rumah-rumah kamu. Sesungguhnya solat yang paling afdhal ialah seseorang mengerjakan solat di rumahnya kecuali solat yang fardhu” (HR Bukhari dan Muslim dari Zaid bin Thabit r.a.). Dalam hadis yang lain baginda bersabda; “Kerjakanlah sebahagian solat kamu dirumah kamu. Janganlah kamu jadikan rumah-rumah kamu ibarat kubur”. (HR Imam Muslim dari Jabir r.a.)

c) Mengajak ahli keluarga bersama-sama beribadah. Sabda Nabi s.a.w.; “Jika seorang lelaki mengejutkan ahli keluarganya pada waktu malam, lalu mereka mengerjakan solat dua rakaat bersama-sama, nescaya mereka berdua akan ditulis/disenaraikan di kalangan lelaki-lelaki yang banyak berzikir dan perempuan-perempuan yang banyak berzikir” (HR Imam Abu Daud dari Abi Said r.a.). Dalam hadis yang lain, Rasulullah s.a.w. bersabda; “Allah mengasihi seorang lelaki yang bangun menunaikan solat malam, kemudian ia mengejutkan isterinya…Begitu juga, Allah mengasihi seorang perempuan yang bangun menunaikan solat malam, kemudian ia mengejutkan suaminya…” (HR Abu Daud dari Abu Hurairah r.a.).

d) Hidupkan budaya memberi salam. Anas r.a. menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda kepadanya; “Wahai anakku! Jika kamu masuk menemui ahli keluargamu (di rumah kamu) maka berilah salam kepada mereka, nescaya akan dilimpahi keberkatan ke atas kamu serta ahli rumah kamu” (HR Imam at-Tirmizi dari Anas r.a.). Rasulullah s.a.w. pernah bertanya para sahabat baginda; “Mahukah aku tunjukkan kepada kamu suatu amalan yang jika kamu lakukan nescaya kamu akan saling berkasih-sayang?”. Jawab mereka; “Ya”. Lalu baginda bersabda; “Hidupkan budaya memberi salam antara sesama kamu” (HR Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.).

e) Mempraktikkan adab-adab Islam di dalam rumah. Antara adab-adab Islam yang perlu dipraktikkan oleh ibu-bapa serta ahli keluarga di rumah ialah adab ketika makan, adab ketika masuk dan keluar tandas, adab berpakaian, adab anak-anak ketika hendak masuk ke bilik ibu-bapa (terutamanya apabila anak-anak telah mumayyiz), adab keluar dan masuk rumah, adab tidur dan bangun dari tidur dan sebagainya. Adab-adab ini amat penting kerana ia melibatkan amalan dan rutin harian yang boleh memberi contoh berkesan kepada anak-anak dalam meningkatkan roh keislaman mereka. Umar bin Abi Salamah r.a. menceritakan: “Semasa saya masih kanak-kanak di bawah jagaan Rasulullah s.a.w., suatu ketika saya makan dalam keadaan tangan saya bergerak sana sini mengambil makanan yang ada di dalam talam (sedang orang makan bersama). Lalu Rasulullah s.a.w. menasihatkan saya; “Wahai anakku! Mulakan makan dengan menyebut nama Allah (membaca Bismillah), kemudian makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah dari makanan yang berada di depanmu”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

4) Jika ingin memohon perlindungan untuk rumah, lakukanlah sebagaimana yang diajar oleh Nabi s.a.w, antaranya ialah dengan membaca al-Quran dan doa-doa perlindungan yang makthur dari baginda. Sabda Nabi s.a.w.; “Janganlah kamu menjadikan rumah-rumah kamu ibarat kubur. Sesungguhnya rumah yang dibacakan di dalamnya surah al-Baqarah, rumah itu tidak akan dimasuki Syaitan” (HR Imam Muslim dan at-Tirmizi dari Abu Hurairah r.a.). Sabda Nabi s.a.w.; “Sesiapa singgah/berhenti di satu tempat, lalu ia membaca “أعُوذُ بِكَلِماتِ اللَّهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرّ مَا خَلَقَ” (Aku berlindung dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna dari kejahatan segala makhluk ciptaannya), nescaya tidaka ada sesuatupun dapat memudaratkannya hingga ia berpindah” (HR Imam Muslim dari Khaulah binti Hakim r.a.)

Demikianlah sebahagian dari amalan-amalan di dalam rumah yang digalakkan oleh Islam yang sabit dari hadis-hadis yang soheh dari Nabi s.a.w.. Dengan melakukan amalan-amalan tersebut, Insya Allah rumah kita akan sentiasa dilindungi dari Iblis dan Syaitan dan ahli keluarga kita akan senantiasa diberkati Allah.

Wallahu a’lam.

OLEH: USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL

HUKUM AQIQAH DAN KORBAN SERENTAK

AQIQAH DAN KORBAN SERENTAK PADA SEEKOR LEMBU

Soalan; adakah ibadah korban dan aqiqah blh dilakukan serentak? Contohnya seekor lembu ada 7 bahagian, sebahagian utk korban dan sebahagian lagi utk aqiqah?

Jawapan;

Aqiqah, sebahagimana harus dengan kambing, ia juga harus dengan lembu, kerbau dan unta. Sepertujuh (1/7) bahagian lembu/kerbau/unta menyamai seekor kambing. Oleh itu, seekor lembu/kerbau/unta boleh dijadikan aqiqah untuk tujuh orang anak. Dan harus seorang yang ingin melakukan aqiqah berkongsi lembu/kerbau/unta dengan orang lain yang tidak berniat melakukan aqiqah seperti ia mengingini 1/7 atau 2/7 dari bahagian unta/lembu itu untuk aqiqah dan adapun bahagian selebihnya diingini oleh orang lain untuk korban atau untuk dagingnya sahaja. Berkata Imam an-Nawawi dalam kitabnya al-Majmu’; “Jika disembelih seekor lembu atau unta untuk tujuh orang anak/bayi atau berkongsi pada lembu/unta itu sekumpulan orang, harus hukumnya sama ada semua mereka mengingini aqiqah atau sebahagian mengingini aqiqah dan sebahagian lagi inginkan dagingnya sahaja”.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Al-Fiqhul-Manhaji, jil. 3, hlm. 56.
2. Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 321.

FATWA BERUS BULU BINATANG

Tajuk :
HUKUM PENGGUNAAN BERUS BULU BINATANG

KEPUTUSAN:

Mesyuarat Jawatankuasa Syariah yang bersidang pada hari ini 11 Zulkaedah 1425 bersamaan 23 Disember 2004 buat kali ke 164 bersetuju hokum penggunaan berus bulu binatang dari Cina dan Taiwan adalah haram kerana tidak disembelih mengikut hokum syara’ dan tidak diketahui bulu binatang jenis apa dan hanya di benarkan dari plastic dan fiber .

Oleh : Jawatankuasa Syariah Negeri Perak

BULU BINATANG: ADAKAH NAJIS??

Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu `Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah

Islam menggalakkan penganutnya untuk sentiasa menjaga kebersihan, baik pada tubuh badan, pakaian dan lain-lain, lebih-lebih lagi ketika menunaikan ibadah seperti sembahyang. Bukan sahaja bersih daripada benda-benda najis malahan juga bersih daripada sebarang kekotoran. Pengertian kotor dan najis itu adalah berbeza pada pandangan syarak kerana setiap yang kotor itu tidak semestinya najis dan setiap yang najis pula adalah kotor. Umapamanya pakaian yang terkena lumpur,kuah kari atau kopi adalah kotor tetapi ia tidak najis.

Berbalik kepada tajuk di atas iaitu bulu binatang adakah ia najis ataupun tidak? Apabila dilihat perihal bulu di zaman sekarang, memang banyak dimanfaatkan oleh manusia seperti dijadikan pakaian, alas, perhiasan, berus dan sebagai nya. Masalah yang timbul adakah ia boleh digunakan ataupun tidak dan adakah sah sembahyang ketika memakainya.

Bulu binatang itu ada yang datangnya daripada binatang yang halal dimakan dagingnya dan binatang yang tidak halal dimakan dagingnya. Binatang itu pula ada yang disembelih dan ada juga yang mati bukan kerana disembelih (bangkai). Maka IRSYAD HUKUM kali ini meninjau lebih lanjut ketetapan hukum syarak mengenai perkara tersebut.

BINATANG YANG HALAL DIMAKAN DAGINGNYA

Bulu binatang yang halal dimakan seperti unta, lembu, kambing, arnab, ayam dan sebagainya, jika terpisah dari badannya sama ada dicabut, tercabut atau sebagainya ketika binatang itu hidup atau mati kerana disembelih maka adalah ia suci (tidak najis). Firman Allah Subhanahu Wata’ala yang tafsirnya :

“Dan (ia juga menjadikan bagi kamu) dari berjenis-jenis bulu binatang-binatang ternak itu, pelbagai perkakas rumah dan perhiasan (untuk kamu menggunakannya) hingga ke suatu masa.” (Surah An-Nahl ayat 80).

Jika bulu binatang tersebut terpisah sesudah ia menjadi bangkai maka bulu binatang berkenaan adalah najis.

Adapun anggota yang lain selain bulunya jika di potong atau dipisahkan dari badannya ketika binatang itu masih hidup ia dihukumkan sebagai bangkai, sebagaimana disebutkan dalam hadis daripada Abu Sa’id Al-Khudri Radiallahuanhu yang maksudnya :

Bahawasanya Rasulullah Sallalahahu Alaihi Wasallam pernah ditanya mengenai potongan bonggol-bonggol unta dan ekor-ekor kambing. Baginda bersabda : “Apa yang dipotong daripada yang hidup adalah bangkai.” (Hadis riwawat Al-Hakim)

Hadis ini ditakhshishkan oleh dalil Al-Quran yang telah disebutkan di atas di mana bulu bianatang yang halal dimakan itu jika terpisah ketika binatang itu hidup adalah suci. Demikian juga halnya dengan anggota yang terpisah daripada manusia, ikan atau belalang ia adalah suci.

BINATANG YANG TIDAK HALAL DIMAKAN DAGINGNYA

Jika bulu binatang yang tidak halal dimakan seperti kucing, monyet, musang dan sebagainya, terpisah daripada badannya ketika binatang itu masih hidup, maka bulu tersebut adalah najis apatah lagi sesudah binatang tersebut mati. Demikianlah juga anggota-anggotanya yang lain jika bercerai daripada binatang itu adalah dikira bangkai. (Mughni Al-Muhtaj, Kitab Ath-Thaharah, Bab An-Najasah ayat 1/115).

SYAK PADA KESUCIAN BULU BINATANG

Ada kalanya kita terjumpa bulu binatang dan kita tidak mengenali sama ada bulu binatang itu suci atau najis. Maka, jika terjadi syak, adakah bulu yang terpisah dari binatang itu datangnya dari yang suci ataupun yang najis, maka bulu itu di hukumkan suci kerana menurut hukuman asal adalah suci, dan telah berlaku syak pada kenajisannya sedang hukum asal adalah tidak najis. (Mughni Al-Muhtaj, Kitab Ath-Thaharah, Bab An-Najasah ayat 1/115). Sebagai contoh baju yang diperbuat daripada bulu binatang sedang tidak diketahui sama ada bulu tersebut datangnya daripada binatang yang halal dimakan ataupun sebaliknya atau ia daripada binatang yang disembelih ataupun bangkai, maka dalam hal ini baju tersebut adalah suci.

BULU PADA ANGGOTA YANG TERPOTONG

Bulu yang ada pada anggota binatang yang tidak halal dimakan yang terpotong ketika binatang itu masih hidup adalah najis apatah lagi sesudah mati, seperti ekor kucing yang terpisah atau terpotong. Kerana ekor yang terpotong itu bangkai, maka bulu yang ada pada ekor itu juga adalah najis.

Demikian juga halnya dengan bulu yang ada pada anggota binatang yang halal dimakan yang terpotong ketika hidup ataupun mati tanpa disembelih adalah najis, seperti ekor kerbau yang berbulu dan terpisah atau terpotong. Kerana ekor kerbau itu terpotong ketika ia hidup atau terpotong setelah ia mati bukan kerena disembelih adalah bangkai, maka bulu ekor itu juga adalah najis.

Jika dicabut bulu binatang yang halal dimakan ketika hidup sehingga tercabut bersama-samanya akar bulu tersebut dan melekat padanya sesuatu yang basah daipada bulu itu seperti darah atau sebagainya, maka bulu itu mutanajjis (yang terkena najis atau bercampur najis). Akan tetapi ia boleh menjadi suci jika dibersihkan. (Mughni Al-Muhtaj, Kitab Ath-Thaharah, Bab An-Najasah ayat 1/115).

PENGGUNAAN BULU BINATANG

Daripada penjelasan sebelum ini, mana-mana bulu yang dicabut daripada bangkai aatau dicabut daripada binatang yang tidak boleh dimakan dagingnya adalah najis. Maka setiap penggunaan kesemua benda-benda yang najis, menurut pendapat yang sahih adalah tidak harus memanfaatkannya sama ada dibuat pakaian atau perhiasan di badan melainkan jika ada darurat. Sementara penggunaan selain daripada pakaian atau perhiasan badan adalah diharuskan jika najis itu bukan datangnya daripada anjing dan babi.

Apa yang dimaksudkan dengan darurat itu ialah, seperti terjadinya peperangan yang mengejut atau takut atas terjadi sesuatu pada dirinya kerana kepanasan atau kesejukan ataupun sebagainya, lalu tiada pakaian lain selain yang najis, maka harus dipakai pakaian itu kerana darurat kecuali dipakai ketika sembahyang. (Mughni Al-Muhtaj, Kitab As-Shalah, Bab Ma Yukrah Lubsuhu Wa Ma La Yukrah, Fashal Fi At-Tahalli Bi Al-Fidhah ayat 4/387).

Oleh itu, dapatlah difahami bahawa setiap penggunaan bulu binatang yang najis sama ada dijadikan pakaian atau perhiasan di badan adalah tidak diharuskan oleh syarak melainkan jika ada darurat.

HUBUNGANYA DENGAN SEMBAHYANG

Menurut hukum syarak syarat sah mengerjakan sembahyang itu hendaklah bersih daripada segala najis baik pada pakaian, tubuh badan dan tempat sembahyang.

Oleh itu, jika terdapat bulu binatang yang hukumkan najis pada pakaian atau badan maka sembahyang itu tidak sah kerana menanggung sesuatu yang najis. Kecuali jika bulu yang najis itu sedikit, seperti sehelai atau dua helai, kerana ia dimaafkan. Melainkan bulu anjing atau babi kerana ia tetap najis walaupun hanya sedikit. (AL-Feqh Al-Islami Wa Adilatuh ayat 1/175).

Apakah yang harus dilakukan oleh orang yang sedang sembahyang mendapati ada bulu najis pada pakaiannya? Menurut Ashhab Asy Syafi’e, apabila orang yang sedang sembahyang itu mendapati ada najis yang kering pada pakaian atau badannya, maka pada saat itu juga hendaklah dia mengibas najis tersebut. Jika dia mendapati najis yang basah pula hendaklah dia segera menanggalkan atau mencarik pakaiannya yang bernajis itu tanpa menyentuh najis tersebut. Adapun jika dia tidak segera menanggalkan atau mengibas pakaian yang bernajis itu maka batal sembahyangnya.

Pakaian yang terkena bulu yang najis hendaklah terlebih dahulu dibersihkan. Cara membersihkannya ialah jika bulu itu kering dan pakaian atau anggota badan yang tersentuh bulu itu juga kering adalah memadai dengan menanggalkan najis itu sama ada dengan mengibas, mengibar atau menyapunya. Adapun jika bulu itu basah ataupun pakaian atau anggota badan yang terkena najis itu sahaja yang basah maka hendaklah ditanggalkan najis itu dan dibersihkan dengan air yang suci disekitar yang terkena najis. (Fath Al-‘Allam, Kitab Ath-Thararah, Bab Izalah An-Najasah ayat 1/347).

Oleh kerana persoalan memakai pakaian daripada bulu itu adalah berkaitan dengan persoalan hukum najis, maka perlulah kita berhati-hati dalam memilih dan memanfaatkannya supaya pakaian yang dipilih itu diyakini diperbuat daripada bulu yang suci dan boleh kita guna pakai seperti ketika sembahyang dan sebagainya.

(FATWA KERAJAAN NEGERI BRUNEI DARUSSALAM)

Selasa, 18 November 2008

Fiqh Keutamaan – Satu Kajian Baru dari Perspektif Al-Quran dan Al-Sunnah - Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi

SEDIKIT PERBINCANGAN MENGENAI BUKU FIQH AULAWIYYAT (FIQH KEUTAMAAN)

Kandungan buku ini telah dibahagikan kepada sebelas bab. Bab pertama memaparkan “Hajat umat Islam terhadap fiqh keutamaan”. Bab kedua, “Keutamaan kualiti ke atas kuantiti”. Bab ketiga, “Keutamaan kefahaman ke atas semata-mata hafalan”. Bab keempat, “Keutamaan dalam bidang fatwa dan dakwah” Bab kelima, “Keutamaan dalam bidang amal perbuatan” Bab keenam, “Keutamaan dalam perkara-perkara yang diperintahkan Allah Taala” Bab ketujuh, “Keutamaan dalam perkara-perkara yang dilarang Allah Taala”. Bab kelapan, “Sifat sangat kedekut”. Bab kesembilan, “Keutamaan dalam bidang pembaharuan masyarakat”. Bab kesepuluh, “Fiqh keutamaan di dalam ilmu warisan Islam”. Bab kesebelas, “Keutamaan mengikut pandangan para pejuang pembaharuan di era moden”.

Menariknya dalam bab pertama lagi Dr. Yusuf al-Qaradhawi menyatakan bahawa salah satu faktor yang mengakibatkan kedaifan umat Islam pada masa kini ialah hilangnya pertimbangan golongan intelektual dan masyarakat awam terhadap Fiqh keutamaan ini. Di kalangan remaja penekanan ke atas sukan dan hiburan menjadi lebih penting daripada mengejar ilmu itu sendiri. Yang sepatutnya disanjung bukan lagi golongan ilmuwan atau penulis walhal ahli sukan dan artis-artis diangkat dan dicontohi sebagai idola. Fenomena tersebut jelas membuktikan kejahilan masyarakat terhadap dimensi prioriti yang sedia ada dalam Islam. Oleh sebab itu, untuk memahami maksud fiqh keutamaan ini beliau telah mendefinisikannya sebagai meletakkan segala suatu pada tangga dan peringkatnya yang sebenar dengan pertimbangan keadilan sama ada mengenai perbuatan, pemikiran hukum-hakam dan nilai-nilai akhlak mulia.

Justeru itu, suatu yang kurang penting tidak wajib dipentingkan. Apa yang wajar didahulukan hendaklah diketengahkan, suatu yang wajar dikemudiankan hendaklah dikemudiankan, perkara yang kecil tidak patut dibesar-besarkan, sementara perkara yang penting tidak wajar dipermudah-mudahkan. Dengan lain perkataan tiap-tiap suatu hendaklah diletakkan pada tempatnya secara berimbangan. Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud: “Dan Allah telah meninggikan langit dan meletakkan neraca keadilan, supaya kamu jangan melampaui batas tentang neraca itu, dan tegakkanlah timbangan itu dengan adil dan janganlah kamu mengurangi neraca itu.” (Surah al-Rahman: 7-9)

Sebagai seorang doktor rohani dan pembimbing ummah, Dr. Yusuf Al-Qaradhawi telah berusaha keras untuk menyajikan ramuan-ramuan dan resipi yang sesuai untuk dijadikan dispensari kepada setiap penyakit yang dideritai oleh masyarakat Islam kita pada masa kini. Oleh sebab itu beliau menggesa agar aspek-aspek ilmu mesti diberikan keutamaan daripada amalan serta lebih mencerap aspek kualiti isi kandungnya berbanding kuantiti bacaan itu sendiri. Justeru itu, dalam buku ini, aspek mengutamakan ilmu dan kefahaman sangat ditekankan hinggakan dalam bab yang ketiga telah dijelaskan suatu bab khusus tentang keutamaan kefahaman ke atas semata-mata hafalan. Secara literalnya penulis telah membangkitkan kesedaran kepada kita agar memahami ajaran-ajaran agama Islam bukan setakat mempelajarinya untuk dihafal atau bagi tujuan lulus peperiksaan sedangkan memahami inti pati pengertiannya yang sebenar itulah yang lebih utama. Tetapi tidaklah sampai menyatakan ia sesuatu yang sia-sia namun dari sudut kedudukannya ia bukanlah matlamat yang utama tetapi hanya sebagai pengantara untuk mencapai apa jua kefahaman dan pengertian.

Selanjutnya penulis menyusun beberapa panduan atau konteks yang perlu diambil kira ketika meletakkan aspek keutamaan tersebut terutama apabila bertembung dengan beberapa permasalahan yang timbul.

Keutamaan memberikan keringanan dan kemudahan daripada memberatkan.
Dalam hal ini penulis membawa contoh bagaimana Rasulullah s.a.w. menganjurkan umatnya menyegerakan berbuka puasa dan mengakhirkan makan sahur untuk memberikan kemudahan kepada yang berpuasa.

Mengakui keadaan darurat yang datang menimpa kehidupan manusia.
Dalam keadaan tersebut syariat Islam membolehkan perkara-perkara yang sebelumnya terlarang dibenarkan demi memberi kemudahan kepada manusia baik individu mahupun jemaah.

Perubahan fatwa dan ketentuan hukum kerana perubahan masa dan tempat.
Oleh sebab perubahan dan perkembangan yang terjadi di dalam kehidupan manusia seperti permasalahan perubatan atau teknologi moden menyebabkan para ulama membolehkan perubahan fatwa dan ketentuan sesuatu hukum itu.

Memahami sunnah al-Tadarruj (berperingkat-peringkat)
Memahami sunah ini bukanlah bermaksud menangguhkan usaha-usaha ke arah pelaksanaan Islam tetapi lebih kepada mempersiapkan pemikiran, sikap, mentaliti, akhlak dan kefahaman masyarakat akan ajaran Islam yang sebenar seperti kaedah pengharaman arak yang disebut oleh Allah S.W.T. dalam al-Quran. Suatu hal yang menarik yang sering berlaku kekeliruan di kalangan masyarakat Islam ialah bagaimana meletakkan keutamaan dalam gerak kerja dan amal ibadah Muslim. Pertamanya penulis menggesa kepada perlunya nilai istiqamah yang harus dikerjakan secara terus-menerus tidak terputus di tengah jalan seperti yang dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Amal yang paling disukai oleh Allah Taala ialah amal yang berkesinambungan” Keduanya amal yang lebih bersifat altruisme iaitu yang memberi manfaat kepada orang ramai lebih utama daripada kepentingan untuk dirinya sendiri atau golongan yang lebih sedikit seperti amalan berjihad atau menyokong kepada jihad yang lebih afdal daripada jenis amalan seperti menunaikan fardu haji ke Tanah Suci. Hal ini kerana manfaat amalan haji tersebut hanyalah untuk orang yang menunaikannya sahaja sedangkan kelebihan berjihad adalah untuk seluruh umat Islam. Selain itu mengutamakan suatu amalan yang lebih lama dan panjang kadar manfaatnya daripada amalan yang hanya kesan manfaatnya untuk jangka masa yang lebih singkat sahaja turut menjadi kriteria. Pengertian inilah yang menjadikan amalan sedekah jariah seperti bersedekah membantu mangsa tsunami mempunyai kelebihan dan keutamaan daripada ibadah korban yang bermusim dan oportunis sifatnya. Rasionalnya amalan bersedekah itu pahalanya lebih panjang kerana ia dijanjikan Tuhan akan terus mengalir walaupun orang yang bersedekah itu telah meninggal dunia.

Isu percanggahan pendapat dalam masyarakat hari ini sehingga timbul sikap saling kecam-mengecam dan salah-menyalahkan yang menyebabkan persaudaraan umat Islam goyah kerana didasari oleh perbezaan-perbezaan furuk iaitu cabang-cabangnya sahaja berbanding dasar atau usul syariat turut dihalusi oleh penulis. Dalam hal ini mengutamakan perkara-perkara dasar yang diperintahkan oleh Allah Taala harus didahulukan bukan hal-hal remeh-temeh. Kita masih terleka untuk melaksanakan kewajipan yang lebih utama iaitu memperkasakan asas akidah, iman dan tauhid serta membina keikhlasan terhadap agama Allah S.W.T. Kecenderungan sebahagian masyarakat kita membangkitkan perkara-perkara yang furuk adalah jelas menunjukkan betapa ceteknya kefahaman mereka terhadap fiqh keutamaan ini.

Isu yang sama juga turut disebut iaitu antara amalan fardu dengan amalan sunat. Dalam hal ini umat Islam tidak menempatkan apa yang disebut fardu ain seperti kewajipan amar makruf dan nahi mungkar di mana al-Quran lebih mendahulukannya daripada solat dan zakat. Ini dibuktikan oleh firman Allah S.W.T. dalam surah at-Taubah ayat 18 yang bermaksud: “Hanya sanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.” Dalam masyarakat Islam kita hari ini, ada golongan yang mementingkan suatu rukun ke atas suatu rukun yang lain. Mereka lebih mengutamakan kewajipan berpuasa pada bulan Ramadan sedangkan al-Quran menekankan kewajipan solat setiap masa. Terdapat juga sebahagian daripada kita yang menekankan perkara-perkara yang sunat seperti zikir, tasbih dan wirid lebih daripada perkara-perkara yang diwajibkan. Mereka tidak melayani ibu dan bapa, memutuskan silaturahim, tidak berbuat ihsan dengan tetangga atau ramah dengan golongan yang lemah, membantu golongan fakir dan miskin sehingga menentang kemungkaran dan kezaliman.

Dalam hal yang berhubung dengan nilai-nilai kemasyarakatan, aspek fiqh keutamaan ini tidak mendapat tempat di hati masyarakat. Masyarakat kita lebih mementingkan ibadat fardu yang bersifat nafsi-nafsi semata-mata lantas meminggirkan konsep ibadat yang lebih global di luar ruang lingkup diri. Ibadat fardu yang berasaskan prinsip jemaah seperti hak-hak jiran, kemanusiaan dan kenegaraan yang masih terabai. Begitu juga kita masih tertinggal di belakang terutama dalam menguasai segala jenis ilmu pengetahuan sains dan teknologi. Akhirnya disebabkan kejahilan kita dan kelemahan para ulama dan umarak maka Islam terus-menerus lemah dan ketinggalan sehinggakan ruang yang diberikan Allah Taala dalam bidang fiqh seperti ijtihad dan istinbat hukum terus beku serta hilangnya kedinamikan syariat Islam yang sebenarnya boleh melumpuhkan penyebaran Islam itu sendiri, seperti yang berlaku pada dunia Islam hari ini.

Selanjutnya penulis memberi contoh tentang sekumpulan pemuda-pemuda di dunia Arab yang begitu ikhlas dengan agama. Segelintirnya adalah pelajar-pelajar yang sedang mengikuti kursus-kursus profesional seperti perubatan, kejururawatan, arkitek, perakaunan, pertanian dan sebagainya. Apabila mereka terlibat dalam bidang dakwah menyebabkan mereka berusaha untuk beralih pula ke bidang pengajian Islam akhirnya yang rugi adalah umat Islam itu sendiri. Mereka sewajarnya terus kekal dengan profesion tersebut kerana dari segi hukum syarak, walaupun ilmu-ilmu tersebut adalah bersifat fardu kifayah namun umat Islam yang mempunyai kelayakan profesional seperti amat berkurangan jika dibandingkan dengan yang bukan beragama Islam maka profesion tersebut harus menjadi keutamaan disebabkan maslahatnya kepada kepentingan umat Islam keseluruhannya.

Dedikasi Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradhawi sebagai seorang ulama dan cendekiawan yang begitu sibuk sebagai pendidik dan doktor kepada masyarakat yang sentiasa mengkaji, meneliti dan memerhatikan setiap perkembangan, permasalahan, dan kemusykilan yang timbul di tengah-tengah ummah dewasa ini wajar dihargai melalui penelitian hasil karyanya oleh kita sebagai pembaca. Apatah lagi hasil-hasil tulisan beliau sangat mudah didapati dan sudah pun diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Sesungguhnya dalam mengutamakan ilmu pengetahuan daripada amalan beliau mengingatkan pembaca dengan memetik sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Ilmu adalah pemimpin dan amal adalah pengikut.”

Fikir-fikirkanlah!

ORANG 'AALIM

Syaikh ‘Ali At Tantaawiyy berkata :

Dan orang ‘Aalim itu tidak menjadi hina melainkan setelah dia menghulurkan tangannya untuk meminta atau hatinya cenderung kepada itu. Maka orang ‘Aalim itu sama ada dia menjadi kaya dengan hartanya atau dia kaya dengan perasaan kecukupan terhadap apa yang Allah berikan kepadanya dari harta, kemuliaan dan Imaan.

FIKIR DAN RENUNGILAH

Jumaat, 17 Oktober 2008

MENJAWAB BEBERAPA KEKELIRUAN IBADAH @ BIDAAH

MENJAWAB BEBERAPA PERSOALAN SALAFI-WAHHABI

-Harus baca Quran atas mayat
-Harus baca Quran Dikubur
-Harus hadiahkan pahala kepada mayat
-Sampai pahala baca Quran kepada mayat samada dekat atau jauh

Pendapat Ulamak2 Muktabar

Berkata Imam Nawawi pada kitab Raudhah :

‘Ditanya akan Qadhi Abu Thoyyib daripada membaca Al-Quran pada tanah perkuburan maka ia berkata “Pahalanya bagi yang membaca dan adalah mayat itu seperti orang yang hadir. Diharapnya baginya akan rahmat dan berkat. Maka disunatkan membaca Al-Quran pada perkuburan atas ini makna. Dan juga berdoa mengiringi bacaan Al-Quran itu lebih hampir bagi diperkenankan.”

Kemudian berkata Syeikh ‘Adil Ahmad Abd Maujud pentahkiq kitab tersebut “Telah menaskan oleh Imam Syafi’e dan ashab atas membaca Quran ini bahawasanya hendaklah membaca yang ziarah akan apa yang mudah dan berdoa bagi mereka itu selepas daripada membaca Quran. Telah berkata ashab “Kerana keadaan berdoa setelah membaca Quran itu lebih hampir kepada perkenan dan keadaan mayat itu seperti orang yang hadir yang diharap bagi mereka itu akan rahmat dan berkat. Dan jika membaca Quran itu diatas perkuburan maka adalah lebih elok.

Dan adalah pahala membaca itu bagi pembaca dan jika yang membaca itu memohon kepada Allah swt supaya menjadikan pahala bacaan tersebut bagi mayat maka hasillah pahala tersebut bagi mayat. Dan ialah yang berjalan kebiasaan manusia dengannya pada segala zaman.”
( m.s. 657 juzuk 1 )

Berkata Imam Nawawi pada kitab Al-Azkaar :

‘ Dan disunatkan bagi yang ziarah kubur itu memperbanyakkan daripada membaca Al-Quran dan zikir dan berdoa bagi demikian penghuni kubur dan sekelian yang telah mati dan sekelian orang Islam.’
( m.s. 135 )

Dan tersebut pada kitab Majmu’ Imam Nawawi :

‘ Dan telah berjalan oleh Imam Ahmad bin Hanbal dan satu jama’ah dari kalangan ulamak dan satu jama’ah daripada Ashab As-Syaafi’e kepada bahawasanya pahala membaca Quran itu sampai ia. Dan yang mukhtar bahawa berkata yang ziarah itu selepas membaca Al-Quran : Ya Allah! Sampaikanlah akan pahala apa yang telah aku baca.’
( m.s. 509-510 juzuk 16 )

Berkata Imam Nawawi pada kitab Syarah Muslim :

‘ Dan yang masyhur pada mazhab kami bahwasanya membaca Quran bagi mayat tiada sampai pahalanya kepada mayat. Dan berkata satu jama’ah dari Ashab kami : Sampai pahalanya kepada mayat dan dengannya berkata oleh Imam Ahmad.’
( m.s. 90 juzuk 7 )

Berkata Syeikh Abi Bakr Ad-Dimyaati pada kitab I’aanaa al-Tholibin :

‘Dan katanya “tiada sampai pahalanya” itu adalah dhaif dan katanya “telah berkata satu jemaah dari Ashab kami sampai pahalanya” adalah muktamad.’
( m.s. 221 juzuk 3 )

Berkata Syeikh Khotib Syarbini as-Syaafi’e pada kitab Mughni Muhtaj :

‘Dan membaca orang yang ziarah itu disisi kuburnya akan Quran apa yang mudah baginya dan yaitu sunat pada segala perkuburan maka bahawasanya pahalanya bagi sekelian yang hadir dan mayat itu seperti sekelian yang hadir yang diharap akan baginya rahmat’
( m.s.365 juzuk 1 )

Syeikh Khotib Syarbini juga berkata pada kitab Al-Iqna’ :
‘Dan membaca oleh yang ziarah itu disisi penghuni kubur itu akan apa yang mudah daripada Al-Quran maka sungguhnya rahmat itu turun ia pada tempat dibacakan Al-Quran. Dan mayat itu seperti orang yang hadir yang diharapkan baginya akan rahmat dan hendaklah berdoa yang ziarah itu selepas membaca Al-Quran kerana doa itu memberi guna kepada mayat. Dan doa selepas membaca Al-Quran lebih hampir kepada diperlkenankan.’
( m.s. 181 juzuk 1)

Berkata Syeikh Zakaria Al-Ansori As-Syaafi’e pada kitab Hasyiah Syarqowi :

‘Disunatkan bahawa membaca oleh yang ziarah itu disi kuburnya daripada Quran apa yang mudah baginya dan berdoa baginya selepas berhadap ke arah qiblat kerana doa itu memberi menafaat akan mayat dan yaitu selepas membaca lebih hampir kepada diperkenankan.’
( m.s. 345 juzuk 1 )

Berkata Syeikh Muhammad Az-Zuhri As-Syaafi’e pada kitab Siraajul Wahhaaj :

‘Dan memberi salam oleh yang ziarah akan kubur hal keadaannya sunat dan membaca akan apa yang mudah daripada Al-Quran dan berdoa kepada mayat selepas membaca AlQuran.’
( m.s. 115 juzuk )

Berkata Syeikhul Islam Syeikh Zakaria Al-Ansori As-Syyafi’e pada kitab Fathul Wahhab :

‘ Dan bahawa membacalah oleh yang ziarah itu daripada Al-Quran apa yang mudah dan berdoalah bagi mayat itu kemudian dari berhadap ke arah qiblat kerana doa itu memberi menafaat akan mayat dan berdoa selepas membaca Al-Quran itu lebih hampir bagi diperkenankan doa.’
( m.s. 101 juzuk 1 )

Berkata Syeikh Sulaiman Bujairimi as-Syaafi’e pada kitab Syarh Khotib :

‘Disunatkan bahawa membaca disisi kubur itu akan suatu daripada Quran. Dan jika membaca sampai khatam akan Al-Quran maka adalah ia lebih afdhal.’
( ms.s.587 juzuk 2 )

Berkata Syeikh Ibrahim Al-Bajuri as-Syaafi’e pada kitab Hasyiah ‘ala Ibn Qasim :

‘ Dan bahawa membaca oleh yang ziarah kubur itu akan apa yang mudah dari Al-Quran seperti Surah Yaasin dan berdoa bagi mereka itu dan menghadiahkan pahala bacaan tersebut kepada mereka itu.’
( m.s. 255 juzuk 1 )

Berkata Syeikh Muhammad Nawawi As-Syaafi’e pada kitab Nihaayatuzzain :

‘ Dan hendaklah membaca Quran oleh yang ziarah kubur itu dan berdoa selepas membaca Quran’
( m.s. 162 )

Berkata Doktor Mustofa Khin pada kitab Al-Fiqhul Manhaji ‘ala mazhabi Syaafi’e :

‘Dan hendaklah membaca disi kubur itu akan apa yang mudah daripada Al-Quran maka sungguhnya rahmat itu turun ia dimana saja tempat dibacakan Al-Quran kemudian hendaklah ia berdoa bagi mereka itu setelah membaca dan hendaklah ia hadiahklan umpama pahala bacaannya itu bagi sekelian arwah mereka itu. Maka sesungguhnya doa itu diharapkan akan perkenan. Dan apabila diperkenankan doa itu nescaya mengambil faedahlah oleh mayat dari bacaan tersebut.’
( m.s. 267 juzuk )

Berkata Al-Fadhil Doktor Wahbah Zuhaili pada kitab Al-Fiqh Al-Islami :

‘Dan dengan yang demikian itu adalah mazhab mutakkhirin as-Syafi’eyyah seperti mazhab imam-imam yang tiga yakni Hanafi, Maliki dan Hanbali atas sampainya pahala bacaan Al-Quran kepada mayat. Baerkata As-Subki : “Dan yang menunjukkan atasnya oleh khabar dengan istinbat bahawasanya sebahagian Al-Quran itu apabila diqasad dengannya memberi menafaat akan mayat dan meringankan apa yang ia berada padanya nescaya memberi menafaat akan mayat itu .’

‘ Dan sungguhnya telah mengharuskan oleh Qadhi Hussain mengupah atas membaca Al-Quran disisi mayat.’
‘Dan telah berkata Imam Ibn Solah ; “Dan sayugia bahawa berkata oleh yang membaca Quran itu : Ya Allah! Sampaikanlah pahala apa yang telah kami baca kepada sifulan” Maka menjadikan olehnya akan doa. Dan tiada khilaf pada yang demikian itu samada dekat atau jauh dan sepatutnya memutuskan dengan ini”

( m.s. 551-552 )

Berkata Imam Ibn Qudaamah pada kitab Mughni :

‘ Dan bermula sekelian ini adalah hadith-hadith yang sahih. Dan padanya menjadi dalil atas memberi guna akan mayat dengan sekelian amalan kebajikan. Kerana sungguhnya puasa dan haji dan doa dan istighfar adalah ibadah yang bangsa badaniyyah sungguhnya telah menyampaikan oleh Allah akan menafaatnya kepada mayat. Maka seperti itu juga barang yang selainnya serta apa yang telah kami sebut daripada hadith pada pahala mereka yang membaca surah Yaasin dan memberi ringan oleh Allah Ta’ala daripada sekelian ahli kubur dengan bacaannya itu. Dan kerana bahawasanya telah ijma’ sekelian orang Islam. Maka bahawasanya mereka itu pada segala masa dan segala negeri berkumpul mereka itu membaca akan Al-Quran dan menghadiahkan akan pahalanya kepada segala mayat-mayat mereka itu dari pada ketiadaan ingkar.’
(m.s. 568 juzuk 2 )

Berkata Imam Ibn Taimiyyah pada kitab Majmu’ Fataawa :

‘ Dan telah berkhilaf oleh ulamak pada sampainya amalan yang bangsa badaniyyah seperti puasa, solat dan membaca Quran. Dan yang sebenarnya bahawasanya sekelian amalan tersebut sampai ia kepada mayat.’
( m.s. 366 juzuk 24 )

Berkata Al-Fadhil Doktor Abd Karim Zaidan pada kitab Al-Mufasshol fi Ahkaamil mar_ah :

‘ Dan yang lebih kuatnya pada masalah memberi guna akan mayat dengan amalan orang hidup ialah pendapat mereka yang berkata dengan memberi guna akan mayat dengan apa jua amalan kebajikan yang dikerjakan oleh orang yang masih hidup dan menghadiahkan pahalanya kepada mayat sebagaimana yang telah berkata oleh Ibn Qudaamah al-Hanbali dan seperti mana yang telah berkata oleh Syeikhul Islam Ibn Taimiyah kerana segala dalil yang menunjukkan atas memberi menafaat akan mayat dengan doa orang yang hidup dan istighfarnya bagi mayat dan sedekah daripadanya dan membayarkan hutang daripadanya dan menghajikan daripadanya dan selain demikian itu daripada amalan-amalan kebajikan yang telah datang nas-nas Sunnah Nabawiyyah dengan sampai pahalanya kepada mayat. Dan apa yang tidak datang dengannya dari amalan kebajikan oleh nas-nas yang jelas maka bahawasanya sekelian itu dikiaskan atas apa yang datang padanya oleh nas-nas yang terang.’
( m.s. 193 juzuk11 )

Berkata Syeikh Abu Abdillah Muhammad Ad-Dimasyqa pada kitab Rahmatul Ummah fi Ikhtilaaful A_immah :

‘ Berkata Imam Ibn Solah dari Imam-imam Syafi’iyyah :
“Pada menghadiahkan Al-Quran berlaku khilaf bagi para fuqahak. Dan yang atasnya beramal oleh kebanyakkan manusia adalah mengharuskan akan yang demikian itu. Dan sayugia apabila menghendaki akan yang demikian itu bahawa berkata ia ‘ Ya Alah! Sampaikanlah seumpama pahala apa yang telah aku bacanya kepada sifulan maka dijadikannya akan doa. Dan tiada khilaf pada memberi menafaat oleh doa dan sampainya. Dan ahli khair itu sungguhnya telah mendapat akan keberkatan pada menghubungkan segala yang telah mati dengan bacaan Quran dan doa.
Dan telah berkata Al-Muhibbu Thobari “ Dan adapun membaca disisi kubur maka telah berkata pada kitab Al-Bahr ianya adalah sunat.”
( m.s. 159 )

Berkata Al-Fadhil Doktor Ahmad Syarbashyi pada kitab Yasalunaka fi-diin :

‘Telah menetapkan oleh para Fuqahak bahawasanya pahala bacaan Al-Quran sampai ia kepada mayat bahkan sampai ia kepada yang hidup sebagaimana yang telah disebut akan yang demikian itu pada kitab ulamak-ulamak besar mazhab Hanfi, Syafi’e dan Hanbali. Yang demikian itu apabila memintalah oleh yang membacanya akan yang demikian itu daripada Allah Tabaraka Wata’ala.

Dan ini adalah kerana bahawasanya bacaan yang dihadiahkan itu adalah daripada pihak doa. Maka berniatlah pembaca dan berkata “Ya Allah! Jadikanlah pahala apa yang telah aku baca kepada sifulan.”
( m.s. 235 juzuk 6 )

Berkata Al-‘Allamah Doktor Nasr Farid Washil Mufti Negeri Mesir pada kitab Fatawa Islamiyyah :

‘ Bacaan Quran keatas seseorang kemudian daripada matinya samada yang demikian itu dirumahnya atau dimasjid atau selepas solat jenazah atau disisi kubur adalah harus ia pada syara’. Dan ianya meringankan atas mayat didalam kuburnya.

Bacaan Quran adalah sebab bagi turun segala rahmat dan sebab bagi mendapat keampunan dan redha Tuhan.

Orang yang telah mati mengambil menafaat dengan sekelian amalan-amalan kebajikan dan setengah daripadanya ialah bacaan Al-Quran dengan izin Allah.’
( m.s. 111 )

Tersebut pada kitab Jaami’ul Fatawa Al-Mu’asoroh :

‘ Dan bacaan Quran bagi mayat itu jikalau adalah dekat kuburnya diharap bahawa mengambil menafaat mayat itu dengannya kerana turunnya malaikat untuk mendengarnya dan serta malaikat tersebut rahmat yang mengena akan pembaca dan tempat duduk itu sekeliannya sebagaimana telah sabit turunnya malaikat dengan ketenteraman dan rahmat atas siapa yang membaca akan kitab Allah dan mempelajarinya.
( m.s. 116-117 )

Berkata Imam A’sa’aati pada kitab Buluughul Amaani ‘ala Musnad Imam Ahmad :

‘Telah berkata Imam Al-Qurtubi : Dan sungguhnya telah ijma’ oleh sekelian ulamak atas sampainya sedekah kepada segala yang telah mati dan demikian juga pendapat pada bacaan Al-Quran dan doa dan istighfar kerana sekeliannya itu adalah sedekah. Telah mengkuatkan akan ini oleh hadith ‘Tiap-tiap yang ma’ruf itu adalah sedekah. Maka tiadalah dikhususkan akan sedekah itu dengan harta sahaja.
( m.s. 105 juzuk 8 )

Telah berkata Syeikh Hasanain Muhammad Makhluf bekas mufti negeri Mesir dan salah seorang anggota jama’ah ulamak-ulamak besar Al-Azhar As-Syarif pada kitab Fatawa Syar’iyyah Wabuhuusu Islaamiyyah :

‘Maka apabila harus membaca Yaasin disisi yang sedang sakit kerana meringankan kesakitan daripadanya dan disisi yang sedang naza’ kerana meringankan sakaratul maut daripadanya maka kenapa pula tidak harus membacanya atas mereka yang telah mati kerana meringankan daripadanya pada kuburnya juga.’ (m.s. 293 juzuk 2 )

Kemudian berkata pula Syeikh Muhammad Makhluf pada m.s. 296 juzuk yang sama :

‘Berkata Syeikhul Islam Zakaria Al-Ansori As-Syafi’e : Bahawasanya yang masyhur disisi maszhab (yakni tidak sampai pahala bacaan Quran) ditangggung atas barang yang jikalau membaca Quran itu tidak pada sisi mayat dan tidak meniatkan pahalanya bagi mayat atau berniat tetapi tidak berdoa.

Dan pada syarh Minhaj daripada kitab-kitab Syafi’iyyah : Tidak sampai kepada mayat disisi kami oleh bacaan atas yang masyhur. Dan pendapat yang dipilih ialah sampai ia apabila memohon pembaca akan Allah menyampaikan pahala bacaannya itu. Dan sepatutnya berpegang dengan pendapat ini. Kerana ianya adalah doa. Maka apabila harus berdoa kepada mayat dengan barang yang bukan bagi yang berdoa maka haruslah dengan lebih utama dengan barang yang ia baginya. Dan tinggallah pekerjaan itu terhenti atas diperkenankan doa.”

Dan ini makna tidaklah hanya tertentu dengan bacaan bahkan berjalan ia pada yang lain dari amala-amalan.’

Kemudian Syeikh Muhammad Makhluf berkata :

‘Telah berkata Imam Syaukani umum ayat tersebut ( An-Najmu 39 ) ditakhsiskan dengan sedekah daripada anak simati kerana hadith sedekah dan ditakhsisikan dengan haji daripada anak kerana hadith Khas’am dan haji daripada selain anak kerana hadith muhrim daripada Syubrumah dan ditakhsiskan dengan solat kerana hadith solat anak simati dan puasanya bagi dua ibu bapanya serta solatnya dan puasanya bagi dirinya sendiri dan ditakhsisikan dengan puasa daripada anak simati kerana hadith ini dan hadith puasa seorang perempuan daripada ibunya dan daripada selain anak simati kerana hadith puasa oleh wali dan ditakhsiskan dengan bacaan surah Yaasin daripada anak simati dan lainnya kerana hadith ‘Bacalah atas mayat-mayat kamu akan Yaasin’ dan ditakhsiskan dengan doa daripada anak kerana hadith ‘atau anak soleh yang mendoakan baginya’ dan doa dari orang lain kerana ayat ‘ Dan orang-orang yang datang kemudian daripada nereka itu berkata : Wahai Tuhan kami ampunkanlah kepada kami dan bagi saudara-saudara kami yang telah mendahului kami dengan iman’ dan kerana hadith ‘Minta ampunlah bagi saudara kamu ini dan mintalah baginya ketetapan’.

Maka sebagaimana hadith-hadith tersebut mengtakhsiskan ayat ini, mengtakhsiskan juga hadith-hadith tersebut akan hadith Abi Hurairah ( Apabila mati anak Adam maka putuslah amalannya melainkan tiga perkara ) Maka pada zahirnya putuslah dari simati itu barang yang selain tiga perkara itu yang ada ia sebagaimana yang telah ada. Dan kata setengah ulamak dikiaskan atas ini sekelian tempat akan lainnya. Maka berhubunglah akan mayat oleh tiap-tiap suatu yang mengamalkan akan dia oleh orang lain bagi mayat itu.’
( m.s. 297-298 juzuk 2 )

Berkata Al-Marhum As-Syeikh Jadul Haq bekas Syeikh Al-Azhar setelah beliah bentangkan segala dalil dan pendapat-pendapat ulamak pada kitab Fatawaanya :

‘Maka sungguhnya harus membaca Al-Quran untuk mayat disisi kubur atau jauh daripadanya, daripada anaknya atau dari lainnya samada sukanya atau dengan upah. Dan sampai pahalanya kepada mayat khususnya pula apabila berkata pembaca Quran itu sebelum membaca : Ya Allah! Jadikanlah pahala apa yang aku baca itu kepada sifulan.

Maka apabila keluarlah bacaan itu pada pihak doa nescaya adalah pahala untuk sifulan yang didoakan baginya itu sebagai perkataan yang satu. Dan haruslah daripada ketiadaan khilaf sebagaimana yang telah lalu oleh naqalnya dari Ibn Rusyd.

Dan bagi pembaca tersebut juga pahala bacaannya tiada kurang dari pahala mayat itu sedikit pun.

Adapun apa yang diberikan kepada pembaca daripada upah ( dibina atas pendapat Al-Malikiyyah ) dan masalah pahala dan upah samada sedikit atau banyak maka urusan ini padanya terserah kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan pada tanganNya mencurahkannya dan memberikannya bagi sesiapa yang Ia kehendak dan betapa yang Ia kehendak.

Dan inlah apa yang saya cenderung kepada memberi fatwa padanya sebagai takhrij atas membolehkan mengambil upah atas mengajarkan Al-Quran dan atas menjadi imam pada sembahyang. Wallahu Subhanahu Wa Ta’ala A’lam’.
( m.s. 558 juzuk 2 )

Ayat 39 Surah An-Najm

Firman Allah swt :

“ Dan tiada bagi manusia itu melainkan apa yang telah ia usahakan”

Berkata Al_Fadhil Doktor Wahbah Az-Zuhaili pada kitab Tafsir Al-Munir :

‘Daripada ayat yang mulia ini telah mengistinbat oleh Syafi’e rahimahullahu Ta’ala bahawasanya bacaan itu tidak sampai dihadiahkan pahalanya kepada yang telah mati kerana bahawasanya ia bukannya daripada amalan mereka itu dan bukan usaha mereka itu. Dan yang muktamad pada mazhab-mazhab yang empat bahawa pahala bacaan itu sampai ia kepada segala yang telah mati kerana ianya adalah pemberian dan doa dengan Al-Quran yang turunlah segala rahmat pada ketika dibacakan dia.

Dan sungguhnya telah sabit pada Sunnah Nabi sampainya doa dan sedekah kepada mayat. Yang demikian itu telah diijma’kan atasnya.

Imam Muslim meriwayatkan didalam sahihnya dan Imam Bukhari didalam kitab Al_Adab dan Ashab as-Sunan melainkan Ibn Majah dari Abi Hurairah r.a. bahawasanya Rasul Allah saw bersabda :

“Apabila matilah seorang anak Adam putuslah amalannya melainkan daripada tiga perkara yaitu sedekah jariyah atau ilmu yang diambil menafaat darinya atau anak soleh yang mendoakan baginya”
( m.s. 131-132 juzuk 27)

Berkata Imam Al-Qurtubi pada kitab tafsirnya Al-Jami’y li Ahkaam al-Quran :

‘Berkata Rabi’ bin Anas : Menghendaki oleh Allah akan ayat ini akan orang kafir. Dan adapun orang yang beriman maka sabit baginya apa yang ia telah usahakan dan apa yang telah berusaha baginya oleh orang yang lain.

Dan kebanyakkan daripada hadith-hadith menunjukkan atas pendapat ini. Dan bahawasanya orang yang beriman sampai kepadanya oleh pahala amal yang soleh dari selainnya. Dan sungguhnya telah lalu kebanyakkan daripadanya bagi barang siapa yang memerhatikannya.’
( m.s. 113 juzuk 17 )

Berkata Syeikh Khazin pada kitab Tafsir Khazin :

‘Adapun yang demikian itu ( yakni manusia hanya dapat apa yang ia usahakan ) untuk kaum Nabi Ibrahim dan kaum Nabi Musa. Maka adapun umat ini maka baginya apa yang telah ia usahakan dan apa yang telah mengusahakan untuk mereka oleh orang lain.’
( m.s. 223 juzuk 6 )

Berkata Syeikh Muhammad Makhluf pada kitab Fatawa Syar’iyyah :

‘ Dan adapun firman Allah Ta’ala ( Dan tiada bagi manusia itu melainkan apa yang telah ia usahakan ) maka yaitu diqaidkan dengan apabila tidak memberikan oleh yang beramal itu akan pahala amalnya bagi lainnya. Maka sungguhnya telah sabit pada dua kitab sahih bahawasanya Rasul Allah saw menyembelih dua ekor kibas yang besar salah satunya untuk dirinya dan yang satu lagi untuk umatnya. Dan telah masyhurlah riwayat hadith ini diriwayatkan oleh sejumlah daripada sahabat. Maka haruslah mengqaidkan ayat ini dengan barang yang apabila tidak menjadikan oleh empunya amal itu untuk lainnya.

Dan telah sabit pada sunnah akan sebagai sabit yang sampai kepada darjat mutawatir bahawa barang siapa yang menjadikan akan suatu dari amal-amal soleh untuk selainnya nescaya memberi menafaat oleh Allah dengannya seperti hadith solat anak dan puasanya untuk dua ibu bapanya serta solatnya dan puasanya untuk dirinya sendiri dan hadith membaca Surah Al-Ikhlas dan memberi pahalanya kepada sekelian yang telah mati dan baca Yaasin keatas mayat-mayat dan hadith “ Kami sedekahkan dari yang mati kami dan kami hajikan dari mereka itu dan kami berdoa bagi mereka itu dengan sampai yang demikian itu kepada mereka dan sungguhnya mereka suka dengannya sepertimana suka seorang kamu dengan suatu yang dihadiahkan kepadanya.”

Kemudian katanya lagi :

‘Dan makna ayat itu bahawasanya tiada memberi menafaat akan manusia pada akhirat melainkan apa yang telah ia amalkan pada dunia selama mana tidak mengamalkan baginya oleh orang lain akan satu amalan dan memberikan pahala amalan itu untuknya maka sungguhnya amalan itu memberi guna baginya. Seperti itu jugalah siapa yang sembahyang atau puasa atau bersedekah atau mendatangakan apa-apa amal kebajikan maka dijadikan pahalanya untuk selainnya nescaya harus ia. Tiada beza antara bahawa ada ia amalan itu bangsa harta atau tubuh badan atau tersusun dari keduanya.’

( m.s. 278-279 juzuk 2 )

Berkata Imam Syaukani pada Kitab nailul Authar:

‘Ayat ini umum yang ditakhsisikan dengan beberapa hadith dan tiada pertentangan diantara yang am dan yang khas’

Berkata Al-Hafiz Imam Ibn Hajr pada kitab Fathul Baari :

‘Sungguhnya umum usaha manusia pada ayat tersebut ditakhsisikan dengan ittifaq.’

Dan ramai lagi ulamak-ulamak yang memberi pendapat dengan sampai pahala membaca Quran kepada simati dan harus menghadiahkan pahala amal kebajikan untuk simati kami didalam kitab-kitab mereka yang bilangannya lebih dari 200 buah kitab dan kami sebutkan sebahagian darinya untuk rujukan yaitu :

• Imam Ibn Qayyim pada Kitab Ar-Ruh
• Imam Abi Bakr al-Kasaani pada Kitab Bada’iu as-Sonaa’i’
• Imam Al-Zaila’i pada Kitab Syarhul ‘ala Matan al-Kanz
• Imam Ibn ‘Abidin pada Risalah Syifaau al-‘Alil
• Imam As-Suyuthi pada Kitab Al-Itqan
• Imam Ibn Hazm pada Kitab Al-Muhalla
• Imam Ibn al-Himam pada Kitab Fathul Qadir
• Imam Al-Qaraafi pada Kitab Al-Furuq
• Imam Nawawi pada Kitab Minhaj
• Syeikh Qalyubi pada Kitab Syarh Qalyubi
• Syeikh ibn Hajar pada Kitab Tuhfah
• Syeikh Ramli pada Kitab An-Nihaayah
• Syeikh Muhammad Ad-Dasuki pada Kitab Syarh Kabir
• Syeikh ‘Athiyah Soqr pada Kitab Fatawa Al_azhar as-Syarif

#SELAMAT BERAMAL#

MEMBACA AL-QURAN DI KUBUR TIDAK BIDAAH

Membaca al-Quran di kubur tidak bidaah

DEWASA ini umat Islam berada dalam persimpangan dan kekeliruan ekoran timbulnya dakwaan bahawa beberapa amalan yang mereka lakukan adalah satu kesalahan dan bidaah yang menyesatkan. Timbulnya dakwaan oleh pihak tertentu yang mengemukakan hujah dan bukti melalui kajian ilmiah dan akademik (seperti yang didakwakan) boleh menyebabkan kesan negatif di kalangan sesetengah masyarakat awam, iaitu merasa bersalah atas amalan yang selama ini dianggap baik, rupa-rupanya ia adalah sesat seperti yang didakwakan. Jauh lebih buruk daripada itu, bibit-bibit sangkaan buruk kepada ahli-ahli agama mula menular. Tidak jauh kemungkinan timbulnya tanggapan bahawa selama ini sesetengah ahli agama menipu mereka dengan ajaran-ajaran palsu ekoran dakwaan yang ditimbulkan itu. Apatah lagi dakwaan itu pula ditimbulkan oleh kalangan cerdik pandai yang terbabit membuat penyelidikan dan pembacaan dalam bidang-bidang yang mereka perkatakan.

Salah satu daripada isu yang semakin kerap dibincangkan dewasa ini ialah hukum membaca al-Quran di atas kubur dengan dihadiahkan pahalanya kepada si mati. Adakah amalan ini diharuskan atau sebaliknya? Benarkah jumhur ulama menghukumnya sebagai bidaah? Memang tidak dinafikan terdapat perbezaan pendapat tentang keharusan amalan ini, tetapi secara umumnya ramai di kalangan ulama yang berpendapat harus membaca al-Quran di atas kubur dengan tujuan menghadiahkan pahalanya kepada si mati, dan ia bukannya amalan yang bidaah serta amat tersasar untuk dikatakan sebagai sesat.

Salah seorang tokoh salafi yang terkenal iaitu Imam Ibn Taimiyah menyebutkan: “Sesiapa yang membaca al-Quran kerana mengharapkan ganjaran pahala dan menghadiahkannya kepada si mati, maka yang demikian itu ada manfaatnya.” (Majmu’ Fatawa, juzuk 24, hlm. 30). Tidak dinafikan bahawa dalam soal membaca al-Quran di kubur, Imam Ibn Taimiah berpandangan tentang larangannya, tetapi beliau tidaklah menghukum sebagai sesat atau mengatakan jumhur ulama menghukumnya sebagai bidaah. Ini kerana beliau turut menukilkan pertikaian pendapat di kalangan imam-imam mazhab antara yang mengharuskan dan yang tidak menyukainya (makruh). Walaupun begitu terdapat sesetengah buku semasa berbahasa Arab yang memerangi bidaah, mengharamkan membaca al-Quran untuk dihadiahkan pahalanya kepada si mati sama ada di kubur atau di tempat lain melebihi pandangan yang diutarakan oleh Ibn Taimiyah.

Berkata Ibn al-Qayyim dalam kitab ar-Roh: “Sebaik-baik yang dihadiahkan kepada mayat ialah sedekah dan istighfar, berdoa untuknya dan menunaikan haji bagi pihaknya. Manakala membaca al-Quran dan menghadiahkan pahala kepadanya secara sukarela tanpa dibayar upah, maka amalan ini (yakni pahalanya) sampai kepadanya (mayat) sebagaimana sampainya pahala puasa dan haji kepadanya.” Dalam tempat yang lain beliau (Ibn al-Qayyim) menyebutkan: “Yang lebih utama adalah berniat ketika melakukannya (membaca al-Quran) bahawa ia (pahalanya) adalah untuk si mati, dan tidaklah disyaratkan berlafaz dengan niat itu.” (Ar-Roh, Maktabah al-Mutanabbi. hlm. 143)

Ibn al-Qayyim melaporkan berita yang bersumber daripada ‘Ali bin Musa al-Haddad seorang yang benar (dipercayai), katanya: “Pernah aku bersama Ahmad bin Hanbal dan Muhammad bin Qudamah al-Jauhari mengiringi satu jenazah. Setelah mayat itu dikebumikan, maka duduklah seorang lelaki buta membaca al-Quran di sisi kubur. Lantas berkatalah Imam Ahmad: “Hai kamu, membaca al-Quran di sisi kubur adalah bidaah.” Maka tatkala kami keluar dari kawasan kubur, berkatalah Muhammad bin Qudamah kepada Imam Ahmad bin Hanbal: “Wahai Abdullah, apa pandangan tuan tentang Mubasysyir al-Halabi?” Jawabnya: “Dia seorang yang dipercayai.” Tanya Imam Ahmad: “Adakah anda menulis sesuatu daripadanya?” Kata Muhammad bin Qudamah: “Ya, Mubasysyir telah memberitahuku daripada Abdul Rahman bin al-‘Alla’ al-Lajlaj daripada bapanya yang berwasiat kepadanya apabila dia dikebumikan supaya dibaca di sisi kepalanya permulaan surah al-Baqarah dan penghujungnya, dan dia berkata: “Aku mendengar Ibn Umar berwasiat seperti yang demikian.” Lantas berkatalah Imam Ahmad: “Kembalilah kamu dan suruhlah lelaki itu membaca al-Quran.”

Ibn al-Qayyim menyebutkan lagi: “Berkata al-Hasan bin al-Sabah al-Za’farani: Aku bertanya al-Syafie tentang membaca al-Quran di sisi kubur, lalu dia menjawab: “Tidak mengapa.” (Ibid, hlm. 10-11). Sayugia diingatkan bahawa laporan oleh Ibn al-Qayyim ini bukan bertujuan menyanggahi amalan tersebut, malah beliau menyetujuinya.

Berdasarkan kenyataan ini dapatlah difahami pandangan imam al-Syafie bahawa pahala bacaan al-Quran tidak sampai kepada si mati bukanlah bererti beliau mengatakannya sebagai salah atau haram seperti yang didakwakan sesetengah pihak. Apatah lagi fuqaha’ mutaakhir dalam mazhab al-Syafie seperti Imam an-Nawawi menyebutkan bahawa nas al-Syafie dan disepakati oleh para ashab (ulama al-Syafie) menyebutkan dimustahabkan (sunat) membaca al-Quran di sisi kubur. (Al-Majmu’ 5/286, Maktabah al-Irsyad, Jeddah).

Apabila Imam an-Nawawi menyebutkan hukum ini disepakati di kalangan ashab maka ia menunjukkan galakan membaca al-Quran di kubur itu adalah pendapat jumhur ulama dalam mazhab al-Syafie. Dan apabila beliau menyebutkan nas al-Syafie menyatakan demikian, maka ini menunjukkan bahawa beliau sendiri menemui sumber tersebut yang berasal daripada pandangan al-Syafie, apatah lagi beliau merupakan salah seorang ulama al-Syafie yang menjadi tonggak sandaran dalam menukilkan pandangan-pandangan dalam mazhab al-Syafie. Jika ada yang memberikan alasan bahawa Imam an-Nawawi menyebutkan dalam kitab yang lain bahawa pendapat yang masyhur dalam mazhab al-Syafie tidak sampai pahala al-Quran kepada si mati, maka secara langsung ini bererti pendapat yang azhar adalah sebaliknya, di mana masyhur dan azhar adalah istilah yang dipakai dalam fiqh mazhab al-Syafie dan azhar adalah pendapat yang dinilai lebih kuat.

Pada tempat yang lain dalam kitab yang sama beliau (Ibn Qayyim) menyebutkan: “Al-Khallal menyebutkan daripada al-Sya’bie, katanya: “Adalah orang-orang Ansar apabila berlaku kematian di kalangan mereka, maka mereka berulang alik ke kuburnya untuk membaca al-Quran di sisinya.” (Ar-Roh, Maktabah al-Mutanabbi hlm 143). Kenyataan ini dinukilkan oleh beliau (Ibn al-Qayyim) bukannya untuk membantah kesahihan berita tersebut, malah untuk menyokong pandangan tentang sampainya pahala al-Quran kepada si mati. Beliau juga menyebutkan bahawa pada mulanya Imam Ahmad mengingkari bacaan al-Quran di kubur kerana tidak sampai athar kepadanya, kemudian beliau menarik balik pandangannya itu. Yang pastinya kenyataan tersebut bukannya bertujuan untuk menghukum bidaah membaca al-Quran di atas kubur.

Sebaliknya. beliau menjadikan kenyataan ini untuk menguatkan pandangannya tentang sampainya pahala al-Quran jika dibaca dan dihadiahkan kepada si mati. Justeru dalam perengggan selepas kenyataan ini beliau menyebutkan lagi: “Jika dikatakan bahawa Rasulullah s.a.w telah memberi petunjuk kepada mereka tentang (sampainya pahala) puasa, sedekah, dan haji, tetapi tidak memberitahu mereka tentang bacaan al-Quran, maka sebagai jawapannya dikatakan: “Bukannya Rasulullah s.a.w yang memulakan pemberitahuan itu kepada mereka, malah anjuran Baginda itu terbit sebagai memberikan jawapan kepada mereka. Orang ini bertanyakan kepada Nabi s.a.w tentang melakukan haji bagi pihak si mati, maka Baginda pun memberikan kebenaran kepadanya. Orang ini pula bertanya tentang berpuasa untuk si mati, maka Baginda pun memberikan kebenaran kepadanya. Orang ini pula bertanyakannya tentang bersedekah untuk si mati, maka Baginda pun memberikan kebenaran kepadanya, dan Baginda tidak pun melarang mereka selain daripada itu.” (Ibid, hlm. 143). Dengan kata lain Rasulullah menjawab apa yang mereka tanya, bukannya Rasulullah yang memulakan pemberitahuan hukum berpuasa bagi pihak si mati, bersedekah dan sebagainya adalah sekian sekian, dan selain daripada itu adalah sekian sekian.

Seterusnya beliau menyebutkan lagi: “Orang yang mengatakan tidak seorang pun daripada salaf yang melakukan demikian (membaca al-Quran di kubur) adalah orang yang bercakap apa yang tidak diketahuinya, kerana kenyataan ini menunjukkan dia menafikan apa yang dia tidak tahu. Mana dia tahu, entahkan para salaf melakukan demikian tetapi tidak menzahirkan kepada orang yang datang kepada mereka.” (Ibid)

Tidak dinafikan bahawa sebahagian daripada nukilan yang disebutkan ini telah dikoreksi oleh Syeikh Nasiruddin al-Albani dalam kitabnya Ahkam al-Jana’iz wa Bida’uha. Kesimpulan daripada penilaian yang dibuat oleh Syeikh al-Albani ialah sama ada hadith atau athar yang dilaporkan oleh Ibn al-Qayyim itu tidak dikenali perawinya, atau mauquf setakat Ibn Umar dan lain-lain lagi justifikasi yang diberikan olehnya. Terserahlah kepada sesiapa yang hendak berpegang dengan pandangan Syeikh al-Albani. Namun sesuatu yang tidak diragui bahawa sebelum kemunculan Syeikh al-Albani umat Islam zaman berzaman telah berpegang dengan pandangan keharusan membaca al-Quran di kubur berdasarkan pandangan ulama-ulama mazhab seperti yang akan disebutkan nanti. Apakah dalam jarak masa yang sejauh itu selama ini umat Islam rupanya berada dalam kesesatan sehinggalah datang Syeikh al-Albani pada abad ini untuk memperbetulkan kesesatan itu? Bagaimana pula dengan para ulama yang sezaman dengan Syeikh al-Albani yang berpandangan sebaliknya. Lihat sahaja fatwa oleh Mufti Mesir Syeikh Ali Jum’ah yang dikeluarkan oleh Dar al-Ifta’ al-Misriyyah pada 14/2/2006, fatwa bil 4294:

“Para ulama telah ijmak bahawa mustahab (sunat atau digalakkan) membaca al-Quran di atas kubur sebagaimana yang dinukilkan oleh al-Syeikh al-Uthmani dalam kitab “Rahmatul Ummah fi Ikhtilaf al-A’immah”. Ungkapan kitab itu menyebukan: “Para ulama berijmak bahawa bacaan istighfar, doa, sedekah, haji dan pemerdekaan hamba (untuk si mati) dapat memanfaatkan si mati, dan pahalanya sampai kepadanya. Dan membaca al-Quran di sisi kubur adalah mustahab (sunat atau digalakkan).”

Tulisan ini bukan bermaksud mempertikaikan fatwa Syeikh al-Albani dalam hal tersebut. Tetapi apabila berlaku pertembungan antara fatwa yang menolak dengan yang mengharuskan maka apakah kita perlu berkeras untuk mengharam dan membidaahkan umat yang berpegang dengan fatwa yang sebaliknya? Apatah lagi fatwa Syeikh Ali Jum’ah adalah berautoriti kerana ia mewakili institusi fatwa secara resmi.Terserahlah pada sesiapa yang hendak berpegang dengan fatwa Syeikh al-Albani, tetapi jangan diheret umat ini kepada kancah kemelut yang membawa salah menyalah antara satu sama lain.

Seperkara lagi para ulama dahulu yang tidak mengharuskan bacaan al-Quran di sisi kubur, mereka hanya mengungkapkan dengan perkataan “saya tidak suka’, atau dimakruhkan, atau “tidak disyariatkan”, dan mereka tidak lancang lidah untuk mengatakan haram, bidaah, sesat dan yang seumpamanya. Syeikh al-Albani sendiri dalam fatwanya berkaitan hal ini tidak menyebut perkataan bidaah, haram, sesat dan sebagainya. Sebaliknya, beliau menyebutkan: “Adapun membaca al-Quran ketika ziarah kubur tidak ada asalnya dalam sunnah, malah hadis-hadis yang disebutkan dalam masalah yang lepas membayangkan ia tidak disyariatkan.” Saya gunakan perkataan “membayangkan” sebagai terjemahan daripada perkataan “tusy’iru” yang boleh diterjemahkan “seakan merasakan”, “seakan memberitahu” atau seumpamanya. Maknanya, beliau sendiri tidak menyebutkan hadis-hadis yang disebutkan menyatakan dengan pasti tidak disyariatkan membaca al-Quran di kubur.

Seperkara lagi bahawa hadiis-hadis yang dihukum sahih atau daif mahupun dihukum palsu oleh Syeikh al-Albani bukannya mutlak. Dengan kata lain ada kemungkinan penilaiannya betul atau sebaliknya. Begitu juga dengan penilaian oleh ulama-ulama lain yang tidak boleh dikatakan sebagai muktamad dan seratus peratus betul. Lihat apa yang dikatakan oleh Dr. Yusuf al-Qardawi berkaitan hal ini:

“Syeikh al-Albani pada pandangan saya adalah ulama hadith yang terkenal pada zaman kita khususnya dalam ilmu takhrij, tauthiq dan tad’if hadis. Di samping itu pandangannya bukanlah muktamad dalam semua hadith yang disahih dan dida’ifkannya. Ada kalanya dia disanggahi oleh ulama lain yang sezaman dengannya seperti Syeikh al-Allamah Habib al-Rahman al-A’zami, Syeikh Syua’ib al-Arna’ut, dan Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah serta selainnya. Tidaklah pelik mereka itu menyanggahinya sebagaimana dia sendiri menyanggahi ulama-ulama besar sebelumnya dalam sesetengah hadis. Sebahagian mereka mengambil pendekatan yang tidak sama dengan pendekatannya dalam mentashih sebagaimana yang dilakukan oleh al-Allamah al-Syeikh Ahmad Muhammad Syakir rahimahullah. Justeru, apabila Syeikh (al-Albani) menghukum da’if sesuatu hadith maka ia bukannya hujah yang muktamad dan keputusan pemisah. Malah saya (al-Qardawi) mengatakan: Syeikh al-Albani hafizahullah adakalanya menghukum da’if sesuatu hadis dalam sebuah kitab, dan dalam kitab yang lain diputuskannya sebagai sahih”. (Fatawa Mu’asarah 2/103).

Maka, sebagai lanjutan daripada itu, mari kita perhatikan pula apa yang dinyatakan oleh tokoh-tokoh ulama pelbagai mazhab berkaitan hal terbabit.

Al-Aini rahimahullah dari kalangan ulama Hanafi menyebutkan dalam kitab al-Binayah Syarh al-Hidayah (3/306, Dar al-Fikr): “Tidak mengapa membaca al-Quran di sisi kubur.” Dalam kitab Hasyiah Raddul Muhtar (2/246), Ibn Abidin rahimahullah menyebutkan: “Tidak dimakruhkan duduk di atas kubur untuk membaca al-Quran menurut pendapat yang dipilih.”

Dalam kitab Hasyiah al-Dusuqi ‘Ala al-Syarh al-Kabir (Fiqh mazhab Maliki) (1/423, Maktabah az-Zahran, Kaherah) menyebutkan: “Makruh membaca al-Quran selepasnya yakni selepas kematiannya, dan di atas kuburnya, kerana ia bukan dari amalan salaf, akan tetapi ulama mutaakhir berpandangan tidak mengapa membaca al-Quran dan zikir, dan dijadikan pahalanya untuk si mati. Si mati memperoleh pahalanya insya-Allah.”

Dalam kitab al-Mughni wa al-Syarh al-Kabir li Ibn Qudamah (Fiqh mazhab Hanbali) menyebutkan: “Tidak mengapa membaca al-Quran di kubur. Telah diriwayatkan daripada Imam Ahmad bahawa beliau berkata: “Apabila kamu masuk ke kubur bacalah ayat al-Kursi dan tiga kali Qulhuallah (surah al-Ikhlas), kemudian katalah: “Ya Allah sesungguhnya kelebihannya untuk ahli kubur ini.” (2/426)

Para ulama al-Syafie seperti Imam an-Nawawi rahimahullah menyebutkan dalam kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (5/286, Maktabah al-Irsyad, Jeddah) dengan katanya: “Dimustahabkan (sunat) membaca sebahagian daripada al-Quran apa yang termudah -yakni di sisi kubur- dan berdoa supaya dijadikan pahalanya untuk mereka (penghuni kubur) selepas membacanya. Hukum ini dinaskan oleh al-Syafie dan disepakati oleh ashab (para ulama al-Syafie).” Jika ada yang mengatakan imam al-Syafie berpandangan tidak sampai pahala membaca al-Quran kepada si mati, maka sebagai orang kebanyakan ini cukuplah bagi kita meletakkan kepercayaan kepada Imam an-Nawawi bahawa kenyataan oleh beliau menunjukkan beliau sendiri menemui teks imam al-Syafie tersebut. Sementara teks yang dijadikan hujah oleh sesetengah pihak konon imam al-Syafie melarang berbuat demikian, sebenarnya adalah berpunca daripada kekeliruan memahaminya seperti yang dihuraikan oleh para ulama dalam mazhabnya.

Yang menjadi pokok persoalan sehingga menimbulkan permasalahan ini ialah apabila ada pihak yang mahu supaya apa yang diamalkan itu benar-benar 100% menunjukkan Nabi s.a.w berbuat demikian. Mereka tidak menerima jika amalan itu berdasarkan hukum yang diistinbatkan oleh para ulama tertentu berdasarkan kefahaman terhadap nas syarak yang pelbagai serta teknik mengistinbatkan hukum seperti yang digariskan dalam ilmu Usul Fiqh. Lantaran itu oleh kerana tidak sabit bahawa Nabi s.a.w berbuat demikian, maka perkara itu dianggap sebagai bidaah. Lebih memilukan lagi, umat ini disesatkan dengan alasan semua yang bidaah itu sebagai sesat berdasarkan kefahaman mereka terhadap hadith Nabi s.a.w yang bermaksud: “setiap yang bid’ah adalah sesat”, tanpa mengambil kira di kalangan ulama yang lain juga mempunyai kefahaman tersendiri, dan mereka (ulama) sedikit pun tidak alpa dan mengabaikan peringatan dalam hadith ini. Kalau kita hendak menentukan sesuatu hukum hanya boleh dilakukan dengan berdasarkan 100% perbuatan Nabi s.a.w, maka kita juga perlu meletakkan hukum larangan berbuat demikian berdasarkan 100% Nabi s.a.w melarang berbuat demikian.

Maka, dalam hal membaca al-Quran di atas kubur jika tidak ditemui dengan jelas dan terang bahawa Nabi s.a.w berbuat demikian, maka apakah ditemui dengan jelas dan terang (tanpa perlu ditakwil dan dihuraikan) bahawa Nabi s.a.w melarang berbuat demikian? Sebagai contoh, mengemukakan hadith: “Jangan kamu jadikan rumah kamu seperti perkuburan. Sesungguhnya syaitan akan lari daripada rumah yang dibacakan di dalamnya surah al-Baqarah. (Riwayat Muslim, Tarmizi, dan Ahmad)”, untuk membuktikan bahawa kubur bukan tempat membaca al-Quran adalah dalil yang tidak terang, kerana ia merupakan kefahaman sesetengah ulama seperti Syeikh al-Albani.

Tentunya kita menghormati pandangan beliau. Pada masa yang sama di kalangan ulama yang lain memahami hadith itu dengan kefahaman yang lain, iaitu orang yang berada dalam rumah yang tidak dibacakan al-Quran bagaikan orang mati yang berada dalam kubur. Ini kerana rumah adalah tempat kediaman orang hidup, dan kubur adalah tempat orang mati. Maka, hadis tersebut (menurut kefahaman ini) menyifatkan orang yang tidak membaca al-Quran di dalam rumahnya bagaikan orang mati yang tidak ada kebaikan lagi untuk dilakukan. Kefahaman ini disokong dengan hadith riwayat Muslim yang bermaksud: “Bandingan rumah yang disebutkan Allah di dalamnya dengan rumah yang tidak disebutkan Allah di dalamnya seperti bandingan orang yang hidup dengan orang yang mati”. Kedua-dua kefahaman ini ada kemungkinan betul dan salah, tetapi apabila kita mendakwa kefahaman yang pertama menunjukkan nas yang sahih menafikan keharusan membaca al-Quran di atas kubur maka ia masih boleh dipertikaikan.

Renunglah maksud firman Allah: “dan apa jua yang dibawa datang oleh Rasulullah s.a.w kepada kamu maka terimalah, dan apa jua yang kamu dilarang olehnya maka patuhilah larangannya” (Surah al-Hasyr, ayat 7). Dalam hal beramal dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w maka Allah perintahkan kita mengambilnya dengan menggunakan perkataan “apa yang dibawa datang”, sedangkan dalam hal mengharam atau melarang sesuatu maka Allah sebutkan dengan perkataan “apa yang kamu dilarang”, padahal lawan kepada perkataan apa yang dibawa datang ialah apa yang tidak dibawa datang, atau apa yang ditinggalkan, atau apa yang tidak dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Allah tidak menyebutkan “tinggallah apa yang tidak dilakukan atau tidak dibawa datang oleh Rasulullah, sebaliknya Allah menyebutkan “tinggallah apa yang dilarang…”.

Berdasarkan ini al-Allamah al-Muhaddith Abdullah Siddiq al-Ghumari menyebutkan satu kaedah Usul, iaitu “meninggalkan sesuatu bukan bererti mengharamkannya” (Itqan as-Sun’ah fi Tahqiq Ma’na al-Bid’ah, hlm 9, Maktabah al-Kaherah). Kaedah usul ini bagi menetapkan bahawa apabila Rasulullah s.a.w meninggalkan daripada melakukan sesuatu atau tidak sabit adanya perbuatan Nabi s.a.w, maka tidaklah semestinya perkara itu haram dilakukan. Jangan pula kita tersasar dengan kenyataan ini bahawa semua yang tidak dilakukan oleh Rasulullah s.a.w adalah boleh belaka. Apa yang hendak disampaikan ialah bukan semua yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w dilarang, tetapi apa yang dilarang oleh baginda dengan terang, jelaslah larangannya. Untuk mengenal pasti hal-hal yang tidak dilakukan atau dilarang secara terang dan nyata oleh Rasulullah s.a.w maka para ulama adalah sandaran kita kerana mereka lebih mengetahui tentang bidang pengkhususan mereka. Jadi kalau di kalangan ulama berbeza pendapat antara memboleh dan menidakkan sesuatu perkara, maka secara langsung yang mengikuti ulama juga akan berbeza pendapat. Selagi perbezaan pendapat itu diraikan dengan harmoni sebagaimana para ulama dahulu meraikannya maka tidaklah timbul soal sesat dan menyesatkan sesuatu amalan selagi ia masih dalam ruang lingkup perbezaan di kalangan ulama yang dikenali sebagai masalah khilafiyah.

Antara dalil yang dikemukakan oleh ulama berkaitan masalah ini ialah hadith berkaitan dua orang yang diseksa di dalam kubur, yang mana salah seorangnya diseksa kerana tidak membersihkan kencingnya. Dalam hadis terbabit menyebutkan bahawa Rasulullah s.a.w memacak pelepah tamar di atas kubur itu dan bersabda (yang kira-kira maksudnya): “Mudah-mudahan ia dapat meringankan kepada mereka berdua selagi mana ia tidak kering” (maksud hadis riwayat al-Bukhari). Berkata Imam an-Nawawi dalam kitab Syarh Muslim (3/260): “Para ulama memandang sunat hukumnya membaca al-Quran di sisi kubur berdasarkan hadis ini, kerana jika dapat diharapkan keringanan dengan tasbih oleh pelepah tamar, maka lebih utama lagi membaca al-Quran.” Jika ada yang berpendapat bahawa hadith ini khusus untuk menunjukkan keberkatan Nabi s.a.w berdasarkan sesetengah pendapat yang menyatakan demikian, maka silalah berpegang dengan pendapat itu, tetapi jangan sampai menyalahkan pendapat yang lain.

Kita sedia berlapang dada kepada sesiapa jua yang tidak mahu membaca al-Quran di kubur, bertalqin, bertahlil dan sebagainya. Siapa mahu dia boleh buat, dan siapa mahu dia boleh meninggalkannya, tetapi tidak sepatutnya sampai membawa kepada pencelaan dan penuduhan sesat yang amat berat untuk ditanggung oleh umat ini.

At-Tabarani meriwayatkan dalam al-Mu’jam al-Kabir (19/220, Maktabah Ibn Taimiah, Kaherah) daripada hadis Abdul-Rahman bin al-‘Ala’ bin al-Lajlaj, katanya: Bapaku berkata kepadaku: “Duhai anakku, bila aku mati nanti, galilah liang untukku. Apabila engkau letakkan aku dalam liang lahadku, maka bacalah: Bismillah wa ‘ala millati Rasulillah s.a.w (dengan nama Allah dan di atas agama Rasulullah s.a.w), kemudian timbuskan tanah ke atasku, kemudian bacalah di sisi kepalaku permulaan surah al-Baqarah dan penamatnya, kerana aku mendengar Rasulullah s.a.w menyebutkan demikian”. Berkata al-Haithami dalam Majma’ al-Zawaid (3/44, Dar al-Kitab al-‘Arabi): “Hadith ini diriwayatkan oleh al-Tabarani dalam kitab Mu’jam al-Kabir, dan rijalnya (senarai perawinya) dipercayai.” Imam an-Nawawi rahimahullah menyebutkan dalam kitab al-Azkar (hlm 219, Dar al-Rayyan li al-Turath): “Berkata al-Syafie dan para ashab: “Disunatkan membaca al-Quran di sisinya (kubur) sesuatu daripada al-Quran. Mereka (ashab) mengatakan: Jika mereka mengkhatamkan al-Quran semuanya, maka itu adalah baik. Dan telah diriwayatkan kepada kami (seperti) dalam Sunan al-Baihaqi dengan sanad yang hasan bahawa Ibn Umar menggalakkan dibaca di atas kubur setelah pengkebumian permulaan surah al-Baqarah dan penghujungnya.”

Dr. Wahbah az-Zuhaili menyebutkan dalam kitabnya al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu tentang pandangan ulama pelbagai mazhab hukum berkaitan membaca al-Quran untuk si mati. Beliau menyebutkan:

“Ulama berbeza pendapat tentang sampainya pahala ibadat badani semata-mata seperti solat dan bacaan al-Quran kepada orang yang tidak melakukannya. Ada dua pendapat dalam hal ini: Pandangan ulama Hanafi dan Hanbali serta ulama mutaakhir dalam kalangan mazhab al-Syafie dan Maliki mengatakan pahala al-Quran sampai kepada si mati jika dibaca di di sisinya, atau didoakan supaya disampaikan pahala itu selepas membaca al-Quran, walaupun mayat itu ghaib (jauh dari pembacanya). Ini kerana tempat al-Quran dibaca akan turun rahmat dan keberkatan, dan berdoa selepasnya lebih diharapkan untuk diterima.

Golongan terdahulu dari kalangan Maliki dan pendapat yang masyhur dari kalangan ulama al-Syafie yang terdahulu mengatakan tidak sampai pahala ibadat mutlak (yakni tidak berkaitan dengan harta) kepada bukan si pelakunya.

Berkata ulama Hanafi: Menurut pendapat yang dipilih tidak makruh mendudukkan beberapa orang pembaca al-Quran untuk membacanya di sisi kubur. Mereka menyebutkan dalam bab mengerjakan haji bagi pihak orang lain: Manusia berhak untuk menjadikan pahala amalannya untuk orang lain, sama ada amalan itu berupa solat atau puasa atau sedekah atau selainnya, sedangkan yang demikian itu tidak mengurangi sedikitpun pahalanya.

Berkata ulama Hanbali: Tidak mengapa membaca al-Quran di sisi kubur berdasarkan hadith (yang bermaksud): “Sesiapa yang masuk ke perkuburan lalu membaca surah Yasin, maka diringankan daripada mereka (penghuni kubur) pada hari itu, dan dia memperolehi kebaikan sebanyak bilangan mereka yang ada di situ (kubur).” Mereka juga menyebutkan hadith: “Sesiapa yang menziarahi kubur kedua-dua ibu bapanya, lalu membaca al-Quran di sisinya atau membaca Yasin di sisi kedua-duanya, maka diampunkan untuknya.” Di bahagian nota kaki, beliau (Dr. Wahbah az-Zuhaili) menyatakan kedua-dua hadith ini adalah da’if dan hadith yang pertama lebih da’if daripada yang kedua seperti yang diisyaratkan oleh as-Suyuti dalam kitab al-Jami’.

Golongan mutaakhir dari kalangan ulama al-Syafie mentahkikkan bahawa pahala membaca al-Quran sampai kepada si mati, seperti membaca al-Fatihah dan selainnya, dan berdasarkan pandangan inilah menjadi amalan yang dilakukan oleh orang ramai. Apa yang dipandang baik oleh orang Islam maka ia adalah baik di sisi Allah. Apabila ternyata bahawa membaca al-Fatihah memberikan manfaat kepada orang hidup yang disengat binatang dan diperakui oleh Nabi s.a.w melalui sabdanya: “Bagaimana engkau tahu bahawa ia (al-Fatihah) boleh dijadikan jampi?, maka kemanfaatannya kepada mayat adalah lebih utama.” (selesai nukilan al-Fiqh al-Islami 2/1579).

Kemungkinan hadis yang disebutkan oleh ulama Hanbali ini disenaraikan sebagai hadis palsu oleh sesetengah pihak, walaupun Dr. Wahbah az-Zuhaili menukillkannya sebagai hadis daif. Moga dilindungi Allah daripada kita melabelkan ulama Hanbali sebagai tidak bertanggunjawab kerana menyebarkan hadith ini. Sama ada hadis tersebut palsu atau daif tidaklah menjejaskan pandangan para ulama yang berpandangan membaca al-Quran di kubur bukannya bidaah kerana bukan hadis terbabit yang menjadi tonggak pendalilan semua ulama yang mengharuskannya. Ekoran perbincangan di atas timbul satu kemusykilan, jumhur ulama yang manakah menghukum bidaah membaca al-Quran di atas kubur? Jika dikatakan segelintir ulama berpandangan demikian tentulah tidak disangsikan.

Saya tidak mengharapkan daripada tulisan ini agar pembaca mengambil ketetapan bahawa apa yang dikemukakan adalah pandangan yang tidak boleh dipertikaikan. Cuma, apabila dikemukakan perbincangan di atas, harapan untuk orang awam janganlah sampai anda menyalahkan ahli agama atau ustaz-ustaz yang dianggap tidak pakar kerana mengajarkan kepada anda ajaran yang selama ini kononnya bidaah (seperti yang didakwakan). Berbaik sangkalah bahawa mereka yang diamanahkan menyampaikan ilmu berusaha menyampaikan sekadar yang terdaya olehnya, dan jauh sekali mereka berniat menyebarkan bidaah sama ada secara sedar atau tidak. Bagi mereka yang pakar, mudah-mudahan kepakaran itu dapat dimanfaatkan untuk umat sejagat.

(Tulisan Asal Oleh: MUHAMMAD RAMZI OMAR)

#SELAMAT BERAMAL#