Sahabat Ilmu

Isnin, 24 September 2007

TAZKIRAH 7

BALA ALLAH YANG DAHSYAT…

Maksudnya: Maka masing-masing Kami binasakan dengan sebab dosanya, iaitu di antaranya ada yang Kami hantarkan angin ribut menghujaninya dengan batu dan ada yang dibinasakan dengan letusan suara yang menggempakan bumi dan ada yang Kami timbuskan dia di bumi dan ada pula yang Kami tenggelamkan di laut dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri. (al-‘Ankabut 40)

Saudaraku Yang Dirahmati Allah

TRAGEDI gempa bumi yang menghasilkan ombak besar tsunami di beberapa negara di Asia dan Afrika, menyebabkan ramai yang kehilangan orang dikasihi dan harta benda mereka.Kejadian itu banyak berlaku sejak dulu lagi. Kejadian demi kejadian menimbulkan reaksi pelbagai pihak termasuk pakar geologi, saintis dan kaji cuaca.
Kajian dan penelitian yang tidak berkesudahan itu hakikatnya masih gagal mengelak kematian setiap kali gempa bumi melanda. Gempa bumi di Tangshan, China pada 28 Julai 1976 dilihat terburuk kerana mengorbankan 240,000 nyawa. Tragedi ini sepatutnya mencelikkan mata semua pihak bahawa qada dan qadar Ilahi tidak mungkin diubah tanpa kehendak-Nya.
Peristiwa yang berlaku pada umat terdahulu dan pada hari ini adalah untuk menginsafkan kita agar menilai kembali tahap ujian dan dugaan yang menimpa diri. Pasti Allah tidak membebani umat manusia dengan perkara tidak mampu mereka tanggung. Dari sudut berbeza, kita sering tertanya-tanya, adakah bencana yang diturunkan Allah satu ujian atau balasan terhadap kecuaian manusia? Walaupun jawapannya milik mutlak Yang Maha Kuasa, sebagai hamba yang lemah kita wajar sensitif dengan apa juga yang diturunkan-Nya.
Musibah ini mungkin ujian kepada hamba-Nya agar bersabar dan meningkatkan nilai keimanan. Mungkin juga balasan Allah terhadap hamba yang berdosa dan lupa dengan kekuasaan-Nya. Ada yang berpandangan bencana ini adalah isyarat bahawa hari kiamat hampir tiba kerana struktur bumi dan peredaran masa berubah daripada kedudukan asal. Tidak kurang yang menyatakan bencana ini perancangan Allah untuk menyedarkan manusia agar tidak berbalah dan berperang. Kesempatan ketika turunnya musibah seperti ini berpotensi menjadi platform menjalinkan kembali hubungan baik dan kerjasama antara pihak bertelagah. Apa pun tanggapannya, setiap kejadian itu pasti ada motif atau hikmah yang kadangkala sukar dirungkaikan dengan akal manusia.

Kaum Muslimin Yg Berbahagia,
Kejadian yang sedang hangat diperbualkan ini adalah rentetan peristiwa yang disediakan Allah sebagai iktibar kepada umat manusia. Sedar atau tidak, manusia tidak boleh lari daripada sifat lupa dan atas dasar itu, mereka perlu diberi peringatan dari semasa ke semasa.
Sejak zaman Nabi Adam, umat manusia diperlihatkan dengan kejadian yang menginsafkan. Imbasan satu persatu kisah nabi terdahulu, pasti mengingatkan kita dengan kejadian yang penuh tragis seperti penyeksaan, pembunuhan, dan penderitaan. Namun, hakikatnya kesudahan terhadap kisah itu, pasti menunjukkan hamba-Nya yang berjaya menjalani ujian, memiliki tahap iman unggul. Sesungguhnya dalam hidup ini manusia tidak dapat lari atau dipisahkan daripada ujian terutama bagi mereka yang sentiasa mengejar kejayaan dan berusaha mendapatkan kebahagiaan.

Firman Allah bermaksud: “Dialah Tuhan yang mencipta mati dan hidup untuk menguji kamu, apakah kamu yang lebih baik amal perbuatannya, dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” – (Surah al-Mulk, ayat 2).
Tanggapan yang menyatakan hidup hanya untuk kesenangan adalah tidak tepat dan perlu disangkal. Mereka perlu berpandangan setiap perkara mempunyai nilai bahagia dan sengsara, untung dan rugi atau sihat dan sakit yang akhirnya mampu meyakinkan seseorang mengenai perlunya beriman kepada qada dan qadar Allah. Segala yang diberikan kepada kita adalah seni hidup yang sudah menjadi sunnatullah kerana itu ukuran terhadap usaha dan iman seseorang. Berjaya atau tidak seseorang mencapainya terletak kepada sejauh mana kemampuannya menghadapi ujian itu.

Firman Allah bermaksud: “Alif Laam Mim. Apakah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata kami beriman, sedangkan mereka belum diuji dengan sesuatu percubaan. Dan demi sesungguhnya kami telah menguji orang yang terdahulu daripada mereka, maka dengan ujian yang demikian nyatalah apa yang diketahui oleh Allah terhadap orang yang beriman dan nyata pula apa yang diketahui terhadap orang yang berdusta.” – (Surah al-Ankabut, ayat 1-3).Ujian itu kadangkala membabitkan kematian, namun ini adalah hakikat yang perlu diterima manusia. Kematian adalah penutup segala ujian Allah kepada manusia. Ahli keluarga dan sahabat si mati perlu reda dengan ketentuan Allah, di samping mengakui nikmat nyawa dan kemewahan hidup hanya pinjaman. Sesungguhnya, kita mesti yakin bahawa Allah swt mampu menurunkan ujian yang lebih perit dan hebat daripada apa yang kita dapat pada hari ini. Beban menanggung resah dan takut pun tidak dapat ditahan, apatah lagi menjadi mangsa kepada keperitan itu.

Saudaraku yang dimuliakan,

SATU lagi ujian yang juga dahsyat yang diberikan kepada umat manusia iaitu ujian dengan diberikan kekayaan, pangkat dan kesenangan. Ujian Allah melalui nikmat kesenangan dan kekayaan serta pangkat kebesaran lebih berat daripada ujian kesusahan dan kesakitan. Hal ini kerana umat manusia sering gagal dalam ujian itu. Nabi Muhammad bersabda bermaksud: “Sesungguhnya bagi setiap umat itu mempunyai ujian dan ujian bagi umatku adalah harta kekayaan." (Hadis riwayat at-Tirmizi) Sejarah Qarun jelas membuktikan seorang manusia yang gagal dalam ujian kesenangan dan akhirnya telah binasa dengan kesenangan itu.
Rasulullah pernah menyatakan firasat dengan sabdanya bermaksud: "Akan datang suatu zaman atas umatku, bahawa mereka sangat sukakan lima perkara dan melupakan lima perkara yang berlainan dengannya.
Mereka sukakan penghidupan lalu melupakan mati, mereka sukakan dunia dan melupakan akhirat, mereka sukakan harta kekayaan dan melupakan hari perhitungan, mereka sukakan rumah besar dan melupakan kubur, mereka sukakan manusia dan melupakan Tuhan Penciptanya." (Hadis riwayat Bukhari)
Justeru, segala ketentuan dan ujian yang diberi Allah sama ada berbentuk kesenangan atau kesusahan perlu disertai dengan reda dan tawaduk (akur dengan takdir).Namun, dalam konteks pembangunan dan pencapaian matlamat, takdir perlu disertai dengan usaha gigih agar konsep reda tidak disalah anggap secara jumud. Sekiranya ada yang menganggap peristiwa gempa bumi dan tsunami adalah balasan Allah kepada hamba-Nya, ia mungkin ada benarnya. Hal ini kerana hari ini pergolakan dan peperangan berlaku di mana-mana.
Fitnah dan tuduhan tanpa asas kukuh tersebar dengan mudah, seolah-olah tiada kuasa lain yang mampu menundukkan mereka. Malah, ada pihak yang berbangga dengan teknologi nuklear, bom atom dan persenjataan canggih yang dianggap mampu memusnahkan sesebuah negara. Keangkuhan mereka membatasi tanggapan bahawa setiap kejadian adalah atas kehendak Allah.
Gegaran 26 Disember yang telah lalu (tsunami) sekurang-kurangnya mampu mencelikkan mereka yang alpa dengan kehebatan yang dimiliki, apabila pakar menyatakan bahawa gegaran yang mengakibatkan tsunami itu sama seperti dentuman sejuta bom atom yang diledakkan serentak.
Sejarah umat terdahulu yang ingkar dan angkuh dengan perintah Allah juga banyak dijelaskan dalam al-Quran sebagai iktibar kepada umat kini. Allah mengingatkan kembali kisah pembalasan Firaun melalui firman-Nya bermaksud: "Dan ingatlah ketika Kami belah laut untukmu, lalu Kami selamatkan kamu dan Kami tenggelamkan Firaun dan pengikut-pengikutnya sedang kamu sendiri menyaksikan." (Surah al-Baqarah, ayat 50)
Dalam peristiwa keingkaran kaum Yahudi terhadap perintah Allah pula, kaum Yahudi pada masa itu bertukar menjadi kera yang hina akibat keingkaran mereka terhadap ajaran Allah. Firman Allah bermaksud : “Dan sesungguhnya telah kamu ketahui orang yang melanggar antaramu pada Sabtu (hari khusus untuk beribadah), lalu Kami berfirman kepada mereka : "Jadilah kamu kera yang hina."(Surah al-Baqarah, ayat 65) Begitu juga dalam sejarah Nabi Nuh, yang umatnya terlalu angkuh dengan akidah yang dibawa oleh baginda hingga menyebabkan mereka mati ditenggelami banjir besar. Keangkuhan ternyata apabila kaum Nabi Nuh memperlekehkan bencana yang dijanjikan oleh Allah.
Anak Nabi Nuh, bernama Qan'aan juga tidak terlepas daripada bencana itu walaupun berlari ke gunung yang tinggi. Sebahagian ahli tafsir menjelaskan bahawa walaupun Nabi Nuh memohon agar keluarganya terselamat, namun Allah menegaskan bahawa orang yang tidak beriman bukanlah keluarga baginda. Kejadian ini mengingatkan kita betapa gempa bumi tsunami juga tidak mengenal pangkat atau darjat seseorang Pembalasan yang dahsyat juga berlaku pada kaum Nabi Luth yang memperlihatkan kita betapa pengamal homoseksual mati ditelan bumi dalam keadaan menghinakan. Amalan seks rambang dan luar tabii tanpa diselubungi perasaan malu itu, akhirnya membinasakan mereka.
Kisah kaum Saba’ pula menginsafkan kita bahawa kemewahan dan kesenangan yang dimiliki perlu disertai dengan syukur dan takwa kepada pemberinya. Kisah kaum Saba’ turut dikisahkan dalam al-Quran dalam Surah Saba', ayat 16.
Kisah Kaum Madyan pula dikisahkan dalam surah Huud, ayat 84. Balasan seumpama kaum Thamud diberikan kepada kaum Nabi Syuaib yang ingkar itu terhadap seruan dakwah baginda dan mengamalkan riba serta penindasan dalam perniagaan mereka (mengurangkan timbangan).

Semua itu mampu dijadikan teladan kepada umat kini agar tidak tersalah langkah ketika berhadapan dengan hakikat kehidupan.
Justeru, walau apa pun pandangan atau tanggapan, tragedi tsunami perlu dilihat dari aspek positif. Allah menjadikan sesuatu peristiwa itu sebagai peringatan yang baik untuk kita semua. Mangsa walaupun insan tidak berdosa seperti kanak-kanak, namun ia bukan asas untuk menyalahkan takdir, apatah lagi mempertikaikan kekuasaan Allah. Perkara ini kerana Dia lebih tahu apa yang terbaik untuk hamba-Nya.
Usaha meningkatkan takwa dan kualiti diri perlu ditingkatkan. Golongan yang terselamat daripada bencana 26 Disember yang telah lalu, sewajarnya menganggap masih diberi ruang untuk memperbaiki diri agar lebih peka terhadap hakikat ujian dan pembalasan daripada Allah. Mangsa dan ahli keluarganya perlu bersabar dengan kehilangan ahli keluarga dan harta benda. Anggaplah ia sebagai satu ujian untuk meningkatkan keimanan dalam diri.

Hikmah dan teladan di sebalik peristiwa ini perlu diakui oleh umat Islam agar mereka tidak terjerumus ke lembah kekufuran. Peringatan Allah pasti ada bagi menyedarkan hamba-Nya yang lupa. Sekiranya iktibar dalam tragedi ini tidak dipegang dengan kemas, dibimbangi tragedi yang lebih dahsyat akan berlaku pada masa akan datang. Ia sebagai peringatan kepada umat yang telah lupa dan tidak bersyukur dengan ujian pada hari ini.

Firman Allah bermaksud: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahkan nikmat Ku kepada kamu, dan jika kamu kufur dan ingkar sesungguhnya azab Ku amatlah keras." (Surah Ibrahim, ayat 7)

Tiada ulasan: