Sahabat Ilmu

Khamis, 5 November 2009

AKHLAK???!!

Akhlak yang mulia adalah menjadi matlamat asasi bagi risalah Islam. Ini telah dinyatakan oleh Rasulullah saw dalam hadithnya :

"إنما بعثت لأتمم مكارم الأخلاق"

"Sesungguhnya aku diutuskan hanyalah untuk mnyempurnakan akhlak manusia"(Hadith sohih yang diriwayatkan oleh Malik, Ahmad, Hakim, At-Tabarani dan Bukhari dalam "Al-Adab Al-Mufrad" daripada Abu Hurairah)

Firman Allah swt yang bermaksud :"Orang-orang yang kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh membuat yang maaruf, dan mencegah dari perbuatan yang mungkar dan kepada Allah kembali segala urusan"(Al-Hajj: 41)

Akhlak yang mulia adalah tanda dan hasil daripada iman yang sebenar. Tidak ada nilai bagi iman yang tidak disertai akhlak. Inilah yang dibayangkan oleh Rasulullah saw dalam sabdanya sewaktu beliau ditanya "Apakah Deen itu?" beliau menjawab dengan sabdanya :

"حسن الخلق"-akhlak yang terpuji

Baginda juga pernah ditanya "Apakah kecelakaan itu?" Baginda menjawab dengan sabdanya :

"سوء الخلق"-akhlak yang buruk

Akhlak juga merupakan amalan yang paling berat yang diletakkan dalam neraca timbangan bagi setiap hamba di hari pembalasan kelak. Sesiapa yang rosak akhlaknya dan buruk amalannya tidak akan dipercepatkan hisab.

Rasulullah saw telah bersabda :" Tidak ada satu perkara paling berat yang diletakkan dalam neraca hamba pada hari kiamat kelak lebih dari akhlak yang mulia "(Hadith riwayat Abu Daud dan Tirmizi daripada Abu Darda- Hadith Hassan Sohih)
Dalam Islam akhlak merupakan intipati bagi segala ibadah. Tanpa akhlak ibadah hanyalah merupakan adat resam dan gerak laku yang tidak mempunyai nilai dan faedah. Berhubung dengan solat umpamanya Allah swt berfirman :

"إن الصلوة تنهى عن الفحشاء والمنكر"
"Sesungguhnya solat itu mencegah dari perkara jahat dan mungkar "(Al-Ankabut :45)

Rasulullah saw bersabda :
" Sesiapa yang tidak dapat dihalang oleh solatnya daripada melakukan perkara jahat dan mungkar, beliau adalah bertambah jauh dari Allah swt"

Oleh yang demikian, kita selaku generasi pewaris para An-biya' seharusnya memastikan akhlak yang ada pada diri kita merupakan akhlak seorang muslim yang sejati. Sepertimana apa yang telah digariskan oleh Ustaz Fathi yakan dalam kitabnya :-Bersifat warak dari melakukan perkara-perkara syubha.

Kita perlu menjauhkan diri kita dari perkara-perkara yang meragukan akan halal dan haramnya supaya tidak terjebak dengan perkara syubha. Rasulullah saw telah bersabda " Barangsiapa yang menjauhi syubha bererti beliau telah membersihkan agamanya dan kehormatannya, barangsiapa yang terjatuh ke dalam perkara syubha bererti beliau telah jatuh ke dalam perkara yang haram."

-Menundukkan pandangan. Sentiasa menjaga pandangan dari perkara yang di haramkan oleh Allah swt, kerana dengan pandangan itu akan menimbulkan syahawat dan mendorong manusia ke lembah maksiat dan dosa.

-Memelihara lidah. Lidah perlu dipelihara daripada perkataan yang kotor, dan kalimah-kalimah yang keji. Kerana lidah badan binasa, kerana lidah putus saudara, kerana lidah kita mendapat dosa, dan kerana lidah juga kita mendapat manfaat, kerana lidah kita mendapat pahala. Oleh itu peliharalah lidah dan percakapan dari perkara yang dimurkai oleh Allah swt. Rasulullah saw telah bersabda : "Orang yang beriman itu bukanlah orang yang suka menuduh, suka melaknat, suka bercakap kotor dan keji"

-Malu. Malu adalah cabang daripada Iman. Namun malu kita mestilah bertempat. Malu tidak menghalang kita untuk berkata benar. Dalam hubungan sifat malu ini ulamak telah mengatakan :"Sifat malu pada hakikatnya ialah suatu sifat yang mendorong seseorang meninggalkan perkara yang buruk dan menghalang diri daripada mencuaikan hak orang lain".

-Lemah lembut dan Sabar. Membawa amal islami bukan suatu perkara yang mudah dan ia menuntut kepada kesabaran, kerana dakwah kepada amal islami penuh dengan perkara-perkara yang tidak digemari, memerlukan mujahadah, kesusahan, keperitan penindasan, tuduhan-tuduhan. Semua perkara ini menuntut kepada kita sifat lemah lembut dan bersabar.

-Bersifat benar dan Jujur. Sabda Rasulullah saw :" Sesungguhnya sifat benar itu membawa kepada kebaikan dan kebaikan itu membawa kesyurga dan seseorang itu akan terus bersifat benar sehinggalah beliau ditulis di sisi Allah sebagai orang yang bersifat benar. Sesungguhnya dusta itu membawa kepada kejahatan dan kejahatan itu membawa ke neraka. Seseorang itu akan terus berdusta sehinggalah beliau ditulis di sisi Allah sebagai seorang pendusta". (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

-Tawaduk. Islam tidak menilai pangkat, darjat, kedudukan, dan kekayaan. Tidak ada yang membezakankan manusia itu melainkan ketaqwaan mereka kepada Allah swt. Rasulullah saw sentiasa meminta dijauhkan daripada sifat takabbur dan rasa berbangga diri. Rasulullah saw telah bersabda : "Tidak akan di masukkan syurga orang yang ada di dalam hatinya terdapat sebesar zarrah sifat takabbur " – Hadith riwayat Muslim.
-Menjauhi Perbuatan sangka Buruk, Mengumpat, Menjejak keburukan orang lain. Firman Allah swt yang bermaksud :" Hai orang-orang yang beriman jauhilah kebanyakan prasangka buruk, sesungguhnya sebahagian dari prasangka buruk itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang daripada kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati, maka tentunya kamu merasa jijik dan bertaqwalahh kepada Allah swt, sesungguhnya Allah maha penerima taubat lagi maha penyayang". (Al-Hujurat :12)

-Pemurah. Diantara cara yang dapat mendedahkan kebakhilan seseorang itu ialah dengan caranya membelanjakan wang ringgit. Berapa banyak pangkat dan cita-cita telah runtuh dan hancur kerana kerakusan kepada kebendaan. Kita seharusnya sentiasa bersifat pemurah dan saling menginfakkan harta benda kejalan Allah swt.

-Qudwah Hasanah. Segala tindak tanduk kita mestilah menjadi terjemahan kepada prinsip-prinsip Islam, baik dalam adab tata tertibnya, makannya, minumnya, pertuturannya, pakaiannya, dan mungkin juga seluruh gerak gerinya berlandaskan Islam.Semoga sifat akhlak yang telah digariskan ini kita dapat wujud dan hayati bersama untuk kita jelmakan dalam diri kita dan seterusnya menjadi fardu muslim yang benar-benar berakhlak dengan akhlak islam yang sejati.

Rujukan : kitab Maza Ya'ni Intimai Lil Islam Ust Fathi Yakan

Tiada ulasan: