Sahabat Ilmu

Ahad, 7 Februari 2010

Teknik Rebonding - Hakikat dan Hukum

MUKADDIMAH

Sudah lama persoalan hukum teknik rebonding ditimbulkan. Cuma kesibukan dan sumber rujukan yang menyebabkan lambat untuk saya menulis tentangnya. Mudah2an dgn penulisan ini akan memberi ilmu yang bermanfaat kepada masyarakat agar mereka sentiasa berada di landasan kebenaran.

APAKAH ITU TEKNIK REBONDING

‘Rebonding’ merupakan sejenis teknik meluruskan rambut dengan menggunakan bahan kimia yang tertentu dan melalui proses yang tertentu. Bahan kimia tersebut akan mengurai struktur asal rambut dan membinanya kembali mengikut bentuk yang dikehendaki. Rambut yang melalui proses rebonding akan kekal dalam keadaan lurus sehinggalah rambut baru tumbuh.

Proses rebonding :

Proses ini mengambil masa lebih kurang 8 jam. Jika rambut lelaki biasanya 3 jam.

1. rambut dibasuh dengan syampu.

2. kemudian rambut dipisah-pisahkan dan dikenakan krim pelembut atau ‘relaxant’ untuk menjadikan rambut lurus. papan plastik kecil diletak bagi memastikan rambut kekal lurus

3. krim pelembut atau ‘relaxant’ tadi dibiarkan selama lebih kurang 30 minit, kemudian rambut dipanaskan dengan wap sebelum dibilas.

4. rambut dikeringkan dan dikenakan ‘keratin lotion’.

5. kemudian sejenis seterika khas untuk rambut yang mempunyai permukaan yang rata digunakan bagi memastikan seluruh rambut menjadi lurus, tiada saki baki yang tertinggal.

6. rambut dipisah-pisahkan sekali lagi, dan ‘neutraliser’ digunakan bagi mengukuhkan balik struktur rambut

7. neutralizer dibiarkan selama 30 minit dan dibilas. Kemudian ‘seterika khas’ digunakan sekali lagi dan rambut akan kelihatan lurus dan berseri.

Adakah rebonding membawa mudarat kepada rambut?

Krim pelembut atau ‘relaxant’ yang digunakan dalam teknik rebonding mengandungi unsur-unsur kimia yang mengubah struktur rambut dan boleh mengakibatkan rambut kering, lemah, dan masalah rambut gugur. Antara bahan kimia tersebut adalah sodium hydroxide, calcium hydroxide dan ammonium thioglycolate. Rambut yang dilakukan rebonding perlu mendapat penjagaan yang istimewa, jika tidak rambut tersebut akan mudah rosak.

MENGUBAH BENTUK ASAL RAMBUT MENURUT ULAMA

Ulama Syafie menyatakan bahawa mengkerintingkan rambut adalah perkara yang diharamkan melainkan sekiranya sudah berkahwin dan diizinkan oleh suaminya.

Imam Ramli (Ulama mazhab Syafie) berkata dalam kitabnya Nihayatul Muhtaj:

"Dan diharamkan seorang wanita mengkerintingkan rambutnya. Sekiranya wanita itu mendapat keizinan suamniya (bagi yang bersuami) atau tuannya (bagi hamba) untuk mengkerintingkan rambutnya maka diharuskan. Ini kerana suami ada hak untuk mendapat perhiasan pada isterinya. Ini disebut dalam kitab Radatut Tolibin oleh Imam Nawawi." (Jilid 2 ms 25)

Menurut ulama, seperti mana haram mengkerintingkan rambut, begitu juga dengan meluruskan rambut.

SEBAB PENGHARAMAN

Ada dua sebab bagi pengharaman ini. Ianya adalah seperti berikut:

SEBAB PERTAMA: PENGUBAHAN

Rasulullah saw bersabda:

لعن الله الواشمات والمستوشمات والنامصات والمتنمصات والمتلفجات للحسن المغيرات خلق الله
“Allah melaknat orang yang membuat tatu dan orang yang ditatu,pencukur kening dan orang yang dicukur kening,orang yang merenggangkan gigi untuk kecantikan yang mengubah ciptaan Allah” (Hr Bukhari Muslim)

Definasi pengubahan ciptaan Allah adalah seperti berikut:

إحداث تغييردائم في خلقة معهودة
“ Membuat perubahan kekal pada anggota yang normal

Menurut ulama , kekal disini tidak semestinya kekal selamanya. Pengubahan yang memakan masa berbulan-bulan juga dianggap sebagai pengubahan yang diharamkan sekiranya untuk kecantikan.

SEBAB KEDUA: PENIPUAN

Muawiyah berkata:

إن رسول الله صلى الله عليه وسلم بلغه فسماه الزور
" Sesungguhnya Rasulullah saw menamakan rambut palsu sebagai penipuan." (Hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim).

Bagi pengubahan rambut dengan teknik ini dianggap sebagai penipuan kerana manusia nampak seperti elok rambutnya padahal sebaliknya.

Kesimpulan:

Pengharaman ini untuk pengubahan yang ketara, dilihat jelas perbezaannya. dan berkekalan lama Adapun perubahan yang sedikit dengan bersikat, menggunakan gel dan dandanan rambut itu tidak dianggap perkara yang diharamkan. Malahan ini perkara yang disunatkan. Nabi saw bersabda:

مَنْ كَانَ لَهُ شَعْرٌ فَلْيُكْرِمْهُ
" Sesiapa yang memiliki rambut hendaklah dia muliakannya." Hr Abu daud - hasan sahih

Rujukan:
Nihayatul Muhtaj oleh Imam Ramli, Hafluz Zafaf Fil Feqhil Islami oleh Rafif Abdul Aziz Sabag, Al-Jarahah at-Tajmiliah oleh Dr soleh Fauzan. (terima kasih pd ikhwah yg cari maklumat tentang teknik rebonding)

Posted by akhisalman at 10:54 PM

Tiada ulasan: