Soalan :
Terdapat sesetengah masjid dihias ayat-ayat suci Al-quran dibahagian hadapan mihrab masjid berkenaan. Apakah pandangan Islam mengenai perkara ini?
Jawapan :
Mengukir ukiran atau menulis tulisan ayat-ayat suci Al-Quran dibahagian hadapan mihrab atau di dinding masjid adalah di antara perkara yang tidak digalakkan oleh Islam. Sehubungan dengan itu, terdapat Hadis Rasulullah S.A.W yang mengingatkan kita supaya berhati-hati mengenai perkara di atas di antaranya:
I. Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abas Radiallahanhu maksudnya: Sabda Rasulullah S.A.W: Aku tidak diperintahkan supaya membangunkan masjid dengan bangunan yang besar tinggi dan tegak. Kemudian Ibn Abas berkata: Demi sesungguhnya kamu akan menghiaskan masjid-masjid itu seperti mana orang-orang Yahudi dan Nasrani menghiaskan tempat-tempat ibadah mereka.
II. Hadis yang diriwayatkan oleh Anas Radiallahanhu bahawa Rasulullah telah bersabda:
لا تقوم الساعة حتى يتباهى الناس في المساجد
Maksudnya:Tidak berlaku kiamat sehinggalah manusia bermegah-megah,berbangga-bangga dengan masjid masing-masing iaitu bermaksud setiap orang berbangga dengan masjidnya sambil mengeluarkan kata-kata masjid aku lebih tinggi,lebih terhias dan lebih bagus.Semua kata-kata itu terbitnya dari angkara riak,mencari nama dan mahukan pujianز
III. Hadis yang diriwayatkan oleh Anas Radiallahanhu bahawa Rasulullaj telah bersabda:
" يأتي على أمتي زمان يتباهون بالمساجد ثم لا يعمرونها إلا قليلا. رواه أبو يعلى وابن خزيمة.
Maksudnya: Akan datang ke atas umatku suatu masa nanti di mana orang-orang suka bermegah-megah dan berbangga dengan masjid kemudian masjid itu mereka tidak mengimarahkannya kecuali sedikit sahaja daripada mereka.
Hadis di atas memaparkan kecaman,selaran serta celaan terhadap orang yang mencari suatu tuntutan keduniaan melalui agama tanpa memberi perhatian atau penekanan,keikhlasan dalam sesuatu perbuatan atau amalan.
Di dalam kitab “Ianah Tolibin” muka surat 271 juzuk yang pertama pengarang ada menghuraikan bahagian bidah,maka diantara lain katanya: ومكروهة من أمثلتها زخرفة المساجد
Maksudnya: Dan bidah yang makruh,di antara contohnya ialah ukiran hiasan masjid-masjid.
Menyentuh soalan menghias mihrab atau dinding masjid dengan tulisan ayat-ayat Al-Quran maka di dalam Kitab Fekah A’la Mazahib Arba’ah muka surat 290 juzuk yang pertama ada menyentuh mengenainya sebagai lanjutan pembicaraannya terhadap perkara-perkara yang makruh dilakukan terhadap masjid.
Maka pengarang ada menyebut maksudnya: Ulama-ulama dalam Mazhab Shafie menegaskan iaitu makruh menulis di dinding-dinding masjid dan dibahagian atas (siling) dan haram menyandarkan belakang kepada sesuatu yang ada tertulis ayat suci al-quran padanya.
Di samping itu ulama-ulama di di dalam mazhab Maliki,Hambali dan Hanafi Rahimahullah alaihim masing-masing membuat penegasan di mana maksudnya hampir sama dengan yang tersebut di atas. Bagi mengelak dari kekeliruaan di sini saya menarik perhatian kepada pihak-pihak yang berkenaan dengan masjid yang telah sedia ada ukiran-ukiran atau tulisan di mihrab atau di dinding dan sebagainya supaya tidak merasa cemas dan tergesa-gesa bertindak membuang ukiran-ukiran atau tulisan yang sedia ada di masjid mereka kerana tindakan yang seumpama itu membawa kepada kerugian terhadap perbelanjaan yang telah dibelanjakan.Lagipun perkara itu dari segi hukum hanya makruh sahaja tambahan pula menurut kaedah :يغتفر في البقاء ما لا يغتفر في الإبتداء
Maksudnya: Diberi kemaafan di atas keterlanjuran perkara yang sedia ada,sebaliknya tidak diberi kemaafan untuk memula atau mengadakanya.
SUMBER FATWA:
Negara asal : Malaysia
Negeri : Terengganu
Badan yang mengisu fatwa : Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu
Tarikh Diisu : 1988-2000
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan