Sahabat Ilmu

Rabu, 19 Mei 2010

MAHAR ( MAS KAHWIN ) MENURUT PERSEPEKTIF ISLAM

1. Definisi Mahar

Mahar berasal daripada perkataan Arab. Di dalam al-Quran istilah mahar disebut dengan al-sadaq, al-saduqah, al-nihlah, al-ajr, al-faridah dan al-‘aqd.

Menurut istilah syara’ mahar ialah suatu pemberian yang wajib diberikan oleh suami kepada isteri dengan sebab pernikahan.
Mengikut Tafsiran Akta Undang-Undang Keluarga Islam ( Wilayah Persekutuan )1984 menyatakan “ mas kahwin “ bererti pembayaran perkahwinan yang wajib dibayar di bawah Hukum Syara’ oleh suami kepada isteri pada masa perkahwinan diakadnikahkan, sama ada berupa wang yang sebenarnya dibayar atau diakui sebagai hutang dengan atau tanpa cagaran, atau berupa sesuatu yang, menurut Hukum Syara’, dapat dinilai dengan wang.
Terdapat banyak dalil yang mewajibkan mahar kepada isteri antaranya firman Allah dalam surah al-Nisa’ ayat 4 :
“ Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan ( isteri ) akan mas kahwin mereka itu sebagai pemberian ( yang wajib ). Kemudian jika mereka menyerahkan kepada kamu sebahagian dari mas kahwinnnya, maka makanlah ( gunakanlah ) pemberian tersebut sebagai nikmat yang baik lagi lazat “
Firman Allah Ta’ala dalam surah al-Nisa ayat 24:
“ Mana-mana perempuan yang kamu nikmati percampuran dengannya ( setelah dia menjadi isteri kamu ) maka berikanlah mereka maharnya ( ajr ) sebagai satu ketetepan yang difardhu ( diwajibkan oleh Allah Taala )”
Pemberian mahar suami sebagai lambang kesungguhan suami terhadap isteri. Selain itu ianya mencerminkan kasih sayang dan kesediaan suami hidup bersama isteri serta sanggup berkorban demi kesejahteraan rumah tangga dan keluarga. Ia juga merupakan penghormatan seorang suami terhadap isteri. Walau bagaimanapun mahar tidaklah termasuk di antara rukun-rukun nikah atau syarat sahnya sesuatu pernikahan. Sekiranya pasangan bersetuju bernikah tanpa menentukan jumlah mahar, pernikahan tersebut tetap sah tetapi suami diwajibkan membayar mahar misil ( yang sepadan ). Ini berdasarkan satu kisah yang berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w. di mana seorang perempuan telah berkahwin tanpa disebutkan maharnya. Tidak lama kemudian suaminya meninggal dunia sebelum sempat bersama dengannya ( melakukan persetubuhan ) lalu Rasulullah mengeluarkan hukum supaya perempuan tersebut diberikan mahar misil untuknya.

2. Pemberian Mahar
Memberi mahar kepada isteri hukumnya wajib. Menurut Abu Hanifah, isteri berhak mendapat mahar apabila akad nikahnya sah. Manakala dalam mazhab Syafi’e pula diwajibkan mahar bukan disebabkan akad nikah yang sah sahaja tetapi juga dengan persetubuhan. Sekiranya akad nikah tersebut fasid ( tidak sah ), suami tidak wajib memberi mahar kepada isteri melainkan setelah berlakunya persetubuhan.

3. Mas Kahwin Dan Pemberian Menurut Peruntukan Undang-Undang Keluarga Islam
Mengikut peruntukan seksyen 21 ( 1 ) dan ( 2 ) dalam Akta Undang-Undang Keluarga Islam ( Wilayah Persekutuan ) 1984 ( Akta 303 ) berbunyi seperti berikut :

(1) Mas kahwin hendaklah biasanya dibayar oleh pihak lelaki atau wakilnya kepada pihak perempuan atau wakilnya di hadapan orang yang mengakadnikahkan itu dan sekurang-kurangnya dua orang saksi lain.

(2) Pendaftar hendaklah, mengenai tiap-tiap perkahwinan yang hendak didaftarkan olehnya, menentu dan merekodkan :-
a) nilai dan butir-butir lain mas kahwin;
b) nilai dan butir-butir lain pemberian;
c) nilai dan butir-butir lain apa-apa bahagian mas kahwin atau pemberian atau kedua-duanya yang telah dijanjikan tetapi tidak dijelaskan pada masa akadnikah itu, dan tarikh yang dijanjikan untuk penjelasan; dan
d) butir-butir cagaran yang diberi bagi menjelaskan mas kahwin atau pemberian.
4. Kadar Mahar
Islam tidak menetapkan kadar serta had yang paling maksima dan minima dalam menentukan mahar bagi seseorang wanita. Ianya bergantung kepada uruf iaitu keadaan semasa dan suasana sesuatu tempat dan masyarakat. Sungguh pun demikian, Islam menganjurkan agar kita mengambil jalan tengah iaitu tidak meletakkan mahar terlalu tinggi dan tidak pula terlalu rendah. Rasulullah s.a.w. menggalakkan kita agar mempermudahkan mahar sebagaimana dalam sabdanya :

" اعظم النساء برآة أيسرهن مؤنة "
Kebanyakan perempuan yang berkat perkahwinannya ialah yang mudah ( rendah ) tentang perbelanjaan ( mahar ). ( Riwayat Ahmad dan al-Hakim )

Walau bagaimanapun suami boleh memberikan mahar yang tinggi kepada isteri berdasarkan kepada ayat al-Quran dalam surah al-Nisa’ ayat 20 :
“ Kamu telah memberikan kepada salah seorang daripada mereka harta yang banyak “
Di Malaysia pemberian mahar diberikan oleh suami kepada isteri dalam bentuk wang ringgit yang kadarnya berbeza dari satu negeri dengan negeri yang lain.
5. Jenis Mahar
a. Mahar Musamma
Mahar yang disebut dengan jelas jumlah dan jenisnya dalam suatu akad nikah seperti yang diamalkan dalam perkahwinan masyarakat kita pada hari ini. Ulama’ telah bersepakat bahawa mahar musamma wajib dibayar oleh suami apabila berlaku salah satu daripada perkara-perkara berikut :-
1) Berlakunya persetubuhan di antara suami isteri.
2) Kematian salah seorang di antara mereka sama ada suami atau isteri.
b. Mahar Misil ( mahar yang sepadan )
Mahar yang tidak disebut jumlah dan jenisnya dalam suatu akad nikah. Sekiranya berlaku keadaan ini, mahar tersebut hendaklah diqiaskan ( disamakan ) dengan mahar perempuan yang setaraf dengannya di kalangan keluarganya sendiri seperti adik beradik perempuan seibu sebapa atau sebapa atau ibu saudaranya. Sekiranya tiada, maka diqiaskan pula dengan mahar perempuan-perempuan lain yang setaraf dengannya dari segi kedudukan dalam masyarakat dan sekiranya tiada juga, terpulang kepada suami berdasarkan kepada adat dan tradisi setempat.
Selain daripada itu terdapat perkara-perkara lain yang perlu diambil kira dalam menentukan mahar misil iaitu dari sudut rupa paras, kekayaan, keadaan setempat, keagamaan , ketakwaan, keilmuan, kecerdasan fikiran , keluhuran budi serta status perempuan tersebut sama ada gadis atau janda dan perkara-perkara yang boleh dijadikan penilaian. Ini kerana kadar mahar berbeza dengan berbezanya sifat-sifat di atas.
6. Mendapat Separuh Mahar Atau Tidak Berhak Mendapat Langsung
Sebagaimana yang kita sedia maklumi , apabila berlakunya suatu akad nikah yang sah, maka wajib bagi suami membayar mahar kepada isteri sama ada berupa mahar musamma atau pun mahar misil kerana ia merupakan hak isteri.

Walau bagaimanapun terdapat keadaan yang menyebabkan isteri hanya berhak mendapat separuh sahaja daripada mahar tersebut atau pun tidak mendapat apa -apa mahar langsung daripada suami iaitu :-

a) Isteri hanya mendapat separuh sahaja daripada mahar apabila berlakunya perceraian sebelum persetubuhan. Ini berdasarkan kepada firman Allah Taala dalam surah al-Baqarah ayat 237 :
“ Dan jikalau kamu menceraikan mereka itu ( isteri-isteri ) sebelum kamu menyetubuhi mereka walhal kamu telah menetapkan mahar kepada mereka, maka diwajibkan ( bayarannya ) separuh daripada yang kamu tetapkan kecuali jika mereka sendiri memaafkan atau orang yang mempunyai kuasa perwalian memaafkannya “
Ayat di atas menyatakan bahawa sekiranya mahar isteri telah disebutkan ketika akad nikah dan berlakunya penceraian sebelum persetubuhan, maka suami hanya wajib membayar separuh sahaja daripada mahar tersebut. Tetapi sekiranya mahar tidak disebut ketika akad nikah, suami wajib membayar mahar misil kepada isteri.
Menurut pendapat Imam Syafi’e dan Imam Malik sekiranya berlaku perceraian sebelum persetubuhan, suami hanya wajib membayar separuh sahaja mahar kepada isteri sama ada mahar tersebut disebut semasa akad nikah atau sebaliknya.

b) Isteri tidak berhak langsung untuk mendapat pemberian mahar daripada suami apabila berlakunya perceraian disebabkan fasakh ( dari pihak isteri ) sebelum berlakunya persetubuhan.
7. Kesimpulan
Mahar adalah hak isteri yang diberikan oleh suami dengan hati yang tulus ikhlas tanpa mengharapkan balasan sebagai pernyataan kasih sayang dan tanggungjawab suami atas kesejahteraan rumah tangga. Ianya bertujuan untuk menggembira dan menyenangkan hati isteri agar isteri merasa dihargai dan bersedia untuk menjalani kehidupan bersama suami.

Mahar adalah menjadi hak milik isteri. Sekiranya ia tidak disebut sekalipun Para mujtahidin telah sepakat mengatakan bahawa tidak kadar dan had yang tertentu dalam meletakkan kadar mahar yang paling maksima. Terdapat satu peristiwa yang berlaku yang berlaku di zaman Umar al Khattab (r.a) di mana beliau melarang orang ramai dari meninggikan kadar mahar iaitu tidak boleh lebih daripada empat dirham katanya, “ Janganlah kamu meninggikan mahar perempuan kerana jikalau dia dimuliakan di dunia, atau mahu bertaqwa kepada Allah, maka yang lebih utama ialah contoh daripada Rasulullah yang tidak menetapkan mahar kepada isterinya mahu
pun bagi puteri-puterinya melebihi dua belas auqiah. Oleh sebab itu sesiapa yang melebihi daripada 440 dirham walaupun lebihannya sedikit maka yang itu dimasukkan ke dalam Baitulmal “. Lantas seorang perempuan Quraisy membantah sambil berkata : “ Allah telah berfirman di dalam al-Quran :

Terjemahan : “ Apabila kamu telah memberikan kepada mereka itu ( isteri ) sepikul mahar, maka jangan kamu ambil walaupun sedikit daripada mahar itu “ ( surah al Nisa : 20 )

4 ulasan:

menn berkata...

Salam,
saya nak tanya penggunaan mahar yang telah diberikan dari pihak suami.
Katakan si suami kesuntukan wang,dan si ister ingin membantu dan mengizinkan jika maharnya digunakan oleh suami.Adakah dibolehkan?
Terima kasih atas bantuan anda

IBNU MUSLIM berkata...

Perkahwinan itu sah. Mas kahwin adalah hak isteri apabila sempurna akad. Jika mas kahwin itu dikongsi bersama, maka yang datang dari bakal isteri itu boleh dianggap sebagai hibah dari beliau atau boleh juga dianggap sebagai hutangnya kepada bakal suaminya. Jadi, ia bergantung kepada niat dan persetujuan bersama.
Apa-apa pun yang membabitkan maskahwin ia tidak akan menjejaskan perkahwinan jika akad perkahwinan dilaksanakan dengan memenuhi rukun dan syarat-syaratnya. Maskahwin bukanlah menjadi rukun dan syarat sahnya suatu perkahwinan, akan tetapi ia adalah kesan dari akad. Apabila sempurna akad, maka otomatik maskahwin menjadi milik isteri dan dikira hutang yang tertanggung atas suami. Jika telah ditentukan jumlahnya di dalam akad, maka jumlah itulah yang menjadi hak isteri. Jika tidak ditentukan di dalam akad, maka ia hendaklah dirujuk kepada mahar (maskahwin) misil.
Wallahu a'lam

Tanpa Nama berkata...

Saya nak tanya..kalau perempuan yang inginkan mas kahwin dalam bentuk Al-Quran..adakan itu diboleh kan?

IBNU MUSLIM berkata...

BOLEH maskahwin dalam bentuk al-quran...

Info tambahan:

Mas Kahwin : Senaskah Al-Quran?

Apabila disebut tentang mas kahwin, kebanyakkan wanita kini hanya memikirkan jumlah atau nilai wang yang ditetapkan untuk mas kahwin mereka. Kalau diikutkan, nilai mas kahwin berbeza mengikut negeri asal wanita yang ingin berkahwin. Kadang-kadang itu tidak sampai mata ratusan. Namun pada trend kini, kebanyakkan meletakkan mas kahwin mengikut kemahuan atau kemampuan pasangan masing-masing. Bukan apa, itu kan di'simbol'kan sebagai hadiah kepada wanita atas kesediaannya untuk menerima bakal suami untuk hidup bersama.

Sebagaimana firman Allah:
"Berikanlah kepada orang-orang perempuan itu maskahwin mereka"

Selain mas kahwin, ia juga disebut sebagai mahar. Hukumnya adalah wajib. Pada zaman Rasulullah saw dahulu mas kahwin di bayar dgn berbagai cara iaitu rumah, kebun, mengajar atau membaca al-Quran, mengajar ilmu agama, senaskah kitab al-Quran, sejadah sembahyang, pakaian sembahyang atau sebagainya. Namun, pada zaman kini masih lagi ada golongan yang mengamalkan cara bayaran mas kahwin spt ini, akan tetapi sangat sedikit bilanganya. Sebenarnya apa yang ingin dibincangkan di sini ialah apakah hikmah memilih senaskah Al-Quran sebagai mahar kepada wanita yang bakal di kahwini,.

Sabda Rasulullah SAW :
"Carilah untuk dijadikan maskahwin walaupun sebentuk cincin yang dibuat daripada besi."
(Riwayat Al-Bukhari Muslim)

Sesuatu yang berguna dan berfaedah seperti wang, barang atau sesuatu yg bermanfaat sangat di anjurkan oleh Islam untuk digunakan sbg mas kahwin. Nyata, Al-Quran adalah pilihan yang sangat terbaik sebagai mas kahwin kerana kandungan dan isi Al-Quran mempunyai gudang ilmu yang sangat luas dan penuh manfaat.
Rasulullah juga pernah mengkahwinkan seorang lelaki yang tidak ada memiliki sesuatu apa pun untuk dijadikan maskahwin, lalu Rasulullah bertanya kepada lelaki itu.

"Adakah pada engkau sedikit dari ayat-ayat Quran," lelaki itu menyahut bahawa dia ada mengingati beberapa surat (ayat-ayat Al-Quran), kemudian Rasulullah pun mengkahwinkan lelaki itu dengan bermaskahwinkan surat yang diajarkan kepada perempuan yang bakal menjadi isteri lelaki itu.

Lihat, mudah dan halus benar maksud Rasulullah. Banyak kebaikkan yg kita dapat daripada ajaran Rasulullah saw ini. Si isteri bukan sahaja dapat mempelajari ilmu Allah, malah dapat mempratikkan dan membacanya selalu dan apabila ilmu yg diberi diamalkan oleh org lain, ternyata bertambahlah pahala si suami yang memberikan ilmu tersebut