Sahabat Ilmu

Selasa, 3 November 2009

Islam garis kaedah, panduan tangani isteri nusyuz

Suami sebagai pelindung keluarga diberi kekuatan akal perlu bertindak bijaksana

KEBELAKANGAN ini banyak berlaku kejadian isteri derhaka dan tidak mentaati suami (nusyuz). Ia bukan saja berlaku kepada rakan saya, malah juga saudara mara saya sendiri. Saya khuatir jika ia merebak pula kepada isteri saya. Apakah sebenarnya punca nusyuz, adakah disebabkan suami atau isteri. Jika ia berlaku, sebagai suami apa yang patut saya lakukan? Benarkan nusyuz akan memberi kesan kepada nafkah, mutaah dan harta sepencarian isteri, jika berlaku perceraian.

Suami Risau,
Kampung Pandan, Kuala Lumpur.

NUSYUZ membawa erti derhaka ataupun ingkar kepada perintah suami pada perkara yang sah di sisi syarak untuk melakukannya. Nusyuz mungkin berpunca daripada isteri, suami atau faktor luaran.

Sikap ego isteri yang mempunyai kelebihan dari segi kecantikan paras, kelulusan tinggi, kekayaan ataupun pangkat dan kedudukan lebih tinggi daripada suami, ketidakmampuan dan kegagalan suami menyediakan perkara yang dikehendaki isteri boleh menyebabkan isteri derhaka kepada suami. Isteri yang berpangkat dan berjawatan lebih tinggi daripada suami, mungkin tidak menghormati arahan suami, meninggikan suara apabila tidak bersetuju dan sebagainya.

Nusyuz juga berpunca daripada suami bengis, panas baran dan sentiasa mencari kesalahan isteri. Isteri tertekan, cuba melepaskan diri sehingga berlakulah kejadian keluar dari rumah tanpa izin, bersikap dingin ketika melayani suami, selalu bermasam muka dan seumpamanya.

Suami bersifat bakhil yang tidak melengkapi keperluan rumah tangga dengan sempurna walhal mempunyai harta yang banyak, juga berkemungkinan menjadi punca nusyuz.

Nusyuz boleh berlaku akibat sikap suami berpoligami tetapi tidak berlaku adil di antara isterinya. Isteri yang menjadi mangsa ketidakadilan mencari jalan keluar yang salah dengan melakukan hubungan sulit dengan lelaki lain, keluar rumah tanpa keizinan suami, bekerja di tempat maksiat dan sebagainya. Nusyuz juga mungkin berpunca daripada suami yang mengadakan hubungan dengan perempuan lain, tidak memberikan nafkah sara diri kepada isteri dan anak-anak, memperkecil-kecilkan kebolehan isteri dan menghina keturunan isteri.

Nusyuz juga boleh berpunca kerana pengaruh luar seperti hasutan mentua yang tidak merestui perkahwinan mereka, umpatan dan fitnah daripada jiran, rakan dan pengaruh masa.

Walau apa pun situasi dan puncanya, Islam menggalakkan pihak yang menghadapi masalah ini tidak mengambil jalan singkat sehingga boleh merosakkan diri, anak dan keluarga. Pihak perlu banyak bersabar dan membawa masalah yang dihadapinya itu kepada pihak yang boleh menyelesaikan masalah mereka.

Suami sebagai ‘raa’in’ (pemimpin), yang diberi kekuatan akal dan jiwa, sebagai pelindung keluarga mestilah bertindak bijaksana dan berhikmah. Islam menggariskan kaedah menangani isteri nusyuz dengan dimulai oleh kaedah menasihati isteri, jika tidak berjaya dipulaukan isteri (mengasingkan diri dari tempat tidur isteri), jika tidak berjaya juga seterusnya dengan memukul isteri dengan pukulan pengajaran yang tidak mencederakan. Kemudian dengan pelantikan orang tengah, dan akhirnya perceraian adalah jalan terakhir.

Punca nusyuz haruslah diselidiki dan dikenal pasti suami, sebelum menasihati isteri dengan cara yang baik dan penuh bijaksana. Wanita digambarkan Rasulullah dalam hadis Baginda ibarat sebatang tulang bengkok. Sekiranya dibetulkan dengan kuat, maka ia akan patah.

Selepas kaedah pertama menemui jalan buntu, maka suami boleh menggunakan kaedah pemulauan atau meninggalkan isteri dari tempat tidurnya. Tempoh masa bagi pemulauan ini ialah selama tiga hari berdasarkan kepada kiasan tindakan yang dilakukan oleh Rasulullah terhadap isteri Baginda Sayyidatina Safiah apabila Baginda marah terhadapnya. Apabila isteri mula sedar dan insaf, maka suami hendaklah menerimanya kembali serta menggaulinya dengan cara baik.

Kaedah memukul dua kaedah yang dinyatakan di atas tidak berjaya. Namun begitu, terdapat syarat perlu dipatuhi, iaitu suami hendaklah yakin dan nyata isteri menderhaka menurut kehendak syarak. Suami juga hendaklah memastikan pukulan itu tidak melukakan atau mencederakan dan tidak boleh dibuat di tempat yang berbahaya seperti muka dan dada serta tidak menggunakan alat yang boleh mencederakan. Pukul adalah untuk tujuan pengajaran, bukan penganiayaan.

Selepas dilaksanakan keseluruhan kaedah dianjurkan tetapi masih menemui jalan buntu, suami hendaklah menyerahkan urusan ini wakil dari keluarga pihak isteri dan wakil dari pihak suami.

Suami yang tidak memilih perceraian, berhak memohon kepada Mahkamah Syariah untuk mensabitkan isterinya nusyuz dan memohon perintah supaya isterinya kembali taat kepadanya. Sub-Seksyen 59 (2) Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan menyatakan antara sebab boleh disabitkan nusyuz ialah apabila isteri menjauhkan dirinya dari suaminya; meninggalkan rumah suaminya bertentangan dengan kemahuan suaminya; atau enggan berpindah bersama suaminya ke satu rumah atau tempat lain.

Sekiranya isteri disabitkan dengan kesalahan nusyuz oleh mahkamah, maka ia memberi kesan terhadap nafkah sepatutnya diperoleh sama ada dalam tempoh perkahwinan ataupun selepas perceraian, sebagai mana diperuntukkan di dalam seksyen 59 (1) Akta yang sama bahawa : “Tertakluk kepada Hukum Syara’ dan pengesahan mahkamah , seseorang isteri tidaklah berhak mendapatkan nafkah apabila ia nusyuz atau enggan dengan tidak berpatutan menurut kemahuan atau perintah sah suaminya?” Pensabitan nusyuz tidak memberi kesan kepada tuntutan mutaah atau harta sepencarian.

Isteri yang disabitkan nusyuz masih boleh menggugurkan sabitan iaitu dengan cara membuktikan kepada mahkamah beliau insaf dan bertaubat kembali mentaati suami sebagai mana sebelumnya. Di dalam ceraian (3) Seksyen tersebut “Selepas sahaja isteri itu bertaubat dan menurut kemahuan dan perintah sah suaminya, maka isteri itu tidaklah lagi menjadi nusyuz.”

Jawapan disediakan Setiausaha Agong Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang. Sila layari http://www.peguam syarie.org.

Tiada ulasan: