Sahabat Ilmu

Rabu, 11 November 2009

HUKUM BINAAN DI ATAS KUBUR

CONTOH BINAAN YG DIHARAMKAN OLEH SYARIAT (GAMBAR HIASAN)

الحمد لله وحده ، والصلاة والسلام على من لا نبي بعده ، سيدنا محمد بن عبد الله وعلى آله وأصحابه ومن اتبعه هديه ورشده ، أما بعد
Perlu diketahui bahawa tanah perkuburan orang Islam itu ada tiga jenis:

1. Tanah perkuburan yang diwaqafkan bagi tujuan Perkuburan orang Islam. Hukumnya tidak boleh digunakan bagi tujuan-tujuan lain selain daripada mengebumikan mayat orang Islam, sama ada telah hancur luluh tulang dan anggota-anggota mayat atau sebaliknya.

2. Tanah perkuburan yang dinamakan musabbalah iaitu tanah yang biasa digunakan untuk mengebumikan mayat di tempat tersebut oleh penduduk-penduduk di kawasan itu, sekalipun tidak diketahui asal puncanya dan tidak diketahui orang yang mensabilkannya. Maka tanah tersebut tidak boleh digunakan selain untuk mengebumikan mayat orang Islam. Walau bagaimanapun menurut pengarang Hasyiyah at-Tuhfah, boleh digunakan tanah tersebut selain menegbumikan mayat jika tulang-tulang dan suku-suku anggota mayat yang dikubur di situ telah hancur luluh, dan tanah itu digunakan lagi untuk menegbumikan mayat oleh penduduk-penduduk di kawasan itu pada masa sekarang dan berazam tidak akan mengebumikan mayat di tanah itu pada masa akan datang.

3. Tanah mawat iaitu tanah yang bukan kebiasaannya digunakan untuk mengebumikan mayat di tanah tersebut, tanah yang dimiliki oleh seseorang atau tanah yang dipinjam untuk mengebumikan mayat di tempat tersebut. Apabila ditanam mayat pada salah satu daripada tempat-tempat yang disebutkan itu, maka harus digali kubur itu apabila telah hancur luluh segala tulang dan suku-sukunya, serta harus digunakan semula tanah itu kerana tujuan-tujuan yang lain seperti bertani, dibuat jalan atau didirikan rumah, dalam makna yang lain tanah itu tidak lagi dinamakan tanah perkuburan.

Di Negara Malaysia tanah-tanah perkuburan orang-orang Islam disediakan oleh pihak Kerajaan @ tanah yang diwaqafkan (kubur awam). Tanah-tanah perkuburan seperti ini dipanggil tanah perkuburan awam atau disebut juga kubur musabbalah.

Adalah dimaklumi keprihatinan ahli-ahli waris si mati menghias dan memperelokkan kubur-kubur keluarga masing-masing dengan menambak kubur-kubur dengan batu atau simen sama ada berbentuk kekal atau sementara (tambak itu boleh dibuka pada bila-bila masa dikehendaki). Selain menambak kubur, ada juga ahli waris membuat tembok kecil daripada batu mengelilingi kubur bagi kemudahan ahli keluarga dan waris si mati untuk duduk ketika menziarahi kubur.

Hukum Mendirikan Sebarang Binaan Di Atas Tanah Perkuburan Seperti Tambak Menurut Mazhab Syafie

Dalam hal ini Imam an-Nawawi Rahimahullah dalam kitabnya Minhaj ath-Thalibin ada berkata:

يكره تجصيص القبر والبناء والكتابة عليه ، ولو بني فى مقبرة مسبلة هدم

Ertinya: Makruh memplaster (campuran kapur, pasir dan air yang menjadi keras apabila kering untuk melapis dinding) kubur, membina (sesuatu binaan di tanah milik persendirian bukan di tanah prkuburan awam) dan membuat tulisan (selain nama bagi tujuan pengenalan) di atas kubur. Jika dibina (sesuatu binaan) di perkuburan orang awam (musabbalah) hendaklah dirobohkan. (Minhaj ath-Thalibin: 1/360)

Dalam kitab al-majmu’, an-Nawawi Rahimahullah dengan jelas mengatakan:

قال أصحابنا رحمهم الله : ولا فرق فى البناء بين أن يبنى قبة أو بيتا أو غيرهما ، ثم ينظر فإن كانت مقبرة مسبلة حرم عليه ذلك ، قال أصحابنا ويهدم هذا البناء بلا خلاف... وإن كان القبر فى ملكه جاز بناء ما شاء مع الكراهة ولا يهدم عليه
Ertinya: Sahabat-sahabat kami Rahimahumullah berkata: “Tidak ada beza dalam membina binaan itu di antara membina kubah atau rumah atau selain keduanya. Kemudian hendaklah diperhatikan, jika tanah perkuburan itu adalah perkuburan musabbalah (tanah perkuburan orang awam) adalah haram ke atasnya berbuat sedemikian: Sahabat-sahabat kami berkata (lagi): “Dan hendaklah dirobohkan binaan tersebut tanpa ada pertikaian (para sahabat-sahabat kami)…(Tetapi) jika sekiranya tanah perkuburan itu miliknya sendiri (maka) adalah harus dia membina apa-apa binaan dengan dihukumkan makruh dan tidak dirobohkan (binaan itu).” (Al-Majmu’: 5/260)

Al-‘Allamah asy-Syeikh Ibrahim al-Baijuri Rahimahullah pula berkata:

فيكره البناء عليه إن كان في غير نحو المقبرة المسبلة للدفن فيها وإلا حرم سواء كان فوق الأرض أو في باطنها ، فيجب على الحاكم هدم جميع الأبنية التي في القرافة المسبلة للدفن فيها وهي التى جرت عادة أهل البلد بالفن فيها لأنه يضيق على الناس ، ولا فرق بين أن يكون البناء قبة أو بيتا أو مسجدا أو غير ذلك ، ومنه الأحجار المعروفة بالتركيبة ، نعم استثناها بعضهم للأنبياء والشهداء والصالحين ونحوهم.

Ertinya: Maka adalah dimakruhkan (membina) binaan di atas kubur jika (binaan itu) bukan di seumpama tanah perkuburan orang awam mengebumikan mayat. Jika tidak, (jika binaan itu di seumpama tanah perkuburan orang awam) adalah haram (hukumnya) sama ada (binaan itu) di atas tanah atau di dalam tanah. (Oleh itu) adalah wajib ke atas pemerintah meroboh segala binaan-binaan yang terdapat di tanah perkuburan musabbalah bagi tujuan pengebumian mayat iaitu tanah perkuburan yang telah menjadi kebiasaan penduduk suatu negeri mengebumikan mayat, kerna ianya menyempitkan ke atas manusia (yang lain); dan (pengharaman itu) tidak ada beza di antara binaan yang berbentuk kubah atau rumah atau masjid atau selainnya yang di antaranya ialah susunan batu-batu yang biasa diketahui (tambak daripada batu atau simen yang membentengi atau yang melingkungi kubur); (kecuali) apa yang dikecualikan oleh sebahagian ulama seperti kubur para nabi, syuhada’, orang-orang salih dan seumpama mereka. (Hasyiyah al-Baijuri ‘ala Ibn Qasim: 1/381)

Al-Malibari Rahimahullah juga berkata:

(وكره بناء له) أي للقبر ، (أو عليه) لصحة النهي عنه بلا حاجة كخوف نبش أو حفر سبع أو هدم سيل. ومحل كراهة البناء إذا كان بملكه. فإن كان بناء نفس القبر بغير الحاجة مما مر أو نحو قبة عليه بمسبلة وهى ما اعتاده أهل البلد الدفن فيها ، عرف أصلها ومسبلها أم لا ، أو موقوفة حرم وهدم وجوبا لأنه يتأبد بعد انمحاق الميت ، ففيه تضييق على المسلمين بما لا غرض فيه.

Ertinya: Dan dimakruhkan membina binaan baginya iaitu bagi (di dalam) kubur atau di atas kubur tanpa sesuatu hajat keperluan seperti takut digali (oleh pencuri) atau digali oleh binatang atau runtuh kerana banjir, kerana ada hadits shahih yang melarangnya. Dan hukum makruh membina yang sedemikian itu ialah jika tanah perkuburan itu adalah miliknya sendiri. Jika binaan di tanah perkuburan itu (dibina) tanpa hajat keperluan seperti mana yang telah lepas (disebutkan) atau binaan seumpama kubah di atas kubur itu (dibina) di tanah perkuburan musabbalah iaitu tanah perkuburan yang sudah biasa penduduk suatu negeri itu mengebumikan mayat atau di tanah perkuburan waqaf (sama ada) diketahui asalnya (kedudukan tanah itu di mana sebelumnya ianya adalah tanah persendirian kemudian orang yang memilikinya menjadikannya sebagai tanah perkuburan awam atau sebelumnya ia adalah tanah mawat kemudian dijadikan sebagai tanah perkuburan awam) dan diketahui orang yang mewaqafkannya atau pun tidak diketahui, (maka) ia adalah haram dan wajib dirobohkan, kerana binaan itu akan kekal setelah mayat hancur luluh. Binaan itu juga akan menyempitkan tanah perkuburan orang Islam dengan tiada sebarang keperluan di sisi syara’. ( I’anah ath-Thalibin: 2/188-189)

Untuk lebih jelas, huraiannya adalah seperti berikut:

1. Jika tanah perkuburan itu adalah tanah perkuburan orang awam (musabbalah) atau tanah perkuburan waqaf, maka adalah haram didirikan sebarang binaan di atasnya dan juga di dalam tanahnya, sama ada berupa atap, kubah rumah, masjid atau lainnya seperti tambak (dibentangi atau dilingkungi dengan batu atau simen di sekelilingnya kubur berkenaan).

2. Jika tanah perkuburan itu adalah tanah milik khas persendirian, maka adalah makruh sahaja didirikan sebarang binaan di atas atau di dalam kubur berkenaan.

Hukum haram mendirikan sebarang binaan yang tersebut di atas adalah berdasarkan kepada hadits Jabir Radhiallahu ‘anhu katanya:

نهى رسول الله صلى الله عليه وسلم أن يجصص القبر وأن يقعد عليه وأن يبنى عليه
(رواه مسلم)

Maksudnya: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam menegah daripada diplaster kubur dan diduduki di atasnya serta dibina binaan di atasnya.
(Hadits riwayat Muslim)

Tetapi jika tanah perkuburan itu berada di kaki bukit atau di tanah curam yang ditakuti tanah-tanahnya itu runtuh, maka boleh didirikan binaan seperti sekatan tembok umpamanya bagi menghalang daripada terjadinya tanah susur atau runtuh. Perbuatan seumpama ini adalah dibolehkan bagi menjaga mashlahat tanah-tanah kubur itu.

Tujuan Larangan

Larangan atau tegahan menambak kubur ini ialah kerana ia akan menyempitkan tanah perkuburan tanpa ada sebarang mashlahat dan tujuan yang syar’i, sedangkan orang-orang Islam yang lain juga adalah berhak menggunakan kubur berkenaan. Hal ini diperkuatkan lagi dengan perbuatan Sayyidina ‘Umar bin al-Khaththab Radhiallahu ‘anhu iaitu selepas baginda melihat satu kubur yang dibina kubah di atasnya. Maka baginda merobohkannya lalu berkata: “Kamu biarkanlah mayat itu dilindungi oleh amal ibadatnya sendiri.” (Bujairimi ‘ala al-Khathib: 2/371-372)

Kedudukan Binaan-binaan Yang Terdapat Di tanah perkuburan Awam

Menurut Imam an-Nawawi, al-Malibari, al-Baijuri Rahimahumullah berhubung dengan binaan-binaan yang terdapat di tanah perkuburan awam, pihak pemerintah mempunyai hak untuk merobohkannya, malah wajib ke atas pemerintah untuk merobohkannya sebagaimana yang terkandung di dalam nash-nash yang telah disebutkan.

Walau bagaimanapun sebagai jalan penyelesaian, perkara ini memerlukan kepada kebijaksanaan pihak-pihak yang berkenaan dalam mengambil tindakan seperti:

1. Langkah-langkah awal untuk memberi kefahaman kepada orang ramai mengenainya hendaklah dibuat dan dijadikan keutamaan seperti pemberitahuan melalui papan-papan tanda di tanah perkuburan, pemberitahuan melalui khutbah Jumaat dan media massa akan keharaman membina sebarang binaan di tanah perkuburan awam sebelum apa-apa tindakan.

2. Mewartakan fatwa-fatwa mengenai pembinaan sebarang binaan di tanah perkuburan awam dan seterusnya mengadakan peruntukan undang-undang bagi tujuan penguatkuasaan.

3. Menguatkan dari segi pentadbiran dan pengawasan oleh pihak berwajib di semua perkuburan orang Islam di Negara ini secara waktu pejabat atau apa-apa jua cara munasabah, di mana jika ini dibuat, tidak akan mungkin binaan-binaan yang berupa rumah atau tambak dan lain-lain itu akan tumbuh, padahal fatwa mengenai hukum membina bangunan atau rumah atau tambak seperti itu sudah pun lama ada – sebelum ini – dapat menolong menjadi garis pandu.

والله أعلم بالصواب

Tiada ulasan: