APA SUDAH JADI DENGAN UMAT ISLAM !!!
Marilah kita renungkan pada diri kita sendiri, renungkan pada masyarakat sekitar kita, renungkan pada masyarakat daerah kita, renungkan pada masyarakat negeri kita, renungkan pada masyarakat negara kita, renungkan pada masyarakat dalam taman kita dan seterusnya renungkanlah pada seluruh masyarakat di seluruh pelusuk dunia ini. Hasil dari renung merenung itu, apakah yang kita dapat?
Kalau kita merenung mengikut hawa nafsu syaitan, maka syaitan akan mengheret kita duduk bersamanya. Kalau kita merenung mengikut hawa nafsu kebendaan semata-mata, kebendaan juga akan berjaya mengalih kita daripada mengingati Allah. Sebaliknya jika kita merenung mengikut kaca mata Islam, kita akan dapat melihat bahawa sekarang ini ramai orang yang mengaku beriman, dan nampak zahirnya seperti orang yang faham selok belok Islam, tetapi pada hakikatnya ramai orang yang hanya memahami Islam itu sekadar ibadah khusus sahaja dan tidak lebih daripada itu. Malah lebih teruk yang mengaku Islam dan beriman tetapi setiap saat dinaungi oleh dosa, maksiat dan lalai dengan perintah dan tegahan Allah s.w.t serta seronok dan leka dengan dunia yang akan membawanya kepada neraka Allah s.w.t. sekiranya mati tidak sempat bertaubat kepada Allah swt.
Inilah realitinya umat Islam hari ini. Mereka sudah tiada iman lagi, sudah hilang kemuliaan, kehormatan dan harga diri. Kerana inginkan pujian, pengaruh, pangkat, harta, wanita, wang ringgit dan seumpamanya, umat Islam sanggup membelakangkan iman dan hukum-hukum Allah semata-mata kerana kononnya ingin memburu ketenangan dan kemajuan mengikut pemikiran mereka sendiri. Mereka kira dengan cara itu mereka lebih mulia, hormat dan terpuji. Mereka menjual sesuatu yang mahal (iman dan Islam) untuk membeli dunia yang tiada nilainya. Mereka lupakan Allah dan rasul kerana kepentingan nafsu dan syaitan. Malahan kemuliaan dan kebahagiaan yang dicari semakin hilang.
Sejarah Islam memberitahukan kita bahawa rasulullah saw telah berusaha dengan segala apa yang Baginda mampu daripada kekuatan dan pemikiran serta dengan dokongan wahyu untuk mendirikan kalimah Islam yang berteraskan acuan yang telah ditetapkan oleh Allah serta mengukuhkan dakwah baginda. Baginda sanggup berkorban, berjihad, berhijrah, berperang demi memartabatkan dan mewujudkan kalimah Islam yang berdiri tegak atas landasan yang diredhai oleh Allah swt. Namun, pada hari ini majoriti umat Islam pada hari ini telah jauh mengabaikan segala perintah dan larangan Allah. Mereka lebih takut pandangan manusia daripada arahan Allah swt. Umat Islam pada hari ini tidak lagi perlu berhijrah sebagaimana hijrah Lahiriah, iaitu hijrah Rasulullah saw dari Mekah ke Madinah. Umat Islam kini hanya perlu berhijrah Maknawiyah sahaja iaitu berpindah atau berubah daripada keburukan kepada kebaikan, kezaliman kepada keadilan, kemaksiatan kepada ketaatan, kemungkaran kepada kebajikan, dosa kepada pahala, rugi kepada untung, penindasan kepada tolong menolong, perpecahan kepada perpaduan dan kehidupan hari ini, bulan ini, tahun ini lebih baik daripada kehidupan yang kita tinggalkan sebelum ini. Namun demikian, segala agenda mungkar yang telah di setkan oleh golongan Yahudi dan Nasrani dalam memusnahkan kehidupan umat Islam telah terlaksana dengan jayanya. Pelbagai kemungkaran telah bermaharajalela dibumi negara umat Islam termasuklah negara yang kita cintai ini. Pada hari ini…
1.betapa ramai manusia yang mengakui dirinya Islam tetapi tidak tahu dan tidak dapat mengucapkan kalimah syahadah malah tidak menganggap perkara ini sesuatu yang penting dan bermakna
2.dosa menjadi mainan malah dianggap ringan serta menjadi kebanggaan kepada umat Islam
3.sembahyang tidak lagi menjadi kewajipan malah dianggap sebagai gangguan dan bebanan.
4.zakat tidak lagi dianggap sebagai rukun malah dilihat sebagai satu paksaan.
5.puasa tidak lagi dianggap sebagai amalan malah dikatakan satu penyeksaan
6.ibadah haji bukan lagi menjadi suatu suruhan tetapi dianggap sebagai satu kepayahan dan pembaziran
7.jawatan, pangkat dan kebesaran menjadi tiket untuk menempah kekayaan dan bukannya menjadi satu amanah dan tanggungjawab.
8.larangan mendedahkan aurat tidak lagi dipedulikan malah dikatakan satu perkara yang menyusahkan, merimaskan dan ketinggalan zaman
9.rasuah menjadi pendekatan utama dalam memperolehi sesuatu yang dihajati.
10.minum arak dan berzina sudah dilakukan secara terang-terangan tanpa rasa malu dan segan malah sudah menjadi amalan seharian
11.judi dan riba menjadi rukun dan fardhu dalam setiap urusan perniagaan
12.pesta hiburan, konsert dan tarian menjadi agenda mingguan, bulanan dan tahunan
13golongan artis diraikan, disanjung dan mendapat pengiktirafan berbanding golongan ulamak&orang agama yang bagaikan ada dan tiada sahaja
14kejadian rogol, rompak dan bunuh menjadi berita utama diakhbar dan menjadi satu kebiasaan
15.perkara haram menjadi sumber dalam mencari pendapatan seharian
16.anak-anak menjadi derhaka dan tidak lagi menghormati kedua orang tuanya, membiarkan mereka keseorangan diwaktu tua&tidak mempedulikan samaada mereka sakit dan sbgainya
17.orang berada ramai yang menjadi bakhil serta leka dengan dunianya
18.peniaga menipu dalam perniagaannya serta berniaga sehingga sembahyang tidak tertunai
19.fitnah, pembohongan, dengki, khianat dan pendustaan menjadi perkara biasa dan
20.pelbagai lagi jenis kemungkaran dan kemaksiatan yang sudah sudah bertukar menjadi amalan dan keperluan dalam kehidupan seharian.
Oleh yang demikian, marilah kita meneruskan perjuangan suci dan murni yang telah ditinggalkan oleh rasulullah saw kepada kita dengan berusaha mengukuhkan akidah umat Islam daripada segala kesyirikan kepada Allah, menjauhkan jiwa umat Islam daripada segala kemaksiatan dan kemungkaran, menghapuskan pemikiran umat Islam daripada segala pemikiran dan perhambaan terhadap Barat yang bertentangan dengan syarak, membebaskan umat Islam daripada menjadi hamba kepada nafsu serta meningkatkan semangat untuk menunaikan segala perintah Allah, menegakkan segala hak Allah, mempertahankan kalimah-kalimah Allah dan melaksanakan segala hukum hakam yang telah ditetapkan oleh Allah swt moga-moga seluruh umat Islam tepelihara daripada kemurkaan Allah samaada di dunia mahupun di akhirat. Firman Allah swt,
“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan”. (al-Hajj ayat 41).
MUHAMAD NAIM BIN HASHIM
12 SEPTEMBER 2007
30 SYAABAN 1428 H
Rabu, 12 September 2007
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan