Sahabat Ilmu

Jumaat, 20 November 2009

KHUTBAH JUMAAT 3 ZULHIJJAH 1430/20 NOV 09

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Maksudnya: "Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan Yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka)". (Maryam 59)

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada diri saya dan tuan-tuan sekalian, marilah kita tingkatkan taqwa kepada Allah s.w.t dengan sebenar-benar taqwa, dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala tegahan-Nya. Mudah-mudahan kita berbahagia di dunia dan di akhirat. Mimbar hari ini akan membicarakan khutbah bertajuk: “ SOLAT PENANDA ARAS KEKUATAN IMAN&AKHLAK ”.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

Allah s.w.t. telah mewajibkan solat fardhu lima kali sehari semalam sebagai jadual Allah untuk memberi peluang kepada manusia mengingati dan tidak melupai-Nya. Apabila kita ingat, bererti kita sentiasa dekat kepada Allah s.w.t. yang memberi jaminan bahawa kita berada dalam zon selamat dan mendapat rahmat daripada-Nya. Kekuatan solat ini akan menentukan kualiti keislaman dan prestasi kecintaan kita kepada Allah serta mengukur pematuhan kita kepada syariat Islam. Kelemahan kita dalam menjaga kualiti solat akan menjerumuskan diri sebagai manusia yang rugi.

Justeru, betapa besar pengaruh solat terhadap kualiti keislaman ini, maka mimbar ingin mengingatkan bahawa solat adalah penanda aras kekuatan agama, akhlak, kunci pintu syurga dan amal yang paling mulia. Tertegaknya solat bermaksud tertegaklah agama, dan terabainya solat adalah meruntuhkan agama. Dengan demikian, kekuatan akar umbi kesungguhan melakukan solat bermula dari rumah. Umat Islam dan jemaah sekalian digalak memulakan amalan solat semasa berumur tujuh tahun. Apabila telah berumur sepuluh tahun, maka menjadi kewajipan ibu bapa atau penjaga menyuruhnya bersolat. Kalau ingkar mengerjakannya, maka diharuskan memukul sehingga perintah ini ditunaikan.Firman Allah s.w.t. dalam surah Thahaa ayat 132:

Maksudnya: “Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan solat, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan kesudahan yang baik adalah bagi orang yang bertakwa.”

Demikianlah tingginya kewajipan seorang muslim terhadap ibadah solat. Solat adalah amanah Allah s.w.t.. Sekiranya kita memelihara solat, nescaya kita sentiasa dipelihara oleh Allah, manakala jika kita mengabaikannya, maka kita tergolong orang yang rugi. Persoalan besar timbul ialah, apakah rahsia di sebalik perintah solat yang begitu kuat ini?. Antara lain, faedahnya ialah untuk kepentingan dan menjamin keselamatan umat manusia itu sendiri.
Firman Allah swt:
Maksudnya: "Dan orang-orang Yang beriman serta beramal soleh Sesungguhnya Kami akan hapuskan dari mereka kesalahan-kesalahan mereka, dan Kami akan membalas apa Yang mereka telah kerjakan - dengan sebaik-baik balasan". (Al-ankabut 7)

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

Solat adalah benteng diri daripada melakukan maksiat dan kemungkaran. Ini bermakna, muslim yang istiqamah solatnya akan menjadi insan berakhlak mulia, hidup dipenuhi amal soleh, bersifat amanah, berintegriti tinggi, dan berjiwa tawadhuk. Walau bagaimanapun berdasarkan pemerhatian mimbar, mereka yang mengabai dan meringan-ringankan pelaksanaan solat ini cenderung menjadi seorang yang rosak akhlak, bergelumang dengan maksiat, kejam, dan mengamalkan sifat keji sehingga mengancam kesejahteraan dirinya dan masyarakat.Firman Allah swt:

Maksudnya: "Bacalah serta Ikutlah (Wahai Muhammad) akan apa Yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan Yang keji dan mungkar; dan Sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa Yang kamu kerjakan" .(al-Ankabut 45)

Imam Ahmad meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:

Maksudnya: “Sesiapa yang menjaga solat, nescaya solat itu menjadi cahaya, pembela, dan penyelamatnya di hari kiamat. Manakala mereka yang tidak menjaganya tidak akan mendapat cahaya, pembela, dan penyelamat. Bahkan mereka akan diletakkan bersama-sama dengan Qarun, Fir’aun, Haman dan Ubay bin Khalaf.” (Sanadnya Jayyid)

Berdasarkan hadith tadi, orang yang meninggalkan solat disebabkan harta akan dihimpun bersama Qarun, jika disebabkan pangkat akan dihimpun bersama Fir’aun, jika disebabkan jawatan akan dihimpun bersama Haman, dan jika disebabkan dunia korporat pula akan dihimpun bersama Ubay bin Khalaf seorang yang cintakan harta dan lupa akhirat. Kesemua watak korup ini boleh menyumbang kepada gejala negatif seperti pecah amanah, salah guna kuasa, pelanggaran kepada perlembagaan dan undang-undang negara, penyalahgunaan dadah, pelacuran, perzinaan, pembuangan bayi, kejadian jenayah, dan perceraian yang semakin meningkat hari ini, disebabkan kegagalan segelintir umat Islam menghayati fungsi solat.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

Mimbar ingin mengingatkan, bahawa melakukan dosa besar bukan sahaja kerana berzina, mencuri, minum arak, menderhakai ibu bapa, tetapi termasuk juga perbuatan mengabai atau meninggalkan solat yang amat dimurkai Allah s.w.t dan sangat dahsyat azabnya di dunia dan di akhirat kelak. Tahukah kita bahawa dosa meninggalkan solat adalah lebih besar daripada dosa minum arak, berzina dan makan daging babi? Tahukah kita apa hukuman seorang yang meninggalkan solat, menurut jumhur ulama? Untuk menimbulkan kesedaran betapa pentingnya solat di dalam Islam, mimbar kemukakan penjelasan berikut:

1.Para ulama Islam, termasuk Imam-Imam Empat Mazhab, bersepakat bahawa sesiapa yang MENGINGKARI KEWAJIPAN solat ke atas setiap muslim aqil baligh, maka dia telah murtad, yakni telah menjadi kafir!

2.Para ulama Islam, termasuk Imam-Imam Empat Mazhab, berbeza pendapat mengenai seorang muslim yang meninggalkan solat kerana MALAS:

a. Pendapat Imam Ahmad bin Hanbal (Mazhab Hanbali), juga pendapat para sahabat nabi –Orang yang meninggalkan solat kerana MALAS juga dihukumkan Kafir, Murtad. Antara dalil mereka: Sabda nabi:

“Perjanjian (yang membezakan) kita dan mereka (orang-orang musyrikin) adalah solat, sesiapa meninggalkannya maka dia telah kafir.” [Ahmad, Tirmizi, Abu Daud dll]

Seorang tabi’in bernama Abdullah bin Syaqiq rahimahullahu pula berkata:

“Adalah para sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam tidak memandang adanya sesuatu dari amalan-amalan yang bila ditinggalkan dapat mengkafirkan pelakunya kecuali amalan solat.” [At-Tirmizi]

b. Pendapat Imam Shafie (Mazhab Shafie), Malik (Mazhab Maliki) dan Abu Hanifah (Mazhab Hanafi)- Orang yg mninggalkan solat tidak kafir atau murtad ttpi tergolong dalam dosa yang paling besar– . Antara dalil mereka: Firman Allah:

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua), dan akan mengampunkan dosa Yang lain dari itu bagi sesiapa Yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). dan sesiapa Yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu Yang lain), maka Sesungguhnya ia telah melakukan dosa Yang besar". (An-Nisa’ 48)

3) Para ulama Islam, termasuk Imam-Imam Empat Mazhab, berbeza pendapat mengenai hukuman seorang muslim yang meninggalkan solat kerana MALAS:

a.Mazhab Hanbali–Hukuman bunuh kerana telah murtad
b.Mazhab Shafie dan Maliki – Hukuman bunuh, tetapi bukan kerana murtad
c.Mazhab Hanafi – Hukuman penjara dan dipukul sehingga keluar darah, sampai dia mula bersolat.

Bayangkan kita berada di dalam sebuah negara Islam (Khilafah Islamiyah), dan kita meninggalkan solat kerana malas, maka hukumannya bunuh, menurut jumhur ulama! Betapa besarnya dosa meninggalkan solat ini sehinggakan hukumannya sedemikan! Dengan hukumannya sedemikian rupa, dan hampirnya ia kepada kekufuran, tidak syak lagi dosanya lebih berat daripada makan daging babi dan minum arak!

Hal ini juga telah dijelaskan oleh Nabi s.a.w. dalam salah satu gambaran azab sewaktu peristiwa Israk dan Mikraj di mana orang yang meninggalkan solat memukul kepalanya sehingga hancur berulang-ulang kali. Selain itu, Allah s.w.t. akan mencampakkan golongan ini ke dalam neraka Saqar. Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Muddaththir ayat 42-43:

Maksudnya: (setelah melihat orang-orang Yang bersalah itu, mereka berkata): "Apakah Yang menyebabkan kamu masuk ke Dalam (neraka) Saqar?"Orang-orang Yang bersalah itu menjawab: "Kami tidak termasuk Dalam kumpulan orang-orang Yang mengerjakan sembahyang;

Sekiranya kita dimurkai oleh Allah s.w.t., siapakah lagi yang boleh kita harapkan untuk menyelamatkan kita di akhirat kelak?. Lupakah kita tentang ingatan/wasiat Rasulullah s.a.w. supaya tidak mengabaikan solat di saat akhir hayat baginda?. Begitu juga kisah betapa ambil beratnya Saidina ‘Umar bin al-Khattab tentang solat walaupun dalam keadaan tidak sihat akibat ditikam oleh Abu Lu’lu’ah al-Majusi, tetapi apabila mendengar seruan solat!solat, beliau segera bangun mendirikannya.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

Sempena Kedatangan Bulan Zulhijjah yang diisytiharkan Oleh Jabatan Agama Islam Selangor sebagai Bulan Solat Negeri Selangor, maka mimbar ingin bertanya, apakah peranan para jemaah dan umat Islam sekalian dalam usaha menjadikan kekuatan solat itu sebagai penanda aras kekuatan kualiti beragama?. Mimbar menyeru ketua-ketua jabatan, majikan-majikan, pemimpin2 masyarakat, pekerja2, ibu bapa sekalian dan seluruh umat Islam supaya mengambilberat tentang kewajipan bersolat terhadap orang jagaan kita. Jangan bersifat lepas tangan. Sumbangan kita menggalakkan solat atau menyediakan kemudahan tempat solat yang selesa adalah dianggap sebagai langkah mendekati Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t. dalam surah at-Taubah ayat 71:

Maksudnya: “Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat baik, melarang daripada berbuat kejahatan; mereka mendirikan solat dan memberi zakat, serta ta'at kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ
العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْ

(Disediakan dan di sampaikan oleh IBNU MUSLIM di Surau al-Ikhlas (Surau Jumaat) Bandar Sg Buaya Rawang)

Tiada ulasan: