Sahabat Ilmu

Jumaat, 7 Mei 2010

MUFLIS VS UNTUNG

Terkadang, sebagai manusia kita hanya akan merasakan alangkah ruginya diri andai kita tidak berjaya memperoleh sesuatu nikmat yang diidamkan oleh nafsu dan kemahuan sendiri.Merasa satu kerugian yang maha besar sekiranya perniagaan yang diusahakan dengan jerit-perih selama ini jatuh menjunam, merasa rugi andai terpaksa menghabiskan sebahagian harta yang dikumpul semata-mata untuk diinfaqkan kepada jalan Allah , malah tidak kurang juga yang merasakan kerugian yang teramat besar sekiranya tidak dapat memiliki lelaki atau wanita yang diminati selama ini.

Namun, berapa ramaikah di antara kita merasakan dirinya di dalam kerugian yang maha besar andai diri tidak berjaya menyempurnakan ibadah solat yang difardhukan dengan sebaiknya?Berapa kerat di kalangan kita yang merasa rugi andai anak-anak yang diamanahkan oleh Allah tidak mampu dididik supaya menjadi anak yang soleh dan solehah?Berapa ramai pula di kalangan kita yang merasa muflis jika diri jauh tersasar dari landasan agama yang sebenar bahana kerakusan diri mengejar kenikmatan dunia yang fana? Lupakah kita pada amaran Allah agar kita tidak terleka dengan kenikmatan dunia daripada mengingatiNya :

“Wahai orang-orang Yang beriman! janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahNya). dan (ingatlah), sesiapa Yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang Yang rugi.”

(Surah Al-Munafiquun : ayat 9)

Amat mendukacitakan andai tidak sedikit pun terdetik rasa takut dan bimbang di dalam hati dengan kejahatan dan kemaksiatan yang dilakukan.Tiada langsung perasaan berdosa malah rasa malu terhadap Allah walhal Dia melihat segala apa yang kita kerjakan.Lebih menyedihkan sekiranya kita tidak sedikitpun merasa menyesal dan rugi dengan perbuatan menjual diri sendiri?Bagaimana?Perbuatan ini merupakan satu simbolik kepada keingkaran dan kekufuran kita sebagai hamba dalam mentaati perintah Allah yang diturunkan melalui wahyu Al-Quran dan juga melalui lidah RasulNya, Muhammad SAW iaitu hadis.Perbuatan keji ini dirakamkan oleh Allah sebagai peringatan kepada umat manusia di dalam Surah Al-Baqarah ayat 90 :

“Sejahat-jahat perkara (yang mereka lakukan) ialah perbuatan mereka membeli kesenangan dirinya sendiri Dengan mengingkari Al-Quran Yang telah diturunkan oleh Allah, kerana dengki Bahawa Allah menurunkan dari limpah kurniaNya (wahyu) kepada sesiapa Yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya (iaitu Nabi Muhammad s.a.w). Dengan sebab itu sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan Allah bertalu-talu, dan orang-orang Yang kafir itu akan beroleh azab sengsara Yang menghinakan.”

(Surah Al-Baqarah : ayat 90)

Terlalu banyak kekufuran yang dilakukan manusia di akhir zaman ini.Melakukan kekufuran dan kemaksiatan seolah-olah hidup ini sekadar ternoktah di atas dunia ini sahaja.Manusia seolah-olah terlupa bahawa apa sahaja perbuatan atau amal yang dikerjakan di atas dunia akan dihisab dan medan perhitungannya bukan di dunia ini, tetapi bertempat di alam baqa’ iaitu alam akhirat.Satu alam yang telah dijanjikan oleh Allah.Alam yang bakal menjadi destinasi terakhir kita setelah kita dimatikan dan dihidupkan kembali.

Kejahatan dan pemesongan daripada nilai-nilai agama makin bermaharajalela.Ke mana telah kita campakkan nilai tauhid dan rasa ubudiyyah (penghambaan) kita terhadap Allah?Mengapa kita sanggup dan tergamak menjual akhirat semata-mata untuk mendapatkan dunia sebagaimana yang dilakukan oleh sebilangan manusia seperti yang dirungkapkan oleh Allah di dalam Al-Quran yang tersebut :

“Mereka itulah orang-orang Yang membeli (mengutamakan) kehidupan dunia (dan kesenangannya) Dengan (meninggalkan perintah-perintah Allah Yang membawa kebahagiaan Dalam kehidupan) akhirat; maka tidak akan diringankan azab seksa mereka (pada hari kiamat), dan mereka pula tidak akan diberikan pertolongan”.

(Surah Al-Baqarah : ayat 86)

Walhal kita telah berikrar sejak di alam roh lagi bahawa kita akan menyembah Allah semata?Adakah nilai itu kita campakkan seperti kita membuang sesuatu barangan yang tidak bernilai dan berharga lagi di sisi kita?Adakah ianya kita nilaikan sebanding dengan nilaian RM?Hakikatnya, nilai tauhid adalah amat agung dan jauh lebih tinggi dari nilai wang ringgit.Ia tidak boleh dijual beli.

Kita seringkali melakukan kesilapan dan kekhilafan dalam melayari pentas dunia bernama kehidupan.Bukan sekali, malah mungkin berkali-kali kita terlalai dan alpa dalam melaksanakan tanggungjawab dan kewajipan kita sebagai hamba Mukmin.Seringkali kita melebihkan urusan dunia mendahului akhirat yang baqa’.Terlalu obses dengan perhiasan dunia yang kerapkali menghijab dan mengaburi mata hati kita dari melihat cahaya Illahi walhal dunia sekadar perhiasan semata-mata , tidak lebih dari itu :

“Ketahuilah Bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup Yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup Yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan Yang (menumbuhkan tanaman Yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa Yang tertentu), selepas itu Engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab Yang berat (di sediakan bagi golongan Yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang Yang mengutamakan Akhirat). dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang Yang terpedaya.”
(Surah Al-Hadid :ayat 20)

Adakalanya , kita terlalu biadab dengan Allah.Meminggirkan hak Allah semata-mata menjaga hati manusia.Melupakan Allah kerana mengingati manusia.Lebih mengutamakan panggilan manusia berbanding seruan Allah selaku pencipta.

Untuk istiqomah atau konsisten pada jalan-Nya dirasakan terlalu sukar.Terlalu banyak mehnah, tribulasi dan godaan yang mendepani kita.Kerapkali kita tertewas dengan dagangan dunia yang pada hakikatnya tidak berupaya menjadi saham dan pulangan kepada kita di akhirat kelak.

Sedarlah kita, hakikatnya dunia adalah sekadar persinggahan semata. Dunia adalah ladang untuk kita bercucuk-tanam dengan mengerjakan amal soleh dan hasilnya akan kita tuai di akhirat kelak.Dunia menjadi satu pentas ujian untuk Allah uji siapakah di antara kita yang berjaya menempuhinya atau sebaliknya :

“Sesungguhnya Kami telah jadikan apa Yang ada di muka bumi sebagai perhiasan bagiNya, kerana Kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya Yang lebih baik amalnya.”
(Surah Al-Kahfi :7)

Mengapa masih lagi cenderung memilih kenikmatan dunia sedangkan telah Allah janjikan di dalam kitab-Nya bahawa perniagaan yang paling memberikan keuntungan kepada manusia adalah dengan cara beriman kepada Allah dan hari akhirat.Itulah dagangan yang dapat menyelamatkan diri kita dari azab dan seksa neraka.Taqwa sahajalah yang akan menjadi bekalan kepada kita di hari perhitungan kelak.

10. Wahai orang-orang Yang beriman! mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan Yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa Yang tidak terperi sakitnya?
11. Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah Dengan harta benda dan diri kamu; Yang demikian itulah Yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat Yang sebenarnya).
(Surah As-Shoff : ayat 10 dan 11)

Tiada ulasan: