Sahabat Ilmu

Isnin, 24 Januari 2011

Tazkirah - Pesan Taqwa untuk Pemerintah.

SUMBER: HELANG KEDAH

Wahai Amirul Mukminin!

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesiapa sahaja dalam kalangan pemerintah, apabila mati dalam keadaan menipu rakyatnya, nescaya diharamkan syurga untuknya.”



  Wahai Amirul Mukminin!

Sesiapa yang benci kepada kebenaran, sesungguhnya ia benci kepada Allah kerana sesungguhnya Allah itu benar lagi membenarkan.

Hendaklah tuanku tegakkan kebenaran dan keadilan ke atas rakyat. Tutuplah aurat (keaiban) mereka. Janganlah dikunci pintu rumah tuanku atau mengadakan hijab (penghalang) antara tuanku dengan mereka. Hendaklah tuanku bergembira dengan nikmat yang mereka terima dan bersimpatilah dengan musibah yang menimpa mereka.

Wahai Amirul Mukminin!

Urwah bin Ruwain berkata: ”Pernah Rasulullah s.a.w. memiliki pelepah kurma yang digunakan untuk bersugi sehingga menakutkan kaum munafik. Kemudian turunlah jibril bertanya: ’Hai Muhammad! Apakah pelepah kurma ini engkau gunakan untuk menghancurkan atau menakutkan hati umatmu?’.”

Wahai Amirul Mukminin!

Relakanlah dirimu dengan dirimu! Dan carilah keamanan daripada Tuhanmu! Gemarlah kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi. Ingatlah sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: ”Sesungguhnya tempat letak panah yang dimiliki oleh ahli syurga itu lebih baik daripada dunia dan seisinya.” (Riwayat al-Tabarani no.6134)

Wahai Amirul Mukminin!

Sesungguhnya jika sesebuah kerajaan yang sebelummu itu kekal, nescaya ia tidak akan sampai kepadamu. Begitu jugalah, ia tidak akan kekal ditanganmu atau sesiapa sahaja.

Wahai Amirul Mukminin!

Ingatlah kata-kata Umar al-Khattab: ’Jika mati anak kambing di tepi sungai Furat (Iraq), nescaya aku takut akan dipertanggungjawabkan  mengenainya diakhirat kelak! Maka bagaimana pula halnya dengan rakyatmu yang tidak beroleh keadilan daripadamu sedangkan ia sangat hampir denganmu?”

Wahai Amirul Mukminin!

Allah s.w.t. telah berfirman yang bermaksud: ” Hai Daud! Sesungguhnya Kami jadikan engkau khalifah di muka bumi. Sebab itu putuskanlah sesuatu perkara antara rakyatmu dengan kebenaran. Janganlah engkau turut kemahuan nafsumu, nanti engkau akan disesatkan dari jalan Allah.” ( Surah Sad 38:26)

Wahai Amirul Mukminin!

Rasulullah bersabda yang bermaksud: ” Setiap pemerintah akan dibawa pada hari kiamat dengan tangannya dirantaikan ke leher. Ia hanya dapat dibuka oleh keadilannya. Ia diberhentikan di atas titian sirat di atas neraka yang akan bergerak dengan satu gerakan yang akan menghilangkan seluruh anggota dari badan. Kemudian ia dikembalikan. Lalu dihitung  amalannya. Kalau ia dahulu berbuat baik, nescaya ia terlepas dengan kebaikannya. Kalau ia dahulu berbuat jahat, nescaya pecahlah titian itu, lalu ia terhumban ke dalam neraka tujuh puluh kharif (jarak masa setahun).”

Wahai Amirul Mukminin!

Umar r.a. berkata: ” Amir (pemerintah) itu ada empat jenis:

1.                  Amir yang kuat yang dapat mengawal diri dan pegawai-pegawainya. Ia seperti mujahid ( orang yang berjihad ).

2.                  Amir yang kuat yang dapat mengawal dirinya sendiri sahaja dan tidak pegawai-pegawainya. Dia berada ditepi jurang kebinasaan, kecuali Allah menurunkan rahmat keatasnya.

3.                  Amir yang dapat mencegah pegawai-pegawainya membiarkan dirinya mengikut hawa nafsu. Ia berada dalam keadaan yang membahayakan sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: ’Pengembala yang terjahat  itu bahaya yang menghancurkan. Dia itu binasa sendiri.’

4.                  Amir yang membiarkan dirinya dan pegawai-pegawainya menurut hawa nafsu. Mereka kesemuanya akan binasa.”

Wahai Amirul Mukminin!

Umar al-Khattab telah berdoa: ”Wahai Tuhanku! Sekiranya menurut ilmu-Mu, aku akan terpengaruh apabila dua rakyatku dihadapkan kepadaku, kepada yang miring daripada kebenaran, baik yang dekat atau jauh, maka janganlah Engkau biarkan aku walaupun sekelip mata.”

Wahai Amirul Mukminin!

Sesungguhnya yang paling berat ialah berdiri tegak untuk menegakkan kebenaran kerana Allah. Yang paling mulia di sisi Allah ialah taqwa. Sesiapa yang mencari kemuliaan dengan mentaati Allah, nescaya ia akan diangkat dan dimuliakan oleh Allah, sesiapa yang mencari kemuliaaan dengan membuat maksiat kepada Allah, nescaya ia akan dihina dan direndahkan oleh Allah.
 

( Surat ini ditulis dan diutuskan oleh Imam al-Auza’I kepada Khalifah al-Mansur, pemerintah Abbasiyyah )

Tiada ulasan: