Sahabat Ilmu

Rabu, 21 Oktober 2009

PAHLAWAN PEDANG ALLAH

Khalid bin Al Walid terkenal sebagai pahlawan yang gagah berani sehingga mendapat gelaran SAIFULLAH atau pedang Allah. Beliau mendapat gelaran tersebut ketika berlakunya perang Muktah pada tahun 8 hijrah. Dalam perang tersebut tentera Islam seramai 3,000 orang berperang melawan tentera Rome yang berjumlah 200,000 orang.

Apabila panglima Zaid bin Harithah gugur maka tempatnya diambil alih oleh panglima Jakfar bin Abi Talib. Apabila Jakfar gugur maka tempatnya diambil oleh Abdullah bin Rawwahah. Dan apabila panglima Abdullah juga gugur maka tentera Islam melantik Khalid bin Al Walid sebagai pemimpin mereka. Dengan kebijaksanaannya tentera Islam berjaya diundurkan dengan selamat setelah menimpakan kerugian yang besar terhadap tentera Rome.

Berita tersebut sampai kepada Nabi Muhammad SAW lalu baginda bersabda yang maksudnya

Zaid memegang panji-panji kemudian gugur. Panji-panji diambil oleh Jakfar dan dia pun gugur juga. Panji itu dipegang oleh Ibnu Rawwahah dia pun gugur juga,

Rasulullah SAW diam sebentar dan kelihatan baginda menitiskan air mata. Kemudian baginda bersabda lagi

Akhirnya panji-panji itu dicapai oleh Si Pedang Allah dan Allah mengurniakan kemenangan kepada mereka (kaum muslimin)

Panglima Khalid bin Al Walid mempunyai pertalian yang rapat dengan Rasulullah SAW. Tetapi sebelum masuk Islam dia salah seorang penentang Islam yang paling keras. Ketika berlakunya perang Uhud Khalid bin Al Walid berjaya mengkucar kacirkan tentera Islam serta membunuh 50 orang tentera pemanah yang ditempatkan oleh Rasulullah SAW di atas bukit Uhud.

Tetapi setelah memeluk Islam Khalid bin Al Walid menjadi tentera yang paling keras menentang mereka yang memusuhi Islam. Kerana keberanian, kegagahan dan kebijaksaannya dia dilantik menjadi pemimpin tentera Islam dan terlibat hampir 50 medan perang yang besar.
Antaranya, memerangi golongan murtad, menakluk kerajaan parsi, kerajaan Hirah dan puncak kegemilangannya apabila berjaya mengalahkan tentera Rom dalam Perang Yarmuk.

Di zaman khalifah Saidina Omar bin Khatab, panglima Khalid bin Al Walid dipecat dari jawatannya. Namun dia terus berjuang walaupun Cuma sebagai tentera biasa. Kemudian dia membawa isteri dan anak-anaknya menetap di Syam. Ketika berada di sana berlaku wabak taun menyebabkan anak-anaknya meninggal dunia seorang lepas seorang sehingga kesemua anak-anaknya seramai 40 orang meninggal dunia.

Kemudian dalam tahun 21 hijrah Khalid bin Al Walid jatuh sakit. Ketika terbaring di atas ranjangnya panglima yang mendapat gelaran Pedang Allah itu menangis kerana hajatnya hendak mati syahid di medan perang tidak kesampaian.

Ketika meninggal dunia panglima agong itu berusia 55 tahun. Semasa dimandikan terdapat 80 bekas parut luka diseluruh badannya. Khalid bin Al Walid tidak meninggalkan harta yang banyak kecuali seekor kuda dan pedang yang pernah digunakannya dalam peperangan.

Bila berita kematian Khalid bin Al Walid sampai ke pengetahuan Saidina Omar bin Khatab, beliau berkata Tuhan rahmatkan rohmu wahai Abu Sulaiman (gelaran khalid) sesungguhnya semuanya tidak sebagaimana yang kusangka.

Khalifah Omar amat bersedih dengan kematian panglima Khalid bin Al Walid. Satu ketika dia berkata, aku memecat Khalid bukan kerana benci tetapi dia terlalu keras terhadap musuh. Aku tak mahu orang menyangka kemenangan tentera Islam kerana Khalid menjadi ketua. Dan satu lagi, Khalid terlalu sayangkan anggota pasukannya. Apabila mendapat harta rampasan perang dia tidak menunggu arahan sebaliknya terus membahagikan harta rampasan perang kepada anggota pasukannya.

Saidina Abu Bakar AS Siddiq berkata, Tidak ada lagi wanita yang mampu melahirkan anak seperti Khalid.

Adi bin Hatim pula berkata, nama Khalid dapat mengalahkan musuh sebelum peperangan berrmula.

Saidina Omar bin Khatab menyedari kesilapannya memecat panglima Khalid bin Al Walid dan bercadang hendak melantik semula sebagai ketua panglima tentera tetapi beliau telah meninggal dunia. Kata Saidina Omar,

Khalid telah menjadi raja dengan sendirinya. Tuhan rahmatkan Abu Bakar sesungguhnya dia lebih tahu mengenai laki-laki itu (khalid) lebih dari aku.

Semoga Allah merahmatinya. Amin. Al fatihah.
-Abdul Latip Talib-

Tiada ulasan: