Sahabat Ilmu

Selasa, 20 Oktober 2009

Wajarkah umat Islam dikenakan zakat pendapatan?


(PETIKAN INI DI AMBIL DARI WEB DR. HASANAH)

Hari ini saya ingin berkongsi persoalan yang dikemukakan oleh seorang pembaca artikel zakat saya tempohari. Pembaca ini meminta pendapatan tentang kewajipan membayar zakat pendapatan yang diwajibkan ke atas masyarakat Islam di Malaysia. Keresahan yang cuba dikongsi ialah bahawa pendapatan yang diterima sentiasa habis diguna, malah ‘dikorek-korek’ simpanan yang ada, jadi wajarkah dikenakan pula zakat pendapatan? Tambahan pula, katanya Imam Syafii sendiri pun tak mewajibkan zakat pendapatan. Hmm… Mungkin saudara juga pernah dihantui persoalan ini. Ya lah, setiap bulan gaji yang diterima perlu digunakan untuk menampung kos kehidupan yang sentiasa meningkat.

Jadi, berikut sedikit respon saya yang diharap dapat menjawab persoalan ini.

Persoalan sama ada Imam Syafii pernah atau tidak pernah mewajibkan zakat pendapatan bukanlah pokok persoalan dalam kewajipan membayar zakat pendapatan. Saya tidak pasti sama ada saudara seorang ahli akademik atau tidak, tetapi di kalangan para fuqaha dan ulama termasuk di Malaysia, persoalan fiqh perlu dilihat secara sangat kritis dan tidak disempitkan dengan aliran mana-mana mazhab. Dalam ilmu usul fiqh (ilmu yang membahaskan asas pembentukan hukum), di samping al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qiyas, terdapat satu komponen penting yang menentukan pembentukan hukum iaitu maslahat.

Dalam konteks kewajipan zakat, adalah sangat mudah difahami bahawa pada zaman awal Islam di mana aktiviti ekonomi yang utama ialah pertanian dan perniagaan, maka hukum yang disyariatkan juga sesuai dengan keadaan pada masa tersebut. Hakikatnya, pertanian dan pertanian ialah sumber utama pendapatan pada masa itu. Namun, masa beredar. Sesuai dengan satu kaedah fiqh yang menyebutkan bahawa: “tidak dinafikan bahawa hukum -terutamanya ijtihad- boleh berubah dengan perubahan masa dan tempat” dan disesuaikan dengan usul fiqh yang menitikberatkan aspek maslahat, maka sumber yang boleh dikenakan zakat juga disesuaikan dengan keadaan semasa. Pada masa ini golongan petani dan peniaga memang ramai, tetapi golongan yang menjalankan aktiviti perkhidmatan juga sangat ramai. Jika pada zaman dahulu pertanian dan perniagaan dikenakan zakat kerana ia merupakan sumber pendapatan utama, maka adalah sewajarnya apa-apa sumber pendapatan pada masa ini juga dikenakan zakat. Perkara ini disebut sebagai ‘illah iaitu komponen penting yang digunakan dalam melakukan Qiyas.

Kita lihat pada matlamat zakat yang secara tersirat memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak: pemberi dan penerima. Zakat dapat memurnikan hati pemberi dan memberikan keberkatan pada hartanya. Zakat juga dapat mengeluarkan golongan yang miskin dan lain-lain asnaf daripada bebanan masalah yang menghambat mereka. Baiklah, apabila sumber pendapatan utama umat Islam telah berubah dari bentuk perniagaan & pertanian kepada perkhidmatan bergaji tetap, dan dalam masa yang sama kita masih mahu memakai pemahaman lama tentang kewajipan zakat, maka sudah pasti akan berlaku kepincangan yang besar dalam sistem sosial umat Islam. Yang kaya terus melipatgandakan harta manakala dana untuk membantu golongan miskin dll akan terus menyusut menyebabkan jurang antara kaya dan miskin semakin melebar. Kita perlu ingat bahawa antara peranan zakat ialah merapatkan jurang perbezaan ini.

Mewajibkan zakat pendapatan merupakan satu tindakan penting dalam memelihara maslahat umat Islam dan ia bukanlah idea mana-mana pihak yang tamak mahu memandai-mandai atas kepentingan duniawi. Malah, kewajipan zakat pendapatan ini dibincangkan dengan sangat kritis oleh para fuqaha di seluruh dunia. Mereka bukan mahu memenuhkan periuk nasi masing-masing, sebaliknya sangat prihatin dengan nasib golongan asnaf zakat yang merintih di seluruh dunia. Tidak perlulah kita berasa risau jika gaji yang diterima tidak mencukupi untuk keperluan bulanan (apatah lagi jika perlu dikorek pula simpanan yang ada). Sistem zakat tidak menzalimi umat Islam. Malah bertujuan untuk membantu umat Islam. Semakin lama saya mendalami hukum zakat, makin saya kagum dengan kebijaksanaan Allah s.w.t. Apa tidaknya, zakat hanya diwajibkan ke atas orang yang hartanya melebihi keperluan. Sebaliknya, jika apa yang ada tidak mencukupi, kita pula dibenarkan untuk memohon zakat. Jika harta kita berlebih2an maka kita diwajibkan memberi lalu kita bersyukur kerana dilimpahi rezeki yang luas dan kita tidak perlu meminta-minta. Tetapi jika kita perlu mengharap bantuan, kita juga akan bersyukur kerana ada tempat untuk kita memohon bantuan.

Perkembangan terkini di pusat-pusat zakat di Malaysia pula, kita diberikan pilihan untuk membuat pengiraan zakat sama ada pendapatan x 2.5% atau pendapatan – belanja dibenarkan x 2.5% atau yang ketiga, pendapatan – belanja sebenar x 2.5%. Lihat: Portal Zakat Selangor - www.e-zakat.com.my. Saya kira, ramai yang akan memilih kaedah ketiga dan terlepaslah mereka dari dikenakan zakat.

Pokok pangkalnya, jangan tepuk dada tanya selera, tapi, bertafakurlah sejenak tanya di tahap mana iman kita.


WALLAHUA'LAM..
-------------------------------------------------------
PETIKAN INI DIAMBIL DARI WEB: http://blog.e-zakat.com.my/info-zakat/faq-zakat-pendapatan/


Soal Jawab Berkaitan Zakat Pendapatan

1. Mutakhir ini kita didedahkan dengan zakat pendapatan. Soalnya, apakah dalil yang mewajibkan zakat pendapatan ini?

Zakat ke atas pendapatan adalah wajib dikeluarkan sebagaimana yang telah di fatwakan oleh kebanyakan ulama muta’akhirin termasuk Prof. Dr. Yusof Qardhawi dan Dr. Hussein Shahatah, demikian juga oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.

Terdapat banyak dalil yang menunjukkan kewajipan zakat pendapatan ini, antaranya firman Allah:”Wahai orang-orang yang beriman keluarkanlah sebahagian dari usaha kamu yang baik-baik dan sebahgian daripada apa yang telah Kami keluarkan dari bumi untuk kamu” (Al-Baqarah: 267)

Manakala sabda Rasulullah (SAW) yang bermaksud: ”Jika kamu memiliki 200 dirham dan genap haulnya maka di dalamnya (zakat) 5 dirham, dan tidak taqwa ke atas kamu sesuatu iaitu di dalam emas, sehingga kamu memiliki 20 dinar. Apabila kamu memiliki 20 dinar dan genap haulnya, maka di dalamnya (zakat) setengah dinar.” (Riwayat Abu Daud

Di samping itu, berdasarkan catatan sejarah, pada zaman pemerintahan khalifah Umar bin Abdul Aziz (meninggal 72M) baginda telah pun melaksanakan zakat pendapatan ini ke atas gaji para tenteranya.

Ulama mutakhir juga menyatakan, secara perbandingannya zakat pendapatan ini adalah seperti zakat pertanian (kerana hasil pertanian itulah pendapatan para petani). Seandainya para petani diwajibkan mengeluarkan zakat mereka sebanyak lima hingga 10 peratus pada setiap kali musim menuai, maka bagaimanakah pula dengan mereka yang memperolehi gaji pada setiap bulan. Logik akal menyatakan, maka sudah pastilah zakat juga turut wajar dikenakan ke atas pendapatan itu.

2. Timbul sedikit kekeliruan dalam pengiraan zakat pendapatan. Bolehkan diperjelaskan kaedah sebenar pengiraan zakat pendapatan ini?

Menurut Jawatankuasa Fatwa Kerajaan Negeri Selangor, terdapat tiga kaedah pengiraan zakat pendapatan:

a) Tanpa tolakan
b) Tolakan asas yang dibenarkan
c) Tolakan sebenar yang dibenarkan

Bagi mengetahui kaedah pengiraan berdasarkan tiga kaedah di atas, anda boleh merujuk laman web http://www.e-zakat.com.my/ atau rujuk artikel berkaitan di dalam Majalah Anis bulan April 2009.

3. Maksud pendapatan adalah luas. Bolehkah diperincikan apakah jenis-jenis pendapatan yang wajib dizakatkan?

Zakat pendapatan juga diistilahkan sebagai zakat al-mal al-mustafad, iaitu zakat yang bersumberkan gaji dan pendapatan professional yang lain.

Zakat pendapatan termasuklah segala jenis hasil pendapatan atau pulangan atau bayaran yang diperolehi sebagai balasan atas perkhidmatan yang diberi. Ia dikenali sebagai upah, gaji, bonus, dividen, hasil sewaan, royalty, hibah, elaun, honorarium, pampas an, pencen, perniagaan bermusim dan lain-lain bentuk pendapatan yang berasaskan kerjaya atau sebagai ahli professional.

Oleh itu, zakat pendapatan tidak hanya tertakluk kepada gaji tetap sahaja bahkan segala jenis pendapatan lain juga wajib dikira sebagai tunduk kepada zakat pendapatan.

4. Adakah seorang isteri yang berkerja wajib menunaikan zakatnya? Atau cukup sekadar suaminya sahaja yang menunaikan zakat?

Zakat adalah tertakluk kepada individu. Suami yang berkerja maka zakat wajib ke atasnya, maka isteri yang berkerja juga wajib zakat ke atasnya. Begitu juga, wang simpanan isteri milik isteri dan wajib dizakatkan, wang simpanan suami milik suami maka wajib dizakatkan. Ia adalah harta individu. Maka, suami dan isteri hendaklah mengira sendiri, sama ada pendapatan tahunan mereka wajib dizakatkan atau tidak. Sekiranya wajib, maka masing-masing wajib mengeluarkan zakat. Ia berbeza dengan zakat fitrah pada bulan Ramadan, kerana ia dikeluarkan oleh ketua keluarga untuk semua tanggungannya.

5. Adakah guru, polis, tentera dan kakitan awam yang sudah pencen daripada alam pekerjaan namun mendapat pencen bulanan tetap masih dikenakan zakat? Begitu juga wang yang diterima kerana penamatan kerja, seperti pampasan kerana VHSS (pemberhentian kerja sukarela) atau apa-apa insentif persaraan wajib dizakatkan?

Secara mudahnya, setiap wang yang bersumberkan pendapatan maka hendaklah dizakatkan. Ini termasuklah wang saguhati persaraan atau pampasan persaraan, kerana ia adalah wang yang diperolehi hasil daripada pekerjaan sebelumnya. Begitu juga wang pencen juga wajib dizakatkan, kerana ia bersifat pendapatan bulanan secara tetap. Dari sudut fekah, semua harta ini diistilahkan sebagai al mal al mustafad, yakni harta yang diperolehi daripada pekerjaan (seperti gaji, upah, elaun dan sebagainya) dan wajib dizakatkan apabila mencukupi segala syaratnya, kerana ia berpotensi untuk dikembangkan lagi.

6. Saya telah memenangi sebuah peraduan dan mendapat hadiah berupa wang tunai sebanyak RM10,000.00. Adakah ia dikira sebagai pendapatan dan saya wajib menzakatkannya? Bagaimana pula jika saya memenangi kereta atau rumah?

Wang hadiah itu tidak boleh dikira pendapatan kerana ia didapati secara mengejut dan tidak berkala atau tetap. Jadi, saudara tidak perlu mengeluarkan zakat ke atasnya. Walau bagaimanapun, ia akan menjadi zakat simpanan jika saudara tidak menghabiskannya dan menyimpannya di dalam mana-mana akaun (sebaik-baiknya tahun hijrah), misalnya saudara dapat wang hadiah itu pada bulan Ramadan tahun ini, saudara guna dan pada bulan Ramadan tahun hadapan, yakni genaplah setahun hijrah, jika masih berbaki maka ia dikira zakat simpanan. Itu pun jika baki selepas setahun itu masih melebihi nisab semasa (katakan nisab ialah RM6,800), maka barulah dikirakan zakat ke atas wang hadiah itu. Manakala hadiah dalam bentuk lain seperti rumah dan kereta tidak perlulah dizakatkan.

7. Saya adalah seorang ibu tunggal dua anak. Saya turut menampung perbelanjaan ibu bapa dan dua orang adik yang masih belajar. Apakah saya boleh memasukkan mereka ke dalam perbelanjaan dan mendapat tolakan dalam kiraan zakat pendapatan saya?

Ya, puan boleh menolak perbelanjaan yang diberikan kepada kedua ibu bapa dan kedua orang adik puan kerana puan adalah orang yang bertanggungjawa menyara mereka. Oleh itu, peruntukan bulanan yang puan berikan kepada mereka boleh dikira sebagai tanggungan sebelum kiraan zakat pendapatan puan.

Caranya, jika puan memberikan elaun sebanyak RM200 sebulan kepada ibu ayah dan RM200 elaun kepada adik-adik puan, maka RM400 x 12 bulan ialah RM4,800 boleh ditolak dalam kiraan zakat pendapatan. Manakala potongan untuk anak-anak pula ialah tetap RM1,000 bagi setiap orang. Selepas itu, bakinya baharulah dikirakan zakat.

8. Saya dimaklumkan bahawa ada tiga kaedah mengira zakat pendapatan. Apakah kaedah tersebut dan yang manakah paling afdal?

Terdapat tiga kaedah mengira zakat pendapatan. Pertama, dikira daripada keseluruhan jumlah pendapatan saudara terus dikeluarkan 2.5 peratus sebagai zakat. Kaedah ini dirasakan agak membebankan, jsuteru ia langsung tidak mengambil kira aspek penggunaan dan saraan seseorang.

Kaedah kedua pula, boleh buat dahulu tolakan asas yang sudah ditetapkan, iaitu diri sendiri RM8,000; isteri RM3,000; anak-anak RM1,000 seorang; pemberian kepada ibu bapa; caruman KWSP; caruman ke dalam akaun Tabung Haji dan caruman ke dalam mana-mana institusi yang mengeluarkan zakat kepada pencarum seperti takaful. Setelah itu baharu dikeluarkan zakat 2.5 peratus.

Kaedah ketiga ialah mengira jumlah sebenar perbelanjaan asasi, iaitu makanan, tempat tinggal, pakaian, perubatan, pengangkutan dan pendidikan. Kaedah ini tidak digalakkan, justeru seseorang itu boleh jadi terlepas daripada menunaikan zakat pendapatan; walhal pada masa yang sama dia mampu menjalani hidup yang mewah, misalnya memiliki kereta besar dengan rumah yang besar.

Kaedah kedua adalah paling baik, ia tidak terlalu ringan dan tidak terlalu membebankan sehingga menyebabkan seseorang itu terlepas dari menunaikan zakat pendapatan. Kaedah kedua inilah yang diamalkan di negara ini.

9. Saya melaksanakan zakat menerusi Skim Potongan gaji. Sekiranya saya sengaja melebihkan amaun bayaran zakat melalui potongan gaji, adakah ia dikirakan zakat juga? Bolehkah saya meniatkannya sebagai qada zakat? Bagaimana pula dengan akad zakat?

Zakat sudah tertentu jumlahnya. Jika ditaksirkan zakat saudara ialah RM100 sebulan, kemudian saudara sengaja menunaikan RM150, maka lebihan itu bukanlah zakat melainkan dikira sebagai sedekah.

Walau bagaimanapun, ia boleh diniatkan sebagai zakat harta yang lain. Misalnya zakat emas, zakat simpanan atau apa sahaja zakat termasuklah qada zakat yang lalu. Memadai dengan niat saudara semasa mengisi borang potongan zakat maka akad tidak diperlukan lagi.

Ini kerana, rukun dan syarat sah zakat ialah niat dan memberikan harta, yakni berlaku pemindahan hak milik ke atas harta zakat. Manakala lafaz zakat atau akad hanyalah sunat semata-mata.

10. Apakah yang dimaksudkan sebagai al-mal al-mustafad? Di samping itu, saya masih keliru kenapakah wang saguhati persaraan seperti graduiti diwajibkan zakat?

Al-mal al-mustafad bermaksud, segala jenis pendapatan yang diperolehi hasil daripada pekerjaan, seperti upah, ganjaran, pemberian dan lain-lain pendapatan yang ada kaitan dengan pekerjaan. Maka, al-mal al-mustafad adalah harta yang wajib dizakatkan.

Manakala, wang graduiti atau pampasan adalah termasuk ke dalam wang yang diperolehi daripada hasil pekerjaan atau pendapatan. Maka, ia masih dikategorikan sebagai harta al mal al mustafad (hasil daripada pekerjaan). Alasannya, seandainya kita tidak berkerja sebelum ini, maka pastinya kita tidak akan memperolehi wang graduiti berkenaan. Maka ia hendaklah dizakatkan apabila mencukupi syarat-syaratnya.

Perkara ini ada dibincangkan oleh Dr Mujaini Tarimin di dalam kertas kerjanya bertajuk: ‘Zakat Al-Mal Al-Mustafad dan Isu-isu Kontemporari’ (kini dibukukan oleh Utusan Publications di bawah tajuk Zakat: Menuju Pengurusan Profesional). Dan beliau memasukkan wang graduiti tersebut sebagai salah satu item di dalam perbahasan pendapatan yang dikategorikan harta al-mal al-mustafad (yang tunduk kepada zakat). Kesimpulannya, wang graduity adalah tunduk kepada zakat dan hendaklah dizakatkan. Wallahua’lam.

11. Saya telah ditegur oleh seorang kawan kerana membayar zakat melalui potongan gaji setiap bulan. Kata kawan saya, haul zakat saya ialah di hujung tahun. Saya keliru dan adakah sah zakat saya sebelum ini?

Sebenarnya, perbicaraan mengenai haul zakat penggajian agak panjang. Walau bagaimanapun, ulama sendiri mempunyai dua pendapat. Ada menyatakan, ia boleh dizakatkan tanpa menunggu setahun dan ada yang menyatakan hendaklah ditunggu setahun.

Hukumnya adalah sah zakat tersebut bahkan lebih awla jika saudara bimbang seandainya apabila cukup setahun, maka saudara sudah menghabiskan semua wang tersebut.

Kesimpulan yang dapat diberikan, adalah sah dan harus mengeluarkan zakat lebih awal dari waktunya. Inilah pendapat yang kuat bagi kalangan Syafie, Hanafi dan Hambali.

12. Saya telah menunaikan zakat melalui skim potongan gaji pada setiap bulan. Setelah berlalu setahun, saya dapati wang dalam simpanan saya melebihi nisab. Adakah saya perlu menunaikan zakat simpanan pula?

Zakat hanya dikenakan sekali pada harta yang sama pada tahun yang sama (masih dalam haul yang sama). Oleh itu, memandangkan wang yang disimpan itu telah pun dizakatkan terlebih dahulu melalui zakat pendapatan, maka tidak perlulah lagi puan mengeluarkan zakat simpanan pada tahun berkenaan.

Walau bagaimanapun, apabila berubah tahun (haul) yakni masuk tahun hadapan dan genap setahun, maka wang simpanan itu mestilah dikenakan zakat semula, iaitu zakat simpanan apabila jumlahnya selama setahun itu mencukupi paras nisab.

13. Saya masih terkeliru soal harta zakat. Apakah rumah dan tanah dusun serta sawah juga harta yang wajib dizakatkan?

Harta zakat yang saudara maksudkan di atas, iaitu rumah, tanah dusun serta sawah asalnya tidaklah wajib dizakatkan. Ini kerana, ia tidak termasuk dalam kategori harta yang wajib zakat, seperti harta perniagaan, galian, penternakan, pertanian, perhiasan dan wang simpanan.

Mengikut istilah fikah, harta yang induknya tidak wajib dizakat tetapi hasil daripadanya wajib dizakatkan, maka ia dinamakan harta al-mustaghallat. Misalnya, tanah kebun yang diberikan pajakan kepada pihak lain sehingga mendatangkan hasil yang melebihi nisab, maka ia wajib dizakatkan. Kadar zakat bagi harta saudara ini ialah 2.5 peratus, sama seperti zakat harta yang lain.

14. Saya berminat mengetahui rebat cukai individu yang menunaikan zakat? Bolehkah diperjelaskan kesannya kepada PCB saya?

Hakikatnya, rebat kepada cukai pendapatan adalah suatu kelebihan yang diberikan oleh pihak kerajaan kepada umat Islam. Maknanya, zakat termasuklah zakat fitrah layak dijadikan rebat kepada cukai pendapatan.

Menurut Akta Cukai Pendapatan 1967 Seksyen 6A (3), setiap individu yang menunaikan zakat berhak mendapat rebat ke atas jumlah cukai yang perlu dibayar pada tahun berkenaan. Implikasinya, sama ada ia akan mengurangkan jumlah cukai pendapatan individu ataupun ia akan terus mendapat pelepasan daripada membayar cukai pendapatan.

Oleh itu, setiap pembayaran zakat wajib disimpan resitnya bagi tujuan pembuktikan kepada pihak LHDN apabila diminta. Di samping itu, menunaikan zakat menerusi Skim Pemotongan Gaji juga akan melayakkan pelarasan cukai bulanan bagi mereka yang dikenakan Potongan Cukai Berjadual.


WALLAHUA'LAM

Tiada ulasan: