Sahabat Ilmu

Isnin, 3 Oktober 2011

SYEIKH SA’ID NURSI (BADI’UZZAMAN)

“JIKA SAYA DIKURNIAKAN SERIBU JIWA, SAYA AKAN KORBANKAN KESEMUANYA UNTUK MENEGAKKAN UNDANG-UNDANG ISLAM” (Badi’uzzaman Sa’id Nursi)

Syeikh Sa’id Nursi lahir dan meninggal di Turki (1294H-1379H/1877-1960M). Hidup diera kejatuhan Khilafah Islam terakhir (Othmaniyah), salah seorang ulamak pejuang Islam yang amat gigih, menjadi penyuntik semangat kebangkitan umat di Turki sejak dari zamannya hingg ke hari ini. Islam dan umat Islam di Turki menghadapi tamparan yang amat hebat dari gerakan Sekular yang dipimpin oleh Mustafa Kamal Atartuk. Kerajaan Islam bukan sahaja berjaya dijatuhkan, malah umat Islam cuba dimurtadkan, sekolah-sekolah agama ditutup, tulisan-tulisan Arab dihapuskan dan aqidah tauhid kepada Allah cuba digantikan dengan aqidah Darwinisme. Namun para ulamak telah menjadi benteng kepada agama dan ummah. Secara terang atau tersembunyi mereka melancarkan gerakan mempertahankan Islam dan menyedarkan ummah sekalipun ramai yang dipenjara, diseksa dan dibunuh. Berkat kesabaran dan kegigihan mereka, Islam kekal menjadi anutan rakyat di Turki, kekejaman pemerintah Sekular Turki tidak mampu memadamkan cahaya Islam dan hari ini dunia telah menyaksikan umat Islam Turki sedang bangkit untuk menghidupkan kembali kerajaan Islam yang menjadi keunggulan mereka suatu ketika dulu.

Membaca kisah hidup Syeikh Sa’id Nursi kita dapat melihat keunggulan seorang hamba Allah yang menghimpunkan segala ciri manusia hebat dari kacamata Islam (selain para Nabi yang maksum);

1. Kekuatan aqli

Memiliki kecerdikan dan ingatan yang luar biasa. Dalam usia 16 tahun telah menguasai pelbagai cabang ilmu Islam dan beberapa kemahiran akademik di zamannya (matematik, falsafah, geografi dan sebagainya). Lantaran kepintaran yang luar biasa itu ia dicemburui oleh sebahagian ulamak di zamannya, mereka mengadakan satu majlis dialog untuk menguji kemampuan ilmu, akhirnya mereka terpaksa mengakuinya setelah segala persoalan yang dilontarkan berjaya dijawabnya dengan jawapan yang meyakinkan walaupun usianya masih belasan tahun. Sebagai pengiktirafan untuknya mereka memanggilnya dengan gelaran Badi’uzzaman (Keunggulan Zaman) yang terpakai sepanjang hayatnya dan disebut oleh penulis biodatanya hingga ke hari ini.

2. Kekuatan fizikal, berani dan cekal

Diceritakan bahawa Syeikh Sa’id Nursi merupakan seorang yang berbadan tegap dan sihat. Seorang yang sentiasa bersemangat tinggi dan berani. Ia juga seorang penunggang kuda yang cekap serta penembak yang baik. Ia menghadapi sesiapa yang merintangi jalannya dengan keberanian, kesabaran dan ketahanan.

Biasanya seorang ulamak hanya berlegar kehidupannya di sekitar buku, mengajar dan berdakwah sahaja. Namun Syeikh Said Nursi seorang yang amat berbeza. Ia pernah menjadi tentera membantu pasukan tentera Islam kerajaan Turki Otmaniyah untuk berperang dengan Rusia dan Eropah. Pertama kali pada tahun 1912 beliau menyertai pasukan sukarelawan dari Anatolia Timur untuk berperang di Balkan. Pada tahun 1915 beliau belayar dengan menaiki kapal selam Jerman (sekutu Kerajaan Turki Othmaniyah ketika itu) bersama tentera Turki dan beberapa ulamak yang lain, menuju ke Libya bertemu dengan Syeikh Muhammad Idris as-Sanusi dalam misi menyatukan pejuang-pejuang Islam agar bersatu di bawah Kerajaan Turki Othmaniyah untuk menghadapi penjajah-penjajah Barat/Eropah. Pada tahun 1916 –sekembali dari Libya- beliau memimpin satu pasukan tentera sukarelawan yang terdiri dari anak-anak murida dan pemuda-pemuda yang lain (berjumlah 4-5 ribu orang) membantu tentera Turki Othmaniyah menentang Rusia dan Armenia di Caucasia. Ditakdirkan Allah beliau telah ditawan tentera Rusia dalam peperangan tersebut (pada tanggal 14 Februari 1916). Beliau dibawa ke Moscow, Rusia. Selama 2 tahun setengah merengkok dalam penjara sebagai tawanan perang. Pada pertengahan 1918 beliau berjaya melarikan diri dari penjara dengan mengambil kesempatan dari kacau bilau yang berlaku di Rusia kerana revolusi Komunis. Beliau berjalan dari Moscow ke St. Petersburg, dari situ menyeberangi sempadan Jerman, merentasi Warsaw, Vienna dan Sofia hingga tiba di Istanbul pada bulan Jun 1918. Surat Khabar Turki yang terkenal ketika itu “Tanin” dalam keluarannya bertarikh 25 Jun 1918 telah membuat ulasan berikut; “Badi’uzzaman Sa’id Nursi, seorang ulamak Kurdi yang berjuang di medan perang Caucasia bersama murid-muridnya yang juga telah ditawan oleh orang-orang Rusia, akhirnya telah tiba di bandaraya kita (Istanbul)”.

3. Kezuhudan

Kehidupan dan makanannya sangat sederhana. Ia memilih untuk zuhud bukan kerana tidak mampu mengejar kemewahan. Orang yang cekal sepertinya tidak ada hasrat dan keinginan yang tidak berjaya dicapai. Jika ia ingin kaya, ia akan mencari kekayaan dan ia akan berjaya mendapatnya. Namun sengaja ia memilih kezuhudan sebagai persediaan untuk menghadapi zamannya. Seketul roti dan sudah cukup baginya. Ia gemar memakai pakaian kebangsaan bangsa Kurdi serta berserban. Kehidupannya dipengarusi latihan kesufian yang bersifat jundi (bukan sufi zikir semata-mata). Di antara peraturan sufi yang dijalaninya ialah terjun ke dalam air sejuk ketika musim sejuk dan merantau berhari-hari di bukit-bukit di Anatolia yang bersalji dengan berbekal beberapa keping roti sahaja. Ia berkata; hal itu menguatkan lagi keyakinannya. Ia juga suka bersunyi-sunyi pada masa-masa tertentu kerana beribadah dan berdoa.

4. Produktif

Dalam kesibukannya, Syeikh Sa’id Nursi tetap meneruskan tradisi ulamak-ulamak silam yang membuktikan kemantapan ilmu dan daya intelek mereka, iaitu menghasilkan karya-karya penulisan yang dibaca oleh umat pada zaman mereka dan zaman-zaman berikutnya. Beliau telah menghasilkan siri-siri penulisan yang cukup banyak yang diberi nama Rasailun-Nur (Risalah-Risalah Cahaya), mencapai 6000 muka surat keseluruhannya. Hari ini karya-karyanya telah diterbitkan semula (diusahakan oleh Ihsan Qasim as-Solihi, beliau menghimpun dan menterjemahkannya ke dalam Bahasa Arab dari bahasa asal Turki dan Kurdi) dalam 9 jilid besar yang diberi judul;

a) al-Kalimaat
b) al-Maktubaat
c) al-Lam’aat
d) as-Syi’a’aat
e) al-Malahiq
f) Sirah Zatiyah
g) Isyaraat al-I’jaz Fi Mazanil-Ijaz
h) al-Masnawi al-‘Arabi al-Nuri
i) as-Saiqal al-Islami wa Rasail Ukhra

5. Kesetiaan pada cita-cita hidup

Seorang manusia hebat tidak hidup tanpa arah tuju yang jelas. Membaca kisah Syeikh Sa’id Nursi dari awal hingga akhir kita akan melihat kesetiaannya yang tidak pernah longgar kepada cita-cita hidupnya, iaitu untuk berbakti kepada Allah dan agama Allah (Islam). Di antara ucapan yang beliau pernah lontarkan;

 “JIKA SAYA DIKURNIAKAN SERIBU JIWA, SAYA AKAN KORBANKAN KESEMUANYA UNTUK MENEGAKKAN UNDANG-UNDANG ISLAM. UNDANG-UNDANG INI ADALAH SUMBER KEBAHAGIAAN, KEADILAN DAN KEBAIKAN YANG HAKIKI. SAYA ADALAH PENGIKUT AL-QURAN DAN SAYA MENILAI SEMUA PERKARA MENURUT UNDANG-UNDANG ISLAM. KERAKYATAN KAMI IALAH ISLAM DAN SEGALA MASALAH KAMI PERTIMBANGKAN MENURUT KACA MATA ISLAM. SAYA TIDAK DAPAT MENERIMA SEGALA PERKARA YANG BERTENTANGAN DENGAN ISLAM. SEBENARNYA, SAYA SEDANG MENUJU KENDERAAN YANG AKAN MEMBAWA SAYA KE ALAM BARZAKH. DENGAN DEMIKIAN BARULAH TERDEDAH KEBENARAN YANG SEDANG BERSEMADI DALAM SANUBARI SAYA INI SEBAGAIMANA YANG TERMAKTUB DI DALAM AL-QURAN; (PADA HARI YANG AKAN DINAMPAKKAN SEGALA RAHSIA) (SURAH AT-TARIQ, AYAT 9)”

(Dinaqal dari buku; Mujaddid Islam Syeikh Badiuzzaman Said Nursi, suntingan Wan Jaffree Wan Sulaiman, penerbitan Hizbi (1987), halaman 12).

Kematian

Pada 18 Mac 1960, Syeikh Sa’id Nursi jatuh sakit yang agak tenat. Beliau menderita demam sejuk. Doktor menyuntiknya dan ia pun terus lena sekejap. Apabila ia bangun, wajahnya mengukir senyuman. Lalu ia berkata kepada orang-orang yang berada bersamanya; “Saudara-saudara, Rasailun-Nur sudah menjadi terkenal. Puak Freemason dan Komunis sudah dikalahkan”. Beliau mengulangi ayat-ayat ini sebanyak tiga kali dan kemulian beliau pengsan.

Pada 23 Mac 1960 bersamaan 25 Ramadhan 1379 Hijrah, beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir (jam 3.00 pagi). Beliau dikebumikan di Bandar Urfa setelah disolatkan jenazahnya oleh ribuan orang. Pada hari itu semua kedai-kedai di daerah itu ditutup sebagai menghormati kematiannya. Namun rejim secular Mustafa Kamal Atartuk tidak pernah redha dengan ulamak dan penjuang Islam ketika hidup dan ketika mati. Lantaran kerana iri hati melihat ramainya orang Islam menziarahi kubur Syeikh Badi’uzzaman yang tidak pernah putus-putus, pada 12 Julai 1960 (iaitu 111 hari setelah kematiannya), di tengah malam, satu pasukan tentera dihantar untuk mengorek kubur beliau di hadapan adiknya sendiri Abdul Majid Nursi, kemudian dipindahkan ke Isparta dan dikebumikan di satu tempat yang tidak diketahui hingga ke hari ini. Saksi-saksi yang melihat peristiwa itu memberitahu; wajah Syeikh Sa’id Nursi tetap elok seperti biasa walaupun sudah mati selama 100 hari lebih.

Semoga Allah merahmati beliau, mengurniakan darjat tertinggi untuk beliau di dalam syurgaNya dan mengurniakan syafaat ulamak-ulamak sepertinya untuk kita berkat kecintaan kita kepada mereka. Sabda Nabi s.a.w.; “Seseorang itu akan bersama siapa yang ia kasihi di akhirat nanti” (HR Imam al-Bukhari dan Muslim dari Ibnu Mas’ud r.a.).

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Mujaddid Islam Syeikh Badiuzzaman Said Nursi, suntingan Wan Jaffree Wan Sulaiman, penerbitan Hizbi (1987).
2. Ensiklopedia Bebas (http://ar.wikipedia.org/).

Ustaz Ahmad Adnan Fadzil

Tiada ulasan: