Sahabat Ilmu

Ahad, 23 Mei 2010

Solat fardhu lebih baik berjemaah

Solat fardu Rasulullah tidak pernah bersendirian
Oleh: SAHBULAH DARWI

KEPENTINGAN solat lima waktu sememangnya diketahui umum oleh umat Islam sehingga ia diletakkan pada kedudukan kedua dalam rukun Islam selepas mengucap dua kalimah syahadah. Begitupun, keadaan umat Islam pada zaman ini yang sebahagiannya didapati sengaja mencuaikan perintah Allah ini, apatah lagi untuk menunaikannya secara berjemaah, adalah suatu realiti yang amat menyedihkan hari ini. Oleh itu, adalah penting untuk masyarakat Islam diberikan dorongan (targhib) dengan menerangkan kelebihan dan keistimewaan solat berjemaah bagi menarik mereka kepada amalan tersebut kerana ia bukan sesuatu yang boleh dipaksa.

Nabi Muhammad telah mendidik para sahabatnya serta umat Islam keseluruhannya sehingga akhir zaman supaya bukan sahaja menjaga solat lima waktu tepat pada waktunya, bahkan supaya bertekun mengambil berat terhadap solat berjemaah. Hatta, Baginda tidak pernah bersolat fardu secara sendirian sepanjang hayatnya.

Dalam hadis Qudsi yang diriwayatkan oleh Abu Qatadah Rasulullah bersabda:
Allah berfirman, Aku telah memfardukan ke atas umatmu solat lima waktu. Aku sungguh-sungguh telah berjanji dengan diri-Ku bahawa sesiapa yang menjaga solat tepat pada waktu maka Aku bertanggungjawab untuk memasukkannya ke dalam syurga. Sebaliknya bagi sesiapa yang tidak menjaga solat, Aku langsung tidak bertanggungjawab ke atasnya. (Riwayat Abu Daud dan Ibu Majah).

Ketika hampir wafat, Baginda tetap pergi ke masjid untuk menyertai solat berjemaah yang diimamkan oleh Saidina Abu Bakar. Demikianlah perilaku mulia yang ditunjukkan Baginda supaya umat Islam mengambil contoh tauladan untuk turut bersungguh-sungguh menjaga solat berjemaah yang dijanjikan banyak ganjaran dan rahmat daripada Allah.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar bahawa Rasullullah bersabda: Sesungguhnya solat berjemaah adalah 27 kali ganda lebih afdal daripada solat bersendirian. (Riwayat Imam Malik, Bukhari dan Muslim).

Apabila seseorang itu mendirikan solat dengan ikhlas bersama niat untuk memperoleh keredaan Allah dan berniat mendapatkan ganjaran (ihtisab), maka cara yang mudah ialah bersolat di masjid dengan berjemaah dan bukan melakukannya secara sendirian. Sebagaimana seorang pekerja tidak mungkin kita melepaskan peluang untuk meraih gaji RM27 untuk sesuatu pekerjaan mudah, sebaliknya berpuas hati dengan hanya RM1. Tamsilan tersebut hanya bertujuan memberikan gambaran kerana lazimnya manusia lebih mudah memahami keuntungan atau kerugian berkaitan hal keduniaan. Namun sebenarnya keuntungan dalam amalan agama sebagaimana solat adalah terlalu besar.

Anas bin Malik meriwayatkan Rasulullah bersabda: Sesiapa yang mengerjakan solat berjemaah kerana Allah dengan memperoleh takbiratul ula selama 40 hari akan mendapat dua kelepasan, kelepasan daripada api neraka dan kelepasan daripada sifat munafik. (Riwayat al-Tirmizi).
Antara ganjaran lain ialah Allah akan mengurniakan lima keistimewaan;

Pertama, akan diangkat kesempitan hidup;
Kedua, akan dihindar daripada azab kubur;
Ketiga, akan menerima buku catatan amalan melalui tangan kanan;
Keempat, akan melintasi titian sirat sepantas kilat dan
Kelima, akan memasuki syurga tanpa hisab.

Sebahagian ulama meletakkan hukum bagi solat fardu lima waktu secara berjemaah untuk golongan lelaki ialah fardu ain. Manakala sebahagian ulama pula mengatakannya sebagai fardu kifayah dan sebahagian lagi ulama termasuk Imam Syafie berpendapat ia adalah sunat muakkad.

*Golongan munafik Pada zaman Rasulullah, kesemua orang Islam akan datang ke masjid solat berjemaah, kecuali mereka yang benar-benar uzur manakala golongan munafik pula tidak menyertai solat Isyak dan Subuh secara berjemaah kerana merasakan mereka tidak akan dapat dilihat pada dua waktu yang suasana harinya agak gelap itu.

Abdullah bin Abbas berkata bahawa Rasulullah bersabda: Sesiapa yang mendengar azan dan tidak pergi menunaikan solat berjemaah tanpa sesuatu sebab yang menghalangnya iaitu keuzuran daripada menyertai solat berjemaah maka solat yang dikerjakan (tanpa berjemaah) tidak akan diterima. Para sahabat bertanya: Apakah keuzuran itu? Jawab Rasulullah: Takut atau sakit. (Riwayat Imam Abu Daud dan Ibnu Hibban).

Bagaimanapun ulama muktabar sepakat mengatakan bahawa perkataan ‘solat tidak akan diterima' bermaksud bahawa dia tidak akan mendapat ganjaran daripada Allah melalui solat yang dikerjakan itu, sebaliknya hanya sekadar terlepas daripada kewajipan menunaikan solat fardu. Ulama menggariskan keuzuran yang dimaksudkan dalam hadis di atas termasuk cuaca yang terlampau sejuk, hujan lebat, terpaksa buang air, lapar atau dahaga, takut kepada pemiutang kalau-kalau dimintanya di tengah jalan sedangkan ia benar-benar tidak mampu, takut kepada orang zalim dan siap sedia untuk bermusafir, takut kalau-kalau terlewat atau ketinggalan.

Rasulullah bersabda: Seseorang itu mengambil wuduk dengan sempurna lalu berjalan menuju ke masjid semata-mata untuk bersolat maka setiap langkah yang dilangkahinya akan ditingkatkan satu darjat, (langkah yang sama) digugurkan satu dosa, dan diberikan satu pahala. Setelah bersolat, jika dia terus duduk di dalam masjid (dengan keadaan berwuduk) maka para malaikat akan memohon rahmat dan keampunan untuknya. Selama mana dia terus menunggu untuk menunaikan solat yang seterusnya maka dia akan terus menerus mendapat pahala solat selama masa dia menunggu solat tersebut. (Riwayat Imam Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah). Diriwayatkan daripada Sahl bin Sa'idi bahawa Rasulullah bersabda: Berilah berita gembira kepada mereka yang selalu berjalan ke masjid dalam kegelapan malam bahawa mereka akan memperoleh nur yang sempurna pada hari kiamat. (Riwayat Ibnu Majah).

Dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Abu Said, Rasulullah bersabda: Apabila kamu melihat seorang yang selalu ke masjid maka hendaklah kamu bersaksi atas keimanannya. Lalu baginda membaca surah al-Taubah ayat 18 yang bermaksud: Sesungguhnya mereka yang memakmurkan masjid-masjid Allah (yakni yang menghidupkan amalan dalamnya) ialah orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat... Begitu besar ganjaran yang disediakan untuk orang yang bersolat jemaah sehinggakan mereka yang tidak sempat untuk menyertai jemaah turut diberi ganjaran seandainya sebelum itu dia menyangka solat belum selesai lagi. Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: Seseorang yang berwuduk dengan sempurna lalu pergi ke masjid untuk bersolat berjemaah) lalu mendapati orang ramai telah selesai solat berjemaah, Allah akan memberi kepadanya ganjaran pahala yang sama sebagaimana mereka yang telah bersolat berjemaah, tanpa mengurangkan sedikit pun daripada pahala mereka. (Riwayat Abu Daud, Nasai dan Hakim).

Sebenarnya terlalu banyak sabda Rasulullah yang menggalakkan umat Islam untuk menunaikan solat secara berjemaah namun beberapa hadis di atas adalah memadai untuk mereka yang benar-benar mahu mengikut jejak langkah yang ditunjukkan oleh Baginda. Sesungguhnya Islam bukanlah hanya berkenaan perkara solat sahaja kerana agama yang syumul itu merangkumi segenap aspek kehidupan dan cara hidup manusia yang lengkap, namun solat adalah perkara asas dalam ajaran agama itu yang perlu dikerjakan dengan sempurna. Dan sama ada ibadat kita diterima atau tidak, hanya Allah sahaja yang mengetahui namun Rasulullah telah menunjukkan cara-cara bagaimana setiap amalan itu dapat diterima oleh Allah sekiranya dilakukan mengikut sunah Rasulullah, dan solat berjemaah adalah salah satu sunah Baginda.

Sebagaimana yang dinyatakan oleh Abdullah Ibnu Mas'ud: Rasulullah mengajarkan kami jalan-jalan petunjuk (sunanul huda) dan di antara jalan-jalan hidayah itu ialah mengerjakan solat berjemaah di masjid yang dilaungkan azan. (Riwayat Imam Muslim, Abu Daud, Nasai dan Ibnu Majah).

-dipetik dari Bicara Agama-Utusan Malaysia Online 4Jun 2007

http://tokasid.blogspot.com/2008/03/tazkirah-jumaatsolat-fardhu-lebih-baik.html

Tiada ulasan: