Sahabat Ilmu

Jumaat, 21 Mei 2010

KHUTBAH JUMAAT 21 MEI 2010

Sidang Jumaat Sekelian

Akhbar Harian Metro bertarikh 17 Mei 2010 melaporkan kejadian di KUALA TERENGGANU - Seorang bayi lelaki baru dilahirkan dikhuatiri menjadi mangsa ratahan binatang buas selepas bayi malang itu dibuang ibunya yang cuba menyembunyikan kelahirannya dengan mencampakkan anaknya ke dalam semak di belakang rumah, di Ketengah Jaya, Dungun Jumaat lalu.

Bernama melaporkan pada 14 Mei 2010 di SUNGAI PETANI: Seorang bayi lelaki yang dipercayai baru dilahirkan ditemui di Masjid Al-Makmor, Sungai lalang pada kira-kira pukul 5.20 pagi.

Pada 18 Mei 2010 Seorang remaja berusia 15 tahun dari Durian Tunggal, Alor Gajah dan teman lelakinya, Muhammad Safiuddin Mohd. Zahari, 19, dari Taman Melaka Baru mengaku bersalah secara bersama-sama menyembunyikan kelahiran seorang bayi lelaki dan mengebumikannya di tepi sebatang sungai dekat Taman Melaka Baru, Batu Berendam pada 12 Mei 2010.

Utusan Malaysia bertarikh 6 Mei 2010 melaporkan penemuan mayat bayi baru lahir ditemui hanyut di Sungai Klang berhampiran Kampung Bukit Lancung, Puchong. Penemuan mayat bayi lelaki yang masih bertali pusat dan berkeadaan bogel itu menyusul selang dua hari selepas kes seorang bayi lelaki ditemui ditinggalkan di sebuah pondok berhampiran Surau Umudiah, Kampung Batu 29, Jenderam Hulu di Sepang.

Kuching 6 Mac 2010 - Mayat seorang bayi perempuan ditemui dalam sebatang longkang dalam keadaan menyedihkan kerana masih mempunyai tali pusat serta kesan darah pada badannya.Bayi malang itu ditemui pada pukul 2.45 petang di kawasan berdekatan Pasar Stutong di sini oleh dua kanak-kanak berusia 13 tahun yang kebetulan bermain di situ.

Daripada berita-berita yang kita dengar ini memang benarlah Sabda Nabi s.a.w: Dari ‘Adiy bin Hatim r.a mengatakan: Ma’ruf (kebaikan) yang kamu kenali sekarang adalah merupakan munkar (kejahatan) yang dikenali pada zaman dahulu. Dan mungkar yang kamu kenali sekarang akan menjadi ma’ruf pada masa akan dating. Sesungguhnya kamu sentiasa baik selagi kamu mengetahui perkara yang kamu ingkari. Dan kamu tidak akan ingkari perkara yang kamu tidak tahu dan selagi ada seorang yang ‘alim dikalangan kamu memperkatakan sesuatu dengan jelas dan dia dihormati (tidak direndah-rendahkan). (Ibnu ‘Asakir)

Sidang Jumaat Sekelian

Bagaikan bermusim, gejala buang bayi kini seperti tiada penghujungnya. Ada yang dihanyutkan ke sungai, dibakar, disumbat ke dalam lubang tandas, dibuang ke longkang dan dicampak ke tempat pembuangan sampah.Semuanya ini menimbulkan persoalan bilakah episod kejam itu akan berakhir. Sesungguhnya mencegah itu lebih baik daripada mengubat. Menutup jalan maksiat itu lebih baik daripada merawat penyakit yang timbul akibat daripada gejala maksiat yang berlaku.

Firman Allah dalam Surah Al-Israa’ ayat 32 yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk”.

Firman Allah lagi dalam surah An-Nur ayat 30 yang bermaksud:-
“Katalah kepada laki-laki yang beriman: “hendaklah mereka menahan pandangan dan memelihara kehormatan mereka yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang mereka perbuat.”
Firman Allah lagi dalam surah An-Nur ayat 31 yang bermaksud:-
“Dan katalah kepada perempuan-perempuan yang beriman: “hendaklah mereka menahan pandangan dan memelihara kehormatana mereka dan jangan mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahirnya dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju nya dengan tudung kepala mereka…”

SIDANG JUMAAT YANG BERBAHAGIA,

Ketiga-tiga ayat di atas merupakan di antara perintah-perintah pencegahan yang turunkan oleh Allah swt sebagai pencipta manusia bagi mencegah manusia daripada penzinaan yang seterusnya membawa kepada kemusnahan hidup di dunia. Sebelum ini kita sering memperkatakan permasalah seks bebas, pergaulan bebas, minum arak, penagihan dadah, bohsia, bohjan, mat rempit, sumbang mahram , rogol, pencabulan, penderaan anak-anak, keganasan rumah tangga, dan pelbagai lagi permasalahan masyarakat . Kini kita dikejutkan pula dengan permasalahan pembuangan bayi. Walaupun kes ini sudah lama berlaku namun kebelakangan ini semakin berleluasa sehingga melangkaui daripada norma-norma kemanusiaan yang tidak dapat diterima akal ianya boleh terjadi di dalam masyakat Malaysia yang terkenal dengan nilai-nilai ketimuran dan ajaran Islam yang menjadi pegangan .

Dalam Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2007 satu kajian di Lembah Klang mendapati seorang bayi dibuang setiap 10 hari dan yang lebih membimbangkan kejadian ini tidak hanya berlaku di bandar-bandar besar sebaliknya semakin menular di desa dan luar bandar. Ini jelas terbukti apabila sejak akhir-akhir ini kes-kes pembuangan bayi dilaporkan berlaku di luar bandar. Menurut Timbalan Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Noriah Kasnon sebanyak 304 kes buang bayi telah dilaporkan antara tahun 2004 hingga 2007 yang membabitkan 117 bayi lelaki, 96 bayi perempuan manakala bakinya tidak diketahui jantina kerana mayat reput. Menurut Statistik Ibu Pejabat Bukit Aman pula sejumlah 50 kes buang bayi dicatatkan sepanjang Januari hingga September 2008 dengan pasangan melayu mencatat jumlah tertinggi iaitu 36%. Statistik-statistik ini jelas menunjukkan betapa nazak dan dahsyatnya permasalahan buang bayi yang melanda masyarakat kita saban hari, masa dan ketika yang semakin bertambah.dari hari ke sehari tanpa menunjukkan kadar penurunan.
SIDANG JUMAAT YANG BERBAHAGIA,

"Akhbar hari Jumaat 12 Feb 2010 melaporkan isteri PM dan Shahrizat Jalil menyuarakan kebimbangan kes buang bayi yang cukup ketara. Ia bukan kes baru, tetapi kenapa baru bersuara dan baru terperasan. Almarhum Ustaz Fadhil Nor pernah menyebutkan kebimbangannya dengan statistik kelahiran anak luar nikah dalam Parlimen, tetapi ia berlalu begitu sahaja. Kesungguhan kerajaan terhadap isu ini hampir tidak dapat dilihat. Kita boleh mendengar semua ucapan pemimpin-pemimpin pada hari ini samada di dalam akhbar, televisyen, musim pilihanraya dan sebagainya hanyalah tertumpu pada hal ehwal pembangunan, ekonomi, pelaburan, pelancongan, projek dan kepartian. Isu kemanusiaan seperti pembuangan bayi, penzinaan dan seumpamanya ini yang memberikan kesan jangka panjang kepada negara tidak dihiraukan dan tidak dipedulikan sangat.

KENAPA MASALAH PEMBUANGAN BAYI DAN MUNGKAR-MUNGKAR INI TERJADI?

Kejadian buang bayi berlaku kerana umat Islam hari ini telah membuang syariat Allah swt didalam kehidupan. Kita telah membuang syariat berkahwin, syariat bersosial, syariat berpakaian, syariat berhibur, syariat pergaulan, syariat berkeluarga, syariat mendidik anak, syariat mendidik rakyat, syariat mentadbir negara, syariat memimpin dan syariat dalam hukuman dan undang-undang. Kita menggunakan dan mengamalkan cara hidup Barat, cara hidup sekular, cara hidup, syaitan, cara hidup yang bertentangan dengan kehendak Allah swt dalam semua aspek. Kita menjadi lebih Barat daripada orang Barat, kita menjadi lebih sekular daripada sekular, kita menjadi lebih syaitan daripada syaitan. Dalam bentuknya yang besar, hukum hudud diketepikan. Hukum zina muhsan dan zina bukan muhsan iaitu rejam sehingga mati dan sebat seratus rotan dianggap tidak relevan untuk dunia moden kononnya. Tetapi sistem kewangan Islam boleh pula diterima. Tidak pula dikatakan tidak relevan. Kita mengambil hokum Allah yang kita rasa menguntungkan kita dan pada masa yang sama kita menolak hokum Allah yang kita rasa tidak sesuai dengan selera kehidupan kita.

Dalam bentuknya secara peribadi, si gadis yang berpeleseran dengan pasangannya itu yang membuang syariat. Valentine Day, Sambutan Tahun Baru, Sambutan Kemerdekaan, sambuatan sempena konsert tertentu dijadikan musim-musim mengawan, yang kemudiannya nafsu serakah itu menghasilkan bayi tanpa akad nikah sah. Maka lahirlah warganegara baru Malaysia yang entah apa akan jadi kepadanya nanti. Dalam institusi keluarga, syariat juga dibuang. Ayah tidak mampu, tidak berani, bacul, dayus untuk menegur si anak perempuan yang asyik keluar dengan teman lelaki samada malam atau siang hari. Ayah hanya pentingkan kerjayanya sahaja. Si ibu pun demikian. Bahkan membiarkan pergaulan bebas itu dianggap bertamadun. Yang tidak bersosial dan berpeleseran itu katanya kolot atau konservatif. Agama untuk mendidik dan menjadi benteng tidak dikisahkan dan tidak dipedulikan bahkan ada yg menganggap agama itu mengongkong peribadi seseorang.

Dalam masyarakat, syariat juga dibuang. Perintah Allah supaya jangan dekati zina tidak dihiraukan. Program tv menggalakkan zina secara halus, media, pesta, disko, pub, pelancung yang dibiar jadi pelacur, cd dan web lucah dibiarkan subur. Program2 maksiat disubur dan dimakmurkan, program2 agama dikenakan sekatan2 dan peraturan2 serta ancaman2 kepada yang menganjurkannya. Kalaupun ada tindakan hanya melepas batuk di tangga. Pihak penguatkuasa dan pihak Kerajaan tidak bersungguh terhadap majalah lucah dan semi-lucah di pasaran. Laman porno mudah dilayari di Malaysia, tapi bila ada satu dua laman web yang sedikit menyiku kerajaan terus diambil tindakan.

Inilah bahana dan hasil bila kita mengamalkan cara hidup, cara berkeluarga dan cara bernegara yang berpandukan akal dan nafsu dengan menolak hukum, peraturan dan undang2 yang telah sedia ada dalam Islam yang termaktub didalam al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w. Statistik kelahiran bayi luar nikah dan kes buang bayi makin menakutkan. Sistem yang kita dokong dan perjuangkan selama lebih 50 tahun adalah sistem yang membuang syariat. Justru tidak pelik kes buang bayi meningkat dan kes-kes baru semakin berleluasa dan bermaharajagila saban hari..

SIDANG JUMAAT YANG BERBAHAGIA,

Pelbagai saranan dan cadangan telah diutarakan oleh pelbagai pihak untuk mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi dan menangani permasalahan ini yang jelas bertentangan nilai-nilai yang ada dalam Islam khasnya dan norma-norma kemanusiaan sejagat amnya. Di antara cadangan bodoh itu ialah menubuhkan pusat menerima bayi daripada perbuatan zina, menyediakan rumah perlindungan perempuan mengandung tanpa ikatan perkahwinan dan memberi pendidikan seks kepada pelaja-pelajar. Timbul persoalan di sini sejauhmanakah penyelesaian yang dicadangkan mampu membasmi gejala buang bayi secara total. Cadangan ini bukan untuk mencegah tetapi lebih menggalakkan aktiviti seks bebas dan memakmurkan kemungkaran tersebut.

Berdasarkan statistik Jabatan Pendaftaran Negara sekitar tahun 2000 hingga 2008 terdapat 257,000 kanak-kanak yang didaftarkan tidak mempunyai nama bapa dan yang lebih menyedihkan lagi apabila bagi tahun 1999 hingga 2003 sahaja, 44% anak yang tidak mempunyai nama bapa adalah anak orang Islam iaitu 30,978 daripada 70,430 kanak-kanak yang didaftarkan. Cuba bayangkan dalam keadaan cadangan-cadangan penyelesaian di atas belum dilaksanakan sepenuhnya telah wujud 257,000 kanak-kanak yang didaftarkan tanpa nama bapa apatah lagi sekiranya cadangan penyelesaian di atas dilaksanakan sepenuhnya, pasti jumlahnya akan menjadi semakin berlipat kali ganda yang seterusnya akan membawa kepada permasalahan yang lain.

Mimbar amat tertarik dengan saranan Timbalan Dekan Institut Pemikiran dan Ketamadunan Islam Universiti Antarabangsa Malaysia (UIAM) Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid yang mengatakan “ Jika semua pihak terutamanya kerajaan serius dalam menangani isu pembuangan bayi yang saban hari dilaporkan, tumpuan perlu diberi kepada usaha membersihkan masyarakat daripada sumber-sumber yang mendedahkan mereka kepada faktor yang merosakan nilai murni.” Satu usaha yang bersepadu haruslah diambil secepat mungkin oleh semua agensi kerajaan termasuk NGO bagi memastikan segala punca kepada masalah pembuangan bayi dapat dikenalpasti dan dihapuskan daripada terus mencengkam masyarakat.

Firman Allah dalm Surah Al-Anfal ayat 20-22 yang bermaksud:-

“Hai orang-orang yang beriman, taatlah kepada Allah dan Rasulnya dan janganlah kamu berpaling daripadanya, sedang kamu mendengar (perintah-perintahnya dan janganlah kamu menjadi sebagai orang munafik yang berkata “Kami mendegar , pada hal mereka tidak mendengar. Sesungguhnya makhluk bergerak yang bernyawa yang paling buruk disisi Allah ialah orang yang pekak dan tuli ( tidak mendengar atau memahami kebenaran iaitu orang-orang yang tidak mengerti.)

Perlakuan seks bebas, pergaulan bebas, minum arak, penagihan dadah, bohsia, bohjan, mat rempit, sumbang mahram , rogol, pencabulan dan pelbagai lagi permasalahan yang melanda masyarakat wajar dibenteras secara bersepadu dengan berpandukan kepada panduan ilahi bukan hanya berlandaskan akal semata-mata dan penyelesaian jangka pendek yang hanya mengundang masalah selanjutnya yang tidak berkesudahan. Masalah pembuangan bayi merupakan salah satu natijah buruk yang terhasil akibat daripada pelbagai masalah masyarakat yang melanda.dan kini telah menjadi barah yang semakin merebak di dalam masyarakat kita.
Justeru itu cara yang sewajarnya bagi menangani permasalahan buang bayi adalah membenteras segala punca yang menjadi sebab kepada permasalahan ini. Kepincangan pendidikan, persekitaran, perundangan dan institusi keluarga harus diperbetulkan demi melahirkan masyarakat yang mempunyai nilai-nilai murni yang membawa kepada terlahirnya generasi muda yang mempunyai daya tahan yang tinggi bagi menghadapi pelbagai cabaran yang mendatang di zaman yang serba canggih dan moden ini.

Sewajarnya kita semua termasuklah ibubapa, masyarakat, pihak kerajaan kembali kepada system Islam yang sebenar dengan melaksanakan undang-undang syariah Islam yang sebenar di dalam Negara Malaysia kepada pesalah-pesalah zina dan golongan yang membuang bayi ini. Di samping menutup kelab2 malam, pub, disko, pesta2 maksiat, mengharamkan konsert2 yang menyebabkan pergaulan bebas, menghapuskan cara sambutan hari2 kebesaran Negara yang penuh dengan maksiat diganti dengan aktiviti2 keagamaan dan kerohanian. Mengawal perjalanan program TV, menghentikan program2 realiti TV yg banyak menyumbang kepada perzinaan serta pergaulan bebas, mengawal majalah2 serta VCD/DVD lucah di pasaran serta di internet, memperbanyakkan program2 keagamaan, kesenian dan kebudayaan Islam serta berusaha memahamkan seluruh umat Islam khususnya di Malaysia mengenai cara hidup Islam yang sebenar sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah swt. Apabila hukum, peraturan dan undang2 Allah menaungi dan mengawal manusia maka lahirlah pemimpin yang taat kepada Allah, masyarakat yang taat kepada Allah, Ibubapa yang taat kepada Allah, anak2 yang taat kepada Allah dan seluruh rakyat taat kepada Allah maka hasilnya tiada lagi kemungkaran dan kemaksiatan, yang ada hanyalah ketenangan, kebahagiaan dan kemakmuran hidup dibawah lembayung rahmat Allah swt. Sabda Rasulullah saw:

عَنْ زَيْدِ بْنِ أَرْقَمَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: كِتَابُ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ هُوَ حَبْلُ اللَّهِ مَنْ اتَّبَعَهُ كَانَ عَلَى الْهُدَى وَمَنْ تَرَكَهُ كَانَ عَلَى ضَلَالَةٍ. (مسلم

Dari Zaid bin Arqam, r.a. katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Kitab Allah Azza wa Jalla ialah tali Allah (sebab yang membawa kepada rahmat Allah), sesiapa yang menurutnya: Beradalah ia dalam hidayat pertunjuk yang sebenar-benarnya dan (sebaliknya) sesiapa yang meninggalkannya: Beradalah ia dalam kesesatan. " (Muslim)

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ. (الإمام مالك

Dari Abu Hurairah, r.a., dari Nabi s.a.w., bahawa Baginda bersabda: "Aku tinggalkan dalam kalangan kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selagi kamu berpegang teguh kepada keduanya, iaitu kitab Allah dan sunnah Rasulullah," (s.a.w.).

Barakallahuli walakum…

Tiada ulasan: