Sahabat Ilmu

Jumaat, 24 Julai 2009

HUKUM MAKAN/MINUM BERDIRI/BERJALAN

Soalan:
Apakah hukum makan/minum sambil berdiri atau berjalan?

Jawapan:
Persoalan makan dan minum berdiri ini berlaku perbezaan pendapat yang panjang di kalangan ulama. Secara ringkasnya:

Terdapat hadith daripada Anas bin Malik R.A. yang Nabi S.A.W. melarang dari minum berdiri, lalu ditanya kepada Anas, “Bagaimana dengan makan (berdiri).” Jawab beliau: “Perkara itu lebih jahat dan keji.” (ذلك أشرٌ وأخبث). Di dalam sahih Muslim pula daripada Anas bin Malik juga, katanya:

زجر رسول الله صلى الله عليه وسلم أن يشرب الرجل قائماً

Maksudnya: “Rasulullah S.A.W. melarang seseorang minum berdiri.”

Di dalam sahih Muslim juga, meriwayatkan apabila Nabi S.A.W. melihat seorang lelaki minum berdiri, baginda berkata kepadanya:

أتحب أن يشرب معك هر؟

Maksudnya: “Apakah kamu suka, minum bersama kamu seekor kucing?” jawab orang itu: “Tidak.” Lalu Baginda bersabda kepadanya:

كيف وقد شرب معك الشيطان

Maksudnya: “Bagaimana, sedangkan telah minum bersama kamu syaitan.”

Maka berdasarkan larangan ini, hukum asal bagi makan dan minum adalah dalam keadaan duduk, dan minum dimulai dengan 3 teguk selepas membaca bismillah, kemudian bertahmid kepada Allah S.W.T.

Namun begitu terdapat juga hadith sahih yang menunjukkan Nabi S.A.W. pernah minum dengan berdiri. Antaranya hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim juga di dalam sahihnya daripada Ibn ‘Abbas R.A.:

‏سَقَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏مِنْ ‏ ‏زَمْزَمَ ‏ ‏فَشَرِبَ وَهُوَ قَائِمٌ

Maksudnya: “Aku memberi Rasulullah S.A.W. minum air zam-zam, lalu baginda minum dalam keadaan berdiri.”

Imam Ahmad meriwayatkan dengan sanad yang jayyid, bahawasanya ‘Ali R.A. berkata:

لئن شربت قائما لقد رأيت رسول الله صلى الله عليه وسلم شرب قائما ولئن شربت قاعدا لقد رأيت رسول الله صلى الله عليه وسلم شرب قاعدا

Maksudnya: “Sekiranya engkau minum berdiri, sesungguhnya aku pernah melihat Rasulullah S.A.W. juga minum berdiri, sekiranya engkau minum dengan duduk, sesungguhnya aku juga pernah melihat Rasululah S.A.W. minum dengan duduk.”


Maka setelah digabungkan dua keadaan ini, sebahagian ulama berpendapat perbuatan Nabi S.A.W. minum secara berdiri bagi menunjukkan larangan minum secara berdiri itu bukanlah suatu yang haram akan tetapi hanya makruh.

Manakala sebahagian yang lain seperti Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah R.H. berpendapat hukum asal makan dan minum adalah dengan duduk dan haram dengan berdiri melainkan jika ada keperluan.

Ulama yang berpendapat seperti ini mengatakan bahawa kaedah:

أنَّ النَّبِيَّ إذَا فَعَلَ الْمَنْهِى عَنْهُ لِيُصْرِفَهُ مِنَ التَحْرِيْمِ إلى الْكِرَاهَةِ، لَيْسَتْ بِصَوَابٍ

Maksudnya: “Jika Nabi melakukan sesuatu perkara yang dilarang bagi memalingkan hukum daripada haram kepada makruh, (kaedah ini) bukanlah suatu yang tepat.”

Sebaliknya mereka berpendapat apabila Nabi S.A.W. melarang sesuatu, kemudian baginda melakukannya, maka larangan itu berlaku dalam satu keadaan dan perbuatan baginda itu dilakukan dalam keadaan yang lain.

Wallahu a’lam.

Tiada ulasan: