Sahabat Ilmu

Jumaat, 4 Februari 2011

Salam Mawlid


Bulan kelahiran Junjungan Nabi SAW menjelang lagi. Marilah kita meluangkan masa untuk memperingati baginda teristimewa pula pada saat-saat kelahiran baginda yang membawa rahmat dan nikmat yang tiada tara bagi kita. Lumrah bagi kita untuk menanti-nanti, menunggu-nunggu dan memperingati hari kelahiran diri kita, isteri kita, anak-anak kita, maka di mana celanya jika kita juga memperingati hari kelahiran manusia yang paling utama dan yang paling berjasa terhadap kita melebihi jasa ibu dan ayah kita. Maka amatlah wajar jika kita memberikan perhatian untuk memperingati kelahiran Baginda SAW.

Kita peringati kelahiran baginda, antaranya; dengan muhasabah diri; sejauh mana kita mencintai baginda, sejauh mana kita mengikuti ajaran baginda, sejauh mana kita memuliakan baginda, anak cucu baginda dan segala waris baginda daripada kalangan ulama yang muktabar. Kita peringati kelahiran baginda dengan melakukan berbagai amal kebajikan seumpama bersedekah, berjamu makan, membaca al-Quran, berzikir, bersholawat, berqasidah memuji baginda dan sebagainya. Ingatlah kepada baginda setiap saat dan ketika, kerana baginda itu lebih utama daripada diri kita. Jika terdetik rasa diri yang hina mendahului baginda, itu tanda berkurangnya iman di dada. Hayati firman Allah Tuhan seru sekalian alam dalam surah al-Ahzab ayat 6:
"Nabi Muhammad SAW itu lebih utama bagi orang-orang beriman daripada diri mereka sendiri"
Maka berilah perhatian sewajarnya kepada Junjungan Nabi SAW, wahai mereka-mereka yang mengaku beriman dan umatnya baginda. Telah menulis 'Alim terkemuka, Sayyidul Ulama al-Hijaz, al-'Alim al''Allaamah asy-Syaikh Muhammad Nawawi bin 'Umar bin 'Arabi al-Bantani al-Jawi 'alaihi rahmatul Baari dalam karya beliau : "Fathush Shomad al-'Aalim 'ala Mawlid asy-Syaikh Ahmad bin al-Qaasim" pada halaman 48 sebagai berikut:-
Tanbih: Para ulama telah menyatakan bahawa sudah sewajarnya bagi seseorang untuk menampakkan sikap memperindah dan menghias dirinya dengan memakai pakaian-pakaian bagus pada malam kelahiran baginda Nabi yang mulia,. Ini adalah kerana baginda adalah harapan kita di akhirat nanti (yakni simpanan harapan untuk mendapatkan syafaat nanti). Mudah-mudahan Allah merahmati seseorang yang menjadikan malam-malam pada bulan kelahiran Junjungan Nabi SAW yang berkat ini seumpama hari-hari perayaan (yakni saat - saat yang sentiasa ditunggu-tunggu dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran). Telah berkata Syaikh al-Mudabighi (yakni 'Alim Syafi`i yang tangguh, Syaikh Hasan bin 'Ali bin Ahmad asy-Syafi`i al-Azhari al-Mudabighi alaihi rahmatul Baari): " Memberikan perhatian dan mengambil berat terhadap waktu mawlid Baginda Nabi yang mulia adalah di antara sebesar-besar cara untuk bertaqarrub. Ianya terhasil dengan memberikan makanan (bersedekah), membaca al-Quran dan qasidah-qasidah mengenai Baginda Nabi dan seumpamanya daripada segala sesuatu yang tidak termasuk perkara haram atau makruh ataupun khilaful awla. "

Wajar patut kita bersukacita
Atas kelahiran Nabi yang mulia
Bahkan sekalian alam dan isinya
Dengan penuh kegembiraan menyambut Baginda
Jadi kenapa harus kita berbeza

Hanya Iblis atasnya laknat Tuhan Semesta
Juga pengikutnya daripada jin dan manusia
Bermuram durja bermasam muka
Tika lahir Nabi yang mulia

Dengan siapa hendak kita serupakan diri kita ????

Tiada ulasan: