ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah S.W.T,
Khutbah Jumaat kali ini, saya ingin mengajak para jama'ah sekalian kepada satu muhasabah dan renungan terhadap masa, waktu, kelapangan, usia yang allah kurniakan kepada kita selama kini adakah digunakan untuk ketaatan atau kemaksiatan
Muslimin yang dirahmati Allah sekalian,
Setiap manusia yang mengakui beriman kepada Allah, sedar bahawa tempoh hidup dibumi ini, akan berakhir pada bila-bila masa sahaja. Maut tidak kenal kecil atau besar, tua atau muda. Usia kita berlari bersama detik waktu siang dan malam, dari hari ke minggu, bulan ke tahun. Kita melangkah maju kehadapan. Kanak-kanak mengejar masa remajanya, yang remaja memburu masa tuanya, dan yang tua menuju ke titik akhir hayatnya.
Hidup kita diikat dengan masa. Masa berjalan dalam bentuk dan stailnya yang unik dan tersendiri. Masa itu tidak menunggu kita, ia lebih pantas daripada kilat. namun ramai manusia terpesona sehingga mengabaikan masa, membiarkan masa yang berharga itu berlalu, tanpa dimanfaatkan dengan sawajarnya. Kerana itu Allah mengingatkan dengan firmannya dalam Al-Quran yang bermaksud:
„Demi masa sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, yang berpesan kepada kebenaran dan berpesan kepada kesabaran“.
Menurut As-Sayhid Syed Qutub dan tafsir Fizililquran dalam mentafsirkan surah Al-Asr" manusia tidak mungkin tidak akan mencapai suatu peradaban yang baik dan tinggi, kecuali jika melalui bimbingan agama.
Rasullullah S.A.W berpesan yang bermaksud ;"Rebutlah (pergunakanlah) lima waktu, sebelum datang lima waktu yang lain, iaitu masa muda sebelum tua, masa sihat sebelum sakit, masa lapang sebelum sibuk, masa kaya sebelum papa, dan masa hidup sebelum tiba masa mati.
Sebelum pakar Management Moden berbicara dan membuat pelbagai analisa mengenai masa, Islam telah memperkatakan beribu tahun lebih awal. Umat Islam yang rugi ialah mereka yang membuang masa tanpa membuat kebajikan. Mengikut Sains Pengurusan Moden, :"masa adalah sumber daya yang paling berharga" Kita tidak dapat menyimpan masa di Bank, sebagaimana kita menyimpan wang dan barang yang berharga. Kita mesti menggunakan masa yang ada dengan segera.
Amal Ibadat seseorang juga bermula dan berakhir dengan ukuran waktu dan masa tertentu. Contohnya, waktu solat Zuhur tidak sama dengan waktu solat Asar. masa bulan Ramadhan tidak sama bulan Zulhijjah.
Saudara-saudara,
Mengikut para pengkaji dan penganalisa, masa boleh dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu masa lalu, masa kini dan masa akan datang. tetapi yang pasti bagi kita ialah masa kini. Dalam konteks Agama Islam, persoalan masa amat dititikberatkan dan dianjurkan supaya menjaganya. Diperhitungkan hidup adalah bermula dari masa. dunia dan penghidupannya bermula dalam waktu dan masa.
Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud : "jika pun berlaku kiamat, sedangkan ditangan kamu ketika itu ada sebiji buah kurma, jika kamu masih lagi berkesempatan untuk menanamnya, maka hendaklah kamu menanamnya"
Jika diteliti dari hadis tersebut, jelas membayangkan, betapa berharga dan bernilainya setiap detik perjalanan masa, yang semestinya diurus dengan baik dan bermanfaat. Umur manusia dan umur dunia adalah istilah dalam permainan masa. Apabila tamat jangkamasa waktu 24 jam, habislah masa sehari. Maka kita bergerak selangkah lagi menuju hari berikutnya sehingga usia tua. Bila sampai usia lanjut biasanya, kelemahan manusia menguasai tubuh manusia, dan seterusnya kepada semua pancaindera dan anggotanya, sehingga ada kalanya ia tidak ada daya upaya atau kekuatan lagi. Satu peristiwa, seorang tua Ma’an bin Zaidah datang mengadap khalifah Al-Ma’mun, khalifah bertanya kepada, bagaimana keadaanmu apabila menjadi tua seumpama ini?. Jawabnya: Aku mudah tersembam lantaran terlanggar batu kecil. Bila aku lapar aku marah, bila aku makan aku bosan, bila dalam majlis aku mengantuk, bila aku diatas tempat penginapan mataku celik.
Tujuan khalifah menyoal Ma’an adalah untuk mengingatkan kepada mereka yang lebih tua, bahawa masa muda adalah masa beramal dan jangan menangguhkan ibadat ketika tua, kerana usia tua tenaga amat terhad. Pada usia muda inilah kita perlu banyak kemasjid untuk mengumpul pahala solat berjamaah, pahala mendengar kuliah dan ceramah agama, masa untuk berzikir, membaca al-quran, masa untuk bangun solat dimalam hari, masa untuk memperbanyakkan sedekah, masa untuk menambahkan ilmu pengetahuan agama dan seumpamanya.
Cuma persoalan yang timbul dan juga ramai yang tertanya-tanya dimanakan para remaja kita berada? Adakah mereka sedang berjuang dipentas-pentas dakwah dan jihad? Adakah mereka sedang bertungkus lumus meneroka berbagai bidang ilmu yang bersifat global atau sebaliknya sedang leka dipentas-pentas maksiat? Diatas dataran, tasik, tepi pantai, kelab-kelab malam? menari dan menyanyi dalam keadaan separuh bogel.
Ini tidak ubah hanya meniru dan menciplak budaya barat yang begitu miskin dan tandus dengan adab sopan, sedangkan ulama' menyatakan bahawa 2/3 Islam itu adalah adab. Disinilah lahirnya budaya 'Hippies' dan budaya keseronokan yang mana hidup bebas adalah teras perjuangan, kita juga dihujani dengan pelbagai berita sedih tentang remaja kita yang lepak, bohsia, ekstesi, bersekedudukan tanpa nikah dan pelbagai lagi seribu satu masalah. Adakah remaja kita seperti ini yang diharapkan untuk memperjuangkan agama, bangsa dan negara?
Junjungan mulia S.A.W pernah bersabda :
Bermaksud : "Usia muda itu adalah cabang daripada gila"
Memang diusia remaja, sikap suka mencuba sesuatu yang baru dan mencabar minda. Ini juga turut diperakui oleh seseorang ahli sufi, dimana beliau bimbang akan anak-anak yang sedang meningkat umur muda iaitu kecenderungan kepada nafsu dan syahwat keduniaan dan sangat gemar akan gejala-gejala yang menarik kepada mencintai dunia dan tidak gemar untuk membuat ketaatan.
Para hadirin yang dirahmati Allah,
Setiap tahun ramai yang mengambil peperiksaan SPM dan STPM. Setelah tamat peperiksaan, mereka akan menikmati masa lapang yang panjang lebih dari 3 bulan, semata-mata untuk menunggu keputusan peperiksaan. Begitu juga anak-anak yang sedang bersekolah rendah atau menengah pula, menikmati cuti penggal lebih daripada 70 hari setahun atau lebih 350 hari dalam 5 tahun. Ini bermakna anak-anak yang dikatakan bersekolah selama 5 tahun, sebenarnya ia bersekolah hanya 4 tahun. 1 tahun lagi adalah jumlah cuti penggal persekolahannya.
Detik masa muda itu, ialah detik yang sepatutnya dihabiskan untuk mencapai sifat-sifat mulia, menambah khazanah ilmu pengetahuan, serta merebut kedudukan yang tertinggi dalam urusan agama. Setiap manusia didunia ini mempunyai masa yang sama. Manusia boleh menjalankan segala urusan berkaitan dengan hal-hal keduniaan seperti mencari rezeki, menjalin silaturrahim, menuntut ilmu dan sebagainya. Kehidupan diakhirat pula ialah dengan menunaikan kewajipannya- beribadat kepada Allah S.W.T untuk mendapat seberapa banyak pahala yang akan dijadikan bekalan diakhirat nanti.
Firman allah S.W.T,
Maksudnya: Bukanlah kami telah melanjutkan usia kamu dengan memberikan masa yang cukup berfikir dan beringat? Dan kamu pula telah didatangi oleh rasul yang memberi amaran.
Sidang Jumaat Yang Dihormati Sekalian,
Disaat ini dunia Islam merindui remaja-remaja yang gagah perkasa yang disaluti dengan iman dan jati diri yang kental. Dunia Islam merindui remaja seperti Abdullah Bin Ma'sud, Musab bin Amir, Ammar Bin Yasir dan Usamah Bin Zaid yang merupakan remaja yang dihantar oleh khalifah Abu Bakar bagi menentang 'Byzantin' yang ketika itu berumur 18 tahun. Usamah Bin Zaid pernah berdoa :
Bermaksud : " Demi Allah, sekiranya bukan kerana lautan luas yang menjadi penghalang, nescaya aku akan takluk seluruh dunia ini dalam meninggikan Kalimahmu, wahai tuhan, saksikanlah."
Oleh itu, para remaja kita hari ini diseru dan ingatkan agar bersedia untuk menghadapi perjalanan hidup mukmin yang hakiki, demi agama, bangsa dan umat seluruhnya.
Firman Allah S.W.T dalam surah A-Qasis ayat : 50
Bermaksud : " Dan tidak ada yang lebih sesat daripada orang yang menurut hawa nafsunya dan tidak berdasarkan hidayah petunjuk dari Allah".
Tuan-tuan sidang hadirin sekalian,
Kita hendaklah bersyukur di atas nikmat masa yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T kepada kita dengan menggunakan masa sebaik-baiknya, yang ada kaitan dengan iman dan amal soleh, tetap istiqamah mengerjakan kebajikan dan ketatan, pada jalan Allah. Marilah sama-sama menasihati anak-anak kita untuk memelihara masa mudanya agar tidak terjebak di dalam perangkap yang tidak diredhai Allah kerana mereka adalah warisan kita dibarisan hadapan.
Sabda Rasulullah S.A.W:
Sebaik-baiknya kamu ialah orang yang panjang umurnya dan baik pula amalannya.
DISEDIAKAN DAN DISAMPAIKAN OLEH:
USTAZ MUHAMAD NAIM BIN HASHIM
DI SURAU (JUMAAT)AL-IKHLAS BDR SG BUAYA RAWANG
Jumaat, 24 Julai 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan