Umat Islam perlu sentiasa mengingati pesanan Nabi Muhammad s.a.w agar berwaspada dengan tipu daya nikmat dunia. Atas sebab itu, lima pesanan Rasulullah perlu diingati demi menjaga diri, keluarga dan masyarakat agar tidak tergelincir daripada landasan Islam yang diredai Allah s.w.t.
Rasulullah pernah berpesan kepada umatnya berhubung perkara berikut:
1. Kerap menyebut Allah daripada menyebut makhluk.
Sudah menjadi kebiasaan bagi kita menyebut atau memuji-muji orang yang berbuat baik kepada kita hingga kadang-kadang kita terlupa hakikat bahawa terlalu banyak nikmat yang Allah berikan kepada kita.
Rasulullah pernah berpesan kepada umatnya berhubung perkara berikut:
1. Kerap menyebut Allah daripada menyebut makhluk.
Sudah menjadi kebiasaan bagi kita menyebut atau memuji-muji orang yang berbuat baik kepada kita hingga kadang-kadang kita terlupa hakikat bahawa terlalu banyak nikmat yang Allah berikan kepada kita.
Lantaran itu, kita terlupa memuji dan menyebut nama Allah.
Makhluk yang berbuat baik kita puji melangit, tetapi nikmat yang terlalu banyak Allah berikan langsung tidak ingat. Sebaik-baiknya lidah kita memuji Allah saban waktu, bukan ucapan alhamdulillah hanya selepas kekenyangan. Pujian begini hanya di lidah tidak menyerap ke lubuk hati. Kita hendaklah sentiasa membasahi lidah dengan zikrullah. Ini kerana dengan zikrullah manusia sentiasa ingat nikmat yang Allah limpahkan. Kata Imam Ibnu Qayyim, “Sesungguhnya zikir adalah makanan asas bagi hati dan roh, apabila hamba Allah gersang daripada siraman zikir, jadilah ia bagaikan tubuh yang terhalang untuk memperoleh makanan asasnya.”
2. Kerap menyebut akhirat daripada menyebut urusan dunia.
Dunia terlalu sedikit dibandingkan akhirat. Seribu tahun di dunia setimpal dengan ukuran masa sehari di akhirat. Betapa kecilnya nisbah umur di dunia ini berbanding akhirat. Nikmat dunia juga 1/100 daripada nikmat akhirat. Begitu juga seksa dan kepayahan hidup di dunia hanya 1/100 daripada akhirat. Hanya orang yang pendek fikiran sibuk memikirkan wawasan dunia hingga terlupa wawasan akhirat.
Oleh itu, perbanyakkan menyebut perkara akhirat supaya timbul keghairahan menanam dan melabur saham akhirat. Dengan menyebut dan ingat kehidupan akhirat akan menyemarakkan semangat untuk berbuat amal ibadat dan amal kebajikan yang bakal dijadikan bekalan. Dengan itu akan menyebabkan seseorang berakhlak mulia menurut tuntutan agama sekali gus bersikap optimis terhadap nikmat dunia untuk mengejar nikmat akhirat.
Kata Imam al-Qurtubi, “Tuntutlah kurniaan Allah di dunia dan akhirat. Tuntutlah kurniaan Allah daripada dunia untuk akhirat, iaitu syurga.”
3. Kerap menyebut dan mengingati hal kematian daripada hal kehidupan.
Kita sering memikirkan bekalan hidup ketika tua dan bersara, tetapi jarang memikirkan bekalan hidup selepas mati. Memikirkan mati adalah sunat kerana ia menginsafi diri dan kekurangan amalan yang perlu dibawa ke sana. Perjalanan jauh ke akhirat sudah tentu memerlukan bekalan sangat banyak. Bekalan itu hendaklah dikumpulkan ketika hidup di dunia. Dunia ibarat kebun akhirat. Kalau tidak mengusahakan kebun dunia masakan dapat mengutip hasilnya di akhirat.
Dalam hubungan ini eloklah sikap Saidina Ali dicontohi. Meskipun sudah dijamin syurga, Saidina Ali masih mengeluh mengenai kekurangan amalan bakal dibawa ke akhirat yang jauh perjalanannya. Betapa pula dengan diri kita yang kerdil dan bergelumang dosa?
4. Jangan selalu menyebut kebaikan diri dan keluarga.
Syaitan sentiasa hendak memerangkap kita dengan menyuruh atau membisikkan supaya sentiasa mengingati atau menyebut kebaikan yang kita lakukan, sama ada kepada diri sendiri, keluarga atau masyarakat. Satu kebaikan yang kita buat, kita sebut selalu macam ayam ‘bertelur sebiji riuh sekampung’.
Kita terlupa dengan menyebut dan mengingati kebaikan sendiri ia menimbulkan penyakit hati iaitu ujub. Penyakit ujub ibarat api dalam sekam yang boleh merosakkan pahala kebajikan. Lebih dahsyat, jika menimbulkan riak atau bangga diri, Allah memberi amaran tidak akan mencium bau syurga. Riak adalah satu unsur daripada syirik (khafi).
Oleh itu eloklah kita berhati-hati supaya menghindarkan diri daripada mengingati kebaikan diri kepada orang lain. Kita perlu sedar perbuatan baik yang ada pada diri kita sebenarnya daripada Allah. Allah yang menyuruh kita berbuat baik. Jadi kita patut bersyukur kerana Allah menjadikan kita orang baik, bukan mendabik dada mengatakan kita orang baik. Kita terlupa Allah yang mengurniakan kebaikan.
Berkenaan riak, Rasulullah berpesan, “Yang amat kutakuti atas kamu ialah syirik yang paling kecil iaitu riak.”
Riak adalah amal yang dikerjakan untuk dipamerkan kepada orang dan meninggalkan amal kerana orang.
5. Jangan selalu sebut keaiban atau keburukan orang lain.
Kegelapan hati ditokok dengan rangsangan syaitan selalu menyebabkan diri kita menyebut kesalahan dan kekurangan orang lain. Kita gemar melihat keaiban orang sehingga terlupa keaiban dan kekurangan diri sendiri. Bak kata pepatah, ‘kuman seberang laut nampak, tetapi gajah depan mata tak nampak’.
Islam menuntut kita melihat kekurangan diri supaya dapat memperbaiki kekurangannya. Menuding jari mengatakan orang lain tidak betul sebenarnya memberi isyarat diri kita tidak betul. Ibarat menunjuk jari telunjuk kepada orang, satu jari ke orang itu, tetapi empat jari lagi menuding diri kita. Bermakna bukan orang itu yang buruk, tetapi diri kita lebih buruk daripadanya.
Sebab itu, biasakan melihat keburukan diri sendiri bukan keburukan orang lain. Jangan menjaga tepi kain orang sedangkan tepi kain sendiri koyak-rabak. Dalam Islam digariskan sikap positif yang perlu dihayati dalam hubungan sesama manusia iaitu lihatlah satu kebaikan pada diri seseorang, meskipun ada banyak kejahatan yang ada pada dirinya. Apabila melihat diri kita pula, lihat kejahatan yang ada walaupun kita pernah berbuat kebaikan.
Hanya dengan cara ini kita terselamat daripada bisikan syaitan yang memang sentiasa mengatur perangkap untuk menjerumuskan kita ke dalam api neraka. Islam menganjurkan umatnya bersangka baik dan berbuat baik sepanjang masa. Sabda Rasulullah, “Cukuplah bagi seseorang keburukan jika ia menghina saudaranya sesama muslim.”
Demikianlah lima pesanan Rasulullah supaya umat Islam sentiasa dalam ruang lingkup kehidupan yang diberkati Allah dengan mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat. Marilah pada setiap masa mengingati pesan Nabi kita dan jadikan ia suluh pedoman dalam melayari kehidupan di dunia yang fana ini.
Sesungguhnya, peringatan Rasulullah sentiasa sesuai sepanjang masa untuk umat manusia. Hanya kita yang lalai kepada pesanan berharga itu.
Kita hanya menyesal apabila kita ditimpa kesusahan atau sakit. Ketika itulah baru hendak mengenali Allah dan ingat Rasulullah. Sebagai mukmin, marilah kita berpegang teguh kepada pesanan Rasulullah s.a.w.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan