Ilmuan Islam sejak zaman berzaman akan berhadap dengan pelbagai cabaran. Tidak semua cabarannya dalam bentuk azab dan hukuman pedih keburukan, terdapat juga ujian dengan jawatan dan pangkat yang indah-indah serta sedap.
Menurut kebiasaannya, jika pemerintahan itu tidak sepenuhnya melaksanakan Islam. Ulama atau ilmuan Islam yang bersama mereka akan teruji dengan begitu hebat. Ujian antara pangkat, harta atau prinsip Islam.
Dalam tulisan ringkas ini, saya suka berkongsi kisah Imam Abu Hanifah An-Nu'man dan beberapa petikan ujiannya.
Kisah Abu Hanifah & Ujiannya
Pemerintah semasa zaman Imam Abu Hanifah adalah Abu Ja'far Al-Mansur. Secara ringkasnya, Imam Abu Hanifah banyak tidak bersetuju dengan pemerintahan ini, demikian juga pendekatan pemerintahannya. Selain itu, Abu Hanifah juga banyak tidak bersetuju dengan fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh ulama-ulama kerajaan yang dilihatnya lemah, tiada hujjah dan hanya membodek pemerintah sahaja.
Disebabkan kerana itu, Abu Hanifah kerap memberikan fatwa berbeza dari ulama kerajaan, fatwanya kerap berserta hujjah mantap menyebabkan ulama kerajaan panas punggung selain jatuh air muka mereka. Abu Hanifah juga kerap memberikan koreksi pedas dan panas kepada tindak tanduk pemerintah di zamannya. Apa yang lebih memalukan, ulama kerajaan yang berasa tergugat ini mencucuk dan mengadu kepada pemerintah untuk mengambil tindakan kepada Imam Abu Hanifah.
Oleh kerana hal ini berlanjutan, pemerintah dicucuk oleh ulama kerajaan untuk merancang pelbagai perancangan licik agar boleh dijadikan sebab untuk mengambil tindakan ke atas Abu Hanifah.
Abu Hanifah Kritik Fatwa Ulama Kerajaan
Dalam satu kisah yang popular, seorang Qadhi kerajaan iaitu Qadhi Ibn Abi Layla telah menjatuhkan hukum hudud keatas seorang wanita gila kerana memanggil soerang lelaki dengan panggilan "wahai Anak Zina". Jelas ia satu kesalahan dan seolah-olah menuduh ibu bapa lelaki itu berzina tanpa dibawakan empat saksi. Hasilnya, qadhi kerajaan ini menjatuhkan hukuman berikut : -
a) Had qazf (tuduh zina tanpa saksi) ke atas wanita ini dan hukuman dilaksanakan di masjid
b) Dilaksanakan dua jenis hukuman, 1- hukuman qazf kerana menduduh bapa lelaki itu dengan zina, 2- had qazf kerana menuduh ibu lelaki itu berzina.
c) Hukuman sebat dilaksanakan dalam keadaan wanita diarah berdiri di masjid.
Apabila berita ini sampai kepada Abu Hanifah, beliau terus terang mengatakan keputusan itu silap dalam enam tempat seperti berikut :-
a) Hukuman hudud tidak sepatutnya dilaksanakan di masjid.
b) Sepatutnya wanita disebat dalam keadaan duduk. Sebatan ke atas wanita tadi dibuat dalam keadaan wanita itu berdiri, hanya lelaki sahaja yang dihukum secara berdiri.
c) Salah kerana melaksanakan dua had. Yang sepatutnya jika terdapat kes qazf ke atas satu kumpulan sekaligus, hukuman hanyalah sekali sahaja dan bukan berganda.
d) Malah jika diambil hukuman berganda sekalipun, ia tidak boleh dibuat serentak, ia mestilah di pisahkan waktunya agar tidak menjadi amat berat.
e) Wanita gila tidak sepatutnya dijatuhkan hukuman had qazf ke atasnya.
f) Sewaktu hukuman dijalankan, kedua-dua ibu dan bapa lelaki yang dituduh tidak hadir. Sepatutnya kedua-dua mereka mesti dipanggil untuk menyaksikan hukuman.
Hal ini disampaikan kepada Qadhi Ibn Abi Laila, lalu si qadhi yang lemah ini mengadu kepada Abu Jaffar. Akibatnya Imam Abu Hanifah di'gam' dan tidak dibenarkan memberi fatwa, akibatnya beberapa hari Abu Hanifah tersekat dari menyampaikan fatwanya. ( Al-Manaqib, Abi Al-Bazzazi, 13/351 ; Tarikh Baghdad)
Ujian Hadiah Harta
Tidak puas hati dengan apa yang berlaku, kali ini pemerintah menggunakan strategi lain iaitu dengan menghantar hadiah sepuluh ribu dirham dan seorang hamba wanita kepada Abu Hanifah.
Sebagaimana yang dijangka Abu Hanfiah menolaknya.. penolakan itu dijadikan sebab engkar dan menghina pemerintah kemudiannya. Apabila di tempelak oleh pemerintah akan sebab menolak hadiahnya.
Abu Hanifah menjawab :-
ما وصلني أمير المؤمنين في ماله بشيئ فرددته ولو وصلني بذلك لقبلته , إنما أوصلني أمير المؤمنين من بيت مال المسلمين ولا حق لي في بيت مالهم..
Ertinya : Amir Al-Mukminin (Pemerintah) tidak menghantar kepadaku dari wangnya sendiri maka kerana itu aku menolak, jika ia memberi dari wangnya sudah tentu akan ku terima hadiahnya, sesungguhnya dia menghantar hadiah yang diambil dari duit Baitul Mal, wang milik umat Islam maka tiada sebarang hak untukku mengambilnya..." ( Al-Manaqib, Abu Talib Al-Makki, 1/215)
Setelah apa yang berlaku dan banyak lagi ketidakselesaan disebabkan oleh Abu Hanifah, kali ni Khalifah Abu Jaffar Al-Mansur sudah tidak tahan kemarahannya. Jalan akhir untuk menundukkan Abu Hanifah dan mengawal pendapat serta fatwanya, khalifah telah menawarkan Abu Hanifah jawatan sebagai Ketua Qadhi Negara.
Dengan selambanya Abu Hanifah menolak tawaran itu secara terang-terang di hadapan orang ramai.
Khalifah tersangat marah lalu memanggil Abu Hanifah.
Sebagai jawapan akan sebab penolakkannya, Abu Hanifah memberikan alasan bijak dan penuh dengan strateginya, sebab penolakkan yang sebenarnya adalah kerana tidak mahu bersekongkol dengan kezaliman, tidak mahu menjadi pak turut pemerintah dalam perkara yang batil dan salah, tetapi bagi menjerat khalifah, Abu Hanifah terpaksa berhujjah dengan berkata :-
اتق الله ولا تدع أمانتك إلا من يخاف الله .. لك حاشية يحتاجون إلى من يكرمهم لك فلا أصلح لذلك , فقال : كذبت انك تصلح ,, فقال : قد حكمت على نفسك , كيف يحل لك أن تولي قاضيا على امانتك كذاباً
Ertinya : Bertaqwalah kamu kepada Allah, dan janganlah kamu berikan amanah (ketua Qadhi) ini kecuali kepada mereka yang takutkan Allah. ..engkau punyai ramai pengikut yang mana mereka semua berharap untuk mendapat orang yang boleh memuliakan mereka untukmu (atau memuliakanmu)..dan aku tidak layak untuk itu,
Khalifah menjawab : "kamu sebenarnya layak dan kamu telah berbohong (kerana menafikan kelayakkanmu"
Abu Hanifah : "Lihat..engkau sendiri telah menjatuhkan hukuman ke atas kelayakkanku, bagaimana boleh engkau ingin melantik seorang qadhi untuk menggalas amanah sebagai Qadhi kepada seorang yang engkau sendiri mengakuinya banyak berbohong" ( Tarikh Baghdad, 13/328)
Dengan penolakkan ini, Al-Mansur mendapat sebab kuat untuk menghukum Abu Hanfiah, akhirnya Abu Hanifah disebat sebanyak 10 sebatan sehingga 100 kali..sehingga dikatakan kepada Abu Hanifah "terimalah jawatan itu"
Jawab Abu Hanifah : "Aku tidak layak..sambil berdoa dengan suara perlahan" :
اللهم ابعد عني شرهم بقدرتك
Ertinya : "Ya Allah, jauhkanlah diriku dari kejatahan mereka dengan keagungan kuasamu"
Apabila Abu Hanifah masih enggan menerimanya, ia dipenjara maka diracunnya Abu Hanifah sehinggalah membawa kepada kematiannya.....(Tarikh Baghdad, 13/328)
Menurut Abi Bazzazi, Abu Hanifah dipenjara dan disebat kemudiannya di bebaskan dan dibebaskan selepas itu dengan syarat dilarang memberi sebarang fatwa dan bercampur dengan orang ramai, beliau juga dilarang keluar dari rumah, sehinggalah beliau meninggal dunia pada tahun 150 H. ( Al-Manaqib, Al-Bazzazi, 2/15)
Cabaran Ulama & Ilmuan Islam Dewasa Ini
Lihatlah betapa tegasnya Abu Hanifah dengan prinsip dan ilmunya, justeru berawaslah dengan fatwa segelintir ilmuan Islam yang sanggup menggadai prinsip kerana pangkat, jawatan dan perniagaan pelik persis cepat kaya mereka.
Secara umum, sebarang jawatan keagamaan yang disandarkan perlantikannya atas sebab politik terdedah kepada bahaya qadhi dalam kisah Abu Hanifah di atas. Tidak terkecuali mereka yang berada dalam pemerintahan Islam yang melaksanakan hudud (macam kisah di atas, iaitu jenis pemerintahan Islam jenis cacat pelaksanaan Islamnya), apatah lagi dalam pemerintahan yang tidak bersandarkan Islam. Bertaqwalah dan berhati-hatilah.
Namun ini tidaklah bermakna semua ulama yang dilantik kerajaan akan gagal dan jatuh tewas dengan harta, tulisan ini hanya nasihat akan fitrah ujian jawatan dan harta. Tidak dinafikan sama sekali terdapat segelintir ulama kerajaan yang menjalankan tugas dengan hebat dan telus. Tidaklah juga wajar kita 'generalize' bahawa jika ulama kerajaan ingin dilihat menjalankan tugas Islamnya, ia mestilah dipecat. Tidak dinafikan ada yang telah jalankan tugasnya dengan baik walaupun tidak atau masih belum di'gam'.
Kerana itu saya memberikan nasihat kepada diri saya dan semua rakan-rakan pejuang Islam dan ilmuan Shariah yang sedang mendapat tempat di mana-mana jawatan sekalipun agar sama-sama kita berpegang dengan prinsip asal dan tidak menjual ilmu atau 'terjual' agama dengan harga semurah dunia ini.
Pangkat dan harta adalah antara ujian terbesar dalam kehidupan ini... ye sudah tentu anak dan keluarga juga adalah suatu ujian.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan