Sahabat Ilmu

Sabtu, 25 September 2010

Islamkan sambutan raya raih kehidupan mulia


الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 1-5 surah al-Mu’minun :

قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ وَالَّذِينَ هُمْ عَنِ اللَّغْوِ مُعْرِضُونَ وَالَّذِينَ هُمْ لِلزَّكَاةِ فَاعِلُونَ وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ

Maksudnya : Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya; Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia; Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu); Dan mereka yang menjaga kehormatannya,

Suasana sambutan hari raya masih begitu terasa dengan pelbagai cara sambutannya termasuk rumah terbuka silih berganti bagi meraikan anugerah hari raya yang dianugerahkan oleh Allah setelah sebulan melalui ujian hawa nafsu dalam tarbiah Ramadhan. Jika menyambut kedatangan Ramadhan kita boleh mengikut lunas-lunas Islam dalam menghidupkannya maka mengapa ketika menyambut kedatangan Syawal begitu banyak pelanggaran terhadap syariat Islam seolah-olah syaitan dibebaskan bersama dengan dosa dan seolah2 dosa pahala tidak lagi dipedulikan oleh Allah dalam bulan Syawal.
Cara berpakaian yang mendedah aurat, cara pergaulan bebas yang melampaui batas syarak, cara berhibur yang keterlaluan mencemari kemuliaan Syawal sehingga tarbiah Ramadhan sudah tidak diendah lagi. Tidak malukah kita dengan para sahabat nabi dan pejuang Islam sebelum kita yang terpaksa berdepan dengan musuh Islam seperti dalam peperangan Ahzab atau Khandak, peperangan Hunain dan peperangan Uhud ketika suasana Syawal demi menjulang agama Allah sedangkan ramai di kalangan umat Islam hari ini tersungkur di kaki syaitan dan hawa nafsu ketika menyambut Syawal.
Tidak malukah kita melaung takbir kemenangan ketika kalah melawan hawa nafsu sedangkan pejuang Islam dulu melaungkan takbir kemenangan ketika meraikan kemenangan mengalahkan musuh Islam. Inilah suasana masyarakat hari ini yang tidak lagi mengenal erti kemenangan yang sebenar dan bagaimana mahu menghayatinya kerana apa yang ada dalam otak mereka ialah berhibur sampai lupa Allah samada ketika sambut hari raya, tahun baru, hari merdeka dan lain-lain perayaan. Renungilah kata pujangga :

لَيْسَ العِيْد ِلمَنْ لَبِسَ الجَدِيْد، إِنَّمَا العِيْد ِلمَنْ طَاعَتُهُ تَزِيْد. لَيْسَ العِيْد ِلمَنْ تَجَمَّل بِاللِّبَاسِ وَالمَرْكُوْب، إِنَّمَا العِيْد ِلمَنْ غُفِرَتْ لَهُ الذُّنُوْب. لَيْسَ العِيْد ِلمَنْ حَازَ الدِّرْهَم وَالدِّيْنَار إِنَّمَا العِيْد ِلمَنْ أَطَاعَ العَزِيْزَ الغَفَّار
Maksudnya : Bukanlah hari raya itu bagi orang yang hanya berpakaian baru nan indah sebaliknya hari raya itu bagi orang yang ketaatannya terus bertambah. Bukanlah hari raya itu bagi yang berhias dengan pakaian anggun dan kenderaan bersusun sebaliknya hari raya itu bagi orang yang dosa-dosanya diampun. Bukanlah hari raya itu bagi yang memperolehi wang dinar juga dirham yang bertimbun sebaliknya raya itu bagi orang yang mentaati Allah Tuhan yang Maha Perkasa lagi Maha Pengampun

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Setiap graduan yang telah berjaya dalam pengajiannya wajib membuktikan kejayaannya dengan mencurah khidmat mengikut bidang yang diceburi barulah diiktiraf sebagai graduan yang benar-benar berjaya bukan setakat membawa sijil ke hulu-hilir tanpa menunjukkan hasilnya. Begitulah juga dengan graduan universiti Ramadhan bukan setakat berbangga kerana dapat berpuasa sebulan sebaliknya kesan daripada tarbiah Ramadhan dengan mengekalkan amalan soleh, sifat terpuji dalam diri serta ketaatan kepada Allah dalam setiap aspek kehidupan pada 11 bulan yang lain dapat dilihat jelas dalam kehidupan seharian.
Betapa beruntungnya orang-orang yang telah menyempurnakan puasa sunat 6 hari bulan Syawal, begitu juga yang sedang menunaikannya. Bagi yang belum memulakannya atau tak pernah menunaikannya sebelum ini maka marilah kita sama-sama membuktikan bahawa tarbiah Ramadhan lepas telah berjaya mengubah kita ke arah menjadi hamba Allah bukan setakat hamba Ramadhan yang hanya baik pada bukan Ramadhan sahaja manakala pada bulan lain kembali menjadi pengikut setia kepada hawa nafsu. Sama-samalah kita merebut kelebihan puasa sunat terutama berpuasa enam hari dibulan Syawal bagi menyahut sabda nabi s.a.w :

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثٌمَّ أَتْبَعَهٌ سِتًّا مِنْ شَوَّال كَانَ كَصِيَامِ الَّدهْرِ - رواه مسلم
Maksudnya : Sesiapa yang telah berpuasa fardhu Ramadhan kemudian diikuti pula dengan berpuasa enam hari di bulan Syawal maka adalah pahalanya seperti dia berpuasa sepanjang tahun.
Abu Said Al-Khudri ra berkata: Rasulullah saw bersabda:
مَنْ صَامَ يَوْمًا فِي سَبِيلِ اللهِ بَعَّدَ اللهُ وَجْهَهُ عَنْ النَّارِ سَبْعِينَ خَرِيفًا - رواه البخاري.
Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa satu hari pada jalan Allah, nescaya Allah swt menjauhkan mukanya dari api neraka selama 70 tahun”

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Ketika berseronok menyambut hari raya jangan kita lupa kepada keadaan yang berlaku sekeliling kita. Kita dihimpit dengan pelbagai masalah sosial dan jenayah besar yang semakin membarah terutama penyakit 5M iaitu mencuri, menyuburkan zina, mabuk dadah atau arak, main judi dan membunuh. Begitu juga bala Allah berbentuk bunuh diri di mana suatu kajian pakar pada tahun 2007 menyatakan gejala bunuh diri dijangka menjadi faktor kedua tertinggi menyumbang kepada jumlah bilangan kematian di negara ini dalam tempoh 10 tahun akan datang dengan purata 6 orang bunuh diri setiap hari , 2500 orang setiap tahun dan 50,000 kes cuba bunuh diri setiap tahun.
Ditambah lagi dengan laporan seramai 3 juta daripada 26 juta penduduk termasuk kanak-kanak di negara ini disahkan menghidap masalah gangguan mental atau emosi yang menyaksikan penyembelihan kejam terhadap ibu bapa, isteri dan anak sendiri yang begitu mengerikan seolah-olah menonton drama tv sahaja. Kes bunuh terhadap seorang jutawan wanita serta 3 lelaki bersama yang bukan sahaja dibunuh dengan kejam malah dibakar begitu menggemparkan negara ketika kehangatan menyambut raya. Bila manusia gila harta maka segala kejahatan menjadi halal pada pegangan mereka. Akhirnya apa yang kita dapat hasil jauh daripada petunjuk al-Quran melainkan kehancuran. Renungilah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Bukhari dan Muslim:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يُقْبَضَ الْعِلْمُ ، وَتَكْثُرَ الزَّلَازِلُ ، وَيَتَقَارَبَ الزَّمَانُ ، وَتَظْهَرَ الْفِتَنُ وَيَكْثُرَ الْهَرْجُ ، وَهُوَ الْقَتْلُ الْقَتْلُ ، حَتَّى يَكْثُرَ فِيكُمْ الْمَالُ فَيَفِيضَ
Maksudnya : Tidak berlakunya kiamat sehingga ditarik ilmu pengetahuan, dan banyak gempa bumi, terlalu singkat waktu, banyak fitnah dan kekacauan, iaitu pembunuhan demi pembunuhan, sehingga semakin banyak harta kemewahan yang melimpah ruah

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 108 surah al-An’am :

وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ ۗ كَذَٰلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمْ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّهِمْ مَرْجِعُهُمْ فَيُنَبِّئُهُمْ بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
Maksudnya : Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Dia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan
Ketika kehangatan menyambut hari raya namun tidak melupakan kita kepada perancangan jahat seorang paderi sebuah gereja di Florida, Amerika bernama Terry Jones yang disifatkan oleh anak perempuannya sebagai seorang yang sakit otak selepas disingkirkan oleh kumpulan gerejanya sendiri di Jerman di mana dia menjadi perancang utama untuk membakar 200 naskhah al-Quran sempena memperingati serangan 11 September terutama bantahan terhadap rancangan umat Islam untuk membina pusat Islam dan masjid berhampiran bangunan Pusat Dagangan Dunia (WTC) yang ranap dalam peristiwa 11 September 2001. Walau pun paderi tersebut menarik balik perancangan yang tidak bertamadun itu namun ada seorang peguam Australia telah membakar al-Quran dan Bible dengan penuh rasa bangga menyatakan bahawa dia mahu membuktikan antara al-Quran dan Bible mana yang lebih cepat terbakar.
Begitu juga sebuah televisyen Amerika menyiarkan tindakan sekumpulan aktivis mengoyakkan naskah kitab al-Quran di hadapan White House sehingga menimbulkan kemarahan umat Islam sedunia sehingga ada yang mati dalam tunjuk perasaan demi mempertahankan kesucian al-Quran. Sebagai golongan terpelajar sepatutnya perbuatan terkutuk ini tidak berlaku. Islam tidak pernah pernah menyuruh umatnya membakar Bible kristian, Talmud yahudi dan kitab agama lain walau pun jelas sesat sebagaimana Islam melarang daripada mengganggu rumah ibadat agama lain. Inilah kehebatan Islam ketika berdepan dengan kerakusan nafsu serakah golongan pelampau.
Kalau kita di sini begitu sibuk dengan hari raya sehingga tak sempat nak ambil tahu tentang peristiwa pembakaran al-Quran ini maka tanyalah diri sendiri samada kita layak berhari raya yang merupakan anugerah Allah sedangkan dalam masa yang sama kita tidak mempedulikan al-Quran yang diturunkan oleh Allah daripada dikhianati oleh musuh Islam. Adakah masih ada cahaya iman dalam diri orang yang tenggelam dalam melayan hawa nafsu sehingga tidak menghiraukan panduan kehidupan utama iaitu al-Quram dipermainkan oleh musuh Islam. Tepuklah dada dan tanyalah iman kita

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِب

Tiada ulasan: