Sahabat Ilmu

Rabu, 21 Oktober 2009

DEMI MENCARI SYURGA...

TARIQ BIN ZIYAD - PAHLAWAN ULUNG

Tariq bin Ziyad merupakan ketua tentera Islam kerajaan Umaiyah yang berjaya menakluki Semenanjung Iberia (Andalusia, Sepanyol). Pada waktu itu, kerajaan Umaiyah berada di bawah pemerintahan Khalifah Walid bin Abdul Malik.

Nama pejuang Islam ini begitu harum sehingga diabadikan pada sebuah semenanjung perbukitan berbatu karang setinggi 425 meter di pantai tenggara Sepanyol, iaitu Gibraltar atau Jabal Tariq. Istilah ini bererti Gunung Tariq, disebut juga Gibraltar. Ini merupakan nama sebuah semenanjung kecil yang terletak di pantai tenggara Sepanyol. Daerah ini disebut demikian sebagai penghargaan atas perjuangan dan keberanian Tariq bin Ziyad ketika menakluki Sepanyol pada tahun 711 M.

Mengenai asal-usul dan sejarah hidupnya, amat sedikit buku sejarah yang menceritakannya. Tariq bin Ziyad berasal daripada bangsa Barbar. Mengenai sukunya pula, para sejarawan masih berbeza pendapat; sama ada dari suku Nafza atau suku Zanata.

Tariq dimerdekakan oleh Musa bin Nusair, Gabenorr Afrika Utara dan di bawah penguasaan Musa inilah beliau memeluk agama Islam bersama orang-orang Barbar lainnya yang tunduk di bawah kekuasaan Musa setelah menakluki daerah Tanja.

Dikisahkan bahawa setelah memeluk Islam, mereka (orang-orang Barbar) mengikuti ajaran agama Islam dengan baik. Oleh hal yang demikian itu, sebelum Musa pulang ke Afrika, beliau meninggalkan beberapa orang Arab untuk mengajar orang-orang Barbar itu tentang al-Quran dan ajaran-ajaran Islam yang lain. Sesudah itu, Musa melantik Tariq (yang merupakan perajurit Musa yang paling paling handal) menjadi penguasa daerah Tanja, di utara Maghribi dengan 19,000 orang tentera daripada bangsa Barbar, lengkap dengan persenjataannya.

Pada bulan Rejab tahun 97 H (Julai 711 M), Tariq bin Ziyad mendapat perintah daripada Musa bin Nusair untuk menyerang Semenanjung Andalusia. Dengan 7000 orang perajurit yang sebhaagian besar daripada bangsa Barbar, Tariq menyeberangi Selat Andalusia dengan perahu-perahu (bahtera)pemberian Julian, Gabenor Ceuta di Afrika Utara, yang bersekutu dengan kaum Muslimin untuk menentang Raja Roderick, penguasa kerajaan Visigoth di Andalusia.

Setelah mendarat di pantai berbatu karang yang kemudian dinamakan Gibraltar, Tariq beserta pasukannya berhadapan dengan 25,000 orang perajurit Visigoth. Pada mulanya kedatangan pasukan Tariq ini menimbulkan kehairanan bagi Tudmir, penguasa setempat yang berada di bawah kekuasaan Raja Roderick kerana mereka datang dari arah yang tidak diduga, iaitu dari arah laut. Walaupun jumlah anggota pasukan kaum Muslimin jauh lebih sedikit dibandingkan pasukan musuh, namun semua itu tidak menimbulkan kegentaran di kalangan para perajurit Muslimin, lebih-lebih lagi dituangkan dengan kata-kata penuh semangat daripada panglima mereka.

Agar pasukannya tidak gentar menghadapi musuh, Tariq menggunakan taktik di mana sesampai sahaja angkatan perang (laut) setelah menyeberangi Selat Andalusia, beliau berkata kepada para perajuritnya bahawa perahu (bahtera) yang diberikan oleh Julian itu telah sengaja dibakar. Tariq pun berucap dengan penuh semangat: “Wahai manusia, ke mana kau akan lari? Laut di belakangmu dan musuh di depanmu. Maka, tidak ada jalan lain untuk selamat kecuali berjuang berhabis-habisan”.

Taktik yang digunakan oleh Tariq itu ternyata amat berkesan. Akhirnya, pertempuran itu dimenangi oleh Tariq dan Raja Roderick sendiri tewas dalam pertempuran tersebut.

Kemudian Tariq meminta tambahan pasukan kepada Musa. Lalu Musa menghantar 5,000 orang perajurit yang sebahagian besar berbangsa Barbar. Satu demi satu kota di Andalusia berjaya ditawan oleh para perajurit Tariq; kota-kota tersebut termasuklah Toledo, Elvira, Granada, Cordoba, Malaga, Arichidona.

Apabila tiba musim panas pada tahun 711 M, Tariq telah berjaya menguasai separuh daripada wilayah Andalusia. Dalam kitab Tarikh al-Andalus, disebutkan bahawa sebelum menempa kejayaan itu, Tariq telah mendapat firasat bahawa beliau pernah bermimpi melihat Rasulullah s.a.w bersama Khulafa al-Rasyidin berjalan di atas air hingga bertemu dengannya, lalu Rasulullah s.a.w memberi khabar gembira bahawa beliau akan berjaya menakluk Andalusia. Kemudian Rasulullah s.a.w menyuruhnya agar sentiasa mendampingi kaum Muslimin dan sering pula menepati janji.

Mendengar kejayaan yang dicapai oleh Tariq, Musa bin Nusair berasa iri hati. Pada tahun 712 M, beliau menyusul Tariq bersama 18,000 perajuritnya melalui jalan lain yang ditempuh oleh Tariq. Musa berjaya menguasai Sidonia, Kormona, Merida, Sevilla. Beliau juga menewaskan kerajaan Visigith,Theodomir di Orihuela. Beliau bertemu Tariq dan pasukannya di Telodo. Mereka berjaya menakluki Zaragoza, Aragon, Leon, Aturia, dan Galicia. Dengan demikian, seluruh daratan Semenanjung Andalusia berjaya dikuasai oleh perajurit Muslim. Setelah itu, mereka kemudiannya dipanggil pulang ke Damsyik oleh Khalifah al-Walid.

Setelah berjuang bermati-matian menakluki Sepanyol, bukan penghargaan yang diterima oleh Tariq melainkan pemecatan yang dilakukan oleh Musa bin Nusair. Tariq dipecat atas alasan tidak patuh arahan Musa walhal sebenarnya Musa iri hati terhadap kejayaan Tariq. Namun, kejadian ini tidak mengganggu usaha penaklukan ke atas sepanyol. Jauh sebelum penaklukan ke atas Sepanyol, antara Musa dengan Tariq sememangnya sudah terdapat bibit-bibit persaingan. Namun, Tariq tetap menghormati ketuanya. Peristiwa pemecatan Tariq diketahui oleh Khalifah al-Walid. Ketika memanggil kedua-dua, jelas Khalifah memberi lebih Tariq.

Setelah Khalifah al-Walid meninggal dunia, nama Tariq bin Ziyad seakan-akan tenggelam, namun Gibraltar yang terus ‘timbul’ di dalam lipatan sejarah telah mengharumkan nama seorang panglima Islam yang hidupnya berjuang di jalan Allah dengan menegakkan syiar Islam menyeberangi sempadan benua, hingga Islam dapat diterima di Eropah.

Tariq bin Ziyad pulang ke rahmatullah pada tahun 270 M.

Tiada ulasan: