Syarat-syarat wajib puasa ada lima perkara:
1.Islam - orang-orang kafir tidak wajib berpuasa.
2.Sampai umur - kanak-kanak yang belum cukup umur tidak wajib berpuasa.
3.Berakal (siuman)-orang yang gila tidak wajib berpuasa.
4.Berkuasa (berdaya) berpuasa - orang yang sakit merbahaya, orang tua yang lemah dan sebagainya tidak wajib berpuasa.
5.Bermukim - orang yang dalam pelayaran (musafir) lebih daripada dua marhalah tidak diwajibkan berpuasa, tetapi wajib mengqada'nya di hari yang lain.
Syarat-syarat sah puasa ada enam perkara:
1.Islam - tidak sah puasa orang-orang kafir dan orang murtad.
2.Berakal atau mumaiyiz - tidak sah puasa orang yang hilang akal atau belum mumaiyiz.
3.Suci daripada haidh dan nifas sepanjang siang hari puasa.
4.Berniat tiap-tiap malam.
5.Menahan diri dari segala yang membatalkan puasa.
6.Pada hari yang sah puasa - tidak sah puasa pada hari yang diharamkan berpuasa.
Perkara-perkara yang disunatkan bagi orang-orang yang berpuasa adalah:
1.Menyegerakan berbuka puasa manakala telah yakin masuk matahari.
2.Berbuka puasa dengan buah tamar atau benda-benda manis, dan jika tidak didapati dengan air.
3.Membaca do'a yang diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w.
4.Makan sahur
5.Menta'khirkan (melambatkan) makan sahur, tetapi janganlah sampai masa yang disyak naik fajar.
6.Mandi kerana mengangkat hadath besar sebelum fajar.
7.Membanyakkan bersedekah dan ibadah seperti membaca Al-Quran, sembahyang sunat seperti Tarawih dan Witir.
8.I'tikaf
Puasa akan batal dengan salah satu daripada perkara-perkara di bawah ini :
1.Memasukkan sesuatu benda ke dalam rongga yang terbuka dengan sengaja.
2.Memasukkan sesuatu ke dalam dubur (jalan belakang) atau qubul (jalan depan) dengan sengaja.
3.Muntah dengan sengaja (jika termuntah, tidak batal puasa).
4.Bersetubuh dengan sengaja, sekalipun tidak mengeluarkan mani.
5.Mengeluarkan mani dengan sengaja atau dengan jalan bersuka-suka seperti berpeluk cium dan sebagainya.
6.Kedatangan haid atau nifas.
7.Gila sekalipun hanya sekejap masa.
8.Mabuk atau pengsan sepanjang hari, dari terbit fajar hingga terbenam matahari.
9.Bersalin.
10.Murtad-iaitu orang yang keluar daripada agama Islam, sama ada dengan hati, perkataan atau perbuatan.
Perkara-pekara yang makruh dilakukan oleh orang yang berpuasa adalah:
1.Menggosok gigi selepas gelincir matahari.
2.Merasa makanan-takut sampai ke rongga.
3.Memamah sesuatu-kerana membanyakkan air liur dan ditakuti akan tertelan.
4.Mencium atau mengkucup isteri.
5.Banyak berkumur-kumur.
6.Mengeluarkan darah seperti berbekam dan lain-lain.
Beberapa adab-adab yang baik bagi menambah kesempurnaan dan pahala puasa adalah:
1.Jangan banyak berludah.
2.Jangan membuang masa dengan berbual-bual kosong dan melakukan perkara tidak berfaedah.
3.Menghindar diri daripada melihat perkara-perkara yang haram.
4.Menjauhkan diri dari sebarang pendengaran yang haram.
5.Jangan mengeluarkan perkataan-perkataan yang mencarut dan kotor.
6.Menguasai tangan dari melakukan perbuatan haram dan menahan kaki dari berjalan ke tempat-tempat maksiat.
7.Jangan berlebih-lebihan makan dan minum ketika berbuka.
8.Jangan boros dalam perbelanjaan makan minum dan sebagainya.
9.Jangan banyak tidur, terutamanya pada siang hari.
PERKARA-PERKARA YANG MENGHARUSKAN BERBUKA
1.Kedatangan haid dan nifas.
2.Sakit yang membahayakan.
3.Sakit yang tiada harapan sembuh.
4.Tersangat lapar atau dahaga yang membahayakan.
5.Dalam perjalanan (safar) sejauh dua marhalah atau lebih.
6.Tua yang tidak berdaya untuk berpuasa.
7.Kandungan dalam perut bagi perempuan.
8.Menyusukan anak kecil.
ORANG-ORANG YANG WAJIB IMSAK DAN TIDAK WAJIB IMSAK
Orang-orang yang berikut dibawah ini adalah diwajibkan imsak, yakni menahan diri daripada makan minum waktu siang hari pada bulan ramadhan, sekalipun mereka itu dikira tidak mengerjakan puasa:
1.Orang yang meninggalkan puasanya dengan sengaja.
2.Orang yang meninggalkan berniat puasa pada waktu malamnya.
3.Orang yang kesiangan pada makan sahurnya.
4.Orang yang berbuka kerana menyangkakan masuk matahari rupa-rupanya masih siang.
5.Orang yang menyangkakan 30 Sya'ban, kemudian ia mengetahui telah masuk satu ramadhan.
6.Orang yang berlebih-lebihan pada berkumur-kumur dan masuk air ke dalam hidungnya.
Orang-orang yang tidak wajib imsak:
1.Kanak-kanak yang hampir baligh.
2.Orang gila ketika sembuh.
3.Orang kafir pada ketika masuk Islam.
4.Orang yang dalam perjalanan (musafir) ketika sampai ke tempat yang dituju.
5.Orang yang sakit pada ketika sembuh.
MELAKUKAN PERSETUBUHAN DAN KUFARAT KERANA BERSETUBUH
Hukum melakukan persetubuhan pada siang bulan ramadhan:
1. Persetubuhan itu akan membatalkan puasa jika dilakukan dengan sengaja (dalam keadaan sedar) sekali pun tidak keluar mani.
2. Menyebabkan wajib membayar kifarat (denda) selain mengqadha' puasa bagi orang yang melakukan persetubuhan (pihak lelaki sahaja) jika sekiranya:
-Persetubuhan dilakukan pada siang hari.
-Persetubuhan dilakukan dengan sengaja (tidak kerana lupa atau dipaksa)
-Puasa yang dilakukan pada bulan ramadhan (bukan kerana nazar, kifarat, puasa qadha' ramadhan dan lain-lainnya).
-Tidak didahului oleh pembatalan puasa dengan makan dan minum dan seumpamanya.
Kifarat kerana bersetubuh:
1. Banyak kifarat disediakan bagi banyak hari - bukan banyak kali persetubuhan dilakukan. Ertinya, jika seseorang itu bersetubuh beberapa kali dalam sehari, maka diwajibkan hanya satu kifarat sahaja, dan jika bersetubuh dua hari, diwajibkan dua kifarat dan demikianlah seterusnya.
2. Satu kifarat atau denda bagi orang yang melakukan persetubuhan ketika berpuasa pada bulan ramadhan ialah:
-Memerdekakan seorang hamba yang mukmin, jika tidak kuasa;
-Wajib berpuasa dua bulan berturur-turut, jika tiada kuasa;
-Wajib memberi sedekan 60 cupak makanan asasi kepada 60 orang miskin secupak seorang.
DARJAH-DARJAH PUASA
Puasa tu mempunyai 3 darjah (tingkatan):
1. Puasa 'Umum'
Puasa kebanyakan orang hanya dengan menahan diri daripada makan, minum dan keinginan syahwatnya.
2. Puasa 'Al-Khusus'
Berpuasa dengan cara menahan diri dari makan, minum, memelihara syahwat keinginannya, serta mengawal anggota-anggota yang zahir seperti mata, telinga, lidah, tangan, kaki dan bahagian sulit daripada melakukan maksiat.
3. Puasa 'Khususul Khusus'
Berpuasa dengan cara memelihara segala perkara yang tersebut di atas tadi, sambil menjaga hatinya daripada berfikir mengenai hal ehwal dunia dan sifat-sifat riak, 'ujub, takabbur dan lain-lainnya.
SELAMAT BERPUASA DAN MEMPERTINGKATKAN IBADAH
DARIPADA:
USTAZ MUHAMAD NAIM DAN SITI HAJAR
017-3112753/54
SALAM RAMADHAN
Jumaat, 21 Ogos 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan