Sahabat Ilmu

Isnin, 24 September 2007

ARTIKEL ILMIAH 5

TRADISIONAL ISLAM DI DALAM DUNIA MODEN
(Pendidikan, Falsafah Dan Sains Islam)

Muhamad Naim Hashim
12 Ramadhan 1428H

1.1 PENGENALAN
Islam amat menitikberatkan mengenai ilmu atau pengetahuan. Segala ilmu yang terdapat di muka bumi ini semuanya datang dari Allah s.w.t. Manusia boleh berusaha untuk mendapatkan segala jenis ilmu melalui penyelidikan, pemikiran, pembelajaran, kajian, pemerhatian dan sebagainya. Perbincangan di sini akan memperkatakan mengenai ilmu-ilmu yang telah di perkenalkan oleh tokoh-tokoh Islam yang hebat bermula dari zaman Yunani dan Romawi lagi yang menjadi nadi serta kebanggaan kepada umat Islam dan tamadun Islam dalam memperkenalkan tamadun Islam kepada dunia Barat. Di antara ilmu-ilmu tersebut ialah ilmu Sains dan falsafah yang merangkumi ilmu Astronomi, Matematik, Fizik, Mekanikal, Perubatan, Botani, Kimia dan sebagainya. Hal ini kerana terdapat peranan tamadun Islam dalam membangkitkan Eropah daripada zaman kegelapannya. Sarjana Barat mengatakan bahawa:

1. Tamadun Islam hanya berperanan untuk menyimpan ilmu dan tradisi purba tamadun Yunani dan Romawi dan memindahkannya kepada Eropah.
2. Tamadun Islam tidak memainkan peranan yang penting untuk menambah ilmu pengetahuan yang bermanfaat dalam semua bidang pelajaran daripada bidang sains tabii hingga ke dalam bidang kemasyarakatan.(Sulaiman Noordin.2001:17).

Oleh yang demikian, kertas kerja ini akan menjelaskan dengan terperinci segala kekuatan dan kebenaran bahawa tamadun Islam melahirkan tokoh-tokoh gemilang di dalam bidang sains, falsafah dan kemasyarakatan berdasarkan fakta-fakta dan rujukan-rujukan yang munasabah serta contoh dan hujah yang benar (tepat). Firman Allah:

Maksudnya: “Hai orang-orang yang beriman, jika dating kepadamu orang fasiq membawa berita maka periksalah dengan teliti…”. (Surah al-Hujurat ayat 6)

2.1 PENDIDIKAN, FALSAFAH DAN SAINS ISLAM.
Walaupun pada zaman permulaan tamadun Islam hanya terdapat sedikit sahaja pusat pembelajaran, namun itu sudah cukup dan memadai bagi melahirkan tokoh-tokoh besar yang berjasa dalam dunia Islam dengan tujuan untuk memancarkan ilmu sains dan falsafah kepada seluruh manusia. Umat Islam tidak di paksa atau di bebankan untuk mempelajari ilmu-ilmu falsafah Aristotle atau perubatan India kerana segala ilmu tersebut sudah dimiliki oleh umat Islam iaitu termaktub di dalam al-Quran sebagai wahyu yang berteraskan pengetahuan di dalam semua aspek. Firman Allah s.w.t:

Maksudnya: “Demi al-Quran yang penuh dengan hikmah (ilmu)”. (Surah Yasin ayat 2).

Islam telah memulakan perbincangan di dalam ilmu yang berkaitan dengan ketuhanan dan falsafah yang dibinanya. Ini kerana agama lain juga mempunyai kepercayaan agama dan falsafah yang tersendiri. Oleh itu, umat Islam harus berdepan dengan cabaran pengetahuan berhubung dengan sains dan falsafah serta teologi mengikut kebenaran yang hakiki dengan menjadikan al-Quran dan al-Sunnah sebagai rujukan utama. Sebagai penyelesaian semua masalah di atas, usaha menterjemahkan falsafah dan sains Greek, Syria, Sanskrit dan Pahlavi kepada Arab telah dijalankan. Terdapat sebuah tempat terjemahan yang diiktiraf iaitu Bait al-Hikmah yang terletak di Baghdad. Ini di buktikan dengan fakta iaitu Khalifah Harun al-Rasyid telah menubuhkan banyak institusi pengajian dan yang terbesar sekali di Baghdad yang dikenali sebagai Bait al-Hikmah.(Azhar Mad Aros.1993:199).

Puncak keagungan intelek sains Islam adalah falsafah atau disebut ‘kebijaksanaan cemerlang’ (al-falsafah atau al-hikmat al-ilahiyyah). Ini kerana falsafah ini memiliki kepentingan spiritual sendiri yang dapat kekal dari dahulu hingga ke hari ini. Falsafah Tradisional adalah berasaskan kepada intelek individu. Falsafah Islam membina sekolah yang mengikut peradaban bukannya menjatuhkan atau menggulingkan seseorang ahli falsafah. Dalam abad 3rd/9th Falsafah Peripatetic yang digambarkan oleh Plato, Aristotle dan Plotinus dalam konteks dunia Islam telah dimulakan oleh Al-Kindi dan Al-Farabi dan mencapai kegemilangan pada zaman Ibn Sina yang merupakan model permulaan atau pengasasan dan dijadikan panduan untuk sejarah Islam masa kini. Di Spain, falsafah ini dijalankan oleh Ibn Bajjah, Ibn Tufayl dan Ibn Rushd. Di Barat sekolah ini telah dipulih atau diteruskan oleh Nasir al-Din al-Tusi pada abad 7th/13 dan menjadi intelek tradisional yang penting.

Selepas itu, Falsafah Isma’illi telah dicipta dari Falsafah Peripatetic tetapi ia lebih menjurus kepada tradisi Hermatic untuk menunjukkan secara jelas perbezaan falsafah dari segi kepelbagaiannya dan kemewahannya. Abu Hatim al-Razi, Abu Sulaiman al Sijistani dan beberapa orang lagi yang menulis mengenai falsafah ini untuk bersaing dengan sekolah Falsafah Peripatetic. Selain itu, Syaikh al-Ishraq Shibab al Din Suhrawardi memperkenalkan Falsafah Illumination iaitu pengetahuan yang diperolehi dari cahaya yang hakiki yang mengubah dari kegelapan dan kecahayaan. Shibab al-Din al-Suhrawardi (Sufi) telah mengambil teori falsafah Yunani iaitu dari Plotinus. ‘Shibab al-Din al-Suhrawardi (1155-1191M), dihukum bunuh kerana ajaran syiriknya oleh Kerajaan Salahuddin Ayyubi pada tahun 1191M. (Sulaiman Noordin.2001:22).

Semua falsafah ini mempunyai kepelbagaian untuk difahami dan membincangkan mengenai agama yang didedahkan melalui buku dan ramalan yang menguasai had pengetahuan seseorang. Falsafah ini dikaji dan ditapis agar dapat dikenalpasti bahawa ianya bersesuaian dengan perspektif Islam, ketuhanan dan benar menurut wahyu agar saling berhubung kait antara al-Quran dengan falsafah dan sains. Dengan ini, selagi Islam (al-Quran) dengan ilmu falsafah dan sains masih berhubungan maka akan terpeliharalah falsafah Islam. Ini kerana Teks filosopi Islam bukan hanya mengandungi metafizik dan logik sahaja tetapi juga falsafah mengenai alam yang berhubung kait dengan ketuhanan.

Antara ilmu yang terkandung dalam al-Quran adalah ilmu berhubung dengan ilmu kemasyarakatan (social scienses) yang memberi pedoman dan petunjuk berkaitan dengan perundangan halal dan haramnya sesuatu aktiviti, peradaban dalam muamalat antara manusia dan bidang ekonomi, perniagaan, sosio-budaya, peperangan dan perhubungan antarabangsa. Juga terdapat maklumat ataupun isyarat (hint-suggestion) tentang perkara-perkara yang telah menjadi tumpuan kajian sains. (Sulaiman Noordin.2001:39).

3.1 TOKOH-TOKOH ISLAM DAN SUMBANGANNYA

3.1.1 Bidang Matematik
Merupakan satu bidang yang paling banyak digunakan dalam bidang sains Islam. Menggabungkan matematik dari Greek dan India dan menghasilkan geometri, formula algebra, membina trigonometri dan teori nombor. Al-Khawarizmi merupakan ahli matematik yang memperkenalkan nombor yang dikenali sebagai algorism,manakala Khayyam dan beberapa tokoh Arab lain menghasilkan buku mengenai algebra dan trigonometri dan berusaha mengekalkannya dalam bahasa Arab. Seorang sarjana Barat, Sarton 1968 mengatakan: “Para pengkaji berkenaan dengan Zaman Pertengahan telah memberikan kepada kita idea yang palsu sama sekali tentang pemikiran sains zaman pertengahan kerana penumpuan mereka yang terlalu ekslusif kepada pemikiran Barat, sedangkan pencapaian yang tertinggi telah diperolehi oleh orang-orang Timur. ...sebutkan orang-orang ini kepada mereka...Al-Kindi, al-Khawarizmi, Thabit Ibnu Qura,...al-Kharkhi,...Omar Khayyam, yang seagung sarjana-sarjana yang dipuja di Barat”. (Sulaiman Noordin.2001:74).

3.1.2 Bidang Astronomi.
Aktiviti pertama yang dilakukan dalam bidang ini adalah berkaitan dengan perletakan arah qiblat dan pengiraan waktu untuk mengerjakan solat. Almagest merupakan ahli astronomi yang merupakan pembawa pengaruh kuat astronomi Islam di Barat. Manakala al-Biruni menulis mengenai ‘Mas’udic Canon’ yang merupakan seorang yang mempunyai pengetahuan lengkap mengenai astronomi di seluruh dunia ketika itu. Beliau juga berminat dengan matematik astronomi dengan menghimpun jadual bernombor dan jiz. Di samping itu beliau mencipta ‘astrolabe’ iaitu alat untuk menyukat ketinggian bintang.
3.1.3 Bidang Fizik.
Bidang ini menyumbangkan penjelasan kepada 3 perkara iaitu perkara berkaitan dengan alam, pergerakan benda dan optik. Bidang pergerakan dipelopori oleh Ibn Sina, al-Biruni, Abu’l Barakat al-Baghdadi dan Ibn Bajjah dengan membina idea dalam mekanik dan dinamik yang memberi kesan bukan sahaja kepada fizik tetapi juga kepada kerja-kerja awal oleh Galileo. Ibn Haytham pula mempelopori bidang optik dengan penghasilan ‘camera obscura’. Manakala Qutb al-Din Shirazi dan Kamal al-Din Farsi memperlengkap tentang fenomena pelangi.

3.1.4 Bidang Mekanikal
Matematik diaplikasikan dalam menggunakan alat-alat mekanikal oleh Banu Musa dan Ibn Haytham. Kedua tokoh ini menghasilkan banyak teknologi moden. Alat yang dihasilkan seperti mesin mengangkat air, pam air silinder, pemancut cairan automatik dan sebagainya. (Sulaiman Noordin. 2001:130,132, 133)

3.1.5 Bidang Perubatan.
Merupakan salah satu pencapaian dalam sains Islam. Perubatan ini berdasarkan Greek iaitu sumber Ironian dan Indian. Tokoh perubatan Islam ini terdiri daripada al-Razi, Ibn Sina menghasilkan buku ‘Canon of Medicine’, Ibn Zuhr merupakan ahli surgeri serta membina alat surgeri, dan Ibn Nafis menjurus kepada psikologi dan anatomi iaitu peredaran darah jangka masa panjang. Manakala Ibn al-Baytar dan al-Ghafiqi pula mengkaji tumbuhan yang mempunyai hubungan dengan perubatan.

3.1.6 Bidang Botani
Botani merupakan satu bidang yang dijelaskan secara mendalam di dalam al-Quran. Di antara firman Allah mengenai bidang ini ialah:

Maksudnya: “Dan kamu lihat bumi kering, kemudian apabila telah Kami turunkan air atasnya, hiduplah bumi itu dan suburlah ia dan menumbuhkan pelbagai macam tumbuh-tumbuhan yang indah”. (Surah al-Hajj ayat 5)

Al-Mas’udi merupakan ahli batoni yang hidup dalam ‘Zaman Perdebatan Agung’ (The Age of the Great Debate) iaitu zaman Assabiyyah. Mengakui dan menerima hakikat tentang kekuasaan dan campurtangan Allah keatas setiap peristiwa. (Wan Hashim&Mahayudin Haji Yahaya. 1986:74)

3.1.7 Bidang Geografi
Dipelopori oleh al-Idris yang menghasilkan peta yang pertama pada abad pertengahan dan memperolehi pengetahuan mengenai geografi secara mendalam di beberapa kawasan seperti Lautan India.

3.1.8 Bidang Kimia
Menghasilkan ilmu-ilmu sains utama seperti alchemy, physiognomy dan geomancy. Jabir Ibn Hayyan merupakan pakar kimia yang mengatakan bahagian rohaniah manusia boleh bertukar secara simbolik melalui proses kimia dari jiwa yang rendah kepada jiwa yang murni. Penukaran ini seolah-olah satu mukjizat seperti penukaran logam murah kepada emas. Ilmu kimia yang dipengaruhi dengan teori Yunani purba ini dikenali sebagai alchemy.

4.1 KESIMPULAN
Dengan keruntuhan tamadun Yunani dan Romawi telah memberi peluang kepada para pemikir Islam untuk mengisi ruang pengetahuan (falsafah, sains dan lain-lain) dengan penuh kegemilangan. Sains Islam telah wujud selama 7 abad di mana setiap bidang berkembang pada tamadun yang berbeza. Pada asalnya, kesemua ilmu pengetahuan seperti perubatan, kimia, matematik, mekanik, botani, fizik, astronomi dan sebagainya merupakan ilmu yang dimilki oleh umat Islam yang berteraskan wahyu daripada Allah s.w.t. Walaubagaimanapun terdapat kebanyakan sarjana Barat yang masih tidak mahu memperakui tentang kebenaran ini malah mengatakan bahawa sarjana Islam hanya mencedok daripada tamadun Barat. Bagi membuktikan bahawa ilmu ini adalah dari tamadun Islam, seorang sarjana Barat bernama Henry Grady Wearer dalam bukunya berjudul “The Mainspring of Human Progress” menyatakan:

“… dunia kini sangat terhutang budi kepada Saracen (orang Arab atau Islam pada zaman Perang Salib) dalam bidang sains, matematik, astronomi, ilmu pelayaran, perubatan moden pembedahan, pertanian saintifik dan pengaruhnya membawa kepada penemuan Amerika…”. (Mohd Arif Kasmo :18)

Di sini, jelaslah kepada kita bahawa tamadun Islam telah melahirkan tokoh-tokoh Islam yang hebat di dalam pelbagai bidang sepertimana yang telah dibincangkan dan zaman ini dikenali sebagai “Zaman Perkembangan Intelek Islam”.

5.1 RUJUKAN
Tafsir al-Quran
Azhar Mad Aros et.al.1993. Sejarah Islam. Selangor: IBS Sendirian Berhad.
Mohd Arif Kasmo. Tthn. Falsafah pembangunan. Bangi: Pusat Pangajian Umum Universiti Kebangsaan Malaysia
Sulaiman Noordin. 2001. Islam al-Quran dan ideologi masa kini. Bangi:Pusat Pengajian Umum Universiti Kebangsaan Malaysia.
Sulaiman Noordin. 2001. Sains menurut perspektif Islam. Bangi: Pusat Pengajian Umum Universiti Kebangsaan Malaysia.
Wan Hashim & Mahayudin Haji Yahaya. 1986. Sains sosial dari perspektif Islam. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Tiada ulasan: