Sahabat Ilmu

Sabtu, 29 Ogos 2009

Pelihara diri dari melakukan maksiat di bulan Ramadhan




Pelihara diri dari melakukan maksiat di bulan puasa

Puasa adalah suatu ibadat yang disyariatkan untuk membersihkan diri, menghidupkan jiwa, menguatkan iman dan merupakan persediaan untuk menjadi seorang yang bertaqwa kepada Allah swt, sepertimana firman Allah di dalam al-Quran :

Maksudnya : "Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sepertimana yang diwajibkan kepada orang-orang sebelum kamu, semoga kamu bertaqwa." (al-Baqarah : 183)

Kerana itu seseorang yang berpuasa sewajarnya memelihara dirinya dari melakukan sesuatu yang dapat mencacatkan atau merosakkan puasanya. Penglihatan, pendengaran dan semua anggota perlu dipelihara dari melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah swt. Lidah tidak berkata perkara-perkara yang sia-sia dan lucah, tidak bertengkar dan tidak melakukan sesuatu yang tidak senonoh. Seseorang yang berpuasa dituntut supaya banyak bersabar, apabila seseorang melakukan kejahatan kepadanya, dia tidak membalas kejahatan itu dengan kejahatan juga, sebaliknya dia menolak kejahatan itu dengan cara yang lebih baik .

Puasa yang sebenarnya ialah yang dapat menghalang kita dari melakukan maksiat dan dosa kepada Allah swt dan seterusnya menyelamatkan kita dari azab Allah di akhirat kelak. Puasa yang sebeginilah yang digambarkan oleh Salaf al-Solah dengan perkataan mereka :

Maksudnya : “Sesungguhnya puasa yang diterima itu ialah puasa bersamanya semua anggota dari melakukan maksiat, dalam keadaan perutnya dan kemaluannya berpuasa dari syahwat.” Inilah juga yang ditekankan oleh hadith Nabi saw :

Maksudnya : “Puasa itu adalah perisai, maka jika seseorang daripada kamu berpuasa, maka janganlah dia berkata keji atau kotor dan jangan pula dia melakukan sesuatu seperti perbuatan orang yang bodoh perihal hukum agama, jika seseorang mengajaknya bertengkar atau mencelanya, maka hendaklah dia katanya ; “Sesungguhnya aku seorang yang sedang berpuasa, sesungguhnya aku seorang yang sedang berpuasa.” (HR al-Bukhari)

Sabda Nabi saw lagi :

Maksudnya : “Sesiapa yang tidak dapat perkataan dusta dan condong kepada keburukan dan suka mengerjakannya, maka tidak ada bagi Allah suatu hajat dari puasanya.” (HR al-Bukhari)

Sabda baginda juga : (Maksudnya) : “Berapa ramai yang berpuasa, tidak ia perolehi dari puasanya melainkan lapar sahaja.” (HR al-Nasaie, Ibn Majah) Imam Ahmad, al-Hakim dan al-Baihaqi pula meriwayatkan : (Maksudnya) : “Berapa ramai yang berpuasa, tidak ia perolehi dari puasanya melainkan lapar dan dahaga.”

Bimbang akan puasa yang tidak diterima oleh Allah, semua sahabat Baginda saw bersungguh-sungguh berusaha menjadikan puasa mereka berperanan sebagai pembersih jiwa dan anggota badan, dan menjauhkan mereka dari dosa dan ma’siat . ‘Umar bin al-Khattab r.a. berkata :

Maksudnya : “Bukanlah puasa itu (semata-mata) daripada minum dan makan sahaja, akan tetapi (puasa dari) berbohong, perkara yang batil dan lagha.”

Apakah maksiat membatalkan puasa ?

Para ulama berbeza pendapat, apakah maksiat membatalkan puasa ataupun tidak. Sebahagian Salaf berpendapat maksiat membatalkan puasa, maka sesiapa yang melakukan maksiat seperti berdusta, mengumpuat, menfitnah, atau mendengar perkara yang diharamkan oleh Allah, atau melihat perkara yang diharamkan oleh Allah seperti melihat aurat wanita dengan syahwat, atau tangannya melakukan sesuatu yang haram atau menyakiti manusia dan haiwan tanpa hak, atau mengambil sesuatu yang bukan haknya atau kakinya berjalan menuju ke tempat maksiat atau melakukan perkara-perkara haram yang lain, semua ini membatalkan puasanya. Maka lidah juga boleh membatalkan puasa, demikian juga telinga, tangan dan kaki. Semuanya sama sepertimana perut dan kemaluan yang boleh membatalkan puasa. Inilah pendapat sebahagian ulama yang mengatakan semua maksiat itu membatalkan puasa.

Maka sesiapa yang melakukan maksiat ketika berpuasa, hendaklah dia menggantikan puasanya. Inilah yang zahir, yang diriwayatkan daripada sebahagian sahabat dan tabiien, inilah juga mazhab al-Imam al-Auzaie, dan disokong oleh Ibn Hazm dari mazhab al-Zohiriyah.

Berbeza dengan jumhur (kebanyakan) ulama, mereka berpendapat maksiat tidak membatalkan puasa, sebaliknya mengaibkan puasa berdasarkan besar atau kecilnya maksiat yang dilakukan. Ini kerana maksiat tidak terlepas dari seseorangpun melainkan sesiapa yang dipelihara oleh Allah swt, terutamanya maksiat lisan. Kerana itu Imam Ahmad berkata :

Maksudnya : “Kalaulah al-Ghibah (mengumpat) itu membatalkan puasa, tidak ada bagi kita (sesuatu dari) puasa."

Jumhur ulama mengatakan maksiat tidak membatalkan puasa seperti makan dan minum sebaliknya ia mengurangkan pahala puasa. Perkara ini sewajarnya tidak diambil ringan oleh orang yang berpuasa. Mustahil seseorang yang berpuasa, menahan lapar dan dahaganya, menjauhi kehendak syahwatnya, dalam keadaan dia merelakan dia keluar dari bulan Ramadhan sedang dia tidak memperolehi apa-apa kebaikan dari puasanya.

Sesungguhnya puasa Ramadhan itu berperanan membersihkan kita dari dosa-dosa kita yang telah lalu. Sewajarnya kita keluar dari bulan Ramadhan dalam keadaan diampunkan dosa kita, dibersihkan dari segala dosa terutamanya dosa-dosa kecil. Sabda Nabi saw :

Maksudnya : “Solat lima waktu, jumaat ke Jumaaat, Ramadhan ke Ramadhan berperanan sebagai penghapus dosa antaranya, selama-mana seseorang itu menjauhi dosa-dosa besar.” (HR Muslim)

Inilah antara kelebihan puasa, maka sesiapa yang mengotori puasanya dengan melakukan maksiat, bermakna dia telah mengurangkan peluang untuk dihapuskan dosa-dosanya. Dia tidak berhak memperoleh keampunan yang dijanjikan. Bahkan ada kemungkinan dia termasuk di dalam doa Jibril yang diaminkan oleh Nabi saw :

Maksudnya : “Sesiapayang mendapati Ramadhan, tetapi tidak diampunkan dosanya, maka puasanya itu menjauhkannya dari Allah.” (HR Ibn Hibban di dalam Sahihnya)

Wallahu a’lam.

Tiada ulasan: