Sahabat Ilmu

Rabu, 15 Februari 2012

TAYAMMUM DAN MENGAMBIL WUDHUK DALAM TANDAS

Soalan; Assalamua'laikum Ustaz. Saya ingin dapatkan pandangan Ustaz berkenaan wudhuk.

1) Rumah saya tidak mempunyai tangki air (yang biasanya terletak dibawah bumbung rumah). Bagaimanapun, saya mempunyai 2 tong air kecil didalam bilik air saya. Rumah saya juga tidak mempunyai pasir untuk dibuat tayamum. Sekiranya bekalan air ke rumah saya terputus, pada pendapat Ustaz, apakah cara yang boleh saya lakukan agar saya dapat berwudhuk / tayamum bagi membolehkan saya bersolat dirumah?
2) Apakah hukum sekiranya saya mengambil wudhuk didalam tandas (sebagai contoh, tandas awam/pejabat)?

Jawapan;

1. Bila kita keputusan air untuk mengambil wudhuk, kita diharuskan untuk bertayammum. Namun sebelum diharuskan bertayammum itu, kita wajib berusaha mencari air terlebih dahulu di kawasan sekitar kita. Mungkin di rumah tidak ada air, namun di kawasan sekitar kita ada air termasuk dengan kita pergi ke surau atau masjid berdekatan. Setelah dipastikan benar-benar tidak ada air, barulah diharuskan tayammum. Tayammum dilakukan dengan debu tanah mengikut jumhur ulamak (termasuk mazhab Syafi’ie).

Ada ulamak mengharuskan bertayammum dengan segala yang ada di atas permukaan bumi; tidak hanya tanah, tetapi juga pasir, kapur, batu dan seumpamanya. Anggota tayammum ialah muka dan dua tangan sahaja, iaitu dengan menyapukan debu tanah ke muka dan dua tangan. Jika ditakdirkan tidak ada kedua-duanya (yakni air dan debu) setelah diusaha mencarinya, wajib ditunaikan juga solat fardhu sebelum habis waktunya walaupun dalam keadaan tidak bersuci.

Menurut mazhab Syafi’ie; solat yang ditunaikan tanpa bersuci itu tidaklah sah, cuma sebagai menghormati waktu solat sahaja. Kerana itu, ia wajib diulangi apabila bertemu air atau debu nanti.

Sebahagian ulamak berpandangan; tidak perlu diulangi semula kerana solat yang dilakukan itu sudah dikira sekalipun tanpa berwudhuk atau bertayammum kerana hal tersebut dilakukannya kerana terpaksa. Antara yang menyokong pandangan kedua ini ialah Imam al-Muzani dan Imam an-Nawawi (dalam kitabnya Syarah Soheh Muslim). Berkata Imam al-Muzani; “Solat yang diperintah agar dilaksanakan di dalam waktunya sekalipun ada suatu kekurangan, tidak wajib mengqadhanya (apabila telah dilakukan)”.

2. Mengenai mengambil wudhuk di dalam tandas (iaitu tempat yang dikhaskan untuk manusia kencing dan berak), tidaklah terdapat larangan khusus dari Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-.

Namun menurut ulamak; hukumnya adalah makruh kerana tandas itu merupakan tempat yang disediakan untuk najis dan menjadi tempat berlindung Syaitan (kerana itu kita disuruh oleh Nabi supaya memohon perlindungan dari Allah dari Syaitan syaitan jantan dan betina sebelum memasuki tandas).

Ketika hendak mengambil wudhuk kita disunatkan membaca Bismillah, namun di dalam tandas kita dilarang menyebut nama Allah.

Berdasarkan factor-faktor tersebut, tidak digalakkan mengambil wudhuk di dalam tandas. Namun demikian, wudhuk yang diambil di dalam itu tandas itu tetap sah jika memenuhi syarat-syarat dan rukun-rukunnya, cuma perbuatan/tindakan mengambil wudhuk dalam tandas itu sahaja yang makruh.

Satu perkara lagi perlu diperhatikan; hendaklah berjaga-jaga dari terkena percikan najis pada pakaian atau badan kerana kemungkinan untuk berlaku perkara tersebut adalah ada terutama jika kita mengambil wudhuk dalam tandas awam.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Siri Soal-Jawab Fiqh (siri 1); Pengenalan Tentang Fiqh & Fiqh Toharah (Bersuci), Ustaz Ahmad Adnan bin Fadzil.
2. Fatwa dalam laman as-Syabakah al-Islamiyyah (http://www.islamweb.net), no. 115863 dan 14269.

Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL

Tiada ulasan: