Sahabat Ilmu

Isnin, 26 Oktober 2009

Aadabul Ikhtilaf

Oleh Abu Anas Fathurrahman bin Dawoed, BA Syariah, Universiti Islam Madinah
Guru Agama, Madrasah Wak Tanjong al-Islamiah

Pendahuluan
Isu perbezaan pendapat merupakan sunnatullah yang tidak dapat dielakkan, ianya adalah suatu realiti yang berpunca dari kepelbagaian tahap minda atau keupayaan mental, perbezaan bahasa dan latar belakang, begitu juga dengan persepsi seseorang yang berbeza terhadap sesebuah dalil atau nas. Kesemuanya ini secara tidak langsung menimbulkan kepelbagaian serta percambahan pandangan dan pendapat.

Salah satu tanda kebesaran Allah ialah mencipta makhluk dengan keunikannya tersendiri. Setiap makhluk yang diciptakan dengan keunikannya menunjukkan tanda kebesaran Allah. Oleh yang demikian, tidak hairanlah mengapa perbezaan ini boleh berlaku sejak dari zaman sahabat sehinggalah ke hari ini. Al-Imam ash-Shaatibi di dalam kitabnya al-I'tisom menyebut:

"Sesungguhnya perbezaan pendapat yang terjadi pada zaman sahabat hingga ke hari ini berlaku pada masalah-masalah ijtihadiyyah. Pertama kali ianya berlaku pada zaman khulafa' ar-Raasyidin dan sahabat-sahabat yang lain, lalu berterusan sehingga zaman para taabiin dan mereka tidak saling mencela di antara satu sama lain" (al-I'tisom 2/191)

Hal ini juga menunjukkan betapa luasnya rahmat Allah kepada umat manusia.

Al-Qaasim bin Muhammad bin Abi Bakar as-Siddiq dalam hal ini ada menyatakan: "Sesungguhnya perbezaan pendapat dikalangan sahabat adalah satu rahmat bagi manusia" (Jaami' Bayaanil Ilm 2/901)

Berkata Umar bin Abdul Aziz: "Tidak aku sukai jika para sahabat tidak berbeda pendapat, kerana jika mereka semuanya mempunyai pandangan yang sama maka manusia akan berada dalam kesempitan" (Jaami' Bayaanil Ilm 2/902)

Telah berkata Imam Malik: "Sesungguhnya perbezaan pendapat di kalangan ulama' adalah rahmat dari Allah ke atas umat ini, setiap seseorang di kalangan mereka mengikut apa yang benar pada pandangannya, setiap dari mereka berada dalam petunjuk dan setiap dari mereka inginkan keredhaan Allah" (Kasyful Khafa' 1/68)

Adab-Adab Dalam Berbeza Pendapat

Perbezaaan pendapat yang berlaku di kalangan umat Islam terdahulu dalam sejarah awal Islam dan masih berlaku hingga kini adalah sebahagian daripada manifestasi kepelbagaian ini. Fenomena ini bermanfaat dan positif sekiranya perbezaan itu tidak melampaui batas dan tetap menjaga adab-adab dan etika yang betul sepertimana yang digariskan oleh syara'. Perlu diketahui bahawa adanya perkara-perkara yang boleh kita menerima perbezaan pendapat dan inilah yang dinamakan sebagai perkara-perkara juz'i (cabang) atau zanni (tidak muktamad), manakala dalam perkara-perkara kulli (dasar) atau qat'i (muktamad) maka kita tidak sekali-kali boleh mempertikaikannya.

Ulama' telah menetapkan beberapa garis pandu mengenai adab-adab dan etika dalam berbeza pendapat, di antaranya:

1. Ikhlas dan jauhkan diri dari mengikut hawa nafsu.

Ikhlas adalah syarat agar amalan kita dapat diterima oleh Allah. Maka adalah satu kewajipan bagi seseorang yang ingin menegakkan atau mencari kebenaran supaya menghindarkan dirinya dari hawa nafsu.

Sifat kemegahan pada diri sendiri dalam mencari kebenaran juga adalah suatu sifat yang harus dihindarkan agar kita tidak digolongkan dalam sabda Rasulullah : "Barangsiapa yang menuntu ilmu untuk bertikam lidah dengan para ulama', atau ingin memalingkan wajah-wajah manusia kepadanya maka Allah akan memasukkannya ke dalam api neraka" (at-Tirmizi 414)

Salah satu dari tanda-tanda ikhlas ialah apabila seseorang itu sanggup menerima kebenaran walaupun datangnya seseorang yang lebih rendah martabatnya, sepertimana yang berlaku kepada Amirul mu'minin Umar di mana beliau telah menerima kebenaran walaupun datangnya dari seorang perempuan yang lebih rendah martabatnya.

2. Mengembalikan segalanya pada al-Quran dan Sunnah dan jauhkan dari sifat ingin memenangkan diri.

Firman Allah yang berbunyi:
"Jika kamu semua berselisih dalam sesuatu perkara maka kembalikanlah ianya kepada Allah dan Rasul" (an-Nisa' 59) c Menjadi satu kewajipan bagi setiap insan untuk menjadikan al-Quran dan Sunnah Rasulullah sebagai tempat rujukan yang paling utama dan menjadikannya alat neraca yang menimbang setiap pendapat yang dikeluarkan.

Allah merahmati para ulama' yang sentiasa memberi peringatan kepada kita agar tidak mengambil kata-kata mereka seratus peratus melainkan setelah kita nilai ianya dengan al-Quran dan Sunnah. Bukan satu di antara mereka yang mengatakan "apa yang kamu dapat dariku mengenai suatu pendapat yang bercanggah dengan al-Quran dan Sunnah maka campakkanlah ianya ke tembok"

Orang yang ikhlas tidak hanya memikirkan untuk mengalahkan lawannya sebaliknya dia lebih mementingkan kebenaran walaupun kebenaran itu datang dari lawannya.

3. Tidak mencela pandangan atau ijtihad ulama' lain dalam masalah-masalah ijtihaadiyyah.

Satu perkara yang harus kita terapkan dalam mana kita berbeda pendapat ialah jangan sesekali kita menghina atau merendahkan pandangan orang lain selagimana ianya berada dalam lingkungan permasalahan yang boleh diperselisihkan oleh syara' iaitu perkara- perkara juz'i (cabang) atau zanni (tidak muktamad).

Imam al-Auzaa'i telah ditanya mengenai seorang lelaki yang mencium isterinya, samada ianya membatalkan wuduk atau tidak. Beliau menjawab: "jika aku ditanya maka aku akan menjawab, wajib ke atasnya berwuduk, tetapi jika dia tidak berwuduk maka aku tidak akan mencela atau menghinanya". (Fathul Barr Fi Tartib at-Tamhid 3-245)

4. Menghormati pandangan ulama' yang berbeza pandangan dengannya dalam masalah juz'i dan mengambil pandangannya jika perlu.

Contoh tauladan lain yang boleh diambil ialah dari kisah imam besar kita al-Syafi‘e rahimahullah yang mengimami solat subuh di masjid berhampiran kubur Abu Hanifah. Beliau solat tanpa membaca doa qunut dan apabila ditanya oleh seseorang sehabis solat, beliau menjawab: "Adakah aku ingin melakukan sesuatu yang berlainan dari apa yang diajar oleh Abu Hanifah padahal aku berada berhampirannya". (Hujjatullah al-Balighah 335)

5. Meninggalkan beberapa perkara sunnah kerana tidak mahu menyanggahi orang ramai.

Seringkali para ulama' memberi peringatan di dalam kitab-kitab mereka tentang perkara ini. Agar kita meninggalkan beberapa perkara yang kita anggap sunnah demi perpaduan dan demi menghormati pandangan ulama' yang lain apabila kita berada di tempat atau di majlisnya.

Berkata Abdur Rahman bin Yazid: Kami bersama Abdullah bin Mas'ud. Ketika kami masuk ke masjid Mina dan amirul mu'minin sedang menjadi imam pada ketika itu, lalu Ibnu Mas'ud pun bertanya: "Berapa rakaatkah amirul mu'minin solat?" mereka menjawab: Empat rakaat. Lalu Ibnu Mas'ud melakukan solat empat rakaat. Setelah selesai solat kami bertanya kepada Ibnu Mas'ud: "Tidakkah kamu telah memberitahu kami bahawa Rasulullah dan Abu Bakar telah melakukan solat dua rakaat?" Beliau menjawab: "Ya, bahkan sekarang juga aku mengatakan demikian, akan tetapi Uthman menjadi imam dan aku tidak mahu menyanggahinya". (as-Sunan al-Kubra 3/144).

Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah dalam majmu' fataawa berkata: "Jika seorang ma'mum mengikuti solat imam yang membaca qunut di waktu solat fajar atau solat witir maka hendaklah dia qunut bersama imam, samada imam berqunut sebelum atau selepas ruku'. Jika imam tidak melakukan qunut maka hendaklah ma'mum tidak melakukannya bersama imam, walaupun jika imam memandang bahawa qunut itu adalah sunnah dan ma'mun berpendapat sebaliknya lalu dia meninggalkan pandangannya demi perpaduan" (majmu' fataawa 22/268)

6. Menjauhi sifat ta'assub (fanatik) dan berkelompok.

Salah satu sifat yang harus kita hindarkan untuk memperolehi jalan kebenaran dan tidak menegakkan benang yang basah ialah sifat fanatik terhadap pegangan mazhab, kumpulan, negara atau guru-gurunya. Sifat fanatik dan berkelompok hanya akan menjadikan orang yang berbeza pendapat tidak mahu berganjak dari pandangannya. Apa yang mereka lakukan bukanlah semata-mata kerana Allah Taala tetapi disebabkan faktor-faktor lain.

Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah mengatakan: "Cintailah seseorang dengan berpatutan kerana mungkin dia kelak akan menjadi orang yang kamu benci. Bencilah seseorang secara berpatutan kerana mungkin kelak dia akan menjadi orang yang kamu cintai." (Timizi 1920)

Tanamkan dalam diri dengan pegangan bahawa setiap manusia boleh diterima dan boleh ditinggalkan kata-katanya melainkan Nabi Muhammad , kerana hanya baginda sahajalah yang ma'som dan terhindar dari kesilapan.

7. Utamakan sikap persaudaraan (ukhuwwah)

Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu." (al-Hujurat 10)

Adakalanya di dalam perbincangan untuk mendapatkan kebenaran akan terjadi perselisihan dan pertelagahan, maka di waktu itu hendaklah kedua belah pihak menyedari bahawa perpaduan dan persaudaraan itu lebih diutamakan dari perpecahan.

Banyak lagi perkara-perkara penting yang harus diterapkan dalam perbincangan serta perdebatan untuk meraih kebenaran. Apa yang disebutkan hanyalah beberapa perkara penting yang harus ditekankan. Perhatikanlah kata-kata Dr Yusuf al-Qardhawi mengenai perkara ini: "Para pendakwah dan pengamal Islam mestilah menjadikan matlamat mereka kepada kesatuan, keserasian, mengumpulkan hati-hati mereka dan merapatkan barisan mereka. Mereka mesti menjauhkan diri dari perbezaan dan perpecahan serta semua perkara yang memecah-belahkan jamaah dan merosakkan kesatuan yang terdiri dari permusuhan yang zahir mahupun kebencian yang batin. Juga semua perkara yang membawa kepada kerosakan hubungan sesama sendiri yang hanya akan melemahkan umat. Tiada yang setanding dengan agama Islam dalam mengajak kepada persaudaraan. Persaudaraan ini nampak jelas dengan kesatuan, keserasian dan saling tolong-menolong. Agama Islam juga unggul dalam melarang daripada perpecahan, perselisihan dan permusuhan. Semuanya termaktub dalam al-Quran dan as-Sunnah" (as-Sahwah al-Islamiyyah 27)

Perbahasan di kalangan bijak pandai agama haruslah diteruskan dan disuburkan agar ianya dapat menjana generasi yang lebih peka dan lebih terbuka mindanya. Akan tetapi jika perbahasan yang berlaku tidak didasari oleh rasa ikhlas dan menjauhkan dari sifat ta'assub, maka dari perbahasan tersebut akan lahirlah perbalahan. Adab-adab dalam berbeza pendapat harus diterapkan di dalam diri kita agar perbahasan dan perbezaan yang berlaku dikalangan umat Islam menjadi satu rahmat bagi kita dan bukannya satu bencana yang melanda. Wallahu A'lam

Rujukan

- Raf'ul Malam an Aimmatil A'lam Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah, al-Maktabul Islami.
- Al-Khilaf bainal Ulama' Asbaabuhu wa Mauqifuna Minhu, Syeikh Muhammad bin Saleh al-Uthaimeen, http://www.ibnothaimeen.com
- Jaami' Bayaanil Ilm, Abu Naim al-Asbahani Matbaah as-Saadah.
- Sunan ad-Daarimi, Abdullah bin Abdur Rahman, Dar ibn Hazm.
- Majmu' al-Fataawa Islam Ibn Taimiyyah Maktabah al-Obaikan
- Fathul Barr fi at-Tartib al-Fiqhi li Tamhid Ibn Abdil Barr, Muhammad al-Maqrawi, Majmu' at-Tuhaf an-Nafais ad-Dauliah
- As-Sunan al-Kubra, al-Baihaqi, Dar al-Kutubul al-Ilmiah
- Fikhul Khilaf Dr Awadh bin Mohd Al-Qarni, Dar al-Andalus al-Khadra'
- Adabul Ikhtilaf, Said bin Abd al-Qadir,
- al-I'tisom, Ibrahim bin Musa, Maktabah at-Tauhid
- As-Sahwah al-Islamiyyah bayna al-ikhtilaf al-Masyru' wa al-Tafarruq al- Mazmum, Yusuf al-Qardhawi, Dar al-Sahwah

Sumber : http://www.pergas.org.sg/RisalahJan06/RisalahJan06/Jan06_Fiqh.html

Tiada ulasan: