Sahabat Ilmu

Isnin, 20 Julai 2009

Intisari Kuliah Surau Al-Ikhwan 20 julai 2009

Cantik yang dilaknat Allah

Salam serta selawat ke atas Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, ahli keluarga baginda serta salam kepada para sahabat yang berjuang menegakkan Islam di muka bumi ini.

Rasulullah SAW menggambarkan keindahan agama yang dibawanya dapat difahami daripada sebuah hadis yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah itu cantik dan Allah sukakan kecantikan.” (Hadis riwayat Muslim dan At-Tirmidzi) . Allah sukakan kecantikan dan seterusnya menggalakkan umatnya berhias dengan pakaian yang cantik untuk mengerjakan ibadah, seperti dalam firmannya yang bermaksud, “Wahai anak-anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke masjid (atau mengerjakan sembahyang), makanlah dan minumlah, dan jangan pula kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai akan orang-orang yang berlebih-lebihan (melampaui batas).” (Surah Al-A’raaf, ayat 31)

Manusia pun sentiasa sukakan sesuatu yang cantik. Mahukan pakaian yang cantik, perhiasan yang cantik, suami yang cantik (hensem la tu), isteri yang cantik, rumah yang cantik, kereta yang cantik dan macam-macam lagi. Binatang juga sukakan kecantikan, lihatlah burung merak yang kelihatan megah dengan bulunya yang cantik berwarna-warni, malah ayam jantan cuba memperagakan bulu dan badannya yang cantik untuk memikat ayam betina kerana ia tahu bahawa ayam betina sukakan kecantikan.

Cantik dan berhias itu memang dituntut Islam. Islam tidak suka umatnya selekeh, kusut masai dan tidak terurus. Rasulullah SAW sendiri seorang yang sangat kemas, kacak dan menarik sekali, malah senang mata apabila melihatnya. Sering dituntut malah menjadi kewajipan isteri berhias diri untuk tatapan suami tercinta. Apabila bercerita mengenai cantik dan semua orang hendak cantik, bertepatan pula dengan fitrah manusia yang memang hendak cantik saja dan asal cantik. Justeru, kemajuan perubatan mengambil kesempatan. Dengan penemuan moden dan kebolehan doktor membantu ‘cepat cantik’ dengan suntikan botoks dan sebagainya.

Dapat kita lihat pada masa kini, remaja dan kalangan artis dan isteri-isteri yang mula meningkat usia, demi cantik atau karier sanggup berbuat apa saja. Keinginan mahu cantik itu tidaklah salah tetapi yang kena difikirkan juga ialah caranya biarlah tidak bercanggah dengan syariat Islam. Islam melarang keras sebarang pengubahan ciptaan asal bahagian tubuh seseorang yang dilakukan dengan alasan untuk kelihatan cantik atau lebih cantik selain bertujuan kosmetik. Bagaimanapun, jika ia dilakukan dengan tujuan perubatan akibat kemalangan dan kecacatan, hukumnya menjadi harus.

Jelasnya, tujuan yang dibenarkan adalah bagi memperbaiki organ tubuh yang rosak akibat trauma kemalangan selain untuk mengembalikan kecacatan kepada kejadian tubuh manusia normal. Dalil yang mengharamkan pembedahan plastik untuk tujuan selain kesihatan berdasarkan ayat 117 hingga 119 surah an-Nisaa’ iaitu Allah berfirman yang bermaksud, “Apa yang mereka sembah selain daripada Allah itu tidak lain hanya berhala dan (dengan menyembah berhala itu) mereka tidak menyembah melainkan syaitan yang derhaka, yang dilaknati Allah dan syaitan itu mengatakan, ‘Demi sesungguhnya aku akan mengambil daripada kalangan hamba-hamba- Mu, bahagian yang sudah ditentukan (untuk menjadi pengikutku). Dan demi sesungguhnya aku akan menyesatkan mereka (daripada kebenaran) dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (memotong telinga-telinga binatang ternak) lalu mereka benar-benar memotong telinga binatang itu dan aku akan menyuruh mereka (merubah ciptaan Allah), lalu benar-benar mereka merubahnya.’ Barang siapa yang menjadikan syaitan menjadi pelindung selain Allah, maka sesungguhnya ia menderita kerugian yang nyata.”

Ulama tafsir memiliki tiga pendapat mengenai takrifan ‘merubah fitrah kejadian dan apa jua yang sudah ditetapkan Allah’ iaitu mengubah bentuk tubuh dan organ haiwan serta manusia; mengubah tugas atau fungsi sesuatu seperti menjadikan batu atau matahari sebagai Tuhan dan mengubah syariat Islam iaitu menghalalkan yang diharamkan Allah serta sebaliknya.

Batas-batas dalam berhias

Merujuk kepada fatwa kebangsaan bagi hal ehwal agama Islam Malaysia, muzakarah mereka kali ke-74 bermula pada 25 hingga 27 Julai 2006 memutuskan bahawa suntikan Botulinum Toxin Type A atau nama komersialnya botoks adalah haram digunakan kerana ia didapati mengandungi bahan meragukan dan bersifat najis.

Bagaimanapun, ada pihak yang cuba mempertikaikan keputusan itu dengan mengatakan bahawa bahan yang digunakan untuk menghasilkan botoks hanya protein, malah bukan protein daripada binatang yang diharamkan, tetapi mungkin namanya melambangkan seolah-olah ia daripada sesuatu yang kotor. Pihak ini juga cuba mendakwa, dari segi kesihatan, penggunaan botoks tidak memudaratkan jika ia dilakukan pihak yang bertauliah dan menggunakan teknik suntikan yang betul. Cuma pihak ini tidak menolak kemungkinan ia akan menimbulkan kesan sampingan jika digunakan berlebihan tanpa pemantauan atau diselia pihak bertauliah. Bagaimanapun, isu utama yang menyebabkan ia menjadi haram pada pandangan syariah ialah:

Unsur najis dan kotoran di dalam bahan botoks. Kajian mendapati botoks atau Botulinum Toxin Type A antara lain mengandungi bahan daripada babi, selain wujudnya bahan tiruan yang boleh mendatangkan mudarat. Dalam Islam, terdapat dalil yang menyebut: “Tidak boleh mendatangkan mudarat dan tidak boleh pula membalas mudarat.”
Mengubah ciptaan Allah untuk tujuan cantik. Isu mengubah ciptaan Allah SWT terhadap diri seseorang.
Bertatu dan mencukur alis/kening

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya, “Allah mengutuk (melaknat) perempuan yang bertatu atau minta di buat tatu, yang mencukur alis dan mereka yang meminta dicukur alis mereka, perempuan yang membentuk giginya agar kelihatan cantik dan mereka yang mengubah ciptaan Allah.” (Hadis riwayat Thabarani dan Ibnu Mas’ud)

Maksud mengubah ciptaan Allah SWT ialah membuat perubahan pada ciptaan Allah yang telah sempurna secara pandangan umum dan adat atas dasar tidak berpuas hati dengan anugerah itu, bukan kerana memperbaiki atau memulihkan kecacatan. Mencabut bulu kening yang merupakan anugerah dan ciptaan Allah SWT yang sempurna dan membuat atau melukis bulu kening yang baharu selepas itu agar menepati cita rasa sendiri supaya kelihatan lebih cantik, menawan dan bergaya adalah perbuatan yang haram di sisi Islam. Jika perbuatan mencabut bulu kening itu disebabkan ia tumbuh berselerak dan tidak kemas yang amat teruk, maka hal ini tidaklah termasuk dalam erti kata mengubah ciptaan Allah SWT. Lagipun jika yang dicabut itu hanyalah yang berselerak dan bukan termasuk bulu yang dipanggil kening serta tidak membuat lukisan semula terhadapnya. Ini dilakukan atas dasar menjaga kekemasan diri bukan kerana tidak puas hati dengan ciptaan Allah SWT kerana Allah itu cantik dan sukakan kecantikan.

Tatu iaitu memberikan tanda pada muka dan kedua-dua tangan dengan warna biru dalam bentuk ukiran. Sebahagian orang Arab, khususnya golongan wanita membuat tatu di sebahagian besar tubuh badan mereka. Bahkan pada masa pengikut agama membuat tatu dalam bentuk persembahan dan lambang agama mereka, misalnya orang Kristian melukis salib di tangan dan dada mereka. Perbuatan yang buruk menjadi semakin besar pengharamannya apabila ia dilakukan dengan menyeksa dan menyakiti badan iaitu dengan menusuk-nusukkan jarum pada badan orang yang dibuat tatu itu. Semua ini menyebabkan laknat, baik terhadap yang membuat tatu atau orang yang minta dibuat tatu.

Kikir gigi

Dan yang disebut mengikir gigi dalam hadis di atas, iaitu merapikan dan memendekkan gigi. Biasanya dilakukan oleh perempuan. Kerana itu Rasulullah melaknat perempuan-perempuan yang mengerjakan perbuatan ini (tukang kikir) dan minta supaya dikikir. Kalau ada laki-laki yang berbuat demikian, maka dia akan lebih berhak mendapat laknat. Termasuk diharamkan seperti halnya mengikir gigi, yaitu menjarangkan gigi. Yang disebut ‘al-Falaj’ (dalam hadis asal), yaitu meletakkan sesuatu di sela-sela gigi, supaya nampak agak sedikit jarang. Di antara perempuan memang ada yang oleh Allah dicipta demikian, tetapi ada juga yang tidak begitu. Kemudian dia meletakkan sesuatu di sela-sela gigi yang berhimpitan itu, supaya giginya menjadi jarang. Perbuatan ini dianggap mengelabui orang lain dan berlebih-lebihan dalam berhias yang samasekali bertentangan dengan jiwa Islam yang sebenarnya. Perlu diingat, hal menjarangkan gigi ini adalah ‘trend’ Jahiliyah di zaman Jahiliyah dan ia dianggap cantik.

Daripada hadis-hadis yang disebutkan di atas, maka kita dapat mengetahui tentang hukum pembedahan kecantikan seperti yang terkenal sekarang kerana bagi memenuhi selera nafsu dan syahwat, iaitu kebudayaan Barat yang amat materialististik, sehingga begitu ramai perempuan dan laki-laki yang mengorbankan wangnya beribu-ribu untuk mengubah bentuk hidung, payudara atau yang lain. Semua ini termasuk yang dilaknat Allah dan Rasul-Nya, kerana di dalamnya terkandung penyiksaan dan perubahan bentuk ciptaan Allah tanpa ada suatu sebab yang mengharuskan untuk berbuat demikian, melainkan hanya untuk pemborosan dalam hal-hal yang bersifat ’show’ dan lebih mengutamakan pada bentuk, bukan inti, lebih mementingkan jasmani daripada rohani.

Bagaimanapun Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi menyebut, “Adapun kalau ternyata orang tersebut mempunyai cacat yang kiranya menjijikkan pandangan, misalnya kerana ada daging tambah yang boleh menimbulkan sakit jiwa dan perasaan, maka ketika itu adalah tidak berdosa orang untuk berubat selagi dengan tujuan menghilangkan kecacatan atau kesakitan yang boleh mengancam hidupnya. Kerana Allah tidak menjadikan agama buat kita ini dengan penuh kesukaran.” (Al-Halal wal Haram Fil Islam)

Susuk dan sihir

Adapun pemakaian susuk, ia dianggap lebih berat kerana ia biasanya melibatkan ilmu sihir. Susuk juga dipakai di tempat tertentu seperti muka, badan, malah kemaluan dan jika ada yang mendakwa menggunakan ayat al-Quran, jelas bertentangan dengan Islam. Melihat kepada apa yang didakwa (menggunakan ayat al-Quran), ia sama seperti bomoh melakukan jampi tetapi mendakwa menggunakan ayat al-Quran. Tentang pembelajaran ilmu sihir, al-Quran mengatakan, “Mereka belajar suatu ilmu yang membahayakan diri mereka sendiri dan tidak bermanfaat buat mereka.” (Surah al-Baqarah, ayat 102)

Rasulullah SAW menilai sihir sebagai salah satu daripada dosa besar yang boleh menghancurkan sesuatu bangsa, dan dapat merendahkan darjat pelakunya di dunia ini lagi. Justeru itu Rasulullah SAW bersabda, “Jauhilah tujuh perkara besar yang merusak. Para sahabat bertanya: Apakah tujuh perkara itu, ya Rasulullah? Jawab Nabi, yaitu: 1) menyekutukan Allah; 2) sihir; 3) membunuh jiwa yang oleh Allah diharamkan kecuali karena hak; 4) makan harta riba; 5) makan harta anak yatim, 6) lari dari peperangan; 7) menuduh perempuan-perempuan baik, terjaga dan beriman.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sebahagian ahli fiqh menganggap, sihir itu bererti kufur, atau membawa kepada kufur. Sementara ada juga yang berpendapat, ahli sihir itu wajib dibunuh demi melindungi masyarakat dari bahaya sihir. Al-Quran juga telah mengajar kita supaya kita suka berlindung diri kepada Allah dari kejahatan tukang sihir, firman-Nya, “(Dan aku berlindung diri) dari kejahatan tukang meniup simpul.” (Surah al-Falaq, ayat 4)

Peniup simpul salah satu cara dan ciri yang dilakukan ahli-ahli sihir. Dalam salah satu hadis dikatakan, “Barangsiapa meniup simpul, maka sungguh ia telah menyihir, dan barangsiapa menyihir maka sungguh dia telah berbuat syirik.” (Hadis riwayat Thabarani dengan dua sanad; salah satu rawi-rawinya adalah thiqah)

Susuk ini ada persamaannya dengan peniup simpul ini, iaitu dijampi susuk itu dan kemudiannya di masukkan ke dalam tubuh. Jelas, bahawa pemakaian susuk amat mampu mempengaruhi seseorang itu agar mempercayai adanya kuasa lain selain kuasa Allah. Ini juga telah diharamkan melalui hadis-hadis yang sahih sebagaimana pengharaman kepercayan kepada tangkal dan menggantungnya. Pemakai susuk akan mula percaya dan seterusnya bergantung kepada susuk digunakan dalam kehidupan hariannya. Ketika itu, jelas mereka dalam keadaan syirik dan menanggung dosa besar.

Menyambung rambut

Baru-baru ini saya berkesempatan menonton WHI di TV3 mengenai teknik menyambung rambut dengan rambut lain, baik rambut itu asli atau imitasi seperti yang terkenal sekarang ini dengan nama wig (cemara), kini menjadi trend bagi perempuan yang cukup gemarkan fesyen terkini. Hairan saya, tidakkah mereka mengetahui perbuatan menyambung rambut dilarang oleh Rasulullah SAW.

Bagi laki-laki lebih diharamkan lagi, baik dia itu bekerja sebagai tukang menyambung seperti yang dikenal sekarang tukang rias ataupun dia minta disambungkan rambutnya, jenis perempuan-perempuan wadam (laki-laki banci) seperti sekarang ini. Persoalan ini oleh Rasulullah SAW, diperkeras sekali dan digiatkan untuk memberantasnya. Sampai pun terhadap perempuan yang rambutnya gugur karena sakit misalnya, atau perempuan yang hendak menjadi pengantin untuk bermalam pertama dengan suaminya, tetap tidak boleh rambutnya itu disambung.

Aisyah r.a. meriwayatkan, “Seorang perempuan Anshar telah kawin, dan sesungguhnya dia sakit sehingga gugurlah rambutnya, kemudian keluarganya bermaksud untuk menyambung rambutnya, tetapi sebelumnya mereka bertanya dulu kepada Nabi, maka jawab Nabi: Allah melaknat perempuan yang menyambung rambut dan yang minta disambung rambutnya.” (Hadis riwayat Bukhari)

Asma binti Abu Bakar r.a. juga pernah meriwayatkan, ada seorang wanita datang kepada Rasulullah SAW lalu dia berkata kepada baginda, “Aku mempunyai seorang anak gadis yang akan menjadi mempelai. Dia terkena penyakit campak sehingga rambutnya gugur. Bolehkah ku sambung rambutnya?” Sabda Rasulullah SAW, “Allah Ta’ala mengutuk orang yang menyambung rambut dan yang meminta supaya rambutnya disambung.” (Hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim)

Said bin al-Musayib meriwayatkan, “Muawiyah datang ke Madinah dan ini merupakan kedatangannya yang paling akhir di Madinah, kemudian ia bercakap-cakap dengan kami. Lantas Muawiyah mengeluarkan satu ikat rambut dan ia berkata: Saya tidak pernah melihat seorangpun yang mengerjakan seperti ini kecuali orang-orang Yahudi, di mana Rasulullah SAW sendiri menamakan ini suatu dosa yakni perempuan yang menyambung rambut (adalah dosa).” (Hadis riwayat Bukhari)

Dalam satu riwayat dikatakan, bahawa Muawiyah berkata kepada penduduk Madinah, “Di mana ulama-ulamamu? Saya pernah mendengar sendiri Rasulullah SAW bersabda: Sungguh Bani Israel rodak kerana perempuan-perempuan nya memakai ini (cemara).” (Hadis riwayat Bukhari)

Rasulullah menamakan perbuatan ini zuur (dosa) bererti memberikan suatu isyarat akan hikmah diharamkannya hal tersebut. Sebab hal ini tak ubahnya dengan suatu penipuan, memalsu dan mengelabui. Sedang Islam benci sekali terhadap perbuatan menipu; dan sama sekali antipati terhadap orang yang menipu dalam seluruh lapangan muamalah, baik yang menyangkut masalah material ataupun moral. Sabda Rasulullah SAW, “Barangsiapa menipu kami, bukanlah dari golongan kami.” (Riwayat Jamaah sahabat)

Yang dimaksud oleh hadis-hadis tersebut di atas, iaitu menyambung rambut dengan rambut, baik rambut yang dimaksudkan itu rambut asli ataupun imitasi. Dan ini pulalah yang dimaksud dengan memalsu dan mengelabui. Adapun kalau dia sambung dengan kain atau benang dan sebagainya, tidak masuk dalam larangan ini.

Kesimpulannya, Islam tidak menghalang umatnya kelihatan cantik, malah menggalakkan umatnya menghias diri, namun ia perlu mengikut cara dibenarkan dan tidak membabitkan perbuatan syirik seperti memakai susuk mahupun pembedahan plastik dan botox. Hanya rawatan ke atas penyakit yang tidak boleh sembuh dengan sendirinya sahaja yang diharuskan seperti memasang gigi palsu di tempat gigi yang rongak (bukan mematahkan gigi dan menggantikannya dengan yang lain), mengatur susunan gigi yang tidak tersusun (tapi bukan mengasah atau mengikir), memakai ubat supaya rambut tumbuh di tempat yang botak (bukan memakai rambut palsu), memakai ubat untuk membuang jeragat pada kulit (bukan membuat pembedahan plastik atau memakai bahan kimia untuk menukar warna kulit), memakai inai, syampu atau gel pada rambut atau janggut supaya lebih segar dan terurus (bukan mewarnakannya dengan cat atau spray) dan sebagainya sebagai perbezaan antara merawat/menjaga keaslian ciptaan Allah SWT dengan mengubah ciptaan-Nya di mana merawat/menjaga itu adalah HARUS manakala merubahnya adalah HARAM.

Diri manusia dan segala makhluk di alam ini adalah hak mutlak Allah SWT, oleh itu kita hendaklah mematuhi segala hukum dan kehendak agama dengan baik. Janganlah tertipu dan terpengaruh dengan tabiat orang yang suka menurut hawa nafsunya disebabkan sikap tidak bersyukur dan tidak berpuas hati dengan ciptaan dan anugerah Allah di mana sikap ini sebenarnya merupakan sikap yang diwarisi daripada syaitan. Cantik biarlah selari dengan kehendak Allah dan cantik hakiki bermula dengan kecantikan dalaman (inner beauty).

Renung-renungkan!

SELAMAT BERAMAL

Tiada ulasan: