Sahabat Ilmu

Khamis, 13 September 2007

HAL-HAL BERKAITAN RAMADHAN

PENGHAYATAN RAMADHAN

Baginda Rasulullah S.A.W. bersabda:

“Hai manusia! Telah datang kepada kamu satu bulan yang mulia, bulan rahmat... dimana bulan ini diwajibkan kamu berpuasa di siang hari dan sunat bersolat pada malamnya.Barangsiapa yang mendekati Allah dengan melakukan segala amalan sunat di bulan ini akan menerima ganjaran seperti melakukan amalan wajib di lain hari. Ini merupakan bulankesabaran, dan kesabaran itu balasannya syurga. Ini juga bulan sedekah dan bulan dimana rezeki orang beriman bertambah...”(Riwayat Ibn Khuzaymah).

Bulan Ramadan penuh dengan rahmat Allah S.W.T. Bulan Ramadan penuh dengan pengampunan Allah S.W.T. Bulan Ramadan diturunkan padanya Kitab Suci Al-Quran. Bulan Ramadan terdapat di dalamnya malam Lailatul Qadr.

Firman Allah S.W.T. di dalam Surah Al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa (di dalam bulan Ramadan) sebagaimana diwajibkan ke atas mereka sebelum kamu, mudah-mudahan kamu termasuk dalam golongan orang bertakwa.”

Di dalam bulan Ramadan ini, marilah kita bersama-sama:

• Menjaga ibadat puasa dari terbatal dan menyempurnakan puasa sebaik mungkin untuk mengukuhkan keimanan
• Membanyakkan membaca al-Quran dan merenungi pengajaran di dalamnya, agar ilmu dapat dipertingkatkan
• Memakmurkan masjid dan beriktikaf terutama pada sepuluh malam terakhir Ramadan
• Melahirkan keihsanan dengan membanyakkan bersedekah dan beramal bakti
• Bersikap sederhana tatkala berbuka dan mengelakkan pembaziran dalam penyediaan makanan

CARA TERBAIK MENGHAYATI BULAN RAMADAN
Firman Allah S.W.T. dalam Surah Al- Baqarah ayat 185 yang bermaksud:
“Bulan Ramadan diturunkan padanya Al Quran,sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza(di antara yang hak dan yang batil).”

Sesuai dengan bulan Al-Qur’an ini, maka penghayatannya melibatkan tiga cara:
1. Berusaha membanyakkan amal baik dengan tujuan mengukuhkan keimanan dan mendapat keredhaan Allah S.W.T.
2. Mempertingkatkan ilmu, melalui pembacaan dan pengkajian Al-Quran, serta mempelajari sejarah Baginda Rasulullah S.A.W.
3. Menghayati nilai murni yang ditunjukkan dalam Al-Qur’an, terutama dari sudut akhlak. Tingkah laku kita sebagai orang yang beriman harus mencerminkan akhlah mulia yang diajar dalam kitab tersebut.Penghayatan bulan Ramadan dan Al-Qur’an tidak terbatas dalam lingkungan solat dan puasa secara ritual sahaja. Malah, lebih dari itu, kita mesti menghayatinya dalam setiap aspek kehidupan seharian dan melahirkannya dalam tingkah laku,
pertuturan dan gerak hati kita.

CARA MENUNAIKAN SOLAT TERAWIH

Solat terawih adalah sangat digalakkan padamalam-malam Ramadan. Ia adalah ibadat khusus di dalam bulan Ramadan, dan tidak dilakukan pada bulan-bulan lain. Masanya adalah setelah seseorang itu mengerjakan solat fardu Isyak. Afdal (utama) dikerjakan berjemaah di masjid. Namun, boleh dikerjakan bersendirian juga. Solat terawih boleh dilaksanakan sebanyak 8 rakaat, 20 rakaat atau 36 rakaat, setiap 2 rakaat dengan satu salam. Cara menunaikannya adalah sama seperti solat sunat biasa (seperti sunat qabliyah (sebelum) atau ba’diyah (selepas) bagisolat fardhu lima waktu).

Menurut hadis Imam Al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah R.A. maksudnya: “Adalah Rasulullah S.A.W. sangat sukacita menganjurkannya supaya beramal di malam-malam bulan Ramadan, hanya Baginda itu tidak menganjurkannya dengan keras. Baginda S.A.W. bersabda: “Sesiapa yang menunaikan ibadat solat pada malam-malam bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan semata-mata kerana Allah S.W.T., nescaya diampunkan oleh Allah dosa-dosanya yang lalu.”


CARA MENUNAIKAN SOLAT WITIR

Witir bermakna angka yang ganjil. Solat witir boleh dikerjakan pada tiap-tiap malam dan yang lebih afdal adalah pada bulan Ramadan, samada bersendirian atau berjemaah. Solat ini dikerjakan sekurang-kurangnya 1 rakaat dan boleh dikerjakan 3 rakaat, 5 rakaat, 7 rakaat, 9 rakaat dan sebanyak 11 rakaat. Imam Abu Daud dan An-Nasa’i telah meriwayatkan sebuah hadis dari Abu Ayyub yang maksudnya: “Rasulullah S.A.W. pernah bersabda” Solat witir itu
adalah benar. Siapa yang suka mengerjakannya lima rakaat, kerjakanlah. Siapa yang suka mengerjakannya tiga rakaat kerjakanlah, dan siapa yang suka mengerjakannya satu rakaat sahaja pun, kerjakanlah.”

Niat witir dua rakaat di dalam jemaah adalah seperti: “Sahaja aku solat witir dua rakaat menjadi makmum kerana Allah ta’ala.”

Niat witir satu rakaat pula di dalam jemaah adalah seperti: “Sahaja aku solat witir satu rakaat menjadi makmum kerana Allah ta’ala.”

KEISTIMEWAAN MALAM LAILATUL QADAR

Firman Allah dalam Surah Al-Qadr ayat 1-3 yang bermaksud: “Kami telah menurunkan Al-Quran pada malam Lailatul Qadar. Adakah kamu tahu apakah malam Lailatul Qadar itu? Malam Lailatul Qadar itu lebih baik dari seribu bulan...”

Para ulama berselisih pendapat tentang masanya Lailatul Qadar. Di antara pendapat adalah bahawa malam Lailatul Qadar jatuh pada malam-malam yang ganjil selepas tanggal 20 Ramadan iaitu: 21, 23, 25, 27 atau 29 Ramadan. Pada malam-malam itu, sangat elok kalau kita memperbanyakkan ibadat seperti solat, membaca Al-Quran, berselawat, berzikir dan memohon doa minta diampunkan dosa.

Imam Ahmad, Ibnu Majah dan At-Tarmidzi telah melaporkan sebuah hadis yang diterimanya dari Sayyidatina Aisyah R.A. bahawa Rasulullah S.A.W. telah mengajarkan kepadanya doa yang diucapkan pada malam Lailatul Qadar iaitu yang bermaksud: “Wahai Tuhanku, bahawasanya Engkau Tuhan yang Maha Pemaaf, Engkau menggemari kemaafan, maka maafkanlah daku.”

HUKUM MEMBATALKAN PUASA DENGAN SENGAJA

Jika anda membatalkan puasa anda tanpa sebarang keuzuran, anda dikira berdosa kerana telah melanggar salah satu rukun Islam. Anda perlu bertaubat dan berazam untuk tidak mengulangi perbuatan itu lagi. Anda juga harus mengqadha’ puasa yang anda tinggalkan itu. Walau bagaimana pun, anda telah kerugian kerana puasa yang ditinggalkan secara sengaja dan diganti pada hari lain, tidak akan sama dengan puasa di bulan Ramadan. “Dari Abi Hurairah R.A. berkata : Rasulullah S.A.W. bersabda : Sesiapa berbuka satu hari pada bulan Ramadan tanpa ada rukhsah (keringanan) dan tidak juga kerana sakit, dia tidak akan dapat menggantikan puasa yang ditinggalkan itu, sekalipun dia berpuasa seumur hidup.”


PUASA PEREMPUAN HAID

MASALAH PERTAMA:

Jika haid berhenti sebelum fajar, dan belum sempat mandi hadas, adakah dibolehkan berpuasa?

Anda boleh berpuasa jika anda suci dari haid atau nifas sebelum fajar dan belum sempat mandi kecuali setelah terbitnya fajar. Ini adalah kerana pada saat haid atau nifas anda terhenti, anda telah termasuk pada golongan orang yang wajib berpuasa, dan ini sama halnya dengan orang yang masih di dalam keadaan junub apabila telah masuk waktu fajar, yang mana puasanya sah berdasarkan firman Allah S.W.T:
Ertinya : “Maka sekarang campurilah mereka (isteri kamu) dan carilah apa yang telah ditetapkan Allah untukmu, dan makan minumlah hingga terang bagimu benang putih dari benang hitam, iaitu fajar” [Al-Baqarah : 187]

Jika Allah mengizinkan suami isteri bersatu hingga tiba waktu fajar, maka tentu sekali dibolehkan mandi junub setelah terbitnya fajar. Ini juga berdasarkan hadith Sayidatina Aisyah R.A.:

“Bahawa Nabi S.A.W. di waktu Subuh masih dalam keadaan junub kerana mencampuri isterinya, dan Baginda tetap berpuasa.”
Maksudnya bahawa Rasulullah S.A.W. tidak mandi junub kecuali setelah masuk waktu Subuh.

MASALAH KEDUA

Bolehkah bagi seseorang wanita memakan ubat untuk melewatkan haid pada bulan Ramadhan?

Ulama telah bersepakat mengatakan bahawa wanita-wanita yang berhaid tidak wajib berpuasa pada bulan Ramadan, tetapi wajib mengqadha’kannya pada hari yang lain. Tidak berdosa wanita yang datang haid membuka puasanya dan hendaklah menggantikannya pada hari-hari yang lain sebanyak mana puasa yang ditinggalkan itu. Sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Sayyidatina Aisyah R.A. bermaksud:

“Kami diperintahkan menggantikan puasa, dan kami tidak diperintahkan menggantikan sembahyang.” (Riwayat Imam Al-Bukhari).

Oleh yang demikian, adalah lebih baik untuk mengikut keadaan semula jadi yang dicipta Allah S.W.T. bagi wanita. Namun, sekiranya wanita itu hendak memakan ubat untuk melewatkan haid agar ia tidak datang di dalam bulan Ramadan, hukumnya tidak mengapa dengan syarat ubat itu tidak memudharatkan dirinya. Mereka boleh meminta nasihat pakar Islam, atau nasihat doktor Islam mengenai kegunaan ubat itu.

HUKUM PUASA BAGI PEREMPUAN YANG MENGANDUNG

Wanita yang hamil boleh berpuasa jika ia mampu berbuat demikian. Sekiranya ia tidak mampu, ia boleh berbuka. Jika beliau tidak berpuasa kerana khuatir akan keadaan dirinya sahaja, maka beliau wajib qadha’ puasa sahaja. Jika beliau bimbang tentang keadaan anak di dalam kandungannya sahaja, maka beliau wajib qadha’ dan juga membayar fidyah bagi hari tersebut.

HUKUM BAGI WANITA YANG MENYUSUKAN ANAK

Isteri saya hamil, dan setelah melahirkan,mungkin akan menyusukan anak kami. Bagaimana hukum puasanya?


Wanita yang hamil dan dikhuatiri anak di dalam kandungannya itu boleh meninggal dunia jika dia berpuasa, maka dibolehkan dia berbuka dan tidak berpuasa. Malahan, jika ia dikuatkan lagi dengan pengesahan jujur daripada doktor Islam, dia diwajibkan berbuka.
Firman Allah:
“Jangan kamu bunuh anak-anak kamu.” (Al- An’am: 151)

FirmanAllah lagi:
“Dan wajib bagi orang yang berat untukmenjalankannya (iaitu tidak berpuasa) membayar fidyah, (iaitu) memberi makan seorang miskin...” (Al-Baqarah: 184)

Kebanyakan ulama mengharuskan berbuka puasa bagi wanita yang hamil, dan juga wanita yang menyusukan anaknya yang bimbangkan keadaan diri mereka sebab berpuasa itu. Selepas Ramadan, wajib ke atasnya untuk menggantikan puasa yang ditinggalkan. Adapun masalah bimbang memudaratkan bayi dalam kandungan, maka telah disepakati harus berbuka puasa.

PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA

Perkara-perkara yang membatalkan puasa adalah seperti berikut:
Memasukkan sesuatu benda ke dalam rongga badan yang terbuka dengan sengaja, kecuali kerana darurat yang berkaitan dengan kesakitan.
Makan, minum dan merokok membatalkan puasa. Adapun suntikan ubatan tidak membatalkan puasa.
Muntah dengan sengaja
Mengeluarkan air mani
Melakukan jimak (hubungan seks) pada siang hari
Kedatangan haidh, nifas atau kelahiran bagi wanita
Menjadi gila
Pitam sepanjang hari
Mabuk (yang menghilangkan daya pemikiran waras) sepanjang hari
Murtad, iaitu keluar dari agama Islam

HUKUM BERPUASA BAGI ORANG TUA

Berbuka adalah harus bagi orang tua yang ada kesusahan dan kepayahan untuk berpuasa.Samalah juga hukumnya bagi orang sakit yang tiada harapan sembuh, maka ia diharuskan berbuka. Sebagai ganti, mereka seharusnya membayar fidyah iaitu memberi makan seorang miskin sehari mengikut berapa hari yang ditinggalkan. Ini merupakan kesenangan dan kemudahan daripada Allah.
Ibn ‘Abbas R.A. berkata: “Diberi kemudahan berbuka bagi orang yang tua, tetapi hendaklah dia memberi makan kepada fakir miskin tiap-tiap hari yang dia tinggalkan dan tidak perlu mengqadha’ puasanya.” (Diriwayatkan oleh Ad-
Daruqutni, dan Hakim telah mengesahkanya).
Firman Allah yang bermaksud: “Dan wajib bagi orang yang tidah mampu mengerjakannya (tidak berpuasa) membayar fidyah, (iaitu) memberi makan seorang miskin. Barangsiapa yang dengan rela hati mengerjakan kebajikan, maka itulah yang lebih baik baginya.” (Al-Baqarah: 184).

PEMBAYARAN BAGI PUASA YANG TIDAK DAPAT DITUNAIKAN DI DALAM BULAN RAMADAN

Hukum pembayaran puasa terbahagi kepada beberapa bahagian:

1. Wajib Qadha’
• Orang yang sedang sakit dan sakitnya akan memberi mudarat kepadanya atau bertambah lambat sembuhnya jika dia berpuasa
• Orang yang meninggalkan puasa sewaktu belayar atau bermusafir kira-kira 84 km
• Ibu yang hamil atau menyusukan anak dan khuatir dirinya menjadi mudarat
• Orang yang sedang haid atau nifas
• Orang yang terlalu lapar atau dahaga yang boleh memusnahkan dirinya
• Orang yang batal puasanya kerana salah satu sebab yang membatalkannya.

2. Wajib Qadha’ dan Membayar Fidyah
• Ibu yang hamil atau menyusukan anak, sekiranya si ibu hanya khuatir anaknya menjadi mudarat
• Orang yang berhutang puasa yang belum dijelaskan sehingga bertemu dengan Ramadan yang lain

3. Tidak Wajib Qadha’ Tetapi Wajib Fidyah
• Orang sakit yang tidak berdaya untuk berpuasa dan harapan sembuh sangat tipis
• Orang yang lemah kerana sudah tua dan tidak mampu lagi untuk berpuasa

HUKUM MENGGABUNG PUASA QADHA DENGAN PUASA SUNAT

1. Niat puasa enam tidak boleh disekalikan dengan puasa qadha’. Imam As-Syafi’i (di dalam Kitab Al-Umm) berpendapat dalam mensyarahkan bab “setiap amalan dengan niatnya” bahawa : hendaklah dibezakan ibadat puasa Ramadan, puasa nazar, puasa kafarat, puasa qadha’ dan puasa sunat. Imam Jalaluddin As-Suyuti (di dalam Kitab Al-Isybah) juga berpendapat hendaklah
diasingkan puasa Ramadan, atau nazar atau puasa sunnat. Namun, seseorang yang berniat puasa qadha’ di dalam bulan Syawal boleh juga dikurniakan pahala puasa enam (tanpa menjatuhkan niat tersebut) mengikut pendapat sebahagian ulama’.

2. Bolehkah mengumpulkan puasa qadha’/puasa sunat Isnin, Khamis dan sunat puasa bulan Rejab. Apakah hukumnya?
Sebahagian ulama tidak membenarkan mengumpulkan niat ibadat sunat dan wajib. Oleh itu, adalah baik sekiranya dipisahkan antara keduanya. Maka,dalam puasa qadha’ dan sunat, adalah wajib didahulukan puasa qadha’ kerana ia menjadi bebanan orang itu, sedangkan puasa sunat tidak menjadi bebanannya. Jika seseorang itu berpuasa qadha’ pada hari Isnin, Khamis atau pada hari-hari yang afdal berpuasa, maka niatkan puasa qadha’. InshaAllah, ia juga diberikan pahala sunat pada hari tersebut.

LAFAZ NIAT PUASA QADHA

Niat puasa qada’ adalah: “Sahaja aku puasa qadha’ esok hari kerana Allah S.W.T.”

SELAMAT MENYAMBUT RAMADAN AL-MUBARAK!!
TINGKAT ILMU, KUKUHKAN IMAN, LAHIRKAN IHSAN BERTAQWA.

USTAZ NAIM HASHIM
1 RAMADHAN 1428H

Tiada ulasan: