Wahai orang-orang Yang beriman! mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan Yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa Yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah Dengan harta benda dan diri kamu; Yang demikian itulah Yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat Yang sebenarnya). (As-Shoff 10-11)
Sidang Jumaat Sekelian,
Sidang Jumaat Sekelian,
Semua manusia impikan kebahagiaan, ketenangan, kemakmuran dan kejayaan dalam diri, keluarga, pekerjaan, dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Namun persoalannya Mengapa usaha dan perjuangan kita selalu sahaja gagal? Kenapa usaha dan perjuangan kita tidak menghasilkan sesuatu yang memuaskan? Sebagai contoh, kita telah berjuang ke arah perpaduan. Namun bukan sahaja perpaduan tidak wujud, masyarakat Islam bertambah pecah. Di dalam sebuah parti atau organisasi pun berpecah belah. Di antara satu etnik pun bermusuh-musuhan, betapalah di antara parti dengan parti dan seterusnya. Penyakit masyarakat dan gejala tidak sihat telah diusahakan untuk dibaiki, namun penyakit dan gejala tidak sihat bertambah merebak dan menjadi-jadi.
Arak, judi, riba, zina telah lama diperangi, namun umat Islam masih ghairah melakukannya dan memperjuangkannya. Pergaulan bebas dan pendedahan aurat sudah lama diperkatakan namun masih ramai lagi umat Islam melanggarnya. Buang anak, vandalisme, dera kanak-kanak, sumbang mahram, rogol, cabul, rasuah, salah guna kuasa sudah lama dibanteras, namun kejadian-kejadian itu tetap berlaku dan terus berlaku. Kes juvana, ponteng sekolah, bohsia dan bohjan, budaya lepak, remaja lari dari rumah, seks bebas, dadah, mencuri, merompak, membunuh sudah lama difikir dan diusahakan agar dapat dibanteras namun belum lagi berjaya. Pendatang tanpa izin pula,semua pintu masuk telah disekat dan dikawal dengan rapi, yang dapat ditangkap telah dihukum, namun kedatangan mereka belum lagi reda, seolah-olah kedatangan mereka macam kelkatu di musim hujan.
Kegagalan ini di mana puncanya? Disebabkan apa? Mana salahnya? Apa yang tidak kena? Kalau kita katakan kita belum berusaha, kita telah berusaha dan berjuang. Kalau kita kata tidak cukup wang untuk membiayai usaha dan perjuangan, wang telah banyak dikorbankan. Kalau kita kata tidak ada ilmu, sekarang ada macam-macam kelulusan di dalam berbagai-bagai bidang. Jika dikatakan tidak ada penjelasan, masya-Allah, forum selalu dibuat, media massa sering membuat ulasan. Ceramah dan dakwah bertambah pesat yang dilaksanakan oleh berbagai-bagai golongan. Mesyuarat demi mesyuarat telah dilakukan. Para pemimpin sering sahaja bercakap. Adakah kerana tidak ada peraturan? Peraturan demi peraturan, akta demi akta telah dibuat. Yang bersalah telah dihukum. Cara dan berbagai-bagai teknik telah dilakukan menggunakan alat-alat yang canggih, mengguna psikologi, mengguna saintifik dan sistematik. Macam-macam pakar telah turun tangan. Semua golongan telah menangani, namun penyakit masyarakat bertambah parah. Apa yang tidak kena lagi? Di mana silapnya? Apa lagi yang belum dibuat?
Kegagalan ini di mana puncanya? Disebabkan apa? Mana salahnya? Apa yang tidak kena? Kalau kita katakan kita belum berusaha, kita telah berusaha dan berjuang. Kalau kita kata tidak cukup wang untuk membiayai usaha dan perjuangan, wang telah banyak dikorbankan. Kalau kita kata tidak ada ilmu, sekarang ada macam-macam kelulusan di dalam berbagai-bagai bidang. Jika dikatakan tidak ada penjelasan, masya-Allah, forum selalu dibuat, media massa sering membuat ulasan. Ceramah dan dakwah bertambah pesat yang dilaksanakan oleh berbagai-bagai golongan. Mesyuarat demi mesyuarat telah dilakukan. Para pemimpin sering sahaja bercakap. Adakah kerana tidak ada peraturan? Peraturan demi peraturan, akta demi akta telah dibuat. Yang bersalah telah dihukum. Cara dan berbagai-bagai teknik telah dilakukan menggunakan alat-alat yang canggih, mengguna psikologi, mengguna saintifik dan sistematik. Macam-macam pakar telah turun tangan. Semua golongan telah menangani, namun penyakit masyarakat bertambah parah. Apa yang tidak kena lagi? Di mana silapnya? Apa lagi yang belum dibuat?
Saudaraku Kaum Muslimin Sekelian!
Di sinilah perlunya kita mengetahui di mana rahsia kejayaan dan di mana pula rahsia kegagalan di dalam usaha dan perjuangan. Apakah usaha kita itu mendapat kemurkaan Allah atau mendapat keredhaan-Nya. Mimbar tidak perlu menyebut kegagalan usaha dan perjuangan itu disebabkan salah teknik dan strategi, kurang bijaksana, lemah di segi ilmu, kurang kerjasama, tidak cukup tenaga, tidak sungguh-sungguh berkerja. Hal-hal seumpama ini mudah dikesan, senang difaham. Lama-lama ada pengalaman untuk dapat mengesannya.
Tapi apa yang mimbar suka hendak sebutkan di sini, terhijabnya/terhalangnya bantuan dan pertolongan dari Allah hingga usaha dan perjuangan kita selalu sahaja gagal, bahkan adakalanya kerosakannya lebih banyak daripada kebaikan disebabkan oleh perkara-perkara yang jarang orang memperkatakannya. Orang selalu menyebut kegagalan dalam usaha itu di segi teknik, strategi, kurang ilmu, tidak cukup tenaga, kurang kerjasama, tidak serius dan sungguh-sungguh. Tapi jarang orang memperkatakan kegagalan disebabkan ada hijab kerana dosa kita, dikeranakan syariat Allah, undang2 Allah, peraturan2 Al-Quran, hokum-hakam syarak tidak berjalan di atas usaha dan perjuangan itu, disebabkan niat-niat dari awal usaha sudah tidak betul, niatnya bukan kerana Allah tapi kerana-kerana yang lain. Ada niat-niat yang terpesong di tengah-tengah perjalanan atau di dalam masa mengendalikan usaha dan perjuangan itu. Akibatnya kita selalu sahaja berhadapan dengan kegagalan di dalam usaha dan perjuangan kita.
Kebaikan yang hendak dicari, kejahatan yang didapati. Perpaduan yang dikehendaki, perpecahan yang terjadi. Kesenangan yang hendak dicari, kemiskinan yang tiba. Kasih sayang yang diusahakan, permusuhan yang berlaku. Jenayah yang hendak diperangi, ia bertambah menjadi-jadi. Keadilan yang diperjuangkan, penzaliman yang berlaku. Kejujuran yang dikehendaki, pengkhianatan yang terjadi. Cekap, bersih dan amanah yang dicanangkan tapi sebaliknya yang berlaku. Ketaatan yang dikehendaki, kederhakaan yang terjadi. Di sini saya mengajak sidang Jumaat sekelian melihat Al Quran. Apa kata Allah, Tuhan Pencipta alam dan manusia, yang memberi petunjuk kepada hamba-Nya bagaimana mendapat kejayaan, kemenangan, keselamatan, kebahagiaan, rahmat dan berkat serta mendapat pimpinan dan pembelaan dari-Nya.
Mari kita menghayati beberapa ayat Al Quran untuk kita renungi dan amalkan bersama.
Maksudnya: “Barang siapa yang bertaqwa kepada Allah,Dia akan menjadikan baginya jalan keluar dan Dia akan memberi rezeki dari sumber yang tidak terduga.” (At Talak:2-3)
Maksudnya: “Barang siapa yang bertaqwa kepada Allah,Dia akan permudahkan urusannya.” (At Talak: 4)
Maksudnya: “Jikalau penduduk kampung (negara/negeri),beriman atau bertaqwa, sesungguhnya Kami (Tuhan) bukakan ke atas mereka keberkatan dari langit dan bumi.” (Al A’raf: 97)
Maksudnya: “Allah menjadi pemimpin (pembela) bagi orang yang bertaqwa.” (Al Jasiyah: 19)
Maksudnya: “Hanya sanya Allah menerima daripada mereka yang bertaqwa.” (Al Maidah: 27)
Berdasarkan ayat-ayat di atas, dapatlah kita mengambil kesimpulannya bahawa orang yang bertaqwa seperti berikut:
1. dilepaskan daripada kesusahan. 2. Diberi rezeki yang tidak diduga. 3. Kerja atau urusan mereka dipermudahkan oleh Allah. 4. Diturunkan berkat dari langit dan bumi. 5. Diberi pembelaan. 6. Amalan diterima.
Jelas sekali, umat Islam kalau inginkan kemenangan, kejayaan yang bersih di dalam semua hal samada dalam keluarga, dalam masyarakat, ditempat kerja, dalam bernegara, hendaklah setiap usaha dan perjuangannya bersama sifat taqwa. Taqwa asas kemenangan dan kejayaan. Hal-hal yang lain diperlukan juga tapi sebagai tambahan dan kesempurnaan sahaja. Oleh itu, jika berlaku sebaliknya, iaitu di dalam berusaha dan berjuang, tidak disertakan dengan sifat taqwa, akan terjadilah sebaliknya iaitu kegagalan, kekalahan, kekecewaan. Rasulullah SAW pernah mengingatkan Sayidina Ali karamallahuwajhah: “Seorang yang bercakap bukan dari jiwa yang bertaqwa, kata-katanya itu atau percakapannya itu ibarat air yang dicurahkan di atas batu yang licin atau ke atas telur burung kasawari.” Ertinya cakapnya, pengajarannya, dakwahnya, ingatan dan nasihatnya tidak memberi kesan kepada hati orang. Sekadar sedap didengar. Orang puji namun hati tidak juga sedar dan insaf.
Hati tidak terisi juga dengan iman. Minat membuat baik tidak juga membuka hati.Apa yang saya katakan ini telah dibuktikan oleh sejarah. Padahal di zaman Rasulullah SAW dan zaman salafussoleh, bukan ada kemudahan. Media massa belum ada. Alat-alat perhubungan amat susah. Kitab-kitab bacaan untuk umum belum ada. Kemudahan dakwah tidak ada. Alat-alat berdakwah terlalu terbatas, tidak seperti yang wujud pada hari ini. Namun usaha dan perjuangan mereka mendapat hasil yang besar dan sangat memuaskan sama ada di dalam medan perjuangan, di gelanggang dakwah, di majlis-majlis pengajian dan lain-lain lagi. Di dalam medan peperangan, kemenangan demi kemenangan diperolehi. Kejayaan demi kejayaan diterima oleh tentera Islam. Dakwah mereka mudah sahaja diterima, hatta raja-raja, pembesar-pembesar, paderi-paderi menerima Islam. Mereka yang dididik pula di dalam majlis-majlis pengajian sama ada secara formal mahupun tidak formal mudah dilentur, cepat membangunkan kemuliaan diri dan peribadi masing-masing, sangat taat dengan guru. Hidup penuh disiplin, kuat beribadah, suka berkhidmat untuk orang lain.
Sidang Jumaat Sekelian,
Terhijabnya/Terhalangnya bantuan dan pertolongan dari Allah di dalam sebarang usaha dan pelbagai bidang perjuangan bila tidak ada sifat-sifat taqwa. Ternafinya sifat taqwa disebabkan oleh dosa-dosa sama ada disedari atau tidak, sama ada dosa lahir mahupun dosa batin. Bila terlibat dengan dosa-dosa, datanglah kemurkaan Allah. Bila Allah murka, Allah berlepas diri. Pertolongan tidak akan diberi lagi. Sekiranya Allah Taala tolong juga kerana gigih berusaha dan berjuang hingga mendapat kejayaan, bukan dengan keredhaan- Nya tapi dengan secara istidraj, dengan tipu daya dan kemurkaan-Nya. Bantuan seumpama ini berkatnya tiada. Kesusahan lebih banyak daripada kesenangan. Keburukan lebih banyak daripada kebaikan. Untung sekarung, rugi segunung. Risiko yang akan diterima terlalu banyak, hingga kejayaan itu tiada erti apa-apa bahkan dirasakan sebagai beban. Umpamanya, kalau menang di medan peperangan, menang setelah berhadapan dengan kerosakan dan kehancuran. Selepas itu akan berlaku krisis, mungkin berlaku peperangan yang berpanjangan sesama sendiri. Kalau membangun, negara maju, kelihatan lahirnya cantik dan indah tapi di aspek yang lain, banyaknya perompak, pencuri, judi, penjenayah, perzinaan, rogol, kemiskinan, budaya lepak, vandalisme, rasuah, seks bebas, hutang banyak. Akibatnya ketakutan menekan setiap jiwa warganegara. Hilang ketenangan dan keamanan.
Cemerlang pula di bidang pelajaran, ramai yang mendapat keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan, namun hormat dengan guru dan ibu bapa sudah tiada. Sombong dan angkuh memenuhi jiwa. Dengan Tuhan bertambah jauh. Hidup nafsi-nafsi jadi budaya. Memburu pangkat, nama, glamour, semakin menjadi-jadi. Hidup mementingkan diri sendiri.Maju di bidang sains dan teknologi, banyak pula kemungkaran. Maksiat menjadi-jadi. Pergaulan bebas tidak dapat disekat.
Manusia semakin lupa Akhirat, dilalaikan oleh sains dan teknologi. Jalan raya cantik, luas, super highway, tapi manusia pula tidak berdisiplin. Banyak accident. Setiap hari orang mati di jalan raya, yang cedera tidak usah dikira. Kenderaan remuk-redam. Banyak kerugian harta dan nyawa. Kehadiran ceramah-ceramah agama, majlis-majlis dakwah, ramai yang mendatangi. Kalau buat di padang, penuh sesak padang dengan manusia. Kehadiran amat menggembirakan. Tapi di dalam bertemu itu, sesetengah mereka mengambil peluang berpacaran, bergaul bebas. Mungkin menjelang pulang pula ada yang mengambil peluang melakukan zina, rogol dan sebagainya. Kesan kepada jiwa tiada. Hanya menjadi pakaian akal semata-mata atau sebagai mental exercise semata-mata. Balik ke rumah,mungkin ada yang bergaduh suami isteri. Sembahyang Subuh setelah matahari telah meninggi.
Berjaya mengkayakan manusia, namun menjadi sombong dan angkuh, tamak dan haloba, bakhil, berfoya-foya, membuang-buang harta, bergaduh sesame ahli keluarga, putus hubungan silaturrahim, lupa kepada Tuhan dan lupa Akhirat. Agama tidak dipedulikan dan sudah tidak diambil kira.
Saudaraku Sekelian,
Apakah erti kejayaan yang seumpama ini? Usaha berjaya, tapi side effectnya/kesan sampingannya terlalu banyak. Risikonya tinggi. Maju, namun keamanan tiada. Berjaya, tapi hidup dalam ketakutan. Duit banyak, tapi kebahagiaan tiada. Lahirnya nampak merdeka, tapi permusuhan tidak habis-habis. Negara sudah bebas, tapi perpecahan sesama sendiri menjadi-jadi. Kejayaan sebegini tidak menyelamatkan. Ini baru di dunia, di Akhirat sudah tentu lebih lagi.
Padahal Islam agama yang selamat dan menyelamatkan. Kemajuannya bersih, tidak ada kesan sampingan. Kejayaannya bersih, senang menyenangkan, bahagia membahagiakan. Kemerdekaannya bukan sahaja melahirkan kemajuan, tapi tercetus kasih sayang dan perpaduan. Maju, tidak ada ketakutan. Kaya, semua masyarakat merasa, kerana tiada tamak, tiada bakhil. Dengan kekayaan dia pemurah. Inilah dia kejayaan dan kemenangan yang Allah Taala redhai. Ia membawa rahmat dan berkat. Membawa kebaikan dan keampunan. Di sinilah perlunya usaha dan perjuangan kita itu biarlah diredhai oleh Allah, agar kalau mendapat kemenangan dan kejayaan, mendapat keredhaan pula. Maka kejayaan itu bersih dan murni. Tidak ada perkara yang negatif.
Kita jangan berbangga semata-mata kerana mendapat kejayaan di dalam usaha dan perjuangan. Keredhaan Allah kenalah kita ambil kira. Keredhaan Allah amat penting agar kejayaan kita itu tidak menyusahkan kita. Bahkan kemenangan itu membahagiakan. Tidak cukup dengan kejayaan, kalau Allah murka. Tidak boleh berbangga dengan kemenangan, kalau dengan kemenangan itu Allah melaknat kita. Apalah ertinya kejayaan, tapi di dalam dosa dan derhaka. Begitulah kalau kemenangan dan kejayaan itu diberi oleh Allah secara istidraj bukan secara keredhaan-Nya. Kerana itulah Allah Taala berfirman di dalam Al Quran yang bermaksud: “Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, Kami akan menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), menurut cara yang mereka tidak mengetahuinya.”
Sidang Jumaat Sekelian,
Oleh itu, diingat kepada kita semua, berusahalah, berikhtiarlah, berjuanglah dengan sebaik-baiknya tapi bersandarlah dengan Allah.Berharaplah kepada-Nya. Berserah dirilah kepada-Nya. Memohonlah bantuan kepada-Nya. Tawadhuklah kepada-Nya, berasa lemahlah di hadapan-Nya. Merendah dirilah di hadapan-Nya.Yakinlah dengan bantuan-Nya. Memohonlah selalu dengan-Nya. Kalau berjaya bersyukurlah kepada-Nya. Kalau gagal mengakulah bersalah kepada-Nya. Mungkin kerana dosa kita, menjadi terhijab bantuan dan pertolongan-Nya. Takutlah selalu kepada-Nya. Bimbanglah selalu kalau-kalau usaha itu bukan dapat pahala tapi mendapat dosa. Bukan dapat keredhaan tapi kemurkaan. Bukan dapat bantuan tapi mendapat kesusahan dan ujian.
Oleh itu, diingat kepada kita semua, berusahalah, berikhtiarlah, berjuanglah dengan sebaik-baiknya tapi bersandarlah dengan Allah.Berharaplah kepada-Nya. Berserah dirilah kepada-Nya. Memohonlah bantuan kepada-Nya. Tawadhuklah kepada-Nya, berasa lemahlah di hadapan-Nya. Merendah dirilah di hadapan-Nya.Yakinlah dengan bantuan-Nya. Memohonlah selalu dengan-Nya. Kalau berjaya bersyukurlah kepada-Nya. Kalau gagal mengakulah bersalah kepada-Nya. Mungkin kerana dosa kita, menjadi terhijab bantuan dan pertolongan-Nya. Takutlah selalu kepada-Nya. Bimbanglah selalu kalau-kalau usaha itu bukan dapat pahala tapi mendapat dosa. Bukan dapat keredhaan tapi kemurkaan. Bukan dapat bantuan tapi mendapat kesusahan dan ujian.
(Insyaallah akan disampaikan oleh Ibnu Muslim di MAsjid Ar-Rahmah Kg Sg Buaya-Wasslam)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan