Sahabat Ilmu

Jumaat, 10 Julai 2009

MENJADI IMAM BERMAKMUMKAN KANAK-KANAK

Soalan;
Ustaz, kebiasaanya saya menunaikan solat secara jemaah bersama-sama isteri saya. Anak-anak saya yang berumur 8, 7 dan 3 tahun juga solat bersama sebagai satu bentuk latihan untuk mereka. Memandangkan isteri saya sekarang tidak berada bersama saya dan anak-anak kerana berkursus, apakah niat yang betul buat saya? Adakah saya kena berniat sebagai seorang imam ataupun niat solat bersendirian kerana walaupun anak-anak saya ikut solat bersama tetapi mereka belum lagi pandai menunaikan solat mengikut cara-cara yang betul? Terima kasih.

Jawapan;

Dalam sebuah hadis, Ibnu ‘Abbas r.a. menceritakan; “Aku bermalam di rumah ibu saudaraku Maimunah (isteri Nabi s.a.w.). Tiba tengah malam, Rasulullah s.a.w. bangun melakukan solat malam. Aku pun turut melakukan solat bersama beliau dengan berdiri di sebelah kirinya. Lalu baginda memegang kepalaku dan mengalihkanku ke sebelah kanannya” (Riwayat Imam al-Bukhari, Muslim dan ulamak-ulamak lain).

Dalam satu riwayat terdapat lafaz tambahan; “Aku pada ketika itu berusia 10 tahun” (Riwayat Imam Ahmad, soheh).

Hadis ini menunjukkan bahawa harus menjadi imam dengan bermakmumkan kanak-kanak, yakni pahala jamaah terhasil dengannya. Malah, harus berimamkan kanak-kanak yang telah mumayyiz jika bacaan beliau lebih baik dari orang dewasa yang ada.

Ini berdalilkan hadis dari ‘Amru bin Salamah r.a. yang menceritakan; “Beliau telah menjadi imam kepada kaumnya kerana beliaulah paling banyak menghafal al-Quran di antara mereka. Pada ketika itu umurnya baru enam atau tujuh tahun” (Riwayat Imam al-Bukhari, an-Nasai dan Abu Daud).

Adapun niat; untuk mendapat pahala jamaah imam hendaklah meniatkan di dalam hati menjadi imam. Namun jika ia tidak berniat menjadi imam, sah solatnya dan sah solat makmum di belakangnya kerana menurut ulamak tidak wajib imam berniat menjadi imam, akan tetapi tanpa niat tersebut ia tidak akan mendapat pahala solat berjamaah. Kesimpulannya, niat menjadi imam tidak wajib, namun untuk mendapat pahala solat berjamaah niat itu adalah perlu.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. al-Wajiz, Dr. Abdul-Aziem Badawi, hlm. 138.
2. Fiqh al-‘Ibadat, Syeikh Hasan Ayyub, hlm. 251.

Tiada ulasan: