Sahabat Ilmu

Ahad, 23 Mei 2010

Persoalan Agama: Kenikmatan syurga tidak mampu digambar manusia

Oleh Ustaz Zahazan Mohamed
2010/05/23

LELAKI yang soleh akan hidup selamanya dalam syurga bersama bidadari dan isteri yang dinikahinya ketika hidup di dunia. Wanita yang tidak pernah berkahwin ketika hayatnya di dunia pula akan disandingkan dengan lelaki ahli syurga dengan segala kepuasan dan keredaan hati. Pertanyaan saya, adakah lelaki boleh hidup bersama wanita yang gagal dijadikan isterinya ketika di dunia biarpun wanita itu sudah menjadi isteri lelaki lain ketika di dunia?

Hamba Allah SYURGA adalah perkara ghaib yang wajib diimani. Manusia tidak mampu menggambarkan keadaan sebenar syurga. Syurga adalah kemuncak nikmat yang kekal abadi. Sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Rasulullah SAW bersabda: Allah SWT berfirman: “Aku sudah menyediakan buat hamba-hamba-Ku yang soleh sesuatu yang belum pernah terlihat oleh mata (keindahannya), tidak pernah didengar oleh telinga dan tidak pernah terlintas dalam hati seseorang. Cubalah kamu baca (dalam surah Sajdah ayat 17 yang bermaksud): Maka tidak ada seorang pun yang mengetahui satu persatu persediaan yang telah dirahsiakan untuk mereka (daripada segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang dan menggembirakan, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan (sewaktu di dunia).”

Semua yang kita hajati dan disangka besar di dunia dulu sehingga perkara yang dirasakan mustahil, adalah kecil sebenarnya apabila memperoleh syurga Allah SWT. Segala yang terlintas di fikiran kita, nescaya Allah SWT akan tunaikan.
Dalam surah Ali Imran ayat 14, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan dan anak pinak, harta benda yang banyak berpikul-pikul daripada emas dan perak, kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih dan binatang ternak serta kebun tanaman.

Semua itu kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah) pada sisi Allah SWT ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu syurga). Katakanlah (wahai Muhammad), mahukah supaya aku khabar kepada kamu akan yang lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang yang bertakwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa syurga, yang mengalir di bawahnya sungai, mereka kekal di dalamnya. Disediakan juga pasangan yang suci bersih, serta beroleh keredaan daripada Allah SWT. Dan (ingatlah), Allah SWT sentiasa melihat akan hamba-hamba-Nya.”
Sebuah hadis daripada al-Mughirah bin Syu’bah daripada Rasulullah SAW bersabda: Nabi Musa bertanya kepada Tuhan: “Bagaimanakah serendah-rendah tingkatan ahli syurga?” Tuhan menjawab: “Iaitu seseorang lelaki yang datang sesudah semua ahli syurga dimasukkan ke dalam syurga, kemudian diperintahkan kepadanya: Masuklah kamu ke dalam syurga.”

Lelaki itu berkata: “Wahai Tuhan, bagaimana hendak masuk, sedangkan manusia semuanya sudah mengambil tempat mereka masing-masing dan sudah memperoleh bahagian mereka?” Allah berfirman: “Puaskah kamu kalau kamu diberi seluas kerajaan seorang raja di dunia?” Lelaki itu menjawab: “Wahai Tuhan, saya puas.”
Tuhan berfirman lagi: “Bagimu seluas itu dan ditambah lagi sepertinya, ditambah lagi sepertinya dan tambah lagi sepertinya, ditambah lagi sepertinya.” Ketika Tuhan berkata yang kelima kalinya, lelaki itu berkata: “Wahai Tuhan, saya puas.” Tuhan berfirman: “Inilah bagimu dan 10 kali daripada itu dan segala yang disenangi nafsu dan matamu.” Lelaki itu berkata: “Wahai Tuhan, saya puas.”

Sebuah hadis riwayat Muslim daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya serendah-rendah salah seorang daripada kamu dalam syurga iaitu dikatakan kepadanya: Sebutkanlah keinginanmu? Lalu ia menyebutkan keinginanmu. Maka ia menyebutkan keinginannya dan menghitung-hitung keinginannya.” Kemudian ditanya kepadanya: “Apakah kamu sudah menyebutkan semua keinginanmu?” Dia menjawab: “Ya, sudah.” Kemudian dikatakan kepadanya: “Sesungguhnya bagimu apa yang kamu inginkan dan ditambah lagi sepadan dengannya.”

Allah SWT juga mencabut perasaan hasad dengki yang sering menjadi punca permusuhan di kalangan manusia dan jin sebagai mana firman-Nya dalam surah al-Araf ayat 43 yang bermaksud: “Dan Kami cabutkan segala perasaan dendam dan hasad dengki dari hati mereka, (di dalam syurga) yang mengalir beberapa sungai.”

Begitu juga firman-Nya dalam surah al-Hijr ayat 46 dan 47: “(Mereka disambut oleh malaikat dengan berkata) : Silakan masuk ke dalam (syurga) dengan selamat sejahtera serta beroleh aman. Dan Kami cabut akan apa yang ada di hati mereka daripada perasaan hasad dengki sehingga jadilah mereka bersaudara (dalam suasana kasih mesra), serta mereka duduk berhadapan di atas pelamin masing-masing.”
Wallahualam.

Tiada ulasan: