Sahabat Ilmu

Isnin, 24 September 2007

TAZKIRAH 6

MERDEKA YANG TIDAK MERDEKA...


"Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya" .( Surah al-Isra' 36)

Bertakwalah kita kepada Allah dengan setulus hati semoga kita berjaya di dunia dan diakhirat.

Saudara Pembaca Sekalian,

Selain akal, nafsu juga dianugerahkan oleh Allah swt sebagai pelengkap fitrah hidup manusia. dengan panduan akal, nafsu akan disalurkan kearah yang dibenarkan oleh agama. Sebaliknya, akal yg dikawal oleh nafsu akan menghasilkan perlakuan buruk dan diharamkan oleh agama.

Tepat jam menunjukkan 12 malam tanggal 31 Ogos, seluruh Malaysia terutamanya di Dataran Merdeka&Dataran2 seluruh negeri acara tahunan akan berlangsung. Selepas jeritan merdeka, merdeka, merdeka…jiwa-jiwa dan pemikiran anak-anak muda dan anak-anak tua kita pun akan mula dijajah kembali. Yang merdeka hanya Negara tetapi budaya, adat, cara hidup, tingkahlaku, pemikiran, nafsu, semuanya belum merdeka.

Dijajah nafsu, dijajah kegilaan hiburan, dijajah keseronokan singkat yang mengundang bala berpanjangan, dijajah pemikiran pengabdian secara total kepada budaya najis dari barat dan juga dijajah oleh iblis yang telah mengisytiharkan peperangan terhadap Bani Adam seawal Nabi Adam a.s diciptakan.

Merdeka, merdeka, merdeka! Seruan yang dulunya menjadi laungan keramat tanda bebasnya Negara kita daripada penjajahan kuasa luar kini telah menjadi laungan keramat sebagai lesen penjajahan bentuk baru dalam jiwa anak-anak muda hari ini.

Sidang Pembaca Yang Berbahagia.
Sejarah tidak pernah menipu, dan sejarah jugalah yang menyaksikan saban tahun pemuda-pemudi Islam kita dijajah dan disamun kemuliaan serta mahkotanya oleh unsur penjajahan baru yang sehingga hari ini kita sedar dan masih buat2 tak sedar.

Pemuda-pemudi menjadi tidak keruan kerana otak mereka dijajah olah air-air khayal (air kencing syaitan) yang dilelong dan dijual secara jumbo sale pada malam merdeka di pelbagai premis seperti pasaraya dan juga kelab2 malam. Mereka bebas berzina dicelah2 ribuan manusia tanpa rasa malu dan segan. Mereka telah dirasuk oleh syaitan dengan iringan nyanyian dan tarian yang dianjurkan oleh orang yang mengaku diri mereka sudah merdeka.

Adakah ini cara sambutan kemerdekaan yang dianjurkan oleh Islam??adakah Allah meredhai sambutan sebegini??adakah Rasulullah akan memberi syafaat kepada penyambut sambutan seperti ini?? Namun, sambutan kali ke 50 pada tahun ini juga adalah sama dengan sambutan sebelum ini…masih tidak berubah2 malah semakin teruk dan menjadi2 kemaksiatannya.

Jika tiada hiburan tiada serikah hidup kita? Jika tiada hiburan, adakah kita tidak maju? Jika tiada hiburan, adakah kita dilihat kolot? Begitu parah sekali pemikiran kita dijajah dan diperkosa. Kehidupan kita hanyalah semata-mata untuk hiburan. Jika tiada hiburan, tiadalah kehidupan! Jika tiada hiburan kita akan ketinggalan zaman! Segalanya untuk berhibur, menghibur dan terhibur kemudiannya terlanjur dan hancur.

Dalam zaman yang serba moden ini sepatutnya umat Islam perlu lebih kreatif. Pemikiran umat Islam tidak selayaknya dijumudkan dengan menjilat dan menelan semua yang berasal dari barat. Sikap sebegini hanya akan merencatkan kekreatifan sesuatu bangsa dan hanya menjadikan umat Islam hamba pemikiran barat serta akan terus terjajah.

Seeloknya umat Islam di Malaysia khususnya dan didunia amnya menyemaikan jati diri bangsa merdeka dan menyuburkan semangat patriotic dengan gaya dan cara yang tersendiri yang tidak bertentangan dengan syariat Islam. Tiada countdown bukan beerti kita ketinggalan zaman dan dengan bercountdown tidak menunjukkan kita maju. Ia hanya mempamerkan keseronokan kita dan sikap meniru bangsa lain yang dianggap lebih keramat dan berdarjat.

Demi menunjukkan kita maju, countdown dan konsert besar-besaran dianjurkan sehingga larut malam yang akhirnya mengundang tahajjud bersama syaitan dicelah-celah pokok ditaman, ditempat2 awam, dirumah-rumah tumpangan, dihotel-hotel murah dan segala tempat demi menunjukkan kita sudah merdeka dan kita bebas melakukan apa saja kerana bumi ini kita yang punya.

Saudaraku Yang Dirahmati,
Mengapa mesti sesuatu acara yang bersulamkan maksiat diberikan galakan untuk hidup mekar dan terus diwarisi sepanjang zaman?? Jika lapar sangat hendak meniru budaya barat yang menghidupkan waktu malam mereka, hidupkanlah ia dengan cara yang lebih bermaruah dan diredhai oleh Allah dan rasulNya. Acara tatu angkatan tentera, pentomen pentas yang menginsafkan, puisi&sajak yang patriotik, acara berdoa dan bersolat berjemaah beramai-ramai, bacaan yasin dan tahlil untuk pejuang kemerdekaan yang telah gugur memperjuangkan kebebasan tanahair dan pelbagai acara lain yang bebas daripada maksiat yang boleh dijalankan untuk menyambut malam kemerdekaan.

Yang penting kita ada cara sambutan kita yang tersendiri sebagai umat Islam yang bernaung di bawah pemerintahan orang Islam didalam sebuah Negara yang diisytiharkan "Negara Islam". Acara sambutan yang tidak bercanggah dengan syariat tetapi selari dengan aliran zaman. Acara yang tidak membuka jalan kepada maksiat untuk dilakukan secara terbuka.

Kalaulah perkara seumpama ini pun tidak dapat kita fikirkan, jelaslah fikiran dan jiwa kita umat Islam masih lagi dijajah. Apalah ertinya merdeka Negara tetapi fikiran umatnya masih terjajah.

Bagaimanapun apa yang lebih penting bukanlah sambutan. Sambutan hanya hiasan, hanya simbol, hanya lambang, yang lebih utama sebenarnya ialah pengisian dan juga keadaan sebenar rakyat itu sendiri yang perlulah benar-benar merdeka.
Bagi umat Islam pula, kemerdekaan akidah mereka daripada kesyirikan adalah perkara pokok yang mesti diusahakan. Begitu juga halnya kemerdekaan jiwadaripada sifat mazmumah yang hanya mengundang bala didalam kehidupan dunia dan akhirat yang tidak boleh diabaikan. Seterusnya kemerdekaan pemikiran individu umat Islam daripada segala pemikiran dan perhambaan terhadap barat yang bertentangan dengan syarak juga penting agar mereka tidak selamanya menjadi pengikut agenda orang lain dan sentiasa berakhir menjadi penyaksi sejarah sahaja.

Selain itu, kemerdekaan umat Islam daripada perhambaan kepada nafsu juga tidak boleh dipandang ringan. Ini kerana perhambaan kepada nafsu akan menyebabkan mereka menjadi hamba kepada benda2 lain selain Allah. Contohnya, jika menurut nafsu, mereka akan menjadi hamba arak, hamba wanita, hamba taghut, hamba syaitan dan hamba duit. Bagi wanita pula mereka akan sentiasa dieksploitasi untuk menjadi hamba kapitalis yang hanya memandang mereka tidak lebih daripada peralatan untuk menggandakan keuntungan.

Sekali lagi untuk menjadi seorang yang merdeka, wajiblah terlebih dahulu menyedari diri ini hanyalah hamba kepada Allah s.w.t sahaja, hanya tunduk, patuh kepada perintah Allah semata-mata dan tidak sekali-kali melanggar perintahNya.

Sebarang pelanggaran dan meninggalkan perintah serta larangan Allah akan hanya menjadikannya hamba Allah yang derhaka dan celaka, tidak merdeka daripada menuruti hawa nafsu sendiri… maka berterusanlah kita dijajah.

Kaum Muslimin Yang Berbahgia.
Yang sebenarnya, untuk menjadi bangsa merdeka yang benar2 maju, bertamadun dan moden, kita mesti kembali kepada identiti dan maruah diri selaku umat Islam. Iman, Islam dan akhlak yang dikehendaki oleh al-Quran dan Sunnah mesti menjadi pakaian diri setiap umat Islam. Kerana disanalah kemuliaan, kehormatan dan kehebatan kita sebenarnya sebagai bangsa merdeka. Iman adalah kekuatan atau tenaga penggerak untuk menegakkan kemajuan atau tamadun Islam yang benar2 merdeka. Hukum2 Allah atau syariat itu sebagai perkara yang hendak dibangunkan yang menjadi syiar kemuliaan, kehebatan serta ketinggian Islam. Manakala akhlak Islam itu adalah hiasan yang menjadi daya penarik pada dunia tentang betapa benar dan indahnya Islam itu. Dengan ini barulah kita menjadi bangsa yang merdeka, Negara yang merdeka, dan menjadi individu muslim yang merdeka.

Persoalannya, adakah kita sekarang sudah merdeka?!!! Sama2lah kita para pembaca yang budiman dan umat Islam sekelian muhasabah diri kita sendiri. Sejauhmanakah amalan kita sejak dari kita baligh hingga ke hari ini?? Jika amalan kebajikan mendahului amalan kejahatan maka balasan baiklah yang menanti kita. Namun jika sebaliknya maka nerakalah yang sedang menanti kita.

Maksudnya:" …Dan sesiapa yang kufur ingkar kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya dan juga Hari Akhirat, maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh". (al-Nisaa' 136)

MUHD NAIM HASHIM
24/9/07

Tiada ulasan: