Sahabat Ilmu

Sabtu, 22 Januari 2011

Rahsia Rasulullah saw Mendidik Para Sahabat r.ahum

Umum telah mengetahui kisah Bilal bin Rabah r.a. Beliau sanggup dijemur dibawah kepanasan cahaya matahari selama berhari-hari tanpa sebarang makan dan minum. Bukan setakat dijemur, malahan diikat, dan terpaksa menanggung batu yang berat di atas badannya. Bilal tidak memanggil-manggil Rasulullah saw supaya memberikan pertolongan kepadanya. Bahkan, dia hanya menyebutkan, “Ahad, ahad, ahad”

Penderitaan Khabab r.a juga tidak kurang hebatnya. Beliau telah dibaringkan di atas bara api kerana menyatakan imannya kepada Allah dan Rasul. Sehinggakan nanah, peluh & darah yang mengalir keluar daripada tubuhnya, telah dapat memadamkan bara api yang dinyalakan. MasyaaAllah!

Begitu juga dengan kisah Yasir r.a  & Sumayyah r.aha yang telah disiksa sehingga mereka syahid kerana mempertahankan iman mereka. Dan banyak lagi kisah-kisah lain yang mungkin juga kita tidak tahu akan kewujudannya.

Mendengar cerita seperti itu pada hari ini, kita berasa sangat pelik. Bagaimana mereka sanggup menahan beban kesakitan yang sangat dahsyat??Sedangkan kita pada hari ini, baru sahaja diduga dengan ujian yang sedikit sudah tidak mampu untuk menahannya. Pelik tetapi benar. Apakah yang telah menyebabkan fizikal mereka terlalu kuat untuk menahan penderitaan ini? Mengapa mereka sanggup disalai, dipukul, disula sedangkan mereka boleh sahaja berpura-pura tidak beriman kepada Allah dan Rasulnya?

Jelas sekali bahawa, kekuatan rohani  telah menguatkan semangat  mereka untuk menghadapi situasi seperti itu. Cinta mereka terhadap Allah swt dan Rasul saw yang meluap-luap tidak dapat dipertikaikan lagi. Kerana cinta yang sangat mendalam ini, mereka sanggup berkorban apa sahaja, hatta kan nyawa mereka sendiri. Keyakinan mereka terhadap janji-janji Allah swt, menjadikan iman mereka tidak dapat dicalari walau sedikit pun.

Inilah rahsia pendidikan Rasulullah saw kepada para sahabat r.ahum. Rasulullah saw telah mengajarkan mereka tentang IMAN terlebih dahulu. Rasulullah saw telah mengajarkan bahawa, Allah lah yang Maha Berkuasa. Semua berhala-berhala yang terdapat di Kaabah pada masa itu tidak dapat berbuat apa-apa.
Allah lah yang menciptakan semua makhluk di dunia ini. Dia bukan sahaja mencipta, malah Dia juga memelihara semua keperluan makhluknya di atas muka bumi. Allah lah yang memberikan kita rezeki. Bukan sahaja manusia, malah Allah menjaga rezeki untuk semua makhluk termasuk haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Tiada satu makhluk pun di dunia ini, yang dapat melakukan tugas ini. Bahkan Allah lah yang Maha Berkuasa.
Maka tidak hairanlah, tatkala Rasulullah saw membentangkan perintah-perintah Allah swt, para sahabat r.ahum telah menerimanya dengan hati yang terbuka. Tanpa berlengah lagi, mereka akan terus (immediately) menunaikan perintah tersebut. Satu soalan pun tidak diajukan kepada Rasulullah saw, mengapa Allah swt tidak bagi kita buat itu dan ini, atau esok saya akan buat perintah ini. Tidak! Mereka akan terus laksanakan perintah tersebut tanpa sebarang alasan lagi.

Diceritakan bahawa, tatkala perintah larangan minum arak diturunkan oleh Allah swt, sahabat-sahabat r.ahum terus keluar dari masjid dan mencari botol-botol dan tong-tong arak untuk dihapuskan. Diberitakan bahawa, tanah kota Madinah telah dipenuhi dengan arak di sana-sini pada masa itu, kerana mereka bertungkus-lumus memusnahkan arak, sehingga tidak tinggal walau sebotol pun dalam simpanan mereka.

Apabila perintah menutup aurat diturunkan, para wanita terus mengambil apa sahaja kain termasuk kain langsir rumah untuk menutupi aurat mereka. Telah diceritakan dalam sebuah kisah, seorang kanak-kanak telah bertemu dengan seorang wanita yang berjalan-jalan di kota sewaktu ayat tersebut diturunkan. Kanak-kanak itu telah berkata, “tidakkah kamu  tahu kamu bahawa, perintah menutup aurat telah diturunkan. Lantas, wanita itu terus berasa malu, dan menyembunyikan diri di sebalik dinding bangunan seraya berkata, “Aku tidak akan bergerak walau sedikit pun dari tempat ini, sehingga aku diberikan kain untuk menutupi tubuh badanku.”

Semoga kisah ini dapat kita teladani dalam mendidik anak-anak kita. IMAN perlu diterapkan dalam jiwa anak kita sejak mereka kecil lagi, meskipun sewaktu berada dalam kandungan, meskipun mereka tidak dapat memahami apa-apa lagi. Setiap hari dalam kehidupan mereka, perlu kita ceritakan  tentang kebesaran dan kehebatan Allah swt.
Lebih banyak kebesaran Allah swt masuk ke dalam hati mereka, makin bertambahlah  cinta mereka kepada Allah swt . Lebih banyak cinta kepada Allah swt mereka miliki, maka lebih mudahlah untuk mereka mentaati perintah Allah swt. InsyaAllah :)
Hakikatnya, Allah swt yang memberikan iman kepada kita dan anak-anak kita. Mohonlah pada Allah agar terus ditingkatkan dan dikekalkan iman yang ada dalam diri kita.

Ya Allah, jangnlah Engkau pesongkan hati kami kepada kesesatan setelah Engkau berikan hidayah kepada kami, dan kurniakanlah rahmat dari sisiMu. Sesungguhnya Engkau Maha Pemberi” ( Ali Imran:ayat 8 )

Tiada ulasan: