Sahabat Ilmu

Jumaat, 21 September 2007

ARTIKEL ILMIAH 2

PENDIDIKAN HATI MENURUT PERSPEKTIF AL-QURAN DAN AL-SUNNAH

1.1 Pengenalan

Sesungguhnya setiap insan mengetahui bahawa di dalam dirinya terdapat seketul darah yang mempunyai peranan yang terpenting didalam membentuk kehidupan seseorang itu. Seketul darah ini berperanan dalam mencorak seseorang itu sama ada mengikut acuan yang telah ditetapkan oleh penciptanya iaitu menuju kejalan kebenaran atau mengingkari aturan yang telah diperintahkan dengan menuju ke lembah kebinasaan. Seketul darah yang mengawal diri seseorang itu di panggil hati. Sabda Rasulullah s.a.w:

الا ؤان فى الجسد مضغه اذا صلحت صلح الجسد كله واذا فسدت فسد الجسد كله الا وهى القلب

“ Ketahuilah bahawa di dalam satu jasad itu terdapat tsegumpal darah, jka ia baik maka baiklah seluruh jasad, dan jika ia buruk maka buruklah seluruh jasad. Ketahuilah, segumpal darah itu ialah hati”.
[1]


Ini menggambarkan bahawa hati merupakan satu kompenen penting yang berperanan dalam menggerak kompenen-kompenen lain sama ada kearah kebaikan atau keburukan. Dengan ini pendidikan hati amat diperlukan di dalam penjagaan hati seseorang itu. Pendidikan hati ini di perlukan supaya hati dapat dikawal dalam beroperasi untuk membawa seseorang itu ke arah kebahagiaan, ketenangan, ketenteraman di dunia dan di akhirat. Secara tidak langsung dapat mengelakkan dari mengikuti jejak-jejak syaitan yang sentiasa mempengaruhi manusia agar mengikutinya dalam menjerumuskan diri kearah kebinasaan.



2.1 Jenis-Jenis Hati


عن ابى هريرة عبد الرحمن بن صخر رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلىالله عليه وسلم: ان الله تعالى لا ينظروا الى اجسامكم ولا الى صوركم ولكن ينظرو الى قلوبكم.

Daripada Abi Hurairah Abd al-Rahman bin Sahr r.a katanya, sabda Rasulullah s.a.w: “Sesungguhnya Allah tidak melihat bentuk badan dan paras rupamu tetapi Allah melihat kepada hatimu”.
[2]

Di dalam membincangkan mengenai pendidikan hati sebagaimana yang dikehendaki di dalam Islam, maka dengan ini kita perlu mengenal terlebih dahulu jenis-jenis hati yang terdapat di dalam diri seseorang itu sama ada hatinya sihat, mati atau sakit. Oleh itu, terdapat tiga jenis hati yang akan diperkatakan sebagai penilaian kepada kita dalam mendidiknya kearah kebaikan seperti mana yang dikehendaki oleh Islam.


2.1.1. Hati yang sihat

Hati yang sihat ialah hati yang sejahtera yang dapat membahagiakan serta mententeramkan seseorang itu di dunia dan di akhirat. Ia merupakan hati yang telah di didik dengan sempurna mengikut acuan Islam seperti mana yang dikehendaki oleh Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w.

Definisi universal tentang hati yang sihat ialah hati yang bersih dari semua syahwat yang bertentangan dengan perintah Allah s.w.t dan larangannya, bersih dari semua syubhat yang bertentangan dengan wahyu Allah s.w.t, bersih dari penyembahan kepada selain Allah s.w.t, bersih dari berhukum kepada selain rasulNya, kecintaannya bersih untuk Allah s.w.t dan berhukum kepada rasulNya, takut kepadaNya, berharap kepadaNya, bertawakkal kepadaNya, inabah kepadaNya, merendahkan diri kepadaNya mengutamakan keredaanNya dalam semua perkara, dan menjauhkan diri dari kemurkaanNya.
[3]

Hati yang sihat juga merupakan hati yang dapat menyelamatkan seseorang itu pada hari kiamat kelak sebagaimana firman Allah s.w.t:

يوم لاينفع ما ل ولا بنون الا من اتى الله بقلب سليم

“(Iaitu) di hari harta dan anak-anak pinak tidak berguna lagi, kecuali orang-orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang sihat sejahtera”.
[4]

Ayat ini menggambarkan kepada kita bahawa segala harta, kekayaan, anak, isteri dan segala yang dimiliki semuanya tidak berguna dan tidak dapat memberi pertolongan kepada kita. Hanya hati yang sihat sejahtera iaitu hati yang patuh pada perintah Allah s.w.t sahaja yang dapat menyelamatkan seseorang itu di hadapan Allah s.w.t nanti. Ia sentiasa mendahului Allah s.w.t dan rasulnya di dalam apa jua sekalipun. Tidak pernah ada walaupun sedikit di dalam hatinya perasaan untuk menderhakai Allah, tidak puas hati mengenai suruhan dan hukum Allah s.w.t, dan mencintai selain daripada Allah dan rasulnya. Firman Allah s.w.t di dalam al-Quran :

يأيهاالذين أمنوا لا تقدموا بين يدى الله ورسوله

“ Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mendahului Allah dan rasulNya”.
[5]




2.1.2 Hati yang mati

Jenis hati yang kedua ialah berlawanan dengan hati yang pertama iaitu hati yang mati yang tiada kehidupan di dalamnya. Hati seperti ini tidak pernah mengenal tuhannya, tidak menyembah Allah berdasarkan suruhanNya, tidak menyintaiNya, dan tidak redha kepadaNya.

Hati ini berada diantara syahwatnya dan kelazatannya. Hanya memikirkan cara untuk memuaskan syahwatnya semata-mata. Merasa lazat dengan perkara-perkara maksiat dan merasa bosan dengan perkara-perkara kebajikan. Ia tidak peduli sama ada apa yang dilakukannya itu membuatkan tuhan tidak redha atau marah kepadanya selagi mana perkara-perkara itu memuaskan syahwatnya. Jika ia menyintai seseorang atau sesuatu, ia menyintai kerana hawa nafsunya. Jika ia memberi atau melakukan apa sahaja, semuanya dilakukan kerana hawa nafsunya. Ia lebih mengutamakan nafsu syahwatnya di dalam segala perkara berbanding dari keredhaan tuhannya. Firman Allah s.w.t di dalam al-Quran yang berbunyi:

ان النفس لأمارة با لسوء

“Sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan”.
[6]

Manusia seperti ini telah menjadikan hawa nafsu sebagai pemimpinnya, syahwat adalah panglimanya, kebodohan adalah pengemudinya, dan lalai adalah kenderaannya. Setiap kehidupannya hanya di fikirkan untuk nafsu dunia semata-mata. Dengan ini akan menyebabkan hatinya terus lalai, leka dan lupa kepada penciptanya serta sentiasa berada di dalam kebatilan. Barangsiapa yang berinteraksi dengan orang yang berhati seperti ini adalah penyakit, akrab dengannya adalah racun, dan duduk dengannya adalah kebinasaan. Hal ini kerana hati ini telah dirasuk oleh syaitan dan syaitan itu telah menjadi raja kepada dirinya di dalam melakukan sesuatu. Allah s.w.t telah berfirman:

فاذا قرأت القرأ ن فاستعذ با لله من الشيطا ن الرجيم انه ليس له سلطا ن على الذين أمنوا وعلى ربهم يتوكلون انما سلطنه على الذين يتولونه والذين هم به مشركون

“Apabila kamu membaca al-Quran hendaklah kamu meminta perlindungan kepada Allah dari syaitan yang terkutuk. Sesungguhnya syaitan ini tidak ada kekuasaannya atas orang-orang yang beriman dan bertawakkal kepada tuhannya. Sesungguhnya kekuasaannya (syaitan) hanyalah atas orang-orang yang mengambilnya jadi pemimpin dan atas orang-orang yang mempersekutukannya dengan Allah”.
[7]

2.1.3. Hati yang sakit

Bahagian hati yang ketiga ialah hati yang mempunyai kehidupan di dalamnya dan mempunyai penyakit. Kadang-kadang hati seperti ini lebih cenderung kepada kebaikan dan kadang-kadang hati ini lebih sukakan kejahatan (berpenyakit).

Di dalam hati tersebut terdapat perasaan cintakan Allah s.w.t, beriman kepada Allah s.w.t, ikhlas kepadaNya, dan tawakal kepadaNya. Tetapi pada suatu ketika hati itu juga cinta kepada syahwat, mengutamakannya, berusaha keras memuaskannya, sombong, dengki serta melakukan kerusakan yang merupakan jalan-jalan kebinasaan dan malapetaka besar yang sengaja di lakukan.

Hati yang pertama adalah hati yang hidup,khusyuk dan patuh. Hati yang kedua adalah hati yang kering dan mati. Manakala hati yang ketiga adalah hati yang sakit iaitu kedudukannya terkadang ia lebih dekat kepada hati yang sihat dan terkadang lebih dekat kepada hati yang mati. Allah s.w.t menyebutkan ketiga-tiga jenis hati di atas dalam firmannya:

وما آرسلنا من قبلك من رسول ولا نبي الآ اذا تمنى ألقى الشيطن ثم يحكم الله ا يته والله عليم حكيم ليجعل ما يلقي الشيطن فتنة للذين فى قلو بهم مرض وا لقاسية قلوبهم وان الظلمين لفى شقا ق بعيد وليعلم الذين أوتوا العلم انه الحق من ربك فيؤمنوا به فتخبت له قلوبهم وان الله لهاد الذين ءامنوآالى صراط مستقيم

“Dan Kami tidak mengutus sebelum kamu seorang rasul pun dan tidak (pula) seorang nabi, melainkan apabila ia mempunyai sesuatu keinginan, syaitan pun memasukkan godaan-godaan terhadap keinginan itu, Allah menghilangkan apa yang di masukkan oleh syaitan itu, dan Allah menguatkan ayat-ayatnya. Dan Allah maha mengetahui lagi maha bijaksana. Agar Dia menjadikan apa yang di masukkan oleh syaitan itu sebagai cubaan bagi orang-orang yang di dalam hatinya ada penyakit dan kasar hatinya. Dan sesungguhnya orang yang zalim itu benar-benar dalam permusuhan yang sangat, dan agar orang-orang yang telah di beri ilmu meyakini bahawa al-Quran itulah yang hak dari tuhanmu lalu mereka beriman dan tunduk hati mereka kepadanya, dan sesungguhnya Allah adalah pemberi petunjuk bagi orang-orang yang beriman kepada jalan yang lurus”.
[8]

Di dalam ayat tersebut, Allah s.w.t telah membahagikan hati manusia kepada tiga bahagian iaitu dua jenis hati yang terkena fitnah dan satu jenis hati yang selamat. Dua hati yang terkena fitnah ialah hati yang di dalamnya terdapat penyakit dan hati yang keras manakala hati yang selamat ialah hati yang beriman, tunduk kepadaNya dan hati menyerah diri kepadaNya.

3.1 Pendidikan Hati Menurut Islam

Firman Allah s.w.t di dalam al-Quran:

قدأفلح من زكها وقد خاب من دسها

“Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang mensucikan jiwa itu dan sesungguhnya rugilah orang-orang yang mengotorinya”.
[9]

Menjadi satu kewajipan kepada setiap individu muslim dalam mendidik hatinya kearah kebaikan ini kerana hati manusia tidak pernah sunyi daripada bisikan syaitan agar mengikut jejak langkahnya iaitu menjerumuskan diri ke lembah kemaksiatan dan kebinasaan. Hal ini kerana segala apa yang dilakukan akan dipersoalkan oleh Allah s.w.t sebagaiman firmannya:

ولا تقف ما ليس لك به علم ان السمع والبصر والفؤاد كل ا ولئك كا ن عنه مسئولا

“Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semua anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya”.
[10]

Ayat di atas menerangkan bahawa apa yang dilakukan akan di minta pertanggungjawabkan. Jika perkara yang diredhai oleh Allah yang dilakukan maka baiklah jua balasannya dan begitulah jika perkara buruk yang dilakukan maka balasan buruk juga dikenakan setimpal dengan apa yang dilakukan. Oleh yang demikian, Islam telah menetapkan pelbagai cara untuk mendidik hati agar menjadi mukmin muhsin yang soleh serta di cintai oleh Allah s.w.t. Dengan ini, terdapat beberapa pendidikan hati yang hakiki, sempurna dan sepadu diantara kehidupan dunia dan akhirat yang telah ditetapkan oleh Islam.

3.1.1. Mengenal Allah s.w.t dan menyintaiNya

Perkara pertama yang menjadi teras di dalam mendididk hati agar patuh kepada perintah Allah s.w.t ialah hati itu mestilah mengenal dahulu penciptanya iaitu Allah s.w.t. Hal ini akan membuatkan seseorang itu akan merasa lebih sempurna di dalam menunaikan hak-hak Allah kerana ia kenal dan tahu segala kebesaran Allah beserta ganjaran dan azab yang akan diterimanya mengikut amalan yang dilakukannya. Berkata para ulama’:

أ ول الدين معرفة الله

“Perkara pertama di dalam agama ialah mengenal Allah”.

Apabila hati ini sudah mengenal penciptanya maka ia perlu mengikuti segala apa yang diperintahkan dan meninggalkan segala apa yang dilarang. Dengan ini segala apa yang ingin dilakukan mestilah ia dinilai dahulu sama baik atau buruk. Jika perkara baik dilakukan dengan hati yang penuh kekhusyukan maka akan terasalah satu kemanisan dan ketakwaan kerana ia sedang berhadapan dengan satu kekuasaan yang tiada tolak bandingnya.

Selain itu, hati ini perlu di didik lagi kerana ia tidak cukup sekadar mengenal Allah. Ia perlu ditanam dengan satu perasaan iaitu menyintai Allah serta redha dengan apa yang di perintahkanNya. Hati yang menyintai Allah ialah hati yang sentiasa ingat kepadanya, merasakan kelazatan berkhidmat kepadanya, merasa nikmat munajat kepadanya, meluruskan kasihnya kepadaNya serta menganggap cukup dengan apa yang dikurniakanNya. Berkata Saidina Abu Bakar al-Siddiq r.a: Barangsiapa yang dapat merasakan kelazatan orang yang memurnikan cintanya kepada Allah s.w.t, maka ia akan sibuk meninggalkan kebahagiaan dunia adan meninggalkan semua orang.
[11]

3.1.2. Menuntut Ilmu.

Perkara kedua yang penting di dalam mendidik hati kearah kebaikan ialah hati itu mesti mencintai ilmu. Hal ini kerana menuntut ilmu adalah penting kerana ia akan mengeluarkan seseorang itu daripada kejahilan dan menuju kearah cahaya kebenaran. Selain itu, Allah s.w.t juga mengangkat martabat bagi orang yang menuntut ilmu ini. Firman Allah s.w.t:

يرفع الله الذين أمنوا منكم والذين أوتوا لعلم درجت والله بما تعملون خبير

“Allah mengangkat orang-orang yang beriman dari kalangan kamu dan orang-orang yang berilmu hingga beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan”.
[12]

Objektif daripada hati yang mencintai ilmu ialah dapat membimbing seseorang itu menjadi hamba Allah yang soleh, mengenal dan mengetahui perkara-perkara yang dihalal dan diharamkan dalam kehidupan seharian terutamanya yang meliputi urusan akidah. Ini kerana kejahilan hati dalam persoalan agama terutamanya dalam bab akidah adalah musuh utama bagi mereka yang inginkan kebenaran. Kejahilan akan sentiasa menimbulkan pelbagai keraguan dan masalah jika tidak di rawat dan ditangani dengan ilmu-ilmu agama yang diambil dari al-Quran dan al-Hadis yang dapat menyelamatkan kita daripada kesyirikan, bid’ah dan khurafat.


3.1.3. Al-Khauf

Setiap hamba perlu mendidik hatinya agar sentiasa takutkan Allah (azab) agar dapat menandingi kejahatan nafsu dari melakukan sesuatu yang keji. Takut kepada kebesaran dan azab Allah akan mendorong seseorang itu untuk melakukan suruhan Allah dan mencari pengetahuan agar memperolehi darjat dalam mendekati Allah s.w.t. Firman Allah di dalam surah al-Nazi’at ayat 40-41:

وأما من خاف مقام ربه ونهى النفس عن الهوى فان الجنة هي المأوى

“Dan adapun orang yang takut kepada kebesaran tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya, maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggalnya”.
[13]

Hal ini kerana kebanyakan hati manusia selalunya hanya membayangkan akan kejahatan, bermalas-malas dari taat kepada Allah, dan cenderung menuruti hawa nafsunya. Dan yang demikian itu ubatnya ialah takut. Faedah dari rasa takut ini akan menumbuhkan sifat warak, takwa, sentiasa taat kepada Allah dan sering meneliti kesalahan diri sendiri. Selain itu, ia akan meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah, sentiasa merasakan Allah melihatnya, mendengar apa yang dibicarakannya, serta merasakan bahawa Allah mengetahui segala apa yang terdetik di hatinya. Inilah yang dikatakan takut yang hakiki kepada Allah s.w.t. Terdapat sabda Rasulullah s.a.w mengenai perihal takut kepada Allah ini:

عن أ نس رضى الله عنه قا ل:خطب رسول الله صلى الله عليه وسلم خطبة ما سمعت مثلها قط فقا ل لو تعلمون ما أعلم لضحكتم قليلا ولبكيتم كثيرا فغطى أ صحا ب رسول الله صلى الله عليه وسلم وجوههم ولهم خنين ( متفق عليه)

“Anas r.a berkata: Pada suatu hari Rasulullah s.a.w berkhutbah yang luar biasa, hingga seolah-olah saya merasa belum pernah Rasulullah s.a.w berkhutbah semacam itu, maka diantara sabdanya: Andaikan kamu mengetahui apa yang saya ketahui, nescaya kamu akan lebih banyak menangis dan sedikit ketawa. Maka ketika itu saya melihat sahabat-sahabat nabi sama-sama menutup muka sambil menangis terisak-isak”.
[14]

Sesungguhnya hati yang beriman dan takutkan Allah akan sentiasa berhati-hati dan berwaspada di dalam melakukan sesuatu perkara. Orang mukmin yang sejati adalah mereka yang mempunyai sifat-sifat yang disebutkan oleh Allah di dalam firmannya:

انما المؤمنون الذين اذا ذكر الله وجلت قلوبهم واذا تليت عليهم ءا يته زا دتهم ايمنا وعلى ربهم يتوكلون

“ Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatnya, bertambahlah iman mereka dan kepada tuhanlah mereka bertawakkal”.
[15]

3.1.4 Sentiasa Mengingati Allah

Hati yang tenang dan sentiasa merasa tenteram ialah hati yang tidak pernah lupa dari mengingati tuhannya. Hati ini akan mengajak tuannya agar sentiasa mengingati Allah, rindukan perkara-perkara kebaikan dan sentiasa merasa khusyuk dengan segala kebajikan yang diamalkan.

Bila ia menghulurkan tangannya untuk melakukan sesuatu, ia ingat akan Allah sehingga ia mencegah tangannya daripada melakukan perbuatan yang dilarang oleh Allah s.w.t. Bila kakinya melangkah menuju ke sesuatu tempat, ia ingat akan Allah sehingga ia berhenti berjalan kecuali dalam perkara yang diredhai Allah sahaja. Bila matanya memandang kepada sesuatu, ia ingat akan Allah sehingga ia memejamkan matanya dari melihat sesuatu yang diharamkan oleh Allah s.w.t. Begitulah juga mulut, telinga dan anggota-anggota lain yang dijaga dengan mendapat pengawasan daripada Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t:
فاذكرونىآذكركم

“Kerana itu, ingatlah kamu kepadaKu nescaya aku ingat kepadamu”.
[16]

Selain itu, rasulullah s.a.w juga menganjurkan kepada kita agar sentiasa berzikir kepada Allah dengan apa cara sekalipun sama ada dengan menggunakan lidah, menggunakan anggota dalam bentuk amalan seperti solat, ataupun dengan menggunakan hati iaitu sentiasa memuji dan mengingati Allah s.w.t. Ini akan mendekatkan lagi hubungan hamba dengan Allah di dalam menjalani kehidupan sehari-hari serta menjadikan hati sentiasa tenang dan tenteram sebagaimana firman Allah s.w.t:

الذين ءامنوا وتطمئن قلوبهم بذكر الله ألا بذكر الله تطمئن القلوب

“Iaitu orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah hanya dengan mengingati Allah sahaja hati akan menjadi tenteram”.
[17]

3.1.5 Sentiasa Mengingati Mati dan Pendek Angan-Angan

Sesungguhnya di antara sebab yang membuatkan manusia sentiasa terdorong kepada pelbagai perkara yang merugikan dan syahwat yang tercela adalah kerana panjang angan-angan dan lupakan kematian. Oleh yang demikian, penawar bagi hati yang sebegini ialah menanamkan satu perasaan di dalam hatinya iaitu sentiasa mengingati mati dan pendek angan-angan.

Dengan ini akan membuatkan manusia sentiasa tekun dalam melaksanakan hak-hak Allah dan hak-hak sesama makhluk di samping ikhlas dalam amalannya. Ini kerana manusia pada hari ini lebih cintakan dunia dan isinya daripada mengingati kematian yang pasti berlaku tanpa sesiapaun dapat lari daripadanya.

Firman Allah s.w.t:

قل ان الموت الذى تفرون منه فانه ملقيكم ثم تردون الى علم الغيب والشهدة فينبئكم بما كنتم تعملون

“Katakanlah: Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu. Kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan”.
[18]

Oleh yang demikan, jalan untuk mengingati kematian ialah dengan mengosongkan hati dari segala sesuatu kecuali zikrul maut yang ada di dalamnya. Dengan ini apabila zikrul maut sudah meresap serta mengawal hati dan pada saat itu kegembiraan terhadap dunia (angan-angan) menjadi sedikit. Berkata Abu Darda’ r.a, apabila anda mengingat orang yang sudah mati maka anggaplah dirimu termasuk salah seorang di antara mereka.
[19]

Rasulullah s.a.w mengingatkan kepada seluruh umatnya agar sentiasa mengingati mati dan tidak panjang angan-angan sepertimana sabdanya kepada Abdullah Bin Umar r.a :

اذا أصبحت فلا تحد ث نفسك با لمساء واذا أمسيت فلا تحد ث نفسك با لصباح وخذ من حياتك لموتك ومن صحتك لسقمك فانك يا عبد الله لاتدرى مااسمك غدا

“Apabila kamu berada pada pagi hari maka janganlah kamu mengangankan petang hari, apabila kamu memasuki waktu petang maka janganlah kamu mangangankan esok hari, dan manfaatkanlah kehidupanmu untuk kematianmu dan dari kesihatanmu untuk masa sakitmu, kerana sesungguhnya kamu wahai Abdullah tidak mengetahui apa namamu esok”.
[20] ( Diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dan Bukhari dari perkataan Ibnu Umar di akhir hadis, “Hiduplah di dunia seolah-olah kamu orang asing”).



3.1.6 Amar Ma’ruf Nahi Mungkar dan Jihad

Sesungguhnya jiwa dan hati manusia memerlukan satu ikatan perjanjian harian dan juga perjanjian pada setiap saat. Jika manusia tidak mengikat jiwa dan hatinya dengan janji harian atau janji pada setiap saat nescaya ia akan mendapati hatinya telah banyak menyimpang daripada landasan Islam yang sebenar akibat daripada kelalaian dan kelekaan. Oleh itu, perlu di tanam di dalam setiap hati manusia perasaan cintakan kebaikan dan bencikan kejahatan.

Dalam mendidik hati agar cintakan kebaikan dan bencikan kemungkaran amat memerlukan satu kesungguhan yang jitu atau disebut jihad yang besar dalam merealisasikannya di dlam kehidupan seharian. Ini kerana di dalam Islam terdapat perkara yang halal dan perkara yang haram. Dunia pada hari ini terdapat banyak jalan-jalan yang membuatkan manusia lalai dan jalan yang mempengaruhi manusia ke arah perkara yang haram dan maksiat.

Jika hati dapat di didik supaya membebaskan jiwa dari cinta kepada kehidupan dan dunia adalah merupakan puncak tertinggi yang dapat dicapai dalam jihad memerangi nafsu dan syaitan. Firman Allah s.w.t:

قد أفلح من زكها

“Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang mensucikan jiwanya”.
[21]






Jihad di dalam melawan kehendak nafsu adalah jihad yang paling besar yang merupakan satu perbuatan murni yang amat di tuntut di dalam Islam. Firman Allah s.w.t:

يأيهاالذين ءامنوا اتقوالله وابتغوآا ليه الوسيلة وجهدوا فى سبيله لعلكم تفلحون

“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan carilah jalan yang mendekatkan diri kepadaNya, dan berjihadlah pada jalan Allah, supaya kamu mendapatkan keuntungan”.
[22]

Jiwa yang suci adalah jiwa yang dipenuhi dengan rasa cintakan kebaikan serta cintakan perintah-perintah Allah. Apabila seseorang yang terdetik hatinya untuk melakukan kejahatan maka ia merasakan bahawa Allah sentiasa melihatnya dan meninggalkan kejahatan itu serta merasakan perbuatan itu satu dosa yang amat besar maka hati seperti inilah yang dikatakan hati yang terdidik dan bersih.

3.1.7 Iman dan Amal

Hati yang dididik dengan didikan Islam yang hakiki perlu diisi dengan iman yang menjadi nadi dalam mengukuhkan hubungan antara hamba dengan tuhannya. Iman ertinya membenarkan iaitu tasdiq didalam hati segala apa yang diperintahkan, mempercayai kewujudan perkara-perkara ghaib, membenarkan segala apa yang datang daripada rasul serta mempercayai Allah s.w.t yang mengutuskan rasul serta kitab-kitab. Kesemua ini adalah dasar iman. Firman Allah s.w.t mengenai sifat-sifat orang yang beriman di dalam al-Quran:

انماالمؤمنون الذين ءامنوا بالله ورسوله ثم لم يرتابوا وجهدوا بأموالهم وأنفسهم فى سبيل الله أولئك هم الصادقون

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan rasulnya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah, maka itulah orang-orang yang benar”.
[23]

Apabila perkara-perkara diatas di yakini sepenuhnya maka hasilnya ialah mempunyai rasa takut akibat ancaman Allah s.w.t, mengharapkan janji-janji Allah, mengagungkaNnya, sabar atas segala hukumNya, mensyukuri nikmatNya, berlaku zuhud kepadaNya, bertawakkal kepadaNya, ikhlas dalam beramal, jujur diwaktu sunyi atau lapang, menilai diri sendiri dan redha dengan aturanNya. Perlulah diketahui bahawa iman itu sentiasa bertambah dan berkurang. Ini dapat dinilai bertambahnya iman melalui keteguhan dan kesedaran hatinya serta berkurangnya iman juga diketahui disebabkan kalalaian hati seseorang itu dalam mengingati tuhannya.
[24]

Oleh itu, untuk mengetahui sejauh mana keimanan (keteguhan hati) seseorang itu dapatlah dinilai dari segi zahiriah iaitu melalui amalan yang dilakukannya. Hal ini kerana di dalam al-Quran sering dikaitkan orang-orang yang beriman dengan amalan yang soleh sebagaimana firman Allah s.w.t:

وبشرالذين ءامنوا وعملوا الصلحت.........

“Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh….”
[25]

ان الذين ءامنوا وعملواا لصلحت.......

“Sesungguhnya orang yang beriman dan beramal soleh….”
[26]

Ini menggambarkan kepada kita iman dan perbuatan itu berkait rapat, keduanya diibaratkan sebagai sebab dan musabab. Oleh sebab hubungan yang erat itulah, sebahagian besar firman Allah menyebut secara serentak di antara perbuatan dengan iman.

Daripada perbincangan diatas, dapatlah dikatakan bahawa pendidikan hati yang hakiki amatlah penting di dalam membentuk seseorang mengikut acuan yang telah ditetapkan oleh Islam. Ini kerana di dalam diri manusia terdapat nafsu yang mengajak kearah kebaikan dan nafsu yang mengajak kearah kebinasaan. Oleh itu mendidik hati manusia adalah suatu perkara yang perlu agar hati yang diciptakan oleh Allah di dalam diri setiap hamba itu menjurus kearah kebaikan. Dengan terdapatnya pelbagai resepi yang dibincangkan diatas dapatlah melahirkan mukmin yang sejati yang sentiasa cintakan keluhuran jiwa dan kesucian hati.

4.1 Kesan-Kesan Daripada Pendidikan Hati Menurut Islam

Terdapat dua kesan daripada pendidikan hati yang sebenar mengikut apa yang digariskan oleh Islam seperti mana yang dibincangkan diatas. Dua kesan tersebut ialah:

1. Dapat Melahirkan Sifat Positif
2. Dapat Menghilangkan Sifat Negatif

4.1.1 Dapat Melahirkan Sifat Positif

Setelah hati dididik dengan sempurna dan berkesan, hati yang bersih ini akan melahirkan buah-buahnya iaitu amalan-amalan yang baik yang sangat disukai oleh Allah dan rasulnya. Sifat positif ini lebih terkenal dengan gelaran “Sifat Mahmudah”. Di bawah ini akan di senaraikan secara ringkas beberapa sifat terpuji hasil daripada pendidikan hati menurut Islam, antaranya ialah:


· Khusyuk
· Infaq
· Ikhlas
· Zuhud
· Tawakkal
· Takwa dan wara’
· Syukur
· Sabar
· Redha
· Taubat
· Pemurah
· Berakhlak
· Siddiq
· Istiqamah
· Amanah
· Menunaikan hak Allah, rasul, ibubapa dan sesama makhluk.
[27]

4.1.2 Dapat Menghilangkan Sifat Negatif

Dengan kejayaan di dalam mendidik hati supaya patuh pada suruhan Allah dan dapat mengawal nafsu dari menjurus ke arah kemungkaran dan secara tidak langsung dapat menghilangkan sifat-sifat keji yang menjadi musuh ketat kepada hati yang suci. Sifat keji yang dapat dihilangkan ini lebih mahsyur dengan panggilan “Sifat Mazmumah”. Diantara sifat-sifat mazmumah yang dapat dihindarkan itu ialah:

· Kufur, nifaq, fasik dan bid’ah
· Syirik dan riya’
· Dengki
· ‘Ujub
· Sombong
· Bakhil
· Zalim
· Cinta kepada dunia
· Tamak
· Marah dan syahwat
· Takabbur
· Pemarah
· Mengumpat dan fitnah.
[28]

Dengan ini, menggambarkan kepada kita bahawa pendidikan hati amat penting dalam membentuk personalia seseorang agar menjadi muslim yang mukmin lagi muhsin. Pendidikan ini dapat melahirkan insan yang sepadu dan seimbang diantara kehidupan duniawi dan ukhrawi iaitu beroleh kesenangan dan keuntungan di dunia serta kebahagiaan dan kedamaian ketika bertemu Allah s.w.t di akhirat kelak.


5.1 Kesimpulan

Daripada perbincangan diatas, jelaslah kepada kita bahawa hati mempunyai peranan yang amat besar dalam menggerakkan anggota-anggota lain sama ada menjadikan seseorang itu mukmin, kafir, munafik ataupun fasik.

Ini kerana hati merupakan raja sementara organ-organ lain adalah rakyat yang hanya patuh pada segala arahan raja. Menurut Sa’id Hawwa semua krisis yang wujud dalam kehidupan manusia, sama ada krisis ekonomi, politik, sosial, hukum, moral, dan juga krisis keamanan semuanya berpunca daripada krisis hati dan rohani yang terjadi pada diri manusia. Oleh sebab itu, dalam menangani pelbagai krisis kehidupan yang menimpa umat Islam sepanjang sejarahnya, para nabi Allah dan rasulNya sentiasa mengawali langkah mereka dengan melakukan reformasi “Tazkiyah al-Nafs” atau pendidikan hati menurut Islam.

Hal ini merupakan syarat mutlak kepada kejayaan pembangunan insan dari pelbagai krisis yang dihadapinya. Ini kerana pembangunan insan bermula daripada hati. Dengan ini amatlah wajar bagi setiap manusia mendidik hati dengan didikan Islam yang sebenar agar melahirkan insan yang berkualiti dan cemerlang di dunia dan di akhirat.

6.1 Bibliografi

Al-Quran al-Karim

Abdul Aziz Ismail, 1992, Penawar bagi hati, Kuala Lumpur: Dinie Publishers.

Abu Syeikh Abdul Aziz Ad Darimy, Tthn, Thaharah al-qulub, Ttpt: Dar al-Salam.

Haji Othman Haji Ibrahim, 1993, Penyakit-penyakit rohani dan cara-cara mengubatinya, Kuala Lumpur: Hazrah Enterprise.

Sa’id Hawwa, 1983, Al-Mustakhlis fi tazkiyah al-nafs, ‘Aman: Dar al-Arqam.

MUHAMAD NAIM BIN HASHIM
9 RAMADHAN 1428H

NOTA KAKI:
[1] Riwayat Muslim
[2] Riwayat Muslim
[3] Ibnu Qayyim al-Jauziyah:1975, Hlmn: 17
[4] Al-Syua’ra:88-89
[5] Al-Hujurat :1

[6] Yusuf: 53
[7] Al-Nahl: 98-100

[8] Al-Hajj: 52-54
[9] Al-Syam: 9-10
[10] Al-Isra’: 36
[11] Abu Syeikh Abdul Aziz Ad. Darimy, T.thn: Hlmn 268

[12] Al-Mujadalah: 11
[13] Al-Nazi’at ayat 40-41
[14] Muttafaqun Alaih
[15] Al-Anfal:2
[16] Al-Baqarah:152
[17] Al-Ra’d: 28

[18] Al-Juma’ah: 8
[19] Sa’id Hawwa, 1983 : Hlmn 132
[20] Diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dan Bukhari dari perkataan Ibnu Umar di akhir hadis, “Hiduplah di dunia seolah-olah kamu orang asing”.
[21] Al-Syam: 9
[22] Al-Maidah: 35
[23] Al-Hujurat: 15
[24] Abu Syeikh Abdul Aziz Ad. Darimy, Tthn,Hlmn:8
[25] Al-Baqarah:25
[26] Maryam:96
[27] Abdul Aziz Ismail, 1992
[28] Haji Othman Haji Ibrahim, 1993

Tiada ulasan: