Sahabat Ilmu

Khamis, 30 September 2010

Reformasi Fatwa Rokok: Dulu Khilaf Kini Ijma’

Kini, Islam Tiada Pilihan Kecuali Mengharamkan Rokok!

SEBELUM saya membentangkan senario reformasi fatwa semasa, setelah ulama dan umat Islam merentasi beberapa dekad yang mengelirukan, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kerana kesudian anda berdailog dengan tenang di sini, dan memberikan ruang buat saya mengupas konflik rokok yang masih entah bila akan selesai, walaupun hukumnya telah diijmakkan. Namun, sebagai orang-orang beriman janganlah putus asa atau buntu mencari titik-titik persefahaman dan kebaikan sesama kita. Moga-moga kita semua sentiasa mendapat hidayat dan taufiq-Nya.

Saudara/ri ku yang dikasihi,

Kajian saya mendapati bahawa penemuan bahan-bahan racun rokok serta kesan kepada kesihatan manusia merentasi tiga tahap kematangan; tahap pemulaan, pertengahan dan pasca moden. Inilah faktor primer kepada latarbelakang yang secara langsung mempengaruhi reformasi hukum rokok dari kedudukan dulunya khilaf kepada muktamad atau ijmak.

Hasil perkembangan dunia yang canggih, ahli-ahli sains menemui satu demi satu kesan negatif rokok kepada kesihatan manusia secara ilmiah. Jika buku “Ensiklopedia Dunia”, yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, jilid 18 halaman 347 boleh diterima sebagai antara dokumentasi berautoriti, maka kita tiada pilihan lain kecuali menerima bahawa kemudaratan rokok secara saintifik mula ditemui oleh ahli sains pada pertengahan abad ke 19.

Catatan buku ini menyebut; “Mesin pembuat rokok yang pertama dicipta 1880-an sebelum itu semua rokok digulung dengan tangan. Pada tahun 1960-an ahli sains melaporkan bahawa bahan yang dikenali sebagai tar dan nikotina yang disedut semasa merokok boleh menyebabkan kanser paru-paru, penyakit jantung dan lain-lain. Sejak ini banyak negara meluluskan undang-undang yang menuntut pembuat rokok melabelkan kotak dan karton rokok dengan amaran kesihatan. Iklan rokok di radio dan televisyen juga diharamkan.

Manakala Ustaz Zaharuddin Abd Rahman memindahkan kenyataan dari Mahmud Nazim, “al-Tibbun al-Nabawi Wa al-‘Ilmi al-Jadid” bahawa pada tahun 1962 Fakulti Perubatan Diraja Britain mengesahkan kesan buruk rokok terhadap kesihatan, pada tahun 1964 Fakulti Kedoktoran Amerika mengeluarkan satu kajian setebal 387 halaman dan diterbitkan kandungannya di akhbar yang menyebut “Merokok memudaratkan kesihatan secara pasti, ia juga menyebut “rokok menjadi penyebab pelbagai penyakit membunuh.

Rentetan itu, beberapa usaha mengurangkan kesan bahaya rokok telah diperkenalkan pada tahun 1970-an, rokok yang dikurangkan kandungan tar dan nikotina menjadi semakin popular. Pembuat rokok mengurangkan tar dan nikotina melalui perubahan bentuk rokok termasuklah penapis, penggunaan tembakau yang dibancuh, dan penggantian tembakau serta proses pengalihan udara yang melarutkan asap rokok.

Hari ini, pakar-pakar kesihatan dunia berjaya membuktikan secara ilmiah dalam rokok terkandung lebih 4000 jenis racun yang mengancam nyawa manusia. Antara racun paling bahaya ialah hydrogen cyanide (racun yang digunakan dalam bilik gas), toluidine, ammonia (pembersih lantai), urethane, toluene (bahan pelarut), arsenic (racun anai-anai), nickel, phenol (pembersih kuman dan jangkitan), butane (cecair pemetik api), polonium (-210), d.d.t. (racun serangga), acetone (pelekang cat), tar (minyak tar jalan), naphthalene (ubat gegat), cadmium (yang digunakan dalam bateri kereta), carbon manoxide (gas beracun dari ekzos kereta), benzopyrene, vinye chloride (bahan untuk membuat pvc).

Paling menyedihkan, sebelum itu pengeluar-pengeluar rokok menyembunyikan dan memalsukan hakikat kesan rokok kepada awam. Di Amerika Syarikat sebuah syarikat rokok terkenal, Liggett Group Incorporated telah membuat pengakuan dan akhirnya bersetuju untuk menyerahkan beberapa dokumen syarikat untuk diteliti oleh peguam-peguam anti-merokok. Dokumen-dokumen ini adalah penting sekali kerana ianya dianggap sulit dan dirahsiakan oleh syarikat tersebut buat hampir 30 tahun lamanya. Dokumen itu bukan sahaja menjelaskan kandungan racun-racun membunuh, malah nikotin yang terkandung di dalam tembakau terdiri daripada sejenis dadah yang boleh menyebabkan ketagihan.

Hakikatnya, setiap sedutan rokok, perokok memasukkan ke dalam tubuhnya sebanyak 4,000 bahan kimia yang dinyatakan di atas secara senyap. Racun itu terbukti melenyapkan manusia secara global dengan evolusi. Menurut Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr. H. Nakajima bahawa setiap tahun lebih kurang 10 juta manusia akan mati akibat merokok, dan 70% daripada kematian ini berlaku di negara-negara membangun.
Dalam suasana sedemikian, umat Islam sepatutnya bertanya secara jujur apakah sikap dan pendirian Islam dalam isu rokok. Masyarakat bukan Islam seluruh dunia telah berusaha sungguh-sungguh dan bertegas menyatakan kejelikan rokok kepada diri, keluarga, masyarakat dan kehidupan. Apakah manusia yang tidak mentauhidkan Allah s.w.t itu begitu menonjol menunjukkan sikap anti rokok, sedangkan umat Muhammad s.a.w masih ragu-ragu, berpeluk tubuh dan memandang sepi akan hal-hal kemaslahatan hidup?

Apapun, senario di atas begitu kuat mempengaruhi reformasi fatwa rokok. Para ulama zaman ini tidak dapat menafikan lagi kemudaratan rokok setelah mendapat nasihat langsung dari pakar-pakar perubatan yang dipercayai.

Dalam pada itu, kecenderungan fatwa setelah memasuki pasca moden amat berbeza sekali. Kaedah mengeluarkan hukum, terutama isu kontemporari telah ditangani secara lebih profesional. Kecenderungan berhukum secara jemaah ulama diinstitusikan sehingga tertubuhnya majlis-majlis fatwa di semua peringkat negeri dan nasional. Paling membanggakan ialah tertubuhnya Akademik atau Majlis al-Fiqh al-Islami pada tahun 1981, berpusat di Jeddah yang dianggotai oleh negara-negara umat Islam (OIC). Akademik fatwa ini boleh disifatkan bertaraf internasional yang paling tinggi berasaskan penglibatan multi kepakaran.

Penglibatan multi kepakaran menjadikan intitusi fatwa lebih simple, mantap, matang, komprehensif, sekaligus berjaya menyelesaikan dilema umat Islam semasa. Sehubungan itu Dr. Yusuf al-Qardawi mengatakan fatwa secara berjemaah atau organisasi lebih utama untuk diterima pakai oleh umat Islam zaman ini, terutama berkaitan isu-isu semasa kerana nisbah kemungkinan berlakunya kesilapan itu terlalu rendah. Beliau juga menyeru umat Islam menjadikan institusi fatwa sebagai alternatif kepada sumber hukum yang semasa.
Setakat maklumat di sisi saya, tidak ada lagi negara umat Islam yang tidak mengharamkan rokok. Institusi terbesar dalam organisasi kefatwaan ialah Akademik al-Fiqh al-Islam yang berpangkalan di Jeddah secara rasmi mengharamkan rokok. Fatwa Arab Saudi melalui “al-Lujnah al-Da’imah lil Buhtuh al-‘Ilmiyyah” bernombor 15143 memfatwakan “Semua jenis rokok adalah haram. Maka segala urusniaganya juga adalah haram kerana kemudaratan yang besar keatas agama, badan dan harta. Wajiblah sesiapa yang terlibat dengan perkara ini bertaubat segera”. Di Malaysia, pada 23 Mac 1995 fatwa pengharaman rokok telah dikeluarkan oleh Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia Ke-37.

Begitu juga Mesir, Kuwait, Syria, Sudan, Qatar, Berunai, Singapura dan lain-lain telah mengharamkan rokok secara rasmi. Resolusi pengharaman dan keadah menangani juga telah diputuskan pada peringkat hukum secara muktamad dan menyakinkan. Sama ada pihak pemerintah mahu menerima dan menguatkuasakan hukum itu atau tidak, hukum rokok tetap haram. Pada asasnya, para ulama melalui institusi fatwa telah menunaikan tanggungjawabnya di sisi Allah s.w.t.

Justeru itu, setakat pengkajian terhadap pendirian ulama kontemporari mengenai rokok, saya berani menegaskan bahawa hukum pengharaman rokok zaman ini adalah bersifat ijmak. Tidak ada lagi keraguan mahupun khilaf. Tidak ada satu negarapun dari negara umat Islam yang mengharuskan rokok waktu ini.

Begitu juga pengharaman rokok secara individu, saya mendapati ulama muktabar zaman ini telah muafakat mengharamkan rokok kecuali syeikh Atiyyah Saqar. Beliau termasuk senarai ulama terbilang dunia yang berasal dari Mesir yang masih berpegang kepada “makruh tahrim” dengan ikatan kepada 3 syarat, iaitu semata-mata menghisap rokok, terutama dalam suasana kawalan, tidak menjejaskan kesihatan secara nyata dan ketiga berkemampuan kewangan yang mencukupi dari perbelanjaan saraan dan tanggungan.

Saudara ku ! kita perlu faham “makruh tahrim” termasuk kumpulan haram juga cuma status dalil pensabitannya secara zann, iaitu tidak putus. Makruh tahrim bukan seperti kedudukan hukum makruh dalam mazhab Syafie yang bermaksud; sewajarnya ditinggalkan, manakala melakukannya tidak berdosa. Bukan dan tidak! Makruh tahrim ialah termasuk kumpulan haram, cuma dalilnya zann bukan qatie. Maka hukum rokok tetap haram dan berdosa. Sebab itu Atiyyah Saqar bertegas sebagai menolak salah faham kenyataannya dengan menyebut; “Makruh tahrim di sisi ku dalam soal ini (rokok) adalah haram tetapi dosa dan hukumannya tidak seberat dan sebesar haram mutlak”

Penegasan Dr.Yusuf al-Qardawi merupakan fakta muktamad yang menjawab segala kekeliruan ijtihad dan mengakhiri perdebatan ini. Beliau menyebut; “kekhilafan yang terjadi di kalangan fuqaha sewaktu kemunculan rokok bukanlah kekhilafan pada dalil-dalil hukum, tetapi khilaf sekitar pensabitan kemudaratan atau tidak. Mengesahkan kemudaratan pada rokok bukan bidang kepakaran fuqaha, tetapi urusan ahli-ahli sains. Kini ahli sains telah mengesahkan kemudaratan rokok. Sehubungan itu, kekhilafan hukum rokok tidak wujud lagi dan sabitlah hukum rokok itu haram”

Sejak mula lagi Islam menggariskan prinsip pemakanan yang khas, umum dan terbuka kerana ia berkaitan duniawi yang sangat asasi. Al-Bujairimi dalam kitabnya “Bujairimi ‘ala al-Khatib” mengemukakan firman Allah s.w.t, bermaksud; “Dihalalkan kepada kamu perkara-perkara yang baik-baik dan diharamkan keatas kamu perkara-perkara yang keji”. Rasulullah s.a.w pula menaskan “Tiada jenis memudaratkan (diri) dan memudaratkan (orang lain)”. Sehubungan itu ulama menetapkan keadah pemakanan; “Setiap yang memudaratkan adalah haram”

Oleh itu tiada syak lagi bidang pemakanan bukan autoriti ulama semata-mata dan dalam semua keadaan. Fungsi ulama hanya dimandatkan dalam skop nas-nas syarak sahaja. Manakala autoriti mengenal pasti zat, racun, toksid dan sebagainya dalam sesuatu makanan adalah bidang kepakaran ahli sains. Malah ulama yang merumuskan hukum tanpa merujuk kepada ahli sains dalam hal pemakanan telah melanggar etika hukum. Hukumnya tidak sah. Ulama wajib bertanya pakar menjunjung arahan Allah s.w.t, bermaksud; “Kamu bertanyalah ahli zikr (pakar) jika kamu tidak mengetahui”.

Akhukum,
Ustaz Mohd Azhar bin Abdullah
Pensyarah KIAS
Nilam Puri, Kelantan

Tiada ulasan: